Archive | Sanisah Huri RSS feed for this section

Jangan Pinggir Diri – Malek Redzuan

19 Jan

Oleh Norliza Mohamad Zakaria

WAJAH terbaru Malek Redzuan. Beliau kini muncul menerusi album Hati Ke Hati.

MALEK Redzuan bukanlah satu nama asing dalam bidang nyanyian kerana pastinya peminat muzik era 70-an dan 80-an sangat mengenali penyanyi yang begitu popular dengan lagu Cukup Sampai Di Sini itu.

Setelah hampir 13 tahun tidak menghasilkan album, penyanyi yang bergelar Datuk itu kini tampil mengubat kerinduan para peminatnya dengan rakaman semula lagu popularnya, Cukup Sampai Di Sini menerusi album Hati Ke Hati.

Album yang diterbitkan oleh Mujahid Abd. Wahab bersama Sandy Monteiro yang diedarkan oleh Rumpun Records dan Universal Music Sdn. Bhd., itu telah berada di pasaran sejak 13 Disember tahun lalu.

Selain single Cukup Sampai Di Sini, album yang memuatkan 20 buah lagu malar segar sekitar era 70-an dan 80-an itu turut menampilkan lagu Cintaku Cintamu iaitu lagu nyanyian asal biduanita Datuk Sharifah Aini yang dinyanyikan semula oleh Uji Rashid.

Malek yang ditemui baru-baru ini memberitahu, penerbitan album Hati Ke Hati merupakan inisiatif positif syarikat rakaman untuk memastikan lagu-lagu malar segar terus diingati.

“Gabungan ramai penyanyi dalam sebuah album merupakan suatu usaha yang bagus. Ini memberi peluang kepada artis-artis senior yang sudah lama menghilangkan diri tampil membuat persembahan sepanjang mempromosikan album tersebut.

“Secara tidak langsung peluang ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesama artis,” katanya.

Selain Malek, penyanyi-penyanyi lain yang turut terlibat dalam penerbitan Hati Ke Hati ialah Jamilul Hayat dengan lagunya Gelora Cintaku, Datuk D.J. Dave (Kawan Setia), Habibah Yaakob (Madah Ibu), Sanisah Huri (Ku Jangan Di Tinggal-Tinggalkan) dan Dayangku Intan (Semakin Rindu Semakin Sayang).

Biarpun begitu lama tidak muncul dalam mana-mana rancangan televisyen, namun Malek masih aktif memenuhi pelbagai undangan nyanyian anjuran pelbagai syarikat korporat selain undangan daripada kerabat diraja.

Terbaru, Malek diundang ke Hong Kong untuk menjayakan persembahan untuk jabatan-jabatan kerajaan sempena sambutan tahun baru.

Katanya: “Saya gembira kerana masih aktif menyanyi. Secara peribadi, saya tidak nampak mana-mana artis lama dipinggirkan. Sebaliknya, realiti yang berlaku ialah artis-artis lama yang meminggirkan diri mereka sendiri. Bagi saya jika seseorang artis itu berjiwa seni, pastinya dia sentiasa mencari peluang untuk aktif berkarya.”

Seniman berusia 50 tahun itu juga menekankan betapa pentingnya seseorang penyanyi itu memahirkan diri mereka bermain alat muzik.

Kemahiran itu katanya, sangat penting sebagai sandaran untuk seseorang artis itu apabila tiada undangan nyanyian, dia boleh bermain muzik ataupun mencipta lagu.

Sebagai orang lama dalam industri muzik, Malek menyatakan rasa bangganya berhubung perkembangan pesat industri muzik tanah air kontemporari.

Pada masa yang sama, karyawan muzik juga jelas Malek, diberi kebebasan untuk berkarya

“Berkarya dan menyanyi sebetulnya lebih kepada persembahan diri sendiri dan tidak wujud sebarang persaingan langsung antara mana-mana artis. Ini kerana mana-mana artis sekalipun sepatutnya ada identiti sendiri dalam nyanyian.

“Sebab itu kalau kita lihat artis-artis yang bertahan hingga kini semuanya ada identiti tersendiri. Mereka menyanyi dan membuat persembahan dengan cara mereka sendiri.

“Ada separuh artis, saya lihat kadang-kadang malu nak tunjuk bakat yang mereka ada. Jadi nasihat saya, menyanyi jangan ada rasa malu. Bila sudah diberi peluang menyanyi, buat yang terbaik sehingga orang ramai boleh ingat sesuatu yang baik dalam persembahan kita itu,” katanya mengakhiri perbualan.

Powered by Utusan Malaysia

ROB Dan Koffin Kanser Dua Kumpulan, Sama Anggota

2 Oct

JARANG berlaku dalam mana-mana industri muzik, terdapat dua buah kumpulan dianggotai oleh anggota-anggota yang sama. Tetapi itulah realiti yang berlaku dalam dunia muzik kita apabila Republic Of Brickfields (ROB) dan Koffin Kanser dianggotai oleh anggota-anggota yang sama.

Aru sebagai ketua kumpulan itu berkata, pada mulanya ramai peminat yang keliru apabila mereka muncul dengan dua nama yang berbeza.

Namun, selepas melihat persembahan ROB dan Koffin Kanser barulah para peminat dapat membezakan kelainan dua kumpulannya itu.

“Para peminat hanya dapat membezakan yang mana satu ROB dan Koffin Kanser selepas mereka menyaksikan persembahan kami.

“ROB merupakan sebuah kumpulan yang memperjuangkan irama reggae sedangkan Koffin Kanser lebih ke arah nu metal.

“Konsep muzik itulah yang membezakan antara dua kumpulan kami itu,” kata Aru ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan promosi album kompilasi Bila Tiba Hari Raya anjuran syarikat rakaman EMI di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bila Tiba Hari Raya merupakan album kompilasi yang mengandungi 21 buah lagu-lagu Hari Raya malar segar yang antaranya dinyanyikan oleh Datuk Ahmad Jais, Sanisah Huri, Datuk Sharifah Aini, Fazidah Joned dan Rahimah Rahim.

ROB merupakan artis naungan EMI yang muncul dengan album sulung berjudul Ganjaran kira-kira enam bulan yang lalu.

Menurut Aru, bukan setakat para peminat tetapi penganjur pertunjukkan pentas juga adakalanya keliru dengan dua kumpulannya itu.

Ini kerana sewaktu di pentas, dua kumpulan itu boleh saling bertukar-tukar konsep pada lagu-lagu yang mereka sampaikan.

“Malah, kami juga pernah meminta kepada pihak penganjur supaya ROB dan Koffin Kanser diberi peluang muncul pada satu persembahan.

“Dalam erti kata yang lain, kami bermain dalam dua set persembahan. Tetapi permintaan kami itu sering ditolak oleh penganjur pertunjukkan pentas.

“Sebabnya mereka tidak mahu membayar dua kali ganda bayaran disebabkan kami bermain atas nama dua kumpulan,” ujarnya.

Selain Aru, ROB dan Koffin Kanser turut dianggotai oleh Joe (gitaris), Zack (percussion) dan Udin (percussion).

Dalam pada itu, dua kumpulan itu adakalanya menggunakan khidmat pemuzik undangan yang terdiri daripada G-Joe (gitaris), Bakri (dram), Edy (keyboardis), Radit (bassis) dan Justin (percussion).

Turut sama pada majlis berbuka puasa itu ialah artis-artis EMI dan edaran syarikat itu seperti Ella, Camelia, Fiq (Mentor), Ruffedge, Sohaimi Mior Hassan, Herman Tino, V.E., Reborn, Junio Hustle dan OAG serta Pengurus Besar EMI, Julius Ng serta Pengurus Pemasarannya, Yoveindra Arumugam.

ROB sempat menghiburkan para tetamu dengan menyampaikan sebuah lagu berjudul Orang Planet, Sohaimi Mior Hassan (Ramadan) dan Ella (Sekilas Cinta).

Powered by Utusan Malaysia

Sara Hidup Jual Botol Terpakai

26 Sep

Teks dan gambar Azlan Hafeedz
rencana@hmetro.com.my

BAIT lagu dendangan Sanisah Huri, ‘miskin kaya semua bergembira, aku miskin hina’ yang sering berkumandang di corong radio setiap kali tiba Aidilfitri membuatkan seorang warga emas terkedu dan sebak sebaik mendengarnya.

BAIT lagu dendangan Sanisah Huri, ‘miskin kaya semua bergembira, aku miskin hina’ yang sering berkumandang di corong radio setiap kali tiba Aidilfitri membuatkan seorang warga emas terkedu dan sebak sebaik mendengarnya.

Dengan berlinangan air mata mengenangkan nasib malang yang menimpanya, warga emas itu terus mengesat air mata di hujung baju kurung Kedah usangnya.

Bertemankan sebatang kayu penyapu yang dijadikan tongkat untuk membantu dirinya berdiri, dia bangun, bergegas menutup radio kerana terlalu hiba mendengarnya.

Sambil termenung dan menongkat dagu di pintu rumah, dia termenung sendirian dengan ditemani beberapa kucing peliharaan.

Itulah hakikat kehidupan Bidah Awang Padang, 72, dari Kampung Bukit Kechik, Banggu di Bukit Marak, Kota Bharu, yang terpaksa menanggung segala keperitan seorang diri sejak kematian suaminya, Mat Awang, beberapa tahun lalu.

Hari berganti hari, kehidupan Bidah atau cukup dikenali Mok Doh tetap tidak berubah walaupun melakukan pelbagai kerja untuk mengubah nasibnya termasuk membaiki rumah pusaka yang semakin uzur.

Setiap hari, Mok Doh terpaksa mengayuh basikal, hasil peninggalan arwah suaminya, sejauh lima kilometer, mencari botol terpakai untuk dijual kepada pemborong.

Mok Doh pernah terjatuh ke dalam parit sedalam 0.5 meter bersama basikal dan seguni botol yang dibawanya kira-kira tiga bulan lalu selepas dia dikatakan tidak dapat mengimbangi badannya.

Berikutan kejadian malang itu, Mok Doh terlantar di katil di rumahnya selama beberapa minggu kerana demam mengejut, selain mengalami sakit di beberapa anggota badan.

Sebaik sembuh, dia meneruskan kerjanya itu dengan mengetepikan segala trauma lalu.

Namun, baru dua minggu sembuh daripada sakitnya itu, Mok Doh ditimpa malang buat kali kedua pula apabila dia terjatuh dari pokok rambutan menyebabkan kedua-dua lututnya sakit sehingga kini.

Apapun yang berlaku ke atas dirinya, Mok Doh tetap kuatkan semangat kerana jika dia tidak melakukan kerja itu, siapa yang hendak memberinya makan.

Walaupun mempunyai tiga anak, kehidupan mereka turut daif, sama seperti yang dialaminya.

Sebab itulah, Mok Doh sanggup mengutip botol terpakai itu daripada penduduk kampung sekitar Bukit Marak termasuk Kampung Pauh Lima dan Gunong, Bachok.

Selepas setengah hari melakukan kerja mengutip itu, dia mengayuh secara perlahan-lahan hingga berdecit-decit bunyi rantai basikalnya lantaran terpaksa menampung berat guni berisi botol terpakai itu.

Sebaik tiba di rumah dan melepaskan penat, dia meneruskan kerja mencuci sebelum menjualnya semula kepada pemborong dengan harga RM10 bagi 100 biji botol.

Menurut Mok Doh, setiap hari, dia berendam air mata kerana tidak tahan menanggung penderitaan. Di depan rumahnya, semakin banyak timbunan botol terpakai memenuhi sekitar rumahnya yang semakin uzur itu.

“Timbunan botol itu semakin bertambah berikutan kurangnya jualan disebabkan beberapa pengusaha air minuman ringan menutup operasi kilang mereka.

“Hati saya bertambah sayu kerana semakin hilang punca pendapatan yang selama ini menjadi sumber rezeki untuk membeli makanan dan barangan dapur,” katanya.

Penderitaannya juga semakin bertambah apabila bahagian belakang rumahnya ranap dan runtuh dilanda ribut, akhir tahun lalu, selain bumbung bocor serta pecah.

“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat ada datang berkunjung ke rumah, tahun lalu tetapi sehingga kini, tiada sebarang berita daripada mereka.

“Memang saya menginginkan sebuah rumah baru tetapi memandangkan usia semakin lanjut, saya melupakan hasrat itu,” katanya.

Menurut cucu Bidah, Mohd Zuki Mohd Zain, 35, dia tinggal bersama neneknya kira-kira tiga bulan lalu selepas mendapati Bidah sering uzur dan sakit.

“Saya bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai pendapatan kira-kira RM300 sebulan.

“Saya memang berhasrat untuk membantu nenek tetapi saya juga tidak mampu kerana terpaksa menampung isteri serta anak termasuk ibu dan bapa,” katanya.

Powered by Harian Metro

Yusnor EF Sertai Aswara

12 Feb

Oleh AZMAN ISMAIL

KEPUTUSAN Akademi Seni dan Warisan (Aswara) Kebangsaan untuk melantik aktivis seni dan penggubah muzik dari Singapura, Yusnor EF bakal membawa perkembangan baru institusi itu khususnya Jabatan Muzik.

Yusnor EF atau nama sebenarnya Mohd. Nor Mohd. Yusofe, 70 akan dilantik menjadi pensyarah tamu Jabatan Muzik mulai Mac depan, sekaligus akan mencurah seluruh pengalaman selama lebih empat dekad dalam bidang muzik dan perfileman Malaysia dan Singapura.

Keputusan tersebut menurut Ketua Pengarah Aswara, Omar Awang sejajar dengan usaha institusi itu menjadi sebuah pusat pengajian ulung dalam bidang seni.

“Selain menyediakan infrastruktur dan meningkatkan mutu pengajaran, pada tahun ini, kita akan meningkatkan kualiti tenaga pengajar supaya Aswara dapat menjadi institusi seni yang berwibawa.

“Antara lain, kita akan melantik Yusnor EF sebagai tenaga pengajar kerana pengalaman dan kemampuan beliau yang telah menggubah lebih 400 lagu dan muzik,” katanya pada majlis sidang akhbar pengumuman program Aswara sepanjang 2007 di sini baru-baru ini.

Sepanjang tahun ini, antara program kesenian yang telah dirancang ialah mengadakan pementasan teater monolog, bengkel teater boneka, seminar penulisan cereka, bicara filem dan pelbagai pementasan kesenian tradisional.

Sementara itu, Yusnor berkata, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman dalam bidang muzik, kesenian dan lagu sejak penglibatan dalam bidang itu pada era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Hubungan erat dan segala pengalaman yang Allahyarham curahkan kepada saya, akan saya turunkan kepada pelajar-pelajar Aswara nanti semoga kemahiran yang ada dapat dikongsi bersama.

“Secara peribadi pula, ia merupakan satu bonus kepada saya untuk mendidik generasi baru dalam bidang kesenian khususnya muzik, filem dan lagu,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai penggubah lagu, Yusnor EF telah menulis lirik dan mencipta lagu yang terkenal hingga ke hari ini. Antaranya, Aidilfitri yang dinyanyikan oleh Sanisah Huri dan Gelisah oleh Ahmad Jais.

Dalam pada itu, Yusnor EF berkata, beliau kini sedang dalam proses penerbitan beberapa buku mengenai sejarah seni muzik di Malaysia dan Singapura serta muzik oleh P. Ramlee.

Powered by Utusan Malaysia

Album Pop Yeh-Yeh Di Pasaran

5 Nov

Suatu ketika dahulu irama pop yeh-yeh begitu menjadi kegilaan ramai. Bukan sahaja lagu yang digilai malah cara berpakaian artis pada zaman tersebut turut menjadi ikutan peminat.

Bagaimanapun selepas munculnya lagu-lagu pop serta rock, irama berkenaan seolah-olah kian dilupakan.

Malah nama-nama seperti Allahyarham S. Jibeng, A. Rahman Hassan, Jefferidin dan Sanisah Huri yang berjaya mewarnai era muzik ketika itu semakin hilang di ingatan generasi muda pada masa kini.

Selain itu stesen-stesen radio juga yang tidak begitu galak untuk memutarkan lagu-lagu artis tersebut turut menyumbang terhakisnya irama berkenaan sedikit demi sedikit.

Bagi memastikan zaman pop yeh-yeh itu terus segar di telinga pendengar, komposer Eddie Hamid mengambil inisiatif menerbitkan album kompilasi Pujaan Pop Yeh-Yeh 60-an Volume 2 yang mula dipasarkan minggu lalu.

Menurut Eddie, apa yang istimewa menerusi album itu penyanyi A. Rahman Onn yang pernah popular dengan lagu Si Cincin Emas tidak lama dulu diundang untuk menyanyikan sebuah lagu baru berjudul Semua Jadi Kenangan.

“Ia merupakan penghargaan saya kepada Rahman yang mampu mengekalkan kelunakan suaranya walaupun pada hakikatnya nama beliau seperti mula dilupakan,’’ kata Eddie.

Selain lagu tersebut, lagu-lagu lain yang pernah popular di zaman itu turut dimuatkan nyanyian seperti penyanyi Jeffridin, A. Ramlie, Hasnah Haron, Sanisah Huri, A. Romli dan J. Kamisah.

Antara lagu-lagu tersebut seperti Seruling Anak Gembala, Hidup Bersama, Oh Teruna, Inai Di Jari, Zunika, Jauh Pandangan, La Obe dan Bersedih.

Album edaran Nova Music itu dijangka mendapat sambutan hangat berdasarkan penjualan menggalakkan album Pop Yeh-Yeh Volume 1 tidak lama dulu.

Powered by Utusan Malaysia

Penyanyi 60-An Masih Bertenaga

13 Nov

SEBAGAIMANA lagu-lagu 60-an yang masih kekal sehingga kini, penyanyi-penyanyi lagu 60-an juga masih mampu bertahan.

Mungkin kerana mereka sering mendapat undangan menjadikan mereka masih bertenaga dan mampu menyanyikan lagu bernada tinggi. Lagu-lagu 60-an mempunyai imej yang tersendiri yang tidak memerlukan tokok tambah elemen muzik lain untuk terus bertahan.

Bagaimana pun sambutan terhadap Konsert Himpunan Artis 60-an yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil baru-baru ini tidak memberangsangkan apabila hanya kira-kira 300 penonton saja yang hadir.

Sambutan dingin ini tentunya bukan kerana lagu 60-an sudah tidak dapat tempat tetapi disebabkan kekurangan publisiti.

Mujurlah penganjur turut merakam dan merancang memasarkan konsert itu di dalam bentuk video cekera padat (VCD) yang boleh menampung kos penganjuran konsert ini.

Konsert tersebut menampilkan Kumpulan Zurah II mengiringi penyanyi dari Malaysia, Azizah Mohamad, A. Rahman Onn, A. Rahman Hassan, Hasnah Harun, L. Ramlee dan J. Sham.

Penyanyi dari Singapura pula ialah Fatimah M. Amin, Jaafar O, M. Ishak, Kassim Selamat, Zam Zam dan Salim I diiringi oleh kumpulan The Rhythm Boys. Jeffrydin pula diiringi oleh kumpulan Delima.

Azizah memulakan persembahan dengan lagu popularnya Syurga Idaman dan lagu Kaca Mata diikuti A. Rahman Onn dengan lagu Si Cincin Emas dan Aku Nak Pulang.

A. Rahman Hassan setia bersama gitarnya ketika menyanyikan lagu-lagu Bahagia Menjelma dan Semoga Berjaya yang dirakam kali pertama pada tahun 1966.

Walaupun tampil dengan imej bertudung, Hasnah Harun tidak menghampakan peminat dengan lagu Bersedih dan sebuah lagu popular Sanisah Huri berjudul Siapa Gerangan.

L. Ramlee pula memilih lagu-lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang dan Joget Berbaju Kurung. J. Sham pula memperdengarkan lagu-lagu Suratku Untukmu dan Ku Akan Pulang.

Fatimah M. Amin dan M. Ishak juga masih berani memilih lagu-lagu bernada tinggi di dalam konsert itu. Fatimah memukau peminat dengan lagu-lagu Di Mana Tempat Bermanja dan Oh Teruna manakala M. Ishak pula mengalunkan lagu Yale Yale dan Ku Ditinggalkan.

Lagu Yale Yale yang berusia 38 tahun itu mungkin masih sama dendangannya semasa kali pertama M. Ishak merakam lagu itu.

Jaafar O pula menyanyikan lagu-lagu Pungguk Rindukan Bulan dan Pinangkan Si Dia. Beliau berseloroh mengatakan lagu itu tidak sesuai dinyanyikan pada usianya sekarang.

Lagu La Obe dan Angkut-Angkut Bilis masih berkumandang dari suara penyanyi asalnya Kassim Selamat yang paling senior berbanding penyanyi lain.

Zam-Zam yang popular dengan lagu Bibir Mesra Jiwa Parah memperdengarkan lagu Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa dan Senandung Teruna Merantau.

Jefrydin yang masih kekal gaya lenggok kepala sambil menyanyi, menutup persembahan dengan lagu-lagu Siti Haida dan Mas Mona.

Powered by Utusan Malaysia