Archive | Sazzy Falak RSS feed for this section

Penyeri Karpet Biru

27 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KARAKTER tiga pengacara popular, Sazzy Falak (Sazzy), Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Awal Ashaari (Awal) mempunyai tiga persamaan – ceria, suka berceloteh dan mempunyai perwatakan gila-gila.

Justeru, gandingan mereka bertiga sebagai hos memang tepat untuk menyemarakkan lagi acara permaidani biru (Live From The Blue Carpet), Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini.

Acara permaidani biru ini akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7 selama setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Dalam sesi fotografi bersama Rap yang diatur ntv7 di Sri Pentas, Jumaat lalu, keserasian tiga pengacara berbakat besar ini, Sazzy, Naz dan Awal begitu terserlah.

Malah, sesi fotografi eksklusif yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang juga tidak membosankan dengan telatah Sazzy, Naz dan Awal yang masing-masing begitu mencuit hati dan menceriakan suasana.

Lebih menarik, mereka bertiga sempat bergaya dan bergambar bersama kereta mewah Bufori yang berharga setengah juta ringgit dan bakal menjadi kenderaan yang membawa mereka bertiga berarak ke acara permaidani biru itu nanti.

Menjadi bunga yang diapit dua kumbang, sudah pasti penampilan Sazzy paling mencuri tumpuan pada acara permaidani biru itu nanti.

“Saya memang menanti peluang untuk terbabit dalam acara berprestij seperti AIM16. Maklumlah, saya sudah lama tidak buat acara permaidani merah. Kali terakhir, saya menjadi hos permaidani merah sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pada 2007,” katanya.

Selain KLIFF, Sazzy pernah menjadi hos permaidani merah sempena seperti Anugerah Era (2004/06) dan Festival Filem Malaysia (2005/06).

Sekalipun berpengalaman sebagai hos acara permaidani merah, Sazzy masih bimbang untuk menjadi hos permaidani merah sempena AIM16.

 

 

“Siapa yang tidak bimbang kerana ini kali pertama saya menjadi hos permaidani merah untuk AIM16. Justeru, saya meminta tip daripada suami, Nazril Idrus yang pernah menjadi hos permaidani merah pada AIM 2007. “Saya juga banyak membuat kajian mengenai perkembangan terkini artis yang dicalonkan termasuk perkembangan industri seni tanah air sekarang.

“Saya juga mendapat tip daripada program Live From The Red Carpet menampilkan gandingan hos Ryan Seacrest dan Juliana yang disiarkan menerusi saluran hiburan E! Entertainment Televisyen (Astro 712),” katanya.

Apapun, kata Sazzy, dia lega apabila digandingkan dengan dua pengacara berpengalaman seperti Naz dan Awal.

“Awal berpengalaman luas sebagai hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij termasuk AIM dan Naz pula cukup berpengalaman sebagai pengacara dalam program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Saya berasa lebih mudah bekerja dengan pengacara yang bagus kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan di pentas nanti. Pada masa sama, kami akan bersaing antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik pada acara itu nanti.

“Saya juga pernah bekerja dengan hos yang tidak berpengalaman dan terpaksa menutup banyak kelemahannya bagi memastikan acara itu tidak membosankan penonton,” katanya.

Bagi Naz, peluang julung kalinya menjadi hos permaidani biru sempena AIM16 begitu bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya diberi tugas sebagai hos acara hiburan berprestij seperti AIM16.

Sebelum ini, saya pernah hadir ke AIM untuk memberi semangat kepada kawan rapat sejak di bangku sekolah, Damian (VE) yang menang anugerah dalam AIM untuk lagu Anak Ayam.

“Justeru, apabila diberi peluang menjadi hos pula, saya sangat teruja untuk memberikan yang terbaik pada acara ini nanti,” katanya.

Naz yang dikenali menerusi program The Breakfast Show (ntv7) pernah bergandingan dengan pelakon Nur Fazura sebagai hos Anugerah Skrin TV3 berkata, ini kali pertama dia bergandingan dengan Sazzy dan Awal dalam acara hiburan berprestij seperti AIM16.

“Sazzy dan Awal memang tidak asing dalam acara permaidani merah. Justeru, saya akan meminta tunjuk ajar daripada mereka berdua nanti.

“Kami juga diberikan tugas sama rata saja dan tidak timbul isu, Sazzy dan Awal membayangi saya atau sebaliknya,” katanya.

Naz berkata, mereka juga tidak mempunyai skrip yang khusus kerana semuanya akan dilakukan secara spontan saja.

“Apapun persediaan tetap dibuat membabitkan senarai pencalonan artis dan komposer yang bertanding kali ini. Kami juga diberi peluang menemu bual VIP yang diundang, calon yang bertanding, calon komposer dan ramalan siapa yang menang kali ini serta pereka fesyen terbabit.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar, kami bertiga akan duduk berbincang untuk bertukar fikiran sebelum majlis anugerah berlangsung nanti,” katanya.

Berbanding Naz dan Sazzy, ini kali kedua Awal diberi peluang menjadi hos untuk AIM. Tahun lalu, Awal bergandingan dengan penyampai Hot FM, Tini sebagai hos permaidani merah AIM15.

“Saya pernah bergandingan dengan Sazzy ketika acara permaidani merah, Anugerah Era sebelum ini dan Naz pula baru kali pertama.

“Sekalipun baru kali pertama bergandingan, saya tidak bimbang kerana Naz sangat profesional ketika bekerja. Naz juga pengacara berpengalaman dan dia juga sudah lama berkecimpung dalam bidang pengacaraan,” katanya.

.Awal berkata, dia memang menanti peluang untuk terbabit dalam AIM16.

“Saya sudah 10 kali menjadi hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij dalam industri hiburan tanah air.

“Justeru, apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi hos buat kali kedua, saya pastikan prestasi saya lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Mengenai kombinasi mereka bertiga, Awal berkata, ia menampilkan kelainan dan variasi dalam acara AIM16.

“Anugerah Era juga menampilkan gabungan empat artis sebagai hos acara permaidani merah sebelum ini.

“Acara ini tidak terlalu rasmi dan kami juga menemu bual artis mengikut situasi majlis ketika itu. Apa yang boleh kami janjikan pada peminat, ia adalah malam menyeronokkan buat semua orang. Ia bukan saja meriah tapi penuh dengan informasi buat penonton,” katanya.

>Profil

NAMA: Sazzy Falak

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1980

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nazril Idrus

KERJAYA: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan syarikat Sinclair Falak Sdn Bhd.

PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral

ANTARA DRAMA: Doa Kamalia, Goda, Kami, Gol & Gincu, Kerana Karina (drama

online)

ANTARA FILEM: Gol & Gincu, Jin Notti

>Profil

NAMA: Nazrudin Habibur Rahman

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 9 November 1978

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sheahnee Iman Lee

KERJAYA: Pengacara dan pelakon

PROGRAM: The Breakfast Show (ntv7), My Aussie Adventure dan Celebrity Karaoke

ANTARA DRAMA: Ghost musim pertama dan kedua.

Profil

NAMA PENUH: Ahmad Awaluddin Ashaari

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

KERJAYA: Pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan (pemilik Butik fesyen online DNA celebrityStyle bersama Dynas Mokhtar)

PROGRAM: Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan Generasi Y (TV1)

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata

Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Drama: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Cabaran, Debaran Dua Penerbit

27 Apr


DUA wanita muda yang memikul tanggungjawab sebagai penerbit acara kemuncak AIM16.

BAGI peminat dunia seni tanah air, tumpuan kali ini tentunya kini beralih pula kepada acara kemuncak AIM16 yang bakal berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur, Sabtu ini ini, selepas berhibur dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April lalu.

Berbeza dengan ABPBH 2008 yang menghimpun selebriti dalam pelbagai cabang seni, AIM16 mengumpulkan insan seni terbaik dalam bidang muzik.

Daripada penyanyi, pencipta lagu, penerbit sehingga pereka kulit album, masing-masing berdebar menantikan keputusan 29 anugerah yang bakal diumumkan pada acara yang dijangka berlangsung dalam keadaan penuh kemeriahan.

Penerbit program AIM16, Shazalina Zainal Aznam dan penerbit acara permaidani biru, Shannen Lee Siew Fong, ialah antara insan yang turut berdebar setiap kali tibanya acara terbabit.

Sebagai penerbit, Shazalina berasakan cabaran yang menunggu bukan kecil terutama bagi mengendalikan majlis anugerah sebesar AIM16. “Bagaimana agaknya hendak memampatkan penyampaian semua 29 trofi dalam masa dua jam atau dua jam setengah? Kemudian, perlu fikirkan pula di mana klip video rakaman hendak dimasukkan? Adakah pada permulaan persembahan, pertengahan atau penghujungnya?

“Bukan mudah untuk mengekalkan keseronokan penonton selama lebih dua jam AIM disiarkan. Lalu, kami mencari jalan terbaik untuk memasukkan rakaman tadi, mengisi setiap saat siaran langsung dengan kandungan yang bagus,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitupun, dia dan Shannen cukup teruja menerbitkan AIM16, berikutan persetujuan stesen penyiar rasmi, ntv7, membenarkan mereka menggunakan lebih banyak kamera pada acara terbabit. Jenis kamera yang enggan mereka dedahkan itu, khabarnya disewa khas bagi memberikan impak lebih hebat kepada penonton.

“Kamera ini tidak digunakan untuk program biasa. Ia hanya bagi majlis anugerah besar. Kami pernah mencubanya tetapi dengan arahan yang berbeza. Kami perhatikan, selepas penggunaannya pada AIM yang lalu, lebih banyak penganjur majlis anugerah menggunakan kamera serupa pada acara mereka,”ῠkata Shannen pula.

Siaran langsung AIM16 akan menyaksikan penggunaan 13 kamera dalam dewan, manakala lima kamera lagi bagi acara permaidani biru.

“Dengan pertambahan kamera, maknanya krew bertugas juga lebih ramai. Tahun ini, 60 krew produksi bertugas memastikan siaran langsung AIM16 muncul paling berjaya pernah diadakan,” kata Shazalina yang cuba menggunakan teknologi terkini apabila tiba ke bab produksi.

Shannen juga tidak sabar menunggu acara permaidani biru, yang menyaksikan ada perbezaan berbanding pada edisi terdahulu.

Pada acara memanaskan badan sebelum bermulanya majlis sebenar, Sazzy Falak, Naz dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai pengacaranya.

“Berbeza dengan kebanyakan acara lain, kami mahukan permaidani yang mengiringi langkah selebriti ke dewan utama berwarna biru. Ia bukan hanya menampakkan kelainan kepada AIM16, malah warnanya juga selari dengan warna korporat penaja kami, Celcom,” kata Shannen sambil memberitahu, acara itu akan disiarkan selama 30 minit, mulai jam 8.30 malam.

Bagi memastikan acara permaidani birunya nampak berprestij, Shannen tidak lupa merujuk kepada acara serupa pada majlis anugerah antarabangsa seperti Anugerah Grammy.

“Penonton di rumah tentunya ingin melihat gaya artis yang hadir pada AIM. Lebih menarik, mereka akan dibawa ke acara permaidani biru dengan kereta Bufori. Di satu sudut lain pula, kami adakan pra-parti Kelab Feel Good untuk tetamu istimewa menikmati minuman serta beramah-mesra sebelum memasuki dewan,” katanya.

Berita Harian

Kata XX: Ragam Wanita

25 Apr

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

5 tabiat tidak boleh ditinggalkan pelakon dan pengacara, Sazzy Falak dan mungkin wanita lain…

1. Saya cukup cerewet dalam soal kebersihan. Jika boleh, saya mahu semua di sekeliling bersih terutama rumah. Sebab itulah, hampir setiap masa yang sibuk mengemas dan membersihkan rumah.

2. Saya amat pentingkan ketepatan waktu – semuanya mesti on time, berjadual dan terurus.

3. Sebagai wanita, tentulah kita mahu dimanjakan mengikut cara masing-masing. Saya cukup gembira jika suami menelefon ketika masing-masing sibuk bekerja atau membelanja saya menjamu selera di tempat menarik dan romantik.

4. Jangan tidak tahu, saya kerap ke salun untuk mendandan rambut. Saya percaya, ramai wanita sering mengunjungi salun untuk memastikan rambut cantik dan rapi. Saya suka mencuci dan mendandan rambut di salun kerana hasilnya memuaskan terutama jika mahu menghadiri majlis keraian.

5. Sebagai peminat fesyen, saya suka membeli-belah. Suami sudah faham ‘kegilaan’ saya membeli-belah. Beliau tidak boleh marah kerana saya guna wang sendiri, okay!

Berita Harian

Bagaikan Artis

14 Apr


DARI kiri; Siti Hawa, Nuramalina, Rohani dan Kamarulzaman sangat teruja dapat berjalan bersama artis melintasi permaidani merah di Genting Highlands.

Empat pemenang GBB tidak lupa kenangan berjalan di permaidani merah bersama bintang popular

BUKAN lagi mimpi atau sekadar fantasi, dikelilingi selebriti sewaktu malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun menjadi kenyataan buat empat pemenang siri Peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) yang sudah berlanjutan hingga ke tahun keempat tanggal 12 April lalu.

Biarpun berasa janggal buat julung kali duduk di sisi penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio dan pelawak yang selama ini hanya ditatap di akhbar mahupun majalah atau pun paling tidak hanya sekadar menonton di kaca TV, empat pemenang tidak sesekali melupakan detik indah lagi bermakna itu.

Selain diberi peluang melaram rekaan pereka fesyen terkemuka dan duduk berdekatan dengan selebriti popular tanah air, empat pemenang siri satu hingga empat peraduan itu, Siti Hawa Mohd, Rohani Abu Hassan, Kamarulzaman Abd Rahman dan Nuramalina Mohd Amin juga dilayan seperti bintang terkemuka berjalan di atas permaidani merah.

Pengalaman menakjubkan buat pertama kali ini pasti tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat ini, malahan menjadi bekalan untuk dikongsi rakan dan keluarga terdekat. Perasaan asing dikelilingi selebriti ditolak ketepi, sebaik melihat artis pujaan masing-masing saat menanti untuk berarak di permaidani merah.

Kata Siti Hawa yang ditemani suaminya, usaha ini harus diteruskan Berita Harian supaya pembaca lain juga berpeluang menyelami perasaan artis berjalan di permaidani merah.

Menurutnya, mungkin ada beranggapan berjalan di permaidani merah ini semudah yang disangka tetapi akuinya debaran yang dirasanya pasti dirasai selebriti lain.

“Saya menyertai pertandingan ini sejak kali pertama ia diadakan, namun belum rezeki saya untuk memenanginya. Alhamdulillah penantian itu tamat dan tidak sangka kerjasama bersama suami menghasilkan slogan menarik berjaya menjadi perhatian pihak Berita Harian.

