Archive | Sarah Raisuddin RSS feed for this section

Zon Abie: Selebriti Kita 'Tak Berkira'

25 Apr

Oleh Abie Abdullah

Rap
SIAPA kata artis kita ‘demand’? Tak baik tuduh artis kita bukan-bukan soal bayaran. Bukan saja tidak letak harga, malah bagi khidmat percuma lagi. Semua demi peminat walaupun yang membayar untuk ‘bersama’ mereka itu bukan seringgit dua.

Ini berlaku di Minggu Setiausaha anjuran Hotel Istana dan Lord’s Tailor, Rabu lalu. Pelik bin hairan juga, sebab biasanya, keraian yang diadakan sepanjang April ini adalah bulan untuk artis menambah isi dalam akaun bank masing-masing selain bertemu peminat.

Malah bayaran untuk persembahan makan tengah hari atau malam, bukan sedikit yang dibayar kepada penghibur negara. Tidak cukup artis Malaysia, Kris Dayanti saban tahun tidak terkecuali daripada acara ini. Bukan seribu dua ringgit bayaran artis.

Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Ning Baizura, bukan kecil anak pengalaman mereka dalam dunia nyanyian, jadi bukan kecil juga jumlah yang harus dibayar buat mereka. Ini bukan soal ‘demand’ tak bertempat tetapi ‘demand’ kerana hak mereka.

Lain pula yang berlaku depan mata saya. Bukan nak mempertikaikan keluhuran hati lebih 20 lelaki yang didatangkan khas untuk menyedapkan mata setiausaha apabila dikatakan mereka berkhidmat percuma selama hampir sehari suntuk di majlis itu.

Situasi itu membuatkan hati saya terdetik, baik sungguh mereka! Tidak hanya mereka, penyanyi yang diundang seperti Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Azharina Azhar dan Shila ND Lala turut sama membuat ‘amal’.

Walaupun ada antara mereka yang terpaksa mengosongkan jadual daripada rutin kebiasaan di lokasi serta ada yang bergegas dari majlis lain atau ke majlis lain selepas itu, artis ini sangat komited. Mereka menyanyi percuma!

Semua artis wanita mengenakan gaun merah, sesuai dengan tema barangkali. Baju pula rekaan pereka muda, kecuali Jaclyn yang terpaksa membuka almari sendiri. Bagaimana dengan bayaran mekap? Opps, mungkin ada yang taja, baguslah!

Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus antara yang menjadi tatapan hadirin. Malah artis Indonesia turut dijemput seperti Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal, Ello, Rio Febrian, Delon dan Didi Riyadi.

Puaslah peminat yang rata-ratanya wanita mengabadikan gambar mereka bersama bintang kacak ini. Sebelum majlis bermula, mereka berlegar sekitar muka pintu ‘ballroom’ untuk memberi layanan kepada peminat. Kemudian dipanggil ke dewan, tamat sesi perkenalan di pentas, mereka perlu keluar.

 

 

Keluar ke mana? Sebenarnya kembali ke ruang legar depan pintu masuk dewan tadi. Dah mati kutu, tidak tahu apa nak buat sebab hadirin semuanya sedang menikmati celoteh Adflin Shauki dan AC Mizal selalu pengacara majlis serta ayam goreng garing keras yang menjadi antara menu hidangan Padang untuk makan tengah hari itu.

Sebelum saya dan rakan-rakan masuk ke dewan itu, mula terdengar daripada teman yang membawa artis kerana mereka tidak disediakan kerusi atau meja, jauh sekali untuk sama-sama makan. Detik hati, mungkin penganjur sudah sediakan tempat khas.

Bagaimanapun, pertanyaan hati itu semakin bertambah apabila beberapa artis jantan pemanis majlis mundar-mandir dalam dewan, bagaikan pelayan yang tidak membawa dulang. Senyum tetap di bibir, jauh sekali untuk dibuang daripada tatapan peminat.

Dalam gelak dek lawak si pengacara, Afdlin sempat menyuruh orang menghantar makanan ke belakang pentas sebab masing-masing kelaparan. Biasalah Afdlin, bijak sungguh gurauannya!

Kasihan melihat artis pemanis majlis itu yang ‘dikoreografikan’ seperti kehilangan arah, saya bersama teman seperti bendul mengajak mereka turut sama menjamu selera yang kebetulan ada tempat kosong di meja kami. Ada yang menolak, tidak kurang juga yang tidak mempedulikan protokol kerana perut makin rancak berkeroncong.

Sememangnya telahan saya meleset mengenai meja, kerusi, makanan dan minuman. Semua itu tidak disediakan kerana tugas mereka hanya memaniskan muka sepanjang majlis berkenaan. Bayaran? Seperti yang saya katakan tadi, mereka pemurah beramal.

Setahu saya, sesetengah majlis amal pun, artis dibayar secara token kalau tidak sepenuhnya. Namun, dalam kes tadi, mereka sudah berpuas hati dengan sepasang persalinan yang diberikan Lord’s Tailor.

Cuma malangnya, ada juga yang terkebil-kebil tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tidak tahu pun mereka perlu hadir untuk Minggu Setiausaha. Lawak sungguh artis kita, nampak sangat mudah dipergunakan mereka yang sememangnya kaki pengguna!

Bukan saja yang datang berseorangan, malah artis yang memasang pengurus juga ‘buta huruf’ pasal majlis ini sehingga mereka tersentak apabila melihat gambar dan nama mereka di dalam akhbar dan kain rentang di hotel berkenaan.

Syabas buat artis ini kerana sanggup beramal sehingga begitu rupa! Cuma kami di Harian Metro tidak sanggup berbuat begitu kerana memikirkan keringat dan periuk nasi masing-masing. Walaupun akhbar sering memberi publisiti untuk golongan ini, bayaran tetap bayaran!

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

22 Peserta Ke Los Angeles

10 Apr


DARIPADA 40 peserta akhir World Championship of Performing Arts (WCPA), hanya 22 akan terpilih ke pertandingan di Los Angeles pada Julai ini.

Setelah sengit bersaing di peringkat awal dan separuh akhir, seramai 40 peserta berjaya ke peringkat akhir World Championship of Performing Arts (WCPA) dan kesemua mereka akan bersaing untuk pemilihan penyertaan ke Los Angeles di Istana Budaya pada 3 Mei ini.

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) selaku penganjur dalam satu kenyataan kepada Kosmo! berkata, daripada jumlah itu, pihaknya akan memilih 22 orang yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk membawa harapan negara ke Los Angeles.

Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan KPKKW, Datuk Mohamad Mohd. Daud berkata, walaupun mereka menang di peringkat akhir tetapi jika kementerian berpendapat, pencapaian mereka tidak mencapai taraf yang dikehendaki, peserta tersebut tidak akan disenaraikan untuk ke Los Angeles.

“Kami hanya memilih separuh yang terbaik untuk membawa harapan negara ke Los Angeles,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

KPKKW khususnya Ketua Setiausaha Datuk Dr. Muzahet Masruri memberi perhatian serius terhadap program itu bagi memastikan ia berjalan lancar. Kesemua peserta yang akan mewakili Malaysia di WCPA dari 11 hingga 19 Julai di Los Angeles itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kementerian.

Lima bidang yang dipertandingkan adalah nyanyian, tarian, model, lakonan serta muzik yang akan diadili oleh beberapa artis berpengalaman dan cemerlang termasuk Deja Moss dan Norryn Aziz. Pertandingan akhir pada 3 Mei ini akan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Mereka yang layak ke peringkat akhir bagi nyanyian (vokal) ialah Raja Rafah Afzal, 23, Halim Ikram Zakaria, 24, Siti Sarah Raisuddin, 25, Sean Chong Tai Cern, 18, Nor Hasmidar Ahmad, 23, Mohd Emeer Iskandar, 14, Yusrizan Usop, 27, Hara Hanara Harun, 16, Suib Zainin, 29, dan Puteri Norizan Ibno Riza, 18.

Bagi tarian pula, mereka yang layak ialah Azharudin Ramli, Saiful Hirman, Nor Diana Saiful Herman, Sharifah Nabilah Syed Abdul Aziz, Nor Fariny, Noor Diana, Mohd Faizule, Ahmad Rafiandie, Leslie anak Eli dan Zamira Azemi.

Sementara itu, peserta bagi lakonan yang layak ke peringkat akhir ialah Nurul Ain Zainudin, Sharifah Aqilah Syed Ahmad Bakhir, Ras Ramona Qadira dan Putri Mardiana.

Manakala bagi model pula yang layak ialah Mohd Rassie Karama, Zulyasriani Zaulyaddin, Khairul Nizam Nazri, Dilla Sahirah Ab Latiff, Ramsheh Singh, Siti Noraizana Iskandar dan Vincent Tan Siong Ping.

Untuk alat muzik, mereka yang layak ialah Ashley Mahhweeling, Brien Chia Dzi Hao, Jerry anak Kami, Asiani Rajak, Johari Morsidhi, Mohd Fadzli Abdullah dan Wilwerd Jidi anak Kami.

Kesemua peserta yang dipilih akan diberi latihan dan jadual promosi turut dilaksanakan. Latihan rapi secara berkala akan diadakan dari 21 hingga 23 Mei ini.

Selepas latihan, empat persembahan akan diadakan sebelum mereka berlepas ke Hollywood. Persembahan pertama akan diadakan pada 24 Mei, kedua (6 Jun) dan ketiga (20 Jun).

Untuk tahun ini, KPKKW bekerjasama dengan RTM manakala syarikat All Stars Performing Arts (M) Sdn. Bhd. pula ditugaskan mencari peserta Malaysia. Syarikat itu dilantik sebagai agen eksklusif MCPA di Malaysia.

Mohamad berkata, Jemaah Menteri pada 2008 bersetuju supaya penyertaan Malaysia dalam WCPA dijadikan acara tahunan dan KPKKW menyediakan peruntukan khusus membiayai peserta Malaysia ke sana.

Langkah itu diambil selaras dengan visi KPKKW untuk mengkomersialkan seni budaya ke persada antarabangsa.

“Pemenang di WCPA diharap akan mendapat tawaran dari syarikat muzik dan produksi antarabangsa kerana ada wakil syarikat tersebut mengadili pertandingan ini,” katanya.

Program itu juga diharap menjadi batu loncatan kepada usaha kementerian untuk mengkomersialkan seni budaya Malaysia ke luar negara.

Pada tahun lalu, pasukan Malaysia memperoleh kejayaan cemerlang dengan membawa pulang 27 pingat emas, dua gangsa dan satu perak di WCPA Hollywood. Pada tahun ini, sebanyak 61 negara mengambil bahagian.

Kosmo

Layan Artis Bagai Anak Raja

3 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
KARNIVAL Jomheboh bukan hanya padat dengan pelbagai pengisian informasi dan hiburan. Karnival terbesar sepanjang tahun anjuran TV3 tampil dengan wadah baru yang lebih menarik dan lebih mesra pengunjung.

Sempena sambutan jubli perak TV3, penganjur mengatur program Kembara TV3 yang berkunjung ke pekan dan kampung untuk beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk sebelum ke lokasi Karnival Jomheboh 2009.

Sebagai pembuka tirai, Kembara TV3 berkunjung ke empat kampung sebelum ke lokasi pertama Jomheboh di MITC Melaka, Sabtu lalu. Antara lokasi yang dikunjungi ialah Kampung Rawa Tengah di Lenggeng, Seremban, Kampung Stay, Kampung Padang Lebar di Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Kampung Pachitan Chuah di Port Dickson dan Kampung Kuala Linggi di Alor Gajah, Melaka.

Dalam usaha mengeratkan silaturahim di samping membawa TV3 dekat dengan penonton, Kembara TV3 meraikan ulang tahun bersama penduduk setempat dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti pertandingan, permainan, persembahan dan juga kuiz.

Barisan personaliti TV3 yang turut serta dalam program ini antaranya Maria Tunku Sabri, Tabah Sazwan, Akbar Sahri, Siti Hasffiza dan Sharifah Salwa. Selain pelakon terkenal, Nabila Huda, Hafiz Nafiah, Danny X-Factor, Eira Syazira, Zarina AF dan Zul Yahya.

Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Ku Milikmu, Eira Syazira melalui pengalaman menarik sepanjang mengikuti program itu. Biarpun pertama kali menyertainya, dia cukup kagum dengan sambutan yang diberikan penduduk kampung.

“Saya terkejut kerana menerima sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat kampung. Saya juga gembira kerana dapat bergaul dan beramah mesra bersama selebriti di samping masyarakat tempatan yang pelbagai lapisan umur. Melalui program seperti ini jurang antara selebriti dan peminat juga lebih dekat.

“Menariknya kami menyertai pelbagai aktiviti yang jarang dilakukan. Walaupun kepenatan namun saya seronok dapat menjadi sebahagian daripada peserta program ini,” katanya.

Bagi rakan seangkatan, Zul Yahya turut berseronok ketika menyertai program riadah yang dianjurkan TV3 itu.

“Saya seronok dapat bersiar-siar ke tempat orang. Kunjungan kami juga dilayan dengan baik sebagai tetamu seperti anak raja. Perasaan penat hilang selepas menyertai aktiviti yang diadakan selain melihat gelagat penduduk kampung yang ternyata memberi kerjasama yang cukup baik.

“Di samping menyertai aktiviti saya juga berpeluang mengenali adat resam di negeri orang. Sebagai contoh ketika berkunjung ke Negeri Sembilan banyak perkara baru seperti pertuturan dan pemakanan yang saya pelajari,” kata Zul yang popular menerusi drama bersiri Pepaya di TV3.

Menerusi program itu, TV3 turut menjalankan aktiviti bergotong-royong dan menyampaikan sumbangan wang tunai serta keperluan asas untuk kegunaan penduduk setempat. Kembara berakhir setibanya di lokasi Jomheboh di Melaka Sabtu lalu bersama-sama dengan pengunjung di sana.

Turut serta pada program itu Timbalan Pentadbir Tanah Seremban, Negeri Sembilan, Hamdan Yaakob yang turut bersama penduduk Kampung Rawa Tengah di Lenggeng. Sementara ketika program berlangsung di Batu Kikir, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail.

Turut serta pada program itu Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia Merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang memeriahkan acara di Alor Gajah.

Kemuncak Karnival Jomheboh 2009 adalah majlis pelancaran diikuti dengan Konsert Jomheboh yang membariskan artis terkemuka tanah air seperti Dina, Sofaz, Sarah Raisuddin, Nubhan, Zainal Abidin, Saleem dan One Nation Emcees yang disiarkan secara langsung di TV3 bermula jam 9 malam kelmarin.

Majlis pelancaran karnival berkenaan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin serta Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Yusof Jantan.

Harian Metro

Kelebihan Hairi Suara Nada Tinggi

20 Feb

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
PENYERTAAN menerusi My Starz LG musim kedua bagi Mohd Hairi Kenneith atau Hairi, 19, adalah untuk mempertaruhkan bakat seni yang ada.

Malah, dia sendiri tidak menyangka minat pada mulanya bermain alat muzik memberi peluang kepadanya menjadi penyanyi.

“Sebelum ini saya hanya meminati muzik dengan mempelajari cara bermain gitar di samping mempunyai band sendiri D’Fingers yang mengadakan persembahan pada majlis tertentu.

“Saya bermula sebagai pemain gitar sejak tujuh tahun lalu. Kemudian beralih kepada nyanyian selepas menggantikan tempat yang ditinggalkan vokalis asal band.

“Saya akui tidak mempunyai bakat semula jadi dalam nyanyian berbanding bermain dram dan gitar. Saya sendiri tidak menyangka dapat mara sehingga ke pusingan akhir ini. “Bagaimanapun, melalui penyertaan menerusi pertandingan ini banyak ilmu dan teknik vokal yang saya pelajari,” katanya.

Mengulas peluang untuk muncul juara di peringkat akhir Ahad ini, Hairi yang berasal dari Sabah berkata saingan daripada peserta lain juga sengit.

Malah diperlu berusaha dengan lebih gigih.

“Kelebihan saya pada suara ialah boleh menyanyikan lagu dengan nada tinggi. Bagaimanapun, saya masih boleh menyanyikan lagu bernada rendah, tetapi masih memerlukan latihan kerap.

“Bagi saya program realiti adalah platform untuk meningkatkan bakat. Walaupun program ini tidak begitu popular berbanding program realiti lain, namun ia adalah pentas terbaik mencipta nama dalam bidang seni,” katanya.

Untuk persembahan akhir Hairi menyampaikan lagu medley Lagu Untukmu/ Kau Yang Bernama Seri selain memilih duet bersama Fiq menerusi lagu Debunga Cinta/ Opera Hidup.

Rakan seangkatannya, Wan Nashrinie Zafri atau Nashrin, 20, yang buat pertama kali menyertai pertandingan program realiti menganggap bidang nyanyian sebagai hobi. Malah, keinginan untuk terbabit dalam program realiti ternyata mendatangkan manfaat positif kepadanya.

“Sebelum ini saya memang teringin untuk menyertai program realiti namun tidak berkesempatan melakukannya. Saya sendiri tidak menyangka dapat bertahan sehingga ke pusingan akhir. Sejak menuntut di tahun enam lagi saya sudah menyanyi bersama kumpulan nasyid, Al Hawari di sekolah.

“Begitupun, kami hanya menjayakan jemputan persembahan di sekolah. Minat dalam bidang nyanyian diteruskan sehingga ke hari ini walaupun sebagai hobi,” katanya.

Dia berasa bertuah kerana mendapat sokongan majikan yang memberi kelonggaran bercuti tanpa gaji semata-mata untuk menyertai pertandingan itu.

Begitupun, Nashrin dikatakan kerap berdepan perasaan gementar ketika menjayakan persembahan konsert.

“Memang saya akui berdepan masalah gemuruh dan takut apabila berada di pentas. Namun saya cuba mengatasinya dengan dorongan, nasihat serta bimbingan yang diberikan tenaga pengajaran menerusi program ini,” kata Nashrin yang akan berduet dengan Misha Omar menerusi lagu Perlu Kamu serta persembahan medley dengan lagu Kaulah Segalanya/ Si Gadis Ayu.

Pemuda dari Pulau Pinang ini sememangnya mengimpikan untuk berduet dengan penyanyi yang popular menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta.

Ketika pertemuan ringkas mereka, Misha menasihatkannya supaya sentiasa bekerja keras selain perlu lebih penghayatan ketika menyanyi.

Bagi Noriezuana Syed Shafudin atau Wana yang mula serius dalam bidang nyanyian ketika di tingkatan enam penyertaan ketika menemani rakan membawanya ke pentas final.

Bakat nyanyian yang dianugerahkan secara semula jadi memberi ruang untuknya terbabit dalam bidang seni.

“Mungkin nasib berpihak kepada saya apabila penyertaan pada sesi uji bakat program realiti iaitu Akademi Fantasia musim keenam (Top 25) dan My Starz LG musim kedua tanpa persediaan yang rapi mendapat pencapaian yang di luar jangkaan.

Ketika menyertai sesi uji bakat My Starz LG yang berlangsung di Johor Bharu pada asalnya saya hanya menemani rakan.

“Saya hanya menyanyi separuh daripada lagu Jacyln Victor iaitu Satu Harapan. Saya langsung tidak menyangka cubaan itu membuahkan hasil sehingga berada di tahap ini. “Saya sendiri mengakui masih terkejut untuk beraksi di final. Begitupun saya menganggap ia sebagai rezeki.

“Saya memang meminati nyanyian sejak kecil lagi. Selepas tamat pelajar saya menumpukan perhatian kepada bidang seni dan sering memenuhi undangan menjayakan persembahan. Selain aktif dalam muzikal teater, Tun Teja dan Hijrah. Pada masa sama saya turut terbabit dengan kumpulan Kebudayaan dan Yayasan Negeri Johor,” katanya.

Gadis genit yang mengagumi aksi penyanyi, Anita Sarawak, Ziana Zain dan penghibur antarabangsa, J Lo lebih selesa menyampaikan lagu dengan genre pop rock dan balada berharap dapat menampilkan persembahan terbaik di pentas akhir nanti.

Wana menyampaikan lagu medley Ku Pendam Sebuah Duka/ Ku Telah Jatuh Cinta serta berduet bersama Raja Pop Tanah Air, Jamal Abdillah menerusi lagu Kehebatan Cinta.

Sementara Cassie yang berpengalaman bertugas di awan biru bersama syarikat penerbangan AirAsia berasa bangga kerana menjadi peserta tunggal daripada Sarawak malah berharap dapat mencipta kejayaan pada pertandingan itu.

“Undi SMS daripada penonton walaupun 30 peratus dapat mempengaruhi kedudukan peserta. Saya tidak mahu terlalu yakin mengenai undian. Saya tetap perlu bekerja keras dan banyak berusaha untuk mencapai keputusan yang baik pada pertandingan ini.

“Saya melihat peluang pada penyertaan menerusi program ini untuk membuka lembaran baru dalam bidang seni. Sebelum ini, saya hanya menjayakan beberapa persembahan kecil. Begitupun, dengan penyertaan ini setidak-tidaknya ia memberi platform terbaik untuk pendatang baru seperti saya mengukir nama dalam bidang seni,” katanya.

Cassie yang mula menyanyi sejak berusia 13 tahun menyampaikan lagu medley, Langit Sejujur/ Ku Mahu untuk persembahan solo manakala berduet dengan Sarah Raisuddin menerusi lagu Inggeris, Mercy.

Harian Metro

4 Melangkah Ke Akhir

17 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
HANYA empat peserta layak ke peringkat akhir program realiti, My Starz LG musim kedua yang akan berlangsung pada 22 Februari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Biarpun ada penonton yang berharap lima peserta yang bersaing pada minggu ke-12 pada malam kelmarin melayakkan diri ke akhir, penyingkiran seorang lagi peserta tetap dilakukan.

Antara Mohd Hairi Kenneith (Hairi) dan Mohd Azri Abdullah, keputusan bagaimanapun memihak pada Hairi untuk mengikut jejak langkah tiga rakannya iaitu Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Noriezuana Syed Shafudin (Wana) dan Cassandra Daniel Manja (Cassie) ke akhir.

