Archive | Sheila Rusly RSS feed for this section

Tragedi Cinta 2008

29 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
ISU pemberian gelaran ‘Datuk’ kepada pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan (SRK) oleh kerajaan negeri Melaka, mendahului carta kontroversi dunia hiburan sepanjang 2008.

Ia dinilai berdasarkan beberapa aspek, khususnya penganugerahan ini membangkitkan sensitiviti di kalangan masyarakat umum dan juga penggiat seni tanah air kerana melihat pemberian itu sebagai memperkecilkan sumbangan anak seni tempatan dalam menjana pembangunan industri hiburan.

Mereka juga mempersoalkan apakah sumbangan SRK dalam membangunkan industri hiburan serta perkembangan ekonomi negara? Rasa tidak puas hati ini disuarakan karyawan seni melalui sidang media tergempar Persatuan Seniman Malaysia.

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof menggesa kerajaan negeri membuat penilaian sebaik mungkin sebelum mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Bagaimanapun, pada 6 Disember lalu, SRK menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena ulang tahun ke-70, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, Melaka.

Selain itu, kemelut rumah tangga pelakon popular, Arbaeyah Abdul Manan (AbbY Abadi), 30, dan suaminya Mohamed Norhakim Zaidon (Norman), 32, tidak kurang hebatnya sehingga dilaporkan media hampir sebulan.

Pergolakan rumah tangga Abby dan Norman sudah lama diperkatakan dan hubungan mereka berantakan gara-gara kehadiran orang ketiga yang dipercayai pelakon muda, Suhaiza Suhaimi (Memey). Norman juga dilaporkan tidak pulang ke rumah lebih sebulan sejak Aidilfitri lalu dan juga dikatakan berkahwin secara rahsia dengan Memey.

Bagaimanapun, Norman menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Memey, apatah lagi berkahwin hingga meminta media tunjukkan bukti. Namun, kebenaran terungkai apabila pada 30 Oktober, jam 3 pagi, Norman dicekup pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat dengan Memey di pejabatnya di Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor.

Rentetan kes itu, Abby mengambil tindakan menfailkan cerai pada 3 November lalu. Bagaimanapun, berlaku sedikit masalah hingga Abby mengambil tindakan mencari Norman di lokasi Gerak Khas untuk mendapatkan kerjasamanya memberi maklumat lanjut butir-butir dalam borang permohonannya.

Sebelum ini, Norman dan Abby pernah bercerai pada Mei 2006 gara-gara dikatakan wujudnya ‘orang ketiga’ tetapi rujuk semula dalam tempoh waktu yang singkat atas alasan kasih sayang antara mereka masih kuat.

Bagaimanapun kali ini, Abby nekad dan akhirnya Norman melafazkan cerai terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, 18 Disember lalu.

Satu lagi kisah perceraian menyayat hati membabitkan pelakon sitkom Puteri yang cantik jelita, Nora Mohd Danish Hanif, 26, diceraikan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 33, ketika hamil tiga bulan.

Mahkamah pada 12 Ogos lalu memutuskan lafaz cerai yang dibuat Rizal dalam keadaan sedar sebanyak dua kali menerusi telefon sekitar Februari dan 17 Jun lalu adalah sah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dianggap ‘loving couple’ di kalangan teman rapat.

Sementara itu, Fasha Sandha yang dikatakan punca kepada keretakan rumah tangga Nora Danish, dipulaukan pihak media gara-gara sikapnya yang tidak menghormati pihak media dengan melemparkan kata-kata kesat kepada wartawan.

2008 boleh dianggap zaman suram bagi pelakon yang muncul dengan filem terbaru, Cicakman 2 itu kerana ‘direhatkan’ daripada sebarang publisiti di media cetak dan elektronik sejak Julai lalu dan dijangka berlarutan dalam tempoh yang panjang.

Kes penceraian membabitkan artis sepanjang 2008 adalah yang terburuk kerana boleh dikatakan ia berlaku setiap bulan dan jumlahnya amat membimbangkan.

Terdapat juga beberapa kes yang masih dibicarakan misalnya Beego, Radhi OAG, Aziz M Osman serta pasangan Erema dan Seri Bayu.

Sementara sah bercerai, Farah Ashikin, Norish Karman, Siti Fairuz, Leina Hangat, Cham VE, Anis Suraya, Emma Akma, Noraniza Idris, Bell Ngasri dan Abby Abadi.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi, Azharina mengejutkan peminat hiburan kerana selepas membuat pengakuan dia isteri ketiga kepada peguam, Datuk Shukri, seminggu selepas itu mengumumkan dirinya sedang dalam edah.

Beberapa isu kontroversi turut disenaraikan

Rita dan Aidil Zafuan kahwin senyap-senyap

SEPULUH bulan melayari alam rumah tangga, akhirnya perkahwinan rahsia di antara pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak, 21, terbongkar selepas ayah dan ibu Zafuan tampil membuat sidang media di Sikamat, dekat Seremban.

Pada majlis itu, mereka mendedahkan Aidil Zafuan dan Rita berkahwin secara rahsia dan selama ini hanya berlakon di depan mata keluarga sendiri yang masing-masing kononnya masih bujang.

Bagaimanapun, Aidil sudahpun pulang ke pangkuan ayah dan ibunya untuk memohon maaf, sekali gus menjelaskan dari hati ke hati apa yang berlaku selepas dilaporkan menyorokkan perkahwinannya dengan Rita di Selatan Thailand, pada 25 Februari lalu.

Pasangan ini juga dikhabarkan dengan berita gembira apabila Rita disahkan mengandung dua bulan setengah.

Faizal Tahir

JANUARI 2008, pastinya menjadi pengajaran yang cukup berharga buat Faizal Tahir sepanjang bergelar anak seni. Semuanya gara-gara insiden membuka baju yang dilakukannya ketika persembahan sempena konsert ulang tahun 8TV pada 13 Januari lalu.

Sebagai hukuman, Faizal dilarang muncul daripada sebarang rancangan televisyen semua stesen penyiaran selama tiga bulan bermula 15 Januari. Tidak hanya Faizal, pihak 8TV juga tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Selama tempoh itu, 8TV tidak boleh menyiarkan sebarang rancangan secara langsung, semuanya perlu dirakam termasuk One In A Million.

Insiden buka baju yang menampakkan simbol ‘S’ itu menyebabkan dua lagunya, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta yang mara ke Anugerah Juara Lagu 22 disampaikan penyanyi lain iaitu Fiq Mentor dan Bob.

Pierre Andre dan cinta khayalannya

SELEPAS berpisah dengan teman wanitanya yang juga pengarah/pelakon Norliana Samsudin, Pierre Andre dikaitkan dengan beberapa rakan artis jelita, antaranya Fasha Sandha dan Julia Ziegler.

Bagaimanapun, pengarah muda ini dikatakan pula menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis bernama Maya Darina Dahlan Hain.

Tidak lama selepas tersebarnya berita itu, Maya Darina dikatakan pula hanyalah kekasih khayalan Pierre atau yang lebih tepatnya, Pierre dipercayai dibomohkan Maya yang juga dikenali melalui nama samaran Melia dan Molie.

Siasatan media mendapati Pierre bukan mangsa pertama Maya yang dipercayai watak rekaan Elie, bekas pekerja Metrowealth Movies Production. Sebelum ini, Faizal Tahir dan Farid Kamil juga pernah ditipunya.

Sekian lama mendiamkan diri, Pierre akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai kontroversi perhubungannya dengan Maya kepada pihak media.

Pierre menafikan dirinya ‘sakit’ atau bercinta dengan Maya yang tidak pernah ditemui. Mereka sekadar berhubungan melalui telefon dan itupun untuk berbincang mengenai kerja. Semua cerita yang tersebar sebelum ini, katanya adalah karut.

Isu Maya Darina juga dikatakan menjejaskan tumpuannya terhadap penggambaran Jangan Tegur, bahkan hubungannya dengan penerbit Metrowealth, David Teo juga dingin mutakhir ini.

Azwan Ali bermusuh dengan Ifa Raziah

SELEPAS dikatakan bermasan muka dengan pelakon dan produser, Sheila Rusly, tahun lalu, pengacara terkenal Azwan Ali kini bermusuhan pula dengan sahabat baiknya, Ifa Raziah.

Semuanya gara-gara Azwan tidak membenarkan Ifa menumpang biliknya sewaktu menghadiri upacara Anugerah Bintang Popular-Berita Harian 2007. Tindakan Azwan itu cukup melukakan hati Ifa hingga rasa terkilan itu disuarakan kepada pihak media.

Pelbagai kenyataan diberikan kedua-dua pihak, namun tidak menampakkan sebarang tanda akan berdamai.

Video lucah Ida Nerina

INDUSTRI hiburan tempatan dikejutkan dengan video rakaman lucah yang dikatakan membabitkan dua pelakon ternama negara, Ida Nerina dan Fauzi Nawawi.

Kedua-duanya menafikan yang dua individu di dalam klip itu adalah mereka.

Zarina An-Julie

SELEPAS tersebar gambar separuh bogelnya dengan seorang jejaka awal tahun ini, pelakon Anak Pontianak, Zarina An-Julie sekali lagi menggemparkan persada hiburan dengan fotonya berbikini dan mengghairahkan sewaktu menghadiri satu ‘parti’ di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Gambar yang mendedahkan sebahagian dadanya itu tersebar luas di Internet sehingga mendesak Zarina membuat pengakuan, sekali gus memohon maaf di atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, Zarina menafikan gambar separuh bogel yang membabitkannya dengan seorang pemuda sebagai teknik ‘super impose’.

Linda dan Fahrin

SERING mengaku teman tapi mesra, namun apabila hubungan berakhir awal tahun ini, penyampai Sinar FM, Linda Onn dan aktor kacak, Fahrin Ahmad bagaikan menjadi musuh ketat.

Keadaan ini sudah cukup menjelaskan hubungan mereka sebelum ini lebih daripada sebuah persahabatan atau erti kata lain mereka sebenarnya bercinta. Linda khususnya, dikatakan sering menyindir Fahrin melalui blognya sehingga mencalar imej dan maruah pemuda itu.

Sengketa mereka bertambah parah sejak disatukan semula mengendalikan program Sehati Berdansa. Berlaku satu kejadian memalukan apabila Linda ditengking Fahrin ketika raptai Sehati Berdansa minggu keempat.

Harian Metro

Wan Norazlin Mohon Ruang Perbetul Kesilapan

15 Dec

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

MASIH menaruh harapan untuk menyelamatkan rumah
tangga demi masa depan anak.

Suami, Mohd Yazli Yaacob, kembali hilangkan diri tanpa khabar berita

CUMA satu pinta Wan Norazlin Wan Mohd Husain ketika ini, moga dia terus diberi ruang untuk meneruskan langkah sebagai anak seni tanpa perlu ada sekatan atau kekangan.

Sejak kembali aktif selepas beberapa tahun menyepi, hanya beberapa penerbit yang berani menghulurkan tawaran namun kebanyakannya cuma memberikan menawarkan peranan kecil atau sampingan.

Pernah sekali dia ditawarkan watak utama untuk sebuah drama bersiri 26 episod siaran RTM malangnya digugurkan hanya kerana namanya dipilih untuk menggalas tanggungjawab besar itu.

“Saya keliru kenapa mesti ada arahan seperti itu? Sehingga sekarang saya tidak pernah menerima hitam putih daripada mana-mana pihak mengenai kedudukan saya sebagai pelakon.

“Jika benar saya digam, untuk tempoh berapa lama? Perlu ada tempoh penggantungan itu kerana sampai sekarang saya tertanya-tanya sendiri apa dan di mana kedudukan saya?


WAN NORAZLIN
keliru dengan
kedudukannya
yang tidak jelas
hingga menyekat
ruangnya untuk
berlakon watak
utama.

“Saya perlukan jawapan kerana saya terpaksa keluar bekerja mencari wang untuk menyara kehidupan. Apa lagi yang mampu saya lakukan kecuali berlakon kerana di sini bakat saya,” katanya.

Ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman Konsortium Stars2U bersama syarikat Uptrend Network Sdn Bhd serta pelancaran produk, Herbavescent, baru-baru ini, luahan hati Wan Norazlin itu bukan bertujuan mencari simpati.

Apa yang dilakukannya ini umpama mencari dahan kukuh untuk terus berpaut selepas suaminya, Mohd Yazli Yaacob kembali menghilangkan diri tanpa khabar berita.

“Saya terpaksa bergantung kepada tawaran lakonan untuk meneruskan hidup. Ketika masih sihat dan mampu untuk keluar berkerja, saya perlu berusaha kerana tanggungjawab membesarkan anak-anak kini tergalas di bahu saya.

“Saya sendiri sudah tidak lagi memandang ke belakang, jadi mengapa perlu diingat apa yang sudah berlaku dulu? Saya mahu terus melangkah, justeru berikan saya ruang untuk mengubah kehidupan,” katanya.

Dalam kekalutan berdepan pelbagai ujian Tuhan yang tidak pernah berhenti hadir menguji kekuatannya, Wan Norazlin bersyukur, masih ada pihak yang berhati mulia.

Nama seperti Sheila Rusly dan Mat Nor Bujang terus memberikannya kata semangat serta sokongan untuk dia menyusun semula kehidupannya.

Biarpun diberikan peranan sampingan untuk produksi terbitan mereka, ibu tiga anak iaitu Daniel Luqman, 8; Danny Iskandar, 7, dan Dania Camelia, 4 tahun tidak berkecil hati.

Itu katanya, memadai sebagai permulaan untuk dia kembali melangkah dalam dunia lakonan.

“Cuma mungkin lebih baik jika saya diberikan peluang untuk membawakan watak utama. Bayaran pun lebih besar. Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada teman lama yang banyak membantu ketika saya berdepan masalah besar dalam kehidupan.

“Begitu juga dengan Persatuan Karyawan yang diketuai Freddie Fernandez. Keprihatinannya dengan menghantar surat kepada Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menyelesaikan isu itu.

“Saya berharap dengan adanya penjelasan tepat daripada kementerian, pihak penerbit tidak lagi menyimpan keraguan untuk mendapatkan khidmat saya dalam produksi mereka,” katanya.

Wan Norazlin berkata, dia terharu apabila terpilih untuk menyertai Konsortium Stars2u yang dicetuskan Datuk Aziz Bakar bersama 15 artis terkenal lain yang ditubuhkan untuk membina kecemerlangan ekonomi penggiat seni serta pencintanya.

Penubuhan konsortium itu katanya, memberi peluang kepada mereka untuk membina jaringan perniagaan pintar bersama peminat selain menyediakan platform menjadi usahawan berjaya.

Perceraian bukan penyelesaian

TANGGAL 15 Disember ini, Wan Norazlin akan kembali ke Mahkamah Syariah untuk sebutan pertama majlis sulh (perundingan) bagi menyelesaikan kes tuntutan nafkah terhadap suaminya.

Barangkali ada yang menyimpan tanggapan salah dan menyangka dia naik turun mahkamah untuk memohon perceraian sedangkan kata Wan Norazlin, perkara itu tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.

“Saya ke mahkamah untuk meminta suami supaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa dan ketua keluarga. Saya mohon dia melengkapkan tanggungjawab zahir dan batin bukan kerana dorongan nafsu semata-mata.

“Sebaliknya saya mahu mencari kembali kasih sayang yang selama ini dia abaikan terhadap anak-anak dan saya. Semua yang saya lakukan ini bukan mengikut emosi, tetapi selepas berfikir panjang mencari apa yang terbaik untuk kami bersama.

“Saya tidak menuntut cerai kerana perceraian bukan penyelesaian untuk segala masalah ini. Saya cuma mahu dia bertanggungjawab dan menjadi ketua keluarga yang baik.

“Saya masih sayangkan dia kerana dia suami saya. Tidak tahu kenapa dia berubah dan melupakan peranan ketika kami memerlukan kehadirannya.

“Selagi masih ada ikatan, saya berharap dia tidak akan lupa tanggungjawabnya kepada kami semua,” katanya.

Akui Wan Norazlin, antara mereka berdua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan namun apa yang penting kini, adalah mencari titik persefahaman untuk membina semula keluarga demi anak-anak.

“Ketika berselisih faham, saya sering tekankan supaya dia memikirkan mengenai anak-anak yang perlukan perhatian kami berdua. Lagipun sekarang saya sudah kembali bekerja, jadi saya perlukan sokongan suami untuk mengawasi anak-anak.

“Ada kalanya saya jadi tidak senang apabila di lokasi memikirkan anak-anak yang ditinggalkan bersama datuk mereka. Bapa sudah tua membuatkan saya rasa bersalah kerana terpaksa menyusahkan dia.

“Untuk menggaji pembantu rumah, saya tidak mampu. Wang yang ada terpaksa saya jimat untuk menyelesaikan mana-mana urusan yang lebih penting,” katanya.

Berita Harian

Kes Saman Sheila Rusly 11 Mei

20 Nov

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menetapkan 11 Mei depan untuk sambung bicara kes saman pelakon dan penerbit, Sheila Rusly terhadap bekas rakan kongsi perniagaannya, Nasi Dagang House, Datuk Azlina Che Abdullah yang difailkan tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Badariah Sahamid menetapkan tarikh itu dalam kamar bersama peguam, Mohd Firuz Jaffril yang mewakili Azlina (defendan) dan Sheila (plaintif), diwakili A Krishnakumar.

Mohd Firuz ketika ditemui di luar mahkamah berkata, hakim juga membenarkan permohonan plaintif dan defendan untuk menggunakan dokumen yang ditandakan sebagai tanpa wasangka dalam perbicaraan yang akan datang.

Dokumen itu membabitkan surat peguam antara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan kes terdahulu secara persetujuan bersama.

Sheila memfailkan saman terhadap Azlina yang didakwa menutup perniagaan Nasi Dagang House secara mengejut selepas hanya dua bulan beroperasi pada 2005.

Dalam saman itu, beliau menuntut modal pelaburan sebanyak RM55,000 untuk perniagaan berkenaan, selain perintah supaya Azlina membayar semua keuntungan restoran baru miliknya, iaitu Nasi Dagang Ulik Mayang dari 1 Oktober 2005 sehingga tarikh penghakiman.

Sheila juga memohon ganti rugi am, tekanan jiwa yang teruk dan supaya kes ini menjadi teladan kepada orang lain.

Berita Harian

Tak Sanggup Gadai Maruah

1 Oct

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

SHEILA dan keluarga meraikan 1 Syawal di kampung Jinggo di Ipoh, Perak.

Ada yang mahu Sheila buka tudung bagi dapatkan ruang dalam produksi

ALLAH menghadirkan dugaan untuk menguji setiap hamba-Nya, mengajak manusia kembali merenung relung kehidupan yang dilalui lalu menginsafi diri agar kekhilafan silam tidak berulang seterusnya mengutip nikmat kemanisan daripada kesabaran menempuh ujian.

Nikmat kesabaran itu juga membentuk seseorang menjadi individu berjiwa teguh, sentiasa memandang ke depan untuk memperbaiki diri namun tetap berwaspada supaya khilaf semalam tidak kembali berlaku.

Anak seni seperti Sheila Rusly juga sentiasa dihambat dugaan, bahkan ketika menemubualnya usai sesi fotografi bersama keluarga perkara yang sama diluahkan pelakon yang sedang lebar memperkasakan pengaruhnya di mata masyarakat.

Sejak bergelar hajah dan memenuhi tuntutan syariat Islam dengan tampil bertudung, semakin hebat dugaan yang dihadapi anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Tawaran lakonan untuknya kian menipis, malah ada yang menguji supaya dia menanggalkan tudung dan kembali menjadi Sheila Rusly yang dulu jika ingin mendapatkan ruang beraksi dalam produksi mereka.

Membuang jauh perasaan terkilan, Sheila bersyukur kerana Allah menyayanginya. Mungkin peluang berlakon di bawah produksi lain terbatas, malah mungkin juga tiada langsung tetapi Tuhan membuka pintu yang luas menerusi rumah produksi, JS Pictures yang diusahakan bersama suaminya, Azman Yahya atau Jinggo.

Kecintaan terhadap dunia lakonan yang berputik sejak 15 tahun terus menyubur malah Sheila semakin aktif memainkan peranan baru iaitu sebagai penerbit.

“Jujurnya saya tidak lagi mengharap untuk beraksi di bawah produksi orang lain kerana saya tidak mahu menggadai maruah dengan membuka tudung hanya kerana ingin mendapatkan peluang berlakon di luar.

“Saya tidak menafikan penampilan seseorang pelakon itu penting tetapi penerbit juga harus tidak lupa, pengisian sesuatu produksi turut memainkan peranan besar. Penampilan sesuatu watak itu boleh disesuaikan menerusi perbincangan tapi sayang ramai yang tidak melihat aspek ini ketika memberikan tawaran.

“Jika kita tidak berani mencuba untuk membawa dimensi baru dalam industri penerbitan drama tempatan, kita tidak akan berubah sebaliknya kekal di takuk lama.

“Kita punya ramai pelakon wanita bertudung, bahkan ada di antara pelakon pernah meluahkan hasrat mereka untuk menutup aurat tetapi terhalang oleh perkara seperti ini.

“Saya bukan sempurna tetapi nasihat saya, percaya diri sendiri dan Insya-Allah, segala-galanya akan dipermudahkan Tuhan,” adu Sheila mengenai peluang untuknya selepas kembali dari mengerjakan ibadah haji Januari lalu.

Bertudung tidak sesekali membataskan Sheila untuk meneroka bidang lakonan, malah dalam telefilem terbarunya Hanya Aku yang akan menemui peminat Astro Ria jam 11 malam raya kedua dia memainkan peranan hitam.

Sebagai Sarah yang terbabit dalam gejala penagihan dadah dan dimasukkan ke Pengasih untuk proses pemulihan, Sheila tidak sesekali mengenepikan prinsipnya untuk tidak mendedahkan rambutnya.

Ibu kepada Uzair Haqimy, 12, dan Luth Mikhail, 7, berkata, watak hitam yang dibawakan itu hanya sebuah lakonan. Di luar dia tetap Sheila Rusly dan disebabkan itu, wanita ini sudah bersedia andai ada yang kurang senang dengan lakonannya dalam telefilem arahan terbaru pengarah berkaliber, Jinggo.

“Saya tidak membayangkan watak Sarah sebagai wanita bertudung tetapi saya cuba sesuaikan peranan itu dengan penampilan sebenar saya di luar. Kreativiti itu penting dan sekali pun memainkan watak hitam saya cuba menjaga batas supaya tidak menjadi buah mulut orang.

“Saya tidak mahu menjadi pelakon yang kosong, sebaliknya saya melihat tugas sebagai artis satu bentuk ibadah kerana kami menjadi perantara dengan membawa mesej lakonan yang kuat untuk dihayati penonton.

“Sheila Rusly hanya satu dalam dunia ini, tiada dua tiada tiga untuk saya memainkan pelbagai peranan hanya kerana ingin memuaskan hati semua pihak.

“Dalam apa juga hal, saya terlebih dulu memohon keizinan suami dan mendapatkan juga pandangan anak-anak.

Akur kehendak suami

RUTIN Sheila sejak bergelar isteri kepada Jinggo, sambutan 1 Syawal akan terlebih dulu diraikan di kampung halaman suaminya di Ipoh, Perak. Dia tidak merungut jauh sekali bermasam muka kerana bagi Sheila, biar di mana sekali pun Aidilfitri diraikan, semarak kemenangan selepas sebulan berpuasa akan tetap sama jika bersama keluarga tercinta.

“Kerana itu saya tidak pernah menolak apabila suami mengajak pulang beraya di kampung halamannya dulu. Keluarga saya menetap di Kuala Lumpur, jadi pada hari biasa kami akan bertemu tetapi tidak dengan keluarga suami.

“Hanya sesekali apabila bercuti panjang dan berkesempatan baru kami dapat bersama mereka. Jadi apa salahnya Aidilfitri ini saya bersama mereka, menziarahi sanak saudara yang sudah lama tidak bersua dan mengeratkan semula silaturahim.

“Alhamdulillah keluarga saya memahami malah tidak pernah mempersoalkan keputusan kami suami isteri. Untuk apa bermasam muka hanya kerana perkara kecil ini,” katanya.

Sheila berkata, jujur dari lubuk hatinya dia tidak terlalu ghairah untuk menyambut Aidilfitri kerana sedih apabila Ramadan berakhir.

Keistimewaan Ramadan katanya, hanya datang sekali setahun dan Sheila sendiri tidak mahu melepaskan kemanisan bulan mulia itu dengan mendekatkan diri kepada Allah.

Dugaan Hanya Aku

SERING drama Aidilfitri penonton akan disajikan dengan himpunan drama klise yang meruntun air mata, tetapi Sheila dan Jinggo cuba memberikan sesuatu yang berbeza namun lengkap perisa untuk sebuah penerbitan bagi tayangan Syawal.

Hanya Aku yang mengungkap perjalanan hidup manusia bergelar penagih di Rumah Pengasih, memperlihatkan kepekaan suami isteri itu dengan mengupas pelbagai isu sosial dalam masyarakat yang relevan dengan kehidupan hari ini.

Sheila yang bertindak sebagai penerbit tidak mahu drama terbitan produksinya hanya ditonton sekelompok audiens, manakala penonton muda menyisihkan diri kerana kupasan yang dihidangkan kurang menarik dan tidak kena selera mereka.

Barangkali ada yang akan melihat Hanya Aku dari sudut negatif tetapi bagi Sheila, apa yang dipersembahkan mereka mungkin dilihat percubaan agak berani untuk sebuah produksi Melayu tetapi mereka punya alasan mengapa berbuat demikian.

“Mungkin ada mempertikai mengapa kami memaparkan adegan ketagihan serta pengambilan dadah tetapi niat kami baik mahu mendidik supaya generasi muda sedar akan bahaya membabitkan diri dengan najis itu.

“Penonton perlu disogokkan dengan maklumat yang lengkap dan tepat. Untuk mendidik tidak semestinya kita hanya memberi yang baik,” kata Sheila.

Penuh dengan rencah yang melatari perjalanan harian masyarakat, Sheila berharap Hanya Aku akan menjadi pilihan penonton yang inginkan drama berbeza namun relevan dengan situasi kehidupan hari ini pada Aidilfitri nanti.

Selain Sheila, drama itu juga dibintangi Que Haidar, Hattan, Wan Norazlin serta pelakon baru, Nadiatul Nisaa.

Berita Harian

TV3 Saji Program Terbaik, Berkualiti

1 Oct

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Tujuh filem terbaik, selain beraneka program muzikal jadi menu istimewa penonton

BUKAN saja menghiburkan tetapi semua program yang disiarkan di TV3 berkualiti untuk disajikan kepada penontonnya sepanjang Aidilfitri tahun ini. Ini termasuklah menyiarkan tujuh filem berturut-turut selama tujuh hari. Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Penjenamaan TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, segala program yang disiarkan sempena Aidilfitri ini dipilih daripada yang terbaik.

“Kebanyakan program yang disediakan adalah kali pertama disiarkan kecuali filem. Setiap tahun memang TV3 sedia program yang terbaru untuk memberi kelainan agar penonton berasa suatu pembaharuan yang dilakukan pada tahun ini,” katanya pada majlis berbuka puasa yang diadakan stesen itu baru-baru ini,

Berikut adalah antara program yang disediakan TV3 untuk penontonnya sepanjang Aidilfitri.

Filem Raya

Nana Tanjung 2

Tarikh Siaran: 1 Oktober

Masa: 9 malam

Nana Tanjung 2 menyingkap kesinambungan Nana Tanjung dengan kehidupan anak-anak Nana Kassim yang berubah apabila pelbagai cerita timbul sehingga terkena tempias kepadanya. Nana yang mendengar tohmahan jiran memutuskan untuk mengenakan pelbagai syarat kepada bakal menantunya. Filem ini dibintangi Saiful Apek, Fasha Sandha, Waheeda, Jehan Miskin, Azean Irdawaty dan Saffi Jaafar.

Otai

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 9 malam

Walaupun sudah tiga tahun berkahwin mereka tidak dikurniakan zuriat. Aiman dan Azura mendapat tekanan dengan ayah Aiman iaitu Tan Sri Mansur sekiranya masih gagal mendapatkan zuriat dalam masa setahun, seluruh harta peninggalan akan diwariskan kepada anak yatim. Azura kemudian disahkan tidak boleh mengandung. Maka terpaksalah Azura merelakan Aiman berkahwin lagi. Antara pelakon filem ini ialah Saiful Apek, Nasha Aziz, Saleh Yaakob, Ainul Aishah dan Faezah Elai.

Dunia Baru The Movie

Tarikh Siaran: 3 Oktober

Masa: 9 malam

Opie menerima surat yang ditulis Anizah menyatakan hasratnya untuk ke Thailand dan berkahwin lari dengan Fazley. Anizah begitu nekad sehingga sanggup melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Ini merisaukan kawannya iaitu Opie, Madihah, Suzanna, Adif dan Tajol. Mereka berpakat mengikut jejak Anizah dan memujuknya agar mengubah fikirannya. Filem ini membariskan Elyana, Pierre Andre, Iqram, Anne Ngasri, Anita Baharom, Baizura Kahar dan Almy Nadia.

Cinta

Tarikh Siaran: 5 Oktober

Masa: 9 malam

Jalinan lima cerita yang meraikan keajaiban cinta. Harris ada segala-galanya, isteri yang cantik, anak dan karier namun isterinya mengakui mempunyai teman lelaki baru. Dyan mengubati hatinya yang sepi dengan mengubah cara hidup adiknya Dhani seorang pelukis jalanan. Ariel menjejaki cintanya yang dibantu oleh Taufiq seorang wartawan muda. Elyas pesara guru yang menghabiskan sisa hidupnya setelah menghidap Alzheimer. Elyas sering menghabiskan masanya di restoran milik janda Rubiah. Antara pelakon filem ini ialah Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Rita Rudaini, Nanu Baharuddin, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar, Pierre Andre, Eizlan Yusoff dan Rashidi Ishak.

Rempit vs Impak Maksima

Tarikh Siaran: 7 Oktober

Masa: 9 malam

Shariman dan Bani mempunyai minat yang sama iaitu berlumba motosikal. Mereka menghabiskan masa dengan berlumba haram. Satu hari Shariman ditawarkan untuk menjadi pelumba kereta secara profesional dan Bani masih meneruskan kerja merempit secara haram. Filem aksi ini dilakonkan oleh Awal Ashaari, Zulhuzaimy, Fauzi Nawawi, Jue Aziz, Hafiz, Maimon Mutalib, Jalaluddin Hassan, Watie Elite dan Suraya.

Waris Jari Hantu

Tarikh Siaran: 8 Oktober

Masa: 9 malam

Tina dan Ari berkawan baik dan bersaudara dengan Tok Wan Rimau, penjaga harimau saka. Keluarga Tina kini sedang mencari waris perempuan untuk menurunkan ilmu sakanya. Tok Wan dan harimau saka melindungi keluarganya dan Pekan Mendekar dari bahaya. Ari sering diejek oleh penduduk kampung dengan gelaran ‘Mat Kepit’, atau ‘Mat Patah’. Walaupun begitu, Tina setia berada di sisi Ari, malah menyimpan perasaan cinta yang mendalam terhadap Ari. Filem ini dilakonkan oleh Maya Karin, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Nanu Baharuddin, Liza Othman, Kavita Sindhu, Zahim Albakri, Riezman Khuzaimie, Rashid Salleh, Zaidi Omar dan Jit Murad.

Qabil Khushry Qabil Igam

Tarikh: 9 Oktober

Masa: 9 malam

Qabil Khushry dan Qabil Igam, anak kepada Ismail dan Tijah. Qabil Khushry amat sayangkan adiknya. Ketika dewasa, Rani jatuh hati kepada Khushry manakala adiknya, Karisma memuja Igam. Bagaimanapun, kerana satu kesilapan, mereka sekeluarga bagaikan tersepit, lalu satu keputusan terpaksa dibuat yang membabitkan satu pengorbanan besar. Antara pelakon filem ini membabitkan Hans Issac, Rusdi Ramli, Erra Fazira, Ziana Zain dan Khatijah Tan.

Ayat-Ayat Cinta

Tarikh Siaran: 10 Oktober

Masa: 9 malam

Fahri Abdillah adalah seorang pelajar pintar dari keluarga miskin yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir. Dia yang juga seorang berdisiplin dan berdedikasi memulakan kehidupan di Mesir melanjutkan pelajaran dan menterjemah buku-buku agama dengan penuh bersemangat. Hanya satu saja matlamat yang belum tercapai iaitu perkahwinan. Fahri yang adalah seorang yang lurus dan suci tidak percaya pada konsep perhubungan sebelum berkahwin. Filem Indonesia ini dilakonkan oleh Fedi Nuril, Carissa Putri, Melanie Putria, Zaskia Adya Mecca dan Rianti Cartwright.

Program Muzikal Raya

Teratak Siti Nurhaliza

Tarikh Siaran: 1 Oktober

Masa: 10 pagi

Datuk Siti Nurhaliza bakal mendendangkan lagu popular tradisional dan terkini dengan diiringi oleh pemuzik profesional pimpinan Faizal Uzir. Program muzikal ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri. Turut dijemput adik-beradiknya iaitu Siti Saida dan Siti Saerah.

GhazalRock

Tarikh siaran: 2 Oktober

Masa: 10 pagi

Ghazal Rock adalah satu program muzikal lain dari yang lain. Barisan penyanyi terbabit dalam program istimewa ini ialah Ning Baizura, Faizal Tahir, Anuar Zain, Ella dan kumpulan rock, Jinbara dipertemukan dalam program khas Raya ini. Ia akan disiarkan selama 60 minit di mana menyaksikan artis jemputan mendendangkan lagu tradisional termasuklah lagu kontemporari yang kekal popular dan diminati ramai.

Komedi Raya

Al-Kisah Kembali

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 5.30 petang

JAKA dan Dhuri sedang mencari anak, Junior mereka yang diculik. Mereka terjumpa dengan kawan lama, Jinbai, Momsteem dan Long Sifu semasa dalam perjalanan mencari anak mereka. Pelbagai rintangan yang melucukan dapat disaksikan sepanjang pencarian menyelamatkan Junior. Drama komedi ini lakonan Apek, Zarina Zainuddin, Shamsul Ghau Ghau, Mommsteem, Aziz Kota, Bob Kuman, DJ Sumo, Redza

Senario Gamatnya Raya

Tarikh: 2 Oktober

Masa: 11 malam

Kisah dua kumpulan anak muda yang ingin merasai suasana baru di hari raya. Anak muda kampung ingin merasai beraya di bandar, sementara anak muda di bandar pula ingin beraya di kampung. Saksikan lakonan Azlee, Aby Yus, Opie Zami dan Bob Kuman.

Simpang Tiga Raya Special

Tarikh: 3 Oktober

Masa: 11 malam

Salman, Saleh dan Mawi menaruh hati kepada Wati. Mereka masing-masing cuba sedaya upaya menambat hati Wati. Dalam diam hati Wati terpaut kepada Salman, Che Pah ibu kepada Wati menyuruh mereka mencarikan lemang tetapi ada saja alasan mereka berikan. Hinggalah Wati sendiri menyuruh mereka, maka pelbagai usaha dan gelagat mereka untuk mendapatkan lemang yang terbaik dan paling sedap untuk Wati sempena persiapan Hari Raya.

Saksikan telatah Abon, Ifa Radziah, Acong Sweetchild, Scha, Buzen, Ropi Cecupak, Ebby Yus dan Sathiya.

Variasi Raya

Ewah-Ewah Raya 1 dan 2

Tarikh: 1 dan 2 Oktober

Masa: 4.30 petang

Program berkonsepkan muzikal & game show ini menampilkan gabungan empat pengacara hebat iaitu Raja Azura, Nabil, Shamsul Ghau Ghau dan Amyza Adnan yang pastinya bakal mencuit hati anda. Turut serta dalam program ini ialah Fabulous Cats, Mas Idayu, M. Daud Kilau, Faradiya, Danny X-Factor dan Mila.

Bagus Sangat Ke?

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 9 pagi

Menampilkan gandingan Didie Alias dan Sheila Rusly sebagai pengacara manakala selebriti yang menjayakan program ini ialah Adibah Noor, Sahri, Dina, Enot, Bob AF2 dan Sumo Fabulous Cat. Peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai tiga peserta. Mereka diwajibkan membuat tiga tugasan yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Ketupat Oh Ketupat, Aduh..Panjut Pulak!! dan Mmmm Sedapnya!!!.

Raya Bersama Fara

Tarikh Siaran: 5 Oktober

Masa: 5 petang

Raya Bersama Fara memfokuskan kepada pengacara wanita popular 2006/2007 Anugerah Bintang Popular Fara Fauzana sebagai pengendali program yang berbentuk bual-bicara hiburan. Antara artis yang terbabit menjayakan program ini termasuklah Jinbara, Afdlin Shauki, Misha Omar, Datuk Aziz Satar, Azwan Ali dan Darling Ngasri.

Berita Harian

Gelagat Wartawan Dalam Seiring Sejalan

28 Sep

Seperti tahun-tahun lepas, nampaknya tahun ni RTM tak ketinggalan menerbitkan rancangan Seiring Sejalan menggabungkan artis dan wartawan hiburan tanah air.

Seiring Sejalan yang bertemakan Meriahnya Aidilfitri pada tahun ni akan disiarkan pukul 12.30 hari di RTM1 pada Hari Raya kedua.

Selama ni kita sering baca tulisan wartawan hiburan tapi kali ini kita dapat saksikan bagaimana mereka berganding suara dengan artis-artis tanah air ketika membuat persembahan.

Antara artis yang terlibat seperti Ani Maiyuni, Ferhad, Erra Fazira, Siti Nordaina, Achik (Spin) dan dihoskan oleh Sheila Rusly.

Wartawan hiburan yang tunjuk bakat “terendam” mereka pula antaranya Feride (Kosmo!), Farihad (Berita Harian), Yanie (Harian Metro) dan Hanif (Media Hiburan). Tengku Khalidah (Kosmo!) pun tak melepaskan peluang menjadi personaliti jemputan bersama Shiela Rusly.

Tidak ketinggalan juga wartawan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) iaitu Huzz, Rosli Manah dan Joha.

Orang kata wartawan dan artis kalau jumpa mesti ada yang panas tapi dalam Seiring Sejalan yang diterbitkan Nur Ashidah Abdul Hamid (Dot) ni membuktikan hubungan mereka tu sebenarnya macam kawan.

Jadi, jangan lupa melekat depan TV kalau nak tengok dia orang menyanyi.

NIEZAM: Hanya pegang watak Pak Pacak.

Utusan Malaysia

Meriahkan Adilfitri Bersama Rancangan Raya Televisyen

28 Sep

OLEH RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH


MINAH lodeh tipah lepatlah pulak.

SETELAH hampir sebulan berpuasa, kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi, pelbagai rancangan menarik disusun oleh stesen-stesen televisyen bagi memeriahkan suasana hari raya.

Antara rancangan tersebut ialah telefilem, drama, filem, muzikal raya dan pelbagai rancangan yang menyaksikan gandingan persembahan artis-artis terkenal tanah air.

Jika anda mahu meluangkan masa bersama keluarga dan teman-teman di rumah, jangan ketinggalan menyaksikan pelbagai rancangan menarik ini. Sambil menjamu selera dan menghadiri rumah terbuka, anda tidak ketinggalan berhibur dengan rancangan tv menarik.

l Warna-warni Aidilfitri di RTM

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal bersiaran dengan pelbagai rancangan raya. Eksklusif pada hari raya, penonton RTM 1 berpeluang menyaksikan Siti Nurhaliza bersama peminat pada hari raya kedua pada pukul 11 malam.

Bagi mereka yang inginkan hiburan menjelang raya, jangan lupa menyaksikan sebuah drama muzikal Epilog Cinta Terindah (Bintang-Bintang RTM) yang mengisahkan percintaan dua pasangan ketika zaman muda yang banyak rintangan. Rancangan yang diterbitkan Mohd. Yusni Mohd. Ali ini akan menemui penonton pada Hari Raya ke-10, pukul 3 petang. Ia membariskan artis-artis popular seperti Izwan Pilus, Ramlah Ram, Siti Sarah, Azharina dan Amir (Sofaz).

Selain tayangan filem seperti Jangan Pandang Belakang (raya ketiga; 9 malam) dan Zombie Kampung Pisang (raya keempat; 9 malam), penonton juga disajikan telefilem yang membawa mesej keinsafan seperti Sesuci Al Fitri (raya kedua; 12. 30 tengah malam) lakonan Safura dan Shaharuddin Thamby, Panggilan Raya (raya pertama; 10 pagi) lakonan Emelda Rosmila dan Ijoy Azahari dan Tasbih Terakhir (raya keempat; 12.30 tengah malam) lakonan Nasir Bilal Khan, Jasmin Hamid dan Safura.

Penonton juga dapat menonton Komedi Khas Raya, Selamat Hari Raya Jiran Tetangga lakonan Saiful Apek, Raja Azura, Nabil, Datuk Aziz Satar dan ramai lagi.

Saksikan juga beberapa siri konsert mulai 3 Oktober hingga 5 Oktober pada pukul 3 petang setiap hari dengan persembahan hebat artis-artis tempatan seperti Sofaz, 6ixth, Azharina, Elyana, The Fabulous Cats, Kristal dan Ifa Raziah.

- Kesyukuran dalam kemeriahan bersama TV3

Sementara itu, bertemakan ‘Kesyukuran dalam Kemeriahan’ TV3 mengajak penonton-penonton setianya agar sentiasa bersyukur sambil menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.

Pada kesempatan ini, stesen televisyen swasta ini mengajak penonton-penontonnya untuk meraikan Aidilfitri dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah saudara- mara dan sahabat handai dan saling bermaaf-maafan. Sambil bergembira di samping orang tersayang penonton juga diseru agar bersyukur menikmati kurniaan Ilahi. Para penonton bakal disajikan dengan pelbagai aneka ragam masyarakat menerusi filem, telefilem dan program-program hiburan dan jenaka.

TV3 telah menyusun dengan teliti program-program bagi memastikan hanya yang terbaik untuk ditayangkan sempena dengan Aidilfitri bagi menepati cita rasa penonton. Kebanyakan program tersebut mempunyai keistimewaan dan mesej yang tersendiri.

- Tayangan

Telefilem raya TV3 menjelang raya pada pukul 9.30 malam menyaksikan tayangan Mengejar Sinar yang mengisahkan Taufik berhenti kerja setelah mengambil VSS daripada pejabat tempat dia bekerja. Isterinya, Mariam risau kerana dia sedang mengandung anak kedua selepas lapan tahun tidak mengandung. Satu hari, ibu mertuanya terjumpa Ain dan membawanya pulang. Taufik pergi mendapatkan anaknya dan merayu ibu mertuanya untuk memulangkan Ain, namun dia menyalahkan Taufik kerana tidak mampu menjaga Ain. Dapatkah Taufik bersatu kembali dengan anaknya? Saksikan lakonan Rosyam Nor, Erma Fatima, Maimun Mutalib, Fauziah Nawi, Ismail Yaacob dan Aziz M Osman.

Sementara itu, telefilem Takdir Sedang Berbisik bakal menemui penonton pada pagi raya Ketiga yang mengisahkan kemalangan yang menimpa Husin mengubah kehidupan yang baru dibinanya bersama Maimon. Husin lumpuh dan kehilangan pekerjaan sementara itu, Mak Piah hanya bersabar dengan kerenah menantunya, Maimon. Mak Piah menjaga Husin dan anaknya dengan bantuan Mastura, anak Mak Yam yang sedang belajar tahun akhir di universiti . Telefilem ini dijayakan oleh pelakon-pelakon berkaliber seperti Rosyam Nor, Umie Aida, Fauziah Nawi, Faizal Hussein, Ummi Nazera, Ku Faridah Ku Syafie, Bobby Hazreen, Latiff Borgiba, Maimunah Ahmad dan Maimun Talib.

TV3 turut diwarnai rancangan muzikal antara yang paling istimewa ialah Teratak Siti Nurhaliza pada raya pertama pukul 10 pagi . Teratak Siti Nurhaliza merupakan satu program muzikal yang pastinya dinantikan oleh peminat-peminat penyanyi tersohor tanah air yang bakal dikendalikan oleh beliau sendiri.

Program 60 minit ini akan menyaksikan Siti Nurhaliza mendendangkan lagu-lagu popular tradisional dan juga terkini yang menjadi kegilaan ribuan peminat beliau dengan diiringi oleh pemuzik-pemuzik professional yang dipimpin oleh Faizal Uzir.

Program muzikal ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri sekali gus menjadikan program ini unik dan berbeza dari persembahan Siti Nurhaliza sebelum ini. Bukan itu sahaja, turut memeriahkan rancangan ini, Siti Nurhaliza juga menjemput adik- beradik beliau iaitu Siti Saida dan Siti Saerah untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya buat julung-julung kalinya di kaca televisyen.

Di samping itu, penonton pasti terhibur dengan GhazalRock pada Raya Kedua, 2 Oktober, 10.00pagi.

GhazalRock merupakan satu program muzikal ‘lain dari yang lain’ yang pastinya akan menambat hati para peminat penghibur tanah air. Artis-artis popular seperti Ning Baizura, Faizal Tahir, Anuar Zain, Ella dan kumpulan rock, Jinbara yang dipertemukan dalam program khas raya ini. Bersiaran selama 60 minit, program ini akan menyaksikan para artis jemputan mendendangkan lagu tradisional termasuklah lagu-lagu kontemporari yang kekal popular, masih diminati ramai dengan diiringi oleh alunan muzik daripada kumpulan Jinbara sendiri bersama pancaragam ghazal.

Di samping itu, rasai kehangatan Aidilfitri pertama bersama rancangan signatur Saluran Ceria Anda, ntv7 yang akan menyiarkan filem superhero hebat, Batman Begins hasil garapan pengarah lagenda,Christopher Nolan lakonan Christian Bale, Michael Caine dan Katie Holmes dari 11.45 malam hingga 1.45 malam. Dapatkan lebih keriangan dan kegirangan pada hari raya pertama dengan siaran Cirque Du Soleil: Quidam, Cirque De Soleil: Quidam dan Batman Begins pada Rabu, 1 Oktober.

Tidak ketinggalan, temui Om, seorang kanak-kanak lelaki yang berusaha gigih menghias rumahnya bagi memanggil kedatangan malaikat untuk menunaikan harapannya pada hari raya dalam Malam Tujuh Likur, Jumaat, 3 Oktober 2008, mulai pukul 10 pagi hingga 12 malam. Filem ini dibintangi oleh Adam Zakaria, Eira Syazira, Aaron Aziz dan Aida Aris.

Sementara itu, 8tv turut menyiarkan filem istimewa pada raya pertama pada pukul 10.00 malam dengan tayangan filem Lord Of The Rings-The Two Towers.

- Drama keinsafan di saluran Astro

Saluran Astro Melayu seperti Astro Ria, Prima dan Kirana turut menyajikan pelbagai rancangan menarik untuk anda sekeluarga.

Pelbagai drama dan telefilem hebat bakal menemui anda sepanjang tiga hari pertama Aidilfitri. Epilog drama yang dipaparkan membawa mesej tersendiri dan pengajaran yang melahirkan keinsafan kepada penonton.

Antaranya, sebuah drama hebat, Hanya Aku yang mengisahkan tentang sekumpulan penghuni rumah pengasih yang belajar erti keseronokan, cara menghormati orang lain dan untuk menjadi orang yang berguna dalam masyarakat. Drama lakonan Hattan, Baby Erin, Que Haidar, Nabila Huda, Sheila Rusly dan Erma Fatima berkisar di antara golongan bekas penagih, ibu bapa, pasangan hidup, anak- anak dan orang tersayang. Kisah ini boleh dijadikan pengajaran buat mereka yang hidup dengan dengan cara hidup penjenayah termasuklah mereka yang pernah ditangkap dan disabitkan sebagai pesalah serta dihantar ke penjara.

Drama ini akan disiarkan di Astro Ria pada pukul 11 malam. Aidilfitri anda juga pasti menarik dengan drama Cahaya Lailatulqadar lakonan Beego, Zulhuzaimy, Fauziah Nawi, Jalil Hamid dan Syarifah Sheera. Drama yang akan disiarkan di Astro Prima pada pukul 9 malam ini mengisahkan Adam akhirnya pulang ke tanah air dari London selepas lima tahun bermastautin di sana. Dia merancang untuk membawa pulang sejumlah wang yang besar dari ibunya sehingga mendatangkan kemarahan adiknya, Adi.

- Kesinambungan

Bagi peminat telefilem Takbir Suci 2, kesenimbungan telefilem ini, Takbir Suci 3 akan ditayangkan di Asro Ria pada pukul 11 malam. Ia mengisahkan tentang bagaimana Nora sanggup menyingkirkan ibunya sendiri semata-mata kerana sifat tamak dan dendam yang teramat pada bulan Ramadhan. Saksikan telefilem yang dapat memberi keinsafan kepada semua yang menonton bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

Sementara itu, penonton juga disajikan dengan pelbagai rancangan hiburan lain seperti Minah Lodeh,Tipah Lepat Berayalah Pulak, Di Bawah Ketiak Isteri Aidilfitri, Gegar Gitu Apek Raya, Ada Cinta Di Hari Raya? Selain beberapa filem mnari untuk tontonan umum seperti Cuci, Chermin, I’m Not Single, Kala Malam Bulan Mengambang dan Anak.

Utusan Malaysia

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.