Archive | Uncategorized RSS feed for this section

2011 in review

4 Jan

The WordPress.com stats helper monkeys prepared a 2011 annual report for this blog.

Here’s an excerpt:

The concert hall at the Sydney Opera House holds 2,700 people. This blog was viewed about 43,000 times in 2011. If it were a concert at Sydney Opera House, it would take about 16 sold-out performances for that many people to see it.

Click here to see the complete report.

Advertisements

2012 in review

4 Jan

The WordPress.com stats helper monkeys prepared a 2012 annual report for this blog.

Here’s an excerpt:

19,000 people fit into the new Barclays Center to see Jay-Z perform. This blog was viewed about 110,000 times in 2012. If it were a concert at the Barclays Center, it would take about 6 sold-out performances for that many people to see it.

Click here to see the complete report.

Benarkan Fikiran

30 Dec

Oleh Syazwan Zakariah
syazwan_zakariah@astro.com.my


JOHNNY Depp dan Angelina Jolie pelakon utama The Tourist.

SAYA sangat seronok dengan kehadiran The Tourist atas beberapa sebab. Selepas penat menyaksikan filem 3D yang berderet-deret, saya hanya mahu sebuah filem yang dijayakan para pelakon sebenar dan bukan kesan khas. Tambahan pula ia menjalani penggambaran di Venice, lokasi percutian kegemaran saya.

The Tourist merupakan filem cereka kedua arahan Florian Henckel von Donnersmarck. Pengarah dari Jerman ini merupakan pemenang Oscar 2006 untuk kategori Filem Asing Terbaik menerusi The Lives of Others. Saya pernah menonton filem itu dan amat menyukainya.

Namun demikian, saya tidak mengharapkan The Tourist menjadi sebuah lagi material untuk Oscar, walaupun mendapat tiga pencalonan Golden Globe. Sifatnya sebagai calon Filem Muzikal atau Komedi Terbaik memberi petanda ia sebuah filem ringan dengan pemandangan dan orang-orang yang cantik.

Johnny Depp memainkan peranan Frank, seorang guru Matematik yang bercuti sendirian di Eropah. Dalam perjalanan ke Venice menaiki keretapi, dia didekati seorang wanita misteri bernama Elise, lakonan Angelina Jolie.

Elise mempergunakan Frank untuk mengelirukan polis yang sedang menjejaki kekasihnya, Alexander yang lari dari cukai dan menggelapkan wang samseng. Kerana kesilapan identiti, Frank menjadi buruan.

Dia bukan saja terpaksa melarikan diri dari ditangkap, tetapi dari perangkap cinta pandang pertama terhadap Elise.

The Tourist sebenarnya adalah bikin semula dari filem Perancis, Anthony Zimmer (2005). Walaupun kebanyakan pengkritik mengatakan versi baru tidak sebaik yang asal, namun The Tourist memiliki sifat-sifat old-fashioned Hollywood movie yang sofistikated ala romantik thriller Alfred Hitchcock.

Anda dapat membayangkan kalau filem ini dibikin pada era 1960-an dengan Cary Grant dan Audrey Hepburn sebagai bintangnya.

Plotnya memang sengaja diberikan kejutan. Barangkali agak mudah untuk dijangka, tetapi itu tidak merosakkan unsur-unsur hiburannya. Dengan babak aksi yang tidak keterlaluan, dicampur sedikit debaran dan humor, The Tourist berjaya mencipta satu atmosfera santai.

Filem ini tidak akan menjadi seelok sekarang tanpa pemilihan pelakon yang tepat. Pada asalnya watak Frank mahu diserahkan kepada Tom Cruise, kemudian Sam Worthington, tetapi akhirnya Depp adalah orang yang paling sesuai.

Depp mempunyai kemahiran yang tidak ramai pelakon ada iaitu aura komedi tersembunyi yang mampu disampaikan hanya menerusi mimik muka kosong atau gerak tubuh. Dia memberikan persembahan yang efektif, sebagai seorang pelarian dan penyelamat, tanpa sebarang kesukaran.

Kepandaiannya itu dipadankan dengan kejelitaan dan keanggunan Jolie, lalu menghasilkan keserasian yang direstui. Ini bukanlah lakonan terbaik mereka, tetapi apabila kedua-duanya mampu membuatkan anda duduk diam di kerusi lebih setengah jam pertama, itu sudah cukup baik.

Selain Depp dan Jolie, bintang utama filem ini ialah Venice sendiri. Sinematografinya menangkap keindahan setiap landskap, baik siang mahupun malam.

Ia menawarkan citarasa berfesyen dan budaya pelancongan yang tinggi, meskipun dari sudut estetika, The Tourist sekadar sebuah lagi filem Hollywood yang memanipulasikan lokasi eksotik sebagai tarikan.

Benar, filem ini bukanlah sebuah Euro thriller yang dahsyat. Tidak juga naskhah yang tragik kerana itu memang bukan niat pembikinnya.

Jalan cerita tentang kesilapan identiti, penyamaran dan penyiasatan seperti ini pun sudah dikira biasa. Apatah lagi datangnya daripada seorang pengarah yang pernah menang Oscar.

Bagaimanapun, tidak salah untuk sekali-sekala berasa leka dengan kecantikan yang terpampang. Sesuai dengan tarikh tayangan yang menutup tahun, benarkan fikiran anda untuk bercuti.

Utusan

Liyana, Syamsul

28 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZAINI HUSIN


SYAMSUL Yusof dan Liyana Jasmay merupakan pelakon utama Khurafat.

LIYANA Jasymay merupakan antara pelakon pelapis tempatan yang sentiasa komited dan membuat pelbagai persediaan sebelum berada di lokasi penggambaran filem.

Dia misalnya, mengkaji terlebih dahulu watak Aishah yang dilakonkannya menerusi filem Khurafat termasuklah cuba mencetuskan rasa cinta terhadap watak Johan lakonan Syamsul Yusof dalam filem itu.

Menurut Liyana, dia cuba melahirkan rasa cinta itu menerusi watak Aishah sewaktu bergandingan dengan Syamsul yang juga merupakan pengarah filem seram pertama terbitan Skop Production itu.

‘Perasaan cinta itu saya harus rasakan sekurang-kurangnya 20 peratus saat melakonkan watak Aishah yang merupakan isteri kepada Johan. Sayangnya, apabila berada di lokasi penggambaran perasaan itu hilang.

‘Bagaimanapun, selepas seminggu berlakon filem itu saya semakin rapat dan banyak berborak-borak dengan Syamsul barulah perasaan cinta pada Johan itu dapat saya rasakan.

‘Cuma jangan salah faham, ini bukannya cinlok (cinta lokasi) tetapi hanya penghayatan untuk menguatkan lagi lakonan saya,’ katanya sewaktu ditemui pada pratonton Khurafat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain cuba melahirkan rasa cintanya terhadap Johan dalam Khurafat, Liyana juga sanggup mengenakan tudung agar watak yang dilakonkannya itu berkesan bagi memberi kelainan dalam penampilannya.

Katanya, selama ini dia lebih banyak melakonkan watak gadis remaja yang tidak bertudung di mana pengalamannya dalam Khurafat sedikit sebanyak telah mempelbagaikan lagi karakter lakonannya di layar perak.

‘Bukan setakat bertudung, malah ini juga kali pertama saya melakonkan watak seorang isteri. Walaupun saya masih muda tetapi saya pikul peranan itu atas keyakinan, apatah lagi saya telah mengkaji terlebih dahulu watak tersebut.

‘Namun, sebelum menerima tawaran berlakon dalam Khurafat, saya tanya pendapat Bade Azmi. Dia (Bade) beri galakan kerana yakin dengan bakat dan kreativiti Syamsul sebagai pengarah filem ini,’ ujarnya.

Sementara itu, Syamsul yang ditemui tidak menafikan dia cuba menghayati watak Johan dengan melahirkan rasa cintanya terhadap Aishah bagi menghidupkan adegan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Jelas pengarah berusia 26 tahun ini, biarpun baru mengenali Liyana tetapi sebagai pelakon profesional dia cuba juga mencetuskan perasaan itu saat berada di lokasi di mana ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukannya.

‘Saya akui memang susah melakonkan babak percintaan. Bagaimanapun, apabila berada di depan kamera, ‘perasaan cinta’ saya pada Aishah akan timbul,’ jelasnya.

Sewaktu ditanya tentang Khurafat, jelas Syamsul, ia merupakan filem genre seram pertama arahannya biarpun sebelum ini dia lebih sinonim dengan filem aksi seperti Evolusi KL Drift .

Sungguhpun begitu, anak pengarah Datuk Yusof Haslam ini tidak memilih sebarang genre filem, sebaliknya bersedia untuk mengarahkan genre-genre lain jika diberi peluang oleh bapanya pada masa akan datang.

‘Saya dapat pengiktirafan di Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini sebagai Pengarah Terbaik melalui filem Evolusi KL Drift 2 yang merupakan filem genre aksi. Saya anggap saya lebih relevan dengan filem aksi.

‘Namun, saya masih dalam proses belajar di mana kalau boleh saya mahu mendalami setiap sudut dalam bidang seni termasuklah filem genre seram yang mencabar kreativiti saya.

‘Contohnya, melalui filem ini saya cuba selitkan unsur-unsur keislaman di mana ia boleh dijadikan pengajaran buat para penonton. Kalau filem aksi mungkin sukar sedikit untuk menyelitkan elemen-elemen sebegitu,’ tambahnya.

Khurafat yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 13 Januari tahun depan turut membariskan pelakon seperti seniwati veteran Mariani, Fauziah Nawi, Sabrina Ali dan Salina Saibi.

Utusan

Man Keedal Dan

28 Dec

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar: AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN


Man Keedal (kanan) dan Zailan bersama produk cenderamata edisi khas gitaris handalan itu.

SEBUT sahaja nama Man Keedal, sudah pasti ramai yang mengenali legenda rock itu. Walaupun kehadirannya dalam industri hiburan tanah air bukannya sebagai penyanyi, bakat yang dianugerahkan kepadanya selaku pemain gitar handalan, cukup membuatkan dirinya mendapat publisiti daripada pelbagai media.

Sedar atau tidak, pemilik nama sebenar Abdul Rahman Mahmood itu sudah pun bertapak dalam arena muzik tanah air selama 30 tahun, satu tempoh masa yang amat panjang.

Mula mencipta nama selaku pemain gitar utama kumpulan Lefthanded sekitar tahun 90-an, Man Keedal boleh dianggap jaguh gitar tempatan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan dia juga dikenali di persada antarabangsa.

Atas faktor itu, sebuah syarikat pengeluar cenderahati, Broadway Acres Sdn. Bhd. (BASB) mengeluarkan pelbagai jenis barangan untuk dijadikan cenderamata buat peminat Man Keedal.

Paling menarik, wajah Man Keedal turut diabadikan dalam satu bentuk cenderamata yang dinamakan Celebrityducks, sejenis cenderamata yang tinggi permintaannya di Amerika Syarikat (AS).

Berharga RM49.00 untuk setiap unit, cenderamata yang menampilkan wajah Man Keedal dengan paruh itik itu dilihat cukup unik untuk dijadikan koleksi peribadi bagi peminatnya.

Ketua Pegawai Operasi (COO) BASB, Zailan Razak yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini memberitahu, Celebrityducks hanya akan dihasilkan buat artis – artis tertentu sahaja berdasarkan pencapaian mereka dalam apa jua bidang.

‘Celebrityducks merupakan patung getah yang badannya menyerupai seekor itik. Akan tetapi, kepala itik itu akan menyamai wajah artis yang terpilih.

‘Untuk menambah keunikan hadiah itu, mulut selebriti itu juga akan ditukar kepada paruh itik.

‘Tidak kira apa jua bidang, asalkan individu itu dikenali dan bergelar selebriti, dia layak untuk dipilih bagi menghasilkan Celebrityducks menyerupainya,’ jelas Zailan secara terperinci mengenai hadiah unik dan menarik itu.

Tambah Zailan, selebriti Malaysia yang pertama menghasilkan Celebrityducks ialah anggota kumpulan Bunkface kerana kejayaan yang dilakar mereka walaupun baru setahun dua bergelar artis.

Katanya lagi, setelah berbincang dengan Man Keedal, bintang rock itu setuju untuk bekerjasama dengan BASB bagi mengeluarkan produk tersebut sebanyak 2,000 unit.

Zailan yang juga bekas pensyarah muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, Man Keedal begitu istimewa buat industri seni Malaysia terutamanya dalam bidang muzik.

‘Kehebatannya memang tiada tolok bandingannya. Maka, peminat tidak perlu hairan mengapa BASB memilih Man Keedal untuk mengeluarkan itik unik itu.

‘Selain itu, kami turut mengeluarkan kemeja-T, cawan dan pelbagai jenis barangan lain lagi untuk dijadikan cenderamata,’ ujar COO syarikat yang merupakan satu-satunya pengeluar cenderamata eksklusif Raja Pop, Michael Jackson di Malaysia itu.

Tuah Man Keedal

Sementara itu, ketika bertanyakan pemilihan artis berusia 47 tahun itu, Man Keedal cuma menadahkan tangan tanda syukurnya kerana diberi penghargaan sebegitu.

Menurut anak jati Johor itu, tidak ada syarikat lain yang pernah menawarkan tawaran sebegitu kepadanya sejak 30 tahun penglibatannya di persada muzik tanah air.

‘Ia adalah penghormatan begitu tinggi yang pernah saya terima buat masa ini. Selain boleh dijadikan barangan koleksi buat peminat saya, sedikit sebanyak ia memberi pendapatan sampingan kepada saya dengan perolehan royalti hasil jualan produk tersebut.

‘Saya pun sudah berusia. Saya tidak pasti selama mana saya boleh bertahan dalam bidang ini. Jadi, dengan penjualan barangan cenderamata ini, ia turut menyokong sumber kewangan saya kelak.

‘Buat masa ini, saya telah menyatakan persetujuan untuk penghasilan Celebrityducks sebanyak 2,000 unit. Jika permintaan bertambah, saya akan terus bekerjasama dengan BASB,’ katanya yang baru sahaja pulang dari menjelajah beberapa buah negara seperti Jerman, Russia, Thailand dan Jakarta untuk memenuhi undangan bermain muzik.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan seninya, Man Keedal kini sedang menumpukan kerjasamanya dengan beberapa artis luar negara untuk menjayakan persembahan pentas selain melebarkan rangkaian sosialnya.

Terbaru, awal tahun hadapan dia akan berangkat ke Brunei untuk beraksi dalam persembahan mini bersama artis-artis rock di sana.

Man Keedal turut memberitahu, dia juga ada terlibat dalam pembikinan sebuah lagu bersama kumpulan dari Indonesia untuk dimuatkan dalam album terbaru mereka.

Utusan

2010

26 Dec

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my


Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Halina Mohd Yunus.

KURANG seminggu sebelum tirai 2010 dilabuhkan, kisah anak seni tempatan tercoret dengan pelbagai kisah. Cerita suka dan duka silih berganti mewarnai kanvas perjalanan industri seni negara.

Masih sama dengan cerita tahun terdahulu, cuma yang berbeza hanyalah insan seni dan bilangan peristiwa yang tidak pernah berkesudahan dilakar oleh anak seni tempatan.

Ramai yang menjadikan tahun 2010 sebagai penamat zaman bujang apatah lagi memilih tarikh 20 Oktober 2010 sebagai tarikh keramat untuk meraikan pernikahan termasuklah Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Di sebalik kegembiraan yang dijelmakan itu, banyak juga rumah tangga yang sedang berantakan dan menemui kehancuran setelah tiada lagi persefahaman yang dicapai antara pasangan.

Industri hiburan cukup dikejutkan dengan perceraian pelakon Maya Karin bersama suaminya, selain pengacara Raja Azura setelah bernikah lebih sepuluh tahun. Biarpun pada awalnya mereka menafikan sekeras-kerasnya cerita tersebut, tapi sebagai manusia biasa tidak ada apa yang mampu disorokkan.

2010 juga menyaksikan beberapa anak seni tempatan meninggal dunia menghadap Yang Maha Esa. Keberangkatan yang diiringi linangan air mata itu pastinya dirasai oleh peminat seni tempatan.

Ini termasuklah pelakon M. Rajoli yang akhirnya pergi tak kembali setelah sekian lama menderita dalam sakit yang panjang. Begitu juga dengan Shamrin, vokalis kumpulan Fotograf secara tiba-tiba, cukup membuatkan kita berasa hilang

Kepada pembaca, Pancaindera titipkan cerita sepanjang tahun 2010. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Semoga sinar 2011 memberikan cahaya kegemilangan buat semua.

BERTEMU JODOH

1 Januari – Serena Redzuawan akhirnya selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Gavin Edward o’Luanaigh yang di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Serena juga menerima wang hantaran berjumlah RM30,000 beserta 11 dulang hantaran.

8 Januari – Nor Aliah Lee yang juga merupakan bekas isteri Aziz M. Osman menamatkan zaman janda bersama Mohamed Zekri Ibrahim di Damansara, Selangor yang juga merupakan duda kepada anak dua.

23 Januari – Masing-masing masih terlalu baru dalam industri seni tempatan. Tapi itu semua tidak menghalang Along Raja Lawak untuk menyunting Zila AF4 sebagai suri dalam hidupnya.

6 Februari – Setelah sekian lama menyulam cinta, Diddy atau nama sebenarnya Shamsul Hirdi Muhid sah bergelar suami kepada Allen Nor Azah Musa di Pasir Gudang, Johor.

14 Mac – Memilih untuk melangsungkan perkahwinan di Tanah Suci Mekah, dramatis terkenal Umie Aida akhirnya bergelar isteri kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.

20 Mac – Setelah lama membujang, akhirnya pelakon Zizan Nin selamat diijabkabulkan dengan wartawan penyiaran NTV7, Fazilah Hani Harun di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

6 Jun – Kehebatan Aziz M. Osman bukan terletak kepada kehebatan mengarah, tetapi turut sama hebat dalam mencari calon isteri. Dia memperisterikan Puteri Sarbainun Lok-

man yang baru berusia

21 ketika itu.

12 Jun – Bekas deejay Hot FM, Anne selamat dinikahkan dengan Nik Mahathir Nik Zainuddin di Bandar Sri Damansara. Anne kini menetap di Doha, Qatar kerana mengikut suaminya yang bertugas di sana.

12 Jun – Biarpun percintaan mereka dihalang oleh pihak pengantin perempuan, Harith Iskander sah menjadi suami kepada Jazamine Lim dalam suasana yang sederhana.

10 Julai – Pelakon Annahita Bakavoli memilih pegawai kepada seorang menteri kabinet, Datuk Saiful Baha Mohd Arshad sebagai suami. Majlis resepsi yang diadakan secara mereiah turut menyaksikan pelakon ini menerima wang hantaran berjumlah RM21,212.21.

9 Ogos – Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu bekas isteri kepada Akhil Hayy ini menamatkan zaman janda dengan lelaki yang berbelas tahun lebih muda. Maizawati selamat dinikahkan dengan Mohd Yassin Rahim dan kini hamil anak ketujuh (sulung bersama suami baru).

4 September – Memilih bulan Ramadan untuk bernikah, Aida Aris memilih Husfarid Shaikh Ali sebagai suami setelah sekian lama menjanda. Pasangan ini dinikahkan oleh abang Aida, Amiruddin Mat Aris.

1 Oktober – Jimmy Shanley akhirnya bernikah dengan Nursuhaila yang juga merupakan anak kepada pengusaha kosmetik Natasya. Kini ramai yang membuat spekulasi mengenai rumah tangga mereka yang dikatakan sedang berantakan dan tidak lagi sebumbung.

1 Oktober – Tanpa banyak publisiti penyanyi Dia Fadilla akhirnya bergelar suri kepada Redza Abdullah Sanusi.

8 Oktober – Artis Bienda dan Kamarul Zaharin menjadi pasangan ‘panas’ apabila enggan mendedahkan tarikh mereka bernikah walaupun majlis resepsi berlangsung secara terbuka dan meriah. Kes ini membuatkan hubungan Bienda agak dingin dengan pihak media. Tentulah sesuatu yang pelik kerana selama ini tidak pernah ada artis yang merahsiakan tarikh pernikahan, kecualilah bernikah secara rahsia.

10 Oktober – Menyorokkan majlis pertunangan , pelakon Aqasha selamat bergelar suami kepada Noor Baizura Mohd Sabri.

27 Oktober – Bernikah secara ‘misteri’, Saerah yang juga merupakan adik kepada Siti Nurhaliza sudah bergelar isteri kepada Saiful Anuar. Majlis diadakan secara tertutup dan dihadiri keluarga terdekat sahaja.

19 November – Penyanyi lagu Kalis Rindu, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal mengakhiri zaman gadisnya apabila selamat diijabkabulkan dengan Khairul Anuar Hussin.

12 November – Satu lagi pasangan ‘panas’ berkahwin. Akhirnya Raja Farah selamat diijabkabulkan dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria.Kasihan Farah yang terpaksa menelah fitnah beberapa hari sebelum pernikahannya dan sekarang sudah terbukti yang pelakon itu tidak mengandung sebelum bernikah bagai yang diperkatakan.

16 Disember – Marion Rose Caunter, 30, selamat diijab kabul dengan SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin, 27. Majlis berlangsung di teratak milik keluarga mempelai lelaki di ibu negara.

Pernikahan Marion atau nama Islamnya, Marion Rose Caunter Abdullah dengan penerus legasi NAZA, usahawan permotoran itu dijalankan dalam sebuah majlis tertutup, hanya dihadiri keluarga serta sahabat rapat.

PERGI TAK KEMBALI

21 Mac – Penyanyi yang dicungkil bakatnya melalui program Mentor musim pertama Yanie meninggal dunia akibat ketumbuhan paru-paru. Dia meninggalkan suami dan seorang anak.

2 April – Setelah bertarung dengan kesakitan, akhirnya pelawak Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang, Selangor akibat demam denggi berdarah.

17 April – Dunia seni tempatan cukup dikejutkan dengan kematian Achik Spin akibat kemalangan jalan raya. Arwah yang baru pulang daripada RTM ketika itu meninggalkan isteri dan dua cahaya mata.

5 September – Akibat komplikasi jantung dan paru-paru, pelawak Yusuf Chong menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang, Selangor.

17 September – Derita akibat kanser kelenjar otak, M Rajoli akhirnya meninggal dunia setelah bertarung dengan penyakit itu sejak tiga tahun lalu. Pemergiannya cukup dirasai oleh kebanyakan peminat setianya.

17 Oktober – Akibat sakit jantung, pelakon hebat Yalal Chin yang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.15 pagi.

11 November – Kemunculan untuk kembali aktif dalam dunia seni tempatan merupakan kenangan akhir vokalis kumpulan Fotograf ini. Shamrin meninggal dunia setelah rebah ketika bermain bola sepak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

KONTROVERSI

MAHKAMAH

24 Febuari – Bekas penyanyi Exist, Mamat disahkan bercerai dengan isterinya Marshila Mustapa.

25 Mac – Benjy atau Khaeryll Benjamin Ibrahim didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki dadah.

6 Mei – Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, Mohd. Aidil Zafuan didenda RM500 atau penjara 15 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah bernikah di luar kariah tanpa kebenaran mahkamah.

17 Mei – Tuntutan cerai fasakh oleh penyanyi Erema terhadap suaminya, Seri Bayu yang juga seorang penulis lirik, digugurkan setelah dua kali artis wanita itu gagal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

17 Mei – Mael XPDC didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor atas tuduhan memukul anak perempuannya yang berusia 16 tahun.

19 Mei – Mahkamah Rendah Syariah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang mengaku bersalah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah sementara isterinya, pelakon Zizie Izzette didenda RM1,000.

20 Mei – Ramlah Ram bagaikan menutup segala spekulasi apabila sah bercerai dengan Kamal Roslin setelah 10 tahun melayari rumah tangga.

8 Jun – Radhi OAG dan pasangannya, Shazlin Shariff disahkan sebagai suami isteri oleh mahkamah, akhirnya pasangan itu bercerai talak satu secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

25 Jun – Anne Ngasri yang sedang mengandung anak ketiga, sah bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

16 Julai – Pelakon, Maya Karin dan suaminya, Steven David Shorthose sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

26 Ogos – Joe Radzwill melafazkan talak satu terhadap isterinya yang juga pelakon, Aida Khalida di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

1 September – Roslin Hashim dan isterinya, Nurhayati Othman telah bercerai talak satu pada 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang Kuala Lumpur. Nama Raja Azmi turut terheret sama dalam konflik rumah tangga pasangan ini.

22 September – Badrul Muhayat melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Julia Daud di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang.

28 September – Biarpun banyak kali menafikan masalah rumah tangga mereka berantakan, akhirnya Raja Azura sah bercerai dengan Adzmin Tan Sri Osman secara tertutup.

27 Oktober – Aleeza Kassim disahkan bercerai dengan suaminya, Datuk Mohd. Fauzi Che Rus di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

28 Oktober – AC Mizal terselamat daripada hukuman penjara setelah dia serta-merta memasukkan RM9,800 ke dalam akaun bank bekas isterinya, Shafnie Zainuddin untuk bayaran nafkah anak.

1 November – Ameng Spring dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur setelah didapati bersalah memasukkan dadah ke dalam badan pada April lalu. Penyanyi itu sedang membuat rayuan terhadap hukuman.

2 November – Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati kekal menjalani hukuman gantung atas kesalahan membunuh penyanyi kumpulan Spoon, Sabi’ul Malik Shafiee atau Along , hampir 11 tahun lalu setelah rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Utusan

Raja Azmi Cerita

26 Dec

tolongjawab
arif.abdullah@utusan.com.my


Raja azmi sebak mengenangkan filem terbitannya, … Dalam Botol yang ditangguh tayangannya oleh Finas.

Nasib malang bertimpa-timpa, itulah musibah yang datang kepada penerbit filem kontroversi, Raja Azmi. Masih terbayang bagaimana lesu wajah wanita itu selepas ditahan satu malam di lokap atas kesalahan gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan satu kes berkaitan jenayah komersial pada 20 Ogos lalu.

Sebelum itu, nama wanita berusia 51 tahun menjadi panas bila dikaitkan dalam kes perceraian adik angkatnya yang juga pemain badminton negara, Roslin Hashim apabila bercerai kali kedua.

Banyak sangat cerita pasal Raja Azmi ni. Tahun ini juga, dia digelar pembikin filem ‘gila seks’ hanya semata-mata kerana karya terbaru terbitannya, … Dalam Botol mengisahkan kisah gay dan terdapat babak pelakon lelaki bogel.

Baru-baru ini, nasib Raja Azmi bertambah malang apabila filem tersebut tidak dapat ditayangkan pada 27 Januari ini dan ditunda ke tarikh baru pada Mac pula.

Semuanya kerana kelewatannya melunaskan baki bayaran produksi akhir filem itu berjumlah RM96,373 di Studio Digital Mixstage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

‘Saya rasa hendak menangis hari ini tetapi pengalaman tidur di dalam lokap mengajar saya erti ketabahan untuk menghadapi masalah ini,’ luahnya kepada wartawan ARIF NIZAM ABDULLAH.

Namun dalam tidak cukup wang untuk bayar kepada Finas itu, Raja Azmi sempat lagi merancang buat filem baru bertajuk Anak Ikan. Masih kekal berunsur seks dan juga kisah gay. Hebat Raja Azmi!

Raja Azmi punyalah beriya beritahu filem … Dalam Botol akan ditayangkan di pawagam pada 27 Januari depan. Alih-alih filem itu ditunda. Kenapa?

Mula-mula memang akan ditayangkan Februari ni tetapi tak sempat, mungkin Mac pula. Saya harap-harap sampai Mac sahaja. Sebenarnya saya lambat bayar duit baki kepada Finas, sebab itu jadi macam ini.

Banyakkah yang belum bayar?

Jumlahnya RM96,373. Itu untuk kos-kos produksi akhir di sana. Isu ni buat saya terkejut kerana saya ingat sebagai pembikin filem tempatan yang buat di Finas akan dapat kelonggaran. Kiranya kita berhutang dulu dengan mereka, bila filem keluar panggung, barulah Finas potong daripada kutipan panggung. Itu yang berlaku sebelum ni. Saya buat filem Cinta 200 Ela, saya berhutang dengan Finas RM70,000. Enam tahun kemudian baru saya langsai bayar. Saya tak tahu ini undang-undang baru ke atau ‘diundang-

undangkan’ kerana saya Raja Azmi.

Maknanya sebelum ini tak ada undang-undang macam itu?

Itu yang saya pelik, bulan lalu, tiba-tiba saya dapat surat dari Skim Wajib Tayang yang ditandatangani oleh Datuk Azman Salleh, kena langsai hutang itu dulu dan baru boleh dapat tarikh Wajib Tayang. Katakan saya tak dapat bayar hutang itu selama setahun, maknanya filem saya akan tersadai selama setahun. Sekarang ni mana pergi peranan Finas yang membantu penerbit filem? Kenapa nak bertindak sebagai syarikat swasta? Kalau saya tahu Finas akan paksa saya untuk langsai hutang itu baru nak lepaskan filem saya, baik saya hantar ke KRU Production atau ke Bangkok untuk proses akhir. Kerajaan belanja berjuta ringgit buat studio di Finas dan saya teringat ucapan Datuk Seri Rais Yatim berkata tujuan studio itu untuk bantu pembikin tempatan untuk galak buat filem. Maksudnya tolong penerbit macam saya ni yang habis buat filem dan proses akhir tak cukup bajet. Nanti dah kutip di panggung, saya bayarlah balik.

Finas nampak macam zalim, kan?

Finas tak zalim malah mereka dah banyak bantu saya. Finas juga bagi sewa harga kamera yang sangat berpatutan untuk filem ini. Saya akan jadi zalim kalau tuduh Finas zalim. Tapi saya sekarang dalam keadaan serba-salah dan keliru. Adakah ini perundangan atau akta baru Finas? Kalau baru, saya tak pernah pula dimaklumkan. Yang mengawal Finas adakah Lembaga Pengarah atau Ketua Pengarah? Sekarang kuasa terletak di tangan Lembaga Pengarah dan mereka nak buat undang-undang suka-suka hati. Finas tu syarikat dia orangkah? Semua orang-orang persatuan jadi ahli Lembaga Pengarah. Dah persatuan buat macam syarikat sendiri, tak kan bila dilantik dalam Lembaga Pengarah, Finas nak dibuat syarikat juga? Ini awak tulis, saya tak kisah kalau kena serang dengan mereka.

Apa perasaan Raja Azmi sekarang apabila jadi macam ni?

Saya dapat tahu ini keputusan Lembaga Pengarah Finas. Lagi saya keliru, apakah mereka berkuasa di Finas? Awak timbulkan soalan. Saya tak kisah kalau saya kena masuk lokap lagi sekali. Pengalaman dalam lokap buat saya berani nak cakap untuk tegak kebenaran. Saya sedih, ikut hati hendak menangis tapi saya dah kuat sekarang. Saya dah buat rayuan kepada Finas tapi mereka kata tak boleh, kena bayar juga.

Habis tu macam mana sekarang? Dah ada duit nak bayar?

Saya akan minta bantuan daripada David Teo. Kami dah berbincang dan dia bagi kata-kata positif untuk mendahulukan duit dia sebanyak RM96,373.

Dalam duit tak ada ni, Raja Azmi ada hati nak buat filem baru bertajuk Anak Ikan pula dengarnya ni?

Duit ada tapi tak cukup pasal bajet dah lari. Kalau saya ada duit banyak, saya tak buat apa-apa dah. Duduk rumah goyang kaki saja. Tapi daripada duit yang kecil saya kena buat duit lagi untuk menjadi banyak. Saya buat filem guna duit sendiri, bukan buat pinjaman bank.

Anak Ikan? Dengar macam filem berunsur seks lagi dan ada kisah gay juga? Betul ke?

Dua-dua tak betul. Betul pun tak, tak betul pun tak. Betul, saya dah rancang filem Anak Ikan kalau … Dalam Botol berjaya di panggung.

Kenapa masih kisah gay?

Belum pasti lagi. Gelaran anak ikan sinonim untuk lelaki muda, remaja dan berwajah kacak atau jambu dibela lelaki berumur. Tetapi ada juga anak ikan dibela wanita berumur atau kaya. Jalan cerita awal filem ni dah ada.

Raja Azmi ni macam tak ada modal lain saja? Asyik-asyik filem seks? Obses sangat dengan seks?.

Dalam hidup ni, apa yang tidak ada kena mengena dengan seks, cinta dan agama. Kalau tidak ada tiga benda ni, bukan manusia. Itulah kelebihan menjadi manusia.

Tak takutkah nanti gelaran penerbit filem seks terus melekat?

Kenapa baru sekarang kata saya penerbit filem seks? Macamlah saya tak pernah buat filem lain. Saya pernah terbit komik kartun dan animasi, Anak-Anak Sidek, terbit Buku Panduan Solat untuk kanak-kanak sekolah, orang tak bercakap juga. Wartawan pun tak berminat tulis cerita macam tu. Saya buat filem Cinta 200 Ela orang tak suka walaupun memaparkan nilai persahabatan yang tinggi dan penuh mesej agama.

Kalau buat juga filem ni, orang mesti kata Raja Azmi seorang wanita yang suka dengan kontroversi?

Itu saya terima kerana saya memang suka dengan kontroversi kerana ia rempah-ratus dalam hidup.

Tapi saya nafi suka meraih kontroversi. Cuma bila saya buat filem, kontroversi datang dengan sendiri. Macam saya baru bercakap nak buat filem Anak Ikan, terus jadi kontroversi. Saya sukalah.

Soalan akhir, Raja Azmi kalau buat filem seks mesti bagi alasan nak berdakwah? Kenapa macam tu?

Saya cuma kata filem … Dalam Botol sahaja nak berdakwah. Filem lain saya tak pernah kata pun. Dakwah adalah berkongsi pengalaman hidup kawan saya dalam … Dalam Botol. Itu kisah besar. Tapi Anak Ikan kalau jadi buat, saya tak akan berdakwah kerana skripnya hanya rekaan tapi saya suka.

Utusan