Archive | Serina Redzuawan RSS feed for this section

Shake Serasi Watak Matang

18 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
RUPA paras langsung tidak mencerminkan usia pelakon baru, Sheikh Bolkhiah Sheikh Ahmad, 23, atau Shake. Disebabkan itu juga, pemuda yang berasal dari Klang, Selangor ini kerap mendapat kepercayaan pengarah dan produksi tempatan untuk membawakan watak ahli korporat atau dewasa.

Anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik itu sudah membintangi lebih 20 drama antaranya Jaringan, Bezanya Cinta, Datin Diaries, Duranni, Gerak Khas, Cinta Zanita, Roda-Roda KL, Farah Syakira, KL To Queenstown selain Dua Kali Aku Mencintaimu menerusi Astro Prima tidak lama lagi.

Bercerita mengenai pembabitan dalam dunia lakonan sejak tiga tahun lalu, Shake yang pada asalnya menyertai program realiti bola sepak, Soccer Star terbitan Astro sebelum mendapat peluang terbabit dalam bidang itu selepas beberapa kali menyertai sesi uji bakat.

“Saya hanya terbabit dalam program realiti berkenaan sehingga minggu kedua. Begitupun, saya mendapat peluang dan kesempatan sebagai peserta program berkenaan dengan menghadiri beberapa sesi uji bakat membabitkan iklan komersial dan lakonan.

“Penampilan pertama dalam lakonan menerusi drama Jaringan arahan Kamaludin atau Pok Din. Walaupun penampilan sebagai watak tambahan, namun ia sedikit sebanyak memberikan saya ruang dan pengalaman baru dalam lakonan. Sejak itu, saya kemudian diberi peluang membintangi beberapa drama televisyen dan iklan komersial,” katanya.

Disamping terbabit dalam bidang seni, Shake juga bertugas sebagai Pengurus Al-Amin Travel Management & Services Sdn Bhd yang mengendalikan pakej umrah dan pelancongan.

Sebagai pendatang baru, dia cukup mengagumi pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam. Malah, dia menyifatkan pengarah berkenaan sebagai sumber rujukan terbaik baginya.

“Saya terbabit dalam beberapa babak menerusi drama Gerak Khas di bawah bimbingan Datuk Yusof dan anaknya Shamsul Yusof. Malah, gelaran Shake sendiri diberikan Datuk Yusof. Pada saya, dia adalah bapa dalam bidang ini.

“Datuk Yusof juga banyak mengajar saya dalam selok- belok lakonan. Saya sangat menghormati dan menganggapnya sebagai bapa di tempat kerja,” katanya.

Dalam drama itu, Shake memainkan peranan sebagai Lanskoperal Amir. Drama bersiri yang disiarkan di RTM2 setiap Selasa, jam 10 malam turut dibintangi Serina Redzuawan, Suhaiza Suhaimi, Buzen dan Zack Kool.

Shake dijangka tampil di layar perak menerusi filem Kantoi yang dijadualkan tayangannya pada tahun depan. Dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama Santau arahan Rashid Sibir yang turut dibintangi Fasha Sandha, Balkish dan Norlia Ghani.

Menurut Shake lagi, dia tidak memilih soal watak, sebaliknya mahu mencuba pelbagai watak bagi memenuhi kepuasan dalam bidang lakonan.

“Tidak dinafikan kebanyakan watak yang diberikan kepada saya dengan karakter yang lebih matang pada usia sebenar. Mungkin disebabkan rupa paras saya yang nampak matang. Saya juga suka membawakan watak korporat dan lelaki dewasa kerana ia lebih mudah. Begitupun, saya sentiasa bersedia dan mahu mencuba karakter yang pelbagai,” katanya.

Harian Metro

Tanpa Kekasih? Tak Kisahlah

26 Sep

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

APABILA dua nama selebriti ini bertemu, ada saja yang mereka bualkan. Daripada cerita mengenai teman-teman yang dikenali hinggalah kepada kisah persiapan raya, celoteh mereka langsung tak henti-henti.

Gamat dan jadi riuh rendah jadinya di bilik persalinan studio Utusan. Walhal, hanya mereka berdua di dalam bilik itu.

Asalnya, dua nama popular ini masing-masing mempunyai sesi fotografi yang berbeza. Namun, bila melihatkan keserasian mereka, terus saja penulis meminta mereka untuk digandingkan bersama. Hasilnya, gambar Sarah Raisuddin dan Serina Redzuawan kelihatan seperti teman akrab.

“Bagus juga ambil gambar sekali, rasa macam kami ni satu kepala biarpun sebelum ini kami jarang berjumpa,” kata Serina.

Kemudian, si penyanyi genit ini pula mencelah: “Itulah, kalau nak tahu, saya ni peminat setia ayah dia (Chef Wan). Bolehlah nak minta resepi lebih-lebih,” tuntas Sarah sambil menghadiahkan ketawa kecil.

Sedikit demi sedikit penulis cuba menyelongkar ceritera menarik mereka, dan tidak sukar untuk meminta dua selebriti ‘S’ ini berkongsi kisah-kisah mereka.

Raya tanpa orang disayangi

Bila tibanya hari raya, mulalah, segala nostalgia manis mahupun pahit dikenang kembali. Apalagi bila seseorang itu baru saja putus cinta, tiada lagi teman untuk bermanja di hari lebaran yang penuh bermakna ini.

“Tahun ini merupakan tahun sedih saya kerana dua lelaki yang saya sayangi iaitu ayah dan bekas teman lelaki tiada di sisi untuk menyambut Aidilfitri.


DUA artis berbeza genre seni, tetapi bila bertemu bagaikan teman rapat yang sehati sejiwa.

“Sekarang ni ayah saya sibuk dengan penggambaran di China. Terpaksalah saya beraya di kampung ayah, Sungai Koyan, Pahang tanpa dia.

“Kalau abah ada, memang tak akan menang tangan untuk melayan peminat-peminat yang bertandang ke rumah. Dan pasti meriah bila abah ada. Tapi, saya tetap balik kerana nanti bila peminat datang rumah, saya pula tak ada, rasa tak seronok pula.

“Selain itu, saya mahu bersama datuk dan nenek saya. Saya rasa inilah masanya untuk kita dekatkan diri dengan mereka. tak mahulah nanti bila mereka tiada masa itulah baru menyesal kerana mengabaikan mereka,” ujar Serina dengan nada sedih.

Kesedihannya beraya tanpa bekas teman lelaki yang baru saja putus cinta beberapa bulan yang lalu turut memberi impak kepadanya. Manakan tidak, keseronokan raya pada tahun-tahun sebelumnya sering dikongsi bersama, tiba-tiba kali ini tiada lagi insan yang berkongsi kasih bersama-sama di Aidilfitri.

“Memang bila sudah putus cinta kita akan rasa kekosongan. Tapi nak buat macam mana, kenalah terima ketentuan Tuhan yang kami tak mungkin bersama macam dulu lagi.

“Dulu, bila raya, kami sering bertandang ke rumah sesama sendiri untuk berkenalan dengan ahli keluarga. Lepas itu kami akan sama-sama beraya ke rumah rakan-rakan. Nampaknya tahun ini semua itu tinggal kenangan saja,” ujarnya.

Lain pula bagi penyanyi bersuara lantang Siti Sarah. Sungguhpun baru saja putus tunang, belum lagi memori-memori indah bersama bekas tunang yang melekat di hatinya.

“Sebenarnya, saya belum ada pengalaman menyambut hari raya bersama-sama dengan bekas tunang saya. Tahun lepas masa saya beraya, dia tiada di Malaysia kerana menemani ibunya di Sydney, Australia.

“Sebab itu saya tak rasa sedih sangat bila tibanya hari raya sebab tak ada kenangan dengan dia. Lagipun kami masih lagi berhubung melalui telefon sebagai teman. Jadi, tak adalah rasa sangat ketiadaannya. Sarah dapat tahu sekarang ni dia juga masih lagi belajar dan berpuasa. Cuma kami tak mungkin beraya sekali,” ujar Sarah.

Bila makan rendang arnab…..

Memori tentang hari raya tidak mungkin dilupakan walau semakin hari kita semakin menjengah ke alam dewasa. Dan seperti biasa, ia akan menjelma semula didepan mata setiap kali kita meraikan hari yang mulia itu. Dan bagi kedua-dua artis popular ini, banyak juga kenangan yang masih melekat diingatan. Biasalah, bila di musim raya, acara wajib yang harus dilakukan ialah mengunjungi rumah teman-teman dan saudara mara.

Apalagi, bila berjalan dari rumah ke rumah, pasti pelbagai ragam dan memori indah yang berlaku.

Agak sukar untuk dilupakan, tatkala menziarahi teman di kampung, satu pengalaman yang sukar digambarkan apabila Serina memakan daging arnab.

“Aduh, saya pun tak tahu sama ada ia pengalaman lucu ataupun ngeri. Ceritanya macam ni, saya memang selalu ke rumah teman saya untuk bermain-main dengan arnab dan kadang-kadang saya beri makan.

“Lepas tu, bila raya, saya dan keluarga pun pergi rumah dia dan mereka pun hidangkan pelbagai jenis makanan. Bila makan rendang mereka, rasa macam sedap sangat. Saya pun tanya kawan saya, rendang apa ini? Dia pun kata rendang arnab. Masa itu saya okay lagi.

“Lepas makan, saya pun ke belakang rumah untuk bermain-main dengan arnab tu, tapi dah tak ada. Rupa-rupanya kawan saya ni memang bela arnab untuk dimakan.

“Masa tu, susah nak cakap. Rasa kesian, sedih dan ngeri pun ada. Mana taknya, sebelum ini saya punyalah belai arnab tu, tiba-tiba saya pula yang makan arnab tu,” cerita Serina.


MENYAMBUT hari raya tanpa kekasih tersayang, bukan alasan untuk berdukacita bagi mereka.

Fobia main mercun

Tatkala kanak-kanak sibuk bermain bunga api dan mercun, Sarah pula lebih selesa duduk di tepi sambil melihat kegembiraan orang lain.

Takut kejadian sama berulang lagi, seboleh-bolehnya Sarah cuba menjauhkan diri daripada permainan ‘merbahaya’ itu.

“Sebenarnya saya begitu fobia dengan mercun. Bayangkan, ketika berusia 10 tahun, kain saya terbakar akibat terkena mercun. Nasib baik badan saya tak kena apa-apa. Sampai sekarang, bila dengar mercun pun meremang bulu roma saya.” kata Sarahyang akan balik ke kampung halaman ayahnya di Perak.

Yang penting, erti raya bagi Sarah ialah beraya bersama seluruh saudara mara yang dekat mahupun jauh.

“Tahun ini agak meriah sikit sebab semua saudara mara akan balik kampung. Bila mereka dah ada, pasti pelbagai juadah raya yang akan dimasak nanti,” ujar Sarah yang turut menggemari makanan Soto Ayam serta ketupat rendang ayam.

Kosmo

Siri Baru Roda-Roda KLdi RTM2

19 Sep

DRAMA-DRAMA terbitan syarikat produksi, Skop Production Sdn. Bhd. sememangnya tidak pernah menghampakan penonton terutama melibatkan drama polis.

Terbaru, syarikat berkenaan menerbitkan Roda-Roda KL yang mengangkat usaha murni anggota polis trafik dalam menggalas tugasan seharian mereka.

Menyedari, minat penonton terhadap drama-drama berkenaan, RTM menerusi RTM2 mengambil inisiatif menyiarkan Roda-Roda KL pada setiap hari Selasa, pukul 10.00 malam.

Setiap minggu drama itu mengetengahkan episod-episod berbeza menerusi tajuk Pelumba Malam, Taktik, Semangat Perwira, Integriti dan Liku-Liku Jalanan serta lain-lain.

Penerbitan drama ini pastinya mencetuskan kesedaran dan pengajaran berguna kepada penonton seperti isu lumba haram yang semakin berleluasa di kalangan remaja.

Roda-Roda KL menerusi tajuk Pelumba Malam misalnya, mengisahkan Remy terkenal sebagai pelumba motosikal di sekitar Kuala Lumpur yang di anjurkan oleh Tauke Lim dan Zack.

Pasukan Trafik mendapat maklumat mengenai perlumbaan haram yang rancak diadakan hampir setiap minggu dan mereka giat mencari maklumat dan menjalankan operasi.

Sementara itu, Remy dicabar oleh Malik, pelumba yang memang digeruni satu masa dulu.

Dalam pada itu Kopral Kamarul dan L/Kpl Rina ditugaskan membuat undercover bagi mengesan dalang perlumbaan haram lalu menyamar sebagai mat rempit untuk menumpaskan geng itu.

Sementara itu, menerusi tajuk Taktik pula, ia mengupas kes geng perompak menggunakan taktik dengan melanggar belakang kereta mangsa kemudian menyamun dan melarikan kereta mangsa.

Menerusi episod Liku-Liku Jalanan, Roda-Roda KL memaparkan kisah tugas anggota trafik yang bukan sekadar mengawal lalu lintas, sebaliknya, mereka juga memikul tanggungjawab yang lebih besar termasuk kerenah dan rungutan daripada orang awam dan juga ketika berurusan dengan golongan elit dan orang atasan.

Roda-Roda KL menampilkan pelakon-pelakon seperti Serina Redzuawan, Zack Kool, Suhaiza Suhaimi, Husain Hashim dan Aisyah Atan.

Roda-Roda KL ditayangkan di RTM2 pada setiap hari Selasa pukul 10.00 malam.

Utusan Malaysia

Kisah Artis Di Bazar Ramadan

13 Sep

BULAN Ramadan yang mulia ini datangnya hanya sekali saja dalam setahun. Pastinya ia amat dinanti-nanti oleh umat Islam termasuklah para artis kita.

Kebanyakan daripada mereka mengambil inisiatif bulan Ramadan untuk merehatkan diri dan mengurangkan segala aktiviti seni untuk memberi lebih tumpuan pada ibadah puasa ini.

Bagaimanapun, bagi artis yang memiliki kepakaran memasak, bulan puasa merupakan bulan untuk mencari duit poket tambahan, apabila mereka turut serta sebagai penjual di tapak bazar Ramadan.

Sambutannya, jangan cakaplah. Kalau mereka itu artis terkenal pastinya makanan yang dijual itu laku bak goreng pisang panas, terutamanya sambutan daripada peminat mereka sendiri. Apatah lagi kalau makanan tu sedap dan menyelerakan. Berbaloi peminat berbaris panjang sekalipun.

Ini tidak secara langsung membuktikan para artis kita pun punya daya keusahawanan yang cukup bagus, dan ada antara mereka yang saban tahun akan membuka gerai di bazar Ramadan, kata mereka rezeki tambahan.

Tahun ini antara artis kita yang sibuk berniaga ialah Serina Redzuawan, Nadia AF6, Shamsul Ghau-Ghau, Rosnah Mat Aris, dan Nadia Mustafar. Itu Yati baru menyebut beberapa nama, sebenarnya ramai lagi artis kita yang sibuk berniaga.

Okey kita lihat apa pendapat pembaca Kosmo! tentang artis dan bazar Ramadan ini.

Saya pernah nampak beberapa artis berniaga. Memang ada bezanya sebab kedai artis pastinya dikerumuni ramai peminat. Tabik buat mereka

yang walaupun sibuk dengan pelanggan, tetap kekalkan penampilan dan ramah melayan peminat, itu yang seronok tu.AIDA MUHAMAD,
PUCHONG, SELANGOR
aidaberdesup@yahoo.com.

Bagi saya, bulan Ramadan ini memberi lebih rezeki kepada kita semua. Artis yang sibuk berniaga nampaknya mereka sedar, banyak lagi cabang untuk memperolehi rezeki. Mana tahu kalau sudah tidak popular nanti mereka akan membuka kedai makan pula.
SHAMSUL JAMIL,
SUNGAI BULOH, SELANGOR
haydensyam@yahoo.com

BULAN puasa ini artis pun nak tambah duit untuk raya, sebab perbelanjaan mereka mungkin lagi besar. Berniaga di bazar ini cukup bagus kerana mereka tidak malu untuk sama-sama berniaga dengan orang biasa.
WAN AHMAD DASUKI,
PETALING JAYA, SELANGOR
d.4s_cr3w@yahoo.com.

Hai, saya rasa peluang artis berniaga sempena bulan yang mulia adalah sesuatu yang amat bagus sekali. Selain mencari rezeki yang halal, secara tidak langsung peminat dapat berjumpa secara terbuka dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat lagi.
IDREES,
KUALA LUMPUR
idreesiss@gmail. com.

Kosmo

Orang Bercakap Tentang: Artis Dan Jualan Raya

7 Sep


Nadia Mustafa

SEMPENA Ramadan ini, memang ramai artis yang ‘berehat’ daripada dunia seni dan menumpukan perhatian kepada menjalani ibadah berpuasa. Ramai juga yang mengambil peluang mengunjungi Mekah mengerjakan umrah. Tidak kurang juga yang menjadikan bulan penuh keberkatan ini sebagai sumber rezeki sampingan khususnya kepada mereka yang rajin berniaga.

Ada juga yang baru nak berjinak-jinak dalam dunia perniagaan di bulan Ramadan ini umpamanya Serina Redzuawan yang kini berniaga juadah berbuka puasa.

Namun aktres seperti Nadia Mustafa misalnya menjadi antara artis yang amat rajin mencari rezeki sampingan pada bulan puasa. Saban tahun, dia pasti akan membuka tiga gerai di tapak bazar ramadan sekitar Kuala Lumpur.

Salah satu lokasi pilihannya tentulah di Jalan Silang yang memang menjadi tumpuan warga kota membeli juadah berbuka puasa. Apalagi nasi kukus ayam kampung goreng, menu istimewa Nadia memang jadi rebutan.

Tahun ini Nadia juga membuka gerainya di Desa Panda dan Taman Melati tetapi berbeza dengan tahun-tahun lalu yang mana dia hanya menumpukan perhatian kepada menjaga gerai, tahun ini dia sibuk di lokasi penggambaran.

Jadi gerai-gerainya dijaga oleh kakaknya, Roza dan suaminya selain beberapa orang anak muda yang digaji untuk membantunya menjaga gerai.

Hah! Itu belum kira bisnes produk kecantikannya, Nadia Chantik yang Wanda dengar laris dan mendapat sambutan ramai. Iyalah siapa yang tak mahu cantik! Selain itu Ifa Raziah juga antara artis yang tidak jemu-jemu berniaga. Selain produknya kecantikan Serifah, dia juga galak berniaga biskut raya.

Tidak ketinggalan mereka yang rajin berniaga ialah penyanyi Deja Moss yang terus memasarkan kek lapis Sarawak yang memang popular dan mendapat permintaan tinggi pada musim-musim perayaan.

Ada juga yang tidak hanya menyasarkan rangkaian perniagaan kepada makanan sahaja sebaliknya mencuba nasib memasarkan produk wangian seperti pengacara Roslan Shah.

Dia sekarang sedang hangat dengan perniagaan minyak wangi tanpa alkohol yang boleh dibawa sembahyang. Minyak wangi tersebut diinspirasikan daripada jenama terkemuka minyak wangi dan terdapat dalam jenis jenis bauan untuk lelaki dan wanita.

Harganya murah sahaja iaitu RM35.

Utusan Malaysia

Putus Cinta Kerana Wang?

19 Aug

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

SUATU ketika dahulu, tatkala sedang hangat dibuai cinta, langsung dia tidak mendapat restu daripada keluarganya. Namun apabila cinta barunya disambut baik oleh seluruh ahli keluarga, putus pula ikatan kasih dengan pemuda yang disangka mampu dijadikan teman hidup hingga ke akhir hayat.

Pernah teringat kembali kata-katanya dulu dalam sebuah artikel, ‘cukuplah dengan lelaki ini dan biarlah hubungan kami berakhir sebagai suami isteri’.

Apa yang boleh dibuat, biarpun sudah dua tahun bercinta, takdir tidak boleh dilawan, hanya selamat tinggal yang mampu diucapkan. Begitu pun bagi Serina Redzuawan, biarpun baru beberapa bulan hidup tanpa cinta, tidak bermakna dirinya perlu berkurung diri bagi mengenangkan nasib yang menimpa.

“Saya bukannya jenis yang memandang ke belakang kerana percaya, kita akan lalui trek hidup yang telah ditetapkan.

“Kadang-kala, kita akan berjumpa dengan seseorang untuk mendapatkan pengajaran bagi meneruskan kehidupan dan yang penting, ia membuatkan diri semakin matang lagi,” tuturnya berterus terang.

Bagi Serina, tindakan memutuskan perhubungan secara baik adalah satu keputusan besar dan sukar untuk dilakukan. Namun, demi masa depan masing-masing, dia akur.

“Memang kami saling mencintai antara satu sama lain. Tapi nak buat macam mana, saya sibuk dengan kerjaya. Dia pula, syarikat telah menghantarnya ke Amerika Syarikat untuk bekerja di sana. Dari segi masa, dah berbeza, susah nak hubungi.

“Dan perlu diingat, cinta jarak jauh adalah satu perkara yang agak sukar. Lagipun, dia baru nak membina kerjayanya dan saya tak nampak yang dia sudah bersedia.

“Tapi tak bermakna kerana kewangannya belum stabil, kami putus, tidak sama sekali. Sekarang ni, orang selalu tanya, dah alang-alang keluarga bersetuju, kenapa nak putus? Semua ini untuk kebaikan kami bersama,” ujarnya.

Tambah gadis manis berusia 25 tahun ini, dia akui, sungguhpun masing-masing telah membuat keputusan muktamad, cintanya itu masih lagi berbekas di dalam hatinya.

Walaupun gusar untuk seseorang membuka lembaran baru untuk memiliki sebuah cinta, Serina langsung tidak berputus asa untuk memiliki cinta yang baru.

“Saya tidak serik untuk bercinta. Cinta datang dan pergi selagi belum ada jodoh yang sesuai. Ini semua lumrah kehidupan kita untuk mendapatkan pengajaran.”

Ternyata, diri Serina begitu cekal dalam menghadapi sebarang masalah. Mana tidaknya, biarpun putus, saat ditemu bual, dia langsung tidak menunjukkan ciri-ciri kesedihannya.

Seperti tiada masalah yang melanda dalam dirinya. Malah, sepanjang sesi temu bual diadakan, Serina tak henti-henti bercakap sambil bergurau-senda.

Tidak tahu ayah sakit

Baru-baru ini, bapa Serina, pakar masakan selebriti, Chef Wan membuat kenyataan akhbar dia diserang penyakit misteri. Saat diajukan mengenai hal itu, Serina mengakui dia sendiri tidak mengetahui mengenai penyakit ayahnya sebelum ini.

“Ayah memang macam tu. Kalau boleh, dia tak nak sesiapa pun tahu mengenai kesusahannya. Ayah tak mahu lihat orang lain risau.

“Sampaikan saya dan abang (Nazri) serta keluarga terdekat lain pun tak tahu sampailah bila cerita mengenai penyakitnya tu keluar di akhbar,” ujarnya.

Tambahnya dalam nada tegas, “Mula-mula terkilanlah sebab kami yang rapat dengannya pun dia tak nak berkongsi masalah. Tapi bila fikirkan semula, mungkin ada sebab-sebab tertentu mengapa ayah tak mahu beritahu mengenai penyakit misterinya.

“Anak mana yang tidak sedih bila melihatkan ayah merana. Saya tak faham, kenapa mereka sanggup buat begini pada ayah saya. Bagi saya, orang-orang ini adalah makhluk Tuhan yang kejam.”

Namun, kata Serina, di sebalik penyakit ayahnya itu pasti ada hikmahnya kerana apa yang berlaku kini Serina semakin akrab dengan ayahnya.

“Saya tak tinggal serumah dengan dia. Tapi bila perkara ini terjadi, hubungan kami semakin akrab. Kami banyak menghabiskan masa membeli belah, tengok wayang dan makan bersama. Mungkin semua ini ada hikmahnya.

“Alhamdulillah sekarang ni penyakit ayah semakin pulih sejak berubat. Lagi satu, saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat-peminat kerana mereka juga banyak membantu mencari tempat-tempat untuk berubat,” katanya.


KESIBUKAN rutin harian menjadikan Serina teruja dengan kehidupan.

Sibuk urus syarikat sendiri

Beralih pula tentang kerjayanya, Serina mangakui wajahnya sudah lama tidak menghiasi di mana-mana dada akhbar.

Bukan kerana tidak laku, sebaliknya, jadual harian si gadis lincah ini sentiasa penuh. Mahu mencuri masanya untuk ditemu bual pun agak sukar. Nasib baiklah Serina sempat meluangkan masa bersama Kosmo! untuk seketika.

“Saya tahu, tak banyak cerita saya dalam akhbar. Mana taknya, setiap kali wartawan akhbar minta untuk membuat sesi fotografi, saya tidak mempunyai masa.

“Bayangkan, pagi-pagi saya keluar rumah untuk ke lokasi dan bila balik pada keesokan pagi pula.

“Lagipun, kini wajah saya dah tak banyak terpampang di kaca TV3. Saya banyak berlakon dalam saluran RTM buat masa ini,” ujar pelakon drama bersiri Polis Trafik ini.

Lebih membuatkan dirinya tidak cukup masa ialah apabila Serina menguruskan syarikatnya sendiri, Real Wonders Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah, setakat ni syarikat saya semakin berkembang. Ia lebih kepada menerbitkan rancangan televisyen dan juga pengurusan majlis.

“Insya-Allah kalau jadi, saya mahu terbitkan program bual bicara bersama ayah. Itu impian saya, kerana selama ini, kami membuat kerja masing-masing.

“Dengan adanya program ini, saya harap ia dapat mengeratkan lagi perhubungan kami. Lagipun, pasti semua tahu kan kalau saya dan ayah bergabung, mesti kecoh. Maklumlah, ayah banyak sangat bercakap,” akhirinya.

Kosmo

Bukan Dejavu Cetus Pelbagai Emosi

13 Jul

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Foto ZAKARIA IDRIS


PELBAGAI pergolakan jiwa dipaparkan sama ada kisah duka ataupun lucu.

HASIL karya asal Ismail Kassan ini ternyata memberi impak besar kepada penonton dalam merungkai masalah keluarga dan sosial yang sering kali dialami oleh masyarakat.

Bukan Dejavu arahan Siti Rohayah Attan ini antara teater bertemakan isu padat dengan kisah berat dan menampilkan barisan pelakon yang tidak pernah menghampakan penonton.

Tidak dinafikan, dia bukan sahaja menghiburkan dengan unsur lucu tetapi mampu membuatkan penonton menitis air mata.

Kehadiran Parjo dan teman-temannya yang lucu dengan peluang ruang lakon yang lebih luas akan pasti menghiburkan penonton sambil menyaring banyak pelajaran dan pengajaran.

Bagaimana Parjo dan teman-temannya agak kelam-kabut mengendalikan seekor kambing yang akan disembelih untuk dibuat kenduri.

Tentunya kehadiran kambing sebagai salah satu prob pementasan mengundang tanda tanya penonton.

Tidak ketinggalan, penderitaan jiwa seorang wanita akibat kebuasan sikap manusia mampu melahirkan kedukaan jiwa.

Penderitaan lahir dan batin ini ditampilkan dengan sangat berkesan oleh watak Jamiliah.

Pastinya, air mata penonton akan lahir untuk rasa simpati mereka kepada Jamiliah. Rasa simpati dan empati inilah yang ingin dicetuskan agar segala bentuk masalah sosial ini menyedarkan sekali lalu mendidik masyarakat sesuai dengan hasrat pemimpin negara ini mahu rakyat membentuk keluarga yang penyayang.

Tidak kurang menariknya, kisah dua pendatang Indonesia yang hidup dibelenggu kemiskinan, Narti dan Yanto yang merindui kampung halaman sekalipun sudah sepuluh tahun merantau di negara ini antara tema kemasyarakatan menarik yang diangkat dalam teater ini.

Cerita ini cukup realistik dengan kehidupan manusia pada hari ini.

Tema yang diketengahkan berjaya menyuntik pelbagai perasaan dan kesedaran tentang bahana isu GRO, haruan makan anak sehingga hubungan anak dan ibunya sendiri.

Isu-isu ini bukan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat malah tidak pernah tenggelam tetapi satu penyelesaian perlu dilakukan untuk membenamkan isu ini.

Nyata, produksi teater ini cukup beruntung dalam menerokai permasalahan masyarakat ini dengan mengetengahkan pelakon-pelakon yang rata-ratanya berpengalaman dan berwibawa.

Misalnya, lakonan berkesan dari Norish Karman yang membawa watak perempuan GRO bernama Nora ternyata hampir sempurna dengan aksi yang kelihatan tiada salah walaupun masih ada kesalahan dialog yang tidak ketara. Watak seorang ibu yang disingkir anak sendiri cukup berkesan dengan mainan emosi.

Pergolakan anak dan ibu ternyata antara babak yang mampu membuatkan penonton tersedu dan mengalirkan air mata.

Kehadiran pelakon, Safura antara watak wanita yang melengkapi keseluruhan teater ini.

Watak Safura sebagai Ustazah Salmi antara perubahan baru sepanjang kariernya.

Dengan nada lembut dan bertudung litup merupakan sesuai untuk dirinya yang lemah gemalai itu.

Kejutan lakonan watak antagonis oleh Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Tahir yang merogol anak sendiri sehingga mengandung antara babak yang penuh debaran.

Keseluruhannya, teater ini berjaya menampilkan pelbagai pengajaran dan teladan untuk masyarakat di samping cetusan pelbagai emosi.

Dialog-dialog dalam naskhah ini padat dengan falsafah dan pengajaran walaupun disampaikan dengan cara yang lucu dan bersahaja. Penonton akan ketawa tetapi sebenarnya mereka mentertawakan diri dan juga pernah mereka lakukan sendiri. Sekurang-kurangnya itulah perlakuan yang juga pernah mereka lakukan sama ada secara sedar atau tidak.

Mendidik dalam konteks cerita ini adalah bersantai sambil gembira tetapi tersindir dalam ketawa.

Justeru, berdasarkan pencapaian cemerlangnya sejak dipentaskan pada 1999, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Badan Budaya DBP serta Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), karya Dejavu terus mendapat sambutan.

Hasilnya, pementasan sekuelnya pula berjudul Bukan Dejavu di DBP, Kuala Lumpur pada 9 hingga 13 Julai pasti menjanjikan sesuatu yang hebat.

Naskhah Bukan Dejavu adalah sambungan daripada Dejavu karya penulis yang sama dipilih sebagai Persembahan Teater Perdana DBP tahun ini.

Jika skrip Dejavu pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2004, Bukan Dejavu pula adalah pemenang hadiah pertama Pertandingan Menulis Skrip 50 Tahun DBP, tahun lalu.

Mengimbas sejarah naskhah ini, Dejavu pernah dipentaskan dan diarahkan oleh Siti Rohayah Attan sebanyak tiga kali. Kali pertama dipentaskan dengan menggunakan judul Dejavu Seorang Perempuan pada 23 hingga 30 Oktober 1999 di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Kuala Lumpur. Antara pelakonnya, Erma Fatima, Aida Aris, Aida Rahim, Norzizi Zulkifli, Shukor Yon dan M. Redzuan Deen.

Kali kedua, naskhah ini dipentaskan pada 24 hingga 29 Januari 2004 di tempat sama dan menampilkan Fauziah Datuk Ahmad Daud, Juhara Ayob, Melissa Saila, Norzizi Zulkifli, Mubarak Majid, Shukor Yon dan Shahronizam Noor.

Pementasan kali ketiga pula di Panggung Sari, Istana Budaya pada 18 September 2004. Pelakonnya ialah Fauziah Ahmad Daud, Safura Yaacob, Serina Redzuawan, Rozie Rashid, Shukor Yon, Zuhairi Ibrahim,Juhara Ayob, Yussak Kassan dan ramai lagi.

Teater Bukan Dejavu dipentaskan di DBP, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam dengan harga tiket RM20, RM30 dan RM50. Manakala, diskaun 50 peratus untuk pelajar dan warga emas. Jangan lupa untuk menyaksikan sebuah karya yang menjanjikan kepuasan yang akan berakhir pada hari ini.

Utusan Malaysia