Berbeza dengan persembahan minggu sebelumnya, kali ini lima peserta diminta membuat persembahan dengan bertemakan lagu penghargaan pada bintang legenda seperti Allahyarham Puan Sri Saloma, Sudirman Arshad, Rosli Khamis (Loloq), Abdul Samad Mian (Lefthanded) dan mendiang Loganathan Arumugam (Alleycats).

Sekadar persembahan nyanyian, tiada juri profesional memberi komen kali ini. Nashrin membuka persembahan dengan lagu Andalusia diikuti Wana (Terasing), Azri (Bila Kau Bercinta Lagi), Cassie (Gelora) dan Hairi (Seruan). Di akhir persembahan, pengacara Nazruddin Habibur Rahman dan Puteri Andreanna Syigim mengumumkan Azri tersingkir daripada program berkenaan.

Kata Azri, 21, walaupun kecewa tersingkir tetapi semangat untuk mencapai cita-cita sebagai penyanyi tetap diteruskan. Dia yang meminati genre muzik pop berharap perjalanan karier seninya selepas ini masih cerah dan mendapat sokongan peminat.

“Mungkin selepas ini saya memasarkan single sendiri berjudul Bagai Puteri. Sebelum ini, saya bersama peserta lain terbabit mencipta lagu sendiri dan ini peluang saya menempatkan diri sebagai penyanyi.

“Sepanjang dalam program ini, banyak pengalaman ditimba antaranya cara interaksi bersama penonton. Saya fikir saya sudah memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu,” katanya.

Juri tetap, Hattan yang turut hadir pada malam itu turut bersetuju dengan keputusan empat peserta yang layak ke akhir. Meskipun peserta ini masih mempunyai kelemahan tetapi mereka mempunyai kelainan dalam persembahan masing-masing.

“Apa yang saya lihat, peserta ini sudah bersedia untuk ke akhir tetapi ilmu dalam nyanyian perlu ditambah. Mereka nampak berani untuk bawa pembaharuan dalam persembahan. Juri sebenarnya tidak kisah jika cara nyanyian mereka berbeza kerana kami mahukan penyampaian lagu yang lain daripada penyanyi asal.

“Setiap penyanyi harus fokus pada satu genre saja dan ia adalah adil bila juri menilai sebanyak 70 peratus. Program ini sebagai platform tetapi ia bergantung pada peserta itu sendiri untuk berusaha hingga berjaya atau tidak. Mereka harus ingat, popular tidak semestinya berjaya.

“Sebolehnya mereka mempertingkatkan kemahiran diri dengan mencipta lagu sendiri dan jangan malu bertanya penyanyi lain yang lebih berpengalaman. Kita kekurangan pelapis terutama penyanyi solo lelaki. Saya mahu lihat artis kita cipta kejayaan lebih besar selepas ini,” katanya.

Penerbit Eksekutif, Mohd Suffian Isa berkata persiapan konsert akhir rancak berjalan dan peserta diberi masa seminggu untuk membuat latihan. Menariknya, peserta kali ini berpeluang memilih artis kegemaran mereka untuk menyampaikan satu lagu duet. Setiap peserta dikehendaki menyampaikan dua lagu termasuk satu lagu solo.

“Kita harap empat peserta ini dapat memberikan persembahan terbaik pada malam itu nanti. Pemilihan artis dan lagu dibuat atas perbincangan bersama penasihat vokal, Lah Ahmad dan koreografer, Raimee Salleh. Tiga juri terbabit adalah Hattan, Liza Hanim dan Ajai.

“Memberi tarikan, persembahan peserta ini turut dimeriahkan kemunculan penyanyi jemputan iaitu Mawi, Faizal Tahir dan Rossa dari Indonesia,” katanya.

Bagi Wana, dia memilih Jamal Abdillah sebagai pasangan duet pada persembahan akhir nanti. Katanya, Jamal mempunyai kelebihan dari aspek penghayatan yang baik dan sering menarik perhatian ramai penonton.

“Dia mempunyai aura kuat pada penonton. Mungkin dia boleh membantu saya dalam persembahan akhir nanti. Saya juga perlu perbaiki kelemahan diri seperti pitching (nada suara) dan gemuruh atas pentas,” katanya.

Nashrin pula memilih gandingan bersama Misha Omar atas faktor minat pada penyanyi itu. Berazam mahu memberikan persembahan terbaik bersama gimik, dia juga mahu memperbaiki kelemahan gemuruh ketika berhadapan penonton. Cassie yang memilih Sarah Raisuddin untuk lagu duet turut mahu memperbaiki kelemahan pitching dan penghayatan pada lagu. Menganggap Nashrin sebagai saingan paling dekat, dia berharap undian juri dan penonton seimbang dalam memilih juara.

Menjadi peserta terakhir dipilih ke akhir, Hairi tidak menyangka dan terkejut selepas berjaya mengatasi Azri. Memilih Fiq untuk lagu duet, dia yakin gandingan mereka dapat memberikan persembahan yang hebat. Dia yang meminati genre rock berharap dapat mengatasi masalah pitching dalam diri.

“Sejak mula, saya katakan pada diri, saya tidak akan terkeluar. Jika terkeluar sekalipun, saya tidak mahu berasa kecewa. Dalam membuat persembahan terbaik nanti, saya juga berharap juri dan penonton dapat memberikan undian yang seimbang,” katanya.

Harian Metro

Keluhan Hati Erma Fatima

5 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ERMA sanggup pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan walaupun perang sedang meletus.

PADA wajahnya jelas ada riak kekecewaan. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pengiat seni tanah air yang dikenali dengan nama Erma Fatima sedikit terkilan dengan sikap karyawan seni tanah air.

Dia sebenarnya kecewa dengan sambutan golongan artis terhadap upacara solat hajat yang diadakan sempena Doa Buatmu Palestin baru-baru ini.

Upacara tersebut sepatutnya disertai ramai penggiat seni di Malaysia yang bukan sedikit jumlahnya, namun yang hadir hanya kira-kira 100 orang termasuk tetamu kenamaan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal.

“Saya amat gembira dengan perjalanan malam Doa Buatmu Palestin selama dua hari berturut-turut, cuma saya kurang berpuas hati dengan upacara solat hajat yang dibuat di lobi Istana Budaya.

“Sepatutnya solat hajat itu disertai oleh lebih ramai karyawan seni. Perkara ini amat menyedihkan saya. Yang saya lihat turut serta dalam solat hajat itu ialah Linda Onn dan Rabbani.

“Entahlah, saya tidak tahu ke mana perginya artis-artis lain termasuk generasi muda,” luah Erma hampa.


RABBANI juga tidak ketinggalan memberi sokongan seratus peratus untuk majlis amal ini.

Melupakan seketika kedukaan yang dialami, Erma menjelaskan, dia berterima kasih kepada golongan selebriti yang turut meluangkan waktu menghadiri acara Doa Buatmu Palestin.

“Bayangkan, artis-artis yang hadir membuat persembahan tidak diberikan sebarang bayaran apatah lagi wang sagu hati, tetapi mereka tetap datang untuk membabitkan diri dalam majlis amal.

“Tiada sebarang keluhan kerana mereka beranggapan soal bayaran tidak menjadi keutamaan,” tambah Erma yang bertindak selaku Pengerusi Doa Buatmu Palestin.

Diadakan selama dua hari, bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, setiap waktu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, berzikir, selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Sebanyak 100 buah gerai dibuka di pekarangan Laman Santai yang juga disertai oleh artis-artis seperti Awal Ashaari, Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Julia Ziegler, Enot, Rubiah Suparman, Ayati Tasrip dan lain-lain.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Nur Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Umie Aida, Zahida Rafik, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Aqasha, Salwa Abdul Rahman, Sarah Raisuddin, Ezlynn, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.


TIGA pendeklamator puisi kebangsaan, (dari kiri), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan ASP Rosebaini Kassim mendeklamasikan sajak mereka sambil diiringi petikan gitar, Asman Hashimie Abdullah.

Pereka-pereka fesyen tempatan seperti Albert King, Jovian Mandagie, Micheal Ong, Calvin Thoo, Radzuan Radziwill dan lain-lain turut hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

“Semua hasil keuntungan barang yang dijual di gerai artis-artis dan sumbangan pengunjung dimasukkan terus ke dalam dana Tabung Kutipan Palestin.

“Pada hari pertama acara ini diadakan, saya telah mengutip derma sebanyak RM50,000. Dicampurkan dengan malam seterusnya, sumbangan keseluruhan yang diperoleh dianggarkan hampir mencecah RM100,000.

“Tiada yang lebih membahagiakan saya dengan jumlah wang yang diperoleh untuk tempoh dua hari.

“Saya bersyukur sangat sebab rancangan bagi menjayakan Doa Buatmu Palestin bersama-sama artis lain, berjaya menampakkan hasil yang membanggakan,” tutur Erma teruja.

Buktikan artis turut prihatin

Sebenarnya Erma terpanggil untuk turut menjadi sukarelawan membantu rakyat Palestin yang dizalimi Zionis ekoran gurauan seorang teman.

Teman yang dimaksudkannya ialah Datuk Shazally Ramli yang menegaskan kepada Erma bahawa golongan artis tidak memiliki kekuatan untuk menjadi sukarelawan membantu penduduk Palestin.

Tidak menganggap gurauan itu sekadar satu usikan nakal, sebaliknya ia jadi pembakar semangat buat Erma untuk direalisasikan kepada khalayak bahawa selebriti juga mampu mempamerkan sumbangan jika diperlukan.


JAMAL mendendangkan lagu Seroja dengan penuh emosi.

Menurut Erma, pada awalnya dia terkejut dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu kononnya golongan artis sekadar melihat begitu sahaja konflik di Gaza tanpa dapat memberikan apa-apa sumbangan termasuk menjadi sukarelawan Malaysia ke Semenanjung Gaza.

“Saya sedar bukan senang untuk jadi seorang sukarelawan. Apabila sampai sahaja di negara itu, sudah pasti kita sendiri akan berasa terkejut melihat situasi sebenar.

“Berhadapan dengan realiti melihat insan termasuk kanak-kanak yang terbunuh dan cedera parah, kita tidak mampu untuk berdepan dengan situasi genting itu.

“Saya percaya tidak semua selebriti mementingkan diri, sebaliknya saya memiliki beberapa sahabat yang teruja untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.

“Saya tidak terguris dengan kata-kata Shazally, sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran terbesar untuk saya membuktikan artis juga boleh menjadi sukarelawan,” kata Erma semasa ditemui pada majlis itu.

Bukan calang-calang sumbangan, sebaliknya ia memerlukan sepenuh kekuatan mental dan fizikal apatah lagi mendalami perkara baru yang melibatkan soal korban nyawa dan insan mengalami cedera parah.

Mengimbas detik dia diusik oleh Shazally, Erma berkata, tokoh korporat itu sengaja mahu menyakat dirinya setelah dia menguar-uarkan tentang karnival kebajikan yang ingin dilaksanakan.

Barangkali naluri Erma yang penuh sifat kemanusiaan dan kesejagatan, terus tersentuh dengan usikan daripada rakan.

Lantaran itu, Erma mengambil keputusan untuk menubuhkan ‘tentera’ khas yang merupakan sukarelawan artis.

“Untuk permulaan, saya akan melatih jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan.

“Mereka yang bakal dilatih ini tidak hanya terhad membantu mangsa serangan Israel di Gaza, sebaliknya berperanan untuk memberi pertolongan jika ada bencana alam di negara sendiri.

“Saya akan cuba mendapatkan khidmat doktor pakar untuk melatih pasukan sukarelawan saya tentang langkah-langkah yang betul bagi memberi pertolongan cemas dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kekejaman di Gaza.

“Mudahlah sedikit kalau sudah ada sukarelawan sendiri yang dapat hulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan keadaan,” tegas Erma.

Ditanya masa yang sesuai untuk pasukan sukarelawan artis ditubuhkan, lekas sahaja jawab Erma: “Saya bakal melaksanakan perkara ini dalam tempoh terdekat.

“Saya mahu buang persepsi masyarakat tentang artis yang dikatakan hanya tahu jadi ‘penyeri’ jika menghadiri upacara berkaitan kebajikan ataupun sukarelawan.”

Bukan gila publisiti

Bukan hanya mencari sukarelawan untuk dilatih, sebaliknya Erma sendiri menjadi orang pertama yang menawarkan diri bergelar sukarelawan.

“Saya sanggup pergi ke sana menghulur bantuan walaupun waktu itu wilayah itu sedang berperang,” jelas Erma.

Mungkin ada yang berpendapat Erma hanya tahu mencanang dan beranggapan kata-katanya tidak lebih sebagai omongan kosong.


LAGAK Erra sewaktu mahu melelong koleksi baju miliknya.

Erma bagaimanapun pasrah dan akur dengan penilaian negatif manusia lain yang suka merendah-rendahkan dirinya.

“Jika masih ada sesetengah pihak yang mendakwa saya suka bercakap lebih, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan kepada mereka.

“Cuba bagi bukti yang kukuh. Apa yang pernah saya cakap sebelum ini yang tidak direalisasikan?

“Saya berupaya menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang punya fungsi tersendiri dalam industri seni.

“Banyak perkara sudah saya lakukan dalam hidup ini. Lantas, tiada istilah saya hanya pandai cakap tanpa mengaplikasikan setiap pertuturan saya.

“Saya tidak gila publisiti murahan atau ingin dikenali sebagai individu yang suka cakap lebih, sebaliknya ini adalah tanggungjawab saya untuk mencari orang yang boleh menjadi sukarelawan.

“Kalau saya hendak publisiti, saya boleh laksanakan dalam pengarahan saya. Jadi tidak timbul langsung saya hendak publisiti,” luah Erma dalam lontaran suara yang cukup tenang.

Erma mengakui, kalau dalam tahun 2009 masih belum terbentuknya kumpulan sukarelawan, maka wartawan berhak melabelkan dia sebagai individu yang suka cakap berlebihan.

Kosmo

Gaun Anita Dibida Paling Tinggi

2 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

PENGANJURAN karnival jualan amal dan lelong, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) Untuk Gaza yang berlangsung di Bazz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya, kelmarin, berjaya menghimpunkan lebih 100 selebriti popular tanah air dengan satu misi iaitu untuk kemanusiaan sejagat.

Objektif program ini juga untuk mengumpul dana bagi disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang ditubuhkan sejak 6 Januari lalu.

Selain sanggup turun padang seawal jam 10 pagi, rata-rata selebriti popular itu bermurah hati untuk melelong sebahagian barangan koleksi peribadi kesayangan mereka semata-mata menjayakan misi yang cukup mulia ini.

Antara artis yang sanggup membuka gerai sehari suntuk seawal jam 10 pagi lagi ialah superstar terkenal, Anita Sarawak. Anita bukan saja ditemani suaminya, Mahathir Abdullah, malah dibantu pemandu peribadi yang hadir bersama anak perempuannya.

Ketika ditemui, Anita berkata, dia memang tidak asing dengan program amal seperti itu sejak bergelar anak seni.

“Saya dan suami memang teruja untuk jayakan karnival amal ini sejak awal lagi. Inilah masanya artis dan peminat bersatu untuk menjayakan program amal membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.

“Mungkin baju dan kasut ini koleksi berharga yang disimpan sejak dulu tetapi bagi saya ia sekadar barangan saja. Apa salahnya saya menjual sebahagian koleksi ini untuk membantu golongan yang lebih memerlukan seperti rakyat Palestin?” katanya.

Kata Anita lagi, dia sangat gembira kerana sebahagian besar baju dan kasut yang juga koleksi peribadinya habis dijual pada karnival amal itu.

“Selain menjual barangan, saya sempat bergambar dengan peminat sekali gus ia mendekatkan diri dengan mereka yang sanggup datang dari jauh.

“Pada masa sama, saya cukup bangga melihat pembabitan ramai artis muda yang sama-sama prihatin dengan nasib rakyat Palestin itu. Saya berharap karnival amal seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya. Pada petang itu, Anita berjaya mengumpul jumlah keseluruhan RM8,000. Pada acara lelongan, sepasang gaun labuh miliknya dibida dengan harga paling tinggi dengan harga RM4,000 oleh tukang masak terkenal Chef Wan dan sepasang baju berharga RM800 pula dibeli pengacara Fara Fauzana.

Apapun, kehadiran penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi paling mencuri tumpuan pengunjung di karnival jualan amal itu.

Siti tiba pada acara amal itu kira-kira jam 11 pagi turut membantu artis popular lain menjual kek sumbangan beberapa hotel terkemuka di ibu kota.

