Archive | Sheila Rusly RSS feed for this section

Depan Mata: Bangganya Jadi Songsang?

30 Mar

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
KETIKA kita sibuk berkempen untuk selamatkan bumi melalui 60 Earth Hour Sabtu lalu, hati kecil saya berkata, selamatkanlah industri hiburan tanah air daripada pengaruh songsang.

Saya melihat dunia hiburan kita sudah terlalu terbuka dengan kehadiran manusia dikenali lelaki lembut, pondan, adik-adik, pengkid, homoseksual, lesbian, gay dan sebagainya.

Kini pengarah dan penerbit kita tertarik pula dengan cara hidup golongan ini apabila menjadikan golongan songsang ini sebagai subjek menarik dalam karya mereka. Malah mereka bukan saja dilihat makin berani malah seperti berlumba-lumba mengangkat watak seperti ini.

Mereka berani paparkan kehidupan homoseksual dan lesbian untuk tatapan umum seolah-olah karyawan kita dan stesen TV mahu mendokong kebebasan hak asasi manusia seperti dilaungkan masyarakat Barat.

Kalau di Barat, amalan budaya songsang ini sudah menjadi kebiasaan hingga filem yang mengangkat tema ini mendapat perhatian. Antaranya karya Ang Lee menerusi Brokeback Mountain yang menang Oscar untuk Pengarah Terbaik, Transamerica (Felicity Huffman calon Top 5 Aktres Terbaik) dan terbaru, Milk membawa kejayaan kepada Sean Penn untuk Aktor Terbaik.

Itu masyarakat Barat, kita tidak boleh buat apa, tapi ini karyawan kita yang rata-rata beragama Islam dan tahu hukum hakam agama. Pelakon lelaki kita seolah-olah berbangga apabila ditawarkan jadi pondan hingga sanggup berpakaian wanita lengkap bermekap tebal dan bergincu untuk kelihatan anggun jelita.

Mungkin juga kebanggaan ini disebabkan lakonan begini menjadi perhatian juri melalui kejayaan Rusdi Ramli dalam filem Waris Jari Hantu kemudian Ahmad Tamimi Siregar melalui drama Waris.

Agak sukar untuk saya memilih subjek ini untuk dipaparkan dalam ruangan ini, tetapi saya tertarik dengan kenyataan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut dalam Harian Metro, Jumaat lalu.

Beliau turut bimbang perkara ini makin berleluasa jika dibiarkan. Tegasnya, dalam Islam hukum mengenai perkara itu jelas menyebut setiap lelaki tidak boleh menyerupai perempuan dan sebaliknya kerana hukumnya haram serta dilaknat Allah.

“Setiap perbuatan dan perlakuan yang menyerupai mana-mana sifat bertentangan dengan kejadian asal ciptaan Tuhan tidak boleh dipertonton serta ditunjukkan kepada umum.

 

 

“Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apabila ia haram, ia tetap tidak boleh dilakukan walaupun dengan alasan untuk kebaikan.

“Orang ramai terutama yang beragama Islam harus tahu serta mempunyai pegangan agama mengenai perkara ini kerana jika ia dilakukan untuk mengaut keuntungan, pendapatan yang diperoleh itu adalah haram.

“Pengarah, penerbit, pelakon serta penapis filem perlu mempunyai pengetahuan agama berkaitan perkara membabitkan hukum Islam kerana jika ia tidak dibendung akan menyebabkan permasalahan sosial semakin berleluasa,” katanya.

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) dan stesen TV selayaknya memantau perkembangan ini supaya tidak membenarkan budaya songsang ini berleluasa. Dulu aksi lembut Imuda melalui watak Sam dalam sitkom 2+1 mencetuskan rasa kurang senang masyarakat hingga program itu diharamkan.

Apabila melihat akhir-akhir ini makin ramai pelakon lelaki kita yang bertubuh sasa sanggup melakukan transformasi menjadi wanita, ia agak menghairankan juga. Tidak cukupkah watak mencabar yang lebih baik untuk dilakonkan?

Tidak tahulah bagaimana perasaan Norman Hakim bergaya seksi dan bersolek untuk menjayakan drama Donut, begitu juga Ady Putra, Zul Huzaimy, Iqram Dinzly dan ramai lagi untuk uji bakat filem Anu Dalam Botol. Apakah mereka bangga melihat gaya mereka begitu?

Pelakon kacak, Ashraf Muslim yang kini popular melalui watak lelaki baik dalam Yusuff, juga pernah jadi wanita untuk teater Patung Kertas arahan Lokman Ghani. Lebih terkilan apabila Datuk Jalaluddin Hassan sekali lagi sedia memakai gaun dan bersolek tebal untuk watak pondan dalam teater Patung Kertas 2.

Kalau dulu beliau tidak keberatan berbuat demikian walaupun terpaksa mengetepikan maruah diri dan keluarga, tetapi untuk kembali sekali lagi melalui sambungannya, bagi saya agak keterlaluan.

Beliau sepatutnya menjadi contoh kepada pelakon lelaki lain bukan saja kerana pelakon senior yang disegani malah kerana latarnya daripada keluarga orang kuat agama.

Pelakon Sheila Rusly yang kini bergelar produser pula akhir-akhir ini cenderung memaparkan kehidupan songsang ini melalui dua drama terbarunya, Mabuk Estrogen dan Donut yang juga arahan suaminya, Azman Yahya (Jinggo).

Satu hakikat yang tidak mampu saya nafikan ialah golongan ini dikurniakan Allah satu kelebihan besar iaitu kreativiti yang cukup tinggi. Kalau jurusolek, sentuhan mereka mengagumkan, kalau pereka fesyen memang hebat dan kalau mengarah filem, mendapat pujian melangit.

Lihat saja karya Yasmin Ahmad melalui Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime dipuji dan menang anugerah. Namun, ada pihak yang melihat ada agenda halus yang cuba disalurkan dalam karyanya. Sepet misalnya dikatakan merendahkan orang Melayu beragama Islam, Gubra pula paparkan ustaz pegang anjing dan Talentime, India Muslim sanggup membunuh kerana berselisih faham dengan jiran.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Mulut Laser Tak Semestinya Negatif

28 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PROGRAM hiburan yang turut menyelitkan elemen sensasi iaitu Hip TV makin mendapat perhatian penonton sejak mula ditayangkan pada setiap Isnin jam 10.30 malam di TV9 sebulan lalu.

Berbeza dengan penerbitan program hiburan sedia ada, program itu membawa kelainan dengan membincangkan sesuatu topik atau isu hiburan bersama tiga panel yang dijemput.

Biarpun ia hanya program rakaman, tetapi topik atau isu hiburan dibincangkan cukup menarik perhatian penonton yang ingin mengetahui pandangan panel secara mendalam sama ada bersetuju atau tidak dengan tajuk berkenaan. Pada siaran Isnin lalu, program ini membicarakan topik Selebriti Mulut Laser dan mengundang tiga panel iaitu Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh bersama penyampai radio Era FM, Din Beramboi dan wartawan Bintang Popular Berita Minggu, Zubir Mohd Yunus.

Menampilkan Kieran sebagai pengacara latar, program ini turut menyenaraikan carta Top 5 artis tempatan yang dikategori Selebriti Mulut Laser. Menduduki tangga teratas adalah Fauziah Ahmad Daud atau Ogy diikuti Adlin Aman Ramli, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Ogy dikatakan paling mulut laser kerana berani bersuara lantang ketika mengacara program TV seperti Melodi di TV3 mahupun mengendalikan majlis anugerah. Adam berpandangan Ogy dikategori laser cili padi yang berani melontarkan kata-kata pedas dan tidak peduli dengan apa dikatakan walaupun menerusi program siaran langsung. Berbanding empat selebriti dalam kategori ini, Ogy pernah mencatat sejarah sendiri apabila berhadapan dengan kes disaman selebriti lain di mahkamah.

