Archive | Sarah Aqilah RSS feed for this section

Penghuni Darul Ma'Wa Buka Puasa Bersama Artis Kegemaran

21 Sep

SERAMAI 20 kanak-kanak dari Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma’wa mampu tersenyum lebar kelmarin kerana diberi peluang menyertai majlis iftar bersama artis-artis kegemaran mereka.

Majlis iftar yang diadakan di restoran Lagun Sari di Joo Chiat Road itu dihadiri artis-artis tempatan seperti Sarah Aqilah, Nurul Aini, Nurul Huda serta juara Anugerah Skrin, Syirah Jusni dan Erwin Shah Dawson.

Malah, penyanyi Siti Saerah, adik bintang popular dari seberang Tambak yang tidak asing lagi, Datuk Siti Nurhaliza, turut hadir sebagai mewakili kakaknya itu.

Majlis yang dianjur syarikat MediaCorp dan disokong Flare Pte Ltd itu juga memberikan kesempatan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik itu berinteraksi, berbual mesra dan menyertai permainan-permainan bersama artis kegemaran mereka.

Selain itu, setiap kanak-kanak juga diberikan hamper berupa makanan dan habuan wang yang diagihkan Pengarah Urusan Suria, Vasantham dan Mediacorp Eaglevision, Cik Ong Lay Hong, serta penyanyi Siti Saerah.

Majlis iftar yang turut dibuka kepada orang ramai itu dihadiri sekitar 180 orang, termasuk kanak-kanak, para pegawai Darul Ma’wa dan para penaja majlis.

Sarah Aqilah

Advertisements

Peserta Favorit Tersingkir… Alahai… Gimik Ke?

1 Aug

TAK taulah sama ada ia merupakan satu gimik atau keputusan Anugerah 2009 bagi episod ketujuh yang diumumkan Selasa lalu memang benar-benar berdasarkan undian penonton dan markah juri.

Hakikatnya, berdasarkan banyak pertandingan realiti, sama ada di Singapura atau luar negeri, termasuklah Anugerah dan Singapore Idol, pasti ada peserta favorit yang selama ini telah menunjukkan potensi untuk menang, tiba-tiba tersingkir sebelum peringkat akhir. Tetapi akhirnya mereka tetap terpilih ke pusingan wildcard dan akhirnya, menjadi juara pertandingan.

Aliff Aziz, Juara Anugerah 2007 dan Asmawi Ani, Juara Akademi Fantasia 3, adalah antara peserta yang melalui proses itu – tersingkir tetapi akhirnya jadi juara.

Keputusan Selasa lalu menyaksikan peserta yang sebelum ini agak tinggi prestasi undiannya seperti Hydir Idris, Nora dan Sarah Aqilah, mengejutkan ramai penonton kerana tersingkir.

Tetapi mereka menjadi pilihan juri Ann Hussein, Eddy Ali dan Gani Karim untuk bertanding dalam episod wildcard Selasa ini.

Tiga peserta lain yang turut terpilih ke pusingan wildcard ialah Ize Suliman, Asila Osmera dan Azhar Raz.

Enam peserta ini akan menyanyi dalam episod wildcard ini, tetapi hanya dua akan dipilih juri ke peringkat separuh akhir.

Jika berjaya, mereka akan menyertai empat peserta yang sudah pun menempah tempat, iaitu Wawan, Chirul, Catty dan Kunjung.

Juri Ann Hussien, ketika ditanya wartawan, mempertahankan bahawa tiada gimik terhadap keputusan penyingkiran episod lalu dan menegaskan ia berdasarkan 50 peratus markah juri dan 50 peratus undi penonton.

Walaupun episod minggu lalu berlangsung hanya setengah jam, dari 8.30 hingga 9 malam, peserta tidak menyedari mereka telah diminta menyertai sesi bertemu media seperti yang diatur pihak Unit Pengurusan Artis (AMU) Suria pada malam itu.

Sesi tersebut bukanlah untuk interviu dari pihak media, sebaliknya memberi pendedahan kepada peserta tentang jangkaan media terhadap mereka apabila melangkah ke dunia hiburan.

Wakil-wakil media yang hadir untuk sesi tersebut ialah Pengarah Radio Warna, Isadhora Mohamed, wartawan/penerbit unit Ehwal Semasa Mediacorp News, Daud Yusuf; Editor Manja, Alin Mosbit dan wartawan Berita Harian/Berita Minggu, Hanim Mohd Saleh.

Sesi dipengerusikan Ketua AMU Mediacorp TV12, Azlan Noor Salim.

Berdasarkan sesi tersebut, ada di antara peserta jelas menunjukkan kesungguhan untuk tampil profesional dengan imej bersih dan menyenangkan peminat apabila ditanyakan soalan-soalan tentang tatatertib ketika di tempat awam.

Ada juga yang secara tidak disedari memancing minat wakil media yang ada untuk mengetahui kisah mereka dengan lebih mendalam, antaranya seperti peserta Nora, yang mengakui pernah ‘menjual epok-epok’ untuk menambah pendapatan keluarga.

Secara dasarnya, para peserta diingatkan wakil media agar ‘menjadi diri sendiri’, bersikap jujur dan sentiasa membuat persiapan atau homework sebelum bertemu mana-mana media.

Siapa yang akhirnya berjaya mencuri ruang dalam media pada masa-masa akan datang, tentunya bergantung kepada sikap, kesungguhan dan sama ada mereka berjaya menyerlahkan keberadaan mereka dalam persada hiburan. — Oleh HANIM MOHD SALEH.

Sarah Aqilah

Tak Kalah Hebat

1 Aug

Oleh
Hanim Mohd Saleh

POPULARITI mereka mungkin di tahap ‘jaguh kampung’ tetapi kehebatan kebanyakan artis Singapura untuk menawan hati peminat di sini cukup luar biasa.

Tanpa tarikan sebarang artis luar negeri, artis-artis tanah air membuktikan mereka tetap mampu menggegarkan panggung dengan muzik berkualiti, vokal mantap dan keyakinan diri yang tinggi dan, yang paling penting, melariskan semua penjualan tiket konsert!

Itulah kesan yang dirasakan selepas menyaksikan konsert Rentak Singapura yang berlangsung di Pusat Budaya Politeknik Republic pada 8 Ogos lalu.

Cukup mengagumkan apabila menyaksikan artis-artis tempatan seperti Nana, Zaibaktian, Sleeq, Didicazli, Fadly X-Tech, Salma serta band Merah, The Sallys dan Project Band masing-masing menunjukkan kehebatan beraksi di depan para penyokong.

Bahkan Nana, yang popularitinya melonjak menerusi lagu Lafazkan, ciptaan Jaliboy, cukup membanggakan dengan tarikan suara pada nada tinggi tetapi dapat dikawal dengan begitu hebat sehingga meremang bulu roma penonton mendengarnya.

Apatah lagi dengan kemunculan dua Singapore Idol Singapura – Taufik Batisah dan Hardy Mirza – bagai nak roboh dewan konsert dibuatnya.

Bahkan empat finalis Anugerah 2009 – Kunjung, Sarah Aqilah, Chirul dan Wawan – juga mempunyai penyokong kuat mereka sendiri.

Konsert yang dianjurkan dengan kerjasama stesen Warna 94.2 FM dan Ria 89.7 FM, Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) juga diadakan sempena pelancaran talian Tabung Amal Aidilfitri (TAA) yang dirasmikan tetamu terhormat majlis, Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef.

Ia juga diadakan sempena Projek Rentak, sebuah pertandingan penciptaan lagu tempatan.

Empat deejay radio – AB Shaik, Nora Kirana, Aura Shai dan Fiza O – pula menggamatkan suasana dengan keletah mereka membawa pelbagai watak, daripada petikan daripada kisah fail Madu Tiga kepada menjadi klon selebriti Hollywood.

Dalam acara itu juga, penyanyi Didicazli memulakan peranannya sebagai Duta TAA tahun ini.

Dalam meraikan bakat-bakat muda masa kini, Rentak Singapura tentu akan lebih berkesan jika menyertakan seniman mapan yang telah banyak mempengaruhi muzik tempatan.

Pemain gitar handalan seperti Moliano Rasmadi, Zoul, Art Fazil, Ramli Sarip dan Rahimah Rahim tentu masih mampu memberikan persembahan yang berinspirasi, apatah lagi jika digandingkan dengan para penyanyi muda.

Presiden Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus), Yusnor Ef, yang juga anggota Lembaga Pengarah Compass, berkata beliau teruja dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan kepada artis-artis tanah air.

Apabila ditanya apakah sambutan seperti itu menandakan bahawa Singapura sudah bersedia mempunyai majlis penganugerahannya sendiri, Yusnor berkata perkara itu seharusnya sudah bermula tahun ini dengan penganjuran AnugeraHitz.

AnugeraHitz, yang seharusnya merupakan projek kerjasama antara Compass dengan MediaCorp, ditangguhkan berdasarkan keadaan ekonomi.

‘Saya berharap usaha menganjurkan anugerah muzik peringkat tempatan seperti AnugeraHitz dapat dilaksanakan tahun depan. Perkara ini akan dibincang lagi… mudah-mudahan sebelum akhir tahun,’ katanya.

Projek Rentak tahun ini dimenangi Noorhaqmal Mohamed Noor atau Aqmal N, yang menyertakan lagu berentak ‘muzik dunia’, bertajuk Warkah Cinta Dunia. Beliau menerima hadiah wang tunai $3,000, trofi dan sijil pengiktirafan.

Tempat kedua pula dimenangi Shahridzuan Selamat, dengan lagu Setia Menanti. Beliau mendapat hadiah wang tunai $1,000, trofi dan sijil pengiktirafan.

Penerima hadiah sagu hati bernilai $500 dan trofi ialah Shahran Sohaib (Cinta Selamanya), Haramain Osman (Kucing Kemari) dan Aryan Siswanto Kamsani (Hanya Memori).

Sarah Aqilah

Anugerah Bawean Teladan Iktiraf Sumbangan Suhaimi

1 Aug

Ketua SSA Consulting akan jadikan pemberian sebagai dorongan majukan niaga

Oleh
Shamsul Jangarodin

KETUA Pegawai Eksekutif SSA Consulting Group, Encik Suhaimi Salleh, diberikan Anugerah Bawean Teladan atas pencapaian dan sumbangan besarnya terhadap masyarakat Singapura.

Anugerah yang disampaikan dalam Majlis Salam Lebaran 2009 anjuran Persatuan Bawean Singapura (PBS) di Kelab Akar Umbi semalam itu bertujuan mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh Bawean bukan sahaja kepada masyarakat Bawean malah kepada masyarakat Melayu/Islam dan Singapura amnya.

Anugerah kelmarin merupakan yang ke-10 semenjak diperkenalkan pada 1999.

Antara penerima terdahulu anugerah tersebut termasuk Haji Ridzwan Dzafir, Ustaz Embek Ali (Allahyarham ) dan usahawan, Encik Sujimy Mohamad.

Sementara itu, juara Anugerah 2009, Nur Sarah Aqilah Jamil, dan penerima Anugerah Kejururawatan Singapura-Yayasan Lee, Hajah Rohanah Haji Pagi, diberikan Anugerah Bawean Cemerlang.

Mengulas tentang anugerah tersebut, Encik Suhaimi, 54 tahun, berkata ia satu tanggungjawab berat buat dirinya untuk terus berbakti kepada masyarakat Bawean dan Singapura amnya.

‘Anugerah ini juga sangat bermakna kerana ia mendorong saya agar terus memajukan perniagaan saya ke peringkat yang lebih tinggi,’ kata Encik Suhaimi yang menerima anugerah itu daripada tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan) Encik Hawazi Daipi.

Menurut Presiden PBS, Encik Faizal Wahyuni, anugerah tersebut diharap dapat menjadi perangsang kepada generasi muda hari ini supaya terus maju.

Dalam ucapannya kepada lebih 500 individu Bawean, Encik Hawazi berkata masyarakat Bawean setempat telah berjaya meningkat maju seiring dengan masyarakat lain di Singapura.

Namun dengan cabaran persaingan sejagat, mereka juga harus peka dengan meningkatkan kemahiran demi terus kekal relevan dalam pasaran pekerjaan di sini.

Encik Hawazi yang berketurunan Bawean turut mengalu-alukan pencapaian orang-orang Bawean kerana mereka kini tidak lagi dikenali sebagai pekerja laut atau drebar, dua pekerjaan yang sering dikaitkan dengan masyarakat tersebut.

‘Ini hasil kesungguhan kuat masyarakat Bawean untuk berjaya dan meraih peluang-peluang yang ada.

‘Namun tidak cukup dengan diploma atau ijazah pertama. Kelayakan kita tidak lagi digunakan sepanjang hayat pekerjaan kita dan mungkin tidak sesuai dalam masa 10 tahun atau lebih,’ katanya.

Encik Hawazi juga menyentuh tentang masyarakat Singapura yang semakin tua dan peri pentingnya menjaga kesihatan dan menabung untuk menampung kos hari tua.

Majlis tersebut turut diserikan oleh persembahan ahli silap mata, Imran Mohd Ishak, juga seorang anak Bawean.

Sarah Aqilah

Tiket Konsert Amal Baru Separuh Terjual

1 Aug

SEBANYAK 2,500 tiket bagi Konsert Malam Lagenda Seri Dewi yang menampilkan biduanita Sharifah Aini sejauh ini telah terjual.

Angka ini adalah separuh daripada 5,000 tiket yang diperuntukkan Jamiyah Singapura bagi konsert pada 8 November ini.

Konsert itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai pelbagai kegiatan kebajikan persatuan itu.

Matlamat yang ingin dikumpulkan ialah $1 juta. Ia akan dimanfaatkan bagi program kebajikan, pendidikan dan dakwah anjurannya.

Ini termasuk kos pengendalian rumah kebajikan Darul Ma’wa bagi anak-anak yatim, Darul Takrim bagi orang-orang tua, rumah rawatan Darul Shifa dan pusat pemulihan Darul Islah.

Datuk Sharifah dijangka mendendangkan 35 hingga 40 lagu dalam konsert itu.

Finalis Anugerah – Chirul, Kunjung, Wawan dan Sarah Aqilah – dan penyanyi/komposer Imran Ajmain akan turut membuat persembahan.

Konsert Malam Lagenda Seri Dewi akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 8 November.

Tiket berharga $69, $99, $129 dan $150 boleh didapati di cawangan Sistic.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://www.sharifahainiconcert.sg atau hubungi 84630490.

Sarah Aqilah

Bakat Shahril Diiktiraf

1 Aug

Oleh
Amirul Putra

RAUT wajah beliau tampak tenang.

Ini ciri yang menyerlah dengan Shahril Bahri, 20 tahun, pelajar Politeknik Singapura (SP) yang telah tamat kursus Kejuruteraan Kimia ketika menerima tawaran.

Memandangkan pelawaan itu dibuat oleh Jaybon, penerbit dan pemuzik yang pernah bersama Teacher’s Pet di zaman gemilang, ia seperti impian menjadi nyata. Jaybon pernah menerbitkan album artis seperti Salma, Flame Tree, Rahima Rahim dan Cradle.

Pernah memenangi beberapa pertandingan nyanyian di politeknik dan juga dinobatkan Mr Personality pada 2008 dan terkini, Shahril tidak tergesa-gesa apabila diberi tawaran.

‘Rasa bertuah kerana diberi tawaran. Latihan vokal berlangsung selama sebulan secara intensif sebelum proses rakaman dimulakan,’ kata Shahril.

Walaupun sudah merakamkan enam lagu kesemuanya, Jaybon bercadang hanya memulakan dengan single Yang Teratas sebagai permulaan mengenalkan Shahril pada industri setempat.

Ini kerana ketika ini, Shahril sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan perlu mengimbangi masa mengadakan promosi untuk single terbaru ini.

Ketika menyertai pertandingan menggubah lagu Alunan Kasih tahun lalu, tona suara serta pesona Shahril telah menarik perhatian Jaybon yang menjadi salah seorang juri.

Lagu dan seni kata lagu Yang Teratas ciptaan Jaybon sendiri menjadi ukur tara sejauh mana potensi Shahril dapat terus digilap. Susunan muzik bertenaga dan boleh menambat perhatian.

Memandangkan usia muda beliau, Shahril yang boleh bermain gitar, tidak canggung menyampaikan lagu ini. Dengan ketinggian 170 sentimeter dan berat badan 68 kilogram, Shahril boleh menjadi seorang artis yang lebih versatil.

Diiringi pemuzik berpengalaman secara ‘live’, Shahril mempamerkan sekilas kemampuan menyanyi serta menghayati dengan baik bait-bait seni kata lagu ini.

Untuk anugeraHitz.sg, Shahril dicalonkan sebagai Artis Baru terbaik bersama Maiya Rahman, Sarah Aqilah, Zaibaktian dan Hyrul Anuar.

anugeraHitz.sg akan disiarkan secara langsung pada 3 April, 8.30 malam di Suria.

Sarah Aqilah

Dua Juara Bergabung Di Malam Muda Mudi

1 Aug

IRAMA Melayu retro yang mengasyikkan jiwa akan mengisi suasana di Taman Warisan Melayu (TWM) pada Sabtu ini apabila dua juara daripada pertandingan Anugerah – Sarah Aqilah dan Rudy Djoharnaen – bergabung dalam persembahan yang diberi nama Malam Muda Mudi.

Walaupun jarak kejuaraan mereka adalah sedekad – Sarah juara Anugerah 2009, sementara Rudy, Juara Anugerah 1999 – gabungan mereka dijangka meninggalkan kenangan manis kerana kemantapan vokal dan keunikan masing-masing. Kedua-duanya akan bertandak dengan irama twist dan a-go-go.

Sarah juga dijangka membawa lagu baru daripada album barunya.

Kedua-dua penyanyi ini akan membuat persembahan dengan iringan tradisional Sri Mahligai.

Mereka akan membawakan lagu-lagu Melayu daripada era ’60-an hingga ’80-an, antaranya seperti Ketipang Payung, Nona Singapura, Bila Larut Malam, Menimbang Rasa dan Getaran Jiwa.

Malam Muda Mudi merupakan kesinambungan kepada acara bulanan Ekspresi Pesta Seni anjuran Yayasan Warisan Melayu dan diselaraskan oleh Media Ads Pte Ltd sebagai sebahagian acara sambutan TWM yang kelima tahun.

Sebelum ini, acara-acara Ekspresi Pesta Seni seperti Malam Keroncong, Malam Dondang Sayang dan Irama Layar Perak telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penonton.

Acara pada Sabtu ini dianggap istimewa kerana selain hiburan di atas pentas, para penonton juga digalakkan berpakaian retro kasual dan berpeluang memenangi cenderahati istimewa.

Acara dimulakan pada 8 malam dan dibuka percuma kepada orang ramai.

Sarah Aqilah