Pada lelongan amal pula, Siti berjaya menjual dua jaket koleksi peribadinya iaitu berwarna putih dengan harga RM500 dan jaket jeansnya pula dengan harga RM400 kepada peminat dalam tempoh setengah jam saja.

Ketika ditemui Siti berkata, barangan yang dijual itu adalah antara koleksi baju kesayangannya sepanjang bergelar anak seni.

“Sibuk macam mana sekalipun, artis perlu memainkan peranan masing-masing untuk terbabit dalam program amal seperti ini.

“Selain karnival ini, saya juga terbabit dengan konsert amal untuk membantu penduduk Palestin di Istana Budaya pada malam Sabtu lalu dan jualan lelong amal anjuran pelakon dan pengarah berkaliber, Erma Fatima.

“Sebenarnya, saya bukan terbabit dengan program amal untuk membantu penduduk Palestin saja tetapi program amal lain anjuran pelbagai pihak di negara ini,” katanya.

Pasangan pengantin baru popular, Mawi dan Nora’asikin Rahmat atau Ekin pula tiba pada jam 4 petang.

Mawi dan Ekin yang berpakaian warna sedondon menjual aiskrim Wall’s Fantasia yang laris dibeli peminat yang berpusu-pusu di gerai bintang popular itu termasuk mengambil peluang bergambar dengannya bersama isteri.

Ia penampilan pertama Mawi dan Ekin di khalayak ramai selepas kembali dari percutian bulan madu mereka di Korea, baru-baru ini.

Selain menjual aiskrim, Mawi juga menjual beberapa bingkisan album baru yang dikepilkan bersama kad kahwinnya dengan harga RM26 kepada peminat.

Pada acara lelongan amal pula, Mawi menjual kasutnya jenama Salvatore Ferragamo yang dibeli ketika dia menjayakan program Langkah Mawi di London dengan harga RM280 dan sepasang jeans Guess yang dibeli di Los Angeles, Amerika Syarikat dengan harga RM250.

Kata Mawi, selepas karnival itu, dia terbabit dengan konsert amal kemanusian pada sebelah malam di Istana Budaya pula.

“Agenda seni saya memang padat dan pada masa sama, saya dan isteri baru kembali daripada berbulan madu. Namun, demi kemanusiaan sejagat, kami tetap meluangkan masa berganding bahu bersama artis lain menjayakan program ini.

“Pada masa sama, saya sangat berharap sokongan peminat berterusan sekalipun sudah berkahwin,” katanya.

Pengacara nombor satu tanah air, Aznil Nawawi berjaya menjual jaket yang juga koleksi peribadi yang digayakan ketika Anugerah Skrin 2007 dengan harga RM320.

“Ia antara jaket kesayangan yang saya simpan sebagai kenangan. Maklumlah, saya menampal sendiri batu permata yang kecil di bahagian atas baju untuk disesuaikan dengan tema pada malam itu.

“Jaket itu cukup bermakna kerana saya bukan sekadar menjadi penyampai, malah membawa pulang trofi pada malam acara berprestij itu. Justeru, jaket itu mempunyai nilai sentimental buat saya. Namun, untuk membantu menjayakan karnival amal ini, saya sanggup menjualnya kepada peminat,” katanya.

Selain acara karnival ini, Aznil turut terbabit dalam acara Malam Puisi Palestin yang dianjurkan sebelum ini.

Kata Aznil lagi, sejak kembali dari mengerjakan iabadat haji jiwanya lebih dekat dengan program kebajikan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Mungkin saya wajah eksklusif Astro selama 10 tahun, tapi saya harap tiada sempadan untuk buat program amal anjuran stesen TV lain selepas ini,” katanya.

Pelakon Siti Shahrizah atau Eja berkata, dia juga tidak ingin melepaskan peluang menjayakan acara amal itu.

“Saya tidak berfikir dua kali apabila dihubungi penganjur untuk menyertai acara ini. Bagi saya inilah masa yang tepat untuk artis turun padang memberi sokongan pada acara amal seperti ini.

“Separuh hari menjual kek itu bagaikan tidak terasa apabila melihat ia habis dibeli pengunjung. Jika nak diikutkan harga sepotong kek RM10 ini mahal tetapi ramai yang membelinya tanpa berfikir panjang semata-mata untuk menyumbang kepada penduduk Gaza,” katanya.

Sebelum ini Eja pernah menjayakan program amal anjuran Mount Kinabalu Charity Climb yang meraih kutipan RM1 juta tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, berkata, acara karnival yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu ternyata berjaya mencapai objektif seperti diharapkan.

“Selain menarik lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, karnival jualan amal ini juga berjaya mengumpul lebih RM64,000 sehingga jam 7 malam,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) merangkap Penaung ABPBH2008, Datuk Manja Ismail; Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mustapa Omar, Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi ABPBH2008, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.

Selain gerai artis, lelongan amal dan jualan kek yang ditaja hotel di sekitar Lembah Klang, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Farawahida, Aizat, Nabil, Atilia, Nita, Zahid, Meet Uncle Hussain, Winnie K, Dafi, Anis Aneesa, Faizal Tahir, Sarah Raisuddin, Saida, Saerah dan Betty Banafe.

Artis lain yang turut hadir menyemarakkan acara ini ialah Rosyam Nor, Erra Fazira, Linda Onn, Sarimah Ibrahim, Fahrin Ahmad, Scha, Farah Diana Annuar, Diddy, Nubhan, Nur Fatima, Chef Wan, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Diana Danielle, Intan Ladyana, Fizo Omar, Kamal Adli, Iqram Dinzly.

Tidak ketinggalan, pereka fesyen Amir Luqman, personaliti TV3, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Azizah Ariffin dan ramai lagi.

Harian Metro