Archive | Sheila Majid RSS feed for this section

Prelude AIM16 Di Ntv7 Setiap Minggu Bermula Esok

8 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ANTARA barisan calon finalis AIM16.

ANUGERAH Industri Malaysia (AIM16) satu-satunya anugerah tempatan yang memberi pengiktirafan kepada pengkarya dan pemuzik tanah air yang tidak mengira bangsa akan kembali menemui peminat industri muzik tidak lama lagi.

Sehubungan itu, ntv7 akan menyiarkan Prelude AIM16 yang membawa penonton meninjau di sebalik kegemilangan dan kemasyhuran AIM sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1994.

Rancangan berbentuk infotainment ini akan mula disiarkan setiap Khamis, bermula esok, jam 9 malam.

Rancangan yang dibahagikan kepada empat episod ini akan membuka tirai dengan paparan mengenai objektif, visi dan misi serta perjalanan yang dilalui oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) sejak tahun 1994.

Fakta dan sejarah menarik mengenai AIM akan turut dikongsi seperti bagaimana AIM ditubuhkan, latar belakang pengasas AIM, kategori yang dipertandingkan, sistem penjurian dan banyak lagi.

Episod kedua pula akan memaparkan pemenang kategori utama seperti Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album dan Album Terbaik. Episod ini turut akan menyentuh usaha yang telah dilaksanakan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) dalam memartabatkan industri muzik tanah air.

Anugerah yang sudah sebati dengan pencinta muzik tempatan ini turut memberi penghargaan kepada pelbagai genre lagu seperti pop, rock, pop etnik dan nasyid. Tampil unik dan sering memberi kejutan kepada penonton pada setiap tahun, pencalonan AIM tidak pernah lari daripada menggabungkan bakat baru dan lama di dalam kategori yang dipertandingkan.

Saksikan kembali saat-saat mendebarkan buat calon-calon kategori Vokal Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik pada AIM yang lalu di episod kedua Prelude AIM16.

Seterusnya saksikan selebriti yang bersinar dan bergemerlapan pada malam AIM melalui segmen fesyen, di dalam episod ke-tiga Prelude AIM16. Episod ini turut memberi penghargaan kepada pihak penaja yang telah memberi sokongan bagi memastikan kejayaan AIM sepanjang 16 tahun ia diadakan.

Dapatkan maklumat yang menyeluruh mengenai AIM16 dalam episod keempat Prelude AIM16 yang memberi pendedahan mengenai keseluruhan konsep yang akan dibawakan pada tahun ini serta pengacara yang mengendalikan anugerah itu.

Diterbitkan oleh Bairulnizam Bahrom, program berbentuk dokumentari yang memaparkan perjuangan serta perjalanan AIM dari tahun 1994 ini akan turut memaparkan temu ramah bersama Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Sandy Monteiro, pengkarya muzik Ajai, Roslan Aziz dan Habsah Hassan, penyanyi Datuk Sheila Majid, Anuar Zain dan ramai lagi.

“AIM adalah majlis penganugerahan berprestij yang berkembang pada setiap tahun. ntv7 amat berbangga dapat bekerjasama dengan PAIMM sekali lagi dalam penganjuran majlis ini buat tahun yang ke-10.

“Prelude AIM16 adalah sebuah program yang memberi pendedahan mengenai individu dan organisasi yang pernah terbabit dalam AIM selama ini. Melalui program ini, kami pasti penonton akan teruja dan berdebar untuk menanti kemunculan AIM16,” kata Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata,

Stesen TV ini juga akan membawa AIM16 ke tahap yang lebih membanggakan tahun ini, dengan meraikan lebih ramai bintang yang mewarnai industri muzik tempatan. Dengan bersiaran Prelude AIM16, penonton akan lebih memahami latar-belakang dan menghargai perjuangan mereka yang terbabit dalam industri muzik tempatan.

Jadi, jangan lupa temu janji anda bersama Prelude AIM16, setiap Khamis, bermula 9 April ini, jam 9.00 hingga 9.30 malam, hanya di ntv7, Saluran Ceria Anda!

Berita Harian

Hargai Orang Lama

31 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
LAGU lama diberi nafas nafas baru, satu usaha yang sudah dilakukan ramai artis tempatan mahupun antarabangsa sejak sekian lama.
Pendekatan ini diambil bukan saja untuk menempa populariti secara mudah bahkan ia juga sebagai tanda menghargai usaha orang lama selain mempopularkan kembali sesebuah lagu yang pernah hit satu ketika dulu.

Bagi kumpulan 6ixth Sense, usaha menerbitkan album ‘The Legend’ sebagai tanda penghargaan terhadap penyanyi bertaraf ikon mahupun legenda dan sentiasa menjadi inspirasi dalam perjuangan seni mereka.

Vokalisnya, Adi Priyo berkata, album ini memuatkan enam lagu yang pernah dipopularkan artis dari Malaysia dan Indonesia sehingga mencetuskan fenomena di kedua-dua negara.

Katanya, antara lagu yang sudah mendapat kesepakatan semua pihak ialah Suci Dalam Debu yang pernah dipopularkan kumpulan Iklim, Sinaran (Datuk Sheila Majid) serta Madu dan Racun (Bill & Brod).

“Sementara yang masih dalam perbincangan ialah lagu dari kumpulan Search, D’lloyd dan Broery Marantika. Ramai yang bertanya kenapa enam lagu saja. Kalau boleh memanglah banyak lagu yang hendak dimuatkan, tetapi pihak syarikat rakaman memutuskan enam saja.

“Salah satu sebabnya, proses merakamkan semula lagu ‘cover version’ perlu melalui banyak proses misalnya mendapatkan kebenaran serta persetujuan syarikat rakaman yang menerbitkan lagu berkenaan.

“Lagipun, album ‘tribute’ ini boleh dianggap percubaan justeru enam lagu itu sudah memadai. Jika ia mendapat sambutan daripada peminat dan pendengar, tidak mustahil ada sambungan siri kedua dan ketiga,” katanya.

Kata Adi, mereka sendiri berasakan enam lagu akan menjadikan pembikinan album ini lebih fokus dan 6ixth Sense akan memberi nafas baru melalui susunan muzik dan cara nyanyian. Pada masa sama, Adi berjanji mereka akan mengekalkan melodi asal lagu itu.

Selain Adi, 6ixth Sense turut dianggotai Gjie selaku pemain gitar utama, Ayoy (bassist), Athan (gitar kedua) dan Wan (dram).

Tidak hanya berhempas pulas menyiapkan album The Legend, 6ixth Sense yang popular dengan lagu Cinta Sejati, Tak Bisa Memilihmu dan Tanpa, kini turut sibuk dengan pembikinan album ketiga mereka.

 

 

Sebagai pengenalan, single terbaru mereka Khatimah Cinta dihasilkan malah sudah pun mula diedarkan untuk promosi di stesen radio tempatan.

“Khatimah dalam bahasa Arab bermaksud penutup atau lebih tepat untuk melengkapkan maksud lagu ini adalah kesudahan cinta.

“Ia adalah sebuah lagu berentak perlahan dan dihasilkan 6ixth Sense sendiri. Kami terus mengenengahkan lagu balada sebagai single kerana inilah yang diinginkan peminat 6ixth Sense.

“Barangkali, mereka melihat kekuatan dan keistimewaan kami lebih kepada lagu berentak perlahan,” Katanya.

Pada Pertandingan Akhir Hits 1 musim 6 yang diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kuantan Pahang, Sabtu lalu, 6ixth Sense berjaya membawa pulang RM10,000 menerusi kategori Lagu Paling Popular Hits 1 apabila lagu Tanpa mendapat undian tertinggi penonton.

Manakala Lagu Untukmu dendangan Meet Uncle Hussain diangkat sebagai Lagu Terbaik Hits 1 yang menawarkan RM25,000 dan Persembahan Terbaik Hits 1 (RM5,000). Sementara tempat kedua yang menawarkan RM20,000 dimenangi Pop Shuvit menerusi lagu Marabahaya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Jejaka Saksofon

21 Mar

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Adil Johan beraksi dengan saksofonnya.

Saksofon umpama pasangan kembar sejak 12 tahun lalu. Hampir ke mana saja, alat muzik itulah yang diusung sana-sini. Kini, pada usia 26 tahun, Adil Johan terus dibuai muzik jazz…

LAMPU malap di Groove Junction Bistro & Cafe di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, menambah keasyikan alunan irama jazz.

Di pentas yang terpancar lampu neon kuning, lagak anak muda berusia 26 tahun ini meniup saksofon memukau suasana. Banyak mata tertumpu pada bakat dan persona Adil Johan memainkan saksofon kesayangan.

Nyata bagai tidak lengkap keindahan jazz tanpa instrumen saksofon yang mengalun sama. Bagai irama dan lagu – begitulah kecintaan anak muda ini dengan irama jazz. Seperti ada pertalian erat antara dirinya dan alunan melodi saksofon yang ditiup penuh asyik.

Itulah realiti dunia jejaka seni ini. Irama jazz bagai melatari hidupnya, bahkan pensyarah muzik sepenuh masa di Universiti College Sedaya International (UCSI) ini terus mendalami irama itu tanpa jemu.

Kata Adil, jazz begitu segar dalam nalurinya atas faktor persekitaran terutama keluarga yang meminati irama sama.

Tanpa berselindung, Adil mengaku sejak kecil lagi sudah terdedah dengan muzik jazz. Malah, beliau tahu nama-nama besar dunia jazz seperti pemain saksofon terkenal Amerika Syarikat (AS), John Coltrane, Mouse Davis hinggalah ratu jazz negara, Sheila Majid.

“Bapa saya yang banyak mendorong dan secara tidak langsung membawa saya ke dunia jazz. Pada usia 14 tahun, saya sudah berjinak-jinak dengan instrumen saksofon.

“Idola saya semestinya Sonny Rollins iaitu legenda saksofon AS yang begitu mengagumkan dalam persembahan muzik jazz,” katanya yang cukup bersemangat bercerita mengenai dunia jazz.

Terbuai sama dalam dunia muzik obsesi Adil, anak muda ini rancak bercerita mengenai keunikan muzik jazz termasuk instrumen saksofon. Tanpa memperkecilkan instrumen lain, Adil mengakui saksofon sungguh istimewa mendayu-dayu mengikut jemari.

Kata Adil, Malaysia tidak kurang pemain saksofon hebat seperti Razak Rahman, Michael Veerapan dan Lewis Pragasam.

“Seperti P Ramlee yang berkebolehan bermain saksofon, saya juga ingin mendalami instrumen ini dan mengembangkan muzik jazz di Malaysia. Ketika ini, saya bergerak secara underground bersama kumpulan yang ditubuhkan tahun lalu, ADQ.

“Melihatkan sambutan dan perkembangan muzik jazz di Malaysia, menambah lagi keseronokan saya untuk berkarya,” katanya yang berkebolehan menyanyi, menulis lirik, bermain gitar dan menggubah lagu.

Kecintaan Adil dalam irama jazz dikongsi bersama 120 pelajar yang mendalami bidang seni di UCSI.

Kata Adil, keseronokan membuat persembahan hingga jauh malam tidak sesekali membuatkan beliau leka melunaskan tanggungjawab sebagai pensyarah seni, sekali gus memastikan pelajar beroleh ilmu.

“Saya tidak sesekali menganggap status sebagai pensyarah menjarakkan hubungan dengan pelajar. Apatah lagi, faktor usia kami sendiri yang tidak jauh bezanya. Cuma, saya perlu bersikap profesional,” katanya.

Adil juga pernah bekerjasama dengan penyanyi dan pemuzik tanah air seperti Reshmonu; pemain gambus dan veteran jazz terkenal Malaysia, Farid Ali serta pemain piano jazz dan vokalis, Davis Gomes dalam menyemarakkan dunia jazz di Malaysia.

Sambil tangannya memeluk erat instrumen saksofon Selmer yang berusia hampir sebaya dengannya, bicara muzik jazz Adil dikongsi bersama XY – Ikon Lelaki…

Ceritakan serba sedikit mengenai diri anda?

Selain aktif membuat persembahan bersama saksofon, saya juga seorang pensyarah di Universiti College Sedaya International (UCSI) di Cheras.

Saya juga mempunyai band sendiri, ADQ di mana saya memikul tanggungjawab sebagai penyanyi utama. Saya juga boleh menulis lirik dan bermain gitar.

Bagaimana segala-galanya bermula?

Pendedahan dan perkembangan sekitar membantu saya mendalami bidang muzik khususnya irama jazz. Saya mula meniup saksofon pada usia 14 tahun. Ini secara tidak langsung memperkenalkan saya dengan muzik jazz.

Pada usia semuda 14 tahun anda sudah berjinak-jinak dengan muzik jazz?

Saya membesar dalam kelompok penggemar muzik jazz. Saya masih ingat lagi ketika kecil, saya membesar dengan lagu-lagu nyanyian Mouse Davis dan The Beattle. Ayah saya adalah peminat setia irama jazz.

Apakah muzik jazz saja yang bertakhta dalam diri Adil?

Tidaklah sampai begitu walaupun tidak dinafikan muzik jazz bagai beraja di hati. Pada usia remaja iaitu sekitar 17 tahun saya juga mengikuti perkembangan muzik yang dibawa kumpulan Nirvana dan Metallica seperti remaja lain.

Bagaimana anda terdedah dengan instrumen saksofon?

Saya belajar dan beri tumpuan sejak di sekolah menengah. Bukan mudah, tetapi apabila kita sukakan sesuatu yang istimewa, pastinya ia tidak lagi sukar.

Bagi saya, setiap hari adalah proses pembelajaran dan ramai pemain muzik menyokong dan memberi dorongan.

Mengapa alat muzik saksofon?

Ini kerana instrumen ini saling berkait dengan muzik jazz. Apatah lagi, lontaran irama yang dicetuskan saksofon begitu mengasyikkan. Bukan pula saya menidakkan alat muzik lain, tetapi keunikan saksofon tersendiri.

Sejauh mana muzik jazz bagai memberi ‘nyawa’ dalam hidup Adil?

Seperti yang saya kata tadi, muzik jazz bagi saya adalah terapi terbaik untuk mengimbangi kehidupan dan aktiviti harian. Apatah lagi selepas penat bekerja, waktu malam adalah saat terbaik untuk merehatkan diri sambil mendengar muzik lebih relaks dan santai.

Selain bermain muzik, Adil juga seorang pensyarah. Ceritakan serba-sedikit kehidupan sebagai pensyarah di UCSI?

Saya mengajar untuk program ijazah muzik kontemporari. Selain memberi penumpuan kepada kelas, fokus saya banyak pada teori, muzik teknologi dan gubahan lagu.

Saya bertanggungjawab kepada 120 pelajar untuk setiap semester… Ini nyata memberi pengalaman baru dalam hidup.

Anda baru berusia 26 tahun. Bagaimana Adil berdepan dengan pelajar yang boleh dikatakan dalam lingkungan umur sama?

Saya tidak mahu menjadikan ia halangan atau tekanan. Sebaliknya, saya lakukan tugas secara profesional. Pada saya, perkara paling penting ialah berkongsi ilmu muzik dengan mereka.

Kesibukan sebagai pensyarah pasti membataskan aktiviti seni. Bagaimana Adil membahagikan masa antara kerjaya dan profesion sebagai pemuzik?

Kecintaan saya pada muzik jazz tidak membataskan ruang untuk berkarya. Meskipun pagi berada di UCSI, ia bukan halangan untuk saya melebarkan kerjaya seni pada sebelah malam.

Saya mempunyai jadual kerja dari Isnin hingga Jumaat. Biasanya persembahan bermula pada sebelah malam dan malam minggu, jadi ia bukan suatu masalah kepada saya.

Lelaki dan muzik. Bagaimana Adil boleh menterjemahkannya?

Muzik lebih sinonim dan cenderung dengan dunia lelaki. Jika kita perhatikan, pemuzik lebih didominasi lelaki. Bukan itu saja, pembabitan ramai lelaki dalam industri muzik secara tidak langsung membangkitkan imej negatif hingga ada menganggap pemuzik tidak ada masa depan.

Pada saya, itu bergantung kepada individu kerana yang penting adalah bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam apa bidang sekali pun.

Bagaimana Adil melihat perkembangan muzik Jazz di Malaysia?

Jazz di Malaysia lebih terkenal dalam persembahan underground. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi industri muzik di negara ini.

Kelompok insan seni seperti Farid Ali dalam muzik gambus, Michael Veerapan, Lewis Pragasam dan John Thomas adalah antara insan seni yang cukup popular dalam memartabat muzik jazz di Malaysia.

Bagaimana pula penerimaan muzik jazz di kalangan pendengar di Malaysia?

Sambutannya cukup positif dan mempunyai kelompok peminatnya sendiri. Kita berbangga dengan sokongan ramai pihak termasuk kerajaan untuk merancakkan program seni seumpama ini.

Kita lihat seperti di Kanada dan Eropah yang banyak menganjurkan acara membabitkan muzik jazz. Diharapkan, kita suatu hari muzik jazz di Malaysia turut masyhur seperti di sana.

Ada pendapat yang menyatakan muzik jazz lebih cenderung pada golongan berada dan dewasa?

Ia bergantung pada penerimaan masyarakat sendiri dan kecenderungan mereka terhadap muzik yang dipilih. Tiada sebab sesuatu muzik itu dikaitkan dengan individu dan kelas tersendiri.

Pandangan Adil mengenai program realiti mencari bakat seni baru?

Saya kurang setuju kerana seolah-olah memperjudikan muzik itu sendiri. Seharusnya tidak saja nyanyian, sebaliknya seseorang yang ingin terbabit dalam bidang seni harus mempersiapkan diri dengan ilmu muzik.

Janganlah terlalu memberi tumpuan kepada aspek komersial semata-mata tetapi tidak tahu ilmu muzik yang mampu melebarkan sayap dalam cabang seni.

Perancangan Adil jangka masa panjang?

Saya ingin terus menjadi pensyarah dan memiliki sarjana dalam bidang muzik suatu hari nanti. Berkecimpung dalam bidang muzik, membuatkan saya juga mahu berkongsi banyak perkara dan ilmu dengan peminat muzik lain.

PROFIL: Adil Johan
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 1 Ogos 1983
Tempat lahir: Georgetown, Pulau PinangTinggi: 170 sentimeterBerat: 75 kilogram

Pakaian : Onion Bay
Lokasi : Groove Junction Bistro & Cafe, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur (03-62018990)

Berita Harian

Kelincahan Jemari Steve Thornton

12 Mar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Artis-artis tersohor negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan antara yang pernah mendapatkan khidmat anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

APABILA menyebut tentang perkusi, nama Steve Thornton pasti akan disebut sebagai salah seorang pemain terhebat bertaraf antarabangsa.

Kelincahan beliau memainkan pelbagai jenis alat muzik membuatkan setiap penonton yang menyaksikan persembahannya terpegun dengan irama yang terhasil daripada sentuhan jejari lelaki berbakat itu.

Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan merupakan antara nama-nama besar yang pernah mendapatkan khidmat dan sentuhan daripada anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

Itu di Malaysia. Untuk peringkat antarabangsa, Steve juga pernah dijemput mengiringi siri persembahan atau jelajah artis terkemuka seperti Kris Dayanti, Harry Belafonte, Jackie Cheung, Mongo Santamaria, Sadao Watanabe dan ramai lagi.

Apa yang pasti, kebolehan Steve bermain apa sahaja alat perkusi menjadikan dirinya dikenali dan mempunyai ‘jenama’ tersendiri.

Ibarat irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitu jugalah Steve atau nama sebenarnya Hanson Lee Steve Thornton dengan alat perkusi. Pantang memegang atau menyentuh sebarang alat, tangannya pasti ligat memainkan aneka bunyi-bunyian yang menceriakan suasana.

Alat muzik perkusi bermaksud sesuatu alat yang boleh menghasilkan bunyi atau suara apabila dipukul, ditepuk, ditabuh, digoyang, digosok atau apa saja tindakan lain yang boleh membuatkan objek bergetar.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan suatu alat, tongkat mahupun sekadar tangan kosong.

Perkusi berasal daripada istilah Latin iaitu percussio yang bermaksud memukul dan percussus (pukulan). Antara alat muzik yang termasuk dalam kategori perkusi ialah gamelan, drum marimba, tamborin dan lain-lain.

“Saya memang begini. Pantang memegang sebarang peralatan tanpa memainkannya. Ia seolah-olah sudah sebati dengan jiwa saya,” kata Steve kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


KELUARGA bahagia yang menjadikan muzik untuk menyatukan mereka.

Steve atau nama Islamnya, Hassan Ali menceritakan bahawa dia mula meminati alatan dram ketika berusia tujuh tahun. Waktu itu, dia amat teruja mendengar paluan kongga Mongo Santamaria menerusi lagu Watermelon Man nyanyian Herbie Hancock yang sering dipasang abangnya.

Pada tahun 1968, Steve menubuhkan grup pertamanya, The Young Explosives, sebuah kumpulan berkonsepkan Latin-Jazz yang terdiri daripada empat orang. Mereka mengadakan persembahan di stesen televisyen tempatan di Channel 5 Inside Bedford-Stuvyesant dan di Apollo Theatre.

Setahun kemudian, Steve bertemu Mongo Santamaria di Kelab Beacon, 111 Street dan Lennox Avenue. Apabila dia memberitahu Mongo betapa dirinya begitu meminati pemuzik tersebut, Mongo kemudian meminta Steve bermain kongga bersama kumpulannya.

“Mendengarkan paluan tiga kongga yang saya mainkan, Mongo amat seronok lantas duduk bermain di sebelah saya. Kami bermain untuk beberapa ketika sebelum akhirnya Mongo memuji kehebatan saya bermain.

“Itulah pengalaman paling manis yang saya lalui sepanjang hidup ini. Ia boleh diibaratkan seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” kata Steve yang kemudian sering mengadakan persembahan bersama kumpulannya dan merakamkan irama salsa dengan kumpulan tempatan lain.

Ketika bermain di kelab, Steve akan memanggil gurunya datang menonton persembahannya.

“Tujuannya supaya mereka tahu saya ponteng kelas kerana bermain muzik. Namun, apa yang menggembirakan saya ialah guru-guru banyak memberi dorongan agar saya meneruskan minat dalam bidang ini,” jelas Steve yang menjadikan Mongo Santamaria sebagai idolanya meskipun pemuzik unggul itu sudah meninggal dunia pada tahun 2003.


AKSI Steve bersama Datuk Ahmad Nawab (kanan) dan Man Kidal.

Steve, anak ke-13 daripada 14 beradik itu kemudiannya mula bermain secara profesional pada tahun 1972 sewaktu mengiringi persembahan Jon Lucien dalam jelajah di negaranya, AS.

Sejak itu dia sering diundang mengiringi penyanyi-penyanyi terkemuka termasuk Harry Belafonte. Malah Steve juga menjadi pemuzik undangan untuk album rakaman Dizzy Gillespie, Grover Washington Jr., Herbie Hancock dan Sadao Watanabe.

Pada tahun 1989, buat kali pertamanya Steve berkunjung ke Malaysia kerana mengiringi persembahan Sadao Watanabe, pemuzik Jazz terkemuka dari Jepun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Di situlah, dia mula mengenali Faridah Sanusi yang kemudian disunting menjadi suri hatinya. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan suami isteri itu dikurniakan empat orang cahaya mata, tiga perempuan seorang lelaki.

Anak-anak mereka iaitu Suraya; 15, Hakeem; 13, Sabrina; 9 dan Sadia; 7 masing-masing mewarisi bakat yang dimiliki Steve dalam bermain alat muzik.


ANTARA koleksi hadiah yang diberi oleh anak-anak Steve.

Menurut Faridah, kesemua anaknya menunjukkan minat dalam bidang muzik. Malah, mereka juga pandai bermain beberapa jenis alat muzik seperti piano, gitar selain puluhan alat perkusi milik bapanya.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak pernah menghalang mereka menceburi bidang yang digemari sebaliknya terus memberi sokongan kepada mereka. Tetapi, kami juga tidak pernah memaksa mereka mengikut jejak langkah ayahnya. Itu semua datang daripada minat mereka sendiri.

“Sabrina contohnya, mempunyai suara yang sedap dan boleh menyanyi dengan baik. Malah, dia bercita-cita untuk menjadi seorang superstar satu hari nanti,” ujar Faridah sambil mengakui dirinya meminati muzik tetapi tidak pandai bermain peralatan perkusi.

Bagi Suraya, dia bangga dilahirkan sebagai anak kepada Steve Thornton. Pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah antarabangsa itu mengagumi bakat ayahnya.

“Ayah seorang pemuzik yang hebat. Sukar untuk dinafikan kehebatannya bermain alat perkusi. Dia juga banyak mendorong kami adik-beradik untuk sentiasa yakin dalam setiap bidang yang mahu diceburi.

“Kalau boleh, saya juga mahu menjadi seorang yang hebat seperti ayah tetapi mungkin sukar. Namun, saya tidak akan berputus asa. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk kita memperoleh impian yang telah dibina,” ungkap Suraya.


SABRINA (kanan) dan Sadia juga pandai bermain piano.

Steve peluk Islam kerana azan

PADA tahun 1992, Steve Thornton sering berulang-alik dari AS ke Malaysia sebagai pemuzik undangan untuk persembahan artis-artis tempatan.

Satu hari, sewaktu menjalani rakaman sebuah klip video, laungan azan pada waktu tersebut turut terakam.

Apabila mendengar semula rakaman tersebut, hatinya menjadi sayu kerana pada pendengarannya azan tersebut begitu merdu.

“Pada saya laungan azan adalah satu irama yang merdu berbanding irama lain. Sewaktu sering berulang alik ke Malaysia, saya selalu menyewa bilik di Hotel Micasa, Jalan Ampang.

“Setiap pagi apabila bangun tidur, saya buka tingkap. Saya dapat dengar empat laungan azan yang berbeza dari masjid berhampiran. Laungan itulah yang telah membuka hati saya untuk memeluk Islam,” katanya yang memilih nama Hassan Ali kerana ia seolah-olah hampir dengan nama asalnya Hanson Lee.


STEVE sentiasa memberi kebebasan pada anak-anaknya dalam bidang yang diminati.

Sementara itu, Steve memberitahu, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam bidang ini, dia telah memainkan ratusan atau mungkin ribuan peralatan perkusi.

Ini kerana, menurut Steve peralatan perkusi tidak terhad pada sesuatu barang sahaja. Sebaliknya, apa sahaja benda yang boleh mendatangkan bunyi adalah alat perkusi.

Antara peralatan perkusi yang ada dalam simpanannya ialah bonggo, kongga, cowbell, rattler, pandero, wood blocks, guiro, tamborine, shaker dan banyak lagi.

Kosmo

Tiara Jacquelina Pengetua AF7

10 Mar

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penggiat teater, Datin Seri Tiara Jacquelina (gambar) mencipta sejarah baru dalam Akademi Fantasia (AF) apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai pengetua.

Teka-teki pengetua AF musim ketujuh yang menjadi tanda tanya sejak sebulan yang lalu terjawab menerusi episod pertama Diari Akademi Fantasia yang disiarkan di Astro Ria jam 9 malam tadi.

Pelantikan penerbit berusia 41 tahun itu melenyapkan pelbagai spekulasi yang timbul sebelum ini antaranya pemilihan Datuk Sheila Majid serta beberapa nama lain yang turut disebut-sebut, iaitu Anita Sarawak dan Norman KRU.

Tiara yang ditemui di restoran The Courtyard Garden, Bukit Damansara berkata, tidak ada perbezaan antara pengetua lelaki mahupun wanita.

Katanya, wanita juga boleh melakukan apa yang dilakukan golongan lelaki.

“Tiada ada yang mustahil dan aneh apabila saya dilantik sebagai pengetua wanita yang pertama. Saya cuma berharap dapat meninggalkan legasi selepas AF7 berlalu.

“Saya tidak akan melakukan perkara lain, selain daripada AF dan akan memberikan 100 peratus komitmen kepada program ini.

“Saya sedar tanggungjawab ini sangat berat, tetapi banyak yang ingin saya lakukan dalam AF supaya satu sejarah bakal dicipta untuk musim ketujuh,” katanya yang menerima tawaran daripada Astro sejak lima bulan lalu.

Sebelum ini, mereka yang pernah bergelar pengetua ialah Freddie Fernandez untuk musim pertama, Ramli MS (AF2 dan AF6), M Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).

Konsert mingguan yang akan bermula Sabtu ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bakal menyaksikan 14 peserta bersaing bagi merebut gelaran juara akademi itu yang menyediakan hadiah lumayan, termasuk wang tunai.

Berita Harian

Zubir Dikenang Pelopor Lagu Puisi

10 Mar

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

SERAUT wajah yang kini menjadi kenangan bersama himpunan lagu puisi dan kemanusiaan yang akan terus menjadi siulan.

Masih gigih tubuhkan koperasi industri muzik walaupun dalam keadaan uzur

SEKUJUR tubuh kaku yang bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, petang Jumaat lalu akan terus dikenang oleh sahabatnya atas sumbangan besar dan jasanya kepada pembangunan industri seni.

Hadir insan seni bernama Zubir Ali, 59, tidak mendambakan sanjungan, jauh sekali mencari populariti namun tiada siapa dapat menafikan pengaruh besar yang dibawa anak kelahiran Alor Setar, Kedah pada 18 Oktober 1949 itu kepada industri hiburan tempatan.

Allahyarham Zubir Ali akan terus dikenang sebagai pelopor lagu puisi, malah nyanyiannya bersama kumpulan Harmoni lewat lagu popular seperti Penantian, Doa, Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang selain Balada Seorang Gadis Kecil menjadi khazanah berharga yang tidak mungkin dilupakan.

Langkah seninya tidak pernah bernoktah, malah ketika hayatnya menuju detik akhir, Allahyarham masih setia menumpahkan baktinya dengan merealisasikan penubuhan Koperasi Industri Muzik Malaysia (KOPIM).

Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP), Habsah Hassan berkata, mereka kali terakhir bertemu dalam satu mesyuarat bersama Lembaga Pengarah badan itu, sekitar dua minggu lalu dalam rangka akhir penubuhan KOPIM.

“Arwah pergi tak sempat menatap hasil usahanya ini kerana kelulusan menubuhkan KOPIM baru diperoleh, sehari sebelum pemergiannya.

“Semalam (Khamis) sepatutnya arwah bersama kami untuk satu lagi mesyuarat tetapi sudah memaklumkan arwah tidak dapat hadir kerana menjalani pembedahan.

“Arwah yang meyakinkan usaha penubuhan KOPIM sebagai sumber pendapatan tambahan untuk ahli MACP. Andai usaha ini berhasil, penghargaan sewajarnya diberikan kepada arwah kerana dia berusaha keras untuk memajukan karyawan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Habsah berkata, perancangan untuk menubuhkan KOPIM berjalan agak pantas kerana idea mengenainya dikemukakan pada mesyuarat agung badan berkenaan pada Jun tahun lalu.

“Arwah bersungguh-sungguh memperkenalkan kami kepada mereka yang berpengalaman serta mengetahui selok belok mengenai penubuhan koperasi ini.

“Daripada situ kami melakukan kajian untuk menjadikan usahanya itu sebagai satu realiti. Sememangnya jasa Allahyarham cukup besar dan tidak mungkin dilupakan oleh penggiat seni,” katanya.

Keakraban antara mereka berdua terjalin sekian lama, malah bertambah rapat apabila kedua-duanya menyertai MACP.

Disebabkan terlalu akrab, arwah pernah berseloroh mereka berdua menubuhkan syarikat juri profesional lantaran kekerapan diundang menjadi juri untuk pelbagai pertandingan nyanyian.

“Sebagai kawan, arwah seorang yang jujur malah dia tidak pernah menolak sebarang pelawaan walaupun ketika itu, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Arwah tidak pernah menunjukkan kesakitannya, namun melihat kepada perubahan fizikal kami tahu arwah semakin lemah namun semangatnya tetap kental untuk bersama meneruskan perjuangan.

“MACP kehilangan seorang ahli yang begitu dedikasi tetapi saya percaya, Allah menjanjikan tempat yang mulia untuk insan sebaik arwah Zubir,” katanya.

Sementara itu, komposer Johari Teh yang mengenali arwah hampir 30 tahun mengakui, Allahyarham Zubir seorang yang mudah didekati dan tidak lokek menumpahkan ilmu.

Malah, katanya, ketika merakamkan album hampir 60 peratus daripada lirik yang dimuatkan diilhamkan oleh Allahyarham dan kebetulan Johari memang menyukai hasil nukilan yang puitis serta sarat makna.

“Arwah seorang yang berterus terang. Jika boleh melakukan sesuatu, arwah bersedia memberikan tenaganya tetapi jika sebaliknya, arwah akan memberitahu tanpa berselindung.

“Saya banyak belajar mengenai penulisan lirik dengan Allahyarham dan jika hayatnya masih ada, saya percaya banyak lagi yang mampu diberikannya kepada industri,” katanya.

Johari berkata, antara pesanan arwah yang masih tersemat dalam ingatannya adalah supaya meneruskan usaha untuk merealisasikan penubuhan KOPIM.

“Sudah lama perancangan itu ada namun hanya selepas bersama arwah, baru usaha ini dapat dilaksanakan. Arwah yang membawa kami bertemu kenalannya yang berpengalaman dengan pengendalian koperasi hingga akhirnya mendapat kelulusan penubuhan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Ketika perbincangan, arwah memberitahu dia tidak dapat ikut kerana kurang sihat dan berpesan supaya kami meneruskan usaha penubuhan KOPIM kerana arwah sudah menunjukkan jalannya,” katanya.

Penulis lirik, Amran Omar mengakui pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada industri hiburan kerana arwah banyak berjuang menerusi penulisannya.

“Arwah banyak menyumbang untuk pembangunan lagu berbentuk kemanusiaan. Usahanya itu adalah sesuatu yang murni dan wajar diteruskan untuk menyemai budaya penulisan yang sarat mesej dan kata nasihat.

“Arwah senang didekati, malah kemesraannya tidak membuatkan saya terasa perbezaan usia antara kami kerana dia membawa pemikirannya untuk tenggelam bersama dalam sesuatu topik perbincangan,” katanya.

Sementara itu, novelis Zurinah Hassan pula menyifatkan Allahyarham Zubir sebagai seorang yang berani kerana cuba menongkah arus dengan merakamkan lagu puisi sedangkan ketika itu, pengaruh muzik pop kuat menguasai pasaran.

Allahyarham Zubir menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi, Jumaat lalu di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur apabila berdepan dengan komplikasi selepas menjalani pembedahan pemintasan jantung, seminggu sebelum itu.

Info:

Menubuhkan kumpulan Harmoni pada 1973 yang turut dianggotai Zulkifli Zakaria (Joei), Jasmine Adnan (Ogy) dan Roziah Ibrahim (Azie). Harmoni sering diundang mengadakan persembahan selingan untuk majlis deklamasi puisi anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) atau Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Ketika penubuhan, Zubir dan Joei tenaga pengajar di Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti), manakala Ogy dan Azie pula pelajar di institusi pengajian yang sama.

Melihat mereka kerap mengadakan persembahan pentas, penggubah dan pemuzik, Zalikamari kemudian mempelawa Harmoni untuk merakamkan lagu. Pelawaan diterima dan pada 1980, lahir album Penantian terbitan Titra Musical dan diedarkan EMI.

Album itu memuatkan lagu seperti Penantian, Doa dan Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang – semuanya segar hingga sekarang. Sambutannya baik apabila dilaporkan mencatat jualan hampir 50,000 unit.

Tidak lama selepas itu, Harmoni muncul dengan album kedua berjudul Nyanyian Ombak. Bagaimanapun, selepas itu, kumpulan ini agak tenggelam biarpun nama mereka terkenal.

Suara hatinya menentang peperangan juga kerap dilaungkan dan dan antara lagu ciptaannya yang popular adalah Balada Seorang Gadis Kecil (1983) dan Tuan Presiden (2000) yang kerap disampaikan pada persembahan membabitkan forum atau festival yang disertai delegasi antarabangsa. Lagu Balada Seorang Gadis Kecil pernah memenangi anugerah Lagu Terbaik, Pesta Lagu Malaysia 1983.

Zubir pernah terbabit dalam penerbitan album kompilasi bersama Roslan Aziz untuk Ikhlas Tapi Jauh pada 1991. Album itu menampilkan ciptaannya berjudul Harga Diri dan turut disertai artis popular lain seperti Sheila Majid (kini Datuk), Afdlin Shauki, Zainal Abidin, Amir Yussof dan Azman Warren. Arwah turut merakamkan sebuah lagi lagu dalam album kompilasi, RAP ‘96 membawakan Siapakah Memberi Khabar.

Selepas 25 tahun tidak merakamkan album solo, Allahyarham kembali dengan album Zubir Ali ‘06 diterbitkan bersama oleh Julfekar, Life Records, Millennium Art dan Moza Publisher. Album nostalgia itu turut menghimpunkan 12 lagu termasuk dua bonus trek, Doa dan Balada Anak Desa yang dipetik daripada album terdahulu Zubir bersama kumpulan Harmoni.

Antara karya terakhirnya ditumpahkan dalam album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Lentera Timur apabila menulis lirik untuk dua lagu ciptaan Khairil Johari Johar iaitu Bulan Yang Mesra dan Rasa Antara Kita.

Berita Harian

Bergerak Solo

25 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mengikut jejak Malique dengan menerbitkan lagu, album secara bersendirian

JOE Flizzow atau Joe sudah meredah pelbagai kesukaran ketika mengharungi dunia seni selama hampir satu dekad dengan rakan seperjuangannya Malique Ibrahim (Malique) dalam kumpulan Too Phat.

Agak membanggakan juga kerana berkat kegigihan mereka itu, Too Phat pernah menimbulkan fenomena tersendiri suatu ketika dulu.

Malah, duo ini cukup diingati dengan lagu Alhamdulillah menampilkan aktres seberang, Dian Sastrowordoyo dan Dua Dunia bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Namun begitu, selepas menghasilkan album Rebirth Into Reality, Joe dan Malique memilih jalan untuk tampil secara solo. Keputusan itu menimbulkan pelbagai spekulasi hingga ada yang menganggap kumpulan hip hop ini sebenarnya sudah berpecah.

Misteri kehilangan Malique juga mengundang pelbagai andaian dan paling mengejutkan tahun lalu apabila dia menamatkan zaman bujang dengan model dan pelakon jelita, Melissa Maureen Rizal di Indonesia.


LANCAR sudah album sulung Joe berjudul The President.

Bagaimanapun, bagi Joe, Too Phat belum berkubur kerana peninggalan seni kumpulan ini tidak akan berakhir dengan begitu saja.

Menurutnya, dia ingin terus melihat kumpulan itu melakukan kemunculan semula atau ‘come back’.

Katanya, apa yang terjadi kepada Malique memang masih meninggalkan tanda tanya biarpun rakannya itu sempat mengeluarkan album solo terbarunya menampilkan lagu hit, Mantera Beradu bersama M Nasir.

Berkat paduan itu juga sudah melayakkan mereka ke Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bagi kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular.


KELUARGA tersayang tidak jemu memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Joe.

“Sebagai aktivis seni, kami merancang untuk kembali tapi tidaklah secepat mungkin. Perihal kami berpecah sudah lama menjadi buah mulut orang hingga ada cerita yang mengatakan kami bergaduh. Ia hanya khabar angin dan Too Phat belum berkubur, cuma masing-masing memberi tumpuan kepada projek sendiri.

“Saya dan Malique menubuhkan Too Phat sejak usia saya 19 tahun. Kini sudah sedekad kumpulan hip hop ini bertapak dalam dunia muzik. Takkan semudah itu kami mahu membubarkan Too Phat. Kami berusaha keras mengukuhkan genre hip hop di Malaysia.

“Kami menunggu masa sesuai untuk mengembalikan Too Phat. Mungkin juga kami akan menggunakan pendekatan yang selalu menjadi pilihan penggiat seni sekarang iaitu melalui penghasilan lagu single. Lagipun kita semua tahu Malique sudah berkahwin dan dia kini dalam proses untuk menyesuaikan diri untuk menjadi orang sudah berkeluarga atau menjadi ‘family man’,” katanya sewaktu ditemui di Hard Rock Cafe minggu lalu.

Di premis hiburan terkenal itu, Joe mengikuti jejak rakannya Malique dengan melancarkan album solo sulungnya diberi judul The President. Album yang cukup bermakna dalam diari hidupnya ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Bagi album itu, Joe bekerjasama dengan teman seperjuangannya dari luar negara seperti Hady Mirza & TerryTyeLee (Singapura), Thaitanium (Thailand), Joeniar Arief (Indonesia, Jin (Amerika Syarikat) dan Phlowtron (Malaysia).

Istimewa juga single pertama daripada Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak ialah memuatkan lagu Isabella yang pernah dipopularkan kumpulan Search.

Menurutnya, selepas mendapat keizinan daripada kumpulan Search, dia tidak membuang masa untuk menyanyikan semula lagu itu dan terus memasukkan dalam album The President.

“Dia (Amy Search) memberi sokongan penuh atas apa yang saya usahakan ini terhadap lagu Isabella. Atas keizinannya, saya melakukannya sepenuh hati. Umum juga tahu nama seperti Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid mencipta fenomena di negara jiran kita, selain Indonesia. Mereka sentiasa diingati dan atas alasan itu juga saya ingin menembusi pasaran sana.

“Kejayaan Amy memberi inspirasi kepada saya kerana selain dianggap lagenda, dia juga cukup berjaya sebagai usahawan. Selalu kalau berpeluang bertemu dengannya, dia tak lokek memberi nasihat dalam apa yang dilakukan. Saya juga ingin mengikut jejaknya.

“Akhir bulan ini saya akan ke Indonesia kerana terbabit dengan persembahan dan apabila sudah berada di sana, saya akan berbincang mengenai usaha membawa album ini ke pasaran negara itu. Jika dulu, saya di bawah label EMI, sekarang mendapat kerjasama Warner pula untuk edaran. Semuanya belum dapat dipastikan,” katanya yang sudah mempunyai kekasih hati.

Tiada lagi imej budak hip hop

MELIHAT kepada imejnya kini nampak lebih kemas dan tiada lagi imej budak hip hop yang gemar memakai topi, berbaju besar dan seluar pendek yang labuh hingga paras lutut. Malah, ada yang mula melabel dirinya sebagai Jay Z Malaysia.

Katanya, seiring dengan usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada Oktober ini, ia dilihat sebagai antara peralihan transformasi dunia barunya.

Sambil berseloroh, Joe berkata, wajahnya mungkin sekali pandang seiras dengan Jay Z tapi seboleh-bolehnya dia enggan dibayangi dengan jolokan itu.

Tambahnya lagi, wajahnya mungkin sedikit kacak daripada penyanyi rap dan usahawan berjaya itu.

“Saya tidak boleh menidakkan suami kepada Beyonce Knowles itu banyak memberi inspirasi dan pengaruh bukan kepada saya saja, malah orang lain.

“Kesannya cukup besar terhadap saya. Memang saya berharap suatu masa nanti dapat berjumpa dengannya. Mana tahu, saya dapat berkongsi muzik dan ideologi dengannya,” katanya yang tidak kisah berimej memakai kot.

Ditanya mengenai kebangkitan band indie yang semakin mendapat perhatian sejak tiga tahun kebelakangan ini, Joe melihat ia sebagai satu perkara yang positif.

Katanya, ia juga menandakan bahawa masyarakat Malaysia sudah mula terbuka menerima pelbagai genre muzik.

“Ia satu impak yang positif dan sebelum kemunculan Estranged, Meet Uncle Hussain, Hujan dan Bunkface lagi, kita sudah ada kumpulan seperti Butterfingers dan OAG yang juga bermula secara underground.

“Perjuangan mereka dalam tempoh yang lama tanpa sebarang perhatian ramai akhirnya berubah serta merta seiring dengan perubahan evolusi muzik di negara kita,” katanya yang masih yakin peminat muzik hip hop masih ada.

INFO: Pemahaman Joe terhadap judul albumnya, The President

Albumnya diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Kartel Records yang ditubuhkan sejak 2006.

* Dirakamkan ketika negara sedang sibuk menghadapi pilihan raya.

Katanya lagi, kerana Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dia hampir menukar judul album ini.

Ia ibarat luahan hatinya dan tidak bermaksud untuk mengatakan dirinya sebagai raja atau presiden kepada Hip Hop.

Ia merujuk kepada diri, seseorang yang boleh mencipta perubahan, melaksanakan sesuatu dan setiap butir bicaranya sentiasa didengar.

Simbol kepada impian Joe sendiri yang mahu mengukuhkan hasil kerja seninya tidak pudar dalam sanubari hatinya.

Dalam usaha untuk mencapai kejayaan dan kesempurnaan pasti akan ada halangan yang datang. Sebagai contoh, sewaktu mula menyanyi lagi, isu cetak rompak mula menular. Begitu juga sekarang, dengan kecanggihan teknologi hingga berlaku penyalahgunaan seperti muat turun lagu secara haram.

Album ini melakukan proses mastering secara maya di California membabitkan dua studio di Hollywood dengan kos harga RM10,000.

Lapan lagu dalam album ini menggunakan teknik muzik yang dipanggil 808s yang sering digunakan penyanyi rap, Timberland.

Penerbit yang terbabit untuk album ini tidak pernah langsung terbabit dalam penghasilan album Too Phat sebelum ini.

Lebih 80 ke 100 lagu dipilih sebelum ia dikecilkan menjadi 14 lagu pada akhirnya.

INFO: Joe Flizzow

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 16 Oktober 1979.

Menyertai Too Phat pada usia 19 tahun

Album ini diciptanya ketika Joe ‘keseorangan’ dan ketika kisah ‘kehilangan’ Malique mula diperkatakan.

Masih menghubungi dan bertemu dengan Malique. Malah, Malique antara orang pertama ditunjukkan hasil akhir album ini.

Anak kepada bekas pembaca berita TV3, Ishak Nengah dan wartawan, Aishah Ali.

Berita Harian