Archive | Too Phat RSS feed for this section

Kebanggan Estranged

6 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
MENDAHULUI dengan lapan pencalonan, kumpulan Estranged berasakan satu penghormatan apabila album terbaru dihasilkan Remain Unknown mendapat pengiktirafan juri yang mengadili Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16).

Apatah lagi pencalonan turut diterima dalam kategori utama termasuk dua lagu Melayu iaitu Aurora dan Yang Pernah.

Remain Unknown dicalonkan untuk kategori Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik (menerusi lagu Aurora dan Yang Pernah), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (untuk lagu Dances of The Spirit dan In No Time), Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (menerusi lagu Aurora).

Ditemui pada majlis sidang akhbar mengumumkan lima peserta terbaik AIM16 di Hotel Concorde, baru-baru ini, Andy mewakili anggota Estranged bangga apabila album dihasilkan itu memperoleh pencalonan pada majlis anugerah paling prestij di tanah air.

“Apa yang saya katakan ini mungkin dianggap ‘klise’ tetapi dicalonkan dalam lapan kategori sudah dianggap satu kemenangan besar bagi Remain Unknown.

“Begitupun kami tidak menaruh harapan tinggi untuk menang kerana kebanyakan saingan hebat, terutama album hip hop dihasilkan Joe Flizzow.

“Kami turut bangga apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album Remain Unknown, Aurora dan Yang Pernah turut disenaraikan dalam Lagu Rock Terbaik. Tetapi untuk menang susah kerana dua lagu popular dendangan Hujan, Dugaannya dan Bila Aku Sudah Tiada turut berada dalam kategori sama,” katanya.

Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak berada sebaris dengan Datuk Siti Nurhaliza apabila album solo pertama dihasilkan, President memperoleh tujuh pencalonan.

Lebih menarik apabila dia yang terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi hip hop berkumpulan Too Phat turut dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik.

Teman kumpulannya Malique, yang turut muncul dengan album solo pertama, Mentera Beradu juga dicalonkan dalam kategori sama.

 

 

Antara pencalonan lain diterima Joe termasuk Kulit Album Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik (untuk tiga lagu, Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta), Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Walaupun ada yang cuba mempertikaikan pencalonannya dalam kategori Artis Baru Terbaik, namun Joe menerima dengan positif.

“Prinsip saya dalam hal ini, rezeki jangan ditolak dan musuh jangan dicari. Susah sebenarnya untuk kita mempertikaikan kerana sebelum ini kalau kita perhatikan Faizal Tahir turut memenangi kategori sama tahun lalu menerusi album Aku.Muzik.Kamu.

“Sedangkan semua orang tahu dia pernah menganggotai kumpulan nasyid dan pernah menghasilkan album. Malah ada beberapa kemenangan artis dalam kategori itu turut dipertikaikan kerana ada antaranya pernah menghasilkan album solo sewaktu muda,” katanya.

Joe turut meluahkan kegembiraannya apabila pihak penganjur AIM16 mewujudkan kategori hip hop tahun ini sekali gus mengiktiraf dan membuka ruang kepada penggiat muzik itu.

Menyentuh mengenai persaingan dengan rakan kumpulannya sendiri Malique dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik jelas Joe perkara itu turut membuatkan dirinya teruja.

“Bayangkan sebelum ini kami dicalonkan sebagai satu kumpulan tetapi sekarang bersaing sesama sendiri. Pada saya tidak kira sama ada saya mahupun Malique menang pada malam itu nanti kami tetap saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu Reshmonu yang kali pertama menghasilkan album Melayu sepenuhnya, Harapan, gembira apabila ia menerima lima pencalonan termasuk beberapa kategori utama.

“Saya tahu ramai tidak tahu mengenai kewujudan album ini, kerana ia belum dipromosikan sepenuhnya. Saya hanya sempat mengedarkannya akhir tahun lalu.

“Pencalonan album ini dalam beberapa kategori utama di AIM16 diharapkan dapat membuka ruang buat saya mempromosikannya. Kini saya dan pasukan promosi ditubuhkan akan bekerja keras untuk mempromosikan kepada umum,” katanya.

Reshmonu menerima dua pencalonan dalam Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki) menerusi dua lagu iaitu Doa Untuk Dia dan Sayu, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik dan Album Pop Terbaik.

AIM16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei ini di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra, jam 8.30 malam. Ia turut disiarkan secara langsung menerusi ntv7 selaku penyiar rasmi dan FlyFM serta HotFM sebagai radio rasmi.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Respirasi Muzik: Cita Rasa Berbeza

24 Mar

Rap
Album: President
Artis: Joe Flizzow

CUBA memberikan sesuatu berbeza kepada peminat setia kumpulan Too Phat, kedua-dua anggota kumpulan rap popular tempatan ini, Malique dan Joe Flizzow menghasilkan album solo menampil cita rasa sendiri yang sangat berbeza berbanding album pernah dihasilkan.

Jika Malique memilih rap berlatarkan irama Nusantara, berbeza pula Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak, lebih senang dengan jalur rap semasa dan terkini.

Tidak kurang ada antara lagu ditampilkan dalam album solo Joe, President kedengaran seakan pengaruh muzik diketengahkan komposer dan penyanyi rap terkenal dunia, Akon agak kuat.

Namun itulah digemari pendengar dan Joe sebaik mungkin memberikan apa yang mereka mahukan.

Menambahkan lagi warna pada album menampilkan 9 lagu Inggeris dan selebihnya dalam dwibahasa dan bahasa Melayu, Joe turut bekerja sama dengan beberapa komposer, deejay dan penyanyi dari rantau nusantara.

Antara terbabit, Terry Ty Lee penerbit lagu kelahiran Singapura dan kini menetap di Taiwan, Khan (Thailand), anggota kumpulan Ahli Fikir, DJ Cza (Indonesia) dan Koko seorang penerbit yang menetap di San Francisco, Amerika Syarikat.

Dalam album ini juara Asian Idol, Hardy Mirza turut menyumbangkan suara menerusi lagu Mengapa Harus Kita Bercinta dan Complicated.

Menarik apabila Joe menggunakan ‘interpolasi’ lagu daripada muzik Isabella, nyanyian asal kumpulan Search dan amat diminati Joe untuk dijadikan latar dalam lagu yang turut menggunakan judul sama.

Lagu lain yang tidak kurang menariknya dalam President, Do It Duit, Get It Done, Bergerak dan Do It Big.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Joe Tonjol Kreativiti

11 Mar

Rap
DENGAN menamakan judul album The President, Joe Flizzow, 30, kembali merakamkan Isabella versi hip hop, selain muncul secara solo antara tarikan cukup menarik selepas dua tahun ‘menyendiri.’

Kemunculan Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 30, secara sendirian tanpa Malique yang dianggap peminat Too Phat sebagai ‘mastermind’ seakan-akan mengukuhkan lagi tanggapan kumpulan yang mengasaskan muzik hip hop di Malaysia itu sudah berpecah.

Kebetulan, saat kehilangan misteri Malique diperkatakan, pemuda berbakat itu mengejutkan industri hiburan dengan berita perkahwinannya dengan pelakon Melissa Maureen Rizal di Bali, pada 8 Ogos lalu.

Seterusnya melancarkan album solo berjudul OK yang menampilkan lagu hit, Mantera Beradu duet bersama M Nasir dan album itu tidak tercatat nama Joe.

Bagai memendam sesuatu di raut wajahnya, Joe yang ditemui pada majlis pelancaran The President (edaran Warner Music) di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur menyangkal gosip yang sudah lama diperkatakan media dan peminat itu.

“Too Phat tidak pernah berpecah dan tidak semudah itu untuk membubarkannya. Saya dan Malique menubuhkan Too Phat sejak saya berusia 19 tahun.

“Sudah sedekad ia bertapak di persada seni kita . Kami bekerja keras untuk menempatkan nama dan jalur muzik hip hop di negara ini dan tidak mungkin semudah itu membubarkannya.

“Kemunculan projek solo ini perlu untuk menonjolkan kredibiliti dan kreativiti kami secara individu bahkan ia peluang untuk mengetengahkan konsep muzik yang diinginkan.

“Kerja secara berkumpulan adalah gabungan idea setiap ahli justeru kepuasan itu mungkin tidak sama seperti menghasilkan album solo.

“Lagipun, ini bukan fenomena baru kerana di Barat sudah ramai artis berkumpulan beralih kepada projek solo namun, ia masih meneruskan perjuangan secara berkumpulan,” katanya.

Harian Metro

Presiden Joe Flizzow

8 Mar

“Ini bukan album percubaan atau album yang lahir atas rasa kecewa terhadap perjalanan naik dan turun Too Phat selama ini. Ini ialah album tentang keinginan dan idea sendiri” – JOE FLIZZOW

JOE FLIZZOW tampak berbeza dalam penampilannya kali ini. Dia segak berkot. Tiada seluar besar atau gaya hip hop ‘bling-bling’. Imej Joe Flizzow kini nampak matang. Ia bagai menterjemahkan maksud pada album solo perdananya, The President. “Saya tak kisah kalau sesekali pakai kot. Lagipun tahun ini saya sudah 30 tahun,” katanya.

Kemudian dia pantas menyatakan, album The President tiada kaitan dengan identiti Presiden Amerika, Barack Obama. “Saya hampir-hampir menukar tajuk album ini selepas Obama menang,” katanya sambil ketawa.

Sebaliknya The President yang diilhamkan tahun lalu sewaktu hampir kesemua negara di dunia menjalani pilihan raya umum didefinisikan sebagai mahu membina empayar sendiri dalam kepakarannya sebagai penyanyi hip hop.

Bagaimanapun, tegas Joe: “Saya tidak kata saya presiden hip hop atau rap dan sebagainya. Tapi saya melihat ia dari sudut pengaruh dalam satu gelombang yang kemudian orang mendengar kita.”

Menggunakan duit sendiri untuk menggarapnya, kata Joe, album dengan 14 buah lagu itu adalah terjemahan rasa sepanjang dia bergerak secara solo selepas teman duonya dalam Too Phat, Malique, membawa haluan sendiri beberapa tahun lalu.

Biarpun sukar membuang imej Too Phat iaitu Malique dan Joe, kata jejaka ini, kelahiran The President menggambarkan keinginan dalam kehidupannya.

“Ini bukan album percubaan atau album yang lahir atas rasa kecewa terhadap perjalanan naik dan turun Too Phat selama ini. Ini ialah album tentang keinginan dan idea sendiri. Maka lahirlah The President.

“Malah album ini cukup berbeza dengan album-album Too Phat termasuk dari segi produksi di mana saya bekerja dengan karyawan yang tidak pernah terlibat dalam album Too Phat dulu.

“Kemudian, berbanding album Too Phat, saya menggunakan jenis drum 808 yang tidak pernah kami gunakan dulu dalam 10 buah lagu solo saya.

“The President juga boleh dianggap sebagai album komersial dance, house music dan pop. Saya klasifikasikan album ini sebagai relevan serta berada dalam pasaran yang betul,” hujah Joe yang menghantar album ini ke SoundCubed Studios dan Grundman Mastering di Hollywood, California, Amerika Syarikat untuk sesi mastering.

Usai berbicara tentang album solonya, Joe yang diusik mempunyai iras wajah ikon hip hop Hollywood, Jay Z, ketawa besar. Sambil mengakui wajahnya mempunyai iras rapper tersebut, Joe enggan dilabelkan sebagai Jay Z Malaysia.

Katanya: “Saya tahu dia hebat. Tapi satu hari nanti, jika ada kesempatan bertemu Jay Z, saya mahu dia tahu saya ialah Joe Flizzow yang juga punya keistimewaan sendiri.” – MALIAH SURIP

Kosmo

Bergerak Solo

25 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mengikut jejak Malique dengan menerbitkan lagu, album secara bersendirian

JOE Flizzow atau Joe sudah meredah pelbagai kesukaran ketika mengharungi dunia seni selama hampir satu dekad dengan rakan seperjuangannya Malique Ibrahim (Malique) dalam kumpulan Too Phat.

Agak membanggakan juga kerana berkat kegigihan mereka itu, Too Phat pernah menimbulkan fenomena tersendiri suatu ketika dulu.

Malah, duo ini cukup diingati dengan lagu Alhamdulillah menampilkan aktres seberang, Dian Sastrowordoyo dan Dua Dunia bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Namun begitu, selepas menghasilkan album Rebirth Into Reality, Joe dan Malique memilih jalan untuk tampil secara solo. Keputusan itu menimbulkan pelbagai spekulasi hingga ada yang menganggap kumpulan hip hop ini sebenarnya sudah berpecah.

Misteri kehilangan Malique juga mengundang pelbagai andaian dan paling mengejutkan tahun lalu apabila dia menamatkan zaman bujang dengan model dan pelakon jelita, Melissa Maureen Rizal di Indonesia.


LANCAR sudah album sulung Joe berjudul The President.

Bagaimanapun, bagi Joe, Too Phat belum berkubur kerana peninggalan seni kumpulan ini tidak akan berakhir dengan begitu saja.

Menurutnya, dia ingin terus melihat kumpulan itu melakukan kemunculan semula atau ‘come back’.

Katanya, apa yang terjadi kepada Malique memang masih meninggalkan tanda tanya biarpun rakannya itu sempat mengeluarkan album solo terbarunya menampilkan lagu hit, Mantera Beradu bersama M Nasir.

Berkat paduan itu juga sudah melayakkan mereka ke Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bagi kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular.


KELUARGA tersayang tidak jemu memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Joe.

“Sebagai aktivis seni, kami merancang untuk kembali tapi tidaklah secepat mungkin. Perihal kami berpecah sudah lama menjadi buah mulut orang hingga ada cerita yang mengatakan kami bergaduh. Ia hanya khabar angin dan Too Phat belum berkubur, cuma masing-masing memberi tumpuan kepada projek sendiri.

“Saya dan Malique menubuhkan Too Phat sejak usia saya 19 tahun. Kini sudah sedekad kumpulan hip hop ini bertapak dalam dunia muzik. Takkan semudah itu kami mahu membubarkan Too Phat. Kami berusaha keras mengukuhkan genre hip hop di Malaysia.

“Kami menunggu masa sesuai untuk mengembalikan Too Phat. Mungkin juga kami akan menggunakan pendekatan yang selalu menjadi pilihan penggiat seni sekarang iaitu melalui penghasilan lagu single. Lagipun kita semua tahu Malique sudah berkahwin dan dia kini dalam proses untuk menyesuaikan diri untuk menjadi orang sudah berkeluarga atau menjadi ‘family man’,” katanya sewaktu ditemui di Hard Rock Cafe minggu lalu.

Di premis hiburan terkenal itu, Joe mengikuti jejak rakannya Malique dengan melancarkan album solo sulungnya diberi judul The President. Album yang cukup bermakna dalam diari hidupnya ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Bagi album itu, Joe bekerjasama dengan teman seperjuangannya dari luar negara seperti Hady Mirza & TerryTyeLee (Singapura), Thaitanium (Thailand), Joeniar Arief (Indonesia, Jin (Amerika Syarikat) dan Phlowtron (Malaysia).

Istimewa juga single pertama daripada Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak ialah memuatkan lagu Isabella yang pernah dipopularkan kumpulan Search.

Menurutnya, selepas mendapat keizinan daripada kumpulan Search, dia tidak membuang masa untuk menyanyikan semula lagu itu dan terus memasukkan dalam album The President.

“Dia (Amy Search) memberi sokongan penuh atas apa yang saya usahakan ini terhadap lagu Isabella. Atas keizinannya, saya melakukannya sepenuh hati. Umum juga tahu nama seperti Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid mencipta fenomena di negara jiran kita, selain Indonesia. Mereka sentiasa diingati dan atas alasan itu juga saya ingin menembusi pasaran sana.

“Kejayaan Amy memberi inspirasi kepada saya kerana selain dianggap lagenda, dia juga cukup berjaya sebagai usahawan. Selalu kalau berpeluang bertemu dengannya, dia tak lokek memberi nasihat dalam apa yang dilakukan. Saya juga ingin mengikut jejaknya.

“Akhir bulan ini saya akan ke Indonesia kerana terbabit dengan persembahan dan apabila sudah berada di sana, saya akan berbincang mengenai usaha membawa album ini ke pasaran negara itu. Jika dulu, saya di bawah label EMI, sekarang mendapat kerjasama Warner pula untuk edaran. Semuanya belum dapat dipastikan,” katanya yang sudah mempunyai kekasih hati.

Tiada lagi imej budak hip hop

MELIHAT kepada imejnya kini nampak lebih kemas dan tiada lagi imej budak hip hop yang gemar memakai topi, berbaju besar dan seluar pendek yang labuh hingga paras lutut. Malah, ada yang mula melabel dirinya sebagai Jay Z Malaysia.

Katanya, seiring dengan usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada Oktober ini, ia dilihat sebagai antara peralihan transformasi dunia barunya.

Sambil berseloroh, Joe berkata, wajahnya mungkin sekali pandang seiras dengan Jay Z tapi seboleh-bolehnya dia enggan dibayangi dengan jolokan itu.

Tambahnya lagi, wajahnya mungkin sedikit kacak daripada penyanyi rap dan usahawan berjaya itu.

“Saya tidak boleh menidakkan suami kepada Beyonce Knowles itu banyak memberi inspirasi dan pengaruh bukan kepada saya saja, malah orang lain.

“Kesannya cukup besar terhadap saya. Memang saya berharap suatu masa nanti dapat berjumpa dengannya. Mana tahu, saya dapat berkongsi muzik dan ideologi dengannya,” katanya yang tidak kisah berimej memakai kot.

Ditanya mengenai kebangkitan band indie yang semakin mendapat perhatian sejak tiga tahun kebelakangan ini, Joe melihat ia sebagai satu perkara yang positif.

Katanya, ia juga menandakan bahawa masyarakat Malaysia sudah mula terbuka menerima pelbagai genre muzik.

“Ia satu impak yang positif dan sebelum kemunculan Estranged, Meet Uncle Hussain, Hujan dan Bunkface lagi, kita sudah ada kumpulan seperti Butterfingers dan OAG yang juga bermula secara underground.

“Perjuangan mereka dalam tempoh yang lama tanpa sebarang perhatian ramai akhirnya berubah serta merta seiring dengan perubahan evolusi muzik di negara kita,” katanya yang masih yakin peminat muzik hip hop masih ada.

INFO: Pemahaman Joe terhadap judul albumnya, The President

Albumnya diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Kartel Records yang ditubuhkan sejak 2006.

* Dirakamkan ketika negara sedang sibuk menghadapi pilihan raya.

Katanya lagi, kerana Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dia hampir menukar judul album ini.

Ia ibarat luahan hatinya dan tidak bermaksud untuk mengatakan dirinya sebagai raja atau presiden kepada Hip Hop.

Ia merujuk kepada diri, seseorang yang boleh mencipta perubahan, melaksanakan sesuatu dan setiap butir bicaranya sentiasa didengar.

Simbol kepada impian Joe sendiri yang mahu mengukuhkan hasil kerja seninya tidak pudar dalam sanubari hatinya.

Dalam usaha untuk mencapai kejayaan dan kesempurnaan pasti akan ada halangan yang datang. Sebagai contoh, sewaktu mula menyanyi lagi, isu cetak rompak mula menular. Begitu juga sekarang, dengan kecanggihan teknologi hingga berlaku penyalahgunaan seperti muat turun lagu secara haram.

Album ini melakukan proses mastering secara maya di California membabitkan dua studio di Hollywood dengan kos harga RM10,000.

Lapan lagu dalam album ini menggunakan teknik muzik yang dipanggil 808s yang sering digunakan penyanyi rap, Timberland.

Penerbit yang terbabit untuk album ini tidak pernah langsung terbabit dalam penghasilan album Too Phat sebelum ini.

Lebih 80 ke 100 lagu dipilih sebelum ia dikecilkan menjadi 14 lagu pada akhirnya.

INFO: Joe Flizzow

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 16 Oktober 1979.

Menyertai Too Phat pada usia 19 tahun

Album ini diciptanya ketika Joe ‘keseorangan’ dan ketika kisah ‘kehilangan’ Malique mula diperkatakan.

Masih menghubungi dan bertemu dengan Malique. Malah, Malique antara orang pertama ditunjukkan hasil akhir album ini.

Anak kepada bekas pembaca berita TV3, Ishak Nengah dan wartawan, Aishah Ali.

Berita Harian

Nan Tunggu Isyarat Tangan M Nasir

17 Feb

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENYEMAK senarai pemuzik yang terbabit dalam Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB) anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang diadakan pada tanggal 27 dan 28 Februari serta 1 Mac, jelas sekali mereka ‘repertoire’ – pemuzik handalan yang sering menyerikan penganjuran konsert mega serta majlis penganugerahan berprestij.

Individu berpengalaman ini ialah Aznan Alias atau mesra dengan panggilan Nan yang bertindak selaku pengarah muzik juga gitar utama, Zul Mahad (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (Dram), Pa’ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).

Kemunculan penyanyi senior Jay Jay yang baru meluncurkan single terbarunya berjudul Permaisuri sebagai pemain bassist dalam konsert ini mengiringi persembahan komposer itu termasuk empat penyanyi latar Wan Mohd Azran, Tija, Yiaz Baktiar dan Joanita.

Menurut Nan, 40, mengiringi persembahan komposer dan penyanyi prolifik, M Nasir memberikan kepuasan dan ‘feel’ yang berbeza kepada pemuzik yang terbabit.

“Perbezaan antara mengiringi konsert M Nasir dengan artis ternama lain di mana kami selaku pemuzik turut berpeluang membuat persembahan. Saya katakan ini bukan untuk membeza-bezakan namun, ini apa yang dirasakan saya sendiri berdasarkan 20 tahun pengalaman menjadi pemuzik.

“Datuk Siti Nurhaliza contohnya nama besar yang pernah mengadakan konsert. Namun, peranan pemuzik hanyalah sebagai pengiring bukan sebahagian daripada persembahan biduanita itu.

“Maksud saya, kami tidak perlu bersusah-payah kerana hanya perlu bermain muzik mengikut senarai lagu dan susun atur acara yang sudah ditetapkan dan dibincangkan dari awal.

“Berbeza dengan persembahan atau konsert M Nasir, beliau akan membuat persembahan berdasarkan ‘feel’ dan tindak balas penonton yang dirasakannya ketika itu.

“Justeru, sering berlaku pertukaran lagu secara mendadak dan paling mengerikan sekiranya permintaan lagunya itu tiada dalam senarai persembahan mahupun ketika sesi latihan,” katanya.

Mengiringi persembahan dan konsert M Nasir sejak 20 tahun lalu, Nan menambah M Nasir mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan isyarat setiap kali mahu melakukan pertukaran lagu.

Salah satu taktiknya, katanya, adalah dengan menepuk tangan.

“Di sinilah cabarannya saya sebagai pengarah muzik di mana saya perlu sentiasa peka sebelum isyarat itu disampaikan kepada pemuzik di bawah pimpinan saya.

“Sebagai persediaan menghadapi situasi yang tidak dijangka seperti itu biasanya kami akan menghafal 40 lagu daripada 20 hingga 28 lagu yang kami berlatih.

“Setakat ini kami tidak merasakan ia sebagai bebanan, malah sangat seronok melakukannya. Saya sendiri membesar dengan muzik M Nasir sejak zaman Kembara dan sudah mengiringi persembahannya selama 20 tahun.

“Untuk pengetahuan ramai, kebanyakan pemuzik yang mengiringi dalam konsert ini adalah wajah sama yang terbabit dalam pembikinan albumnya. Justeru, boleh dikatakan tiada masalah kerana semua lagunya kami hafal,” katanya.

Begitupun, Nan tidak menafikan cabarannya tetap ada kerana karya ciptaan M Nasir mempunyai pengertian yang sangat mendalam, menyentuh soal kehidupan, kemanusiaan dan alam sejagat.

Terdapat pelbagai elemen dan instrumen diguna pakai dalam lagunya dan ia satu proses rumit dan memerlukan penghayatan mendalam.

Antara lagu-lagu yang mencabar seperti Keroncong, Gong Impian dan Selalu Nyata.

Menjalani latihan sejak tiga minggu yang lalu di studio Luncai Emas, Sungai Buloh, sesi latihan sebenar serta peralatan konsert akan dibawa masuk ke Istana Budaya pada 24 Februari ini. Manakala 26 Februari, mereka akan menjalani raptai penuh.

Nan menjelaskan, konsert ini bersifat peribadi dan berkisarkan perjalanan seni M Nasir bermula dengan perjuangannya bersama Kembara sehingga sekarang. Ia juga mengangkat serta menjadi medan luahan rasa M Nasir terhadap senario pergolakan dunia yang berlaku di Tebing Gaza.

Sementara itu, M Nasir dalam kenyataannya berasa teruja untuk mengadakan konsert ini dan gembira latihan yang dijalankan hampir sempurna.

“Saya akan membawakan 18 hingga ke 25 lagu pada malam konsert. Boleh jadi ia lebih daripada itu. Setakat ini latihan berjalan dengan lancar kerana saya bertuah semua pemuzik yang terbabit adalah sahabat lama saya dan mereka juga tunjang belakang kejayaan karier seni saya sejak dulu lagi.

“Justeru, apa yang kami lakukan sekarang ini adalah membuat sedikit perubahan serta menampilkan kelainan dari segi susunan muzik supaya ia menepati konsep serta tema yang diketengahkan malam itu. Yang penting, matlamat memberikan gambaran dengan apa yang berlaku pada dunia sejagat pada malam itu haruslah sampai,” katanya.

Sekadar mengimbas, kali akhir artis berusia 52 tahun ini beraksi di pentas konsert mega adalah pada 29 Januari 2000 apabila beliau muncul dalam Konsert Raikan Cinta M Nasir di Stadium Merdeka.

Sebelum itu, beliau pernah menjayakan banyak lagi konsert antaranya Andalusia, Konsert Canggung M Nasir, Stadium Negara 29 Julai 1994; Asia Live (langsung dari Jepun) 12 Mei 1995; Konsert Akar Manifestasi Akustika M Nasir, PWTC (26 Oktober 1995); Konsert Gembala M Nasir, Habour Pavillion Singapura (20 ogos 1999); Konsert Raikan Cinta M nasir, ntv7 (30 Ogos 2001) dan Konsert Phoenix M Nasir (2002).

Daripada 30 lagu yang bakal dipersembahkan, pemilik diploma dalam bidang seni lukis dari Nanyang Academy of Fine

Arts di Singapura pada 1978 ini dijangka turut menghangatkan pentas IB dengan lagu beberapa lagu baru serta lagu lama seperti Mentera Semerah Padi, Apokalips, Masirah dan Hijab Kekasih.

Selain itu, lagu Mantera Beradu gandingan bersama Malique Too Phat yang cukup hangat ketika ini serta Ekspres Rakyat berkemungkinan turut disampaikan penghibur berkenaan.

“Mungkin iya dan mungkin juga tidak kedua lagu itu akan dipersembahkan. Buat masa ini saya berlatih semua lagu yang hit dan dipilih atas kesesuaian tema bagaimanapun saya hanya akan menyenaraikan yang terbaik. Selain itu, berkemungkinan besar lagu baru turut dipersembahkan,” katanya.

Harian Metro

Melissa Bahagia Bergelar Isteri

5 Sep

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my


MELISSA dan Malique ketika majlis resepsi mereka di Bali, Indonesia baru-baru ini.

PELAKON jelita ini mungkin masih baru di kalangan peminat seni tanah air. Berdarah kacukan Pakistan – Cina, Melissa atau nama sebenarnya Melissa Maureen Rizal, 28, pernah membintangi filem arahan Bernard Chauly, Gol & Gincu sekitar tahun 2005.

Selepas itu, kelibatnya jarang kelihatan di kaca televisyen mahupun di layar perak sehinggalah kebelakangan ini namanya hangat diperkatakan setelah tersebarnya gambar perkahwinan ‘rahsia’ bersama Malique Ibrahim, 31, atau Malique dari kumpulan Too Phat.

Bagi Melissa, meskipun melangsungkan perkahwinan secara rahsia, dia kini begitu bahagia melayari alam rumah tangga dan sangat bangga dengan status baru sebagai isteri.

Ditanya tidakkah tindakannya merahsiakan perkahwinan bakal mengundang spekulasi negatif serta kemarahan para peminatnya, kata Melissa: “Kenapa mereka nak marah, sedangkan saya sekarang sangat bahagia dengan suami saya.

“Apa yang pasti, kami kini telah bergelar suami isteri dan yang penting saya harap para peminat menerima perkahwinan kami serta mendoakan kebahagiaan kami berdua sebab sekarang kami memang bahagia,” luahnya memohon pengertian.

Berbicara tentang keistimewaan suaminya itu, kata Melissa, Malique merupakan suami yang begitu menghormati serta sangat memahami kerjayanya sebagai model dan pelakon.

“Dia juga banyak memberikan saya kebebasan serta kepercayaan dalam meneruskan kerjaya,” kata duta produk kecantikan Olay White Radiance itu lagi.

Ditemui pada sidang media drama online Ceraiya baru-baru ini, Melissa menjelaskan, alasan sebenar dia menyembunyikan perkahwinannya daripada pengetahuan umum.

“Bukan tidak mahu hebahkan, cuma saya rasa kalau banyak sangat orang tahu tetapi kalau tidak menjadi nanti apa kata orang,” ringkas jawapan yang keluar dari mulutnya.

Melissa selamat diijabkabulkan pada tarikh keramat 8 Ogos lalu di Nusa Dua, Bali, Indonesia setelah tiga tahun mengikat tali pertunangan.

Tidak mahu berkongsi lebih lanjut tentang hari bahagianya itu, kata Melissa, biarlah detik itu hanya menjadi kenangan dia dan suaminya sahaja.

Menurut Melissa, majlis resepsi yang berkonsepkan perkahwinan tepi pantai yang dihadiri oleh 40 orang tetamu daripada keluarga kedua-dua belah pihak diadakan pada sebelah malam hari pernikahannya itu.

Selain dimeriahkan oleh ahli keluarga serta rakan-rakan sekolah pasangan pengantin, ia turut dihadiri oleh penyanyi Joe Flizzow.

Berikutan gambar perkahwinannya yang tersebar luas di Internet, kekecewaan Melissa jelas terpancar ketika diajak berbicara tentangnya.

“Sebenarnya perkahwinan sangat peribadi kepada saya sebab itu saya buat secara kecil-kecilan supaya tidak diketahui umum. Tetapi tersebar juga di Internet.

“Saya tidak mahu ulas banyak tentang perkara ini kerana bukan sahaja melibatkan diri saya tetapi saya perlu fikir bagi pihak Malique juga,” katanya.

Berlakon drama online

Melissa yang telah empat tahun berkecimpung dalam dunia seni bakal muncul dalam drama online Ceraiya (Cerai Raya) yang mula ditayangkan di portal gua.com.my bermula 1 September lalu pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Selain Melissa, drama komedi yang mengambil masa selama lima minit setiap episod itu turut dibintangi oleh Tony Eusoff.

Menurut Melissa, drama yang diterbitkan oleh KL Motion Pictures arahan Azizi ‘Chunk’ Adnan itu memberi cabaran baru baginya kerana itulah pertama kali dia melakonkan watak komedi.

“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir dapat berlakon komedi sebab bagi saya watak komedi bukan semua pelakon mampu melakonkannya. Bagi saya kalau berlakon cerita sedih dan watak air mata lebih mudah jika dibandingkan dengan watak komedi,” katanya.

Melissa yang sebelum ini pernah menjayakan lebih 15 buah drama dan sebuah filem bakal muncul dengan filem terbaru, Hooperz sebagai Wan Zulaika tidak lama lagi.

Utusan Malaysia