Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

SERING dilanda gosip hasil laporan media Indonesia, kontroversi terbaru dihadapi pasangan ini berhubung dengan sorotan program, Melodi terhadap majlis resepsi pengantin lelaki.
SEUMUR hidup menjadi suami Bunga Cinta Lestari (BCL)! Itulah ikrar Ashraf Sinclair yang menjelaskan mengenai pernikahannya bersama bintang tersohor Indonesia itu merupakan suatu tanggungjawab yang besar buat dirinya sebagai seorang suami.
“Inilah teman yang saya pilih untuk hidup sehingga ke akhir hayat, walaupun masih gemuruh tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipikul untuk seumur hidup dan saya gembira saya lakukannya sekarang,” luah Ashraf sambil menghadiahkan senyuman paling manis buat Bunga.
Memang mudah untuk membuat ikrar sebagaimana yang dilontarkan dari mulut pelakon kacak yang cukup dikenali menerusi filem dan siri Gol & Gincu itu.
Namun, untuk menjaga kerukunan rumah tangga supaya kekal lama, dan kalau boleh selagi hayat dikandung badan merupakan suatu cabaran berat yang perlu digalas setiap pasangan yang berkahwin, tidak terkecuali Ashraf dan Bunga.
Sementelah, perkahwinan pasangan artis popular ada yang berakhir dengan perceraian.
Ditebak persoalan itu, Ashraf dalam tenang menitipkan bicaranya, bahawa keikhlasan hatinya menerima Bunga sebagai isteri dijadikan kekuatan untuk terus bertahan kerana dia sendiri mengakui kehidupan sebagai selebriti sememangnya banyak dugaannya.
Dan ia terbukti apabila majlis resepsi Ashraf di The Saujana, Subang, Jumaat lalu tidak semena-mena dilanda sedikit salah faham antara pasangan pengantin dan krew program Melodi. (Ikuti laporan mengenainya pada muka surat 40)
Mempercayai keutuhan hubungan mereka berdasarkan kepasa saling memahami dan percaya antara satu sama lain, tutur Ashraf, “Itu saja kekuatan kami untuk terus bersama. Walaupun di masa akan datang mungkin keluar cerita (gosip) yang lagi hebat, kami hanya percaya akan kami berdua saja bukannya percakapan orang lain.”
Gosip dan kontroversi negatif merupakan makanan pasangan ini sejurus mereka melangsungkan perkahwinan 8 November lepas, lebih-lebih lagi menerusi liputan agresif media di Indonesia yang disifatkan Ashraf mirip paparazi di Hollywood. Namun, Ashraf mengakui kepentingan media dalam menjana populariti mereka berdua sebagai artis.
“Di Indonesia, memang medianya agak agresif berbanding Malaysia, tetapi saya mengakui kerana itu juga yang meningkatkan populariti kami. Jadi ia sebenarnya saling membantu. Walaupun apa yang terjadi kelak, kami akan sentiasa jujur, ikhlas dan terus percaya antara diri masing-masing,” ujarnya lagi.
Justeru, dalam melengkapi kebahagiaan mahligai rumah tangga yang telah dibina, pastinya setiap pasangan suami isteri menginginkan zuriat. Meskipun baru sahaja bergelar suami isteri, Ashraf, 29, dan Bunga, 25, tidak janggal untuk membicarakan mengenai bakal zuriat mereka.
Menurut Ashraf yang menyifatkan kehadiran Bunga sebagai pelengkap hidupnya, dia merancang untuk mempunyai tiga orang cahayamata, namun sudah tentu ia bergantung kepada rezeki yang diberikan Tuhan.
“Tiga (orang) itu kira okeylah, kalau lebih pun tidak apa, terpulang kepada rezeki. Kami hanya merancang sahaja.”
Bunga bakal bersara?
Menyentuh mengenai perancangan hidup mereka selepas ini, kedua-dua Ashraf dan Bunga lantas tersenyum manis sebelum Bunga bersuara mengatakan yang dia akan berada di Kuala Lumpur buat seketika untuk mengenali dengan lebih dekat ahli keluarga Ashraf.
“Itu perancangannya, selepas itu kami akan ke Indonesia untuk berkenalan dengan keluarga saya pula dan selepas itu barulah kami akan pergi berbulan madu,” jelas Bunga.

BUNGA sanggup melakukan apa sahaja demi untuk bersama Ashraf dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.
Manakala tentang kerjaya masing-masing pula, kedua-dua mereka akan menumpukan perhatian terhadap perkara itu selepas pulang dari berbulan madu, sementelah Ashraf pula akan membina karier di Indonesia setelah mengikat kontrak lakonan selama dua tahun dengan pihak penerbitan di sana untuk 200 episod drama.
“Saya akan berkerja (berlakon) selama lebih kurang dua tahun di sana kerana saya sudah mengikat kontrak, tetapi ini bukan bermakna saya terus berada di Indonesia, kerana kami merancang sebulan sekali akan pulang ke Malaysia.
“Lagi pun kerjaya saya bermula di sini, keluarga saya juga di sini, oleh itu saya akan sentiasa ingat Malaysia walaupun mempunyai pekerjaan di sana (Indonesia),” akui Ashraf.
Tambah Ashraf, perniagaannya yang bertapak di Malaysia juga antara penyebab dia harus selalu berada di tanah airnya.
“Walaupun saya mendapat tawaran berlakon di sana, tetapi perniagaan saya di Malaysia akan berjalan seperti biasa, dan saya sendiri akan sentiasa memantaunya,” ujar Ashraf yang kadang-kala butir bicaranya terselit slanga Indonesia.
Dalam pada itu, Bunga tidak menolak untuk meninggalkan kerjaya seninya untuk mengikut suaminya.
“Tentang hal ini, kami berdua sudah banyak berbincang, dan rasanya ia bukan satu hal yang besar kerana kami sama-sama memahami keperluan masing-masing.
“Dan sebagai seorang isteri, saya harus mengikut ke mana saja suami saya pergi, walaupun terpaksa meninggalkan kerjaya. Tetapi sekarang ini kami sama-sama bina kerjaya di Malaysia juga di Indonesia,” tutur Bunga lagi.
Walaupun lahir daripada dua budaya yang berbeza, namun mereka berdua saling kagum dan terpesona dengan adat dan nilai bahasa yang berbeza.
“Meskipun kami telah berkahwin, tetapi sebenarnya kami masih lagi cuba memahami budaya dan bahasa masing-masing.
“Saya sendiri masih cuba untuk mempelajari bahasa Indonesia, kerana untuk memudahkan lagi komunikasi antara kami. Masih ada sesetengah tutur katanya yang kadang-kala saya sendiri masih tidak fahami,” ujar Ashraf.
Ringkas tetapi mewah
Selepas upacara akad nikah dan majlis resepsi keluarga bunga berlangsung penuh meriah di Jakarta, Indonesia, kini giliran pihak Ashraf pula mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur.

MAJLIS yang mengikut adat tradisi British ini berlangsung dalam suasana romantis.
Berkesempatan menghadiri majlis resepsi pada di The Saujana, Subang, Jumaat lalu yang bertemakan Inggeris, menyaksikan pasangan pengantin kelihatan cukup secocok apabila kedua-duanya mengenakan busana mengikut konsep Inggeris.
Majlis yang dimulakan dengan pasangan mempelai masuk ke dewan besar sambil diiringi dua pemuzik iringan kelihatan cukup gah, apabila kehadiran mereka disambut dengan penuh rasa hormat oleh semua tetamu yang hadir.
Jika kebiasaannya acara memotong kek merupakan acara yang terakhir dalam kebanyakan majlis perkahwinan, berlainan pula dengan majlis resepsi pasangan ini yang mendahulukan acara memotong kek. Seperti kata dua pengacara majlis, Sazzy Falak dan Kit, ia merupakan adat majlis perkahwinan British.
Bukan itu sahaja, dua pengacara yang merupakan sahabat karib kepada Ashraf ini turut melakonkan semula aksi pasangan ini ketika sedang hangat bercinta, dan ia mengundang tawa ceria semua tetamu termasuklah pasangan pengantin yang dirai.
Selain itu, majlis tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan beberapa orang artis seperti Ferhad, Syed Azmir, Ilyka serta tidak ketinggalan persembahan pasangan pengantin yang boleh disifatkan cukup romantis apabila mereka mendendangkan lagu berjudul Aku Dan Dirimu.
Sungguhpun, Ashraf bukan seorang penyanyi, tetapi dia mampu melontarkan lagu tersebut dengan cukup baik, sambil dibantu isterinya itu yang sememangnya mempunyai vokal yang cukup lunak.
Kata Ashraf, dia tidak berlatih untuk memberikan persembahan malam itu, tetapi ia sekadar untuk menghiburkan tetamu serta menyerikan lagi majlis resepsi mereka itu.

MENGIDAMKAN sekurang-kurangnya tiga orang anak.
Selain itu, dua adik Ashraf iaitu Aishah dan Adam, mengambil peluang di majlis tersebut untuk memberi ucapan khas buat abang sulung mereka.
Suasana yang riuh-rendah, bertukar sedikit emosi, tatkala bait ucapan memberi petanda bahawa kini Ashraf bukan saja milik keluarga mereka tetapi juga milik keluarga Bunga.
“Bagi saya hadiah perkahwinan yang terbesar buat saya ialah apabila abang menghadiahkan saya seorang kakak yang saya tidak pernah ada sebelum ini,” ucap Aishah cukup terharu.
Selain majlis yang dihadiri beberapa artis Malaysia termasuk aktor Jehan Miskin, pasangan suami isteri M. Nasir dan Marlia Musa dan ramai lagi ini, sebuah lagi majlis resepsi pengantin lelaki khusus untuk anggota keluarga terdekat berlangsung pada hari Sabtu lalu bertempat di di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Petaling Jaya.
Kosmo