“Dia bercakap secara ketelusan hati hingga ada ketika tidak fikir implikasi kepada kata-katanya. Namun, saya percaya selebriti seperti Ogy menjadi laser kerana berdasarkan pengalaman yang ada padanya,” katanya.

Din juga mengakui Ogy bermulut laser tidak kira tempat hingga di set rakaman atau penggambaran, dia berani mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan orang lain.

Sungguhpun begitu, sikapnya itu menampakkan dia seorang yang ikhlas dan jujur dalam menyatakan pandangan. Zubir turut bersetuju mengatakan Ogy adalah individu berterus terang walaupun dia sebenarnya mempunyai hati yang baik.

Pandangan mengenai Adlin pula, selebriti ini sering menarik perhatian khalayak terutama ketika menjadi juri program realiti popular, Akademi Fantasia (AF). Jika Ogy dikategori laser cili padi, Adam pula menggelar Adlin sebagai laser buta tuli. Kata Adam, Adlin mengkritik mengikut cara dan pandangan sendiri tanpa dipengaruhi orang lain mahupun pandangan peminat di belakangnya.

“Ketika dia memberi komen, peminat sudah bertempik tidak berpuas hati dan ini boleh membuatkan pengkritik terpengaruh dengan ejekan peminat. Sebaliknya, dia bersikap buta tuli ketika memberi kritikan. Walaupun dia dikatakan mulut laser, tetapi atas sebab itu, ia memahat namanya dalam persada hiburan tempatan,” katanya.

 

 

Din tidak menafikan Adlin masih bermulut laser sejak mula berkecimpung dalam bidang hiburan hingga popular sebagai pengkritik AF.

Katanya, Adlin juga seperti Ogy yang bersikap jujur meluahkan pandangan secara tulus. Bagaimanapun, dia masih boleh menerima kritikan orang lain dan berhati baik. Zubir berpendapat apa yang diluahkan Adlin berdasarkan fakta dan bukan cakap kosong.

“Dia mahu pelajar yang dikritik boleh berubah dan memberi persembahan terbaik pada masa akan datang. Namun, tidak semua kritikan dia boleh diterima khalayak secara terbuka. Sebagai manusia, tidak semua sempurna dan walaupun sudah buat terbaik, masih ada pihak yang tidak berpuas hati,” katanya.

Sheila Rusly yang menduduki tangga ketiga dikatakan mulut laser selepas menjadi selebriti bertaraf senior. Adam sebaliknya tidak melihat Sheila dikategori laser 100 peratus kerana dia hanya menampakkan sikap laser ketika berlaku perselisihan faham dengan selebriti lain. Kata Adam, andai Sheila diberi peluang pihak tertentu untuk menjadi juri program realiti, ia mampu menjadi pengukur sejauh mana Sheila bermulut laser.

“Setakat ini, apa yang saya nampak dia lebih mengupas sesuatu isu, tetapi kelantangan ketika bercakap secara spontan membuatkan dia juga dikatakan mulut laser,” katanya.

Bagi Zubir, dia berpandangan sikap seperti Sheila yang terlalu menghayati watak hitam dalam lakonan boleh mempengaruhi sikap dalam kehidupan sebenar. Sheila suka menyatakan perasaan suka atau tidak secara terangan walaupun sikapnya itu tidak disukai segelintir selebriti lain. Din pula mengakui Sheila bermulut laser kerana sikap yang ditunjukkan.

“Dia sebenarnya menghormati orang lain cuma apabila timbul soal senioriti di set penggambaran, dia suka mengarah orang lain. Ketika itu, dia terlupa perasaan orang yang mungkin terguris akibat sikapnya,” katanya.

Mengenai Raja Azura, dia dikatakan mulut laser apabila berhadapan kontroversi dengan artis dan kru belakang tabir. Adam menggelarkan selebriti ini laser secara berhemah atau berpada-pada kerana apa yang dilontarkan berlapik dan disampaikan secara sinis.

“Apabila berlaku kes serang-menyerang antara selebriti, mereka ini secara tidak langsung dilabel bermulut laser. Saya sendiri hormati dia dan Sheila Rusly menyerang secara profesional dengan meluahkan emosi serta pendapat tidak secara realiti iaitu menyerang secara fizikal,” katanya.

Din berpandangan Raja Azura bukan selebriti yang cerewet, tetapi apa yang diucapkan memberikan kesan kepada orang lain. Zubir mengaitkan selebriti ini dengan sikap pengacara yang perlu bermulut laser untuk menarik perhatian penonton. Biarpun dicop sedemikian, selebriti ini tetap mencipta identiti sendiri.

Komposer Roslan Aziz tidak terkecuali dikatakan bermulut laser terutama ketika menjadi juri program realiti Malaysian Idol sebelum ini. Adam berpandangan Roslan menyampaikan laser berisi di samping mencipta personaliti sendiri.

“Mulut laser lelaki seperti Roslan sering berfikir berulang kali sebelum melontarkan pandangan. Dia terlebih dulu berfikir sebelum ‘tembak’. Saya fikir, jika mereka yang dikritik cepat terasa emosi, orang itu tidak akan dapat ilmu untuk belajar,” katanya.

Din berpandangan Roslan mempunyai sikap yang serius dan kelakar. Namun, ada kata-katanya tidak disenangi orang lain apabila dia bertegas. Katanya, mungkin teguran Roslan dilihat kasar kerana ia disampaikan menerusi kata-kata.

Zubir berkata Roslan dilabel sedemikian kerana atas faktor mendidik. Melalui tanggungjawab menerusi program realiti yang dikendalikannya sebelum ini, dia perlu mendidik secara tegas demi kebaikan pelajar yang menerima bimbingannya.

1. PANDANGAN…Adam menyatakan pandangan mengenai topik Selebriti Mulut Laser di Hip TV baru-baru ini.

2. DIN…selebriti bermulut laser menunjukkan sikap yang ikhlas dan jujur.

3. OGY…berani melontarkan perkataan ‘pedas’ dalam program siaran langsung.

4. ADLIN…kritik mengikut pandangan sendiri.

5. SHEILA…dikatakan bermulut laser selepas berselisih faham dengan selebriti lain.

6. RAJA AZURA…dikatakan bercakap secara berlapik, tetapi sinis.

7. ROSLAN…mempunyai sifat yang serius dan kelakar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Duit Lakon Pondan Haram

27 Mar

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohhdazam@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apabila ia haram, ia tetap tidak boleh dilakukan walaupun dengan alasan untuk kebaikan,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, mengenai semakin ramai pengarah serta penerbit filem dan drama berlumba-lumba menghasilkan filem homoseksual berkisar kehidupan pondan dan lesbian.

Noh berkata, dalam Islam, hukum itu jelas menyebut setiap lelaki tidak boleh menyerupai perempuan serta sebaliknya perempuan tidak boleh menyerupai lelaki berikutan hukumnya haram serta dilaknat Allah.

Justeru katanya, setiap perbuatan, perlakuan yang menyerupai mana-mana sifat yang bertentangan dengan kejadian asal ciptaan Tuhan tidak boleh di pertonton serta ditunjukkan kepada umum.

“Jika mereka ingin menyampaikan mesej yang baik, banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum Allah.

 

 

“Dalam Islam sendiri sudah jelas jika perkara itu haram, maka ia tidak boleh dilakukan dan tetap berdosa walaupun dengan alasan untuk kebaikan.

“Ini boleh kita umpamakan dengan watak Robin Hood yang mencuri untuk disedekahkan kepada orang susah sedangkan perbuatan itu memang salah dan berdosa. Jadi segala hasil yang diperoleh adalah haram,” katanya.

Menurutnya, semua pihak harus memainkan peranan mengenai perkara ini kerana jika dibiar berterusan, ia boleh menggalakkan orang ramai khususnya remaja berjiwa lembut terjerumus dalam kancah golongan pondan.

Katanya, pihak penerbit, pengarah, pelakon serta penapis filem perlu mempunyai pengetahuan agama berkaitan perkara membabitkan hukum Islam kerana jika ia tidak dibendung akan menyebabkan permasalahan sosial semakin berleluasa.

“Orang ramai terutama yang beragama Islam harus tahu serta mempunyai pegangan agama mengenai perkara ini kerana jika ia dilakukan untuk mengaut keuntungan, pendapatan yang diperoleh itu adalah haram.

“Semua pihak termasuk ibu bapa harus mencegah perkara ini kerana jika ia tidak dibendung, ia mungkin menggalakkan ramai lagi remaja terjerumus ke kancah itu,” katanya.

Harian Metro, Isnin lalu melaporkan mengenai drama ‘Donut’ karya terbaru produksi milik pelakon, pengarah serta penerbit, Sheila Rusly yang menampilkan kisah homoseksual dengan pelakon utamanya memegang watak pondan lengkap berpakaian wanita.

Drama yang bakal di tayang menerusi slot Astro Ria, menampilkan pelakon Norman Hakim, sebagai Zee menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lagi watak utama, Shakir lakonan Fizz Fairuz.

Selain itu, drama Mabuk Estrogen yang turut menampilkan Fizz Fairuz dan Roslan Shah juga bakal menimbulkan kontroversi kerana didakwa menampilkan adegan ‘bercium’ antara dua pelakon lelaki utamanya itu.

Harian Metro

Bila Norman Jadi Wanita

23 Mar


NORMAN HAKIM berlakon sebagai pondan dalam
drama Donut.

WALAUPUN drama yang dibikin produksinya, JS Pictures, Mabuk Estrogen menjadi kontroversi, penerbitnya, Sheila Rusly ternyata meneruskan karya menyentuh soal hubungan songsang.

Kali ini, beliau muncul sekali lagi dengan karyanya yang mengangkat perihal golongan homoseksual, Donut dan membongkar beberapa kategori lelaki gay yang ada dalam kalangan lelaki zaman moden ini.

Tempias kontroversi turut terkena dua pelakon utamanya, Norman Hakim dan Fizz Fairuz.

Mereka selalu dilihat dengan gaya jantan di luar set lakonan tetapi menerusi drama Donut, transformasi kedua-dua pelakon itu benar-benar memberi kelainan dan dijangka lakonan mereka bakal mencetus kontroversi di negara ini.

Kosmo

Nasir Lupa Judul Drama

5 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

MUNGKIN tidak banyak publisiti membabitkan pelakon Nasir Bilal Khan sama ada di akhbar mahupun majalah. Namun, Nasir, 46, tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan untuk beraksi dalam drama mereka dari dulu sampai sekarang.

Malah, sudah ratusan drama termasuk beberapa filem dilakonkan sepanjang pembabitannya lebih 25 tahun dalam bidang lakonan.

Nasir popular menerusi filem Perempuan, Isteri dan… bersama Sofia Jane, mengakui sudah lupa judul drama yang dilakonkan sebelum ini kerana banyak sangat.

“Antara drama terbaru, bersama pelakon Vanidah Imran arahan pengarah Rashid Sibir untuk TV3. Itupun saya sudah lupa judulnya,” katanya.

Dalam pertemuan dengannya di lokasi penggambaran drama bersiri Kejar arahan Bade Azmi di Seri Kembangan baru-baru ini, Nasir sudi berkongsi rahsianya mampu bertahan sebagai anak seni sampai sekarang.

“Sebenarnya, berlakon adalah satu tanggungjawab kepada masyarakat kerana bagi saya, drama adalah santapan rohani kepada masyarakat. Ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik masyarakat menerusi lakonan.

“Ada orang berlakon untuk suka-suka sebaliknya saya berlakon dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Apa yang penting, hasil kerja saya itu diterima dengan baik oleh masyarakat.

“Saya berlakon kerana minat dan berlakon juga profesion yang sangat menarik kerana saya berpeluang menjadi pelbagai karakter yang orang biasa tidak dapat lakukan.

“Watak ditawarkan pada saya juga pelik-pelik kerana pengarah fikir hanya saya boleh bawa watak sedemikian,” katanya.

Antara drama yang paling meninggalkan kesan pada dirinya ialah Pinggiran arahan Ismail Yaakob dan Cinta Si Penggali Kubur bergandingan dengan pelakon Sheila Rusly.

“Dalam Pinggiran, saya berganding dengan Ida Nerina. Saya bawa watak orang buta dan Ida pula bawa watak gadis pekak. Banyak mesej mendalam tersirat dalam drama ini yang boleh memberi pengajaran berguna kepada masyarakat.

“Selain itu, watak sebagai penggali kubur dalam Cinta Si Penggali Kubur antara satu lagi karakter menarik yang meninggalkan kesan dalam diri saya,” katanya.

Bersandarkan pengalaman yang ada, Nasir berkata, dia juga bertuah kerana mendapat semua watak yang didamkan sebagai pelakon.

Katanya, dia dan pengarah saling memahami kemahuan masin-masing.

“Setakat ini, watak yang ditawarkan juga menepati kehendak saya. Selagi tidak dapat skrip yang bagus, saya tidak akan terbabit dalam sesebuah projek drama, filem mahupun teater.

“Terus terang, saya jarang jumpa skrip yang bagus ketika ini dan kalau jumpa yang bagus pun, keadaan pula tidak mengizinkan saya merealisasikan projek itu,” katanya.

Sekalipun banyak berlakon drama, Nasir yang seangkatan dengan Sidi Oraza dan Shaharudin Thamby berkata, beraksi di pentas teater lebih memberi kepuasan padanya sebagai anak seni.

“Penggambaran drama perlu disiapkan dalam waktu yang cepat kerana mengejar waktu siaran di televisyen. Idea memang menarik tapi ia tidak dapat direalisasikan seperti dikehendaki pelakon. Malah, saya banyak buat drama kerana ingin menolong kawan-kawan.

“Skrip teater pula lebih menepati kehendak saya dan saya lebih puas berkarya. Sebab itu, saya berasa lebih puas beraksi di pentas teater berbanding drama. Malah, saya pernah terfikir ingin bersara kerana berasa perjuangan saya sebagai anak seni seolah-olah tidak dihargai,” katanya.

Mengenai rumah tangganya, selepas bercerai dengan pelakon Azizah Mahzan, Nasir berkahwin buat kali kedua dengan Umi Kalsom Majid.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga anak yang semakin membesar, Mohd Naqib Nasirudin, 14; Mohd Akhalil Aizudin, 12 dan Nur Alia Maisara, 10 tahun.

Bagaimanapun, tambah Nasir, tiga anaknya itu lebih cenderung memilih bidang keagamaan berbanding lakonan.

“Saya juga menghantar mereka ke sekolah agama (pondok) dan impian saya untuk melihat mereka menjadi ulama bila dewasa nanti,” katanya.

Harian Metro

Hip TV Lebih Berani

26 Feb

>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN program TV berkonsepkan cerita hiburan dan artis sering kali menarik perhatian ramai. Program Melodi terbitan TV3 antara contoh program hiburan yang berjaya mencatat rating tinggi penonton sebanyak 2.3 juta dan masih bertahan sejak 15 tahun lalu.

Berbanding penerbitan program sebegini di luar negara, program hiburan tempatan masih dianggap kurang. Atas dasar itu, TV9 cuba menghasilkan lebih banyak program hiburan yang mempunyai tarikan dan kelainan selepas Galaksi dan Filem Di 9.

Program baru Hip TV dilihat lebih berani kerana menggunakan elemen sensasi. Sudah mula bersiaran empat episod, program ini memberi fokus pada topik berbeza mengenai artis yang dibincangkan bersama panel pilihan.

Produser program ini, Shamatul Nadiah Mohamad, berkata program yang bersiaran setengah jam ini membawa pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pengacara untuk mengendalikan temu bual bersama panel jemputan.

Katanya, kandungan program ini dibuat berdasarkan isu hiburan mahupun isu sensasi yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Program ini seperti E! Entertainment di Hollywood yang bukan hanya memaparkan berita hiburan dan aktiviti terbaru artis tetapi mempunyai isu menarik yang boleh dibincangkan. Menariknya, ada isu dibuat mengikut carta. Sebagai contoh, carta artis lelaki paling seksi atau artis paling kontroversi.

“Untuk program Hip TV, kami juga mempunyai carta untuk topik yang dibincangkan antara tiga panel yang dijemput untuk setiap episod. Walaupun perbincangan berdasarkan topik yang kami buat tetapi program ini turut menyingkap aktiviti artis seperti pembabitan mereka dalam bidang perniagaan dan fotografi yang pernah mereka dilakukan.

“Apa saja aktiviti menarik mengenai artis akan kami kongsi menerusi program ini. Sebelum ini, dalam episod pertama, kami ada memaparkan cerita fesyen artis pada Anugerah Juara Lagu ke-23 yang lalu.

“Matlamat program ini, kami mahu penonton mendapat cerita artis dengan lebih mendalam. Skop cerita meluas tetapi ia mesti berkaitan dengan artis. Untuk segmen perbincangan isu menerusi carta, kami hanya mengambil carta Top 5.

“Sebelum ini, kami ada menyenaraikan carta perkahwinan artis paling ‘meletup’, artis bercerai, artis mulut ‘laser’, artis dengan gosip terhangat dan artis menggunakan suntikan. Untuk mengenal pasti artis mana yang patut menduduki carta satu hingga lima, kami mendapatkan pandangan daripada panel dan orang ramai secara rambang,” katanya.

Meskipun tanpa pengacara, program ini masih menggunakan penyampai radio Hot FM, Kieran untuk menyumbang suara latar. Program ini akan diterbitkan sebanyak 52 episod dan rakaman dibuat di lokasi luar.

Kata Shamatul, latar belakang artis dinyatakan terlebih dulu sebelum panel menyatakan pandangan masing-masing.

“Untuk berlaku adil, artis yang disenaraikan dalam carta Top 5 juga diberi peluang memberikan pendapat sendiri. Cabaran pada pihak produksi, saya perlu mencari topik yang sesuai, panel yang boleh bercakap dan lokasi yang sesuai untuk rakaman.

“Program ini cuba memberi kebebasan kepada panel untuk menyatakan pandangan secara jujur. Berdasarkan respons awal yang kami terima, ada yang berkata, program ini lebih berani dalam membincangkan isu hiburan. Selain panel yang terbabit dengan bidang hiburan seperti wartawan dan artis, kami juga menjemput pelawak yang turut memberikan pandangan selain menceriakan suasana,” katanya.

Kelmarin, program ini menjalani rakaman di Restoran Lemon, The Mines, Sri Kembangan, Selangor dan turut menjemput penyanyi Deja Moss dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh sebagai panel dengan dua topik berbeza.

Deja diberi topik Penyanyi & Trademark manakala Adam, Selebriti Mulut Laser mengikut kedudukan iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud di tempat pertama diikuti Adlin Aman Ramlie, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Program ini disiarkan setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.

Harian Metro

Sheila Berjaya Ubah Stigma

12 Feb

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


TRANSISI watak antagonis. Sheila (tengah) diapit Fizz (kiri) dan Ezany.

ANAK angkat yang tidak mengenang budi diistilahkan sebagai anak buluh betung – anak yang datang entah dari mana, diambil dan dijaga seperti anak sendiri tapi malangnya, apabila dewasa anak itu menjadi anak derhaka dan tidak mengenang budi.

Itu intipati yang menjadi pengisian drama bersiri Anak Betong terbitan JS Pictures yang kini mengisi slot Legenda di TV3 sejak 27 Januari lalu.

Anak Betong yang dihasilkan sebanyak 20 episod itu juga merupakan kisah yang diangkat daripada filem klasik Anak Buluh Betong yang mengisahkan bagaimana seorang anak angkat derhaka terhadap keluarga angkatnya apabila dewasa.

Kisah sebegini agak klise, tetapi di bawah tangan Sheila, Jinggo dan krew produksi yang lain, Anak Betong menonjolkan satu sisi yang sedikit lain dari kebanyakan drama seram atau mistik yang sedang ditayangkan ketika ini.

“Idea itu datang daripada stesen TV yang mahukan agar kisah klasik dalam filem Anak Buluh Betong diberi nafas baru mengikut peredaran zaman.

“Kami bersama penulis skrip kemudiannya berbincang. Roh filem epik Anak Buluh Betong itu yang diteruskan namun jalan ceritanya akan masuk ke dalam kehidupan masyarakat hari ini yang serba moden,” kata Sheila Rusly selaku penerbit Anak Betong yang ditemui sewaktu majlis pelancaran drama berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.

Selain Sheila turut beraksi dalam drama bersiri berkenaan adalah Fizz Fairuz, Hairie Othman, Ezany Nizariff, Wan Nor Azlin, Normah Damanhuri, Maya, Linda Hashim, Haiza dan ramai lagi.


MAYA dan Haiza turut membintangi produksi Anak Betong.

Seperti kejayaan drama-drama terbitan JS Pictures sebelum ini, Anak Betong juga menyaksikan kolaborasi suami isteri ini untuk sekian kalinya bersama Nazli Yahya atau Cik Li dalam menghasilkan skrip Anak Betong.

“Saya mengambil semangatnya sahaja untuk dijadikan drama bersiri ini. Selebihnya, adalah berdasarkan idea saya sendiri untuk menceritakan tentang keburukan jika sihir dan anasir jahat menakluki diri kita,” beritahu Cik Li pula.

Bercakap mengenai Anak Betong, semestinya watak jahat yang dimainkan Sheila yang menarik perhatian. Sebenarnya, ini cabaran besar buat Sheila sendiri, memandangkan imejnya yang bertudung hampir mengekang banyak elemen penting, antaranya kostum serta dialog yang dilafazkan.

Lebih-lebih, Sheila juga harus menadah muka selama dua jam setiap hari untuk solekan semata-mata untuk menghidupkan watak Malika, seorang ahli sihir yang telah hidup sejak beratus tahun dahulu.

“Saya tahu ada orang mempertikaikan tindakan saya yang hanya mahu berlakon di bawah produksi sendiri tetapi itulah realitinya di mana saya bebas untuk mewarnakan setiap watak yang saya mahu.

“Dengan imej bertudung yang saya bawakan kini, ramai yang mengatakan saya tidak mampu untuk membawakan watak lain selain daripada watak yang baik-baik sahaja.

“Tapi menerusi Anak Betong, saya berjaya mengubah stigma tersebut dan ia merupakan salah satu sebab mengapa saya selesa berlakon di bawah syarikat sendiri,” ujar Sheila bersungguh.

Kata Sheila, dia percaya itulah rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya agar kreativiti yang tidak disekat demi kepuasan untuk peminat.

Melakonkan watak Malika juga membuktikan Sheila bukan pelakon yang stereotaip semata-mata kerana tampil bertudung.

Bagi Jinggo pula, sebagai pengarah dia berdepan dengan cabaran untuk mengimbangi setiap genre serta karakter yang ditampilkan dalam Anak Betong.

Jelas Jinggo, Anak Betong bukanlah sebuah kisah seram sepenuhnya tetapi ia sebuah kisah rakyat. Untuk itu, skrip Anak Betong sendiri tidak boleh menjurus ke arah karya seram.

“Jangan salah anggap bahawa siri ini siri seram. Elemen seram memang ada tetapi tidak banyak. Masih ada elemen lain seperti humor, drama, aksi dan disebabkan itu, semua karakter yang ada dalam drama ini begitu penting untuk menghidupkan lagi jalan cerita Anak Betong.

“Contohnya watak yang dimainkan oleh Fizz Fairuz sebagai Anak Betung. Fizz (Jagat) bukanlah jahat sebagaimana yang disangkakan tetapi setiap gerak dan percakapannya adalah akibat daripada rasukan serta sihir yang disumpah oleh Malika yang mahu menghancurkan keturunan keluarga bapa angkat Jagat,” ulas Jinggo tentang drama arahannya itu.

Kosmo