Archive | Salih Yaacob RSS feed for this section

"Linda Nak Terus Nikah"

21 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Tidak mahu bazir wang, masa untuk bertunang, akui hadiri kursus untuk dapatkan sijil kahwin

MEMANG benar andai ditafsir wanita tinggi lampai bernama Rozlindah Onn ini begitu serius untuk memikirkan soal masa depan terutamanya dalam berumah tangga. Malahan, semangat penyampai radio Sinar FM, bernama komersial Linda Onn ini untuk berkahwin sudah ada sejak tahun lalu.

Namun apakan daya, yang dirancang tak semestinya menjadi kerana pada akhirnya ia adalah ketentuan Tuhan apabila hubungan dengan seorang pelakon berakhir tanpa diduga. Umum tahu, pelakon itu adalah bekas teman tapi mesranya, Fahrin Ahmad.

Andaian yang kembali tepat mengatakan dia sedang melalui rona bahagia dalam kehidupan ialah sejak Januari lalu ketika menghadiri majlis resepsi Mawi dan Ekin di Hotel Palace of Golden Horses bersama jejaka mat saleh dikenali sebagai James Gibbs.

Tidak menafikan hubungan antaranya dengan Gibbs di peringkat yang boleh dilabelkan agak serius sejak beberapa bulan lalu. Kalau mahu disingkap, persahabatan mereka sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu. Dalam kenyataannya sebelum ini, usahawan berjaya ini juga pernah memuji dan senang dengan peribadi Gibbs.

Finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini sekali lagi mengundang kejutan apabila gambarnya ketika menghadiri kursus praperkahwinan di Setiawangsa, Kuala Lumpur sejak dua tiga minggu lalu dipaparkan di laman web premis terbabit. Langkah Linda ke situ, sekali lagi mengandaikan dia memang benar-benar sedang ke arah menamatkan zaman bujang.

“Tak Linda nafikan memang ada menghadiri kursus yang dihebahkan itu. Kursus dua hari selama 13 jam itu Linda hadiri bersama kawan. Pada mulanya, Linda sendiri agak terkejut kerana tiba-tiba pusat kursus kahwin itu menyiarkan nama dan gambar Linda di laman webnya tanpa kebenaran.

“Linda tak fikir pusat itu berniat ingin mensabotaj dan selepas mereka memohon maaf serta menarik kembali gambar Linda daripada terus tersiar di laman web, Linda lupakan saja perkara itu. Linda ke situ sebagai langkah awal Linda untuk kahwin dan setidak-tidaknya Linda sudah ada sijil,” katanya yang tidak menolak takdir andai jodoh kuat mengatakan dia akan berkahwin tahun ini.

Lalu, persoalan di sini siapa pula calon suami Linda Onn? Biarpun agak telus membicarakan soal peribadi, Linda masih belum mampu memberi jawapan pasti siapa lelaki yang bakal bertakhta di hatinya atau mungkin Gibbs yang menjadi pilihan Linda sebagai bakal suami. Semuanya masih menjadi tanda tanya, biar ada kemungkinan besar lelaki bukan Melayu dari Wales, United Kingdom itu yang mungkin sudah menawan hatinya.

“Selanjutnya Linda tak berani nak komen. Tunggu sajalah dan Linda juga seperti wanita lain yang ingin bahagia. Dengan siapa pun jodoh Linda nanti, janji dia baik dan pastinya Linda takkan berselindung perkara yang baik.

“Pada pandangan Linda, jika boleh Linda tak mahu membazir masa dan wang ringgit untuk bertunang. Kalau sudah menjadi apa yang dirancang dan jumpa yang sesuai, Linda nak terus nikah,” katanya yang melaram sakan rekaan Nazreen Idris pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April lalu.

Linda ditemui Hip baru-baru ini ketika meraikan rakan media di premis My Asam Pedas Shop, Dataran Pandan Prima berdekatan Tesco Ampang. Acara rutin yang sering dianjurkan membabitkan Linda dan rakan wartawan ini bukanlah perkara asing dan ia antara pengerat silaturahim dengan wartawan.

“Hubungan Linda dan rakan wartawan sangat baik. Kalau ada sekali pun artikel negatif membabitkan Linda di surat khabar dan majalah, Linda ambil daripada sudut positif. Tak dinafikan kalau ada membaca cerita kontroversi boleh berderau juga darah tapi Linda harus kembali relaks.

“Publisiti yang baik atau tidak tetap bernama publisiti. Lebih baik ada cerita daripada tiada langsung. Tak boleh dinafikan kekuatan mata pena rakan wartawan dalam membantu Linda terus membina nama, kerjaya dan perniagaan yang diceburi. Linda tak pernah ambil hati langsung dengan penulisan wartawan,” kata Linda sambil memberitahu menu menarik yang ada di restorannya itu seperti asam pedas, ikan bakar, air sirap bandung dan air asam boi,

Kata Linda, alang-alang hendak memperkenal serta merasmikan pembukaan premis yang dibuka sejak Ogos tahun lalu, Linda memberitahu dia terdetik mengadakan majlis apresiasi kepada rakan media di samping niat asalnya menghebahkan kewujudan restoran itu.

Selain menjemput rakan media menjamu selera, Linda turut mengadakan sesi karaoke membabitkan wartawan yang hadir. Linda juga sempat mengusik rakan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob yang sudah penuh kuota empat isteri sedangkan dia belum ada suami lagi.

Pelawak dan pelakon itu turut menyumbangkan suara menyanyikan dua buah lagu sebelum mengambil tempat menjadi pengkritik persembahan bersama Linda. Mereka mengadili pertandingan karaoke ala pengkritik Akademi Fantasia dan One In A Million. Malah di akhir majlis, Linda turut mendendangkan lagu I Will Survive dengan gaya tersendiri.

Turut sama membuat penampilan khas ialah penari cilik yang diberi nama Morning of Ghostdance dan acara cabutan bertuah. Wartawan Rap Harian Metro, Norhadiani Baharom diumum sebagai juara karaoke dan memenangi pen jenana Mont Blanc, manakala wartawan portal, Murai.com, Haswari Ali di tempat kedua memenangi beg sandang, Bonia.

Sementara itu, Hip sempat mendapatkan komen bapa kesayangan tauke restoran My Mom’s Chicken Rice itu mengenai hasrat dan keinginan anaknya untuk ke fasa perkahwinan. Kata Onn Chik, 76, dia dan isterinya hanya mengharapkan kebahagiaan terus kekal menjadi milik anaknya.

“Hal ini pasti terjawab, mungkin pada suatu hari nanti. Siapapun pilihan dia, pakcik berserah. Semuanya terpulang kepadanya kerana jodoh pertemuan di tangan-Nya dan setiap yang baik datang daripada-Nya. Kami merestui siapa pun pilihannya nanti.

“Pakcik tak nak komen lebih-lebih pula kerana salah cakap siapa yang malu. Yang mana baik buatnya, Insya-Allah baiklah kepada kami sekeluarga. Pakcik berdoa dia akan ditemukan dengan jodoh yang baik,” kata Onn.

Berita Harian

Linda, Krill Semakin Selesa

10 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Gembira masih jadi finalis dalam kategori penyampai radio

SEJAK 2001, Linda Onn dan Khairil Rashid atau Krill tidak pernah ketinggalan dalam senarai calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bagi kategori Penyampai Radio Lelaki dan Penyampai Radio Wanita Popular.

Begitu juga penganjuran tahun ini, walaupun semakin hari bakat baru dalam bidang juruhebah lahir bersama pesatnya stesen radio tempatan dibuka namun mereka masih mempunyai bisa yang berbeza.

Inilah yang dikatakan pekerja yang mengutamakan kerjanya tanpa mencari populariti yang sengaja diada-adakan.

Linda walau sibuk dengan kerja seninya termasuklah terpaksa menguruskan perniagaannya yang semakin berkembang mengakui kerja seninya diutamakan tetapi bukanlah populariti.

“Bagi Linda apa yang penting kita harus menunjukkan mutu kerja kita jika ingin kekal lama dalam bidang ini sekali gus populariti itu akan datang sendiri apabila pendengar merasa puas dan terhibur.

“Sehingga hari ini saya lihat semakin ramai orang baru lahir dalam bidang ini dan ia menunjukkan satu perkembangan baik dan sihat.

“Cuma perbezaannya hari ini dan lalu cukup ketara. Jika penyampai radio lalu bersaing sesama sendiri dengan membuktikan kualiti kerja siapa yang paling hebat, hari ini saya lihat mereka lebih mencari populariti untuk lebih dikenali,” katanya.

Menurut Linda, sepanjang tiga bulan bersama SinarFM semuanya berjalan lancar. Walaupun agak sedih meninggalkan Era tetapi sikap profesional perlu ditanamkan dalam dirinya.

“Alhamdulillah saya semakin selesa bersama SinarFM. Cuma, secara peribadi yang dapat saya rasakan apabila berada di SinarFM ini banyak lagu terkini semakin saya ketinggalan mengetahuinya. Bukannya apa saya memang meminati lagu-lagu seperti pop, balada, R&B, Hip Hop dan rap,” katanya yang kini berusaha menyelami lagu-lagu retro untuk memberikan yang terbaik kepada pendengarnya.

Bagi Khairil, walaupun wajah penyampai radio kurang dikenali berbanding pengacara TV, namun sekiranya kualiti yang ditunjukkan dalam penyampaian serta maklumat berguna kepada masyarakat akan dikenali.

“Populariti bagi saya adalah siapa yang berjaya mencuri hati pihak media akhbar atau TV, dia akan dikenali sekali gus popular. Tanpa media akhbar, majalah selain daripada media sendiri peminat tidak akan mengenali siapa penyampai radio ini.

“Hari ini kita melihat penyampaian radio berlumba-lumba mengejar populariti tanpa menyedari tujuan utama sebagai penyampai radio.

“Untuk ABPBH2008, bagi saya tercalon sudah cukup berbangga kerana setidaknya mereka tahu bakat saya dalam bidang pengacaraan. Cuma saya kurang menonjol dalam akhbar mahupun televisyen,” katanya.

Dia yang juga kini lebih selesa mengendalikan radio retro SinarFM bersama Salih Yaacob dan Raja Azura menolak sangkaan yang dia kini seakan tidak bersemangat mengendalikan SinarFM.

“Ada yang menyatakan saya seakan tidak bersemangat mengendalikan SinarFM dan seakan bekerja sambil lewa adalah tidak benar belaka.

“Sebelum ini saya di Era dan HitsFM dan apabila dipindahkan ke SinarFM lebih lagi digandingkan dengan dua penyampai yang hebat saya amat selesa sekarang,” katanya.

Jangka banyak kejutan

SEMENTARA itu, Linda dan Khairil menjangkakan ada berlaku beberapa kejutan dalam keputusan yang akan diumumkan pada malam kemuncak ABPBH2008, Ahad ini.

Dalam kategori Penyampai Radio Lelaki, pencabar paling hebat Khairil pastinya daripada penyampai Era, Aznil Nawawi selain tiga penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail, Kieran dan AG.

Manakala Penyampai Wanita Radio Popular pula, Linda berhadapan rakan setugasnya, Abby Fana selain Nana dari Era dan dua peserta dari Hot FM, Fara Fauzana dan Leya.

enurut Linda, ABPBH2008 yang dianjurkan adalah majlis penganugerahan anak seni paling berprestij pernah dihadiri setakat ini.

“Saya melihat ABPBH menghimpun semua anak seni daripada penyanyi, pelakon, penyampai radio, TV, pelawak dan pelapis baru dalam bidang seni. Bukan itu saja, tahun ke tahun saya dapat melihat perkembangan penganugerahan ini semakin berkembang.

“Dengan mempelbagaikan tema pakaian setiap tahun, sekali gus mengangkat satu lagi elemen seni iaitu pereka fesyen turut dihargai,” katanya yang akan mengenakan pakaian rekaan Nazreen Idris yang turut menggabungkan elemen songket.

Bagi Khiril, penganjuran ABPBH2008 ini dilihat sesuatu penganugerahan yang berbeza daripada majlis lain.

“Saya melihat daripada sudut positif. Anugerah ini mengangkat penyampai radio yang dulu tidak dikenali kepada lebih dikenali hari ini.

“Sesi jelajah promosi ABPBH2008 turut membawa finalis bertemu sendiri dengan masyarakat supaya mereka kenal siapa yang bekerja di dalam konti radio,” katanya yang akan mengenakan pakaian sendiri pada malam kemuncak ABPBH2008.

Berita Harian

Soseh Soseh: DJ Ada Skandal Dengan Pelakon Pukul Isteri?

24 Mar

Rap
BELUM habis kisah artis dan selebriti kahwin ‘ekpress’, timbul pula cerita DJ pukul isteri kerana ada skandal dengan pelakon. Berita ini mula tersebar luas apabila isteri Dj itu buat laporan polis.

Terlalu banyak godaan di luar membuatkan rumah tangga sekarang menjadi semakin rapuh. SS tidak mahu menjadi pengadil kepada mana-mana pihak kerana masalah rumah tangga hanya suami isteri itu saja yang tahu.

Cuma SS harap DJ itu jangan terlalu leka dengan dunia luar sehingga mengabaikan anak isteri. Si isteri pun buatlah ‘post mortem’ terhadap diri sendiri.

Tetapi itulah orang lelaki ini, walaupun dapat isteri cantik bak bidadari, kalau ada yang menggoda pasti akan cari lain juga.

Sebenarnya lelaki ini ada pelbagai spesies. Ada yang menggatal di luar, tetapi masih menjaga anak isterinya dengan baik. Segala keperluan rumah tangga mencukupi, tiada satu pun yang kurang.

Tetapi DJ yang suka pukul isteri ini, jenis lelaki sebal. Kalau ada orang baru dalam hidup pun, janganlah cepat sangat naik tangan ke tubuh isteri. Ingat isteri tu patung bernyawa? Adakah orang baru itu terlalu hebat sehingga mampu menutup segala kebaikan isteri sendiri?

Sebelum hendak ‘naik tangan’, cuba kenang kembali kemanisan hidup bersama isteri. Daripada pengalaman kawan-kawan SS sendiri, beristeri dua atau lebih jarang menjanjikan keindahan berpanjangan melainkan salah seorang sanggup berkorban hati dan perasaan serta jangan sesekali menganggap si suami miliknya seorang.

Maksudnya, jangan tanya suami tidur kat rumah siapa malam itu, tetapi kebanyakannya kata kawan SS, apabila susah atau sakit, isteri pertama juga akan dicari.

Pada SS, kejayaan Salih Yaacob beristeri tiga dan akan mencukupkan kuotanya tidak lama lagi, itu ‘kes istimewa’. Mungkin satu dalam seribu. Kepada yang tidak mampu berbuat demikian, jangan ikut caranya. Itu rezeki Salih.

Kepada DJ itu, jangan terikut-ikut cara orang lain. DJ itu perlulah menyelami hati pelakon itu adakah dia ikhlas menerimanya sebagai kekasih atau sekadar mencari glamor semata-mata.

 

 

Jangan nanti kilauan kaca disangka intan. Daripada firasat SS, pelakon itu bukan hendak kahwin dengan DJ itu pun, suka-suka saja dan hendak tunjuk betapa hebatnya dia dapat menawan hati suami orang.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Pernikahan Satu Ibadat – Salih Sedia Lengkapkan Kuota Empat Isteri

15 Mar


SALIH bersama isteri ketiganya, Nor Farawahida. Isteri pertama dan keduanya sedang mengerjakan umrah.

NAMA pelakon, pelawak dan penyanyi Salih Yaacob tiba-tiba menjadi hangat gara-gara dikatakan akan bernikah dengan seorang anak ahli perniagaan bergelar Tan Sri. Mereka dijadualkan berkahwin kelmarin (13 Mac) di ibu kota.

Rancangan perkahwinan itu menjadi panas dan heboh kerana jika ia berlangsung, ia membawa makna Salih akan bernikah buat kali keempat. Kata orang, Salih cuba melengkapkan kuota empat isteri selepas mempunyai tiga isteri iaitu Norliza Mamat, 46, Noraha Hamat, 40 dan Nor Farawahida Sulaiman, 31.

SensasiBintang berbicara dengan Salih, 48, bapa kepada 11 orang anak mengenai rancangan perkahwinan itu. Dalam temu bual itu, tutur bicaranya amat tersusun. Salih menjernihkan gosip tersebut selain bercakap tentang poligami yang telah menjadi darah dagingnya sejak berbelas tahun lamanya.

SensasiBintang: Sejauh manakah kebenaran gosip minggu lalu yang mengatakan anda akan bernikah dengan seorang anak Tan Sri?

SALIH: Memang ada kebenaran. Kita memang ada merancang, tapi ada masalah yang tidak dapat dielakkan berlaku. Jadi kita tunda pernikahan itu. Bagi saya, pernikahan adalah satu ibadat.

Jadi bila sebenarnya anda berkahwin lagi?

Sebenarnya, itu hanya satu perancangan. Saya juga nak beritahu, saya tidak pernah berjumpa dengan wanita yang akan saya kahwini ini. Kami baru berkenalan selama sebulan lebih.

Kami hanya berhubung menerusi telefon dan saya hanya pernah melihat gambarnya. Asalnya, dia ialah peminat saya. Kemudian dia terlibat dalam kemalangan dan koma. Dia hanya mendengar suara saya di Sinar FM.

Terus terang saya katakan, perkahwinan ini diatur oleh keluarganya. Saya menerima dengan hati yang terbuka kerana percaya ini adalah takdir dan kerja Tuhan.

Bagaimanapun, selepas gosip tersebut tersebar, kami terputus hubungan. Dia tidak lagi menghubungi saya. Jadi saya tak berani nak cakap bahawa kami akan berkahwin. Kita lihat sajalah nanti.

Jika tidak kenal, bagaimana anda boleh bersetuju untuk berkahwin?

Saya tidak menolak takdir. Apa yang Tuhan beri kepada saya, saya terima. Mungkin ini cara Tuhan tolong saya beribadat.

Adakah anda berkahwin sebab ingin menolong, bukan kerana cinta?

Jujurnya, saya bukan tak ada peminat lain yang macam itu. Tapi mungkin sebab Tuhan nak bagi saya rezeki dengan cara berkahwin dengan dia. Kalau perkahwinan ini boleh membantu dan memulihkan dia, apa salahnya.

Apa kata ketiga-tiga isteri anda sekarang? Adakah mereka izinkan anda berkahwin empat pula?

Mereka izinkan dan tidak membantah. Perjalanan saya pun sudah tiga. Jadi kalau menyambungnya menjadi empat pun tak salah. Hanya saya perlu memilih orang yang ada pegangan yang sama dengan saya.


SALIH bersama sebahagian daripada sepuluh anaknya hasil tiga perkahwinannya.

Apakah cara anda menjaga keharmonian berpoligami?

Iman. Percaya pada Rukun Iman. Itu sahaja kunci saya. Dulu, masa nak kahwin isteri pertama, saya bercinta dengan orang lain, saya bertunang dengan orang lain dan akhirnya berkahwin dengan isteri saya. Sejak kecil, saya memang berpegang kepada iman.

Katakan kalau ada jodoh dan ditakdirkan berkahwin kali keempat, adakah anda mampu memikul tanggungjawab besar itu?

Selama ini memang saya seorang yang menanggung keluarga. Semua isteri saya tidak bekerja dan saya mempunyai 11 orang anak. Yang sulung sudah berusia 24 tahun, yang nombor 11, insya-Allah akan lahir dalam masa empat bulan lagi.

Saya percaya setiap keluarga yang saya bina ada rezeki masing-masing. Alhamdulillah, berbelas tahun saya kahwin, rahmat Allah terus bersama saya.

Apakah pandangan anda tentang berlaku adil, mengimbangi dan bertanggungjawab dalam hubungan dengan isteri?

Mengimbangi isteri-isteri umpama sejadah buat saya. Mereka adalah amanah dan ibadat buat saya. Dari dulu, saya tak pernah kejar apa-apa dalam hidup. Saya pun tak rancang untuk beristeri banyak. Tapi saya menerima ketentuan Tuhan untuk berpoligami. Kalau cakap tentang tanggungjawab, sebenarnya kalau nak fikir satu pun belum tentu mampu. Tapi ini kerja Allah, maka ia akan jadi mampu.

Ada persepsi kononnya lelaki yang berpoligami lebih menjurus kerana nafsu?

Saya tak kahwin sebab nafsu semata-mata. Pernikahan adalah ibadat, ini rezeki dan ilmu saya. Kita di dunia, sama-sama dipinjamkan, jadi jagalah semuanya dengan baik.

Apakah tip anda untuk orang yang mahu berpoligami?

Saya tidak ada tip, sebab setiap orang mempunyai takdir berbeza. Jangan berpoligami untuk merosakkan iman. Ingatlah Tuhan memberi kepada orang yang mampu.

Adakah anda ada hasrat untuk menghimpunkan semua isteri anda sebumbung?

Kalau saya kaya raya sekali pun, saya tak akan kumpulkan semua isteri saya serumah. Saya kena jaga hati semua orang. Dalam setiap rumah tangga saya, saya harus berlaku adil. Jangan tunjuk hebat untuk himpun semua isteri satu rumah kerana ini bukan tuntutan agama. – MALIAH SURIP

Kosmo

Usah 'Bersepah' Selepas Menang

9 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

AKSI selamba Johan, Nabil dan Zizan menggamatkan Dewan Sivik MBPJ.

Juri ingatkan kumpulan Sepah jangan berpecah selepas raih juara Raja Lawak musim ketiga

KEKUATAN kumpulan Sepah kerana persefahaman yang sangat baik sehinggakan mereka boleh melontarkan idea secara spontan. Ini ditambah pula dengan gaya persembahan yang cukup bersahaja untuk memastikan penonton tidak kering gusi melihat aksi mereka.

Jadi, tidak hairanlah Sepah menjadi pilihan utama penonton dan pengundi SMS untuk diangkat sebagai juara Gelanggang Raja Lawak musim ketiga terbitan Astro Prima.

Keserasian tiga sahabat dalam Sepah ini juga diharap tidak berkecai apabila mereka bergelar juara. Mereka perlu mengekalkannya selama yang boleh. Perpecahan menjadikan Sepah sudah tidak wujud lagi.

Sekurang-kurangnya itulah pesanan dari semua juri di pertandingan akhir Gelanggang Juara Lawak musim ketiga yang diadakan di Auditorium, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jumaat lalu dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima.

Zaibo, Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan juri jemputan Adlin Aman Ramlie masing-masing bersependapat bahawa kumpulan Sepah dilihat hebat kerana perpaduan yang wujud di antara ketiga-tiga sahabat ini.


AKSI Sepah selepas muncul sebagai peserta berkumpulan pertama diangkat sebagai juara program Raja Lawak Astro.

“Saya suka persembahan awak. Bersahaja, macam tidak berlakon,” kata Zaibo.

Fauziah pula berkata, persembahan Sepah sentiasa meningkat pada setiap minggu.

“Sepah tidak mengecewakan selama ini. Tahniah kepada Shuib kerana sudah semakin baik. Nasihat saya, jangan berpecah kerana (kalau berpecah) kamu tidak akan dapat hidup,” katanya.

Begitu juga Shamsul yang turut menasihati mereka jangan berpisah. Adlin pula berasakan ketiga-tiga ahli dalam kumpulan Sepah mempunyai kekuatan yang sama. “Tapi awak semua kena pelbagaikan watak. Awak (kumpulan Sepah) boleh jual,” kata Adlin.


JIHAN menyerlah sebagai pelakon komedi.

Kumpulan Sepah yang terdiri daripada Shahmira Muhamad atau Shuib, 24, Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jed) 23, dan Mohd Noor Murad (Mamat) 23 akhirnya berjaya menjadi di antara 10 peserta yang layak mengasah bakat dalam program Raja Lawak bagi musim ini.

Sepanjang sembilan minggu beraksi, Sepah antara peserta yang tidak pernah mengecewakan pengkritik tetap yang terdiri daripada Zaibo, Fauziah Nawi dan Shamsul Ghau Ghau termasuk pengundi yang terhibur dengan gelagat mereka diatas pentas.

Menurut Jed, walaupun sesetengah orang ramai kini sudah cuba untuk membandingkan Sepah dan Senario, namun mereka tetap menyatakan masih mentah di dalam dunia seni ini.

“Senario yang cukup lama dalam industri ini. Kami menghormati mereka sebagai idola kami. Kami terlalu baru dalam bidang ini dan banyak ilmu yang ingin dikutip sebelum berada di kedudukan selesa sebaris pelawak tanah air. Apa yang kami lakukan sebelum ini adalah untuk memberi penonton gelak saja dan tidak lebih daripada itu,” katanya dalam sidang media selepas program ini berakhir.

Menurutnya, mereka tidak terlintas di fikiran untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam industri seni ini, terutama dunia komedi dan pencapaian yang diraih menerusi program Raja Lawak itu memang sesuatu tidak tidak pernah diduga sama sekali.

“Taktik untuk memberi orang gelak adalah supaya mereka tidak bergerak daripada kerusi dan mudah untuk kami selang-selikan dengan mesej yang berguna. Setiap persembahan yang kami buat setiap minggu adalah cuba untuk menyampaikan mesej kepada penonton.

“Seperti malam ini gambaran di rumah orang-orang tua yang kami olah dalam bentuk komedi agar anak-anak yang melihat terasa bersalah sekiranya meletakkan ibu bapa mereka di rumah orang tua-tua,” katanya yang turut disokong oleh Mamat dan Shuib.

Sebagai juara, Sepah menerima hadiah kereta Citroen Picasso, wang tunai RM20,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Jihan atau Nuur Jihan Musa membawa pulang motosikal Naza Blade 250R, wang tunai RM14,000 dan Amir atau Mohd Amirullah menerima RM8,000 untuk tempat ketiga. Masing-masing turut menerima barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Menurut Jihan, dia berpuas hati dengan persembahan keduanya yang bertemakan muzikal kerana berasakan berjaya menampilkan aksi dianggap sempurna.

“Saya nak bekerja lebih kuat. Saya nak jadikan ini sebagai kerjaya utama. Buat masa ini saya bercuti tanpa gaji untuk menyertai program ini. Kalau ada tempat dalam bidang ini, mungkin saya akan memikirkan masa depan kerja tetap saya nanti,” katanya.

Tiada cadangan pecahkan dua kategori

MAJLIS julung kali diadakan dengan acara karpet merah adalah bertujuan mengangkat majlis ini lebih berprestij daripada tahun sebelum ini dengan mengundang semua pelawak tanah air untuk berkampung di Dewan Auditorium yang mampu mengisi seramai 1,200 kapasiti penonton.

Antara pelawak yang hadir seperti, Datuk Yahya Sulung, Datuk Aziz Sattar, Hamid Gurkha, Wahid Satay, Param, AR Badul, Salih Yaacob, Abon, Ebby Yus, Jalil Hamid, Wazatta Zain, Accapan, Imuda, peserta Raja Lawak 1 dan 2.

Sementara hadiah kepada pemenang juga turut memberi penghormatan kepada tiga pelawak veteran untuk menyampaikannya iaitu Datuk Yahya Sulung, Param dan Hamid Gurkha.

Sejak minggu pertama disiarkan, peserta hanya diminta untuk membuat persembahan selama tiga minit saja di hadapan pengkritik tetap. Masa yang pendek ini menguji kebolehan mereka manfaatkan masa yang berharga itu menonjolkan kreativiti mereka.

Kini mereka tidak akan mengadakan persembahan selama tiga minit lagi kerana persembahan mereka kini akan menjadi lebih panjang selepas tamat program ini seperti yang dijanjikan oleh pihak Astro.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, sebaik tamat program ini, tiga peserta akhir ini akan bernaung di bawah pengurusan Maestro.

“Kita sudah merancang lebih awal beberapa program khas untuk mereka. Buat masa terdekat ini mereka bakal muncul dalam program khas Raja Lawak menerusi Astro Ria.

“Selepas itu, beberapa program juga akan diisi oleh mereka untuk program di Astro Prima. Tidak semestinya mereka yang lahir dalam program Raja Lawak akan mengacarakan sesuatu program.

“Jika dilihat kekuatan peserta Raja Lawak musim ini merangkumi banyak aspek. Kita juga akan mengadakan telefilem untuk mereka dalam masa terdekat ini,” katanya sambil menjelaskan buat masa ini Astro Prima belum ada rancangan untuk membahagikan Gelanggang Raja Lawak dua kategori, iaitu Berkumpulan dan Solo pada musim keempat nanti.

Berita Harian

Malam Gemilang

1 Mar

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap
DEBARAN program realiti, Raja Lawak musim ketiga hampir ke penghujung. Teka teki siapa bakal dinobatkan sebagai Raja Lawak musim baru bakal terjawab pada malam kemuncaknya yang akan berlangsung di Dewan Sivik Petaling Jaya, 6 Mac ini.

Seperti musim terdahulu, Astro Prima memastikan majlis penutup itu berlangsung dalam suasana gilang gemilang, seterusnya diangkat sebagai yang terbaik sepanjang penganjurannya.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, berkata pelbagai perancangan diatur oleh produksi bagi memastikan malam kemuncak itu meninggalkan kesan mendalam di hati penonton setia program ini.

Antara kelainan yang ditampilkan, ramai pelawak era 1950-an hingga 1990-an diundang bagi memantapkan lagi acara.

“Ramai memberi persetujuan untuk hadir, antaranya Acappan, Jalil Hamid, AR Badul, Hamid Gurkha, Yahya Sulong, Salih Yaacob dan Sabri Yunus.

“Mungkin ada di kalangan anak muda hari ini kurang mengenali pelawak generasi lama, justeru menerusi undangan ini diharap ia dapat mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

“Pada malam itu penonton turut dihiburkan dengan persembahan juara Raja Lawak musim pertama serta kedua iaitu Yus dan Nabil.

“Kami turut mengadakan acara Karpet Lawak yang akan disiarkan secara langsung di Astro Prima, jam 8.30 malam.

“Sebelum itu, orang ramai dapat mengikuti perkembangan terkini belakang tabir secara langsung yang bersiaran selama tiga minit bermula 5 petang,” katanya.

Mengulas pandangan sesetengah pihak prestasi peserta kali ini mengecewakan, Penerbit Eksekutif Raja Lawak 3, Nizam Hamid, berkata ia terlalu subjektif untuk diperkatakan.

Jika diteliti daripada proses uji bakat, pemilihan dan persembahan mingguan, sebagai tulang belakang utama program ini dia mendapati kualiti persembahan peserta kali ini lebih bagus daripada musim yang lalu.

“Jika mereka bandingkan peserta musim ini dengan Nabil, memanglah ketinggalan jauh. Namun kita harus melihat secara rasional, Akademi Fantasia misalnya, tiada lagi peserta dapat menandingi kehebatan Mawi, begitu juga dengan kes Nabil.

“Daripada penelitian saya sepanjang dua tahun mengendalikan program ini, lebih ramai peserta kali ini yang bagus berbanding musim lalu.

“Bahkan, uji bakat kali ini juga lebih ketat dan proses saringannya diadili panel juri program ini iaitu Fauziah Nawi, Zaibo dan Shamsul Ghau Ghau bagi memastikan kita memilih peserta yang terbaik dan benar-benar layak.

“Mungkin kerana musim ini peserta berkumpulan lebih menonjol dan konsisten persembahannya berbanding peserta solo, orang tidak perasan hakikat ini,” katanya.

Tambahnya, tidak adil menilai peserta dalam tempoh singkat kerana untuk menjadi pelawak yang bagus mengambil masa panjang.

“Pelawak sedia adapun ada yang terpaksa mengambil masa berpuluh tahun untuk popular. Tidak adil jika kita ukur bakat peserta dalam tempoh dua atau tiga bulan. Beri mereka peluang menunjukkan potensi sebenar selepas keluar dari program ini.

“Kalau benar orang tidak suka peserta musim ini, mana mungkin jumlah penonton meningkat 40 peratus berbanding musim lalu? Mungkin ini pandangan peribadi segelintir pihak.

“Saya tidak menolak kemungkinan Raja Lawak kali ini mengembalikan semua populariti pelawak berkumpulan yang sebelum ini dimonopoli oleh Senario. Sudah lama kita tiada kumpulan lawak berkualiti dan mampu menarik perhatian orang ramai seperti Senario,” kata Nizam.

Jelas Nizam Sani, penonton kini tidak lagi menilai peserta berdasarkan rupa, sebaliknya meletakkan bakat sebagai keutamaan. Komen juri turut menjadi sandaran sebelum mengambil keputusan menyingkir peserta yang dirasakan tidak layak meneruskan perjuangan.

“Dalam soal ini, saya lihat orang kita semakin bijak membuat keputusan. Nilai komersial (rupa) bukan lagi pokok utama, sebaliknya daya tarikan dan bakat lebih diberi keutamaan.

“Amir misalnya, dia tiada nilai komersial, malah banyak kali ditegur juri bahawa penyampaiannya kurang difahami penonton. Bagaimanapun setiap kali muncul di atas pentas, ada sesuatu yang menarik perhatian orang ramai untuk terus mengundinya.

“Begitu juga peserta lain, masing-masing ada kekuatan dan bakat tersendiri sehingga melayakkan mereka ke pentas akhir,” katanya.

Mengulas persoalan adakah Raja Lawak medan melahirkan pelapis pelawak negara dan memberi jaminan kelangsungan karier kepada peserta, Nizam berkata, Astro Prima menyediakan tapak, dan terserah kepada peserta sama ada bijak atau tidak menggunakannya.

“Kalau boleh, kami mahu melahirkan pelapis pelawak seramai mungkin dan kerana itu program ini diwujudkan. Kami menyediakan ruang yang banyak selepas program ini tamat, termasuk mengundang mereka menjayakan Gempak Desa Astro.

“Jika mereka bijak menggunakan peluang menonjolkan kebolehan, saya tidak nampak mengapa mereka tidak boleh berjaya. Semua orang ada peluang sama.

“Kita dapat lihat ramai juga peserta yang tidak menang boleh hidup dalam industri, misalnya Zizan, Johan, Angah, Along dan Azrul. Mereka ada program sendiri, malah ada yang bergelar pelakon.

“Peluang cukup banyak jika mereka sama-sama berusaha. Jangan hanya mengharapkan orang lain mencari kerja untuk mereka, kenalah kreatif dan gandakan usaha,” katanya.

Harian Metro

Trio Kak Engku, Salih, Khairil Makin Hebat!

10 Dec

KUALA LUMPUR, 10 DIS 2008:  Bukan mudah sebenarnya hendak mencari keserasian di antara 3 penyampai radio yang ditugaskan mengendalikan segmen yang sama pada setiap hari.

Sungguhpun begitu, Kak Engku atau Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin bersama Salih Yaacob serta Khairil Rashid telah pun membuktikan bahawa penyatuan mereka dalam segmen Sinar Pagi di Sinar FM membawa hasil. 

Mereka nyata mampu mencetuskan magik tersendiri menerusi celoteh mereka yang begitu spontan dan kelakar, maklumlah dua daripada mereka, Kak Engku dan Salih adalah pelakon yang cukup berpengalaman.

Tidak cukup dengan mereka, Sinar FM disokong pula oleh Abby Fana, Najman dan Nila Kurnia. Kini Sinar FM atau lebih dikenali sebagai stesen radio retro telah mencapai kedudukan yang cukup membanggakan apabila berjaya meraih tempat ke-3 sebagai stesen radio Melayu paling popular. 

Menurut Kak Engku, dia sendiri tidak menyangka bahawa gandingan mereka begitu menjadi.

“Maklumlah sebelum ini, orang pernah cakap Sinar FM sebagai saluran radio Otai. Tapi selepas 2 tahun berkhidmat bersama stesen radio ini, pendengarnya makin meningkat. 

“Sebenarnya kita tidak pernah berangan hendak jadi nombor 1 atau nombor 2. Apa yang penting ialah kami sentiasa mahu enjoy dengan persembahan kami dan membuatkan masyarakat di luar sana terhibur dan mendapat informasi.

“Tapi, biasalah, apabila rating makin naik, kerja kami pun kian bertambah, sampai hendak cuti pun susah. Kalau cuti saja, peminat marah. Susah juga macam gini, tapi sabar ajelah,” kata Kak Engku kepada murai.com.my sewaktu ditemui selepas pementasan teater muzikal kanak-kanak Sinbad di Panggung Sari, Istana Budaya, semalam.  

Saksikan Kak Engku dalam teater kanak-kanak Sinbad

Berbalik kepada gandingan bersama Salleh dan Khairil di Sinar Pagi, Kak Engku berkata, tidak mudah sebenarnya hendak mencetuskan keserasian antara mereka bertiga. 

“Macam saya dengan Salih, kami tak ambil masa yang agak sama untuk dapatkan keserasian sebab kami berdua datang dari bidang dan aliran seni yang sama. Tapi dengan Khairil agak memakan masa kerana dia datang dari generasi yang kemudian dari kami, jadi kena disesuaikan jenakanya dengan celoteh kami itu. 

“Cara orang dulu dan orang sekarang berlawak tak sama. Orang sekarang buat lawak secara straight to the point. Tapi, lawak orang dulu banyak lapisan-lapisannya. Itulah yang membuatkan Khairil kadang-kadang terpinga-pinga dengan lawak kami. 

“Caranya, terpaksalah saya dan Salih ‘basuh otak’ Khairil dengan menyuruh dia tengok semua filem lama terutama P Ramlee. Amboi sekarang, dia dah makin pandai mencelah dan kenakan kami dengan gurauannya itu,” katanya. 

Sungguhpun begitu, Kak Engku tidak menafikan bahawa status dan kedudukannya sebagai penghiburkan membuatkan dia mempunyai lesen yang besar untuk menjadi penyampai yang bermulut laser. 

“Tapi dalam laser kita pun, kita tidak boleh bersikap over. Mungkin itulah yang menyebabkan kebanyakan pendengar berasa selesa setiap kali mendengar Sinar Pagi di Sinar FM,” katanya.

Semakin seronok dan selesa dengan gandingan mereka bertiga, Kak Engku berkata, dia berharap jangan ada sebarang perubahan buat masa ini. 

“Dah serasi ni, seronok pula. Kalau kerja dengan orang lain, kena bentuk pula kemesraan itu dan ia boleh menjejaskan mutu kerja. Kalau boleh, kekalkan kami bertiga,” pintanya. 

Memandangkan Kak Engku kini sibuk membintangi teater muzikal kanak-kanak Sinbad yang dipentaskan sehingga 13 Disember 2008, dia bernasib baik kerana mendapat sokongan padu daripada Sinar FM. 

“Leganya apabila pengurusan Sinar FM memberikan saya kelonggaran untuk pulang awal kerana komitmen saya di pentas teater muzikal ini. Seronoknya berlakon dengan kanak-kanak sebab mereka lebih jujur dan telus,” katanya. 

Dalam Sinbad, Kak Engku memegang peranan sebagai Dewi Bencana iaitu makhluk jahat di lautan yang gemar mempermainkan manusia di dunia termasuklah Sinbad yang selama ini menjadi  musuh ketatnya. Ramai akui kemunculan Kak Engku menambahkan keseronokan teater menarik itu.

Murai