Archive | Siti Nordiana RSS feed for this section

5,000 Orang KunjungiMesra Mall Kerteh

2 Mar


SEBAHAGIAN pengunjung menyaksikan telatah penyampai radio THR sempena program THR Gempak Gegar-One Drop Pantai Timur di Mesra Mall, Kerteh, Kemaman kelmarin.

SESAK. Kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri pusat beli-belah Mesra Mall di Kerteh, Kemaman kelmarin bagi memeriahkan program THR Gempak Gegar-One Drop Perfume Pantai Timur.

Program itu diadakan sebagai tanda terima kasih pengusaha kepada pengguna One Drop Perfumes yang turut dijayakan oleh penyampai-penyampai radio THR selain persembahan artis jemputan.

Antara yang membuat persembahan sepanjang program kira-kira empat jam itu ialah Achik Spin, Siti Nordiana dan Ramlah Ram.

Selain itu, pelbagai acara seperti kuiz, cabutan bertuah dan diskaun bagi semua lapan set One Drop Perfumes turut ditawarkan pada majlis tersebut.

Program serupa akan berlangsung di KB Mall, Kota Bharu pada 7 Mac ini dan di Kuantan Parade pada 14 Mac bermula pukul 2 hingga 6 petang.

Kosmo

Advertisements

"Tragedi Cinta Bukan Kisah Kami"

12 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ACHIK dan Nana kembali berduet dalam Tragedi Cinta.

Achik, Nana berduet atas permintaan peminat

MASING-masing kini sudah berkeluarga dan mempunyai fokus di dalam hidup biarpun umum sedia maklum Siti Nordiana (Nana), 24, dan Achik, 26, pernah menjalinkan hubungan cinta. Yang jelas, kisah percintaan mereka pernah dibukukan beberapa tahun lalu, namun jodoh kini memisahkan mereka dengan pilihan masing-masing.

Biarpun pernah mengalami fasa kehilangan besar anak pertama, Allahyarham Putri Rania, Achik kini semakin bahagia bersama isterinya HM Rosezaitul Suriani (Tasha) dengan kehadiran anak kedua mereka bernama Putri Nursafiyya berusia 10 bulan. Demikian juga Nana dan suami, Faizal Yusof yang dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie berumur tujuh bulan.

Mengakui zaman kegemilangan mereka tidak lagi semeriah seperti dulu, sebelum membuat keputusan berumah tangga, Achik dan Nana pernah dianggap antara pasangan duet yang menjadi kegilaan ramai. Lagu Paling Comel menjadi penanda aras betapa hebat dan sukses penerimaan peminat terhadap mereka. Lagu itu dipetik daripada album Istimewa Untukmu pada 2003. Kemudian pada 2005, mereka berduet sekali lagi dalam album tradisional, Benang Emas.

Atas permintaan yang masih ada, tiada masalah untuk duo kelahiran Negeri Sembilan ini bekerjasama dalam album duet seterusnya. Terbaru mereka kembali berduet mendendangkan lagu bonus berjudul Tragedi Cinta yang dimuatkan dalam album Terbaik Eddie Hamid, Rindu…Nya sejak Oktober lalu.

Menganggap strategi duet mereka masih lagi relevan, syarikat rakaman FMC Music tidak mahu ketinggalan untuk terus mengangkat nama Achik dan Nana buat ke sekian kalinya. Menurut Nana yang sudah sembilan tahun berada di persada seni, dia dan Achik masih mempunyai peminat yang tersendiri. Bagi Nana, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Achik kerana ia berbalik kepada soal profesionalisme.

“Lagu Tragedi Cinta itu sememangnya tiada kaitan dengan kisah kami dulu. Setahu Nana, lagu itu berkait rapat dengan komposer Eddie Hamid sendiri. Selepas lagu single ini, kami sedang merancang untuk menghasilkan album duet penuh pula. Nana yakin kolaborasi kami masih relevan kerana kelompok peminat kami masih ada terutamanya di kawasan luar bandar termasuk di Sabah, Sarawak dan juga Singapura.

“Soal kahwin atau tidak, ia bersifat subjektif. Kalau dulu mungkin kami berpeluang berada di kulit depan majalah tapi kini wajah baru yang menjadi pilihan. Ia berlaku seperti putaran yang menjadi lumrah alam. Nana pun masih muda dan jauh lagi perjalanan ini. Kalau boleh, Nana nak bertahan lama di dalam industri kerana banyak perkara yang Nana ingin kecapi dan capai.

“Sejak dulu memang Nana dan Achik berkawan baik. Biarpun masing-masing sudah berkahwin, kami tetap kepala gila-gila dan Nana boleh serasi dengannya,” kata Nana yang sudah habis kontrak dengan FMC dan soal untuk menyambungnya atau tidak, masih dalam perbincangan.

Bersyukur mendapat suami yang memahami, Nana mengakui kehadiran Rayyan menjadi penyeri kehidupan rumah tangganya. Ditanya tidakkah dirinya berminat untuk kembali berlakon seperti dulu, Nana mempunyai alasan yang tersendiri.

“Alhamdulillah kehidupan kami sangat membahagiakan. Jika Faizal tidak ada penggambaran di Kuala Lumpur, dia akan balik ke Seremban. Sejak setahun lalu, Nana sudah tinggal di Seremban dengan keluarga, tambahan pula sejak melahirkan Rayyan, Nana memerlukan bantuan emak untuk menjaga anak. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, Nana akan membeli rumah di Kuala Lumpur.

“Setakat ini biarlah Nana memberi tumpuan kepada bidang nyanyian. Faizal pun tidak izinkan Nana berlakon sebab dia selalu pesan, kalau nak berlakon biarlah mempunyai asas yang kukuh dulu dalam hal itu,” kata Nana yang boleh dihubungi melalui e-mel sitinordianalias@yahoo.com.

Achik semakin ligat berniaga

BERSETUJU dengan pendapat Nana, Achik juga melihat duet mereka masih mendapat maklum balas positif. Ia diperoleh Achik menerusi e-mel dan laman web Friendster yang dilawati peminatnya yang masih berkehendakkan mereka untuk terus berduet. Seperti Nana, kehidupan peribadi Achik juga begitu indah dan kini Achik sudah menetap di Seremban.

“Sejak Mei lalu saya sudah habis kontrak dengan FMC bagaimanapun syarikat ini masih berhutang empat buah album dengan saya. Tak sangka juga kami masih ada peminat yang teringin untuk melihat kami terus berduet. Sekarang ini pun, kami tengah merancang untuk menghasilkan album duet dan Insya-Allah tahun depan, mungkin diikuti album penuh solo saya pula.

“Selain menyanyi, saya juga kini sudah membabitkan diri dengan perniagaan dan ia sebagai jaminan serta sandaran hidup pada masa mendatang. Saya kini mengendalikan dua syarikat iaitu Spirespin Industries Sdn Bhd (di Johor Bahru) dan Nak Enterprise (Seremban). Alhamdulillah perniagaan saya ini mendapat sambutan yang baik dan berkat menjadi artis, ia menjadi batu loncatan untuk saya mudah mendapat peluang mendapat kenalan bisnes dan pelanggan,” kata Achik serius.

Bercakap lanjut mengenai perniagaannya, Achik juga menanam hasrat untuk membantu orang dari segi perubatan dan kesihatan. Achik kini sedang mencari mana-mana pakar atau individu yang mampu merealisasikan hasratnya dengan menggunakan formula yang diusahakannya.

Melalui syarikatnya juga, Achik berniaga ubat darah tinggi, kencing manis dan kanser diberi nama Burak. Begitu juga di bawah label yang sama turut terdapat kopi dan teh pemberi tenaga.

“Saya juga menjual air RO (Reverse Osmosis atau Osmosis Songsang) yang diberi nama air Warisan Tradisional di Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, saya juga mengendalikan kerja pembinaan secara kecil-kecilan seperti membuat projek jalan dan longkang.

“Formula ubat herba ini dijamin 100 peratus dengan jaminan pulangan kewangan. Tidak semua ramuan ini boleh didapati di Malaysia, ada juga yang saya dapatkan di Hong Kong. Produk ini saya mahu realisasikan demi membantu secara percuma kepada mana-mana orang yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Mengenai kumpulan Spin yang pernah meledakkan namanya, Achik memberitahu kumpulan ini bakal membuat come back dengan mengekalkan anggota yang lama.

“Insya-Allah, selepas album duet selesai, saya akan mula memikirkan niat untuk memastikan kumpulan Spin kembali memeriahkan persada seni,” katanya yang pernah membikin empat album bersama Spin.

INFO: Nana dan Achik

Kedua-duanya berasal dari tempat yang sama, Felda Sendayan Negeri Sembilan.

Nana bergelar artis rakaman sejak berusia 15 tahun.

Achik menyerlah bersama kumpulan Spin mulai 1999 bersama album Roda Roda Rindu.

Nama sebenar Achik ialah Abdillah Murad Md Shari dan nama sebenar Nana ialah Siti Nordiana Mohd Alias,

Kisah percintaan dan suka duka mereka diabadikan dalam autobiografi Pelangi Jiwa yang pernah diterbitkan beberapa tahun lalu.

Lagu Paling Comel menaikkan nama dua penyanyi remaja ini.

Achik adalah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi Diari Romeo.

Nana pernah berlakon drama Helah, 3 Dara Pingitan dan Wad 04.

Berita Harian

Dengarnya… Nana, Achik Kembali Berduet

27 Aug

Oleh Normah Becok

DULU memang ramai orang tahu yang dua artis naungan FMC Music, Siti Nordiana (Nana) dan Achik Spin pernah bercinta, namun jodoh untuk mereka bersama tiada. Tapi Cik Normah tak naklah sebut barang yang lepas.

Yang berlalu tu biarlah terpahat dalam lipatan sejarah. Tambahan pula masing-masing sudah membina keluarga bahagia. Nana dah kahwin dengan pelakon Faizal Yusof, manakala Achik dengan isterinya, Tasha.

Nana dan Achik dilihat serasi hinggakan lagu duet mereka, Paling Comel menerusi album duet berjudul Istimewa Untukmu pada tahun 2003. Kemudian pada tahun 2005, mereka berduet sekali lagi dalam album tradisional, Benang Emas.

Sekali lagi pada tahun ini, mereka kembali berduet mendendangkan sebuah lagu bonus yang bakal dimuatkan dalam album Terbaik Eddie Hamid, Rindu…Nya, yang dijangka berada di pasaran menjelang raya nanti dalam bentuk kaset, cakera padat dan VCD karaoke edaran FMC. Lagu itu berjudul Tragedi Cinta dan dirakamkan pada tahun lalu. Cik Normah dapat tahu, lagu itu tak dinafikan memang ada kaitan dengan kisah mereka pada waktu dulu.

Sebelum menghasilkan album duet, Achik dan Nana pernah berduet dalam album Spin, antaranya lagu Gurauan Berkasih dan Memori Berkasih. Cakap fasal FMC, Cik Normah nak bagi tahu sekali lagi, album kumpulan Hujan hanya edaran saja. Maksud Cik Normah kumpulan Hujan disambar FMC hanya untuk tujuan pengedaran bukan menjadi artis naungan syarikat itu sekali gus.

Berita Harian

Kisah Dua Bapa Selebriti

10 Jun

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Apakah keterujaan dua bapa selebriti, Mohd Faisal Yusup dan Mohd Faizal Ismail, tatkala mengimbas kenangan kali pertama menjadi bapa?

“KALAU beginilah seronoknya bergelar suami, tamat sahaja persekolahan saya sudah ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Sukar gambarkan perasaan saya pada ketika ini, apatah lagi selepas dua bulan bergelar bapa. Ia suatu perasaan yang begitu menyeronokkan.

“Kehadiran Rayyan sememangnya memberikan kenangan manis dan sekali gus menyerikan rumah tangga saya dan isteri. Jika orang katakan kelahiran anak saya merupakan hadiah sempena hari bapa, tapi bagi saya dia adalah harta yang paling bernilai di dunia,” luah pelakon dan model iklan, Mohd Faisal Yusup, 30, sambil mengusap dan mencium pipi putera sulungnya.

Suami kepada penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali dengan panggilan Nana, 24, putera sulungnya yang diberi nama Muhammad Rayyan Nakhaie telah memberi sinar baru dalam kehidupannya kini. Sebaik dilahirkan pada 21 Mac 2008, Faisal terus mengendong erat Rayyan, lantas melaungkan azan di telinganya.

MOHD FAISAL mengakui kelahiran Muhammad Rayyan Nakhaie memberi makna yang cukup besar kepada dirinya.

Pada detik itulah, air mata kegembiraan Faisal tumpah. Pada masa yang sama wajah bapanya mula menerjah dalam kotak fikirannya.

“Setiap kali melihat wajah Rayyan, saya sentiasa memikirkan mampukah saya menjadi seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab seperti bapa saya. Kini saya mula mengerti inilah perasaan golongan bapa yang selalu berusaha dan sanggup melakukan apa sahaja, demi kebahagiaan anak-anak,” ujarnya yang sempat mengucapkan terima kasih dan Hari Bapa kepada bapanya, Mohd Yusup Abdul Rahman, 57.

Mengimbas kembali saat isterinya hamil, Faisal yang pernah membintangi drama Neon, Zarul vs Zarina, Surat untuk Bulan dan telenovela Manjalara, melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta tidak mengalami sebarang alahan yang teruk apatah lagi mengidamkan makanan yang pelik-pelik.

KELUARGA bahagia Mohd Faizal Ismail (kiri), Nurkhairina Iman dan isteri, Norazlina Ahmad Din.

Kebanyakan makanan yang diidamkan mudah untuk didapati dan disediakan. Tambahnya: “Pernah juga, selesai saja penggambaran, Nana menghubungi bahawa dia teringin benar mengunyah donat dan minta saya membelinya. Tapi, dia hanya mahukan donat J. Co di Pavilion.

“Maka, terpaksalah saya beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan donat. Tidak mengapa asalkan Nana gembira. Namun, saya rasa sedikit kecewa kerana tidak dapat membeli biskut kegemarannya, Famous Amous, pada waktu itu.

Bukan itu sahaja, Faisal memberitahu, ketika kandungan Nana berusia tiga bulan, dia turut mengalami masalah mengidam. Setiap hari dia ingin menikmati buah durian, sedangkan, Faisal bukanlah penggemar raja buah itu.

Sementelah wajah Nana disolek, Faisal yang mengambil tugas menjaga dan melayan Rayyan. Cukup terserlah ciri-ciri seorang bapa dalam dirinya. Tatkala bayi comel seberat 6.9 kilogram itu menangis, Faisal langsung tidak menunjukkan reaksi kelam kabut atau memerlukan bantuan Nana, sebaliknya dengan pantas memberikan anaknya susu.

Dia juga menukarkan lampin dan baju, sebelum mendodoikan Rayyan yang tertidur dalam kereta sorong. Jelas penggemar sukan takraw ini, dia tidak pernah mengalami sebarang kesukaran menjaga anaknya. Lagipun anaknya tidak banyak meragam dan menangis kecuali ketika lapar dan hendak tidur.

Faisal memberitahu, meskipun sibuk dengan penggambaran drama, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Ketika Nana sarat hamil, Faisal turut membantu menggemas rumah, menyapu sampah, memasak dan membeli keperluan bayi.

“Tapi, biasalah bab memilih pakaian dan perkakas bayi, si ibulah yang paling teruja. Nana banyak membeli pakaian bayi berona ceria seperti biru, putih dan kuning kerana ia sesuai digayakan oleh bayi lelaki. Namun begitu sewaktu sibuk membeli saya menyarankan supaya tidak membeli baju yang berjenama dan mahal harganya.

KELETIHAN Mohd Faizal Ismail bekerja seharian di konti hilang sebaik bertemu ‘buah hati’nya, Nurkhairina Iman.

“Ini kerana saiz badan bayi cepat membesar, membazir sahaja. Lagipun, tak nak biasakan Rayyan dengan pakaian yang mahal,” ujarnya yang lebih mementingkan soal kualiti dan keselesaan.

Sementara itu, penyampai radio Hot. FM, Mohd Faizal Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan FBI, 32, bersama puteri tunggalnya, turut berkongsi saat-saat manis dan pahit tatkala pertama kali bergelar bapa.

Pertemuan yang diaturkan di rumahnya di Bandar Sri Damansara, sentiasa riuh dengan gelak ketawa. Mengapa? Mengusik orang bukan sahaja ada pada diri FBI, malah isteri dan anaknya.

“Beginilah kehidupan saya sebagai seorang bapa dan suami. Meskipun penat dengan tugasan harian di konti radio mahupun pengacara, tapi penat itu akan hilang sebaik sahaja pulang ke rumah. Ini kerana saya akan digembirakan oleh anak saya, Nurkhairina Iman, 6 tahun.

“Saya dan isteri memanggilnya Kayna. Terus-terang saya katakan, Kayna adalah segala-galanya buat diri saya. Terlalu banyak perkara yang perlu saya tempuhi sebelum melihatnya lahir,” jelas FBI yang turut menjadi pengacara rancangan Muzik-Muzik di TV3.

Jelas Faizal, perasaannya bukan sekadar teruja malah diselubungi rasa gementar sebelum bergelar bapa. Sepanjang mengandungkan Kayna, isterinya, Norazlina Ahmad Din, 32, mengalami masalah alahan yang teruk, sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital sebanyak empat kali.

Lebih membimbangkan, saat Norazlina melahirkan Kayna. Doktor menyarankan Norazlina bersalin melalui pembedahan kerana tali pusat Kayna sudah terbelit di leher. Demi menyelamatkan dua nyawa, FBI akur dengan arahan doktor.

WALAUPUN pertama kali bergelar bapa, Faisal tidak kekok melayan kerenah anak sulungnya, Muhammad Rayyan Nakhaie.

“Masa mengisi borang untuk pembedahan, hanya Tuhan sahaja yang mengerti perasaan saya. Menggigil memegang pen. Saya turut berada di samping isteri di bilik pembedahan dan isteri juga dalam keadaan separuh sedar. Syukur, semuanya selamat.

“Perasaan gementar untuk bergelar bapa buat kali kedua, sekali lagi menerpa. Jika anak pertama kami, isteri terpaksa masuk wad sebanyak empat kali, tapi kali ini Norazlina terpaksa masuk sembilan kali untuk kelahiran yang kedua,” luah Faizal mengenai arwah anak lelakinya, Adam Haikal Iman yang hanya sempat bersama selama 12 hari sahaja.

Tambah Faizal, Adam bukan sahaja lahir tidak cukup bulan, malah berat badannya juga hanya 2.17 kilogram. Sekali lagi, FBI perlu mengisi borang pembedahan kerana bayi perlu dilahirkan lebih awal memandangkan isterinya mengalami hipertensi.

Pada hari kesembilan kelahiran Adam, bayi itu terpaksa dihantar ke hospital kerana mengalami demam kuning selama dua hari. Belum pun sempat menarik nafas lega, Faizal dikejutkan pula dengan berita yang anak lelakinya ada masalah ritma jantung laju.

“Takdir menentukan Adam meninggalkan kami pada 29 April 2008. Meskipun sedih dengan pemergian zuriat yang dinanti-nantikan selama lima tahun, saya dan isteri reda. Kehidupan perlu diteruskan,” jelas anak kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Kosmo

Siti Nordiana Mengandung Anak Lelaki

27 Jan

TAHNIAH Joyah nak ucapkan kepada penyanyi Siti Nordiana kerana sedang mengandung tujuh bulan. Apalah serinya sebuah perkahwinan tanpa kehadiran cahaya mata dan pasangan Siti Nordiana dan Faizal Yusop pastinya kini sedang berbunga bahagia menunggu kelahiran anak sulung mereka.

April ini nampaknya mereka bukan sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan yang kedua malah akan menerima kehadiran ‘orang baru’.

Joyah pasti kedua-duanya begitu teruja. Apalagi khabarnya pasangan itu akan menerima kehadiran cahaya mata lelaki.

Kata Siti Nordiana kepada teman Joyah, dia mengambil keputusan menetap di kampung selepas melahirkan nanti.

“Dia nak berpantang di rumah orang tuanya di Felda Sendayan, Negeri Sembilan dan mahu berehat sepuas-puasnya,” kata teman itu kepada Joyah.

Powered by Utusan Malaysia

Faizal Botak Kerana Nana

22 Oct

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

MELIHAT pada penampilan Faizal Yusop yang berambut pendek (hampir botak) itu, pasti ramai yang sangka dia sedang berlakon drama bercorak kepolisian.

Sebenarnya Faizal membotakkan kepala bukan kerana kesinambungan watak tapi disebabkan nazar.

Kata Faizal, dia bernazar untuk membotakkan kepala jika isterinya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana hamil. Kini Nana hamil hampir empat bulan.

“Saya pernah terfikir untuk membotakkan kepala jika Nana hamil. Jadi bila Nana sah hamil, saya pun tunaikan hajat itu sebab rasa gembira kerana kami bakal menimang cahaya mata,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa tidak lama dulu.

Faizal yang merupakan antara pelakon lelaki terlaris masa kini, baru sahaja selesai berlakon drama Tuhan Pun Tahu. Kini dia mendapat kepercayaan untuk memegang watak utama dalam drama Coklat.

Menerusi drama arahan Zulkifli M.Osman itu Faizal memegang watak Jufry yang menghidap HIV.

Katanya, untuk menjiwai watak tersebut dia banyak membuat kajian dan menonton filem.

“Saya terima tawaran untuk berlakon Coklat kerana saya tertarik dengan watak Jufry yang menghidap HIV. Saya harap drama ini dapat memberi persepsi baru kepada penonton kelak,” katanya penuh harapan.

Faizal yang berpasangan dengan Zarina AF2 itu berkata, dia lebih senang meneliti watak sebelum memberi kata putus untuk berlakon.

Pelakon itu juga berharap di masa akan datang berpeluang bergandingan dengan Noorkhiriah.

“Setiap kali berjumpa Noorkhiriah, saya mesti puji lakonan dia. Saya berkata yang benar. Disebabkan lakonannya itu, saya berharap dapat berlakon dengan dia,” jelas Faizal yang pernah muncul dalam filem Gong.

*Emleda Rosmila belum bersedia

Sementara Emelda Rosmila, 27, yang sering dipanggil Manja oleh peminat-peminat kerana wataknya dalam drama bersiri Manjalara itu berkata, dia belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Emleda yang sudah dua tahun mengenali pelakon Adlin Aman Ramlie dan menjalin hubungan cinta itu memberitahu sekarang ini tumpuan utamanya adalah karier.

“Saya sendiri tidak tahu dari mana pihak itu dapat sumber yang mengatakan saya akan berkahwin dalam waktu terdekat ini. Memanglah saya dan Adlin ada merancang ke arah itu tapi bukan dalam waktu terdekat ini.

“Sekarang ini kami sibuk dengan karier. Soal jodoh ini kita tidak boleh nak tentukan tarikh. Saya sendiri pun tidak mahu melengahkan perkara baik tapi setakat ini saya hanya boleh berkata waktu itu belum tiba lagi,” katanya sambil tersenyum.

Pelakon yang pertama kali diperkenalkan menerusi drama Aishah, terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2003 telah berlakon lebih 40 buah drama. Antara drama lakonannya ialah Marikas dan Natasha. Sementara filem pertama lakonan Emelda ialah Cinta Terakhir arahan Adam Hamid.

Powered by Utusan Malaysia

Bintang Klasik Nasional 2007 — Tonjol Bakat Anak Muda

7 Aug

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

BINTANG Klasik Nasional 2007 (BKN 2007) yang diadakan dengan jayanya pada malam Jumaat lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) boleh dianggap sebagai pemangkin kepada anak muda zaman sekarang untuk terus menghargai karya malar segar yang sebahagiannya sudah luput dari ingatan.

Masakan tidak, di kala anak muda hari ini dihidangkan dan dijajah dengan muzik luar yang adakalanya kosong dan tidak membawa sebarang pengisiannya, rupanya masih ada lagi yang masih mahu mengabadikan lagu-lagu klasik dan malar segar di dalam hidup mereka.

Pada malam bersejarah itu, seramai 12 peserta iaitu masing-masing enam lelaki dan wanita yang mewakili enam zon iaitu zon utara, tengah, selatan, timur, Sabah dan Sarawak berjaya mempamerkan persembahan yang cukup menghiburkan dan meyakinkan.

Masih lagi ada rupanya yang menyayangi muzik klasik. Di kala anak muda tidak lagi mengenali lagu-lagu dendangan Allahyarham Puan Sri Saloma, Asiah Tuah dan Zainal Abu, setidaknya BKN 2007 telah membuka ruang itu kepada orang ramai untuk mengetahui penyanyi asal lagu-lagu tersebut.

Penghayatan yang ditonjolkan oleh setiap peserta begitu berkesan dan tidak keterlaluan dikatakan, kesemua peserta yang bertanding mampu menjadi pelapis kepada penyanyi-penyanyi yang sedia ada jika diberi peluang sebaiknya.

Inilah dikatakan keistimewaan yang tiada pada pihak lain melainkan RTM yang berjaya mencungkil bakat-bakat baru yang berlandaskan sepenuhnya kepada bakat dan bukannya rupa dan personaliti yang mampu mencuri perhatian peminat.

BKN 2007 juga mencipta sejarah tersendiri apabila diadili sepenuhnya oleh juri profesional dan tidak menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti mana pertandingan pencarian bakat baru yang lain.

Sedar tentang bakat yang dicari dan bukannya rupa, ketegasan RTM menggunakan khidmat juri profesional adalah satu langkah yang bijak dalam menjamin bakat tidak akan pernah pudar dan akan terus dikenang sehingga ke akhir hayat.

BKN 2007 sudah pasti membawa seribu kenangan bagi Muhaizam Ahmad dan Anis Salwa Alauddin yang berjaya dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita. Mereka berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 10,000, sijil dan trofi.

Ternyata bakat terpendam mereka berjaya mencuri perhatian juri iaitu Ruslan Imam, Akhbar Nawab, S. Atan, Abbas Bakar dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri untuk menobatkan mereka sebagai juara.

Setiap pemenang diadili berdasarkan pemarkahan yang merangkumi 50 peratus berdasarkan mutu suara dan 25 peratus masing-masing untuk pengawalan suara dan penghayatan.

Muhaizam yang mewakili zon tengah berjaya membawakan lagu keramat Datuk Ahmad Jais, Mengharap Sinar Menelan Kabus dengan cukup baik dan bersahaja. Meskipun, adakalanya suaranya kedengaran seperti Ahmad Jais dan Haziq AF4, namun, bagaikan kata empunya diri, sudah suaranya dikurniakan Illahi sebegitu, tiada mampu untuk dia berkata apa.

“Saya tidak cuba meniru Ahmad Jais tetapi menjadikan lagu-lagunya sebagai panduan dalam persembahan. Saya tidak mahu di cop sebagai klon dan mahu orang mengenali diri saya sebagai Muhaizam Ahmad.,” katanya yang masih lagi terkejut dengan kemenangannya itu.

Tambahnya, andai kata dia diberi peluang memilih lagu sendiri tanpa ditetapkan oleh RTM, dia mahu membawakan lagu Gelisah juga dendangan Ahmad Jais kerana lagu tersebut mampu mencabar vokalnya.

Bagi johan kategori wanita, Anis Salwa pula, membawakan lagu Teratai dendangan asal Saloma pada malam pertandingan itu, melenyapkan segala kata-kata mereka yang tidak mempercayai kebolehannya membawakan lagu yang dianggap sukar untuk dibawa itu.

“Masa pertandingan di peringkat zon tengah, saya membawakan lagu Madah Pujangga, juga nyanyian asal Saloma. Apabila terpilih menyanyikan lagu Teratai, saya agak tertekan kerana ada yang mempertikaikan kebolehan saya membawakan lagu tersebut. Namun, kejuaraan ini meleraikan segalanya,” jelasnya terharu.

Muhaizam dan Anis Salwa akan mewakili negara ke peringkat akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 yang melibatkan juara dari negara-negara serumpun iaitu Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia yang bakal diadakan pada 7 September depan di PWTC.

BKN 2007 juga menampilkan artis-artis undangan seperti Dia Fadilla, Sarah Raisuddin, Bob AF2, Velvet dan Haziq AF4, Siti Nordiana dan Achik.

Malah segmen Masihkah Kau Ingat? yang menampilkan lagu-lagu cinta malar segar dendangan David Arumugam, Aris Ariwatan, Ramli Sarip dan Antonio dari kumpulan Sweet September berjaya mencuri perhatian dengan lagu-lagu klasik mereka.

Powered by Utusan Malaysia