Archive | Salih Yaacob RSS feed for this section

Animasi TMNT Versi Bahasa Melayu

24 Sep

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


BARISAN artis yang terlibat dalam alih suara filem animasi Teenage Mutant Ninja Turtles.

SEKITAR tahun 2006 lalu, Star Movies (saluran 413, Astro) menyiarkan sebuah filem animasi tentang kehidupan robot yang penuh warna-warni dalam Robots.

Dialih ke bahasa Melayu, Robots yang menggunakan suara latar pelakon serta personaliti tempatan popular dilihat berjaya menarik maklum balas memberangsangkan.

Justeru, atas dasar percaya bahawa penyesuaian mengikut masyarakat setempat adalah cara terbaik dalam memenuhi cita rasa penonton, Star Movies mengambil inisiatif sama untuk menayangkan filem Teenage Mutant Ninja Turtles (TMNT).

Bakal ditayangkan pada 28 September ini, versi bahasa Melayunya akan dihidupkan melalui suara latar personaliti ternama seperti Mawi, Aznil Nawawi, Kieran, Nabil (Raja Lawak Astro), Dafi, Sarimah Ibrahim, Salih Yaacob, Zahid dan Ekin.

Mawi menyumbangkan suaranya untuk watak Leonardo, yang menggunakan suara James Arnold Taylor dalam versi Hollywood.

“Ini merupakan penglibatan pertama saya dalam menyumbang suara untuk filem animasi.

“Nampak seperti mudah tetapi ia sebenarnya cukup mencabar terutama ketika hendak menyamakan suara dan pergerakan mulut.

“Proses rakaman suara mengambil masa enam jam dan dialog Leonardo merupakan antara yang paling banyak di samping watak lain,” kata Mawi ketika ditemui pada majlis pelancaran TMNT versi bahasa Melayu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Mawi, Aznil pula menyumbangkan suara dalam membawakan watak Raphael manakala Donatello (Keiran) dan Michelangelo (Nabil).

Sementara Dafi pula adalah Casey Jones, sahabat lama kumpulan empat penyu terbabit, Sarimah (April O’Neill), Salih Yaacob (Master Splinter), Zahid (Max Winters) dan Ekin (Karai).

Suara-suara terkenal lain termasuklah Datuk Jalaludin Hassan, Edlin, Zizan, Ahmad Tarmimi Siregar, Shawal, Nubhan serta Awal Ashaari.

Tidak ketinggalan, wakil-wakil media turut diundang terlibat sama dalam projek istimewa Star Movies ini.

Antara wakil media yang terlibat ialah Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh, Penolong Pengarang Hiburan New Straits Times, Faridul Anwar serta wartawan Abie Abdullah (Metro Ahad), Haswari Ali (murai.com) dan penyampai berita Gala TV (Astro), Syazwan Zakariah.

Alih suara bahasa Melayu dan Indonesia

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Star TV (Asia Tenggara & Hong Kong), Nini Yusof berkata, selain bahasa Melayu, TMNT turut dialih ke bahasa Indonesia untuk penonton Star Movies di negara terbabit.

“Antara bintang-bintang ternama Indonesia yang terlibat adalah Nicholas Saputra, Fauzi Baadilla, Surya Saputra, Julie Estelle, Tio Pakusadewo dan Atiqah Hasiholan.

“Membawa filem-filem animasi barat kepada penyesuaian mengikut masyarakat setempat mampu membuatkan Star Movies menjadi saluran filem utama di negara ini.

“Kita lihat pada 2006, Robots berjaya mencatatkan rating nombor satu ketika ia ditayangkan dan kami tidak menolak kemungkinan, projek yang sama akan diusahakan lagi pada masa depan,” ujarnya.

Apa kata Nicholas Saputra?

Sama seperti Mawi, pelakon popular Indonesia, Nicholas Saputra turut tidak ketinggalan dalam menyumbang suara untuk watak Leonardo.

Mengakui meminati TMNT, ini juga pengalaman pertama bagi Nicholas dalam kerja-kerja alih suara.

”Saya hanya mengambil masa selama tiga jam untuk proses rakaman,” katanya yang akan muncul untuk dua filem terbarunya iaitu Drupadi dan 3 Doa 3 Cinta.

Ditanya mengenai perkembangan terkini kariernya, Nicholas berkata, filem Drupadi merupakan filem yang kembali menggandingkan antaranya dan Dian Sastrowardoyo selepas tujuh tahun tidak bersama.

”Kali terakhir kami berlakon sama adalah filem Ada Apa Dengan Cinta iaitu sekitar tahun 2001,” tambahnya.

Utusan Malaysia

Sarimah Dilamar Stesen Radio?

8 Jun

Niezam nak mengucapkan tahniah kepada pengacara bermulut murai Sarimah Ibrahim yang khabarnya sudah dilamar oleh sebuah stesen radio.

Rasanya ramai yang nak tahu stesen radio mana yang nak ambil Sarimah jadi deejay mereka tu kan?

Disebabkan perkara ini masih terlalu awal, rasanya biarlah Niezam rahsiakan dulu kerana belum dapat lampu hijau dari orang kanan stesen radio tersebut.

Menurut sumber yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, stesen radio yang dimaksudkan berminat nak ambil Sarimah jadi keluarga mereka kerana tertarik dengan keletah serta kepetahannya mengendalikan Diari Akademi Fantasia.

Khabar tersebut juga turut menyebut Sarimah dan boss besar stesen itu masih dalam peringkat perbincangan sebelum disiapkan kontrak untuk dia tandatangani.

”Sumber yang aku dapat ni memang sahih sebab aku ternampak Sarimah dengan seorang boss stesen radio itu lepak dan makan-makan di pejabat. Kau tahulah mulut Sarimah kalau bersembang satu Malaya boleh dengar.

”Selepas aku intai dan selidik, memang tak lama lagi dia akan jadi deejay di stesen radio yang dimaksudkan itu,” kata sumber berkenaan.

Wah, nampaknya trend artis menjadi deejay ni semakin ramai selepas budak-budak AF iaitu Nana, Reza, Adi Fashla dan Burn menjadi deejay di bawah rangkaian radio AMP termasuklah Aznil, Salih Yaacob, AC Mizal dan Raja Azura.

Cuma Yasmin Hani saja yang tak sempat nak khatam jadi deejay di stesen itu. Berdasarkan kepada senarai artis yang semakin ramai dengan AMP Radio itu, adakah Sarimah salah seorang yang akan terjun ke salah satu stesen tersebut?

Manalah tahu kut-kut pihak pengurusan Era nak mantapkan lagi stesen mereka yang khabarnya ‘bedebuk’ jatuh merudum bagaikan nagka terlebih masak. Apa-apa pun kita tunggu pengesahan daripada mulut Sarimah nanti mengenai perkembangan cerita ini.

NIEZAM: Takziah buat Ida Bay (bekas PR HUSM, Kelantan) yang kematian bapanya. Tak lupa buat Ina jurufoto Utusan yang kematian ibu selepas dua minggu Ina kahwin. Al-Fatihah.

Powered by Utusan Malaysia

Promoter Dakwa Ditipu Bekas PRO

28 May

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Menerusi ruangan Gitu… lah minggu lalu saya ada menulis nota kaki mengenai seorang promoter pertunjukan pentas yang ingin ‘menarik rambut’ bekas pegawai perhubungan awam (PRO) syarikat rakaman kerana melarikan wang beribu ringgit.

Minggu ini, promoter yang dimaksudkan, Syed Mohd. Yusof Wafa Syed Nordin, datang ke pejabat bertemu dengan saya bersama satu salinan laporan polis.

Beliau yang dipanggil Wafa memberitahu, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur pada 27 April lalu kerana mendakwa ditipu oleh bekas PRO tersebut sebanyak RM9,988.

Semuanya gara-gara terlalu mempercayai rakan baik yang mendakwa boleh menguruskan tiket kapal terbang untuk membawa artis-artis mengadakan pertunjukan pada majlis penutup Pesta Air Peringkat Kebangsaan 2006 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 31 April lalu.

ΐBekas PRO yang saya panggil ‘A’ itu mendakwa bekerja dengan ejen pelancongan dan berminat untuk menguruskan tiket kapal terbang untuk membawa artis-artis saya pada konsert tersebut.

ΐBeberapa minggu sebelum tarikh persembahan itu, saya sudah memberikannya cek bernilai RM3,800 dan wang tunai RM6,188 untuk menguruskan tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur ῖ Labuan bagi membawa 12 orang termasuk krew dan artis.

ΐBagaimanapun dua hari sebelum konsert bermula, pelawak Saiful Apek telah menghubungi saya dan memberitahu, tiada penerbangan pada tarikh tersebut yang ditempah atas namanya.

ΐSaya mula rasa curiga dan telah merujuk perkara itu dengan sebuah syarikat penerbangan untuk memastikan sama ada dakwaan Apek itu benar atau tidak.

ΐMalangnya, selepas diperiksa oleh pegawai perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan itu, semua tempahan yang dikatakan telah ditempah oleh ‘A’ itu sebenarnya tidak wujud.

ΐKejadian itu menyebabkan saya terpaksa menggunakan wang lain untuk membeli tiket penerbangan baru semata-mata untuk membawa 12 artis dan krew bagi menjayakan konsert berkenaan,” katanya.

Menurut Wafa lagi, ketika pulang ke Kuala Lumpur, beliau telah berhubung dengan bekas PRO itu untuk meminta penjelasan tersebut tetapi ‘A’ dikatakan memberi pelbagai alasan untuk menyelamatkan dirinya.

Malah menurut Wafa, dia juga telah menyiasat syarikat ejen pelancongan bekas PRO itu tetapi malangnya ia tidak wujud dan merasakan telah ditipu.

ΐSaya menghubunginya beberapa kali tetapi dia memberi pelbagai alasan dan cuba melarikan diri daripada saya. Saya bimbang, artis-artis lain akan hilang kepercayaan kepada saya sekiranya saya mengundang mereka untuk menjayakan sesebuah persembahan suatu ketika nanti,῔ kata Syed Wafa lagi.

Sehubungan itu Wafa memberi tempoh sehingga awal bulan depan untuk membolehkan bekas PRO tersebut menyelesaikan masalah berkenaan sebelum membawa perkara itu ke mahkamah.

ΐSaya masih ada perasaan timbang rasa. Saya menolongnya selama ini kerana ingin membantunya yang berada di dalam kesusahan tetapi dia menabur pasir di dalam periuk nasi saya.

ΐSekiranya ‘A’ tidak menyelesaikan masalah itu, biarlah mahkamah yang membuat keputusan. Pendedahan ini bukan untuk mengaibkan tetapi bagi memastikan orang lain tidak terpedaya seperti saya,῔ katanya.

Walaupun berlaku masalah itu namun beliau bersyukur para artis yang diundang menjayakan persembahan berkenaan antaranya A. Halim, Datuk M. Daud Kilau, Salih Yaacob dan Jaclyn Victor dapat memberi komitmen dengan baik.

Powered by Utusan Malaysia

Ogy & Salih Tetap Menghiburkan

14 Apr

Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Ogy dan Salih ialah pasangan serasi yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat mereka.

PASTI ramai yang tahu tentang kolaborasi antara Salih Yaacob dan Fauziah Ahmad Daud yang sering membuatkan penonton ketawa tidak kering gusi.

Ada sahaja lawak jenaka spontan hadir kala mereka bersama. Ini tidak dapat dinafikan semasa menyaksikan rakaman musim kedua rancangan Ogy & Salih untuk TV1 RTM yang dirakamkan di Studio Green Cow di Damansara baru-baru ini.

Bukan hanya penonton ketawa. Tetamu undangan dan mereka berdua sendiri bagaikan hendak pecah perut ketawa dek aksi masing-masing.

“Saya memang sudah lama bercadang nak buat talk show yang menggabungkan bakat seperti menari, menyanyi dan berlakon. Lagipun saya nak buat rancangan talk show yang lain daripada yang lain.

“Anda boleh menilai sendiri perbezaan talk show ini berbanding yang lain. Segmen-segmen yang diketengahkan berlainan dan menarik,” kata Fauziah yang lebih popular dengan panggilan Ogy.

Dia yang bertindak selaku penerbit dan juga pengacara rancangan tersebut berkata, cetusan idea pembikinan talk show tersebut merupakan kesinambungan daripada rancangan yang pernah dikendalikan oleh arwah ayahnya, Ahmad Daud Show.

“Dalam rancangan itu, allahyarham menggabungkan artis-artis veteran dan sketsa dalam satu rancangan.

“Malah beliau sendiri pernah berpesan pada saya supaya jangan lupakan artis lama,” katanya yang kelihatan semakin kurus dan jelita.

Pada musim pertama, terdapat tiga segmen dalam rancangan Ogy & Salih yang disiarkan setiap Isnin 10 malam di TV1.

Segmen pertama memberi tumpuan pada pekerjaan atau kerjaya seseorang dan diselitkan sketsa dan adegan komedi. Segmen kedua adalah segmen 30 saat iaitu kuiz ringkas untuk penonton di studio.

Segmen ketiga merupakan segmen yang dinantikan iaitu Dia Datang yang memfokuskan kepada artis-artis veteran.

Ogy & Salih juga menampilkan persembahan secara langsung daripada Ogy dan Salih yang menyanyikan sebuah lagu.

Tiada banyak perbezaan yang ditampilkan pada musim kedua program itu. Kedua-dua hos itu berlumba-lumba cuba kecohkan lagi keadaan agar suasananya lebih menarik dan tidak membosankan penonton.

Sambil tersenyum, Ogy berkata, “Jangan anggap Ogy & Salih ini sebuah rancangan untuk orang tua semata-mata kerana kami tampilkan artis lama. Rancangan ini untuk tontonan semua golongan umur.

“Lagipun topik yang kami tampilkan bersifat umum. Bukan tertumpu pada satu golongan saja. Saya rasa banyak perkara baru yang dipaparkan.

“Alhamdulillah tanpa publisiti yang meluas, feed back yang kami dapat amat memberangsangkan. Kini rancangan ini disambung ke musim kedua.”

Mengenai pemilihan Salih sebagai pasangan hosnya, jelas Ogy, mereka ada keserasian. “Bersama Salih, saya tak perlu risau kerana saya akan sentiasa ceria.”

Bagi musim kedua ini rakaman Ogy & Salih telah dijalankan bermula 26 sehingga 30 Mac lalu. Ia menampilkan 13 episod.

Sementara itu, Salih Yaacob tidak menyangka rancangan tersebut memberi kesan kepada penonton terutama peminat-peminat artis lama.

“Bila mereka menonton rancangan tersebut, secara tidak langsung ia mengembalikan nostalgia.

“Sudah banyak rancangan ketengahkan artis baru dan muda. Tak salah kalau kita ketengahkan artis lama kerana kemunculan mereka juga dinanti-nantikan,” katanya.

Dalam nada selamba Salih berkata, “Lagipun saya nak tengok penerimaan orang sama ada mereka dapat menerima saya lagi atau tidak. Sebab sudah lama saya tidak muncul dalam program TV.

“Berlawak ini kena ikut suasana. Biarpun ada skrip tapi itu hanyalah sebagai panduan untuk kita. Sebab komedi ini ikut gaya kita.”

Ditanya mengenai kolaborasinya bersama Ogy, Salih berkata gabungan tersebut berjaya kerana kedua-duanya saling memahami.

“Kami sudah biasa bekerjasama dan kami tahu apa yang penonton mahu. Paling penting dia menghormati saya dan kami ada keserasian,” katanya.

Tambah Salih, lawak merupakan satu kehidupan dan manusia memang sukakan keseronokan tetapi ia tidak boleh keterlaluan.

Utusan Malaysia