“Berdebar juga apabila pertama kali menjejakkan kaki ke atas permaidani merah. Ketika berjalan, Sazzy Falak dan suaminya berada di hadapan. Pengalaman ini adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini. Ia meninggalkan satu pengalaman manis buat saya. Berita Harian harus meneruskan lagi usaha ini supaya pembaca lain dapat merasakan apa yang saya rasakan,” kata Siti Hawa.

Bagi Rohani pula impiannya untuk berada dalam kerlipan glamor biarpun hanya untuk tempoh seketika akhirnya berjaya direalisasikan. Paling indah, penyanyi pujaannya Datuk Siti Nurhaliza terus unggul mempertahankan kejuaraannya untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Tak dapat jadi artis sekalipun, setidak-tidaknya peluang ini menjadi azimat berharga untuk terus dikenang saya untuk hari mendatang. Perasaan saya hanyut seketika dan berjalan-jalan di permaidani merah seolah-olah saya pula artis dan finalis yang tercalon. Malah, debaran saya ketika melalui permaidani merah mungkin boleh mengalahkan artis sebenar.

“Pada mulanya terasa janggal juga berjalan di permaidani merah. Maklumlah kita ini siapa jika dibandingkan dengan artis, tetapi apabila melihat orang ramai yang menanti kemunculan artis di atas permaidani merah timbul pula perasaan seronok,” katanya yang begitu teruja menonton persembahan Datuk Siti menerusi lagu Di Taman Teman.

Sementara itu, Kamarulzaman bukan saja leka seketika ketika cahaya lensa kamera mula menerjah susuk tubuh dan wajahnya, bahkan pekerja Pos Malaysia yang turut menjadi penaja rasmi ABPBH 2008 ini turut gembira melihat persembahan mantap yang mengisi slot persembahan pada malam itu.

“Siapa boleh melupakan aksi lincah permulaan Anita Sarawak dan Stacy hinggalah ke slot penghargaan kepada penyanyi Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir. Saya pasti kenangan malam itu akan terus bersemadi dalam ingat semua peminat setia ABPBH dan pembaca Berita Harian.

“Ini adalah kenangan paling manis dalam hidup saya kerana berpeluang mendekati artis dengan lebih dekat. Peluang seperti ini bukannya datang selalu, Berita Harian wajar meneruskan usaha seperti ini,” kata Kamarulzaman.

Manakala pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nuramalina bersetuju dengan pemilihan Nabil sebagai Bintang Paling Popular kerana menyifatkan juara Raja Lawak musim kedua itu dilahirkan dengan bakat semula jadi yang cukup mengesankan.

Katanya lagi, detik 12 April itu akan pasti dikenang sampai bila-bila. Menurut Nuramalina, dia yakin peluang yang mungkin datang seumur hidup itu harus dimanfaatkan pembaca Berita Harian yang bertuah.

“Dulu saya hanya menonton lagak selebriti menyusun langkah di atas permaidani merah. Malah, saya kerap menyelak majalah tempatan dan antara bangsa yang memaparkan gaya selebriti di atas permaidani merah.

“Mungkin lepas ini, saya pula dapat menonton wajah dan aksi saya di permaidani merah,” kata Nuramalina yang turut meminati Nabil.

Berita Harian

ABPBH 2008: Rasa Bertuah

8 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Scha Alyahya

Tersenarai pada peringkat akhir ABPBH2008 satu pencapaian membanggakan buat Scha

SIAPA sangka di sebalik pembabitan seni yang pada permulaannya hanya sekadar mahu menguji pasaran, kini beralih menjadi bidang yang semakin menuntut fokus berpanjangan. Pernah bertugas di awan biru sebagai pramugari, Scha Alyahya agak pantas mengecapi populariti sebagai pelakon biarpun belum sampai tiga tahun berada dalam dunia seni.

Kejayaannya bukan semudah yang disangka. Malahan gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia usia 26 tahun pada 30 Mei nanti pernah berasakan pengalaman sewaktu mula melangkah ke dalam dunia seni cukup mengerikan.

Katanya, pernah dia menjalani penggambaran drama tapi untuk jangka masa yang panjang.

Pernah juga selama enam bulan dia bekerja di butik pakaian milik kawannya di Damansara kerana terdetik perasaan gusar apakah bidang seni yang diharungi satu pilihan yang tepat.

Tapi jelas dengan apa yang dimilikinya, ternyata pertaruhannya cukup berbaloi apabila namanya mula menjadi sebutan. Drama Bella dan Awan Dania antara naskhah yang terus meledakkan namanya.

Menambah kekuatan trek pembabitan Scha apabila tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Sehingga kini dia semakin ligat memenuhi tawaran berlakon dan membuat iklan komersial.

Apapun, Scha tetap Scha. Dia Masih lagi seperti dulu. Tutur katanya masih agak pekat dengan loghat utara.

“InsyaAllah apa yang Scha nampak berjalan dengan baik seadanya. Scha sekarang semakin serius dan kerja ini bukan perkara main-main. Sekali kita memasuki arena ini, ia petanda untuk kita terus bekerja kuat bagi memastikan hayat diri terus ada.

“Sewaktu nama Scha tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 2008, Scha terkejut juga sebab tak sangka orang luar dan peminat mula menyedari kehadiran kita.

“Scha bertuah apabila tersenarai dalam Top 5 dan berada di lingkungan lima yang popular itu sudah cukup bagus. Saingan pun sengit dan sihat,” katanya sewaktu ke premis Rafflesia untuk sesi perbincangannya dengan pereka fesyen, Anizam Yusof yang terbabit mereka busananya menjelang malam kemuncak ABPBH 2008, Ahad ini.

Dalam Artis Baru Wanita Popular, Scha diundi bersama Ayu Damit (Ayu OIAM), Lisa Surihani, Stacy dan Sariyanti.

Cameron Diaz Malaysia

MEMILIKI seraut wajah jelita, bertubuh ramping dan tinggi, liuk lintuk badannya di depan kamera cukup menyenangkan apatah lagi bidang peragaan adalah makanannya. Dalam dua persalinan berwarna terang rekaan Anizam, kelibatnya menjadi perhatian orang ramai yang membawa kenderaan di tengah jalan termasuk yang lalu lalang.

Sekali pandang, Scha seakan peragawati dan pelakon tersohor, Nasha Aziz yang begitu hangat dan selamba dengan aksesori Rafflesia. Malahan ada sesetengah pengarah yang mahu mencipta Scha sebagai Cameron Diaz Malaysia kerana mempunyai kejelitaan, bijak dan pada masa yang sama terkenal dengan sikap humor serta bersederhana.

Memujinya bukan berniat mahu mengumpan soalan seterusnya mengenai kisah peribadinya yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Bukan cerita baru apabila Scha dikaitkan dengan Fahrin yang turut tersenarai dalam ABPBH 2008 untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Dalam ada yang suka mereka menjalin cinta, lumrah ada juga yang cukup jelak mengenai cerita mereka.

“Hanya masa yang akan memberitahu segala-gala sama ada Scha ada hubungan dengan dia atau sebaliknya,” katanya ringkas.

Tidak mahu terus disoal soalan berbaur peribadi itu, dia kemudian ditanya mengenai tanggungjawabnya sebagai pengacara program Sehati Sejiwa di RTM 1 ini dalam terus membuktikan kemampuannya sebagai anak seni tidak pernah silap.

Akuinya, ada pihak yang membuat andaian masuk dunia seni ini senang kerana bakal dilimpahi kerdipan glamour semata-mata. Itu memang tidak dinafikan dan Scha sendiri mengakui berasa seronok melihat kehidupan pelakon yang dipaparkan di media massa.

“Sekarang apabila diri sendiri yang mengalaminya, ternyata apa yang dianggap pada mulanya hanyalah khayalan. Malah, entiti permainan politik turut berlaku di dalam dunia seni dan ada sesetengah artis yang sanggup melobi semata-mata mahu mendapat perhatian.

“Depan mata sendiri, Scha pernah melihat ada artis yang cuba mendekati pihak berpengaruh dalam produksi kerana mahu mendapatkan tawaran berlakon. Tak boleh menidakkan istilah perhubungan awam memang perlu dalam dunia ini, cuma biarlah berpada-pada.

“Macam Scha, jujur diri ini jenis yang tak pandai membodek orang. Bagi Scha, biarlah Scha mahu orang nilai diri dengan impak lakonan yang dipamerkan dan Scha masih dalam peringkat memperbaiki kekurangan yang ada,” katanya tulus yang bakal muncul dengan filem Papadom dan Evolusi KL Drift 2, malah dia baru saja selesai menjalani penggambaran Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Utamakan fesyen selesa dipakai

MENGENAI Anizam, kata Scha, pereka fesyen itu pernah mengundangnya untuk Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) tahun lalu, namun ketika itu jodoh mereka untuk bekerjasama belum ada.

“Sebelum nama Scha tersenarai dalam top 5 lagi, dia sudah mula menghubungi Scha untuk menaja busana rekaannya. Apa yang Scha boleh katakan, semangat dan kesungguhannya membuktikan dia tidak memilih artis biarpun ketika itu tidak tahu langsung yang Scha akan ke senarai akhir.

“Difahamkan memang ada beberapa lagi pereka yang berminat nak dapatkan Scha, tapi sudah rezeki dia yang pertama menyapa Scha dulu. Bagi Scha apa yang penting ialah pakaian yang selesa dan bukan atas dasar kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Anizam mempunyai sebab kukuh memilih Scha sebagai selebriti yang mahu disarungkan rekaannya untuk ABPBH 2008. Lebih gemar rekaan dan potongan bersih yang tidak sarat, Anizam yakin bahawa Scha mampu menyerlahkan rekaannya nanti. Selain Scha, Sazzy Falak turut memberi pengesahan pada saat akhir untuk menggayakan rekaannya.

Menggunakan perincian ‘dart’, fabrik satin dan songket, warna biru elektrikal menjadi uji kaji kepada Scha. Kata Anizam, dia menggunakan pendekatan korset separuh (tidak penuh) yang dijahit sekali dengan baju dan kelainan itu antara tarikan yang ingin disampaikannya.

