Archive | Sharifah Aleya RSS feed for this section

Jelajah Terakhir Tetap Gamat

10 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
DENGAN kapasiti boleh memuatkan 5,000 penonton, nyata mereka yang bertuah dan terpilih saja berpeluang menyaksikan acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini.

Justeru, dengan kewujudan siri jelajah ABPBH yang mendekati peminat dan pembaca setia akhbar Berita Harian di setiap pelosok negeri, memberi ruang serta peluang kepada mereka yang berada luar Kuala Lumpur untuk bertemu, beramah mesra dan berhibur bersama artis kesayangan secara dekat.

Petang Ahad lalu, menjadi saksi betapa program ini begitu dinanti-nantikan ribuan peminat yang mula membanjiri pusat beli-belah Klang Parade, seawal jam 1 tengah hari walaupun majlis hanya dimulakan sekitar 2.30 petang.

Walhal, dalam keadaan hujan lebat kebelakangan ini, barangkali penonton mempunyai alasan untuk menikmati hujung minggu bersama keluarga di rumah.

Namun, itu tidak berlaku kerana setiap kali siri jelajah ABPBH dianjurkan peminat sanggup mengharungi apa juga rintangan semata-mata mahu merebut peluang yang diadakan setahun sekali ini.

Masih segar dalam ingatan ketika mengikuti siri jelajah ABPBH2006 dua tahun lalu. Kebanyakan pekan di Johor dinaiki air akibat banjir.

Namun, apa yang mengejutkan ketika program itu diadakan di Pasir Gudang dan Johor Bahru, jumlah penonton yang membanjiri lokasi penganjuran tidak kurang daripada 6,000 penonton.

Perkara sama berlaku di Klang, walaupun keadaan cuaca tidaklah seteruk Johor walaupun hanya hujan lebat, penonton yang datang bukan saja terdiri daripada remaja yang menjadi kelompok utama penggemar hiburan sebaliknya acara ini turut disertai kanak-kanak dan warga emas.

Mereka hadir dengan satu matlamat, enggan melepaskan peluang menyaksikan acara setahun sekali menghimpunkan selebriti popular yang juga calon akhir untuk bertanding pada malam kemuncak nanti.

Apatah lagi, Klang menjadi destinasi terakhir promosi jelajah selepas Sungai Petani, Kedah, Batu Pahat, , Pasir Gudang, Johor, Kuantan dan Kuala Terengganu yang dilancarkan sejak sebulan lalu.

 

 

Program yang bermula sekitar jam 2 petang hingga 7 malam itu menyediakan pelbagai acara hiburan antaranya persembahan nyanyian, kuiz dan drama spontan yang menghiburkan sekali gus mencapai matlamatnya untuk mendekatkan peminat dengan artis pujaan mereka.

Pelakon berwajah comel yang juga calon akhir Pelakon Filem Wanita Popular yang baru melancarkan album singlenya, Liyana Jasmay turut mengambil kesempatan menyampaikan lagu Aku Tak Percaya Cinta.

Sebelum itu, juara Akademi Fantasia musim enam (AF6), Stacy membuat persembahan. Dia membawakan lagu Gagap manakala Ayu membawakan lagu Hanya Di Mercu.

Sebagai pendatang baru, Stacy mampu berbangga dengan kejayaannya menerima dua pencalonan, Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular begitu juga Ayu OIAM yang terpilih sebagai finalis Artis Baru Wanita Popular.

Persembahan diteruskan lagi dengan persembahan, Adam yang tersenarai dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular. Pemuda berasal dari Sabah itu menampilkan persembahan bertenaga melalui lagu Robot dan Benar Benar.

Manakala, pemenang tempat ketiga AF6, Nubhan yang tercalon dalam kategori Artis Baru Popular/Penyanyi Lelaki Popular menghiburkan penonton menerusi lagu Jatuh Cinta (Mata) dan lagu yang melonjakkan namanya, Ada Untukmu.

Acara pentas terus dikuasai seorang lagi calon Penyanyi Wanita Popular, Elyana yang menyampaikan dua lagu Kalis Rindu dan Tak Tercapai Akalmu.

Suasana yang sedia meriah bertambah gamat apabila Mawi naik pentas dengan ‘imej berambut’. Pemenang Anugerah Bintang Paling Popular tiga tahun berturut-turut (2005 hingga 2007) yang sekali lagi berjaya menempatkan diri dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular menyampaikan lagu daripada album barunya, Ya Salam dan Tercipta Untukmu.

Acara yang berlabuh kira-kira jam 6.40 petang itu, diakhiri dengan persembahan Faizal Tahir yang dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular. Pemilik suara jantan ini mengalunkan vokal hebatnya menerusi tiga lagu iaitu Cuba, Sampai Syurga dan Gemuruh yang disertai semua calon akhir ABPBH2008 secara akustik.

Mengikut perancangan, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) sepatutnya melakukan persembahan. Bagaimanapun, ia terpaksa dibatalkan saat akhir apabila penerbangan mereka dari Tawau, Sabah mengalami kesulitan hingga terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang sebelum kembali semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Wajah glamor yang turut memeriahkan penutupan siri jelajah promosi ABPBH2008 ialah Saiful Apek (Pelakon Filem Lelaki Popular/Pelakon Komedi Lelaki Popular), Nurul Alis (Pengacara TV Popular), Noorkhiriah (Pelakon Komedi Wanita Popular) dan Vanidah Imran (Pelakon Filem Wanita Popular)

Tentunya bagi mereka yang pertama kali mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 teruja dapat menyertai acara ini.

Contohnya, Kenchana Dewi yang tercalon dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular, Aaron Aziz (Pelakon TV Lelaki Popular), Amyza Adnan (Pelakon Komedi Wanita Popular), Ashraf Muslim (Pelakon TV Lelaki Popular) Zizan (Artis Komedi Lelaki Popular), Stacy, Ayu OIAM dan Aiman yang berjaya menempatkan diri untuk dua kategori, Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi/Artis Nasyid Popular.

Kata Kechana Dewi yang cukup ‘sporting’, selepas pulang daripada mengikuti siri jelajah ABPBH2008 di Sungai Petani, dia dihimpit perasaan rindu dan tidak sabar kembali menjayakan program di destinasi seterusnya.

“Persahabatan yang terjalin antara artis sesama artis, artis dengan peminat dan artis dengan media adalah saat manis yang sukar dilupakan. Saya dapat kawan baru melalui pembabitan dalam siri jelajah ini.

“Wartawan yang dulunya saya geruni kini menjadi sahabat. Paling mengharukan, apabila mendapat tahu rupanya saya juga ada ramai peminat Melayu,” katanya.

Program lima jam itu dikendalikan Along Raja Lawak bergandingan dengan tiga penyampai Hot FM yang juga calon akhir kategori Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular, Kieran, Sharifah Aleya dan Fara Fauzana yang turut berjaya memboloskan diri dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular.

Pujian harus diberikan kepada Aleya kerana walaupun hamil, tidak menghalangnya memeriahkan acara itu sekali gus menghargai peminat yang mengundinya.

Sebelah pagi, sekitar jam 11 pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian (BIBH) diadakan sekitar jam 11 pagi

yang menyaksikan lapan peserta dipilih melalui Zon Utara, Selatan, Timur dan Lembah Klang, berentap untuk meraih gelaran juara keseluruhan.

Kelantangan suara gadis berusia 20 tahun, Nazatul Farahin Mohd Hussin, dari Sungai Petani, Kedah dan mewakili Zon Pantai Timur, membawa tuah apabila muncul juara yang bukan saja menawarkan wang tunai RM2,000 berserta set barang kemas Rafflesia The Pearl Centre.

Bahkan, Nazatul diberi peluang muncul melakukan persembahan pada malam kemuncak ABPBH2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, pada 12 April ini.

Nazatul membawakan lagu Mama Ku Ingin Pulang yang pernah dipopularkan Allahyarhamah Nike Ardilla dan Anggapanmu (Ziana Zain) tidak menyangka dipilih sebagai juara.

“Sewaktu mengikuti uji bakat BIBH di Zon Utara, saya menduduki tempat kedua. Enggan mengalah saya sekali lagi mengikuti uji bakat di Zon Pantai Timur dan muncul juara. Jadi, saya sama sekali tidak menyangka pertandingan akhir ini akan terpilih sebagai juara keseluruhan. Mungkin ini hikmah di sebalik usaha berganda.

“Takut sebenarnya hendak membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH, tapi saya cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Nazatul yang menewaskan lapan peserta menerima saingan sengit daripada Nurul Syazwanie Mohd Basri, 15, yang menduduki tempat kedua. Dia yang mempertaruhkan lagu Hanya Di Mercu (nyanyian Ayu One In A Million) dan Andai (Dia Fadila). Syazwanie membawa pulang wang tunai RM1,000.

Sementara , Farlyana Mohamad, 16, menduduki tempat ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai RM500. Semua lapan peserta yang bertanding akan merakamkan album kompilasi yang diterbitkan komposer terkenal, Julfekar yang turut bertindak selaku juri pada pertandingan itu.

Julfekar berkata, Nazatul mempunyai suara yang bagus dan lantang, bagaimanapun penampilan dan personalitinya perlu dipertingkatkan.

“Dia kena mengikuti kelas ketrampilan diri jika mahu menjadi artis kerana suara saja tidak cukup untuk menjadi artis. Namun, juri sebulat suara memilihnya kerana kami mahu menonjolkan bakatnya,” katanya.

Selain Julfekar, persembahan peserta diadili Pengerusi Pengelola ABPBH2008, Hanizam Abdullah; pemain bass Sweet Charity, Rosli Mohalim dan pengarah muzik tersohor, Ramli MS.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mustapa Omar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

ABPBH 2008: Gamat Di Klang

7 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Zaidi Mohamad
farihad@bharian.com.my, zaidim@bharian.com.my

SEBAHAGIAN daripada finalis ABPBH 2008 dan artis yang hadir pada siri jelajah di lokasi terakhir di Klang Parade.

Finalis guna peluang pada siri terakhir jelajah promosi ABPBH 2008 untuk tawan hati peminat

TEMPOH berkempen dan medan mempromosi diri untuk finalis meraih undi peminat kini sudah sampai ke penghujungnya apabila siri promosi jelajah negara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 keenam yang diadakan di pusat beli-belah Klang Parade, Klang Selangor melabuhkan tirainya petang kelmarin.

Biarpun acara kemuncak hanya akan berlangsung seminggu kemudiannya dan mereka masih mempunyai

masa untuk melobi namun yang pasti situasi itu takkan sama dengan apa yang pernah mereka lalui sewaktu menyertai siri promosi ini yang berlangsung di enam lokasi terpilih di seluruh negara.

Sebagai jambatan yang menghubungkan artis dan peminat, siri promosi ini memberi peluang terbaik kepada finalis ABPBH untuk mendekati peminat, beramah mesra dan bergambar kenangan bersama mereka.

Malah kesempatan bertentang mata dengan peminat digunakan sepenuhnya kebanyakan finalis untuk merayu undi supaya memilih mereka sebagai pemenang. Terasa bagaikan seperti musim pilihan raya apabila ada finalis melaungkan kata-kata “undilah saya” dan “undilah artis kesayangan anda” sambil disambut dengan sorakan lebih 5,000 penonton yang menghadiri acara itu.


LIYANA tidak ketinggalan menyumbangkan suara menerusi single terbaru, Aku Tak Percaya Cinta.

Berbeza dengan acara promosi yang pernah mereka hadiri sebelum ini, mereka juga diberi peluang untuk bertemu peminat di luar Kuala Lumpur yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seni mereka.

Bukan sekadar acara hiburan tetapi mereka juga turut melakukan kerja amal.

Sewaktu siri promosi ini menjelajah Kuala Terengganu, pertengahan Mac lalu, finalis juga terbabit dengan kerja amal apabila mengunjungi Rumah Kebajikan Sejahtera di Bukit Payung, Marang serta lawatan sambil belajar di Taman Tamadun Islam yang terletak Pulau Wan Man.

Namun apa yang lebih penting, acara ini juga menjadi medan untuk golongan artis merapatkan tali silaturahim sesama mereka memandangkan sebelum ini masing-masing begitu sibuk dek hambatan tugas sama ada di pentas nyanyian atau lokasi penggambaran.


ROSYAM, Zainuri dan Hanizam bergambar kenangan dengan naib juara BIBH, Nurul Syazwanie.

Dan siri terakhir promosi di Klang Parade, yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu ini digunakan sepenuhnya oleh beberapa finalis yang tidak dapat menyertai siri promosi sebelum ini untuk membabitkan diri mereka dalam pelbagai acara yang disediakan.

Walau sesibuk manapun, seboleh mungkin mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai acara tahunan ini kerana inilah masanya untuk mereka membalas kembali jasa peminat yang selama ini berkorban masa dan wang ringgit semata-mata untuk mengundi artis kesayangan mereka.

Terbayang keseronokan wajah finalis yang pertama kali menyertai acara seperti ini iaitu pelakon yang tersenarai di dalam kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, Amyza Aznan dan Noorkhiriah, calon Pelakon TV Lelaki Popular, Aaron Aziz apabila berjaya mengenakan peminat mereka di atas pentas.

Kecoh seketika apabila Amyza, Kenchana Dewi dan Along dari kumpulan Cham bergabung tenaga berlakon bersama peminat bertuah. Ada saja idea kreatif mereka untuk mengenakan peminat yang rata-rata cukup sporting melayan kerenah artis terbabit.

Selain berhibur dengan persembahan drama spontan, acara itu turut menyajikan permainan seperti kerusi muzikal dan kuiz yang berkaitan dengan majlis anugerah yang sudah masuk kali ke-22 penganjurannya di samping menampilkan persembahan nyanyian daripada finalis yang bertanding seperti Stacy (Penyanyi Wanita Popular & Artis Baru Wanita Popular) yang membuka tirai acara menerusi dua buah lagu berjudul Pakai Buang dan Aku Stacy,Ayu OIAM (Artis Baru Wanita Popular), Aiman (Artis Baru Popular & Penyanyi Nasyid Popular), Adam (Penyanyi Lelaki Popular), Nubhan (Penyanyi Lelaki Popular & Artis Baru Lelaki Popular)),Elyana (Penyanyi Wanita Popular).

Turut mendapat perhatian adalah pemenang Anugerah Bintang Paling Popular untuk tiga tahun berturut-turut, Mawi (Penyanyi Lelaki Popular) dan serta persembahan Faizal Tahir (Pengacara Lelaki Popular) yang memetik gitar sambil mendendangkan tuga buah lagu popularnya iaitu Cuba, Sampai Syurga serta Gemuruh.

Finalis lain yang turut memeriahkan acara ini termasuklah Fizo Omar (Artis Baru Lelaki Popular), Nurul Alis (Pengacara TV Wanita Popular) Vanidah Imran (Pelakon Filem Wanita Popular) dan Ashraf Muslim (Pelakon TV Lelaki Popular).

Suasana menjadi semakin gamat dengan kemunculan Saiful Apek (Pelakon Filem Lelaki Popular/Pelakon Komedi Lelaki Popular) bersama Zizan Raja Lawak (Pelakon Komedi Lelaki Popular) yang muncul dengan lawak jenaka selamba mereka sehingga khalayak tidak kering gusi mendengarnya.

Seperti yang dilakukan di lokasi lain, peminat bertuah juga berpeluang menaiki kenderaan Nissan Grand Livina bernilai RM94,000 1.8L dan juga kereta Nissan Sylphy 2.0L yang berharga RM109,000 bersama artis kesayangan mereka untuk meronda-ronda di persekitaran pusat beli belah terkenal itu.

Acara petang itu dikendalikan empat pengacara terkenal iaitu Fara Fauzana (Pengacara TV Wanita Popular/Penyampai Radio Wanita Popular), Kieran (Penyampai Radio Lelaki Popular), Sharifah Aleya (Penyampai Radio Wanita Popular) dan Along dari kumpulan Cham (Raja Lawak).

Ternyata sifat gila-gila Along, Kieran ditambah dengan kecekapan Fara dan Aleya mengawal suasana berjaya membuatkan acara itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Pujian juga diberikan kepada Aleya walau dalam keadaan berbadan dua, dia tetap kekal cergas sehingga ke akhir acara.

Buat semua artis, peminat, penaja serta kru dan sesiapa saja yang terbabit secara langsung dalam siri promosi ini hanya ucapan terima kasih saja yang mampu diucapkan atas segala sokongan yang diberi. Jumpa anda di puncak Genting, 12 April nanti.

Berita Harian

Nazatul Farahin Juara BIBH

6 Apr


NAZATUL Farahin (tengah) diapit Nurul Syazwani (kiri) dan Farlyana bersama replika cek yang dimenanginya sebagai juara keseluruhan Bintang Idola Berita Harian di Klang Parade, semalam.

KLANG: Kesungguhan serta mutu vokal yang dimiliki memberi kelebihan kepada Nazatul Farahin Mohd Hussin untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang diadakan di pusat beli-belah, Klang Parade di sini, semalam.

Peserta berasal dari Sungai Petani dan mewakili Zon Timur itu berjaya memikat hati juri terdiri daripada Hanizam Abdullah selaku Pengerusi Pengelola ABPBH 2008; komposer dan pengarah muzik, Ramli MS; Julfekar dan bekas pemain bass kumpulan Sweet Charity, Rosli Muhalim, menerusi dua lagu, Mama Aku Ingin Pulang dan Anggapanmu.

Gadis berusia 20 tahun itu berjaya mengetepikan tujuh peserta lain iaitu Nurlida Ab Raman, Faralyana Mohamad, Muhamad Zaki Zainal, Syaifaana Mohamed Subri, Muhammad Irwan Othman, Nurul Syazwanie Mohd Basri serta Mohamad Syahrul yang masing-masing mewakili Zon Utara, Selatan dan Lembah Klang.

Selain menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan barang kemas tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM5,000, gelaran juara itu turut melayakkan Nazatul membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 April ini.

Ketika ditemui, Nazatul menyifatkan kejayaan itu hasil semangatnya yang tidak pernah putus asa.

“Di Zon Utara saya hanya mendapat tempat kedua. Kemudian, saya mencuba nasib sekali lagi di Zon Timur, iaitu di Kuala Terengganu dan berjaya menjadi juara ,” katanya yang bakal merakamkan single terbitan Millenium Art Sdn Bhd milik Julfekar.

Naib Juara disandang Nurul Syazwanie Mohd Basri dari Zon Lembah Klangdan ketiga Faralyna Mohamad dari Zon Selatan. Hadiah disampaikan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mustapha Omar.

Sementara itu, siri terakhir promosi jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 disertai Mawi, Saiful Apek, Fara Fauzana, Vanidah Imran, Stacy, Ashraf Muslim, Nurul Alis, Fahrin Ahmad, Aaron Aziz, Amyza Adnan, Kieran, Fizo Omar, Noorkhiriah, Adam, Elyana, Ayu Damit, Faizal Tahir, Nubhan, Kenchana Dewi, Sharifah Aleya, Liyana Jasmay, Aiman dan Zizan Raja Lawak.

Berita Harian

Impak Pereka Fesyen Malaysia!

4 Apr

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tampil istimewa, XY – Ikon Lelaki minggu ini menghimpunkan 10 pereka fesyen lelaki yang bakal menyemarakkan Fiesta Fesyen Berita Harian. Inspirasi rekaan mereka – songket dan tenun turut digayakan bintang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) kelak. Raikan aura fesyen mereka!

BUKAN mudah menghimpunkan 10 pereka fesyen tanah air dalam satu sesi fotografi kerana masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan perincian terakhir rekaan bagi dua acara besar anjuran Berita Harian bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian yang bakal mewarnai pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, lusa, serta majlis gala di Hotel One World, keesokannya, disusuli kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April ini cukup memadatkan diari kumpulan pereka muda ini.

Namun, 10 pereka ini masih sempat meluangkan masa menjalani sesi fotografi eksklusif bersama XY – Ikon Lelaki. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menyokong acara berprestij yang bakal disertai selebriti dan pereka fesyen tanah air.

Riuh studio fotografi di Balai Berita dengan kehadiran insan kreatif ini. Malah, suasananya persis kesibukan di pertunjukan fesyen. Namun, kali ini merekalah menjadi bintangnya!

Daripada topik harian hinggalah keresahan mengejar deadline – semua pereka berkongsi keseronokan menanti dua acara besar ini. Seharusnya, masing-masing mahu rekaan yang ditampilkan sempurna dan mencuri tumpuan tatkala digayakan di pentas catwalk.

Hatta Dolmat; Rizman Ruzaini; Calvin Thoo; Nazreen Idris; Hazwani Osman; Amir Luqman; Shegar; Nik Erwan Rosdi dan Zery Zamri – masing-masing berkongsi inspirasi rekaan dengan identiti fesyen Malaysia.

Inspirasi Hatta Dolmat

TERKENAL dengan rekaan penuh perincian, pereka fesyen berbakat besar, Hatta Dolmat tidak ketinggalan memeriahkan Fiesta Fesyen Berita Harian serta malam kemuncak ABPBH 2008. Kali ini, pereka fesyen kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini akan mereka pakaian Nurul Huda Abdul Wahab, Siti Sarah, Sheila OIAM dan Iz.

“Tema songket bukanlah halangan bagi saya kerana sebelum ini pernah menerapkan tema sama di sebuah majlis anugerah hiburan. Menjadi kebanggaan pereka fesyen kerana mampu menerapkan tema tradisi dalam menzahirkan rekaan pakaian,” kata Hatta yang sudah empat tahun terbabit dalam ABPBH selepas pertama kali mereka pakaian untuk Jacklyn Victor dan Fasha Sandha pada ABPBH 2005.

Kata Hatta, ABPBH adalah platform terbaik untuk pereka baru tanah air dalam mengembangkan bakat, seterusnya berorientasi dengan idea baru rekaan.

“Sepanjang terbabit dalam majlis anugerah ini, saya dapat melihat perkembangan positif penganjur yang tidak saja memberikan publisiti buat artis, pada masa yang sama turut memartabatkan industri fesyen tanah air.

“Ini dapat dilihat menerusi pembabitan artis dengan pereka fesyen termasuk Anugerah Best Dress yang diperkenalkan tahun lalu dan tahun ini pula dengan Fiesta Fesyen Berita Harian,” kata teruja.

Profil

Nama: Muhammad Hatta Dolmat

Umur: 27 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mata (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian:

Juara Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003.

Juara pertandingan akhir Trofi Pesona Pengantin 04/05.

Juara Anugerah Jarum Berlian 2005.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006: rekaan pakaian terbaik digayakan oleh Erra Fazira.

Anugerah Rekaan Pakaian Terbaik sempena Anugerah Bintang Popular 2007.

Juara kategori Ethnic Chic di Singapore Fashion Designer Competition 2007.

Naib juara Project Runway Malaysia 2007.

Gandingan duo Rizman Ruzaini

NAMA Rizman Ruzaini antara yang paling menonjol di kalangan pereka fesyen angkatan baru. Memilih konsep less is more menjadi antara trademark pereka fesyen muda ini. Lebih menarik, jika kebanyakan pereka fesyen bergerak solo, label Rizman Ruzaini menampilkan koloborasi dua pereka fesyen ini.

Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang bekerjasama menubuhkan label Rizman Ruzaini sejak lebih dua tahun lalu menggalas cabaran besar untuk ABPBH kali ini apabila mereka pakaian untuk penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Siti Nurhaliza, pereka fesyen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga akan berfantasi dengan rekaan untuk pelakon Fasha Sandha, Sari Yanti dan Siti Saerah.

“Secara peribadi, saya melihat adalah satu usaha baik ABPBH memilih tema songket yang mana mampu mengangkat martabat khazanah songket yang menjadi identiti negara.

“Menjadi tugas pereka fesyen mencipta sesuatu yang berbeza melalui tema begini. Apatah lagi songket adalah 100 peratus identiti Malaysia berbanding batik yang juga popular di Indonesia,” kata Rizman Nordin.

Wan Ruzaini turut memuji usaha membantu pereka fesyen tempatan mengetengahkan bakat pada majlis berprestij.

Profil

Rizman Ruzaini

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin, 24; dan Wan Ruzaini Wan Jamil, 24.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian:

Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall.

Peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003.

Penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura

Terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Aura Calvin Thoo

SEJAK beberapa tahun lalu, ABPBH cukup sinonim dengan pereka fesyen tempatan, Calvin Thoo. Masakan tidak, pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi pilihan ramai selebriti popular tanah air. Pengalaman selama 13 tahun dalam industri fesyen meletakkan Calvin Thoo antara pereka fesyen disegani ramai.

Tahun ini, Calvin dipertanggungjawab mereka gaun malam bertemakan songket dan tenun untuk pelakon cantik Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Marsha. Pentas ABPBH 2008 bakal menyaksikan kreativiti Calvin dalam memberi variasi pada songket dengan nafas baru.

Ditanya cabaran mengetengahkan songket dalam majlis anugerah berprestij seperti ABPBH, Calvin berpendapat, menjadi tanggungjawab pereka fesyen berfantasi dengan lakaran sebelum memberi impak besar melalui rekaan.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah mengetengahkan songket. Sebelum ini, ramai pelanggan dari kalangan kenamaan dan kerabat diraja memilih elemen songket dan tenun dalam persalinan. Saya juga menerapkan kain songket ketika majlis persandingan Lisdawati sebelum ini,” katanya.

Profil

Calvin Thoo

Umur: 37 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) RMIT Australia.

Pencapaian:

Menimba pengalaman dalam bidang fesyen selama lebih 10 tahun di luar negara.

Memulakan label Calvin Thoo pada 2003.

Peserta peringkat akhir Piala Seri Endon Batik 2004.

Membuka butik Calvin Thoo pada 2005 di gedung beli-belah Lot 10, Bintang Walk, Kuala Lumpur.

Hasil rekaan Calvin diperagakan pada acara antaranya Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia dan Festival Fesyen Islam KL.

Seksi cara Nazreen

TERKENAL dengan rekaan seksi, pereka fesyen yang makin dikenali, Nazreen Idris mengakui agak sukar menerapkan identiti rekaan bertemakan songket dan tenun. Baginya, menjadi tanggungjawab pereka fesyen meletakkan prinsip dalam setiap rekaan.

“Meskipun kita cenderung mengetengahkan elemen feminin dan seksi dalam rekaan, unsur sebegitu tidak boleh diterapkan apabila menggunakan kain songket.

“Menjadi tanggungjawab seorang pereka fesyen meletakkan martabat tinggi songket yang menjadi identiti Malaysia,” kata Nazreen yang akan menyiapkan persalinan Linda Onn, Siti Saida dan Intan Ladyana di malam kemuncak ABPBH 2008.

Ditanya pendapat dirinya mengenai kain songket, secara peribadi pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui penerimaan masyarakat makin meluas dalam mengangkat martabat songket sebagai budaya dan identiti Malaysia.

“Ketika menuntut dulu, saya memilih melakukan kajian mengenai kain songket. Sebab itu, saya cukup berhati-hati menggunakan kain songket untuk sebahagian daripada hasil rekaan kerana ingin memastikan martabat songket terpelihara,” katanya.

Profil

Nazreen Idris

Pendidikan: Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Terbabit menyediakan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, pemenang tempat ketiga Animax Fashion Ability 2007.

Antara artis yang pernah mendapat sentuhan Nazreen: Datuk Khatijah Ibrahim, Anne Ngasri, Diana Danille, Linda Onn, Intan Ladyana, Siti Saida dan Faezah Elai.

Warna Zery Zamry

JIKA ramai pereka fesyen memilih perincian yang melengkapi rekaan pakaian, Zery Zamry pula sebaliknya. Pereka muda kelahiran Kelana Jaya, Selangor ini memilih warna sebagai tarikan rekaan. Seperti sebelumnya, pereka yang memiliki label butik Zery Zamry Couture ini akan menyiapkan adi busana penyanyi Elyana dan pelakon Norish Karman.

Mengetengahkan konsep minimalis, Zery berusaha memodenkan songket melalui rekaan.

“Sebagai pereka muda, menjadi tanggungjawab kami berusaha sebaik mungkin memastikan songket menjadi pilihan ramai. Apabila digayakan artis, ia setidak-tidaknya menjadi ikutan dan dilihat ramai orang. Apatah lagi, ABPBH cukup membantu pereka fesyen membina nama di Malaysia,” katanya.

Tiga tahun terbabit serius sebagai pereka untuk artis yang bertanding di ABPBH, Zery mengakui sambutan dan publisiti cukup membantu memeriahkan industri fesyen tanah air.

“Ya lah, artis dan pereka fesyen saling memerlukan dan secara tidak langsung ABPBH dilihat sebagai jambatan merancakkan lagi industri fesyen di Malaysia,” kata pereka berusia 25 tahun ini.

Profil

Zery Zamry

Pendidikan: Universiti Teknologi Mara (UiTM) pengkhususan Fesyen.

Pencapaian:

Anugerah Jarum Berlian 2006.

Finalis Project Runaway Malaysia.

Tranformasi Shegar

BERPENGALAMAN 12 tahun dalam bidang hiasan dalaman, Shegar Chandra Sekaran atau lebih dikenali sebagai Shegar kini menyahut cabaran dengan ‘terjun’ ke bidang rekaan pakaian. Tiga tahun dalam dunia fesyen, usaha itu tidak sia-sia apabila rekaannya mula diperkata umum.

Malah sempena ABPBH 2008, Shegar dipertanggungjawabkan mereka pakaian Cheryl Samad. Bukan kali pertama, koloborasi Shegar sudah cukup sinonim bersama pengacara terkenal itu.

Kata pereka berbakat berusia 36 tahun ini, beliau cukup teruja mengetengahkan tema songket lalu mengangkat martabat khazanah negara itu.

Baginya, songket jika disesuaikan dengan bentuk rekaan dan padanan fabrik lain mampu menterjemah hasil rekaan menarik dan bertaraf antarabangsa.

“Saya cenderung dengan rekaan potongan clean cut dan menggemari sesuatu yang simple. Justeru itu, saya akan memastikan rekaan Cheryl nanti dipengaruhi elemen begini,” kata Shegar.

Profil

Shegar Chandra Sekaran

Pendidikan: Ijazah dalam Hiasan Dalaman daripada Saito Akademi, Kuala Lumpur.

Pencapaian:

Beliau berkecimpung dalam dunia hiasan dalaman lebih 12 tahun tetapi mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen sejak tiga tahun lalu.

Mulai tahun ini tekadnya untuk menyertai lebih banyak acara fesyen seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Festival Fesyen Islam KL.

Terpilih sebagai pereka pakaian Anugerah Juara Lagu 2008 disifatkan antara pencapaian tertingginya dalam kerjaya sebagai pereka fesyen.

Sentuhan Nik Erwan

SESUATU yang istimewa cuba disampaikan pereka fesyen kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Mengakui bakal menerapkan hingga 40 peratus kain songket dalam busana ciptaannya, Nik Erwan Roseli teruja kerana terbabit dalam dua acara besar bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian dan ABPBH 2008 menjadi medan terbaru buat Nik Erwan berfantasi dengan gaya dan hasil ciptaan cemerlang. Untuk acara berprestij ABPBH 2008, Nik Erwan mereka pakaian untuk pelakon Dynas, Mila Tini Hot FM dan kumpulan Fabulous Cats.

“Menambah lagi pesona rekaan, saya memilih warna terang yang akan digabungkan dengan warna songket. Begitupun, rekaan tidak harus terlalu menonjol dan sarat, sebaiknya biarlah lebih sederhana supaya nampak lebih anggun dan menawan.

“Majlis begini adalah platform terbaik buat pereka fesyen tanah air membina nama dan dikenali ramai. Pengalaman terbabit dalam ABPBH beberapa tahun kebelakangan ini nyata memberi impak besar untuk saya melebarkan bakat,” katanya yang bercadang untuk memasarkan pakaian ready to wear pada masa akan datang.

Profil

Nik Erwan Roseli

Kelulusan: Diploma dalam Jurusan Grafik; Ijazah dalam Jurusan Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pencapaian:

Memenangi Anugerah Koleksi Terbaik pada Persembahan Akhir Peringkat Ijazah pada 2008.

Menyertai persembahan MIFA pada 2008.

Terbabit dalam Royal Of Art di One World Hotel 2008.

Menghasilkan pakaian untuk ramai selebriti termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Mendua Reality Television Gangstarz dan Sharifah Aleya.

Cabaran tersendiri Hazwani

BUKAN sekadar berfantasi rekaan gaun pengantin, Hazwani Osman juga boleh mereka pakaian lelaki, Justeru itu, ABPBH dan Fiesta Fesyen Berita Harian menguji bakat dalam menghasilkan rekaan untuk lelaki dan wanita.

Malah, Hazwani akan mencipta sesuatu yang berbeza buat Faizal Tahir dan Jamal Abdillah.

“Bukan senang untuk mencipta kelainan dalam pakaian lelaki. Tidak seperti wanita, rekaan lelaki harus disesuaikan dengan keadaan dan material yang digunakan termasuk jenis kain.

“Jika tidak kena dengan gaya, tema songket hanya akan menampakkan rekaan untuk lelaki seakan-akan pakaian rasmi pelayan di hotel,” akui Hazwani jujur.

Sambil memuji usaha mengetengahkan tema songket, Hazwani berkata menjadi tanggungjawab pereka fesyen tempatan dalam mengetengahkan nilai tradisi tempatan.

Profil

Hazwani Osman

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam dan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Finalis top 20 Mifa 2006.

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005.

Finalis Jusco Young Designer 2003.

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Sensasi rekaan Amir Luqman

AURA gaya pereka fesyen ini cukup terserlah. Itulah kelebihan pereka fesyen, Amir Luqman sehingga terpilih menjadi penata gaya rakaman televisyen bagi Miss Universe 2008, Dayana Mendoza. Di acara kemuncak ABPBH 2008, Amir akan merealisasikan sentuhan rekaan untuk calon Artis Baru Wanita Popular, Scha.

Kata Amir, dia gemarkan sesuatu yang berbeza di samping konsep seni dalam setiap rekaan. Meskipun itu, dia juga memastikan nilai kemelayuan diterapkan dalam rekaan pakaian.

“Tema songket adalah langkah permulaan dan usaha yang baik untuk memartabatkan khazanah negara. Diharapkan dengan usaha sebegini sekurang-kurangnya mampu mengetengahkan songket di peringkat antarabangsa.

“Apatah lagi, selebriti dan fesyen cukup sinonim dan menjadi kerjasama terbaik dalam mencipta kelainan. ABPBH dilihat landasan yang baik dalam kerjasama pereka fesyen tempatan dengan selebriti tanah air,” kata Amir yang juga pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004.

Profil

Amir Luqman

Pencapaian:

Peserta akhir Piala Seri Endon 2005

Pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004

Peserta akhir Star KL Fashion Week Designer Award 2005

KL Fashion Week 2006 – Berjaya Times Square

Stylo Fashion Festival 2008 – Pavilion Kuala Lumpur

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA)

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra (BDA)

Isetan Young Designer Promo 2006

Penata gaya Miss Universe 2008 Dayana Mendoza untuk rakaman televisyen.

Berita Harian

Hot FM Kini Di TV9

1 Apr

Rap
KEMUNCULAN penyampai popular, Fara Fauzana dan Faizal Ismail di 8TV setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 hingga 10 pagi mengendalikan Hot FM AM Krew sejak Oktober 2006, membuatkan stesen yang popular dengan tagline Lebih Hangat Daripada Biasa, Hot FM makin diminati dan terus menjadi pilihan pendengar pelbagai generasi.

Harapan sama diharapkan apabila penyampai yang sedang hamil empat bulan, Sharifah Aleya atau Leya, mengikut jejak langkah dua penyampai berkenaan apabila mengendalikan segmen Menu Muzik Hot FM di TV9 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari sejak 9 Mac lalu.

Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, kemunculan program itu dianggap wajar selepas langkah dilakukan pada 2006 mendapat maklum balas positif pendengar serta penonton 8TV.

Katanya, langkah itu ternyata mendapat sambutan pendengar setia Hot FM bukan saja dapat mendengar celoteh mereka melalui radio malah dapat menonton setiap aksi penyampai kegemaran mereka secara langsung melalui televisyen.

“Penonton juga secara tidak langsung berpeluang melihat cara pengendalian segmen radio. Ternyata kolaborasi dengan televisyen dari rangkaian Media Prima dilihat memberi impak sangat dalam terhadap rutin hidup pendengar serta penonton Hot FM.

“Ia boleh dikatakan mencapai matlamat utama apabila berjaya menjadikan Hot FM sebagai satu keperluan peribadi dalam hidup setiap pendengar stesen itu.

“Melihatkan maklum balas yang baik terhadap program Hot FM AM Krew itu, kami meluaskan lagi pendedahan penyampai di stesen lain.

“Sesuai dengan objektif asal stesen yang sentiasa mengambil kira pendapat pendengar, Hot FM yakin kolaborasi ini akan menguatkan lagi kemesraan di antara pendengar, penonton serta stesen itu sendiri.

“Kami akan berusaha untuk menarik lebih ramai pendengar melalui kerjasama dengan TV9. Pemilihan Aleya kerana pengurusan yakin dengan kemampuannya berinteraksi dengan penonton di televisyen.

“Kami yakin kepetahan serta karektor Leya yang lucu mampu menambat hati penonton,” katanya.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Menu Muzik Hot FM Di TV9

26 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

AKSI Leya sebagai penyampai Hot FM dapat disaksikan menerusi TV9.

PELBAGAI langkah diambil stesen radio tempatan dalam memperkenalkan penyampai mereka bagi menguatkan lagi kemesraan di antara pendengar, penonton serta stesen itu sendiri.

Ini sebenarnya adalah langkah bijak yang secara tidak langsung perkembangan industri radio tempatan dapat diangkat sekali gus dimartabatkan ke satu tahap yang lebih tinggi.

Penyampaian radio kini yang sudah dianggap sebahagian daripada selebriti tanah air turut mempunyai peranan penting dalam perkembangan industri seni termasuk menyampaikan maklumat terkini kepada pendengar.

Sejak Oktober 2006, Stesen radio Hot FM yang memperkenalkan segmen pagi AM Krew yang dikendalikan oleh Fara Fauzana dan Faizal Ismail bukan saja dapat didengar celoteh mereka menerusi Hot FM malah dapat melihat aksi mereka melalui siaran pagi di 8TV.

Selepas pembaharuan yang dilakukan Hot FM dalam memperkenalkan selebriti mereka, Fara dan Faizal kini lebih dikenali oleh masyarakat. Perkembangan ini seharusnya dicontohi stesen radio lain dalam memperkenalkan selebriti mereka.

Kini Hot FM memperluaskan lagi perkembangan pemasaran selebriti mereka dengan memilih Leya atau Sharifah Aleya yang boleh disaksikan menerusi TV9 bermula 9 Mac lalu setiap Isnin hingga Jumaat melalui segmen Menu Muzik Hot FM dari jam 10 hingga 1 tengah hari.

Leya yang kini sedang hamil empat bulan dikenali dengan kepetahan dan karakter beliau yang selamba mendapat maklum balas yang positif daripada pendengar sehingga dipilih untuk menuruti jejak Fara dan Faizal.

Langkah sedemikian ternyata mendapat sambutan hangat kerana pendengar setia Hot FM bukan saja dapat mendengar Hot FM melalui corong radio, malah mereka juga dapat menonton setiap aksi penyampai kegemaran mereka secara langsung melalui saluran TV.

Malah penonton juga dapat menyoroti cara pengendalian sesebuah segmen radio. Ternyata kolaborasi dengan televisyen dari Rangkaian Media Prima dilihat memberi impak yang sangat dalam di dalam rutin hidup pendengar serta penonton Hot FM.

Hot FM disifatkan mencapai matlamat utama apabila berjaya menjadikan stesen itu sebagai satu keperluan peribadi dalam hidup setiap pendengar stesen itu. Sesuai dengan objektif asal yang sentiasa mengambil kira pendapat pendengar, Hot FM yakin kolaborasi ini akan menguatkan lagi kemesraan di antara pendengar, penonton serta stesen itu sendiri.

Beliau diberikan kepercayaan untuk menarik lebih ramai pendengar dengan usaha bersama TV9, diyakini mampu melakukan tugas dengan baik juga kemampuan Leya dalam berinteraksi dengan penonton TV.

Berita Harian

Kombinasi Jawa Rangers Menjadi

23 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SAMBUTAN lebih 40,000 penonton yang membanjiri Konsert Hot FM Big Jam 2009 di Danga Bay, Johor Bahru pada awal bulan ini mencatatkan kejayaan bermakna buat stesen radio milik syarikat konglomerat media terbesar, Media Prima Berhad.

Walaupun baru berusia tiga tahun, Hot FM berjaya menunjukkan prestasi yang membanggakan dan peningkatan pada kualiti setiap tahun sememangnya terserlah.

Menariknya, sambutan ini tidak hanya bergantung pada kandungan program yang disiarkan, tetapi Hot FM turut mengambil peluang mengadakan pelbagai aktiviti luar yang dapat merapatkan hubungan bersama pendengar.

Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul berkata kejayaan Hot FM sebagai stesen nombor satu di hati pendengar adalah berdasarkan faktor sokongan pendengar sendiri dan kegigihan penyampai termasuk kakitangan mereka dalam memberikan hasil kerja terbaik untuk kepuasan bersama.

Sejak mula beroperasi, stesen ini mengutamakan pendengar sebagai kumpulan sasaran mereka dalam meraih kejayaan yang diharapkan.

Hingga kini, Hot FM yang menampilkan tagline Lebih Hangat Daripada Biasa mampu berbangga apabila mereka mempunyai kekuatan 10 penyampai popular iaitu Faizal Ismail, Muhammad Azmir Selamat (AG), Putri Andreanna Syigim Mohd Razalli (Anne), Nik Nur Azura Nik Mahmood (Azura), Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid (Leya), Fara Fauzana, Suraya Borhan, Mohd Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan), Kartini Kamalul Ariffin (Tini) dan Maskiran Jakiran (Kieran).

“Kami bersyukur apabila sambutan daripada pendengar terhadap Hot FM semakin baik dan bertambah. Tentunya, sokongan pendengar ini memberi semangat pada penyampai kami untuk berusaha menarik perhatian pendengar dengan program dan acara terbaik yang kami sediakan.

“Malah, sejak Kieran menyertai Hot FM sebagai anggota keluarga baru lebih empat bulan lalu, stesen ini bertambah mantap. Nyata, strategi menggandingkan Kieran dengan AG mengendalikan segmen Hot FM Jam dari jam 4 petang hingga 8 malam menjadi dan pendengar sebenarnya sudah minat mendengar celoteh mereka berdua sejak pertama kali digandingkan menerusi segmen Hot FM AM Krew.

“Pujian juga harus diberikan pada AG kerana cepat mewujudkan keserasian bersama Kieran. Kini, saya lihat mereka macam belangkas hingga apabila Kieran dapat anak sulung baru-baru ini, setengah jam selepas isteri Kieran bersalin, AG pula pantas berada di hospital.

“Mereka yang turut dikenali sebagai Jawa Rangers berkongsi persamaan dari aspek sudah berkahwin, mempunyai anak dan meminati pasukan bola sepak yang sama iaitu Manchester United.

 

 

“Buat masa ini, gandingan mereka berdua dikekalkan termasuk Fara bersama Faizal yang masih serasi untuk menceriakan Hot FM AM Krew.

“Untuk memastikan sokongan pendengar bertambah, gandingan penyampai yang mempunyai keserasian adalah penting. Untuk siaran di awal pagi seperti segmen Hot FM AM Krew yang bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi, ia dianggap formula penting dalam menentukan stesen itu berjaya atau tidak. Justeru, Fara dan Faizal mempunyai kekuatan untuk menggalas cabaran berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, Seelan bersama dua penyampai Hot FM iaitu Azura dan Anne mengadakan majlis makan tengah hari bersama unit hiburan Rap di Bangsar, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan Penolong Pengarang, Hartati Hassan Basri.

Mengenai perancangan selepas ini, Seelan berkata perubahan pada kandungan program turut dilakukan. Menariknya, pendengar yang menghubungi talian Hot FM kini berpeluang memilih lagu kesukaan mereka selain membuat dedikasi ucapan mereka menerusi segmen Hot FM Zon dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

“Walaupun penyampai kami dikatakan sudah bagus, tetapi mereka masih mempunyai ruang untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Penyampai juga digalakkan menyumbang idea sendiri untuk mempertingkatkan kualiti program di stesen ini.

“Strategi asas Hot FM sejak dulu iaitu memberikan yang terbaik kepada pendengar. Untuk perancangan akan datang, kami mahu mengadakan lebih banyak aktiviti luar bersama pendengar dan jika boleh aktiviti ini diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Menjelang awal bulan depan, kami juga akan memperkenalkan format baru di laman web Hot FM. Selain itu, pelbagai aktiviti lain akan dianjurkan seperti Hot FM Mini Jam dan pertandingan bola sepak futsal yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu pada Jun hingga Julai nanti,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro