Archive | Tiara Jacquelina RSS feed for this section

Terkedu Apabila Aril Tersingkir

29 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ARIL terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada AF7.

Peminat mahu yang popular bukan peserta paling berbakat

SUDAH menjadi hakikat realiti program Akademi Fantasia (AF), apabila kuasa undian di tangan penonton, maka tiada pihak berhak untuk mempertikaikan kuasa mereka dalam menentukan siapa sepatutnya peserta yang boleh kekal meneruskan saingan.

Akibatnya terjadilah insiden peserta kurang berbakat terus maju, manakala mereka yang berpotensi ditunjuk jalan keluar.

Minggu ketujuh AF musim terbaru yang rancak diperbualkan ketika ini, contoh terbaik memperlihatkan betapa kuasa undian di tangan peminat mampu merampas impian peserta berbakat untuk terus menghiburkan penonton.

Suasana di Dewan Sri Putra Bukit Jalil jadi senyap seketika apabila penonton bagai terkedu setelah Aril diumumkan pelajar seterusnya yang harus meninggalkan akademi.

Aril, dilihat antara sebab utama mengapa AF7 masih boleh bernafas, menerusi persembahannya yang mantap pada saban minggu. Selain Hafiz, Aril ialah peserta yang menjadi perhatian apabila hadir dengan pakej yang menarik, serta bakat yang terserlah.


DARI kiri, Aril, Yazid dan Akim.

Lalu, apabila namanya diumumkan peserta yang perlu menarik beg keluar daripada dewan, timbul isu apa sebenarnya yang diinginkan peminat? Apabila tamat persembahan pelajar minggu itu, Hafiz berkongsi jumlah undian dengan Isma iaitu 17 peratus, Aishah dan Yazid masing-masing 15 peratus, Akim (14 peratus), manakala Claudia dan Aril kedua-duanya memperolehi 11 peratus.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata, Aril terpaksa meninggalkan AF7 walaupun perbezaan undiannya dengan Claudia adalah cukup sedikit.

“Saya gembira dengan konsert pada malam ini yang menunjukkan peningkatan semua pelajar, manakala peratusan undian juga semakin seimbang apabila tiada peserta jauh meninggalkan yang lain. Namun kita kena akur dengan peraturan yang mengatakan, peserta dengan undian terendah harus disingkirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat konsert.

Sabtu lalu, Aril membakar pentas dengan persembahan bertenaganya menyampaikan lagu Nakal daripada kumpulan Gigi. Rata-rata pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim, Adibah Noor dan Adlin Aman Ramlie menyukai persembahannya.


CLAUDIA, Aishah dan Isma meneruskan langkah ke konsert seterusnya.

Selain Aril, Akim dengan lagu Situasi (Bunkface) turut mencuri perhatian, manakala Yazid dengan lagu With Or Without You (U2) buat kali pertama menunjukkan persembahan meyakinkan.

“Diharapkan media dan penulis blog boleh membantu mengingatkan peminat, jika mereka asyik ingin membantu peserta bukan pilihan, peserta yang berbakat akan terkeluar daripada saingan,” katanya.

Ketika ditanya apakah Astro mempunyai perancangan untuk mengadakan undian masuk pelajar yang tersingkir, Khairul Mizan berkata, dia tidak mempunyai hak untuk mengumumkan perkara sebegitu.

Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina pula berkata, dia bingung memikirkan kehendak peminat rancangan terbabit.

“Aril antara ikon yang kami mahu lahirkan daripada program AF7. Dia mewakili penyanyi yang kita inginkan dalam industri muzik hari ini. Malangnya, dengan sistem undian diberikan sepenuhnya kepada peminat, kita tidak tahu apa yang mereka mahukan,” kata Tiara.

Aril tidak mahu lemah semangat

PENYINGKIRAN peserta yang dilihat berbakat dalam rancangan AF sebelum konsert akhir memang sudah beberapa kali berlaku. Linda Nanuwil pernah merasai pengalaman itu pada AF2, manakala Idayu pula mengalaminya pada musim ketiga.

Lalu, apakah Aril juga mengharapkan nasib serupa menyebelahinya?

Kata anak muda berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu, dia tidak berani hendak mengulas persoalan mengenai harapan untuk melihat undian masuk diadakan sekali lagi oleh AF7.

Akui Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, dia tidak terlalu kecewa apabila terkeluar daripada program realiti terbabit, dan dia juga tidak dapat menjangka rentak undian pengundi AF.

“Ada masanya, pelajar yang berbakat seperti rakan saya, Rubisa, terkeluar juga,” katanya.

Padanya, mungkin peminat tidak mengundi dirinya bukan kerana soal tidak berbakat, sebaliknya mereka ingin memberikan peluang kepada rakannya yang lain meneruskan perjuangan.

Ditanya apakah kerana ‘attitude’ yang sering kali dikaitkan dengan dirinya, sebagaimana yang diperkatakan oleh pengkritik, Aril memberitahu, sikap seperti itu perlu ada pada seseorang penghibur yang berada di pentas.

“Apabila berada di pentas, kita perlu tunjukkan pesona kita kepada peminat. Tetapi, apabila berada di luar, tidaklah kita perlu bersikap demikian.

“Saya sendiri tentunya berbangga apabila pengkritik memuji sikap saya yang dilihat perlu ada pada seorang penghibur. Jadi, saya tidak rasa kerana ‘attitude’, peminat tidak menyukai saya,” ujarnya.

Mengenai perancangan selepas ini, jejaka yang petah menjawab segala pertanyaan ini memberitahu, dia akan mengikut rancangan yang diatur oleh Astro Entertainment.

Dari segi muzik pula, katanya tidak salah jika dia ingin mencuba pelbagai bentuk muzik lain selain genre muzik yang menjadi kesukaannya, pop, sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan Padi.

“Jika kita mahu menjadi penghibur yang baik, tidak salah sekiranya kita mencuba pelbagai genre muzik. Begitupun, sudah tentulah saya tahu di mana kekuatan saya,” katanya sempat berada selama 61 hari dalam akademi terbabit.

Berita Harian

'Ikon' Diperlukan Kini Tersingkir

27 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

PERSEMBAHAN Khairil Azam Pilus (Aril), 24, saban minggu dinantikan penonton setia Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) untuk melihat aksinya di pentas. Malah juri memujinya dan mengatakan Aril ikon yang diperlukan dalam dunia hiburan.

Datuk Khatijah Ibrahim berkata, inilah bintang diperlukan untuk menyemarakkan dunia hiburan yang seakan-akan lesu kerana Aril kreatif dan mampu mewarnakan persembahannya.

“Dia berani mencuba perkara baru dan mempunyai pakej yang diperlukan sebagai penghibur. Persembahannya sangat bagus dan berjaya menyampaikan lagu dengan baik dan gaya seksi menggamit perhatian penonton.

“Inilah persembahan yang saya tunggu daripadanya. Aril bintang paling bersinar malam ini (kelmarin),” katanya.

Namun, pujian itu tiada maknanya kerana Aril yang menunjukkan peningkatan saban minggu dan paling menonjol pada konsert mingguan ketujuh, akhirnya terpaksa mengucapkan salam perpisahan kepada penonton program realiti itu, Sabtu lalu.

Itulah yang berlaku apabila berjurikan jari manusia menerusi undian SMS. Apa yang seharusnya penonton saksikan di AF7 sudah disingkirkan.

Apa gunanya transformi yang menjadi ‘trademark’ kebanggaan produksi dan pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina dan tenaga pengajar jika penonton masih tidak dapat menilai antara kaca dengan intan?

Bukan saja penonton yang memenuhi Dewan Sri Putra, Bukit Jalil terkejut dengan pengumuman dilakukan pengacara AC Mizal malah juri terpaku serta terdiam seketika.

Meskipun sukar meramal siapa akan ‘duduk’ di kerusi juara, ramai ingin melihat Aril mara ke peringkat akhir yang hanya tinggal dua minggu lagi untuk menyaksikan AF7 sampai ke kemuncaknya. Ramai menantikan persembahannya setiap minggu, tetapi selepas penyingkiran itu bererti hampalah harapan mereka.

Adibah Nor dan Adlin Aman Ramli yang menjadi pengkritik bersama Khatijah, mengatakan Aril adalah ikon yang diperlukan dalam dunia hiburan dan setiap minggu persembahannya ditunggu.

 

 

Namun, apabila kuasa memilih terletak pada jari manusia, setakat itu sajalah perjuangan anak muda berbakat besar itu.

Adibah pula menyifatkan undian SMS penonton sangat tidak adil terhadap Aril dan mereka patut menilai peserta dengan akal fikiran waras dan bukan mengikut perasaan.

“Aril dilahirkan untuk berada di pentas hiburan. Persembahan Aril mantap, profesional dan sangat menghiburkan. Saya kesal bakat sebagus Aril tersingkir pada malam ini (kelmarin),” katanya

Adlin turut memuji Aril kerana berjaya membuat persembahan pembukaan yang hebat dan sangat sporting di pentas.

“Aril berani menyahut cabaran dengan membuat sesuatu di luar dugaan dan persembahannya dinamik. Dia mampu menyanyi sambil menari dengan bagus serta mempunyai sikap seorang superstar,” katanya.

Namun, sebaik mana pun persembahan Aril kelmarin dengan lagunya Nakal (Gigi) apalah yang dapat dilakukan kerana kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, itulah ‘permainan’ ditetapkan akademi yang bergantung sepenuhnya pada undian SMS.

“Saya tahu ramai tidak berpuas hati dengan penyingkiran Aril, namun itulah kehendak pengundi. Kita terpaksa reda dengan keputusan itu dan semoga selepas ini penonton dapat mengundi dengan bijak. Inilah konsert AF yang paling menghiburkan,” katanya.

Mengenali rentak program realiti terunggul ini, apa saja boleh berlaku termasuk mengadakan undi masuk. Meskipun Khairul Mizan membayangkan perkara itu tidak mungkin berlaku, peraturan ini manusia yang buat.

Sebelum ini pun Astro pernah mengadakan undi masuk apabila pelajar yang paling diminati ramai tersingkir. Ini kerana drama dan gimik juga sebahagian permainan AF.

“Kami harus mengikuti peraturan yang ditetapkan namun juga sedia mendengar pandangan pelanggan Astro. Sudah termaktub setiap minggu ada penyingkiran, jadi kami terpaksa mengikut apa yang sudah ditetapkan.

“Apa yang bagus pada konsert kali ini, semua pelajar mendapat peratusan markah yang dekat dan tidak jauh jurangnya. Ternyata pertandingan ini mempunyai bakat terserlah.

“Melalui transformasi yang dilakukan, kami mahu semua peserta berjaya, tetapi nampaknya pengundi lebih suka memilih peserta ‘underdog’ sehingga mereka terlupa mempertimbangkan mereka yang benar-benar berbakat.

“Mengenai Aril, dalam setiap konsert dia jarang berada dalam kelompok lima pelajar teratas. Biasanya dia akan berada di tempat keenam, ketujuh atau kelapan. Mungkin sikap dia tidak berjaya memikat hati semua penonton.

“Walaupun dengan ketiadaan Aril, saya yakin konsert mingguan ini kekal hebat kerana bakat pelajar lain terus menyerlah,” katanya.

Tiara berkata, dia dan tenaga pengajar tidak langsung membayangkan Aril akan tersingkir kerana dia pelajar paling rajin dan berbakat. Inilah ikon yang mereka mahu lahirkan dalam persada seni.

“Dia ada pakej lengkap yang sangat diperlukan industri, tetapi sistem undian SMS gagal merealisasikannya. Meskipun Aril tersingkir, saya yakin dia akan tetap jadi ikon,” katanya.

Berkongsi rasa dengan Aril, dia terasa akan tersingkir namun pada ketika yang lain dia cuba menafikan perasaan itu.

“Ada rasa macam hendak terkeluar, tetapi saya memujuk hati mengatakan tidak. Saya terima keputusan ini kerana penyanyi yang baik seperti Rubisa pun terkeluar lebih awal.

“Walaupun sedikit kecewa dengan penyingkiran ini, saya masih seronok kerana apabila satukan pengalaman luar dengan proses pembelajaran di akademi, akan menjadikan saya lebih matang.

“Saya terima kritikan Adlin mengatakan saya poyo, sombong dan sebagainya di pentas, tetapi itulah pesona yang diperlukan penyanyi apabila membuat persembahan. Kami belajar menonjolkan pesona sebagai penghibur, tetapi saya masih boleh seimbangkan ‘attitude’ yang ada pada saya itu ketika di pentas,” katanya.

Kata Aril, dia minat genre muzik seperti diperjuangkan kumpulan Padi, tetapi katanya tidak salah jika dia ingin membawakan genre muzik lain.

“Kalau saya hendak jadi ikon AF, saya mesti mencuba semua genre muzik. Saya juga boleh menari, tetapi Cikgu Aris (guru tari dan pereka tari AF7), membantu mengasah lagi bakat tarian saya. Ke mana hala tuju kerjaya saya selepas ini terpulang kepada AESB (Astro Entertainment Sdn Bhd),” katanya.

Berbeza pula dengan Ismaliza Ismail, 30, dan Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, yang sering mendapat undian tinggi, tetapi belum ada ‘X-factor’ yang akan menjadikan mereka insan seni yang hebat.

Berada di zon selesa, persembahan Ismaliza tiada beza pada setiap minggu. Yazid ada sedikit peningkatan pada persembahannya kelmarin walaupun masih lagi penyanyi yang terlalu kedekut untuk mempamerkan emosi.

Afiq Hakim Ahmad (Akim), 18, ada keberanian untuk berubah. Manakala Claudia Fray Geres, 24 dan Siti Aishah Bujang, 18, masih terbelenggu dengan diri masing-masing.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Veto Bukan Di Tangan Pengetua

21 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Datin Seri Tiara Jacquelina perjelas kritikan mengenai pilihan lagu, imej pelajar AF

JIKA selama ini ada yang menganggap fakulti Akademi Fantasia 7 memainkan peranan utama dalam menentukan imej pelajar dan tugasan lagu sebagai cabaran untuk pelajar, sila buang jauh-jauh tanggapan itu kerana menurut pengetua Datin Seri Tiara Jacquelina, mereka tidak mempunyai kata putus berhubung perkara itu.

Kata-kata itu terpacul juga dari mulutnya selepas dia menerima pelbagai komentar media dan penonton yang menurutnya terlalu banyak bertanyakan hal itu.

“Terlalu banyak soalan yang ditanyakan kepada saya. Contohnya, kenapa bagi pelajar pakai macam itu? Kenapa nyanyi lagu itu? Tak ada lagu lainkah? Sehinggakan saya sendiri tidak tahu hendak jawab apa kerana fakulti sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan apa-apa.

“Sebaliknya sebarang keputusan kami kena berbincang dengan pihak produksi atau Astro,” jelas Tiara yang ternyata cukup tertekan apabila diasak dengan soalan sebegitu.

Menurut Tiara lagi, fakulti hanya diberi mandat untuk menumpukan perhatian terhadap hal pembelajaran saja.

“Jadi selepas ini saya harap mereka memahami situasi saya kerana apa yang berlaku bukannya atas kehendak fakulti semata-mata, tetapi kami mengambil pandangan pihak produksi sendiri kerana mereka juga ada alasan sendiri atas keputusan yang dibuat,” kata Tiara meleraikan salah faham yang berlaku.

Tegas Tiara, bukan niatnya untuk bersikap tidak mahu campur tangan atau cuba melepaskan diri sambil menuding jari kepada pihak tertentu apabila ada kritikan yang dilontarkan, tetapi tindakannya itu sekadar menjelaskan situasi sebenar yang mungkin orang di luar tidak tahu.

“Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa cuma sekadar ingin menjelaskan hal sebenar. Contohnya macam pakaian, saya tahu ada ketikanya pakaian yang dipakai pelajar kelihatan tidak sesuai dengan imej mereka.

“Tapi saya tahu bukan mudah untuk pihak penata gaya mencari pakaian yang sesuai dalam masa yang singkat. Itu tidak termasuk masalah tidak mendapat penaja dan sebagainya. Bayangkan bagaimana seorang penata gaya terpaksa mencari banyak pakaian dalam masa yang sangat suntuk.

“Begitu juga dengan soal lagu. Saya faham ada yang tidak puas hati dari segi pemilihan lagu yang dinyanyikan pelajar. Ini juga satu proses yang amat sukar. Senarai lagu perlulah dipersetujui pihak produksi terlebih dulu. Kemudian barulah ke peringkat seterusnya iaitu meminta kebenaran dari pemilik hak lagu yang kadang-kadang mengambil masa.

“Selepas disusun muziknya, barulah diberikan kepada fakulti sebelum diserahkan ke tangan pelajar. Kalau kami merasakan lagu itu tidak sesuai untuk seseorang pelajar, kami akan bangkang.

“Bagaimanapun, perkara itu jarang berlaku kerana kami faham, jika kami mahu tukar lagu, ia akan memakan masa yang agak lama kerana terpaksa melalui proses asal yang memang mengambil masa,” jelas Tiara panjang lebar.

Disebabkan hal itu, kata Tiara sama ada suka atau tidak, apa saja lagu yang diberikan kepada fakulti mereka perlu menerimanya memandangkan situasi sukar yang mereka hadapi itu.

“Namun, dalam hal menentukan imej pelajar, ada ketika saya akan bersuara kerana ia membabitkan tujuh syarat yang pernah saya nyatakan sebelum ini. Umpamanya, apabila saya mengambil keputusan untuk mencabut gigi Claudia dan Aishah, saya terpaksa menjelaskan kepada pihak produksi mengenai keperluan itu dan mujurlah mereka menerimanya,” katanya yang berusaha mendapatkan tajaan bernilai hampir RM50,000 untuk proses ‘make over’ dua pelajar itu.

Untuk konsert minggu keenam ini, peserta perlu menyanyikan lagu asal kumpulan yang mengiringi persembahan mereka malam itu. Bagaimanapun, yang menjadi persoalannya mengapa pihak produksi membenarkan penyanyi asal turut serta mengiringi peserta menyanyi.

Bagi menjawab persoalan itu, Ketua Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata objektif mereka menampilkan penyanyi asal di atas pentas adalah untuk menguji sejauh mana kehebatan peserta mengawal situasi dan pada masa yang sama tidak tenggelam dengan kemunculan penyanyi berkenaan.

Walaupun kedengaran agak murni hasrat itu, namun adalah lebih baik jika mereka membiarkan semua peserta menyanyi sendirian bersama kumpulan kerana dengan cara itu kita dapat melihat apakah mereka mampu menghidupkan persembahan seperti yang dilakukan Aril dan Qhaud yang hanya menjadikan keadaan lebih haru biru.

Penyingkiran Qhaud ditangisi

PENGETUA menyifatkan jejaka ini sebagai seorang yang baik. Malah, persembahannya malam itu cukup meyakinkan penonton apabila lagu Seruan yang dinyanyikannya cukup sedap didengar dan berjaya mendapat pujian.

Namun pada hakikatnya, sedap atau tidak, bagus atau sebaliknya, semuanya ditentukan oleh pengundi. Dan Mohd Qhaud Abdul Rashid atau Qhaud menerima ‘hukuman’ atas persembahan cemerlangnya itu apabila menjadi peserta ketujuh tersingkir.

Biarpun si empunya diri tenang dengan keputusan itu, namun hakikat itu amat berat untuk diterima apabila dua tenaga pengajar, Cikgu Fatimah Abu Bakar dan Siti Hajar serta Tiara sendiri dilihat mengalirkan air mata.

“Qhaud seorang pelajar yang bagus. Malah kami semua bersepakat untuk memilih dia sebagai pelajar cemerlang malam ini. Sejujurnya saya memang sedih dengan penyingkirannya kerana dia menunjukkan persembahan cemerlang.

“Apa yang membuatkan saya sedih, dia adalah seorang yang rajin dan kalau dia dapat sesebuah lagu itu, dia akan mengkaji makna liriknya dengan mendalam. Lebih menyedihkan apabila dialah yang akan mengetuai bacaan doa sebelum konsert bermula,” tuturnya sambil menyeka air mata di pipi.

Sementara itu, Qhaud berkata, dia reda dengan keputusan penonton sambil bersyukur kerana diberi peluang untuk berada di AF dan menimba ilmu.

“Selepas ini kalau diberi peluang merakamkan album, saya lebih selesa memilih konsep ketuhanan dan tasawuf. Pun begitu, saya juga boleh menyanyikan lagu berirama lain juga,” kata jejaka berusia 25 tahun ini.

Berita Harian

Belum Cukup Menghiburkan

2 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

RINI dan Obri akur dengan keputusan bahawa mereka tidak lagi bergelar pelajar AF7.

Pengetua dan pengajar AF7 terus memerah otak untuk mantapkan persembahan pelajar

TIGA minggu bersiaran, pelajar dari Kuching, Sarawak, Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz terus dipuji melambung seiring dengan bakat semula jadinya dalam bidang nyanyian. Berikan apa saja genre lagu, nescaya pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini pasti membuat kejutan dan mendapat sorakan gemuruh.

Adlin Aman Ramlie sendiri menyifatkan Hafiz dilahirkan dengan bakat yang boleh dibanggakan. Malah sejak konsert AF7 minggu pertama lagi, pengkritik tetap itu melihat Hafiz sebagai penyanyi amatur yang cukup selamba, asli dan serba boleh.

Malahan Adlin berpendapat jejaka berambut kerinting itu berpotensi ditabalkan sebagai juara AF7. Pendapat sama turut dipersetujui dua lagi pengkritik, Datuk Khatijah Abu Hassan dan Profesor Madya Khairil Johari Johar.

Mungkin terlalu awal untuk mengiyakan apa yang diharapkan oeh Adlin, namun jika benar, pengundi dan peminat Hafiz perlu terus bersatu untuk memastikan undi terhadapnya terus kebal dan tidak pecah.

Namun begitu, seorang lagi pelajar AF7, Isma dilihat antara saingan sengit kepada Hafiz biarpun jelas dan nyata di sini suaranya tiada kelainan dan mempunyai persamaan dengan suara Datuk Siti Nurhaliza.


KEHADIRAN Anggun memberi semangat kepada pelajar AF7.

Untuk minggu ketiga, pelajar AF7 ditugaskan menyanyikan lagu retro dan pengetuanya sendiri, Datin Seri Tiara Jacquelina menjelaskan sasaran dan fokus minggu ini berjaya. Pendekatan lain turut diwujudkan antaranya seperti menyediakan borang penilaian diri pelajar yang disusuli dengan post mortem.

“Minggu ketiga pihak kami memilih corak pembelajaran berbeza kerana setiap pelajar belajar menghayati mesej di sebalik lirik lagu terlebih dulu sebelum diteruskan dengan pemahaman terhadap melodi lagu itu sendiri. Ia diikuti dengan melengkapkan persembahan itu dengan tarian dan apa yang dirasakan sesuai serta patut.

“Secara peribadi, saya terkejut melihat ada di antara pelajar saya sudah keluar dari kepompong kerana kaedah yang dilaksanakan minggu ketiga. Selain borang penilaian diri, kami juga memilih pelajar cemerlang pada setiap minggu sepanjang berada di dalam Akademi selain persembahannya di konsert,” katanya.

Sementara itu, graf persembahan pada konsert minggu ketiga dilihat pada kadar biasa saja. Hanya segelintir pelajar saja yang dilihat bagus dan selebihnya agak membosankan.

Isma mencatatkan jumlah peratus yang tinggi sebelum persembahan bermula dengan 22 peratus dan selepas undian ditutup, dia masih mengungguli carta dengan 16 peratus diikuti Hafiz 13 peratus. Demi memberi penghormatan kepada usaha program Earth Hour dalam usaha mengurangkan kesan pemanasan global, Dewan Sri Putra, Bukit Jalil turut bergelap buat beberapa ketika.

Ironinya, Isma kini sedang berentap di AF7 manakala adiknya, Tomok di One In A Million musim ketiga. Apakah kedua beradik ini mampu mencipta kejayaan dan ditabalkan juara untuk pertandingan masing-masing. Semuanya masih belum dapat dipastikan kerana apa saja boleh terjadi jika sudah namanya program realiti.

Diuruskan di bawah AESB

EKORAN penutupan syarikat Maestro Talent Management Sdn Bhd mulai 1 April 2009, pelajar AF7 yang tersingkir secara automatik kini diuruskan di bawah Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Selepas Adila yang tersingkir pada minggu kedua, nasib tidak menyebelahi Obri dan Rini pada minggu ketiga apabila kandas daripada meneruskan misi sebagai pelajar AF7.

Penyingkiran dua pelajar sekali gus sudah dirancang Astro sejak awal. Rini bagaimanapun menganggap penyingkirannya sebagai bermaruah kerana sudah membuat persembahan yang baik menerusi lagu Seloka Cinta Remaja nyanyian asal Allahyarhamah Seha.

“Saya pernah merakamkan album bersama kembar saya, Rina tapi nasib tak menyebelahi kami kerana album itu tersadai. Harapnya selepas ini, kalau ada rezeki membikin album dengan Rina, saya pastinya tidak akan menolak,” kata Rini.

Seperti dijangka, Obri yang dilihat tidak memberikan persembahan memberangsangkan sepanjang tiga minggu tidak melihat noktah perjuangannya di AF7 sebagai penamat, malah ia menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kehidupan mendatang.

“AF7 adalah pertandingan sulung yang disertai saya dan apa yang diingini ibu sudah saya penuhi. Hasrat ibu untuk melihat saya menggenggam ijazah bidang Ekonomi akhirnya saya makbulkan dan hanya selepas itu baru saya memasuki pertandingan nyanyian (AF7). Kalau saya tidak berjaya dalam bidang nyanyian sekali pun, saya masih ada jaminan dengan segulung ijazah,” kata Obri.

Pilihan Hip

1) Isma

2) Hafiz

3) Zizi

Berita Harian

Acis Tak Mahu Tumpang Nama Sheila

1 Apr

Teks oleh Ellyna Ali

Walaupun isu Pengetua AF7 telah reda, Acis atau Hasridz Murshim Hassim mengakui sekali lagi bahawa pemilihan Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai pengetua Akademi Fantasia Musim 7 (AF7) benar-benar melegakannya.

Kata Acis, setidak-tidaknya, orang ramai yang akan berhenti membuat spekulasi bahawa dia terpilih menjadi pengarah muzik kalau Sheila menjadi pengetuanya.

“Saya benar-benar lega. Semua spekulasi itu telah pun berakhir. Sebelum nama Tiara diumumkan, ramai percaya dan meneka Sheila Majid menjadi pengetua AF7. Terus terang saya tak mahu orang ingat saya dipilih menjadi pengarah muzik kerana Sheila.

“Hanya disebabkan saya suami Sheila, semuanya akan ditawarkan Astro dalam bentuk pakej. Kalau boleh saya mahu diterima sebab saya Acis, bukan sebab saya ‘Acis – suami Sheila Majid’. Sebabnya orang industri tahu saya sudah lama berjuang sejak zaman kumpulan Gersang (bersama Man Bai) lagi.

“Kiranya sudah lebih 20 tahun saya bermain muzik dan saya masih belum puas,” katanya kepada murai.com.my. 

Ditanya apa yang membuatkan dia teruja tentang AF7, Acis berkata dia gembira kerana dapat menyumbangkan  pengalaman bermain muzik secara live.

“Saya terus terima tawaran menjadi pengarah muzik Af7 apabila maklumkan semua peserta kena menyanyi dengan iringan band muzik pada setiap minggu. Memang satu kepuasan saya apabila dapat menggubah semula muzik mengikut kesesuaian persembahan tidak kira showcase, konsert atau pertandingan nyanyian seperti AF. 

“Bagi saya sudah sampai masanya AF membuat transformasi. Janganlah kita terlalu bergantung kepada minus-one kerana untuk menjadi penghibur yang disegani artis kenalah tahu menyanyi dengan iringan band muzik secara live,” katanya.

 

Murai

Tiara Puas Hati Konsert Ke-3 AF7

30 Mar

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 30 MAC 2009:  Perubahan dari segi kaedah pembelajaran baru yang cuba diterapkan Datin Seri Tiara Jacquelina selaku pengetua pada minggu ketiga Akademi Fantasia Musim Ke-7 (AF7) nampaknya mula memberikan  kesan yang positif.

Hal ini diakui Tiara setelah mengemudi keseluruhan fakulti hiburan itu selama 3 minggu berturut-turut. Impaknya dapat dilihat sendiri menerusi konsert minggu ketiga AF7 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil , Sabtu lalu.

“Malam itu kita dapat melihat banyak lonjakan dalam hampir kesemua persembahan setiap pelajar AF7. Daripada Yazid hinggalah Hafiz, mereka sudah dapat mengisi lagu itu lebih daripada melodi lagu itu sendiri.

“Peningkatan setiap pelajar yang memberangsangkan dalam konsert minggu ketiga ini membuatkan saya dan tenaga pengajar yang lain berasa gembira tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan masalah untuk memilih pelajar yang cemerlang.

“Sungguhpun begitu, kalau dipilih siapa yang akan menjadi pelajar cemerlang pada minggu ini, mungkin saya akan memilih Yazid kerana dia telah berjaya memberikan kejutan kepada kami semua.

“Walaupun masih ada banyak kelemahan yang terdapat dalam persembahannya, Yazid telah mula berjaya keluar dari kepompongnya. Sebelum ini, dia tidak pernah mendapat keberanian yang seperti itu.

“Pemilihan pelajar yang cemerlang pula bukanlah dibuat berdasarkan siapa yang benar-benar cemerlang sewaktu beraksi di atas pentas tetapi ia lebih kepada peningkatan mereka dari sehari ke sehari hinggalah pada hari konsert itu sendiri,” katanya kepada murai.com.my.

Menjelaskan lebih lanjut tentang kaedah pembelajaran baru yang mula diperkenalkannya pada minggu ketiga yang lalu, Tiara berkata, ia sememangnya agak sedikit berbeza dengan format asalya.

“Kalau dulu setiap pelajar yang telah mendapat tugasan lagu mereka akan terus memulakan latihan di kelas vokal tetapi kali ini kita minta mereka bermula dengan kelas Ida Nerina dulu. Biar mereka faham apa yang hendak disampaikan di dalam penceritaan lagu mereka  dan kemudian barulah mereka bermula dengan kelas vokal bersama Cikgu Syafie dan Cikgu Siti Hajar serta kelas tarian di bawah bimbingan Cikgu Aris.

“Ia seperti latihan yang seringkali dipraktikkan dalam persembahan muzikal teater dan sebagai permulaan kita memilih lagu-lagu dari kalangan era 1970-an dan 1980-an yang memiliki pelbagai penceritaannya yang tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Tiara berkata, perubahan lain yang turut dilakukan dalam kaedah pembelajaran di akademi ialah dengan melakukan penilaian terhadap setiap pelajar menerusi borang penilaian yang diwujudkan setiap minggu.

“Setiap kali selepas konsert berakhir, pelajar-pelajar ini akan diminta untuk membuat penilaian diri mereka sendiri sewaktu perjumpaan bersama mereka diadakan pada hari Isnin.

“Satu lagi borang penilaian pelajar dilakukan sendiri oleh setiap tenaga pengajar di akademi. Dari situ, barulah kita akan melakukan beberapa post mortem untuk menangani setiap kelemahan mereka,” katanya.

Memandangkan penggunaan kaedah pembelajaran yang baru ini agak efektik, Tiara berkata, dia dan seluruh tenaga pengajar lain akan tetap meneruskan kaedah pembelajaran yang sama pada minggu akan datang.

“Kalau boleh kami mahu melihat satu lagi tahap peningkatan mereka dalam konsert AF7 seterusnya. Dalam pada itu, kami juga akan berusaha untuk memberikan mereka sedikit pendedahan tentang isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan serta tubuh yang cergas,” katanya.

 

Murai

Adila Tidak Malu Apabila Tersingkir

23 Mar

>>Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BERGELAR penyanyi dengan memiliki dua album dan satu lagu single tidak memberi kelebihan kepada Nas Adila Mohd Dan, 23, untuk terus kekal dalam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) apabila dia menjadi pelajar pertama tersingkir daripada program realiti itu, kelmarin.

Menyanyikan dua lagu yang digubah dalam bentuk medley, Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), dia dipuji juri, Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim dan Datuk Yusni Hamid namun Adila gagal menambat hati penonton yang menentukan kedudukan peserta di hujung jari mereka. Undian menerusi SMS memungkinkan apa saja keputusan yang bakal keluar.

Tidak kesal terkeluar awal selepas hanya dua minggu sempat berguru dengan tenaga pengajar AF7, Syafizawati Sharif, Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar, Ida Nerina, A Aris Kadir, Acis dan Datin Seri Tiara Jacquelina selaku pengetua, Adila menyifatkan walaupun masanya di AF7 terlalu singkat, ia tetap pengalaman menarik.

“Walaupun sudah bergelar penyanyi, saya tidak malu tersingkir awal paling utama saya dapat menimba pengalaman dalam akademi. Pengalaman itu tidak boleh dijual beli.

“Dengan pendedahan selama dua minggu di akademi semakin ramai yang tahu bakat saya. Tiada kekesalan di hati kerana daripada 9,000 penyertaan saya terpilih ke akademi.

“Mungkin faktor penyingkiran awal kerana sikap pendiam saya dan tiada ‘drama’ di akademi membuatkan pengundi kurang memberi perhatian. Saya menjadi diri saya sendiri. Penonton agaknya mahukan pelajar yang agresif seperti Aril (Khairil Azam Pilus).

“Perancangan karier saya selepas ini terpulang kepada Astro. Saya akan ikut jadual yang ditetapkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, konsert mingguan kedua AF7 melakukan transformi dengan memberi dua lagu kepada pelajar yang digubah dalam bentuk medley. Perubahan ini juga barangkali digunakan untuk menutup kelemahan pelajar yang begitu ketara pada konsert pertama dua minggu lalu. Tidak banyak perubahan pada pelajar cuma ada seorang dua yang boleh dipuji seperti Claudia, 24, (Claudia Fay Geres) dan Hafiz, 19, (Mohd Hafiz Mohd Suip).

Persembahan tiga pelajar pertama, Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, dengan lagunya Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima), Rubisa Tiasin, 23, menerusi lagi Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud, 25, yang menyanyikan lagu Bila Nak Saksi (Spider), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain), boleh memikat penonton dan juri. Bagaimanapun, nyanyian daripada pelajar selepas itu bagaikan tiada hala tuju.

Pun begitu persembahan dalam bentuk medley itu percubaan yang baik untuk menguji kecekapan pelajar menukar rentak, gaya dan mood nyanyian tetapi rata-ratanya perlu berusaha lebih kuat. Bukan hendak membuat tuduhan terburu-buru tetapi mungkin populariti yang sedia menanti di luar sana menjadikan mereka kurang berusaha.

 

 

Alasan diberikan baru dua minggu di akademi, tetapi jika mereka benar ingin menjadi penyanyi yang berilmu dan berwawasan jangan salahkan tempoh waktu serta jangan terlalu cepat terbuai dengan keindahan dunia hiburan. Usah terlalu mengambil mudah kerana bekas pelajar AF terdahulu sudah melalui pahit getirnya menjadi anak seni.

Menurut Tiara, setiap minggu fakulti AF7 akan menyediakan konsep persembahan berbeza untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar.

“Minggu ini konsep persembahan berbentuk medley untuk memberi peluang kepada setiap pelajar membawakan lagu berentak perlahan dan rancak. Ia cabaran besar kepada pelajar dan tenaga pengajar kerana perlu membuat persediaan 28 lagu dalam masa beberapa hari saja.

“Saya dapat rasakan pelajar bekerja kuat dan Adila antara yang menunjukkan peningkatan paling bagus. Kebanyakan pelajar masih baru dan tiada kefahaman mengenai lagu. Ini semua satu proses pembelajaran, tetapi mereka ada peningkatan. Dalam masa singkat mereka kena belajar semua perkara.

“Di akademi kami mahu melahirkan pelajar serba boleh, menari, menyanyi dan berlakon kerana untuk menjadi penghibur semua elemen itu perlu ada pada mereka. Minggu ini kami sepakat untuk memfokuskan kekurangan setiap pelajar untuk memantapkan lagi persembahan mereka.

‘Pelajar yang ada masalah vokal di samping mengikuti kelas sedia ada, perlu mengikuti kelas tambahan untuk vokal,” katanya.

Atas nama transformasi juga, pelajar mempersembahkan lagu Menuju Puncak pada awal persembahan yang sekali gus mengembalikan semula identiti AF.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Soseh Soseh: Tiara Positif Terima Komen

19 Mar

Rap
SEBAIK konsert minggu pertama rancangan realiti TV, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) berlangsung Sabtu lalu, pelbagai komen diberikan penonton setia mahupun media.

Paling hangat diperkatakan mengenai persembahan peserta yang dikatakan lemah dan kurang bersemangat selain ketiadaan persembahan tarian Menuju Puncak.

Selepas menulis segala kritikan mengenai persembahan konsert pertama, teman sekerja SS menerima SMS daripada pengetua, Datin Seri Tiara Jacquelina.

SS difahamkan, Tiara menghantar pesanan itu bagi mengucapkan terima kasih atas segala komen diberikan dengan tujuan memperbaiki lagi persembahan rancangan itu dan peserta di bawah pengawasannya.

Kata Tiara, dia bersungguh-sungguh mahu menjadikan AF7 yang terbaik bukan saja untuk Astro Ria tetapi juga diharapkan ia mampu memberi kesan kepada industri dan mengubahnya walaupun sedikit.

Tiara juga bersikap terbuka dengan menerima segala maklum balas terutama daripada media. Dia mahu mendengar apa saja asalkan ia dapat memberikan kebaikan kepada peserta.

Mendengar kenyataan daripada Tiara itu, SS dapat rasakan apa yang dilakukan ini bukan main-main sebaliknya dia benar-benar mahu membantu produksi AF7 untuk mencungkil bakat peserta agar menjadi bagus.

Cuma menyentuh mengenai ‘bagus’ ini SS teringat akan komen seorang teman yang berkata, apa yang mampu Tiara lakukan sebagai pengetua dalam AF7 jika bakat yang diletakkan depan matanya hanya ala kadar dan tidak berketrampilan.

Teman SS itu turut menegur pengkritik di konsert pertama yang membenarkan persembahan lemah beberapa peserta dengan alasan minggu pertama, sedangkan rancangan realiti TV lain, pada minggu pertama saja kita dapat lihat betapa persembahan diberikan hampir semua peserta begitu memukau.

SS sendiri mengakui akan pendapat yang diberikan teman itu . Dalam pada itu menerusi rancangan Diari, SS nampak Tiara kini sedang bekerja keras untuk membantu fakultinya dan peserta.

 

 

Diharapkan pada konsert minggu kedua ini akan berlaku banyak perubahan bagi menarik kembali perhatian penonton setia.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Mana Tarian Menuju Puncak?

16 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
JANGGAL apabila di konsert pertama Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), peserta terpilih tidak mempersembahkan tarian Menuju Puncak yang menjadi tradisi saban tahun.

Tarian itu diibaratkan tunjang kerana ia mengandungi falsafah rancangan berkenaan dan menjadi pengikat antara peserta dan penonton setia.

Apabila kali ini atas lesen transformasi, Menuju Puncak tidak dipersembahkan, sudah tentu ia memberi kesan kepada kehangatan konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam kelmarin.

Sewaktu sidang akhbar khas selepas konsert, Pengurus Saluran Astro, Khairul Mizan Shagul pada peringkat awal bertegas mengatakan bahawa Menuju Puncak ada dipersembahkan di pembukaan konsert.

Kenyataan itu seperti sengaja mahu menidakkan hakikat bahawa yang mengadakan persembahan bukan peserta sebaliknya penari jemputan dan mereka hanya keluar di akhir lagu, bergaya depan kamera dan menunjukkan angka tujuh. Itu saja.

Apabila didesak, akhirnya Khairul mengakui peserta tidak melakukan persembahan Menuju Puncak kerana mereka belum bersedia menyebabkan perancangan awal dibuat terpaksa ditarik balik.

Kenyataan diberikan membuatkan pihak media yang hadir hairan kerana setiap hari dalam rancangan Diari penonton menyaksikan peserta membuat latihan.

Di mana silapnya apabila peserta dikatakan belum bersedia? Adakah guru tari A Aris A Kadir gagal melaksanakan tugasnya?

Rancangan Akademi Fantasia sebelum ini tidak pernah meninggalkan Menuju Puncak walaupun selalunya penonton menyaksikan kebanyakan peserta menari ‘tunggang-langgang’ pada minggu pertama.

Namun itulah keindahannya kerana perubahan ditunjukkan kemudian membuatkan penonton jatuh cinta seperti apa yang berlaku kepada juara musim lalu, Zahid AF2 dan Mawi AF3.

 

 

Apabila perkara ini ditanya kepada pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina, jawapan berbeza pula diberikan.

Tema transformasi untuk AF7 digunakan sebagai lesen untuk membolehkan persembahan utama berkenaan ditiadakan pada minggu pertama musim ini.

“Banyak sebenarnya perubahan yang cuba kami lakukan. Kalau ia mendatangkan kebaikan, apa salahnya. Mengambil contoh sepanjang musim ini saya sudah mula melakukan beberapa transformasi kecil seperti membenarkan semua orang memakai kasut dalam akademi,” katanya.

Transformasi dan perubahan yang pastinya tidak membantu perkembangan bakat pelajar.

Apa kaitan memakai kasut dalam akademi dengan vokal dan persembahan nyanyian?

Adakah perubahan seperti itu lebih penting berbanding penonton menyaksikan kebolehan peserta menyanyi sambil menari dalam Menuju Puncak?

Peranan lagu dan persembahan Menuju Puncak daripada pelajar juga penting kerana ia menunjukkan kebolehan terutama dalam nyanyian harmoni, di samping gerak tari.

Apabila ia ditiadakan pada konsert pertama, apa lagi seri yang ada selain penonton bosan menyaksikan persembahan beberapa peserta yang rata-rata syok sendiri dengan lagu pilihan mereka.

Bukan itu saja, konsert AF7 minggu pertama boleh dianggap kurang menyerlah apabila sebahagian besar pelajar gagal memberikan persembahan yang mampu memberi impak, sekali gus membuatkan penonton terpaku.

Perkara itu turut diberi perhatian pengkritik tetap, komposer, Edri Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramli.

Walaupun kritikan diberi agak berlapik, ketiga-tiga mereka seakan faham akan keresahan penonton di stadium mahupun di rumah menyaksikan persembahan ‘lemah’ sebahagian besar peserta.

Khatijah menegur beberapa peserta yang dilihat mendendangkan lagu kurang sesuai dengan kemampuan suara.

Boleh dikatakan lagu dipilih dan didendangkan pada malam konsert pertama ibarat tidak mengukur baju di badan sendiri apabila ia terlalu berat berbanding vokal mahupun corak persembahan.

Malah, sebelum melakukan persembahan, ada antara mereka yakin berkata akan membuat penonton menangis, namun sebaik muncul di pentas, penonton ketawa melihat gaya persembahan mereka yang tidak ubah seperti badut. Cakap tidak serupa bikin.

Menerusi minggu pertama ini, hanya beberapa peserta dilihat berbakat besar dan begitu menonjol sewaktu mempersembahkan lagu mereka seperti peserta dari Kuching, Sarawak, Mohd HafizMohd Suip atau Hafiz yang menyanyikan Lagu Kita dengan begitu bersahaja.

Antara peserta lain yang berjaya menonjolkan kemampuan vokal dan persembahan menarik, Siti Aishah Bujang yang turut berasal dari Kuching, menyanyikan lagu Dan Sebenarnya ciptaan Yuna, Zizie Mohd Tahil (Molek nyanyian asal Elyana) dan Mohd Qhaud Abdul Rashid menyanyikan lagu ciptaan asal M Nasir, Phoenix Bangkit Dari Abu.

Harian Metro

Bagi Tiara, Tiada Yang Mustahil

15 Mar

DIPERSEMBAHKAN Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai pengetua musim ketujuh Akademi Fantasia (AF). Pengumuman tersebut telah membuahkan pelbagai persepsi – banyak yang mengomel tentang kredibiliti wanita itu yang cukup sinonim dengan karakter Gusti Putri Retno Ajeng Dumillah dalam teater Puteri Gunung Ledang.

Apakah kelayakan Tiara sehingga diangkat menjadi pengetua AF7 atau panggilannya kini Principal? Dia dikatakan bukan seorang penyanyi yang baik. Juga bukan seorang pelakon berprofil tinggi. Jauh sekali bijak bermain alat muzik atau begitu sejiwa dengan dunia muzik. Maka, pemilihan Tiara dilihat serba canggung, kononnya.

Tapi wanita yang hatinya penuh semangat yang mengalahkan api itu sedikit pun tidak berasa berkudis dengan persepsi-persepsi nista tersebut. Saat bersetuju untuk mengisi kekosongan kerusi panas AF7, dia sudah menetapkan satu matlamat. Matlamat itu mesti dicapai.

“Ya, saya mungkin bukan seorang penyanyi yang bagus. Atau penari dan pelakon yang hebat. Tapi saya tahu saya ialah pemimpin yang mempunyai kredibiliti. Sebab itulah saya berada dalam posisi Principal ini,” jelas Tiara penuh semangat saat ditemui di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur pada petang Jumaat lalu.

Dia memberi contoh terdekat: “Jose Mourinho dan Alex Ferguson ialah pengurus pasukan bola sepak terkenal. Mereka bukan pemain bola yang hebat tetapi dapat mengurus kelab bola sepak dengan baik.”

Bahang seminggu menjadi pengetua AF7 juga mula dirasai melalui kritikan dalam blog dan forum pencinta AF. Dia akur dengan sikap masyarakat di sebuah negara demokratik yang bebas bersuara.

Cuma dia kesal kerana sebilangan orang yang bersuara itu tidak mengenali atau menggali tentang siapa dirinya yang sebenar. Tiara yang sudah lama makan garam dalam industri seni sudah lama merasa pahit dan manis daripada pelbagai sudut.

“Orang yang bercakap itu tidak pernah berada di tempat yang saya duduk. Makanya mereka hanya boleh berkata tanpa merasai pengalaman yang sama,” ujarnya.


MENURUT Tiara, dalam AF7 para pelajar akan diberi meja sendiri dan diwajibkan memakai kasut.

Murah senyuman, mudah mesra dan sentiasa ghairah terhadap apa yang dilakukannya dalam hidup, isteri kepada Datuk Seri Effendi Norwawi dan ibu kepada dua permata iaitu Hani Karmila dan Erdani itu lancar berhujah.

Menurut Tiara, selaku pengetua, tanggungjawabnya harus sentiasa memberi motivasi dan meningkatkan keyakinan para pelajar AF7 untuk mencapai matlamat bergelar juara.

Tiada apa yang mustahil bagi wanita kecil berjiwa besar itu. Baginya, segala bermula daripada mimpi dan itulah medium yang akan menimbulkan satu perkara magis yang bakal terjadi dalam kehidupan.

Memberikan contoh idola yang pernah mewujudkan rekod terhebat dunia dalam pelbagai bidang seperti Usain Bolt yang menentang rekodnya sendiri sebagai lelaki terpantas di dunia dan Cristiano Ronaldo yang hebat di lapangan bola sepak, semua cita-cita bagi Tiara mampu terlaksana dengan misi dan visi yang tinggi.

“Kita mahu menjadi yang terbaik. Tidak mahu nama kita disenaraikan dalam ‘dan lain-lain’,” ujarnya sambil tersenyum manis.

Transformasi besar

Selama 20 tahun mencari pengalaman dan bergelumang dengan kesenian yang membina dan membentuk imej, tidak salah jika kepakaran itu disalurkan untuk sebuah platform terbesar pencarian bakat di Malaysia.

Malah proses membina hero bukan baru dalam dunia Tiara. Sudah banyak nama berjaya menjadi bintang di bawah bimbingan dan tangannya. Sofia Jane, Maria Farida, Linda Jasmine, Aida Razwill, Nasha Aziz malah Azhar Sulaiman ialah bekas ‘pelajar-pelajar’ Tiara yang kini membina nama yang bukan calang-calang.

Lantas memilih Tiara sebagai pengetua sudah menunjukkan aras awal transformasi besar dalam formasi AF kali ini. Alang-alang berubah biar berbeza segalanya.

Itu jua yang bakal ditonjolkan Tiara. Perancangan dan matlamat merupakan langkah awal yang paling utama dititikberatkannya.

Perkara utama yang ditanam dalam minda anak-anak didiknya adalah mentaliti positif, yakin dan berani bermimpi. Tanpa prinsip itu mereka hanya akan berasa selesa kerana sudah berjaya berada dalam program realiti popular tersebut.

“Mereka harus yakin dan ada mentaliti yang positif bahawa hanya akan ada satu pemenang daripada 14 peserta yang ada sekarang. Jadi untuk mencapai matlamat itu, mereka harus berani bermimpi,” jelas Tiara lagi.

Berdasarkan pengalamannya, Tiara seakan-akan telah ternampak sosok seorang yang bakal bergelar bintang dalam AF7. Tiara seakan-akan sudah dapat mengimbas personaliti orang itu.

“Geram juga saya melihat pelajar AF. Sudah ada dalam kepala saya tentang corak imej baru mereka. Cuma saya biarkan mereka dulu untuk minggu pertama.

“Biar penonton melihat dan kenal diri mereka yang sebenar,” ujarnya yang mengakui sudah melihat 12 daripada 14 peserta yang mempunyai potensi untuk digilap jika mereka konsisten dan fokus dalam mencapai matlamat.

Ditanya apa yang sudah diubah Tiara dalam tempoh seminggu menjadi ‘pemandu’ AF7, kata Tiara dalam ketawa, dia merubah tertib mereka secara profesional.

Jika selama enam musim sebelum ini para peserta tidak memakai kasut di dalam akademi dan belajar dengan duduk bersila di atas lantai, di bawah tampuk pimpinannya, dia mengubah imej itu.

Kasut harus dipakai dan setiap pelajar mempunyai meja ketika menimba ilmu.

“Saya mahu semuanya berjalan secara profesional. AF7 ialah sebuah akademi, bukannya rumah. Maka mereka harus faham bahawa dalam akademi, disiplin dan profesionalisme itu penting,” katanya yang turut mementingkan persembahan pentas untuk mereka muncul di hadapan khalayak.

Direstu suami

PENTAS yang dilalui Tiara dilihat begitu indah. Semua yang dihajatkan menjadi realiti. Itu semua, kata Tiara, berkat mimpi luar biasa yang dipasang setiap kali dia mahu mencapai sesuatu.


TIARA bersama Affendi.

Di sebalik kerja kuat, restu suami menjadikan Tiara hari ini masih berdiri megah dan enak melayari perjalanan seninya.

“Saya amat mementingkan restu daripada suami. Jika dia tidak merestui apa yang saya lakukan sekarang, tak mungkin saya akan berjaya,” luahnya penuh bahagia.

Malah menjadi isteri kepada orang ternama dan hidup mewah juga bukan satu pasport buatnya untuk hidup goyang kaki. Bukan itu prinsip hidup wanita penuh energi ini.

Tiara mengakui, jika sehari tidak membuat pekerjaan, dia akan berasa gelisah.

Katanya: “Memang ada kawan-kawan yang cakap mengapa saya perlu berkerja lagi sedangkan kemewahan sudah mengulit kehidupan saya? Tapi saya ialah orang yang tidak akan berhenti melakukan sesuatu kerana saya suka untuk terus berkembang.”

Kosmo