“Sentuhan Tenun satu idea tema yang menarik untuk diketengahkan dan sesetengah pihak menganggap fabrik tradisional tidak setanding fabrik moden.

“Dengan trend sekarang, apa saja boleh jadi mustahil, janji ia diiringi dengan semangat mencuba sesuatu yang baru untuk menghasilkan tradisional menjadi kontemporari.

“Usia pembabitan saya dan Scha sama naik dan dengan rupa maskulin serta ‘attitude’ yang ada padanya, saya yakin dia boleh menjadi manifestasi terbaru saya dalam melebarkan idealisme rekaan saya. Scha ada aura tersendiri yang mampu membuatkan ramai yang terpesona kepadanya,” kata Anizam.

NAMA PENUH: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir PANGGILAN: Scha Alyahya ASAL: Sungai Petani, Kedah TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983 ADIK BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik KELULUSAN: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL cawangan Shah Alam PENCAPAIAN: Dewi Remaja 2006 dan 50 Wanita Paling Jelita disenaraikan majalah Female KERJAYA: Pelakon, Pengacara Dan Model IKLAN: Hotlink, Olay, Pantene, Power Root, Streamyx, Oral B, Watson, Nokia dan Ikea. DRAMA: Bella, Luna Fantasiku, Sadiq and Co, Honeyz dan Awan Dania FILEM: Antoo Fighter, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2 dan Dimensi Cinta

PROFIL: Anizam Yusof Nama penuh: Anizam Yusof

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 30 November 1983

Tempat lahir: Felda Linggiu, Kota Tinggi, Johor

Tahap pendidikan: Diploma Rekaan Footwear dan Ijazah Rekaan Fesyen

Blog: http://anizamyusoftherhucouture.blogspot.com

Pembabitan sejak: 2006

Pencapaian: Finalis Project Runway Malaysia musim pertama

Artis yang pernah menggunakan khidmatnya: Rosyam Nor, Nabil, Zahid, Felix, Meet Uncle Hussain, Ally Iskandar, Faizal Ismail, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Liyana Jasmay, Sazzy Falak, Juliana Evans, Elyana, Nita, Rozita Che Wan

Berita Harian

Selebriti Promosi Busana Imej Tradisi

8 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
TEMA diperkenankan dalam sesebuah majlis khususnya acara berprestij seperti majlis penganugerahan bukan sekadar ‘panduan’ kepada tetamu memilih dan menggayakan fesyen yang tepat.

Malah, ia juga membangkitkan keghairahan dalam kalangan pemakainya dan menimbulkan suasana yang ingin diwujudkan.

Jika dulu, Batik Glam diperkenankan sebagai tema Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, sempena penganjurannya kali ini ‘Sentuhan Tenun’ yang melambangkan kehebatan budaya orang Melayu, diangkat sebagai tema.

Atas dasar tanggungjawab memartabat dan mempopularkan kembali pemakaian kain tenun yang tercatat dalam sejarah sebagai persalinan golongan istana, Berita Harian mengambil inisiatif menganjurkan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) buat julung kalinya.

Dilangsungkan selama dua hari iaitu di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya pada 6 dan 7 April, acara pembukaan Gala FFKL yang dihadiri Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, dilangsungkan di Hotel One World, tengah hari kelmarin.

Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail, berkata, FFKL dianjurkan bersempena ABPBH2008 yang akan berlangsung pada 12 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands.

“Malam anugerah ABPBH 2008 mengetengahkan sentuhan tenun sebagai tema majlis yang secara tidak langsung membantu mempromosikan pemakaian tenun dan songket di kalangan selebriti, penggiat sini dan seterusnya kepada peminat seni tanah air terutama generasi muda.

“Bagi menghangatkan lagi acara berkenaan, Berita Harian buat julung kalinya menganjurkan acara pertunjukan fesyen ini dengan matlamat mengangkat kain tenun seperti songket dan tenun Pahang ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pertunjukan fesyen ini diharapkan dapat meningkatkan pemakaian kain tenun yang menjadi warisan tradisi kita bukan saja di negara ini bahkan di persada antarabangsa serta meningkatkan warisan dan budaya bangsa.

“Kami juga berharap tenun dan songket menjadi satu identiti unik dalam bidang fesyen tanah air sekali gus membantu meningkatkan permintaan untuk tekstil tempatan.

 

 

“Saya percaya Malaysia mempunyai pereka fesyen dan pembuat tekstil seperti songket dan kain tenun, fabrik unik buatan tempatan yang boleh diangkat ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut hadir, isteri Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Puan Sri Hajar Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mustapa Omar.

Manakala artis tempatan juga finalis akhir ABPBH2008 antaranya Maya Karin, penyampai Hot FM, Faizal Ismail dan Fara Fauzana, Ashraf Muslim, Kechana Dewi dan Aizat.

Manja berkata, walaupun Malaysia mengeluarkan pelbagai jenis tekstil warisan namun masih banyak yang belum diketengahkan. Bahkan, ramai yang tidak tahu asal-usul serta kaitan sejarahnya seperti songket.

Dulu songket hanya dipakai golongan diraja bagaimanapun selepas kedatangan British songket mula dipakai orang kebanyakan terutama pada majlis istimewa seperti perkahwinan, maka lahirlah istilah ‘Raja Sehari.’

“Kegunaan songket dalam kalangan ‘orang istana’ membuktikan betapa ia begitu istimewa dan berharga. Songket terhasil dalam dua kategori, songket limar dan songket biasa.

“Songket limar ialah kain mewah yang dihasilkan dengan teknik kombinasi ikat dan tenun, manakala kain songket dihasilkan dengan cara tenunan motif dan corak benang gimpal (emas dan perak).

“Songket adalah satu hasil kerja seni yang halus dan menjadi manifestasi dua golongan atasan dan bawahan. Bagi golongan diraja, songket sebagai pakaian basahan, tetapi bukan sekadar memenuhi tujuan fizikal malah spiritual sebagai lambang kebesaran dan keagungan.

“Kerana itu, motif diraja selalunya motif teluk berantai, tenun corak penuh dan warnanya tentu saja kuning,” katanya.

Selain pereka berpengalaman seperti Salikin Sidek, 10 pereka fesyen terbabit dalam pertunjukan Gala FFKL itu dan setiap daripadanya menghasilkan koleksi terdiri daripada lima pasangan busana.

Mereka ialah Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Othman, Chandra Shegar, Calvin Thoo, Amir Luqman, Aidawati Saidin, Nazreen Idris, Zery Zamry dan Nik Erwan Roseli.

Sementara, penenun yang turut mengadakan kerjasama dengan FFKL antaranya Manang Songket, Bibah Songkek, Wan Hasnah Songket (Sri Gamelan Songket), Zaidah Songket, Atikah Songket TTD, Tenun Diraja Pahang Felda Chini 05, Terengganu Songket, Perusahaan Tenun Pulau Keladi, Nur Atikah Songket dan Tenun Corak Tun Razak.

Manakala artis yang terbabit dalam peragaan, Sazzy Falak memperagakan pakaian rekaan Nik Erwan, Marsha dan Nikki (Calvin Thoo), Zahida Rafik (Rizman Ruzaini), Fazlun (Amir Luqman), Cheryl Samad (Chandra Shegar), Shasha Bhasir (Aidawati), Saidah (Nazreen Idris) dan Hannah Lo (Hazwani).

Nikki turut memberi persembahan bertenaga menerusi lagu Oh! My ketika rekaan Calvin Thoo diperagakan peragawati terkenal serta bintang AF3, Marsha.

Calon Pelakon Filem Wanita Popular, Maya Karin yang hadir memberi sokongan kepada Berita Harian di atas penganjuran sulung FFKL itu berkata, acara sebegitu perlu diteruskan penganjur pada masa akan datang.

“Usaha ini patut diteruskan. Ada sesetengah rekaan cukup menyerlah kerana mempunyai gabungan dan corak yang moden, material serta warna yang menarik.

“Hasil rekaan yang kreatif dan terkini membangkitkan ciri-ciri komersial. Pada acara kemuncak ABPBH2008 nanti, saya akan memakai baju rekaan Albert King.

“Memilih hitam sebagai teras warna, gaun itu saya inspirasikan daripada salah satu gaun yang pernah dipakai seorang selebriti Hollywood di Anugerah Oscar baru-baru ini,” katanya.

Sama seperti Maya, Kenchana Dewi yang tercalon dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular turut menyokong penuh usaha Berita Harian menganjurkan majlis ini dan berharap ia akan menjadi acara tahunan.

“Acara sebegini perlu diadakan setiap tahun. Seperti yang kita tahu, songket adalah seni warisan bangsa yang menjadi identiti negara justeru ia perlu dipopularkan kembali dengan hasil rekaan lebih terkini.

“Di majlis anugerah takkan kena pakai busana yang moden saja. Selain itu, penganjuran acara ini dapat memberikan peluang kepada pereka tempatan mencetuskan ilham kreatif mereka,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Air Mata Tumpah Tonton Talentime

2 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

FILEM Talentime yang mengisahkan versi cinta lelaki India, Mahesh dan gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur yang juga garapan terbaru pengarah berwibawa Yasmin Ahmad diuar-uarkan sebagai karya terbaiknya setakat ini.

Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah berkata, seperti Rabun dan Mukhsin, pihaknya yakin Talentime juga akan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Talentime yang membabitkan bajet RM1.5 juta termasuk promosi adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Rabun dan Mukhsin.

“Rabun adalah filem pertama kita yang dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik pada Festival Antarabangsa Torino 2003 dan Mukhsin mengungguli pelbagai anugerah antarabangsa termasuk di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57.

“Berdasarkan maklum balas positif menerusi pratonton sebelum ini, kami yakin, Talentime akan memberi peluang kepada kita untuk memperkenalkan karya anak tempatan kepada masyarakat antarabangsa sekaligus mengangkat dan memartabatkan industri perfileman tanah air di persada seni dunia,” katanya.

Ahmad Puad berkata, Talentime mempunyai pendekatan sederhana, mengekalkan emosi yang cukup dalam dan bermakna serta dipersembahkan dengan tulus seperti karya Yasmin terdahulu.

“Sebagaimana filem Yasmin sebelum ini, Talentime, filem bersifat kritis dalam soal perhubungan dengan mengangkat kepelbagaian kaum dan kehidupan masyarakat di Malaysia. Dia membuatkan penonton sering berasa dekat dengan paparannya kerana setiap pengkisahan adalah realiti.

“Soal perhubungan dalm setiap pengkisahannya di layar perak juga menjadi paparan Talentime yang bertumpu pada kehidupan dua keluarga berlainan latar pendidikan, bangsa dan agama. Talentime juga digarap Yasmin menjadi sebuah filem yang cukup indah dan menyentuh jiwa,” katanya.

Ahmad Puad ditemui ketika malam gala dan pratonton filem Talentime di Cathay Cineplex, Damansara, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Majlis petang itu disemarakkan dengan persembahan hiburan oleh Aizat dan Atilia.

 

 

Lebih bermakna, malam gala Talentime dimeriahkan dengan kehadiran ramai artis popular tanah air yang memberi sokongan kepada karya terbaru Yasmin itu. Antara artis yang hadir ialah Fazura, Hans Isaac, Sazzy Falak, Nazril Idrus, Mawi, Ekin, Aishah Sinclair dan ramai lagi.

Rata-rata artis yang hadir selepas pratonton berakhir mengakui sentuhan terbaru Yasmin kali ini juga tidak menghampakan.

Sazzy yang ditemani suaminya Nazril mengakui dia cukup berasa tersentuh selepas menonton filem itu.

“Saya dan suami menangis bila menonton beberapa babak sedih dalam filem itu. Terus terang, saya suka menonton karya Yasmin kerana kekuatan mesej yang disampaikan menerusi filem itu.

“Bagaimana timbul masalah, pergaduhan dan pembunuhan sekalipun, akhirnya cintalah yang menyatukan mereka semua kembali. Mungkin orang kata filem Yasmin kontroversi tapi bagi saya kontroversi itu bertempat. Alasannya juga kukuh kerana dia bukan buat filem untuk menyakitkan hati orang lain,” katanya.

Sazzy juga memang tidak asing dengan karya Yasmin sejak dulu.

“Saya sudah menonton Gubra dan Sepet. Tapi, belum berpeluang menonton Mukhsin lagi. Saya juga tidak sabar menanti garapan terbarunya, Muallaf yang dikatakan kontroversi juga,” katanya.

Pada masa sama, kata Sazzy, dia juga mengidam untuk bekerjasama dengan Yasmin pada masa depan.

“Saya juga meluahkan hasrat untuk bekerja dengannya ketika kami sama-sama terbabit dalam pembikinan iklan Kempen 60 Earth Hour baru-baru ini. Saya harap dia akan tawarkan saya berlakon dalam projek filem barunya nanti.

“Saya tidak kisah watak kecil sekalipun kerana yang penting dapat bekerjasama dalam filemnya,” katanya.

Hans pula berkata, dia hadir pada malam gala itu untuk memberi sokongan pada karya Yasmin sekaligus filem Melayu.

“Saya suka filem Yasmin kerana ia berjiwa Malaysia dan memaparkan masyarakat berbilang kaum. .

Filemnya juga unik dan ada kelainan. Kalau anda inginkan filem yang ada kelainan, tontonlah filem Yasmin.

Yasmin juga pengarah yang berani dalam berkarya kerana ada dialog dalam filemnya yang orang lain tidak berani buat tapi dia buat juga,” katanya.

Seperti Sazzy, Hans mengakui dia juga sebak selepas menonton Talentime.

“Antara babak sedih ialah apabila Mahesh balik ke rumahnya pada waktu pagi dan bertemu dengan ibunya yang marah dan satu lagi ialah babak terakhir filem ini. Kalau nak tahu apa babak akhir itu, anda perlu menonton filem ini terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Fazura mengakui dia juga pengikut setia filem Yasmin sejak dulu.

“Selain menyentuh jiwa, filem Yasmin juga memaparkan aspek kemanusiaan yang begitu dekat di hati masyarkat

Saya sukakan karya Yasmin kerana ada kelainan dari filem Melayu yang pernah saya tonton sebelum ini.

“Antara elemen positif yang saya suka ialah nilai kekeluargaan yang dipaparkan dalam filem ini. Babak yang suka ialah kisah keluarga Pamela yang cukup erat dengan kasih sayang dan boleh dicontohi masyarakat di luar sana,” katanya.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Howard Hon Kahoe, Mohd Syafie Naswip, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander.

Lebih menarik, filem ini dilatari lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan. Tidak ketinggalan, dendangan Aizat dan Atilia hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo.

Talentime, filem terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama Chilli Pepper Film ini menjengah pawagan tempatan seluruh tanah air mulai 26 Mac lalu.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro