Archive | Sharifah Aini RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Syed Kechik Dalam Kenangan

25 Apr

Oleh Kadir Dikoh
bminggu@bharian.com.my

SYED KECHIK meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung
BAGI mereka yang pernah membaca buku berjudul The politics of federalism: Syed Kechik in East Malaysia tulisan Bruce Clifford Ross-Larson yang diterbitkan pada 1976, sudah pasti mengetahui betapa berperanan dan berpengaruhnya Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed dalam politik Sabah dan Sarawak pada era akhir 1960-an dan awal 1970-an.

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1928, Syed Kechik disifatkan sebagai pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung dan pengeluar filem, yang dihantar Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke Sabah untuk membantu kawan baiknya, Tun Datu Mustapha Harun.

Mustapha yang menjadi Ketua Menteri Sabah antara 11 Mei 1967 hingga 31 Oktober 1975 ialah pemimpin Sabah yang sangat berpengaruh. Ketika Perdana Menteri sewaktu itu menaiki pesawat komersial untuk pergi ke mana saja, Mustapha sudah memiliki jet peribadi.

Syed Kechik yang ditugaskan sebagai penasihat undang-undang peribadi beliau, dikatakan orang yang paling dipercayai oleh Mustapha hingga ada yang menggelarnya sebagai ‘Ketua Menteri Sabah yang sebenar’.

Menurut buku itu lagi, Syed Kechik juga memainkan peranan belakang tabir atas arahan Tunku bagi membantu menyelesaikan krisis perlembagaan di Sarawak pada 1966 apabila Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Stephen Kalong Ningkan enggan meletak jawatan setelah menerima undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.

Membaca buku itu seolah-olah kita menonton filem James Bond, ‘melihat’ (membaca) bagaimana liciknya Syed Kechik menemui tokoh di belakang tabir dan berhubung dengan Tunku, menelaah undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian tanpa pengetahuan masyarakat umum tetapi didedahkan dalam buku terbabit.

Namun, peranan sebenar Syed Kechik lebih tertumpu di Sabah. Pada mulanya, Syed Kechik bertugas sebagai Penolong Setiausaha Parti Perikatan Kedah pada 1964 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman (1964-1967) sebelum ditugaskan selaku Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Sabah dan Menteri Pertahanan Awam, Tun Mustapha (1966-1967).

Sejak itu, Syed Kechik begitu rapat dengan Mustapha yang bukan saja sebagai pembantu khas, malah diberi pelbagai jawatan seperti Ahli Majlis Eksekutif Negeri bagi parti Usno (1968-1972); Setiausaha Agung Persatuan Islam Bersatu Sabah (Usia) 1969-71; Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (1970-71) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (1975-76).

Lapan tahun, Syek Kechik membantu Mustapha selaku Ketua Menteri bukan saja berpengaruh dalam politik bagi memperkukuhkan kedudukan pemimpin ulung Sabah itu, malah membantu mengukuhkan ekonomi negeri.

Beliau membina Yayasan Sabah, yang digunakan oleh Mustapha sebagai instrumen utamanya untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kuasa politik. Yayasan itu antara lain berperanan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera Sabah. Ia juga turut menyediakan tajaan dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak Sabah.

Bagaimanapun kemelut dalaman yang berlaku dalam parti Usno pimpinan Mustapha menyebabkan parti itu tewas kepada Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh pada pilihan raya negeri 1976. Pergolakan dalaman dan kekalahan itu membawa Syed Kechik kembali ke Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman dan pengaruh dalam dunia politik, Syed Kechik kemudian membabitkan diri secara serius sebagai ahli perniagaan, dengan pembabitannya dalam pembangunan hartanah, perhotelan, projek perumahan dan pelaburan asing.

Antara pelaburan terbesar Allahyarham ialah dalam projek pembinaan Wisma On Tai sekitar 1970-an. Syed Kechik juga adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah Sri Hartamas Corporation Bhd. Kejayaan yang dilihat sebagai mercu tanda kepada orang Melayu ialah apabila Syed Kechik berjaya memiliki bangunan sendiri iaitu Yayasan Syed Kechik di Bangsar.

Bagaimanapun, Syed Kechik memulakan kerjayanya dalam perniagaan dan politik agak lambat. Sebagai remaja, beliau membantu ayahnya di kedai dobi dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk belajar dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa di University of California.

Oleh kerana kesempitan hidup, beliau sanggup bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di restoran dan sebagai pelayan (waiter) untuk mencari rezeki menampung perbelanjaan. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London sebelum kembali ke Malaysia dan terus membabitkan diri dalam politik Umno di Kedah.

Di situlah beliau mula mengenali Tunku Abdul Rahman dan kemudian diminta oleh Bapa Kemerdekaan itu untuk ke Sabah, Negeri Bawah Bayu yang berjaya menukar corak kehidupannya. Beliau tidak berfikir dua kali untuk menerima tawaran membantu Mustapa.

Apabila kembali ke Semenanjung setelah berakhirnya penguasaan Usno pimpinan Mustapha di tangan parti Berjaya pimpinan Harris, Syed Kechik menumpukan penuh perhatian kepada bidang perniagaan hingga muncul antara Bumiputera pertama menjadi ‘multi-millionaires’.

Syed Kechik adalah juga Presiden pertama Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM) setelah terpilih dengan menewaskan Tan Sri Jins Shamsuddin menerusi pengundian pada 1980. Beliau juga mempunyai sebuah syarikat perfileman sendiri iaitu Syed Kechik Film Productions dan filem pertama keluaran syarikatnya ialah Bintang Pujaan yang diterbitkan pada 1979.

Antara filem lain yang diterbitkan oleh Syed Kechik Film Productions yang mendapat sambutan baik penonton ketika itu ialah Sumber Ilhamku lakonan Mahmood Jun dan Datuk Sharifah Aini.

Pada 1990-an, beliau ‘bersara’ daripada bergiat aktif dalam perniagaan dan perfileman dan kembali ke Alor Setar pada usia lanjut, tempat kelahirannya. Syed Kechik meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya merangkap anak saudara iaitu Pengerusi Eksekutif Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar pada 10 April lalu. Amin.

Berita Harian

Dunia Buku: Ragam Kasih Rumiza

10 Apr

Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

Diadun pengarang dengan penuh debar dan mengharukan

TANGGAPAN awal penulis selaku pembaca Kenangan Semalam karya Mazemi Maz bahawa novel ini termasuk dalam kategori kisah cinta biasa yang membanjiri pasaran dan gagal menarik minat untuk menyudahkan bacaan ternyata silap, meskipun tarikannya hanya bermula selepas beberapa bab pertama.

Kenangan Semalam, novel popular tebal pertama pengarang ini nyata mampu memberi kepuasan kepada mereka yang dahagakan kisah cinta, bukan saja disulami konflik pasangan kekasih, tetapi juga kekeluargaan dan nilai persahabatan selepas berkeluarga, asam garam hidup berpoligami serta keyakinan kepada ketentuan Ilahi.

Rumiza yang menjadi penggerak utama novel ini ditampilkan sebagai wanita berpendidikan tinggi sehingga berjaya menjawat jawatan sebagai arkitek di syarikat pembinaan terkemuka, meskipun jelita dan bergaya, tetapi tidak menghiraukan kehidupan berumah tangga.

Kebetulan ibunya, Puan Mariam dan ayahnya, Encik Ramlan pernah berjanji dengan sahabat baik mereka, Wan Mansur, ahli korporat berjaya selepas meninggalkan bidang perguruan, untuk mengikat pertalian keluarga mereka melalui perkahwinan Rumiza dengan Wan Shamsul yang dirancang ketika anak masing-masing masih di alam kanak-kanak.

Bagaimanapun rancangan mereka tidak menjadi apabila Rumiza menolak usul ibunya dengan alasan dirinya belum berkeinginan untuk berbuat demikian, tetapi akhirnya terpaksa mengakui bahawa hatinya sudah tertawan kepada rakan setugas, Faizul.

Faizul, pemuda yatim piatu yang dipelihara ibu angkatnya, Salmiah dengan panggilan ummi, meskipun mendapat sepenuh kasih sayang dan gembira di samping adik angkatnya, Idayu, tetap ada perasaan rendah diri dan berasa berat hati untuk meluahkan isi hatinya kepada Rumiza, meskipun terpikat dengan gadis itu.

Pembaca dihanyutkan pengarang dengan konflik Rumiza dan Faizul yang akhirnya mengikat tali pertunangan selepas Puan Mariam menyuarakan keinginannya untuk segera menimang cucu sebelum nafasnya yang terakhir apabila anak lelakinya, Ramli bertahun-tahun bernikah dengan Tengku Raihanah, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Bagaimanapun kegagalan Faizul untuk menziarahi Puan Mariam yang terlantar sakit di hospital selepas cubaan menelefon dan meninggalkan pesanan ringkas oleh Rumiza menjadi detik hitam dalam perhubungan mereka sehingga akhirnya mengubah pendirian gadis itu terhadap jejaka pujaannya.

Rumiza yang berasa bersalah kerana gagal memenuhi impian Puan Mariam untuk menimang cucu sebelum kematiannya, akhirnya mendorong gadis itu memutuskan ikatan pertunangan yang sudah terjalin, meskipun puas dirayu dan dipujuk Faizul untuk tidak berbuat demikian.

Simpati pembaca pasti berlimpah ruah kepada Faizul apabila pemuda berhati mulia itu diduga Ilahi dengan kemalangan menimpa dirinya sehingga beliau lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, selepas menerima khabar duka daripada tunangannya itu.

Rumiza yang bersimpati dengan nasib malang Faizul dan berasa bertanggungjawab menyebabkan pemuda terbabit menjadi cacat, ingin kembali ke pangkuan, tetapi permintaannya ditolak dan tunangannya membuat keputusan pulang ke Johor Bharu untuk berubat secara tradisional mengikut usul keluarga angkatnya.

Enam tahun berlalu, Rumiza kekal seorang diri dan keinginan untuk berkeluarga kembali mekar selepas pertemuan semula dengan rakan serumahnya Siti Nurhanim yang kini sudah berkeluarga dan mempunyai cahaya mata serta mengemukakan calon suami untuk rakannya itu.

Apakah Rumiza mahu menerima cadangan rakannya selepas dimaklumkan calon suami, Zarul, mendapat izin daripada isteri pertamanya meskipun mengetahui nasib malang ibu saudaranya, Maimunah, isteri kedua kepada Abdul Rahim yang ditinggalkan dan dianiayai dengan ilmu hitam oleh madunya?

Bagaimanakah kesudahan hubungan adiknya, Rubizah, seorang wartawan dengan perwatakan tomboi dan berkasih dengan pemuda hidung belang, Sobrie serta diintai Razif, rakan serumah Faizul, selain siapakah gadis pilihan bekas tunangan Rumiza yang berjaya tampil sebagai seorang doktor selepas kemalangan menimpa dirinya?

Segala-galanya ini akan terjawab apabila membaca Kenangan Semalam yang sarat pengajaran untuk dijadikan iktibar dalam mengharungi kehidupan dan mencari makna bahagia serta keredaan Ilahi daripada segala kisah garapan Mazemie Maz yang khabarnya sudah dicetak ulang.

INFO: Kenangan Semalam Pengarang: Mazemie Maz Tebal: 478 halaman Penerbit: Buku Prima Sdn Bhd Harga RM18.90 senaskhah Bintang: ***

Sejarah kreatif Mazemie Maz

MAZEMIE Maz atau nama sebenarnya Mazmi Muhammad dilahirkan di Kuala Terengganu dan dibesarkan di Dungun, mula bergiat dalam bidang penulisan sajak dan cerpen pada awal 1980-an dan pernah berkhidmat sebagai editor akhbar Kanak-Kanak terbitan Karangkraf dan majalah Bambino terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd selama sembilan tahun.

Ketika di Creative Enterprise Sdn Bhd, beliau pernah diberi tanggungjawab sebagai editor majalah kereta/motor, Sensasi, sebelum beralih tugas sebagai editor majalah kanak-kanak, Usop Sontorian terbitan Kharisma Publications Sdn Bhd selama tiga tahun.

Beberapa buku cerita dan novel kanak-kanak turut ditanganinya dan antaranya ialah Biragas Makhluk Asing, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, yang turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan Tetamu Laut terbitan Edusystem Sdn Bhd.

Mazemie turut menulis empat novel remaja dan dua dewasa yang antaranya diterbitkan Creative Enterprise Sdn Bhd sebelum beliau beralih ke Buku Prima Sdn Bhd selepas memilih untuk menjadi pengarang kreatif sepenuh masa.

Tidak ketinggalan, beliau turut menghasilkan 20 lirik lagu yang dinyanyikan beberapa penyanyi terkenal tanah air seperti Francisca Peter, Sharifah Aini, Jay Jay, Fotograf dan Utopia selain beberapa lagu jenakanya dinyanyikan sejumlah pelawak tanah air.

Berita Harian

Che Mie Kaya Idea Bagus, Kreatif

9 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mohd Arzmy Mohamad

Allahyarham Mohd Arzmy terus kekal dalam ingatan keluarga dan rakan

TUHAN lebih menyayanginya untuk pergi dulu menyahut seruan Illahi pada tengah malam tanggal 5 Mac lalu. Ketika itu industri hiburan, khususnya dunia muzik dikejutkan dengan berita pemergian bekas orang kuat syarikat rakaman EMI (M) Sdn Bhd, Mohd Arzmy Mohamad yang mesra dengan sapaan Che Mie.

Beliau meninggal dunia kerana serangan jantung di sebuah hotel di Ampang ketika sedang bermesyuarat mengenai beberapa projek penerbitan album dan persembahan sebelum dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras.

Itu adalah kali kedua dialaminya selepas 14 Februari lalu dan dimasukkan ke HUKM. Bagaimanapun beliau meminta kebenaran untuk keluar awal kerana perlu melunaskan persiapan Majlis Pelancaran Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 19 Februari lalu.

Nama Che Mie mungkin asing dalam dunia hiburan kerana beliau banyak melakukan kerja di belakang tabir. Bagaimanapun, dikalangan rakan artis, wartawan hiburan dan kakitangan perhubungan rakaman, namanya bukan asing. Allahyarham mula bertugas sebagai Artis & Reportoire di EMI sekitar tahun 1970-an dan beberapa kali meninggalkan syarikat rakaman ini dan kembali semula bertugas di tempat sama.

Sepanjang bersama EMI, Allahyarham pernah terbabit dalam menguruskan promosi, pengedaran dan penerbitan album selain memperkenalkan penyanyi nama besar tanah air yang dikenali sehingga sekarang. Antaranya ialah Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Allahyarham Sudirman, Ella, Fauziah Latiff, Rabbani, KRU dan banyak lagi.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Kosas, Ampang selepas solat Zuhur, pada 5 Mac lalu. Allahyarham meninggalkan tiga anak dan baru saja menyambut ulang tahun ke-55 pada 25 Februari lalu.

Ikuti temubual Hip bersama insan yang cukup berasakan kehilangannya.

Datuk Sharifah Aini

“Kak Pah sudah mengenali sejak 30 tahun lalu, sebelum dia menyertai EMI lagi. Ketika itu, beliau banyak mengikuti persembahan Kak Pah. Beliau kawan dan pekerja EMI yang baik. Malahan, jika ingin mengadakan mesyuarat sekali pun, Kak Pah lebih suka ia diadakan di rumah saja. Lagi pun, Kak Pah suka memasak dan menjamu kawan-kawan di rumah.

“Biasanya Allahyarham selalu menghubungi Kak Pah dan dia akan menyuruh disediakan makanan untuknya. Allahyarham tidak cerewet. Apa saja yang Kak Pah masak, dia makan. Dia juga seorang yang berfikiran terbuka dan setiap masalah ada yang dikongsi bersama. Beliau seorang manusia yang dikurniakan pemikiran yang baik kerana setiap banyak idea yang bagus.

“Kak Pah tak sempat melihat jenazahnya kerana ketika sampai di hospital, Allahyarham sudah siap dikapan. Kak Pah macam tak percaya yang Che Mie kembali ke Rahmatullah. Berita kematiannya, Kak Pah tahu menerusi kiriman SMS daripada Ramli MS dan pesanan ringkas itu dipanjangkan Kak Pah dengan disebarkan kepada rakan yang lain.

“Kali terakhir Kak Pah jumpa Allahyarham sebulan lalu dan sepatutnya hujung bulan ini kami jadualkan bertemu lagi untuk membincangkan mengenai proses pembikinan album terbaru Kak Pah. Sepanjang mengenalinya, Allahyarham tak pernah bercakap mengenai apa juga penyakit yang ditanggungnya. Dengan badannya yang berisi, Kak Pah selalu bertanyakan sama ada Allahyarham okey atau tidak dan jawapan biasa yang selalu diberi ialah tiada apa-apa.”

Anak sulung Allahyarham, Al Azan

“Kami sekeluarga reda dengan kehilangan bapa. Apa yang saya dapat katakan, bapa (Allahyarham) sangat gembira dengan pencapaian kerja dan kebahagiaan keluarganya. Bapa juga yang paling banyak menyokong saya daripada belakang. Kali terakhir saya bertemu Allahyarham pada 4 Mac lalu.”

* Pengarah Urusan Adidas Malaysia yang juga bekas Pengarah Urusan EMI Malaysia, Darren Choy

“Allahyarham pekerja yang dedikasi. Beliau mampu berfikir di luar kotak pemikiran yang biasa. Paling mustahak, ramai pihak termasuk kakitangan di EMI dan rakan artis menghormatinya. Sudah lebih 13 tahun saya mengenalinya dan dia boleh diibaratkan sebagai mentor yang banyak mengajar dan berkongsi pengalaman. Walaupun Allahyarham bergelar pekerja di bawah saya, tapi saya masih menghormatinya lebih daripada itu. Allahyarham bersikap terbuka dan bersedia menerima idea baru daripada orang lain.”

Bekas Pengurus Promosi & Iklan EMI kini bertugas di stesen 8TV, Nawar Deres

“Beliau penuh dengan sifat kebapaan. Sepanjang mengenalinya, dia seorang yang tegas, gila-gila dan kreatif. Malahan, ideanya sesekali akan menjadi bernas dan menjadi ikutan. Kadang-kadang, idea yang diluahkannya langsung tak pernah terfikir dek akal kami.

“Banyak kenangan yang saya kongsi bersama Allahyarham. Selalunya, kalau di bilik mesyuarat, staf EMI lain pasti berperang mulut dengannya. Pada akhirnya, kami akan mendapat hasil dan kata sepakat. Selepas mengikuti kursus pada 2002, hubungan saya dengan Allahyarham lebih rapat. Ibaratnya hubungan kami dengannya seperti bapa dan anak.”

Pengarah Urusan Mahir Entertainment dan bekas Pengurus Kanan Bahagian Promosi EMI, Normahiran Yusof

“Sebagai rakan baik, saya pernah bekerjasama dengan Allahyarham selama lima tahun. Saya seronok bekerja di bawahnya kerana tak dinafikan ideanya ada kalanya tidak langsung terdetik dek akal fikiran kita. Apabila anak buah tidak memberikan prestasi kerja yang baik, sayalah yang ditegur dulu.

“Saya pernah menangis kerana tekanan kerja dan tegurannya. Tapi saya tahu apa yang Allahyarham lakukan semata-mata untuk kebaikan syarikat. Ramai penyanyi yang mendapat bimbingannya seperti KRU, Sharifah Aini dan Ella akhirnya menjadi penyanyi berjaya. Idea promosi luar biasa album KRU adalah hasil kreativitinya. Begitu juga dengan idea menggandingkan suara Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan KRU dalam lagu Getaran Jiwa”.

Ketua Pengarah Eksekutif KRU Studio, Norman Abdul Halim

“Saya mula mengenali Allahyarham pada tahun 1992 dan ketika itu, beliau bekerja di EMI. Malah kontrak kami bersama EMI dikeluarkan Allahyarham sendiri. Sepanjang kerjaya KRU sendiri sebagai penerbit dan artis rakaman, Allahyarham paling banyak memberi sokongan dan bimbingan. Allahyarham menyertai syarikat kami pada 2003 hingga 2005.

“Antara kenangan manis yang masih diingati ialah sewaktu berada di luar negara. Selalunya kalau ke luar negara, kami selalu menghabiskan masa yang panjang bersama. Mengenali Allahyarham, beliau seorang yang jujur dan tidak kedekut ilmu. Malahan, saya menganggapnya sebagai seorang sahabat yang baik dan pada masa yang sama sangat tegas kerana tahu hala tujunya.”

Berita Harian

'Saya Nak Pergi Tempat Tenang'

6 Mar

DOA...rakan dan artis berdoa ketika menziarahi <br>jenazah Mohd Arzmy, semalam.
DOA…rakan dan artis berdoa ketika menziarahi
jenazah Mohd Arzmy, semalam.

KUALA LUMPUR: “Saya nak pergi tempat yang tenang.” Demikian kata-kata terakhir Allahyarham Mohd Arzmy Mohmad, 55, bekas Ketua Operasi Bahagian Domestik syarikat rakaman, EMI Malaysia Sdn Bhd kepada isterinya sebelum keluar rumah untuk menghadiri mesyuarat di Hotel Flamingo, Ampang, kelmarin.

Allahyarham yang terkenal kerana jasanya membantu menaikkan nama artis seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Hail Amir, Uji Rashid, Datuk Sharifah Aini, Ella, Rabbani, Amuk, Cromok dan Butterfingers meninggal dunia di Hotel Flamingo akibat serangan jantung kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Isteri Allahyarham, Asma’ Mohammad, 43, berkata pagi sebelum kejadian, Mohd Arzmy sempat berseloroh mahu ke tempat yang tenang, tetapi tidak menyangka ia satu petanda dia akan kehilangan suami tercinta buat selamanya.

“Sepatutnya hari ini (semalam) arwah menemani saya ke Kementerian Pelajaran untuk proses kenaikan pangkat saya, tetapi apakan daya Allah lebih menyayanginya,” katanya yang berkhidmat sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Taman Seraya, Ampang.

Menurutnya, walaupun sentiasa sibuk dengan kerja, namun Allahyarham seorang suami dan bapa yang penyayang.

“Arwah sentiasa meluangkan masa bersama keluarga dan mengambil berat terhadap pelajaran dua anak kami kerana baginya pelajaran amat penting bagi masa depan mereka,” katanya yang ditemui di Rumah Mayat Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), semalam.

Dia berkata, Allahyarham sebelum ini pernah dimasukkan ke wad rawatan kecemasan (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), 19 Februari lalu, kerana hendak pitam ketika memandu.

“Arwah dirawat selama tiga hari kerana dikesan menghidap darah tinggi dan kencing manis, tetapi berkeras untuk keluar disebabkan banyak lagi kerja tertangguh,” katanya.

Seorang rakan sekerja, Mohd Noor Izwan Eddy, 31, berkata ketika kejadian, Allahyarham sedang berbincang beberapa projek selepas pulang dari pelancaran Bulan Dakwah di Kota Bharu, Kelantan.

“Tiba-tiba arwah rebah dan kami memanggil ambulans serta polis. Bagaimanapun pemeriksaan mendapati arwah sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, walaupun bergerak secara sambilan dalam pengurusan membabitkan industri hiburan, Allahyarham dianggap sebagai ‘jeneral’ kerana banyak memberi idea serta tunjuk ajar.

Harian Metro

Belasungkawa Mohd Arzmy Mohmad (1954 – 2009): Tak Sempat Anjur Bulan Solat

6 Mar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
MUNGKIN tidak ramai mengenali Mohd Arzmy Mohmad, 55, kerana beliau bukan artis tetapi di kalangan karyawan seni, lelaki bertubuh besar dan mesra senyuman itu sememangnya cukup dikenali.

Mana tidaknya, Mohd Arzmy bertugas sebagai orang penting dalam melahirkan penyanyi di syarikat rakaman terkenal, EMI (M) Sdn Bhd yang melahirkan nama-nama besar dunia hiburan. Antaranya Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Uji Rashid, KRU, Ella, Fauziah Latiff, Awie, Amok, Cromok, Butterfingers dan Rabbani.

Kreativitinya dianggap unik sehingga menjadi identiti seseorang artis itu seperti Amok dengan imej bertopeng malah kumpulan itu berjaya dijadikan ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) manakala Amy Search pula ikon bulan dakwah.

Beliau juga disifatkan seorang tegas tetapi mesra, mampu melihat potensi seseorang artis, kreatif, serius dengan tugas dan berani memperkenalkan idea baru. Di kalangan karyawan dan rakan media, beliau dikenali sebagai seorang yang mesra dan mudah didekati.

Bagaimanapun, bekas Ketua Operasi Bahagian Domestik EMI itu meninggal dunia jam 11 malam kelmarin, akibat serangan sakit jantung. Beliau pengsan ketika mengadakan mesyuarat di Hotel Flamingo, Ampang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berkejar ke tempat selepas dihubungi.

Sehingga akhir hayatnya, Allahyarham yang bergerak sebagai freelancer penganjuran majlis, masih memperjuangkan industri hiburan tempatan kerana mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan projek mengenai perkembangan beberapa artis. Pastinya pemergian arwah satu kehilangan besar kepada industri muzik yang ketika ini masih tenat.

Bagi Pengarah Urusan RPSB merangkap vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, jasa Allahyarham cukup besar kepada Rabbani sepanjang 11 tahun bergiat dalam dunia hiburan.

“Arwah yang berusaha membawa Rabbani ke EMI dan menaikkan nama kumpulan ini menerusi pelbagai idea yang dicurahkan sehingga kami dikenali dengan idea terbaru arwah, duet bersama Amy Search.

“Memang tidak terhitung jasanya kepada kami. Malah arwah boleh dianggap seorang bapa kepada kami kerana sentiasa menjaga kebajikan kami malah pencetus kepada kemunculan Rabbani,” katanya.

Katanya, perkara paling tidak dapat dilupakan ialah cadangan Allahyarham untuk menganjurkan Bulan Sembahyang sebagai satu usaha dakwah.

“Tiga hari lalu semasa pelancaran Bulan Dakwah di Kota Bharu, Kelantan, arwah merancang membuat koloborasi antara Amy Search dengan Rabbani untuk menganjurkan Bulan Sembahyang.

“Kami merancang mengemukakan kertas cadangan itu kepada kerajaan dalam masa terdekat tetapi Allah lebih menyayangi arwah,” katanya.

Anggota kumpulan Cromok, Tarmizi Mokhtar atau Miji berkata, Allahyarham disifatkan seorang yang berani kerana mahu mengambil kumpulan ‘heavy metal’ seperti mereka sebagai artis EMI.

“Arwah mendekati kami sebaik pulang dari Australia sekitar 1992 lalu dan pada pertengahan 1993, kami melancarkan album sulung di Malaysia iaitu Forever In Time.

“Beliau ketika itu memang terkenal sebagai seorang yang berpengalaman kerana pernah bekerja dengan beberapa artis terkenal. Namun keberanian serta keyakinannya terhadap kumpulan Cromok yang membawa muzik metal sehingga terkenal menyebabkan saya amat menghormatinya,” katanya.

Tambah Miji, komitmen Allahyarham dalam memperjuangkan industri muzik sukar dicari ganti.

Katanya, arwah memang tegas kerana mahukan yang terbaik dan tahu apa yang dikehendaki daripada artisnya.

Miji turut hadir di Rumah Mayat, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Melayu Ampang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, petang semalam.

Dilahirkan pada 25 Februari 1954 di Pulau Pinang, arwah meninggalkan isteri, Asma’ Mohammad, 43, dan dua anak, Alia Amalina, 19 dan Al-Aiman, 17.

Harian Metro

Sederhana Tapi Bermakna

22 Dec

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

LAGU Ku Juga Mencintaimu bawa tuah kepada Siaw Hang dan Keat Siong.

Anugerah MACP tak perlu siaran langsung kerana ia meraikan mereka di balik tabir industri muzik

BERBANDING edisi ke-12 Anugerah Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Penyiaran RTM, Kuantan, Pahang, April lalu, edisi ke-13 acara itu berlangsung begitu sederhana di sebuah hotel di Petaling Jaya, malam Jumaat lalu.

Tiada sebarang siaran langsung, bahkan tidak juga diberikan publisiti besar-besaran untuk edisi terbarunya namun Anugerah MACP tetap meninggalkan makna yang cukup besar kepada ahlinya.

Bagi ahli MACP, apa yang utama adalah penganjuran sebuah majlis bagi mengiktiraf hasil karya pencipta lagu dan penulis lirik yang memperkayakan khazanah seni untuk anak bangsa menerusi idea kreatif mereka.

Mengulas mengenai hal itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata, banyak faktor menyebabkan mengapa Anugerah MAC Ke-13 tidak disiarkan secara langsung menerusi mana-mana stesen televisyen.

Selain faktor peruntukan yang memerlukan perbelanjaan tinggi, ahli MACP juga berasakan tidak perlu acara itu disiarkan secara langsung memandangkan ia dianjurkan untuk meraikan mereka yang selama ini berada di balik tabir.

“Atas persetujuan bersama, malah juga untuk memenuhi permintaan ahli yang ingin menjadikan Anugerah MACP sebagai acara keluarga justeru, mengambil keputusan untuk bersederhana pada kali ini.

“Apa yang penting kerja keras insan seni di balik tabir dihargai dengan adanya malam Anugerah MACP Ke-13 kerana selama ini sumbangan serta peranan mereka jarang diberi perhatian,” katanya.

Menjelaskan peranan MACP sebagai badan pelesenan mewakili pencipta tempatan, Habsah berkata, kredibiliti mereka dalam memainkan peranan dengan berkesan turut mendapat perhatian komposer luar.

Bahkan katanya, peranan aktif MACP yang telus dalam isu pembayaran royalti membuatkan ramai komposer luar terutama dari Indonesia ingin menyertai badan itu.

“Bagaimanapun, usul ini ditolak ahli MACP atas beberapa sebab dan kita tidak boleh berbuat apa kerana segala pelaksanaan atas dasar dibuat dengan persetujuan bersama semua pihak yang menganggotai badan ini.

“Cuma apa yang dapat saya jelaskan, MACP bukan sekadar mewakili karya tempatan sebaliknya kami juga bertanggungjawab untuk semua komposisi dari seluruh dunia. Kami mempunyai lebih 70,000 repertoire untuk diselia,” katanya.

Habsah berkata, meskipun peranan MACP semakin diakui malah pendapatan daripada kutipan royalti turut memperlihatkan peningkatan memberangsangkan sepanjang 2008 namun masih ada kebimbangan yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, situasi ekonomi dunia yang tidak menentu mungkin memberi kesan kepada kutipan royalti persembahan MACP untuk tahun akan datang.

Keadaan itu memberi cabaran kepada industri muzik untuk terus memperkasakan karya tempatan yang berdepan pelbagai isu ketika ini.

Menyorot perjalanan acara, malam kemuncak Anugerah MACP Ke-13 menobatkan komposer, penulis lirik, penerbit dan pemuzik terkenal, S Atan sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta atas sumbangannya dalam industri muzik.

Mula berkecimpung dalam arena penciptaan muzik sejak 1972, anak kelahiran Singapura berusia 59 tahun ini sudah menghasilkan lebih 1,000 lagu dinyanyikan artis terkenal seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini, Tan Sri SM Salim, Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza.

Antara karya popularnya adalah Dulu dan Sekarang nyanyian Black Dog Bone, Pandang-Pandang Jeling Jeling nyanyian SM Salim dan Siti Nurhaliza serta Assalamualaikum dipersembahkan Jamal Abdillah.

Sementara itu, pemain gitar yang juga vokalis kedua kumpulan Sofaz, Zimi diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencipta Muda Berpotensi.

Pemuda berusia 24 tahun itu pernah menghasilkan lagu seperti Cinta, Dan Pasti, Rasakan dan Salahku untuk kumpulannya, selain mencipta lagu popular nyanyian Izwan Pilus, Indah Lelapku.

Dia juga menulis lirik untuk lagu nyanyian artis seperti Nita dan kumpulan Lips.

“Daripada beberapa calon yang disenarai pendekkan, Zimi dilihat oleh Lembaga Pengarah MACP sebagai pencipta muda yang berpotensi mencipta nama dalam industri hiburan.

“Pada usia muda dia banyak memberikan sumbangan karya untuk artis tempatan, malah kepelbagaian bakat seninya juga memberi kelebihan kepada Zimi untuk meraih anugerah itu,” kata Habsah.

Anugerah MACP Ke-13 buat kali kesembilan menyaksikan sifu industri muzik, M Nasir diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Terbanyak, mengenepikan Audi Mok dan Edry Abdul Halim.

Sementara itu, syarikat penerbitannya, Luncai Emas meraih pengiktirafan Penerbit Tempatan Dengan Penerbitan Terbanyak.

Penulis lirik tersohor, Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq buat kali kelapan berturut-turut mengulangi pencapaian sebagai Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak menewaskan Habsah dan S Amin Sahab.

Anugerah MACP Ke-13 juga menampilkan kejutan apabila lagu Ku Juga Mencintaimu nyanyian bintang Malaysian Idol musim pertama, Saiful diumumkan sebagai Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak.

Lagu ciptaan komposer tempatan, Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong itu terlebih dulu dipopularkan penyanyi dari Taiwan, Harlem Yu sebelum dirakamkan semula Saiful dalam versi Melayu.

Ku Juga Mencintaimu mengenepikan saingan daripada dua lagu ciptaan Tam Spider iaitu Dunia Batinku yang dipopularkan Ella dan Spider serta Relaku Pujuk.

Kedua-dua pencipta itu turut meraih pengiktirafan Lagu: Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu yang menggunakan judul asal, Qing Fei De Yi itu.

Turut meraih kejayaan adalah lagu Gadis Melayu ciptaan sepenuhnya komposer dari Indonesia, Munif Bahasuan yang dipopularkan semula Mawi yang menerima Lagu Luar Negara: Kategori Persembahan Terbanyak.

“Pemenang bagi semua kategori ini adalah berdasarkan kepada keputusan pengagihan MACP sehingga Julai tahun ini,” kata Habsah.

Anugerah MACP Ke-13 diserikan dengan persembahan daripada penyanyi seperti M Nasir, Farah AF, Winnie K, trio Harmoni serta band indie iaitu Bunkface, Komplot dan Anna Raffali yang menyemarakkan lagi aliran industri muzik ketika ini.

INFO: Senarai Penerima Anugerah MACP Ke-13 Anugerah Nadi Cipta: S Atan

Kategori Persembahan Terbanyak: Lagu Inggeris: Skinheads For Life (ACAB) ciptaan Megat Hafiz Mohamad

Lagu Cina: Zen Me Ban (She) ciptaan Lee Chee Cheng

Lagu Melayu: Ku Juga Mencintaimu (Saiful) ciptaan Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong

Lagu Luar Negara: Gadis Melayu (Mawi) ciptaan Munif Bahasuan

Pendapatan Luar Negara Tertinggi: Qing Fei De Yi (Harlem Yu) ciptaan Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak: Luncai Emas Sdn Bhd

Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak: EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd

Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak: Allahyarham Loloq

Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak: M Nasir

Komposer Muda Berpotensi: Zimi (Sofaz)

Berita Harian