Archive | Sharifah Aryana RSS feed for this section

Mukhsin Alam Remaja Yang Indah Penuh Emosi

13 Mar

Bersama: A. WAHAB HAMZAH
Bermula dengan Rabun (2003), Sepet (2005), Gubra (2006) hingga yang terbaru Mukhsin, Yasmin Ahmad memantapkan pendekatan dan tema kemanusiaannya, tentang kasih sayang dan nilai kekeluargaan.

Keyakinan Yasmin pada sebuah filem adalah keupayaan filem tersebut mengangkat unsur emosinya. Filem-filem ini seakan sebuah autobiografi bagi Yasmin, tetapi unsur kemanusiaan yang diangkat daripada kisah keluarga ini pada masa yang sama cukup bersifat universal.

Inilah yang dibawakan oleh Mukhsin. Sungguhpun Mukhsin boleh dianggap sebagai sebuah prekuel kepada ketiga-tiga buah filemnya yang terdahulu yang masih menggunakan watak Oked sebagai watak utama dan juga keluarga Oked sebagai latarnya, tetapi filem ini mampu berdiri sebagai satu kisah tersendiri. Mukhsin ini membawa kisah hubungan persahabatan antara Oked (Sharifah Aryana) yang dalam usia remaja 10 tahun bertemu dengan Mukhsin (Mohd. Syafie Naswip) yang berusia 12 tahun semasa cuti sekolah yang panjang dan persahabatan itu mewujudkan kemesraan antara mereka.

Mukhsin cuba mengangkat realiti kehidupan remaja yang masih bersih dan indah, alam sekitarnya dan hubungan kekeluargaan. Berbeza dengan konflik kehidupan yang lebih dramatik dalam Gubra dan masalah hubungan antara kaum dalam Sepet, Mukhsin menyelami kehidupan remaja dan perubahan emosi yang mereka lalui dalam sebuah kisah yang lebih bersahaja. Namun Yasmin masih melihat keindahan realiti masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum menjadi latar utama dalam Mukhsin.

Keluarga Oked iaitu ibunya Mak Inom (Sharifah Aleeya) dan bapanya Pak Atan (Irwan Iskandar Abidin), serta pembantu keluarga Kak Yam (Adibah Noor) adalah gambaran sebuah keluarga yang bahagia, tidaklah begitu mewah tetapi melalui kehidupan yang selalunya gembira.

Mereka yang telah menonton filem-filem terdahulu arahan Yasmin tentu mengenali sifat keluarga bahagia ini. Bagaimanapun dalam usaha Yasmin untuk menggambarkan sebuah keluarga yang kelihatan bahagia tetapi mempunyai kelemahan sendiri, maka digambarkan yang Pak Atan berhutang membeli perabot (tentulah gambaran ini kelihatan seakan sengaja diadakan kerana Pak Atan yang kelihatan terpelajar dan pada masa yang sama mampu mempunyai kereta tentulah tiada masalah membeli perabot sofa). Keluarga yang bersifat kontras kepada keluarga Oked adalah keluarga Rozie (Rozie Rashid), mempunyai seorang anak perempuan sebaya Oked dan suaminya yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Juga keluarga Kak Senah (Mislina), wanita kampung yang tipikal dan baik hati yang tinggal bersamanya adalah dua anak saudaranya iaitu Husein (Salehudin) dan Mukhsin (Mohd. Syafie Naswip).

Hussein adalah anak muda yang kecewa di atas perceraian ibu bapanya. Manakala Mukhsin menjadi pendiam dan berasa gembira hanya apabila dia bermain dengan teman-temannya. Kehidupan keluarga yang kontras ini dijadikan bandingan oleh Yasmin. Mukhsin yang dahagakan kehidupan keluarga yang bahagia (yang sebenarnya tidak didapatinya dari Kak Senah yang juga tidak punya keluarga sendiri) menumpang bahagia daripada keluarga Oked. Dalam satu adegan Mukhsin memerhati dari luar rumah dengan penuh emosi keluarga Oked yang sedang gembira menari. Dalam banyak adegan Yasmin membuat bandingan kontras kehidupan keluarga ini. Ketika Pak Atan dan Mak Inom boleh bergurau senda, digambarkan hubungan Rozie yang tegang dengan suaminya. Sementara Kak Yam yang tenang sebagai pembantu rumah yang bijak, digambarkan Hussein yang pemarah dan pemabuk.

Sungguhpun demikian, apa yang menjadikan Mukhsin sebuah tontonan yang enak adalah kerana ia sebuah melodrama yang terkawal daripada menjadi terlalu sentimental. Kelucuannya bertempat, kesedihan dan kesusahannya tidak berlebihan, malah konflik dramatik yang besar hampir tidak berlaku kecuali perkelahian kanak-kanak dan adegan buli. Tetapi yang sangat berkesan adalah konflik emosi yang disampaikan secara cukup berkesan oleh para pelakonnya. Biarpun keluarga Pak Atan adalah gambaran keluarga yang bahagia, tetapi gambaran yang paling berkesan adalah keluarga Kak Senah. Sungguhpun Senah tidak mewah tetapi dalam kesederhanaannya itu dia mencurahkan kasihnya kepada anak-anak saudaranya, Hussein dan Muksin. Biarpun Hussein pemarah dan pemabuk tetapi sebenarnya dia sangat menyayangi adiknya Mukhsin dan dia sentiasa berusaha mencari dan menghubungi ibunya melalui telefon walaupun sering terhalang. Adegan yang paling menyayat hati dan paling berkesan adalah ketika dia bersama Mukhsin menangisi kematian ibu mereka. Begitu juga adegan Mukhsin memanggil Oked untuk bertemu sebelum balik ke kampung selepas berlaku perselisihan faham antara mereka semasa bermain galah panjang.

Mukhsin memberikan kesan yang tersendiri dengan kesederhanaan plot dan dialognya yang minimum. Sebagaimana dalam filem-filemnya yang lepas, yang menjadi keutamaan Yasmin adalah kekuatan naratif dan kemantapan lakonan pelakonnya. Dalam Mukhsin, Yasmin nyata mengawal filem ini daripada membesarkan sesuatu isu sebagai satu mesej kritikan sosial, tetapi cukup sekadar memaparkannya dan membiarkan penonton menilainya. Masalah kehidupan Hussein tidak terlalu diperbesarkan, begitu juga masalah yang dihadapi oleh Rozie, dan malah kehidupan Kak Senah yang dahulu pernah menjadi penari joget. Sungguhpun Yasmin tidak membuat penilaian terhadap watak-watak ini tetapi kehidupan yang dilalui oleh Oked mampu menginsafkan kita kerana kesemua kisah ini akhirnya menjadi sebahagian daripada latar kehidupan Oked menempuh alam remajanya. Tetapi ini tidak bermakna yang Yasmin tidak memberikan komentarnya. Dalam beberapa adegan tertentu Yasmin menjawab tentang penggunaan bahasa Inggeris (dalam konteks ini adalah keluarga Oked yang kerap berbahasa Inggeris), tentang hubungan kaum dan dalam satu syot tentang pencemaran budaya. Yasmin dengan bijak menggunakan filem dan adegan-adegan tertentu dalam filemnya untuk menjawab kritikan.

Mukhsin dilengkapkan dengan kerja kamera yang kelihatan sederhana dengan aliran visual yang tenang bukan sahaja mampu mengangkat keindahan alam, lokasi rumah-rumah papan dengan binaan yang nostalgik tetapi mampu melengkapkan karakter filem ini. Namun di sebalik kesederhanaan pendekatan ini, kita dapat merasakan kekuatan emosinya. Mukhsin adalah kisah remaja seadanya, yang sederhana dalam kekuatannya.

Arahan: Yasmin Ahmad

Lakon layar: Yasmin Ahmad

Pelakon: Sharifah Aryana, Mohd. Syafie Naswip, Sharifah Aleeya, Irwan Iskandar Abidin, Salehuddin, Rozie Rashid dan Mislina.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements