Archive | Sheila Abdull RSS feed for this section

'Macam Tinggal Dalam Rumah'

4 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

FAZLI ZAINAL, Nabil, Ashraf Muslim, Farah Asyikin dan Mila tidak melepaskan peluang berkaraoke dalam bas.

Artis yang mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 ke Sungai Petani mengakui selesa menggunakan bas

PERJALANAN menaiki bas dua tingkat tajaan syarikat Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd dari Balai Berita ke Sungai Petani Jumaat lalu bersempena siri jelajah pertama Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di zon Utara itu bagaikan sebuah pengalaman indah.

Apa tidaknya, bas yang dilengkapi set karaoke dengan ruang santai, peti sejuk dan dapur mini menyerupai rumah ini cukup selesa jika dijadikan pilihan mereka yang ingin menggunakan kenderaan awam untuk melancong.

Berkali-kali calon finalis ABPBH 2008 bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Ashraf Muslim dan Pelakon Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi yang buat kali pertama mengikuti siri jelajah ini memuji keselesaan bas dinaiki mereka. Turut sama menaiki bas ialah artis jemputan Fazli Zainal, Sheila Abdull, Syazliana dan kumpulan Nitrus.

“Saya cukup gembira kerana dapat menaiki bas bersama rakan artis yang lain. Apatah lagi ini kali pertama saya mengikuti siri jelajah ABPBH dan dapat pula menaiki bas baru yang sangat selesa. Pengalaman sulung yang ada ini ingin saya manfaatkan sebaik mungkin untuk beramah mesra dengan lebih rapat lagi bersama rakan wartawan dan artis.

“Kemudahan yang ada di dalam bas ini pun sangat praktikal. Macam tinggal di dalam rumah. Paling saya suka ialah set karaoke mini. Saya ambil peluang berkaraoke. Biarpun penat pada hari sebelumnya, saya lupakan ia demi kenangan indah ini,” kata Ashraf yang kini wajahnya menghiasi drama Yusof bagi slot Samarinda TV3.


ARTIS yang menaiki bas bergambar di pekarangan Balai Berita sebelum bertolak ke Sungai Petani.

Cuma Nabil, Mila, vokalis kumpulan Nitrus, Eddie, Farah Asyikin dan kumpulan Meet Uncle Hussain saja menaiki kenderaan sendiri. Rugi juga mereka yang tidak dapat menikmati gaya mewah menaiki bas yang baru beroperasi tidak sampai setahun ini. Terima kasih daun keladi kepada Sinarmas kerana sudi menjadi kenderaan rasmi ABPBH 2008.

“Sayang juga saya tak dapat sama menaiki bas kali ini sebab ada komitmen kerja yang memerlukan saya datang menaiki kenderaan sendiri. Saya harus melunaskan kerja memasukkan suara untuk filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly.

“Tak dapat naik bas, dapat pose di dalam bas pun kira memadailah. Lepaslah rindu sedikit. Tak apalah Mila dan Farah pun senasib dengan saya sebab datang sendiri ke Sungai Petani,” usik Nabil yang turut menjadi pengacara untuk malam amal ABPBH 2008 Untuk Gaza dan persembahan siri jelajah anjuran Berita Harian dipadatkan kerjasama dengan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia.

Ruang karaoke yang terletak di tingkat satu bas ini menjadi tumpuan artis yang menaiki bas. Apa lagi, inilah masanya masing-masing menguji kehebatan vokal masing-masing. Biarpun tanpa kehadiran Nabil yang mampu menceria suasana, kehadiran Ashraf sudah cukup membuatkan rakan artis dan media tersenyum simpul. Sikap selamba Kenchana Dewi dan Fazli Zainal turut menghidupkan suasana di dalam bas.


LAN Meet Uncle Hussain dan Nabil bersantai di ruang karaoke mini.

Siapa sangka di sebalik sikap ‘macho’ teman baik kepada pelakon Sherry Ibrahim ini, ada sisi humor yang tersembunyi dan jarang ditunjukkannya. Bukan saja kamera jurugambar Berita Harian yang menjadi ‘mangsa’ bahan uji kajinya, malah tatkala mikrofon berada di tangannya mulalah dia berubah watak. Sekejap jadi ketua pramugara dan sekejap berangan jadi deejay hinggakan gelagatnya dirindui salah seorang staf Sinarmas, Rusiah Ariffin atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ros.

“Layanan mesra empat orang staf Sinarmas yang sporting termasuk pemandu bas cukup membuatkan hati saya gembira. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka kerana sudi melayan kami semua,” kata Ashraf dalam nada ceria.

Berita Harian

Advertisements

ABPBH 2008: Sambutan Luar Dugaan

2 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Barisan artis tidak sangka diserbu ramai pengunjung petanda ABPBH 2008 terus menjadi acara yang ditunggu peminat

PERMULAAN yang baik, siri jelajah pertama Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di ruang legar premis Village Mall, Sungai Petani berlangsung dengan jayanya kelmarin.

Ruang legar yang tidak luas itu menyebabkan keadaan sesak tapi suasananya memang mengagumkan, menghiburkan menerusi pelbagai gelagat daripada pengunjung yang ‘sporting’. Kira-kira 5,000 orang dan kerjasama penuh yang diberikan oleh setiap artis yang hadir antara kunci kejayaan persembahan itu.

Persembahan penutup menampilkan finalis Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Meet Uncle Hussain mendendangkan dua lagu mereka, Pari Pari Di Bawah Angin dan Lagu Untukmu menjadi kemuncak pada acara ini . Sekali lagi band ini mendominasi perhatian ramai selepas menjuarai pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-23 Januari lalu.

Gimik menampilkan klon bersuara sepertinya Syamsyul Anuar Ismail di Sungai Petani dengan hanya menyanyi secara miming antara kejutan yang dilakukan. Syamsyul juga antara peserta pertandingan Bintang Idola Berita Harian.

Malah kehadiran pelakon dan pelawak paling menyerlah tahun lalu hingga sekarang, Nabil yang turut disenaraikan dalam kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Pelakon Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008 sebagai hos dilihat sebagai gandingan mantap. Fazli Zainal yang turut dijemput sebagai penyanyi jemputan bersetuju mengatakan siri jelajah pertama kali ini antara yang terbaik yang pernah dianjurkan Berita Harian dan Persatuan Akademi Muzik Malaysia (AIM).


KEHADIRAN Lan Meet Uncle Hussain dan Nabil menggamatkan Village Mall, Sungai Petani.

“Biarpun persembahan penyanyi dan penampilan personaliti yang terbabit saya andaikan biasa saja, kehadiran Nabil dan Meet Uncle Hussain (MUH) berjaya menaikkan suasana acara ini. Tak mustahil melihat sokongan peminat terhadap mereka, dua profil ini mungkin mempunyai peluang cerah dianugerahkan Bintang Paling Popular,” katanya yang mendendangkan single terbarunya Kalbu dan lagu kumpulan Matta, Ketahuan.

Impak gelombang indie ternyata membawa angin baru aliran muzik ini sejak tiga tahun kebelakangan. Malah, ketika Lan muncul di pentas, jeritan histeria pengunjung jelas menunjukkan betapa kuat populariti MUH hingga menyerang ke utara semenanjung. Biarpun jam hampir menunjukkan 7 malam, pengunjung masih tidak berganjak, hingga MUH menghadiahkan sebuah lagi lagu bonus berjudul Halusinasi sebagai tanda terima kasih.

Menurut tonggak MUH, Lan yang menyanyikan lagu tema Tabung NSTP Untuk Gaza berjudul Putihnya Lukisan berkata, biarpun pertama kali menyertai siri jelajah ini, dia menyifatkan lokasi di Sungai Petani antara yang paling meriah.

Bahkan, MUH turut melakukan inisiatif menjual poskad karikatur gambar mereka yang mana 30 peratus daripada keuntungan jualan disumbangkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Tahun lalu, kumpulan ini hanya diundang membuat persembahan malam kemuncak ABPBH 2007.


KENCHANA dan Nabil bergurau dengan pengunjung.

“Kehadiran ramai pengunjung yang membanjiri ruang legar Village Mall ini menunjukkan tanda sokongan dan sambutan masyarakat sekitar Kedah memang di luar dugaan. Saya sendiri tak sangka sambutan mereka terhadap acara ini begitu hebat.

“Apa yang berlaku dan melanda kumpulan saya selama ini akan cuba diperbaiki demi memastikan sokongan berterusan daripada peminat. Saya akui kekhilafan saya sebagai manusia biasa dan akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang masih sayangkan MUH.

Ruang terbaik popularkan diri

Selama dua hari, rakan artis dan media berkampung di Sungai Petani bagi sama-sama memeriahkan acara yang menjadi tradisi sebelum berlangsungnya anugerah kemuncak pada 12 April depan di Genting Highlands, Kota Keriangan. Dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, anggota rombongan di bawa dengan bas rasmi ABPBH 2008 tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.

Seperti lazimnya, kehadiran calon akhir anugerah berprestij ini menjadi landasan terbaik untuk melobi dan berkempen persis calon wakil rakyat untuk meraih undian dan kepercayaan peminat mengundi mereka menerusi borang undian Top5 ABPBH 2008 yang disiarkan setiap hari dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Kehadiran finalis ABPBH 2008 lain seperti, Mila, Kenchana Dewi dan Ashraf Muslim masing-masing memberi isyarat seolah mereka sudah lama dinantikan. Malahan artis jemputan yang turut hadir membuat persembahan seperti Syazliana, Farah Asyikin, kumpulan Nitrus dan Sheila Abdull bagai ruang udara yang memberi nafas baru kepada pengunjung yang datang.

Calon akhir bagi finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular ABPBH 2008, Kenchana Dewi berkata, melihat kepada sambutan orang ramai, dia akan cuba sebaik mungkin untuk terbabit di lima lokasi seterusnya.

Menariknya Kenchana sepanjang di Sungai Petani, dia juga turut mendapat perhatian ramai. “Saya sudah dimaklumkan awal oleh pihak Akademi, lalu saya akan cuba turun padang bertemu peminat.

“Tahun lalu, saya tidak dapat langsung memeriahkan jelajah ini kerana sibuk dengan jadual penggambaran. Tanpa peminat, saya mungkin tidak akan berada di tahap ini. Lalu demi menghargai mereka, saya bersedia menemui mereka di setiap lokasi jelajah.

“Saya bersyukur kerana peminat sedar mengenai kehadiran saya. Saya rasa setiap lakonan saya tidak kiralah untuk watak komedi atau serius, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penonton. Sudah tercalon, ia sudah memadai,” katanya yang sudah 18 tahun berada di dalam industri.

Pemenang Artis Baru Wanita Terbaik ABPBH 2007 ini, Mila yang kali ini tersenarai dalam senarai calon akhir kategori Penyanyi Wanita Popular tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, selepas melihat saingannya terdiri daripada nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza.

Selain persembahan artis, turut diselit ialah sesi soal jawab mengenai Berita Harian dan ABPBH kepada pengunjung bertuah. Syazliana mempersembahkan dua lagu daripada album terbarunya, Atas Nama Cinta dan Dalam Alam Bercinta, Farah Asyikin (Hello dan Seribu Penipuan) dan Nitrus (Bintang-Bintang dan Cinta).

Bukan setakat Kenchana saja yang menjadi perhatian, Ashraf Muslim yang dikenali dengan watak Ustaz Amirul di dalam drama Puaka Niyang Rapik turut digilai kerana wajah kacaknya. Pada saat akhir, Ashraf sudi menjadi pengacara ‘bidan terjun’ bersama Nabil mengendalikan majlis.

Anak didik komposer Adnan Abu Hassan, Shila Abdull memilih single terbarunya, Semuanya Keranamu dan lagu Mungkinkah yang memperkenalkan dirinya ke persada seni. Persembahan akhir berlabuh apabila semua artis terbabit bergambar kenangan di atas pentas utama. Akibat pengunjung yang ramai, sesi autogeraf yang dijadualkan pada mulanya terpaksa dibatalkan.

Selesai majlis, rombongan artis dan media menaiki bas menghala ke Restoran D’Jetty 8 Beradik, Sungai Merbok yang sudi menaja makan lam. Terima kasih daun keladi kepada semua yang terbabit. Siri jelajah ABPBH 2008 akan ke Pasir Gudang minggu ini.

Corat coret sepanjang dua hari

Empat staf Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd termasuk pemandu begitu mesra melayan artis dan media sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani dan balik ke Kuala Lumpur.

Vokalis kumpulan Nitrus, Eddie hanya datang pada hari Sabtu kerana terbabit dengan hari keluarga syarikat tempat dia bekerja.

Fazli Zainal sempat mempromosikan single terbarunya, Kalbu di dalam bas dengan menyerahkan cakera padat kepada rakan artis dan media.

Ashraf Muslim dan Kenchana Dewi masing-masing membawa ahli keluarga menemani mereka ke Sungai Petani. Ashraf ditemani adiknya, Mujib Muslim manakala Kenchana Dewi membawa kakaknya, Selvee.

Ashraf Muslim menjadi penyeri apabila tiba-tiba bergelar deejay di dalam bas menghiburkan penumpang dan mini karaoke yang ada. Ada saja ideanya memberi keceriaan dan usikan kepada staf Sinarmas dan yang lain.

Teman baik Sherry Ibrahim ini menunjukkan kemahirannya bermain seruling apabila mengalunkan lagu Seribu Tahun nyanyian Imran Ajmain. Katanya, dia belajar sendiri bermain seruling sejak setahun lalu.

Ashraf juga tidak betah duduk diam kerana dia juga menjadi jurugambar tak rasmi mengambil pos dan aksi penumpang dengan meminjam kamera jurugambar Hip Berita Harian, Hasriyashah Sabudin.

Kenchana Dewi, Ashraf Muslim dan Fazli Zainal cepat serasi dan sepanjang di dalam bas mereka mengupas pelbagai isu termasuk isu kegawatan ekonomi, gosip yang melanda industri seni, hubungan artis dan media,

Hip difahamkan di Cinta Sayang Resort, Syazliana diminati seorang lelaki mat salih berusia lingkungan 28 tahun. Bukan setakat meminati dan cuba menghubunginya dengan telefon di bilik hotel, nota ‘cinta’ turut diselitkan di bawah pintu bilik.

Makan malam yang disediakan di Restoran D’Jetty 8 Beradik sedap belaka dan jika berminat boleh singgah ke sana atau menghubungi talian: 012-5904585.

Berita Harian

Tunggu Kami!

27 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Pretty Ugly

Siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bermula di Sungai Petani dengan menampilkan beberapa artis seperti Meet Uncle Hussain, Nabil, Mila, Ashraff Muslim dan Kenchana Dewi.

Top 5 muncul di Sungai Petani

MASIH ingat dengan persembahan Meet Uncle Hussain di Arena Of Stars tahun lalu? Atau masih lagi teringatkan kehebatan kumpulan indie itu membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-23 sehingga dinobatkan sebagai juara?

Soalnya, siapa boleh lupa dengan kehebatan mereka. Lalu, kini Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) akan membawa empat anak muda ini ke Utara tanah air bagi memberi peluang kepada pembaca akhbar Berita Harian untuk mendekati mereka dan menyaksikan sendiri persembahan mereka di pentas siri jelajah promosi ABPBH2008.

Bertempat di premis beli-belah Village Mall, kumpulan yang begitu popular dengan lagu berhantu Lagu Untuk Mu, ini akan disertai penyanyi kecil molek, Mila, juara Akademi Fantasia musim kelima, Nabil si Raja Lawak musim kedua dan juga pelakon Kenchana Dewi yang begitu kelakar dan bersahaja.


Dari (kiri), Kenchana Dewi dan Farah Asyikin.

Persembahan yang bermula jam 3 petang itu akan turut menyaksikan kemunculan – siapa lagi kalau bukan pelakon Ashraff Muslim – yang semakin meledak namanya apabila memegang watak sebagai Ustaz Amirul dalam drama bersiri seram Puaka Niyang Rapik terbitan TV3. Sebelum ini wajah Ashraff kerap muncul dalam drama Renjis yang disiarkan di Astro.

Selain itu, untuk menghangatkan lagi siri jelajah promosi ini, pihak penganjur menjemput artis seperti Fazli Zainal, yang pernah meledak namanya dengan lagu Harapan, Farah Asyikin, yang kini sedang hangat dengan lagu Hello, Sheila Abdull (Mungkihkah?) Syazliana dan kumpulan Nitrus. Isma Halil diundang sebagai hos bagi mengacarakan siri jelajah pertama ABPBH 2008 ini.

Selain berpeluang untuk menatap wajah mereka dengan lebih dekat, peminat juga boleh menyerahkan borang undian Top5 yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu. Tetapi ingat, pangkah nama artis yang anda minati dan bukan artis yang anda rasa orang lain minati dan sayangi.

Pemilihan pemenang pembaca seperti tahun-tahun sebelumnya adalah berdasarkan slogan kreatif dan bukan undian tepat yang diumumkan pada malam 12 April itu.


Meet Uncle Hussain

Karnival amal di Cinta Sayang Resort

MENARIKNYA buat pertama kali akan di adakan pertandingan nyanyian mencari Bintang Idola Berita Harian (BIBH) di enam lokasi siri jelajah.

Pengurus Promosi dan Pemasaran Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) Mas Ayie Mas Omar berkata, BIBH terbuka kepada semua pembaca Berita Harian tanpa had usia dan terhad kepada 100 peserta untuk setiap lokasi.

Menurutnya, persembahan artis di pusat beli belah itu dijadualkan hanya pada hari Sabtu. Bagaimanapun, malam ini turut akan berlangsung karnival acara amal sambil berhibur di taman tema, The Carnival, Sungai Petani. Ia adalah kesinambungan acara jualan dan lelongan amal yang dilakukan penghujung Januari lalu.

“Ini semua antara kelainan yang cuba kita wujudkan dalam usaha mendekatkan golongan artis dengan peminat terutamanya pembaca setia Berita Harian. Malam amal yang diberi nama ABPBH 2008 Untuk Gaza pastinya untuk mengurangkan kesengsaraan rakyat di Semenanjung Gaza. Ia adalah usaha sama The Carnival dan Cinta Sayang Resort.

“Turut dirancang ialah lelongan barang peribadi milik artis yang terbabit. Artis yang hadir juga dijangka membantu menjual makanan yang disediakan chef daripada Cinta Sayang Resort.

“Hari Sabtu pula akan berlangsung pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian bermula jam 10 pagi. Diikuti dengan pembabitan finalis ABPBH 2008 dan artis jemputan mengambil giliran untuk membuat persembahan,” katanya yang dihubungi Hip kelmarin.

Kata Ayie, pihak Akademi mengharapkan supaya promosi yang diadakan ini dapat dimanfaatkan finalis yang bertanding untuk meraih perhatian peminat mereka. Rombongan kali ini akan dibawa menaiki bas tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.

Menurutnya lagi, pertandingan kemuncak Juara-Juara Bintang Idola Berita Harian akan diadakan 5 April nanti di Klang Parade, Selangor. Peserta yang layak disaring daripada pertandingan akhir yang dilaksanakan di enam lokasi siri jelajah yang diadakan.

“Promosi diadakan seharusnya menjadi ruang untuk finalis ABPBH 2008 melobi diri mereka supaya diundi peminat. Akademi membuka landasan dan terpulang kepada mereka bagaimana hendak memenangi hati peminat yang bakal menyaksikan penampilan mereka di lokasi promosi dianjurkan. Semua artis terbabit mempunyai kelebihan dan ruang agak sama pada setiap destinasi jelajah.

“Pertama kali diperkenalkan Bintang Idola Berita Harian ia satu peluang keemasan yang cukup berharga kerana juara keseluruhan pertandingan ini akan berpeluang mengadakan persembahan pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April nanti,” katanya.

INFO: Anugerah Bintang Popular Berita Harian Mendapat kerjasama Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM). Sempena ABPBH 2008, Berita Harian Sdn Bhd selaku penganjur juga mengadakan pertandingan nyanyian Bintang Idola Berita Harian di enam lokasi siri jelajah.

Siri jelajah berikutnya akan diadakan di Kompleks Pusat Bandar, Pasir Gudang (7-8 Mac), Mydin Mall, Kuala Terengganu (13-14 Mac), Kuantan Parade, Kuantan, (21-22 Mac), Batu Pahat Mall, Batu Pahat, Johor (28-29 Mac) dan Klang Parade, Klang, (3,4-5 April).

Mendapat penajaan daripada Genting Highlands Kota Keriangan, TV3, HotFM, Empire Furniture & Decoration Sdn Bhd, Cosmopolitan, Pos Malaysia Berhad, JVC Sales & Services Sdn Bhd dan Hotel

Palace of Golden Horses.

Selain itu, ABPBH 2008 turut mendapat sokongan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd, Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd, Hotel Sumai Suite, Kuala Terengganu dan Cinta Sayang Resort, Sungai Petani. Manakala

Legenda Heights Village Mall, Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Mydin, Kerajaan Negeri Terengganu, Kuantan Parade, Batu Pahat Mall dan Klang Parade adalah penaja lokasi.

Pertandingan Bintang Idola Berita Harian di Village Mall, Sungai Petani berlangsung hari ini bermula jam 10 pagi hingga malam. Keesokan harinya peserta yang berjaya akan dinilai di peringkat akhir sebelum layak untuk bersaing dengan juara lain dari setiap lokasi jelajah ABPBH 2008 di Klang Parade pada 5 April.

Dua juri yang dilantik pihak penganjur untuk mengadili sesi uji bakat BIBH di Sungai Petani adalah bekas ahli kumpulan Sweet Charity, Rosli Mohalim dan Haswari Ali daripada portal hiburan popular, murai.com.my

Berita Harian

Menanti Nasib Artis EMI

17 Sep

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

NAMPAKNYA nasib artis-artis tempatan yang bernaung di bawah payung syarikat rakaman EMI Music Malaysia akan berhadapan dengan cabaran baru dalam meneruskan karier mereka khususnya selepas tarikh 1 September lalu.

Ini kerana, mulai tarikh berkenaan, segala urusan pemasaran dan pengedaran album hampir 11 artis tempatan EMI telah diberikan hak pelesenannya kepada syarikat rakaman kumpulan Warner Music (WMG).

Dalam erti kata lain, mengikut perjanjian yang telah dipersetujui itu, WMG kini bebas untuk memilih mana-mana artis EMI yang mereka rasakan berpotensi untuk terus diketengahkan ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun, menurut Ketua Bahagian Domestik EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy, artis-artis terbabit masih merupakan artis-artis syarikat rakaman itu BERDASARKAN KEPADA KONTRAK YANG SEDIA ADA TETAPI HAK RAKAMAN, PEMASARAN DAN pengedarannya telah ‘DILESENKAN’ kepada WMG.

“Setakat ini EMI Malaysia mengikat kontrak dengan 11 artis tempatan, antaranya Bandi Amuk, Ella, Ziana Zain, Fiq, Republic Of Brickfields, Sheila Abdull, Camelia, Awie, VE, Ruffedge dan Mael XPDC.

“Kami akan berbincang terlebih dahulu dengan artis-artis terbabit sama ada akan mengekalkan, menyambung ataupun menamatkan kontrak mereka dalam waktu terdekat ini.

“Bagaimanapun, EMI berkemungkinan besar akan menamatkan kontrak atau ‘membebaskan’ mana-mana artis yang tidak diperlukan oleh pihak WMG,” katanya kepada Hits pada satu pertemuan di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd. Arzmy, perjanjian hak pelesenan pemasaran dan pengedaran selama beberapa tahun itu turut meliputi produk-produk terbitan EMI cawangan Hong Kong, Indonesia, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand berkuatkuasa 1 September lalu.

Ketika ini, perjanjian yang sama telah pun dilaksanakan tetapi EMI yang memegang hak pelesenannya pemasaran dan pengedaran produk-produk WMG di Afrika Utara, Timur Tengah dan India.

Katanya, ekoran perubahan dalam pengurusan anak-anak syarikat EMI yang beribu pejabat di London, United Kingdom itu, ia juga melibatkan para kakitangan EMI Malaysia, di mana ada di kalangan mereka yang mungkin akan diserapkan menerusi WMG.

“Saya difahamkan kakitangan EMI Malaysia yang tidak terpilih akan diberi pelepasan dengan mendapat pampasan mengikut tempoh perkhidmatan mereka. Malah, pejabat EMI ini akan dikosongkan pada hujung bulan ini.

“Hanya jabatan akaun yang mungkin akan dikekalkan tetapi ia juga akan dipindahkan di suatu tempat yang telah ditetapkan kelak,” ujarnya yang memulakan kariernya sebagai Pengurus Artis di EMI Malaysia pada tahun 1977.

Perubahan struktur perniagaan terutamanya pengedaran dan pemasaran hak cipta produk-produk EMI Malaysia ini merupakan yang paling drastik pernah berlaku selepas hampir 42 tahun ia beroperasi di negara ini.

Difahamkan, EMI yang merupakan antara syarikat rakaman tertua di dunia dengan usia 106 tahun melakukan penstrukturan semula itu selepas ia dibeli oleh syarikat Terra Firma sebuah syarikat gergasi di Eropah di Bursa Saham London dengan nilai lebih 3.2 bilion pound sterling (RM19.8 billion).

Ditanya mengenai nasib lagu-lagu dan album-album artis tempatan yang masih berada dalam simpanan EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy berkata, ia tetap akan menjadi hak milik syarikat rakaman tersebut.

“Hak pengedaran dan pemasaran ke atas produk-produk terbitan EMI Music Malaysia termasuklah artis-artis luar kepada WMG hanya diberi tempoh beberapa tahun sahaja.

“Selepas itu, terpulanglah kepada mereka untuk memperbaharui atau tidak hak-hak tersebut. Ini kerana, EMI mempunyai ratusan ribu lagu-lagu dan album-album yang masih berada di bawah syarikat rakaman ini,” kata Arzmy yang bakal memulakan kariernya di sebuah syarikat lain sebelum hujung tahun ini.

Utusan Malaysia

Sheila Abdull Tidak Berganjak

15 Jun

Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

WALAUPUN penjualan album artis tempatan tidak bergerak pantas seiring dengan kehadiran artis baru yang kian bertambah, masih ramai yang tidak gentar menceburi industri hiburan.

Selagi syarikat-syarikat rakaman masih menerima kehadiran mereka, bidang nyanyian akan terus menjadi pilihan sumber rezeki utama.

Namun, untuk terus berjaya di tengah-tengah kebanjiran artis baru, bukan sesuatu yang mudah.

Menyedari kehadirannya mencuba nasib menjadi anak seni berhadapan dengan seribu cabaran, Sheila Abdull atau Nursheila Abdullah, 20 tidak sedikit pun gentar dengan fenomena penjualan album tanah air.

Malah, berita yang mengatakan EMI (M) Sdn. Bhd. akan tutup bukan menjadi penghalang untuk dia meneruskan karier.

Di bawah bumbung EMI, album sulungnya sudah pun berada di pasaran sejak Mac lalu dengan mengetengahkan konsep pop balada. Dengan mempertaruhkan lapan buah lagu dalam album ini, Sheila mengharapkan kehadirannya diterima peminat.

“Sheila memang sedikit terkejut dengan khabar tersebut, tetapi selagi tiada kata putus daripada EMI sendiri, Sheila sendiri tidak risau tentang perkara itu.

“Sekiranya ia benar, Sheila masih ada syarikat pengurusan, SRD Villa Record yang boleh membantu Sheila,” jelas juara pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan bagi zon selatan.

Justeru, Sheila tetap akan meneruskan aktiviti promosi dan nyanyiannya walaupun berita itu kian hangat diperkatakan.

“Sheila bukan seorang yang mudah mengalah. Sheila yakin masih boleh meneruskan karier. Sheila tidak boleh menoleh ke belakang dan apa yang akan berlaku bukan penghalang untuk saya mengecapi kejayaan,” jelasnya yang mempunyai kontrak bersama EMI untuk tempoh dua tahun lagi.

Mengakui terlalu sukar menerima berita itu, Sheila masih mengharap ia bukan sesuatu yang benar.

“Sheila masih lagi melakukan promosi seperti yang dijadualkan sebelum ini. Jika Sheila menerima kata putus daripada EMI sendiri, mungkin ia satu tamparan yang hebat. Tetapi Sheila tetap tidak ingin berganjak,” ujar anak kelahiran Johor ini.

Seperti artis lain, Sheila juga menyedari penjualan album pertamanya agak perlahan.

Namun, Sheila lega dengan sambutan yang diberi oleh peminat melalui promosi yang dijalankan.

“Walaupun Sheila tidak popular berbanding artis-artis yang lahir dari program realiti TV, Sheila akan cuba buat yang terbaik. Hasilnya, lagu Mungkinkah berjaya menjadi lagu hit,” katanya.

Apa yang membanggakan, meskipun kehadirannya dalam persada seni masih baru, namun lagu nyanyiannya iaitu Lepaskanlah terpilih menjadi lagu tema bagi filem Cinta Yang Satu.

Tidak ketinggalan lagu Asmara Di Hati dan Cinta Luar Biasa juga turut dimuatkan dalam filem berkenaan.

Sheila memberitahu, sebagai persediaan, dia merancang untuk menyambung pelajaran.

“Alhamdulillah, setakat ini nyanyian masih menjadi sumber rezeki Sheila yang utama. Dengan adanya sokongan keluarga dan peminat, Sheila yakin bidang ini masih mempunyai ruang untuk sesiapa sahaja mencipta kejayaan,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Memilih imej remaja yang funky, Sheila lebih gemar tampil ceria sesuai dengan keadaan semasa dan usianya yang masih muda.

“Ramai yang mengatakan Sheila nampak matang berbanding usia. Maka, Sheila memilih pakaian yang sesuai dengan usia. Kebetulan, Sheila tidak berminat dengan imej yang terlalu seksi,” katanya yang suka membeli-belah pada masa lapang.

Ingin dikenali sebagai penyanyi terlebih dahulu, Sheila bagaimanapun tidak menolak jika ada peluang lakonan yang menanti.

“Lakonan juga satu cabang seni. Tidak salah mencuba kalau Sheila boleh memberi hasil yang baik. Tapi sekarang, dunia nyanyian menjadi keutamaan Sheila,” katanya ringkas.

Terbaru, Sheila akan tampil dengan album single dan klip video untuk lagu Lepaskanlah.

Mengimbau penglibatannya dalam bidang seni, artis yang meminati Whitney Houston dan Datuk Siti Nurhaliza ini pernah bersama Yayasan Warisan Johor, Kombo RTM, Kumpulan Jazz Johor dan Orkestra Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang membuat persembahan istimewa di majlis-majlis negeri. Sheila juga pernah menjadi penyanyi latar untuk Siti Nurhaliza ketika konsert Gema Zafana di Istana Budaya.

Utusan Malaysia

Respirasi Muzik: Vokal Sheila Abdull Mesra Pendengar

25 Mar

Rap

MEMENANGI pertandingan Juara Bintang Adnan Abu Hassan dua tahun lalu membuka peluang kepada pendatang baru Sheila Abdull untuk menghasilkan album solo.

Pembabitan gadis manis berasal dari Johor Bahru, Johor dalam bidang seni suara bukan baru, memandangkan sebelum ini Sheila sering menyertai pertandingan nyanyian di sekitar tempat kelahirannya.

Memantapkan lagi bakat yang dimiliki, Sheila cuba menimba pengalaman menyanyi dengan menyertai Badan Yayasan Warisan Johor, Orkestra Majlis Bandar raya Johor Bahru, Kombo RTM dan Kumpulan Jazz Johor.

Oleh itu tidak hairanlah lagu dendangannya, Mungkinkah, dipilih sebagai single pertama cepat diterima pendengar.

Pengalaman yang dimiliki membolehkan Sheila tahu bagaimana mahu ‘memesrakan’ vokalnya dengan lagu dicipta.

Bekerja dengan penerbit berpengalaman iaitu Adnan dan Faris menjadi kelebihan buat Sheila memandangkan dua komposer itu tahu apa yang dimahukan pendengar.

Adnan masih mengekalkan sentuhannya. Formula sama digunakan seperti dilakukan terhadap album Fauziah Latiff, Datin Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

Hampir keseluruhan lagu dimuatkan dalam album Sheila Abdull ini dihasilkan Adnan dan Faris. Bagaimanapun kebanyakan lagu terutama berentak balada kedengaran seperti lagu 90-an dan susunannya kurang mantap.

Dengarkan juga lagu seperti Nafas Terhenti, Selautan Asmara Bahang Asmara dan Cinta Putih atau Kelabu.

Powered by Harian Metro

Sheila Protege Baru Adnan

14 Mar

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

ADNAN Abu Hassan (kiri) memperkatakan mengenai anak didik terbarunya, Sheila (tengah) pada majlis pelancaran album Sheila yang turut dihadiri Ketua Operasi Domestik EMI Malaysia Sdn. Bhd., Arzmy Mohamed.

NEGERI Johor sememangnya tidak kering dalam melahirkan banyak artis berbakat serta popular.

Sebut sahaja negeri itu, terbayang wajah Ramlah Ram, Maya, Amy Search, Nash, Noraniza Idris, Jaafar Onn dan juga penyanyi dangdut, Haiza.

Terbaru, Sheila Abdull, gadis berusia 20 tahun yang berasal dari Johor Bahru, mencuba nasib untuk meletakkan nama sebaris artis tersohor.

Mungkin masih ramai peminat hiburan tidak mengenali siapakah empunya diri bernama Sheila ini namun dia sebenarnya mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas.

Antaranya bersama Yayasan Warisan Johor, Kombo RTM, Kumpulan Jazz Johor dan Orkestra Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) yang membuat persembahan istimewa di majlis-majlis negeri. Sheila juga pernah menjadi penyanyi latar untuk Datuk Siti Nurhaliza ketika konsert Gema Zafana di Istana Budaya.

Bagaimanapun, harapannya untuk memulakan karier sebagai artis rakaman tercapai apabila menjuarai pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan bagi zon selatan.

Kemenangan itu telah memikat hati Adnan untuk mengambilnya sebagai artis rakaman.

Peluang yang diberi telah digunakan sepenuhnya oleh Sheila kerana bukan mudah untuk menjadi anak didik komposer terkenal itu yang telah berjaya menaikkan nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Dengan mempertaruhkan lapan buah lagu dalam album sulungnya, Sheila atau nama sebenar Nursheila Abdullah, mengharapkan kehadirannya bakal diterima peminat.

Di bawah bumbung EMI (M) Sdn. Bhd., album sulung tersebut sudah pun berada di pasaran dengan mengetengahkan konsep pop balada.

Memiliki wajah mirip penyanyi Ella, single pertamanya, Mungkinkah, sudah pun berkumandang di corong-corong radio ketika ini.

Ia memberi impak positif di kalangan pendengar sehinggakan ramai yang ingin mengenali dengan lebih dekat penyanyi kecil molek ini.

Antara lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album sulung Sheila ialah Lepaskanlah, Nafas Terhenti, Selautan Asmara, Asmara Di Hati, Cinta Luar Biasa, Cinta Putih Atau Kelabu dan Bahang Asmara iaitu sebuah lagu istimewa dengan gabungan bahasa Malaysia dan Inggeris.

Apa yang membanggakan, meskipun kehadirannya dalam persada seni masih baru, namun lagu nyanyiannya iaitu Lepaskanlah terpilih menjadi lagu tema bagi filem Cinta Yang Satu.

Tidak ketinggalan lagu Asmara Di Hati dan Cinta Luar Biasa juga turut dimuatkan dalam filem berkenaan.

Jelas Sheila, dia amat berpuas hati dan berbangga kerana mendapat peluang menjadi penyanyi di bawah tunjuk ajar Adnan.

Baginya, Adnan merupakan seorang komposer terbaik dan mempunyai kredibiliti tinggi.

“Sheila amat terhutang budi dengannya kerana memberi peluang untuk merakamkan album serta mendidik Sheila.

“Banyak tunjuk ajar yang diberikan olehnya. Sheila akan cuba mengekalkan hubungan baik dengan Adnan.

“Dia juga berpesan supaya Sheila pandai menjaga diri apabila berkecimpung dalam dunia hiburan,’’ katanya pada majlis pelancaran album sulungnya di sebuah kelab di Plaza Mont Kiara, baru-baru ini.

Sheila memberitahu, biarpun dia tidak lahir daripada program-program realiti televisyen, namun dia akan cuba mewujudkan kelainan dan meningkatkan mutu persembahan.

“Sheila sedar tidak ramai yang mengenali Sheila berbanding artis-artis yang lahir dari program realiti TV.

Justeru, Sheila akan cuba buat yang terbaik,’’ ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Lumrah bagi artis yang baru hendak bertapak di dunia hiburan, mereka cuba menolak untuk berkeadaan seksi.

Namun bagi Sheila, dia akan cuba untuk mempertahankan imej sekarang ini iaitu tidak terlalu seksi.

“Sheila tidak mahu seksi-seksi. Sheila selesa dengan keadaan sekarang,’’ jelas Sheila yang menyimpan impian untuk berduet dengan Hazami atau Hattan jika diberi peluang pada masa depan.

Suara seperti Misha?

Sementara itu, belum pun sempat penyanyi dari selatan semenanjung ini hendak bernafas dalam dunia hiburan, ada cakap-cakap yang mengatakan suara Sheila tidak ubah seperti penyanyi Misha Omar.

Ada juga yang melontarkan kata-kata bahawa Sheila bagaikan klon Misha.

Menjawab dakwaan tersebut, Sheila menegaskan suaranya adalah asli dan tidak terpengaruh dengan mana-mana artis.

“Ini suara dan imej Sheila sendiri. Mungkin ada sedikit persamaan kerana Misha juga pernah mendapat sentuhan Adnan. Begitu juga dengan Sheila ketika ini,’’ katanya yang masih belum mempunyai teman istimewa.

Sementara itu, Adnan rasionalnya memilih Sheila sebagai protege barunya berkata, pemilihan penyanyi itu dibuat kerana Sheila mempunyai bakat seni besar.

“Dia ada bakat dan sebab itu dia menang dalam Suara Bintang Adnan Abu Hassan,’’ kata Adnan ringkas.

Adnan kemudiannya menangkis tanggapan umum bahawa album sulung Sheila sebagai syok sendiri apabila mengetengahkan konsep pop balada.

Menurutnya, konsep tersebut pertamanya amat bersesuaian dengan Sheila dan ia menepati cita rasa pendengar kini.

Powered by Utusan Malaysia