Archive | Tamam Idris RSS feed for this section

Anugerah Skrin Ke-8 Tidak Segah Temanya

25 Dec

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH dan SHAZRYN MOHD. FAIZAL

EIZLAN Yusof sebagai Penerbit Eksekutif Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. yang membolot empat anugerah bagi kategori drama.

ANUGERAH Skrin Ke-8 (AS8) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melabuhkan tirainya Jumaat lalu. Semua nama pemenang sudah pun diketahui. Jangan merungut jika segala ramalan anda tidak tepat dengan keputusan juri.

Telah menjadi adat dalam majlis anugerah, kerana juri yang bijaksana sahaja tahu siapa yang layak menjadi pemenang.

Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki jelas menguasai AS8 apabila berjaya mengekalkan rekodnya sebagai Pengarah Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik untuk dua tahun berturut-turut.

Jika tahun lalu Afdlin cemerlang menerusi filem sulungnya, Buli, tahun ini sekali lagi Afdlin membuktikan kehebatannya menerusi filem sekuel Buli iaitu Buli Balik.

Begitu juga dengan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. yang membolot empat anugerah melalui drama Lebih Bisa dari Jelatang.

Bercerita pula tentang majlis yang mengangkat tema glamor dan elegan, mereka yang hadir di PWTC berpendapat majlis itu tidak segah dengan temanya, malah ia juga tidak semeriah acara anugerah lain.

Namun sekadar berkongsi pengalaman, Mega menampilkan sebahagian daripada kisah-kisah menarik yang terjadi sepanjang malam AS8 berlangsung.

Corat-Coret

* Walaupun acara sudah bermula 15 minit, tempat duduk di sebelah kanan dewan masih banyak yang kosong. Malah tetamu masuk bertali arus apabila tiba waktu iklan TV yang pertama. Ramai juga yang sampai lewat.

* Larangan berpakaian seksi oleh penganjur tidak diendahkan oleh para tetamu dan selebriti wanita. Fesyen berkemban dan bertali halus tetap menjadi pilihan untuk diperagakan. Kain penari wanita yang mengiringi persembahan pembukaan Datuk Siti Nurhaliza dan Erra Fazira turut menjolok mata apabila sering terselak sampai ke peha.

* Tiada artis yang membuat persembahan solo (one man show) ketika waktu iklan. Penonton dalam dewan dipertontonkan dengan komen para pemenang. Namun apa yang kelakar, pergerakan bibir pemenang tidak selari dengan apa yang dipertuturkan di skrin. Macam tengok drama Korea yang dialihkan ke bahasa Melayu.

* Perjalanan majlis agak membosankan walaupun sudah memasuki tempoh satu jam. Walaupun persembahan pembukaan oleh dua diva jelita, Siti dan Erra menghiburkan, majlis kembali sendu dan kemeriahan mendatar sahaja.

* Gandingan pengacara Naz dan Nur Fazura memang kurang menyerlah dan tidak serasi. Pada awal majlis, jelas mereka berdua terikat dengan skrip sebelum secara perlahan menjadi diri sendiri di penghujung majlis. Apa pun pujian harus diberikan kepada mereka jika dinilai sebagai pengacara yang pertama kali mengacara majlis besar secara langsung di kaca TV.

* Naz nampak tidak selesa apabila bercakap bahasa Melayu. Beberapa kali dia tersasul menyebut perkataan slanga Inggeris seperti pelakon menjadi ‘pelangkon’ dan menerusi menjadi ‘melerusi’. Malah tidak wajar bagi Naz mengeluarkan dialog berunsur lucah apabila menggeleng kepala ketika berjalan di belakang Fazura. Ini kerana acara disiarkan secara langsung dan turut dihadiri tetamu kenamaan tanah air.

* Ketika waktu iklan, Fazura beberapa kali mengusik Fasha Sandha. Tak tahu apa sebabnya? Sering dia bertanya kepada Fasha tentang pengacara TV3, Ally Iskandar. Masih bercinta lagi ke Fasha dan Ally?

* Cerita Fasha lagi tapi kali ini mengenai dirinya yang tidak kelihatan pada jamuan ringkas selepas acara berakhir. Apakah dia merajuk kerana drama popular lakonannya, Natasha gagal tercalon dalam Top 5 kategori Drama Bersiri Terbaik?

* Hanya Afdlin Shauki yang berpeluang membuat ucapan di atas pentas. Pemenang yang lain semuanya dibawa ke sebuah bilik khas media untuk ditemuramah. Sebenarnya penyampai anugerah pertama Awal Ashaari dan Farah Fauzana yang membenarkan Afdlin membuat ucapan walaupun bercanggah dengan prosuder majlis. Tak datang latihan ke Awal dan Farah?

* Gandingan Faizal One In A Million (OIAM) dan juara Mentor musim ini, Fiq kembali menghangatkan majlis. Namun persembahan Faizal lebih kurang sama dengan persembahan akhir OIAM September lalu. Aksi rebah di atas pentas sudah biasa Faizal. Tapi yang penting, persembahan Fiq agak tenggelam.

* Sedap mendengar gaya suara pembaca berita RTM, Norashikin Abdul Rahman sebelum menyampaikan anugerah. Jelas dan terang. Tak perlu skrip yang merepek seperti yang diutarakan oleh Nora Danish. Perlu ke skrip macam itu? Akhirnya diri sendiri yang menanggung malu.

* Ramai tetamu dan selebriti terutamanya wanita mengalirkan airmata ketika dipersembahkan klip video penghargaan buat pelakon terkenal Allahyarham Hani Mohsein. Al-fatihah…

* Sungguh fasih anak dara seniwati Azean Irdawaty, Elza Irdalynna berbahasa Inggeris ketika wartawan menemuramahnya. Terus teringat pada kontroversi yang menimpa Sharifah Amani pada Festival Filem Malaysia Ke-19 lalu.

* Rita Rudaini nampak gelabah apabila mengetahui nama Lisdawati tercalon dalam lima senarai akhir kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik. Jelas pelakon jelita itu menghelakan nafasnya apabila mengumumkan pemenangnya bukan Lisdawati.

* Persembahan Nikki dan Shazzy menerusi lagu Caramu kurang menjadi. Rata-rata tetamu berpendapat mereka lebih menyukai gandingan asalnya Zahid. Namun khabarnya Zahid ada show malam tersebut.

* Ratu rock Ella pula menarik diri di saat akhir dengan alasan tidak perasaan sudah ada show pada malam yang sama. Penggantinya adalah Kat yang vokalnya tidak kedengaran ketika berduet dengan kumpulan Ruffedge menerusi lagu Permata Biru. Malah lagu tersebut kedengaran agak janggal hingga hilang melodi asalnya. Lain kali jangan buat perubahan yang drastik.

* Ada pemenang wanita yang naik ke atas pentas sambil mengunyah gula-gula getah. Malah tabiat buruk wanita itu diteruskan ketika memberi ucapan di skrin. Memang kurang sopan hingga berbunyi mulutnya ketika bercakap. Tahun depan penganjur tolong beri penerangan tentang etika majlis kepada calon yang bertanding. Bukan setakat larangan berpakaian seksi!

* Ada yang suka adegan tak sengaja Erra mengenakan Umie Aida. Ada juga yang tidak suka. Biarlah. Janji keikhlasan dalam persahabatan itu lebih penting. Apa yang menarik Erra, Umie dan Raja Endon Mastura memang melaram habis malam itu. Maklumlah ketiga-tiganya masih solo dan cantik. Opss.. solo ke?

* Khabar angin yang mengatakan artis muda yang baru berkahwin telah memfailkan cerainya adalah tidak benar sama sekali apabila dia dan suaminya kelihatan cukup romantis pada majlis jamuan. Tak baik siapa yang buat fitnah tu.

* Perlu ke skrip mempromosikan gosip cinta diri sendiri? Bila ditanya tidak mengaku bercinta. Tetapi gaya dua selebriti mengalah pasangan remaja yang bercinta. Datang sedondon warna merah lagi. Mengaku sahajalah. Orang dah muak dengan sikap awak berdua. Kalau tak tulis nama mereka pun ramai sudah yang tahu kan?

* Ada pelakon drama popular Impian Illyana yang hitam manis tiba-tiba menjadi terlampau mesra dengan seorang peminat lelaki yang sudah berumur selepas mereka mengambil gambar kenangan bersama di majlis jamuan ringkas. Amboi sekejap sahaja mereka menjadi serasi bersama!

* Satu perkara yang mengganggu perjalanan majlis apabila ramai pemenang yang tidak hadir. Mengapa agaknya ya? Adakah kerana pada malam yang sama, berlangsung dua lagi acara anugerah besar di ibu negara?

Senarai Pemenang Anugerah Skrin Ke-8

Kategori Drama Drama Terbaik

* Lebih Bisa Dari Jelatang (Pena Creative Pictures Sdn. Bhd.)

Pengarah Terbaik

* Kabir Bhatia (Lebih Bisa Dari Jelatang)

Lakon TV Terbaik

* Mazlan Abdul Manan (Lebih Bisa Dari Jelatang)

Pelakon Lelaki Terbaik

* Jalil Hamid (Nur Di Pintu Syurga)

Pelakon Wanita Terbaik

* Safura Yaacob (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

* Tamam Idris (Rintihan Dosa)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

* Elza Irdalynna (Lebih Bisa Dari Jelatang)

Drama Bersiri Terbaik

* Rafflesia (Asia Media Content)

Drama Komedi Terbaik

* Mat Dom Teksi (Jabatan Drama RTM)

Kategori Filem

Filem Terbaik

* Buli Balik (Grand Brilliance Sdn. Bhd.)

Pelakon Lelaki Terbaik

* Afdlin Shauki (Buli Balik)

Pelakon Wanita Terbaik

* Rozie Rashid (Gubra)

Pengarah Terbaik

* Afdlin Shauki (Buli Balik)

Lakon Layar Terbaik

* Afdlin Shauki (Buli Balik)

Sinema Alternatif Filem

* Ciplak (Khairil M. Bahar)

Kategori Penerbitan Dalaman Dokumentari atau Majalah Terbaik

* Ilmuwan Islam-Al-Idrisi (Pakar Geografi) (TV3)

Bual Bicara Terbaik

* Macam-Macam Aznil (Episod 2-Kaki) (Astro)

Rancangan Muzik Terbaik

* Anugerah Juara Lagu Ke-20 (TV3)

Rancangan Hiburan (Bukan Muzik) Terbaik

* Anugerah Bintang Popular 2005 (TV3)

Realiti Terbaik

* Celebrity Explorace (TV3)

Laporan Khas Berita Terbaik

* Laporan Khas Edisi 7: Konflik Kashmir dan Pakistan (ntv7)

Anugerah Khas Juri

* Puteri Gunung Ledang The Musical

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements