Archive | Syafinaz RSS feed for this section

Wanita Dan Emas

29 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Barang perhiasan bakal menyerikan penampilan Salamiah, Atilia, Syafinaz dan Hunny Madu

WANITA dan perhiasan sememangnya cukup intim. Bagai tidak sah apabila seseorang wanita tidak menyukai barang kemas atau perhiasan. Pendek kata, tidak lengkap penampilan mereka jika tidak diserikan dengan sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang.

Empat penyampai trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16, Salamiah Hassan, Atilia Haron, Syafinaz Selamat dan Hunny Madu turut mengakui kecintaan mereka terhadap barang kemas, terutama yang diperbuat daripada emas, berlian atau permata.

Pada kemunculan mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu ini, empat wanita terkenal ini bakal melengkapkan penampilan dengan barangan perhiasan daripada Fa’iq Jewels yang berpangkalan di Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, mereka berkunjung ke kedai barangan perhiasan berkenaan, untuk memilih sendiri aksesori sesuai dengan gaun pilihan masing-masing. Ketika semuanya terpesona dengan gemerlap emas dan kilauan berlian Fa’iq, mereka sempat berkongsi cerita mengenai minat terhadap barang kemas serta koleksi peribadi.

Kata Salamiah, dia memang menyukai barangan perhiasan yang diperbuat daripada emas, mutiara dan batu permata berharga. Dia sendiri mempunyai koleksi yang dianggap cukup bernilai lagi sentimental, seperti batu zamrud dan pertama yang berada dalam simpanannya buat sekian lama.


EMPAT selebriti ini terpesona dengan barang perhiasan Fa’iq Jewels.

“Batu zamrud itu umpamanya, dihadiahkan oleh ibu saya. Saya turut menyimpan seutas cincin berlian yang cukup lama usianya. Barangan seperti itu, semakin lama usia, semakin tinggi nilainya,” kata penyanyi veteran berkenaan yang turut mengubah suai bentuk barang kemasnya untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Jika ke kedai emas pula, kata penyanyi bersuara lunak ini, pastinya dia akan menuju ke bahagian jualan cincin terlebih dulu, di samping meneliti subang gantung yang turut menjadi hiasan pilihan.

Sama seperti ibunya, penyanyi Atilia sukakan koleksi subang dan cincin. Begitupun, sejak akhir-akhir ini, minatnya terhadap gelang tangan semakin menjadi-jadi.

“Dalam koleksi saya, paling banyak disimpan tentulah subang. Apabila kita menggayakan rambut yang di sanggul, hiasan itu akan lebih menyerlah,” ujar wanita yang mengaku boleh membeli barang kemas di mana-mana saja, asalkan ada koleksi yang memikat hatinya.


GAYA Syafinaz dengan perhiasan pilihannya.

Ditanya mengenai barang kemas paling berharga, tanpa ragu-ragu Atilia mendedahkan, seutas rantai jed yang diberikan ibunya ketika dia berusia lapan tahun ialah koleksi paling bernilai buatnya.

“Saya pasti berada dalam masalah besar sekiranya rantai ini hilang,” katanya sambil disulam ketawa manja.

Beli tidak pilih tempat

BAGI Syafinaz, dia juga tidak memilih tempat untuk membeli barang kemas atau aksesori. Pernah pada satu ketika, dia berkunjung ke sebuah pusat-beli belah di Bangkok pada awal pagi. Di situ, dia terpandang aksesori yang memikat hatinya dan tanpa berfikir panjang, barang berkenaan menjadi miliknya beberapa minit kemudian.

Syafinaz yang meminati berlian sebenarnya mempunyai pengalaman buruk apabila bercerita mengenai barang perhiasan.

“Saya mempunyai sebuah kantung yang banyak menyimpan cincin, subang dan gelang. Saya menyimpan aksesori terbabit di dalam kantung bagi memudahkan urusan penjagaan. Selalunya, saya memang akan sentiasa memeriksa kantung itu, untuk memastikan barang kemas terjaga dengan sempurna.

“Sayangnya, ada satu ketika, saya terlupa memeriksa bekas simpanan itu untuk tempoh dua minggu lamanya. Apabila saya ingin berbuat demikian, semuanya sudah hilang!” cerita Syafinaz yang enggan memikirkan sangat mengenai kerugian dialaminya itu, bagi mengelakkan kesedihan.

Kini, dia sedikit demi sedikit cuba mengumpul semula barangan berkenaan.

Penyampai radio Fly FM yang baru muncul dengan album single, Hunny Madu pula mengaku lebih gemar membeli baju dan barangan perhiasan diri di luar negara, bagi mengelakkan berlakunya persamaan dengan milik orang lain.

Sesekali terbang ke Indonesia atau Thailand, dia pasti pulang dengan beg yang sarat. Tidak berkira mengenai harga, yang penting dia memiliki barangan yang cantik dan berbeza.

“Manakala bagi aksesori pula, saya sukakan sesuatu yang agak besar dan jelas kelihatan. Contohnya, jika memakai gelang, biar ia nampak di tangan,” kata Hunny yang turut menggemari kasut edisi terhad.

Dalam bergaya, katanya, dia lebih suka tampil dengan suatu kelainan. Justeru, aksesori yang melengkapkan gayanya juga perlulah berbentuk lebih moden dan terkini. Namun begitu, wanita ini memberitahu, dia berasakan dirinya belum sampai ke tahap untuk mengumpul barang kemas daripada emas, sebaliknya lebih gemarkan aksesori yang diperbuat daripada platinum.

Berita Harian

Tiada Pilih Kasih

27 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16

TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.

Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.

“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.

Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.

“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.

“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.

“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.

Ketengahkan single terbaik bukan popular

Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.

“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.

“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.

“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.

Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.

Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.

Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.

“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.

Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.

Berita Harian

Tomok Belum Selamat

27 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

TIGA wajah yang memburu ganjaran lumayan OIAM iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

TIGA nama mengesahkan tempat ke acara kemuncak One In A Million (OIAM) di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat ini iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

Bagaimanapun, pengesahan itu belum melegakan mereka apabila produksi OIAM masih berteka-teki mengenai peluang siapa yang layak merangkul hadiah lumayan ditawarkan iaitu RM1 juta. Berdasarkan format musim kedua, hanya dua peserta layak ke final.

Penerbit Eksekutif OIAM, Sunil Kumar, berkata undian menentukan jumlah finalis beraksi pada final OIAM boleh dilakukan menerusi laman web rasmi pertandingan itu: http://www.8tv.com.my/oiam.

“Kalau undian peminat cenderung memilih tiga peserta bertanding di final, pengiraan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikira sejak Jumaat lalu akan menentukan siapa sebenarnya dua peserta muncul pada malam kemuncak nanti.

“Jadi, penonton diingatkan meneruskan sokongan kepada peserta kegemaran dengan menghantar undian SMS,” jelas Sunil.

Malam penentuan OIAM di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu memperlihatkan ketiga-tiga finalis berusaha keras mencuri perhatian peminat menerusi persembahan bertemakan Minggu Pilihan Juri dan Peminat.

Sekali pun sentiasa memberi persembahan mengujakan dan konsisten setiap minggu, peluang Tomok atau nama penuhnya, Shah Indrawan Ismail, 24, untuk bergelar juara sukar diramalkan.

Berdasarkan rekod lalu, peluang peserta yang berpengalaman sebagai artis rakaman untuk mara dan menjulang kejuaraan sering dinafikan.

Musim pertama menyaksikan Dayang Nurfaizah tersingkir selangkah menjelang acara kemuncak OIAM. Jejak Dayang dituruti Sarah Raissuddin yang terpaksa akur undian peminat tidak berpihak kepadanya, sebaliknya dua nama baru iaitu Ayu dan Shila diberi kepercayaan penonton untuk meneruskan cabaran mereka.

Bagaimana pula dengan nasib Tomok? Hanya masa menentukan kerana ketika persaingan penentuan Jumaat lalu, undian penonton lebih berpihak kepada Esther atau Elizabeth Applunius Chin dan Aweera atau Nasharul Aweera Noriyissham.

Esther selesa dengan 32.4 peratus undian, manakala Aweera mengekori dekat dengan 31.6 peratus sedangkan Tomok hanya 24.2 peratus. Seandainya tuah tidak berpihak kepadanya, Tomok tidak perlu kecewa kerana dia keluar bermaruah.

Seperti kata pengkritik tetap OIAM, Syafinaz Selamat yang ditemui pada sidang media selesai persembahan, siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara OIAM nanti sememangnya layak menerima gelaran itu.

Perjalanan panjang Nine

BUKAN perkhabaran mengejutkan, malah penyingkiran pemuda berusia 27 tahun yang memiliki nama penuh, Zulqarnain Jaafar atau Nine sememangnya sudah dijangka.

Lama berada pada kedudukan goyah dan Jumaat lalu, penantian Nine terjawab apabila dia menjadi peserta kesembilan meninggalkan OIAM.

“Saya tidak pernah menjangka akan sampai ke Top 4,” kata vokalis kumpulan Coco yang cenderung kepada genre rock ini.

Dihimpit pelbagai kontroversi dan cerita panas, namun itu bukan penyebab Nine tersingkir. Sebaliknya dia akur, kejanggalan beraksi solo membuatkan persembahannya terumbang-ambing sepanjang pertandingan.

“Mungkin itu juga antara faktor penyumbang namun saya sudah cuba memberikan yang terbaik. Sukar untuk saya bertahan sampai ke tahap ini kerana kesemua 12 peserta hebat dan berbakat besar,” katanya.

Mengulas penyingkiran Nine, Syafinaz berkata, pemuda itu kehilangan magis yang dibawanya ketika mula menyertai uji bakat OIAM.

Nine katanya, seorang yang kelakar, spontan serta menghiburkan malangnya semua elemen itu hilang apabila dia berdiri di pentas OIAM.

Berita Harian

Tomok Tersenarai Tiga Finalis OIAM

25 Apr

SHAH ALAM: Vokalis kumpulan remaja popular, New Boyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail mengesahkan kedudukannya ke acara kemuncak program realiti One In A Million (OIAM) pada 1 Mei nanti.

Pengesahan Tomok sebagai antara barisan finalis OIAM diumumkan pengacara, Awal Ashaari dan Marion Caunter pada konsert mingguan ke-9 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, di sini malam tadi.

Tomok, 24, yang pernah melahirkan lima album bersama New Boyz ialah antara peserta yang konsisten dan sentiasa memberikan kejutan dalam persembahannya sepanjang OIAM berlangsung.

Bagaimanapun, ia bukan jaminan kepada Tomok untuk meraih kejuaraan kerana dia disaingi hebat dua finalis lain, termasuk Elizabeth Applunius Chin atau Esther.

Kekuatan bakat peserta berusia 21 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah itu diakui pengkritik profesional, Syafinaz Selamat dan Paul Moss yang memuji persembahannya setiap kali konsert mingguan.

Turut mara Nasharul Aweera Noryissham atau Aweera. Namun, debaran mereka belum berakhir kerana akan melalui satu lagi proses penyingkiran awal acara kemuncak OIAM nanti.

Hanya dua peserta yang meraih undian SMS tertinggi daripada penonton diberi peluang beraksi peringkat final. Konsert malam tadi juga menyaksikan persembahan terakhir Zulqarnain Jaafar atau Nine apabila peserta kesembilan tersingkir.

Berita Harian

Nine Akur Tersingkir

25 Apr

Oleh Elrafaei Sapi


SHAH ALAM: Hasrat peserta Zulqarnain Jaafar atau Nine untuk ke peringkat akhir program realiti, One In A Million musim ketiga (OIAM3) berakhir apabila tersingkir pada saingan minggu ke-10 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.

Keputusan penyingkiran Nine, 27, diumumkan pengacara Awal Shaari bersama Marion Caunter yang turut disiarkan secara langsung menerusi 8TV.

Nine mendapat markah terendah SMS penonton sebanyak 11.8 peratus manakala peserta Elizabeth Applunius Chin atau Esther menduduki tempat teratas dengan undian sebanyak 32.4 peratus diikuti Nasharul Aweera Noriyissham atau Aweera, 31.6 peratus dan Shah Indrawan Ismail atau Tomok (24.2 peratus).

Kata Nine, dia akur dengan keputusan peminat apabila gagal mara ke peringkat akhir kerana mendapat undian SMS terendah. Dia yang sepatutnya mempertaruhkan lagu Aku Dan Kamu, pilihan juri dan lagu Karma, pilihan penonton gagal memikat penonton pada persembahan minggu lalu kerana dikatakan mempunyai perasaan gemuruh.

 

 

“Saya percaya perasaan gemuruh kelihatan ketika membuat persembahan. Ramai yang bertanya kenapa saya nampak gemuruh ketika membuat persembahan?

“Bagaimanapun saya tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan apa jua jenis lagu sekali pun,” katanya.

Persembahan setiap peserta turut diadili dua juri profesional iaitu Syafinaz Selamat dan Paul Moss.

Pada saingan malam tadi, setiap peserta menyampaikan dua lagu. Tomok menyampaikan lagu Crazy In Love dan Cuba; Esther dengan lagu Better In Time dan Won’t Go Home Without You manakala Aweera menerusi lagu Gemilang dan Aku Dah Bosan.

Ini bermakna, tiga peserta yang tergolong Top 3 iaitu Tomok, 24; Esther, 21; dan Aweera, 18, akan bertanding di peringkat akhir di Stadium Malawati pada 1 Mei ini jam 8.30 malam.

Harian Metro

Raptai Penuh Penentu OIAM3

23 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
SABAN minggu sebelum konsert rancangan realiti One In A Million musim ketiga (OIAM3) disiarkan setiap Jumaat, jam 9.30 malam di 8TV, pihak produksi sudah membuat persiapan lebih awal.

Penerbit Eksekutif OIAM3, Sunil Kumar yang ditemui baru-baru ini. berkata perancangan awal perlu dibuat bagi memastikan rancangan yang disiarkan secara langsung berjalan lancar.

“Menghasilkan rancangan realiti tidak mudah kerana ia menuntut perhatian penuh kerana kita cuba merakam perjalanan kehidupan dilalui peserta setiap minggu. Apatah lagi konsert disiarkan secara langsung.

“Kalau boleh rancangan ini perlu ada kesinambungannya, biar penonton dapat merasai apa yang dipersembahkan peserta selepas melihat aktiviti dan persiapan dilakukan mereka dalam Diari OIAM3 yang disiar setiap Isnin, Selasa dan Khamis, jam 11.30 malam juga di 8TV,” katanya.

Wartawan Rap sempat berkunjung di lokasi konsert OIAM3 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam memerhatikan bagaimana sesi latihan dibuat, sehari sebelum konsert berlangsung.

Waktu itu seorang pesertanya, Elizabeth Applunius Chin atau Esther sedang mengikuti raptai penuh yang dilakukan produksi.

Menyaksikan Sunil di dalam bilik kawalan, dia kelihatan begitu serius. Baginya sesi raptai penuh menjadi penentu terhadap apa yang akan disiarkan pada malam konsert berlangsung.

“Visual yang dirakam jurukamera harus tepat. Begitu juga dengan pencahayaan lampu. Ia perlu diberi perhatian bagi mengelakkan berlaku keadaan di mana penonton melihat wajah peserta dan pentas kurang jelas dan kelam.

“Bagi produksi rancangan realiti dan siaran langsung konsert yang dilakukan OIAM3, perlu ada latihan berkali-kali kerana menerusinya kita dapat memperbaiki segala kelemahan dan mengelakkan berlaku kesilapan. Sebaik konsert bermula kakitangan produksi seharusnya tahu apa yang perlu dilakukan.

“Apabila latihan sudah di buat kejayaan konsert bergantung penuh kepada kreativiti peserta bagaimana hendak mempersembahkan lagu mereka,” katanya.

 

 

Jelas Sunil lagi dia tidak berhadapan masalah untuk mengendalikan rancangan ini, kerana serasi bekerja dengan kakitangan yang ada sejak diberi tanggungjawab menghasilkan satu lagi rancangan realiti, So You Think You Can Dance dua tahun lalu.

“Cabaran yang terpaksa kami hadapi tahun ini adalah kekangan dari sudut kos penerbitan. Seperti yang diketahui umum negara sedang berhadapan dengan masalah kemelesetan ekonomi. Produksi penerbitan rancangan televisyen seperti kami turut terasa tempiasnya.

“Kos untuk menghasilkan rancangan realiti TV seperti OIAM3 ini besar tetapi kerana masalah kewangan ia terpaksa dikurangkan. Begitupun ia langsung tidak memutuskan semangat kakitangan produksi untuk bekerja dengan lebih baik.

“Sebagai Penerbit Eksekutif rancangan ini terus terang saya bertuah kerana mempunyai kakitangan yang tidak berkira soal tenaga dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada penonton setia OIAM3,” katanya.

Begitupun sepanjang musim rancangan ini diterbitkan selaku Penerbit Eksekutif, Sunil tidak terlepas daripada berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan apabila rancangannya dikecam hebat gara-gara sikap pengkritik yang dikatakan agak celupar dan kasar sewaktu memberikan komen.

“Apa yang dilakukan pengkritik seperti Syafinaz Selamat dan Paul Moss adalah untuk kebaikan peserta.

“Seperti yang kita ketahui, Syafinaz dan Paul yang memilih peserta untuk musim ini, jadi mereka kenal rapat dengan mereka dan tahu apa yang mampu peserta ini lakukan.

“Atas alasan itu apabila ada peserta gagal melakukan persembahan dengan baik, Syafinaz mahupun Paul akan berasa kecewa dan mengeluarkan kritikan pedas.

“Bagaimanapun penjelasan terhadap isu dibangkitkan sudah pun diberikan oleh pengkritik sendiri, dan nampaknya penonton setia boleh menerima dan memahaminya.

“Pada saya sendiri selaku penerbit menganggap ianya adalah perkara biasa berlaku dalam rancangan realiti.

“Tidak dinafikan kontroversi boleh mengangkat satu-satu rancangan, namun pada saya secara peribadi biarlah ia boleh mendatangkan kebaikan kepada peserta rancangan itu sendiri dan bukan boleh menjatuhkan mereka,” katanya.

Borak Lokasi

Penerbit Eksekutif: Sunil Kumar

Penerbit Kanan: Zebedee Ernest De Costa

Penerbit/Pengarah: Nazatul Fariz Mohd. Aziz

Penerbit: David Leong Chee Mun

Penulis Skrip Kanan: Tania Sapuan

Penulis Skrip: Shelby Ng

Penata Rias Peserta: Peter Lum

Mentor Persembahan Pentas: Pat Ibrahim

Mentor Keseluruhan Persembahan: Juwita Jalil

Mentor Vokal: Ning Baizura

Pelatih Vokal: Yuaz

Pengarah Muzik: Aubrey Suwito

Penolong Penerbit: Joyce Huan

Penolong Penerbit: Nicole Goh

Penolong Penerbit: Anusha Peterson

Penolong Penerbit: Krishna Pathmasingam

Penolong Penerbit: Ganesh Venugopal

Editor Kanan: Howie Chin

Editor: Shivadas Menon Narayinan

Editor: Desmond Prashan D’Cruz

Penolong Penerbit: How Kitvy

Penolong Penerbit: Jason Robert

Penolong Penerbit: Asman Mansor

Pembantu Teknikal: Prabha Krisnan

Penjaga Peserta: Radlin Ramsah

Penjaga Peserta: Alif Yusri Ahmad Anuar

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

'Populariti Nombor Dua'

22 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

NAMANYA mungkin tidak sepopular Siti Sarah, Misha Omar atau Azharina Azhar, namun penyanyi Dia Fadila tetap bersyukur dengan pencapaiannya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.

Malah, Dia atau nama sebenarnya, Nur Nadia Fadila Abu Bakar, Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) 2005 ini sudah mampu tersenyum kerana mempunyai hala tuju sebagai anak seni dan pada masa sama, bakat seninya juga mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Ada orang bertanya kenapa bakat saya tidak diiktiraf di negara sendiri? Jawapan saya mudah saja, anugerah dan pengiktirafan di sini dinilai dari segi populariti dan bukannya bakat seseorang artis.

“Apapun, saya tidak kisah orang kata nama saya tidak popular seperti artis muda lain. Terus terang, saya menceburi bidang seni untuk menonjolkan bakat sedia ada dan melihat bakat saya sebagai satu bisnes untuk meningkatkan pendapatan sekali gus menyara keluarga.

“Soal populariti pula jatuh nombor dua kerana saya tidak mahu nama saja popular, tapi hakikatnya ‘poket kosong’.

“Jika ramai artis lain mengadu undangan persembahan semakin berkurangan, saya pula sebaliknya. Dalam kemelut ekonomi global, undangan persembahan tidak pernah putus diterima termasuk di luar negara. Saya juga ada kerja dan terbabit dengan pelbagai projek setiap hujung minggu.

“Selain itu, saya sudah tiga kali menjayakan persembahan untuk stesen TV di Vietnam. Terbaru, saya akan jayakan persembahan di sana sekali lagi hujung bulan ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Dia yang juga pemenang tempat kedua, Bintang Gala 2 1999 (Golden Teen Search) anjuran RTM berpeluang berkongsi ilmunya dengan peserta Bintang RTM 2009.

“Saya diundang menjadi penasihat vokal Pertandingan Bintang RTM 2009. Mungkin, ilmu saya ini tidak sebanyak mana, tapi berusaha memberikan yang terbaik kepada semua peserta yang juga bakat baru yang ingin mencari tapak di persada seni tanah air,” katanya. Lebih memberangsangkan, pada usia 25 tahun, Dia bergelar pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak September lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga mengajar vokal dan diction lyric (sebutan lirik) dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Jerman, Perancis dan Itali di Aswara.

 

 

“Saya memang bercita-cita menjadi pensyarah vokal sejak kecil dan impian itu akhirnya tercapai jua.

Sejak awal pembabitan dalam bidang seni saya memang sudah sediakan pelan B kerana saya sedar, industri hiburan kita kecil dan tidak seperti di Hollywood.

“Pada masa sama, bidang nyanyian juga ada pasang surutnya. Justeru, saya yakin keputusan untuk menjadi pensyarah dan menyambung pengajian dalam bidang muzik ini tepat sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Sekalipun sudah bergelar pensyarah sepenuh masa di Aswara, cinta Dia pada kerjaya nyanyian tidak pernah surut.

“Saya masih aktif menyanyi cuma mungkin orang tidak tahu kerana tidak ada publisiti dan nama saya juga tidak dikaitkan dengan kontroversi.

“Setakat ini, kerjaya nyanyian tidak terjejas kerana saya hanya mengajar dari jam 7.30 pagi hingga jam 5.30 petang setiap hari. Pada waktu malam dan hujung minggu, saya fokus pada kerjaya nyanyian pula,” katanya.

Bagaimanapun, Dia mengakui pada mulanya dia berasa malu dan janggal berhadapan dengan pelajar yang sebaya dengan usianya dalam kelas.

“Ada juga pelajar yang tidak boleh terima kerana usia saya sebaya mereka dan pada masa sama bergelar artis pula.

“Saya juga jadi tumpuan dalam kelas dan ada peminat yang ingin bergambar dan mengambil tanda tangan termasuk memegang rambut saya.

“Namun, saya berusaha meyakinkan mereka dengan kredibiliti saya dan menjadi diri sendiri. Lama kelamaan, pelajar boleh terima dan menghormati saya sebagai pensyarah mereka,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Dia berkata, dia ingin menempa nama seperti idolanya, penyanyi, pengkritik dan pensyarah vokal, Syafinaz Selamat.

“Saya berazam untuk berjaya sepertinya dalam kerjaya yang diceburi. Bagi melengkapkan ilmu sedia ada, saya juga akan menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang muzik pada Julai nanti. Insya-Allah, selepas itu, saya bercadang menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran pula nanti,” katanya.

Mengenai album pula, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music ini mempertaruhkan bingkisan album kompilasi terbarunya, Terbaik Dariku yang sudah menjengah pasaran awal tahun ini.

Album ini menampilkan 10 lagu yang juga dua lagu baru iaitu Satu Ruang dan Jat Da Da Da.

Satu Ruang adalah lagu yang dipetik menerusi filem Selamat Pagi Cinta yang dilakonkan Sharifah Amani dan Nur Fazura. Manakala Jat Da Da Da adalah lagu baru yang dicipta komposer dari Thailand.

Lagu lain ialah rangkaian lagu lagu popularnya antaranya Aku Masih Setia, Andai, Na Na Na…. Kataku, Tangisan Marhaenis yang juga lagu duet dengan Hattan, 14 Februari, Tiada Lagi Cinta, Tentang Cinta Ini (duet bersama Andy Flop Poppy), Tunggu Lalu, Takkan Terista dan Tiga Tahun. Ditanya mengenai teman istimewa pula, Dia mengakui hatinya sudah berpunya.

“Teman lelaki saya hanya orang biasa dan kami sudah berkawan selama dua tahun. Insya-Allah, jika ada jodoh, kami akan berkahwin tahun depan.

“Kalau nak diikutkan keluarga terutama ibu ingin melihat saya berumah tangga secepat mungkin, tapi banyak perkara yang perlu kami selesaikan terlebih dulu. Teman istimewa juga banyak menyokong saya dari belakang sejak dulu lagi,” katanya.

Profil

Nama Sebenar: Nur Nadia Fadila Abu Bakar

Tarikh Lahir: 23 September 1984

Asal: Selangor

Kerjaya: Penyanyi, pengacara dan pensyarah vokal di Aswara

Status: Bujang

Album: Dia (2004), Na Na Na Kataku (2007) dan kompilasi Dia Fadila Terbaik Dariku

Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.

Akademik: Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005, Juara Kategori Pop, Festival Melodi Emas Asean

2008 yang berlangsung di Ho Chin Minh, Vietnam pada 16 Oktober 2008.

Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersamaHattan).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro