Archive | Utusan RSS feed for this section

Kumpulan Kecik Masih Wujud?

2 Jan

SEJAK bergelar juara Raja Lawak 4 pada 7 Mac lalu, Kumpulan Kecik macam tak wujud saja? Tak menonjol pun antara juara sebelum ni?

Senario ni berlaku kerana juara Raja Lawak 1,2 dan 3 dah keluar dahulu dan mereka senior kami. Lagi pun orang belum nampak bakat kami dan kami pun masih baru dalam industri. Mungkin juga loghat Sabah kami orang kurang faham.

Agak-agak Kumpulan Kecik rasa popular tak selepas jadi juara Raja Lawak?

Popular? Bukan kami tak mahu popular tapi percaya rezeki akan datang juga nanti. Ada juga orang tegur kami sampai sekarang. Maksudnya kami orang kenallah juga.

Tapi saya kata Kumpulan Kecik ni memang tak popular pun, entah-entah dah ada orang yang lupa?

Mana ada lupa. Mungkin kerana perubahan imej kami yang dah mula pandai jaga penampilan. Rambut kami pun ala-ala artis Korea sekarang. Orang tak perasan kot. Orang juga mungkin keliru kerana kami kadang-kadang muncul bertiga dengan Idlan (pemenang tempat kedua).

Tadi kata masalah loghat Sabah. Tapi saya rasa faktor utama kerana aura Nabil masih kuat lagi, sebab tu tak Kumpulan Kecik tak laku sangat?

Bagi kami, semua juara ada kelebihan masing-masing. Kami mengaku ada masalah bahasa kerana baru setahun datang ke Kuala Lumpur. Lepas ni kami akan masuk kelas Bahasa Melayu selama sebulan selain kelas lakonan dan kelas pengacaraan.

Nabil memang popular, Sepah boleh tahan juga. Tapi Zizan yang tak jadi juara bukan main makin popular sekarang ni. Tapi Kumpulan Kecik sebaliknya? Tak sedih?

Agak rasa sedih juga. Tapi rezeki masing-masing. Tetapi kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya masih ada peminat sendiri.

Nabil ada program sendiri. Sepah pun ada juga buat drama. AESB ada bagi tawaran buat program tak?

Mungkin tahun ni kami kurang muncul di kaca televisyen. Tapi kalau ikut perancangan AESB, jadual kami bermula tahun ini. Tapi Zizan dan Johan pun lambat nak popular. Semua ni ambil masa. Nabil memang rezeki dia. Jadi pelawak ni kena naik perlahan-lahan tetapi harap-harap akan kekal lama nanti dalam industri.

Sepatutnya AESB yang menaikkan nama Kumpulan Kecik tapi macam tak bersungguh-sungguh nak promosi Kumpulan Kecik. Setuju tak?

Program sendiri macam Nabil memang kami tak ada. Tapi sekurangnya kami dah berlakon tiga drama di Astro iaitu Tiga Botak, Tiga Botak Raya dan Lawaknya Fantasia Raya. Okey la tu.

AESB macam pilih kasih. Lebihkan juara AF8, Shahir yang tak habis-habis buat perangai. Tak kecil hati?

Mana ada kecil hati, besar hati adalah (ketawa). AESB tidak pernah beza pun antara juara Raja Lawak dan Akademi Fantasia. Mereka dah buat yang terbaik. Jadual promosi kami secara agresif akan bermula tahun ni.

Ada yang kata Raja Lawak 4 paling tak menjadi sebab salah pilih juara. Kalau peserta pilihan, Idlan yang menang mungkin dia popular?

Itu pandangan orang dan susah kami nak jawab kerana pihak pengurusan yang perlu jawab. Tapi kami rasa macam artis bila dah jadi juara. Yang penting, kami perlu melalui proses pembelajaran yang panjang lagi.

Raja Lawak 5 dah nak mula ni. Nama Kumpulan Kecik dahlah tenggelam timbul. Nak dijadikan cerita, tiba-tiba juara musim lima lebih popular daripada Kumpulan Kecik? Boleh terima realiti itu?

Andai kata juara Raja Lawak 5 meletup, itu rezeki mereka. Kami semua dari program yang sama dan mahu bersaing secara sihat. Kalau juara musim ni lebih popular, kami ambil perkara tu secara positif dan tidak perlu nak dengki dengan mereka.

Menang hari tu dapat kereta Peugot 207 sebuah ja tapi Kumpulan Kecik ada dua orang. Habis tu macam mana?

Daripada berebut nak pakai (ketawa), kami dah ambil keputusan untuk menjualnya. Sekarang dalam proses jual beli. Wang tu nanti kami bahagi dua dan nak cari kereta sendiri yang lebih murah. Wang yang lebih bagi keluarga di kampung Sabah untuk baiki rumah.

Utusan

Berakhir Sebuah Penantian

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto ZULHAFIZ HANAFIAH
Solekan DEQ SHA
Pakaian WANPA (0196690717)

ENAM tahun melayari bahtera sebagai anak seni, semuanya dilalui dengan tabah olehnya. Bagi sesetengah orang angka itu mungkin masih baru. Belum terlalu lama seperti orang lain.

Angka enam tahun itu juga membawa Marsha Milan Londoh mengenal sepak terajang industri seni tanah air yang kadangkala langsung tak enak untuk dilalui.

Bukan semua perjalanan yang dilaluinya manis. Ada kalanya dia tahu ramai yang masih memandang serong kepada dirinya. Lantas timbul cakap-cakap kurang enak yang mengatakan dia hanya menjual rupa dan bukan bakat.

Selama ada dalam industri ini, dia hanya bersandarkan kepada imej seksi untuk meneruskan kelangsungan hayat sebagai anak seni.

Cukup terkilan dengan cakap-cakap orang, Marsha tahu dia tak mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Setidak-tidaknya dia juga tidak mahu terus dicaci dengan pelbagai kata nista yang tak berpenghujung.

Melihatkan raut manis wajah Marsha yang mencipta nama melalaui rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketiga ini, bagai ada perkara besar yang cuba disorok.

Dia yakin berkat keikhlasan yang masih berbaki dalam hati kecilnya itu bakal memberikan sinar baru buat dirinya sempena tahun baru ini.

“Saya sudah penat dengar cerita kurang enak tentang diri ini. Orang tak pernah berhenti mengata itu mengata ini. Melabel saya yang bukan-bukan sehingga membuatkan rasa kecewa.

“Tapi inilah yang harus saya lalui. Saya tahu memilih jalan sebagai anak seni itu banyak dugaannya. Tak semua impian yang kita pasang akan tercapai sekelip mata.

“Paling tidakpun ramai yang masih belum yakin dengan bakat saya. Saban hari saya cuba jadi yang terbaik. Belajar sedikit demi sedikit untuk memperbaiki kekurangan diri.

“Ada yang langsung terus menjatuh hukuman dek kerana imej seksi saya. Saya cuba ‘menjual’ bakat semata-mata,” kata Marsha lagi.

SeksiRAMAI yang tahu imej penyanyi kelahiran Berrien Springs, Michigan ini cukup seksi. Dia mungkin bukan anak seni paling berani memperagakan pakaian daring tetapi apa sahaja yang dipakainya pasti tak terlepas dengan pandangan orang.

Ada kalanya dia memakai baju yang cukup sopan. Tapi orang masih melabelkan dia seksi kerana memiliki seraut wajah penggoda. Tidak hairanlah ramai lelaki yang cukup meminati Marsha selama ini.

Enggan melatah dengan isu seksi yang dianggapnya basi, kata Marsha dia hanya memakai apa sahaja yang dirasakan selesa biarpun orang lain kurang enak.

“Soal pakaian memang soal sensitif di Malaysia. Tapi sebagai manusia biasa saya hanya mahu memakai apa yang saya rasakan selesa.

“Selagi keluarga saya tidak berkata apa-apa, saya akan tetap begini. Itu tak bermakna saya tidak menghormati orang lain memandangkan kita hidup bermasyarakat.

“Kalau awak tanya penat atau tidak, memang penat sebenarnya. Nak melayan cerita seksi, cerita daring termasuklah gosip-gosip lain yang tak berasas.

“Tapi saya tak ada pilihan. Bila masuk sahaja dalam industri ini, saya kena terima kutukan orang. Ada sesetengah orang yang langsung tak pernah jemu-jemu menghentam saya.

“Ada sahaja cerita buruk saya yang dijaja ke sana ke sini. Inilah sebenarnya perosak kepada keharmonian orang lain. Mamang saya marah tapi saya kena terima dengan tabah. Tak semua orang suka pada kita,” kata Marsha panjang lebar.

Setiap kali menjelang tahun baru, dia tidak pernah lupa memasang niat untuk terus diberikan kekuatan mengharung cabaran tanpa sempadan ini.

Begitu juga tahun ini, kalau boleh Marsha mahu lebih dikenali orang berbanding dahulu memandangkan sebelum ini dia pernah tenggelam daripada ditelan populariti orang lain.

“Saya yakin 2010 merupakan tahun kebangkitan saya. Tahun 2011 pula saya mahu kembali mewarnai dunia seni tanah air dengan produk yang berkualiti memandangkan sudah ada perkara yang perlu saya hebahkan.

“Bagi mereka yang tak jemu-jemu menyokong saya selama ini sudah pasti budi mereka tak mungkin saya balas.

“Tak lupa juga kepada mereka yang sentiasa mencari salah saya, nilailah secara adil. Kalau boleh lihat juga bakat saya dan jangan terus jatuh hukuman,” kata Marsha yang cukup popular dengan lagu Ruang Kedua ini.

PeribadiADAT sebagai anak seni, pergerakan Marsha bagaikan ada mata-mata yang mengekori. Semakin lama dia cuba melarikan diri semakin ramai yang memandang.

Ada juga cerita yang bertebaran mengatakan gadis yang baru sahaja menginjak usia 26 tahun ini sudah mempunya kekasih hati, pengubat kesunyian di hati.

Malah ada yang menyampaikan cerita kepada Pancaindera, Marsha kini menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki kaya-raya yang memiliki kereta mewah.

Saat diajukan pertanyaan itu, ternyata Marsha bagaikan direnjat elektrik. Bagai ada batu dalam mulutnya untuk memulakan bicara. Mungkin benar atau mungkin juga dia terkesima mendengar cerita tak benar itu.

“Memang saya ada berkawan dengan seseorang. Masih berkawan dan tak dapat kalau boleh saya tak mahu buka mulut tentang isu itu. Bukan apa bimbang tak jadi kenyataan nanti.

“Jangan terus desak saya untuk buka mulut dalam hal ini. Saya tak mahu cakap apa-apa dengan cerita tu. Kalau betul, betullah. Kalau tak betu, sudah.

“Kalau boleh saya mahu orang hormat pendirian saya ini. Berilah peluang kepada saya untuk simpan sedikit kisah peribadi untuk diri sendiri. Ada kalanya tak semua cerita saya boleh kongsi.

“Saya tahu ramai orang di luar sana nak baca cerita yang sensasi. Kalau boleh sampai hal hidup dan cerita paling peribadi pun nak diketahui. Saya juga manusia biasa,” kata Marsha lagi.

Tidak mahu terus dihimpit dengan cerita bercinta dan putus cinta, Marsha tidak lokek bercerita tentang lelaki idamannya.

Dia seboleh-bolehnya mahu mencari lelaki yang memahami dirinya sebagai hak masyarakat selain mencari lelaki yang benar-benar boleh menjaga dirinya sampai akhir hayat.

“Harus diingat saya tak kata saya menolak cinta. Saya hanya mahu menjadikan itu isu utama dalam melayari perjalanan sebagai anak seni. Banyak lagi perkara lain yang boleh diketengahkan,” tegas Marsha lagi.

Bina karierMENJELANG 11 Januari ini, dia cukup teruja. Bagai ada tenaga baru dalam dirinya bercerita mengenai tarikh keramat itu kerana album solonya akan muncul.

Bagi sebahagian artis tanah air, kemunculan album solo merupakan satu penanda aras kepada sesuatu pencapaian. Persetankan hal jualan kerana itu bukan lagi isu besar yang harus dibanggakan.

Enam tahun menanti, akhirnya jerih perih memerah keringat sebagai anak seni seakan berbayar dengan kemunculan album Yang Pertama.

Hanya mengandung lima buah lagu, Marsha yakin angan-angannya selama ini bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Memang saya bersyukur akhirnya album saya keluar menemui peminat. Kalau nak tahu penantian saya bukannya sekejap, lebih enam tahun baru saya boleh lakukannya.

“Dulu saya bernaung di bawah pengurusan Maestro. Kalau ada yang masih ingat penangan Mawi ketika itu sudah cukup untuk menenggelamkan saya dan orang lain.

“Bila habis sahaja kontrak, saya tercampak ke syarikat lain. Kena tendang sana sini, pergi buat itu dan ini dan macam-macam perkara teruk yang berlaku pada saya.

“Kata orang kalau kita sabar kita akan dapat hasilnya. Inilah hasil kesabaran saya setelah melalui banyak cerita yang tak berapa nak elok. Memang tak dapat nak digambarkan betapa leganya hati saya dengan semua ini.

“Dulu saya cukup malu bila jumpa peminat. Mereka akan tanya bila album nak keluar. Tak pernah berhenti soalan yang sama ditanya sampaikan saya kelu lidah nak jawab.

“Ada ketikanya sampaikan pada satu masa saya sendiri sudah tebal muka nak jawab soalan yang sama. Sakit sangat rasanya hati ini berdepan dengan perkara begini.

“Tapi kali ini saya teruja sebab impian saya selama ini dah tercapai. Dengan ada album baru nanti bolehlah saya teruskan kesinambungan yang ada. Harap-harap lepas ni orang akan mula buka mata pada saya dan bukan cerita peribadi lagi,” jelas Marsha.

Utusan

ASK 2010 'Malukan' FFM23

2 Jan

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
Foto ISMAIL KAMADIN, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan NOOR ASREKUZAIREY SALIM


Awal Ashari (kiri) dan Vanidah Imran (kanan) dilihat kurang memberi ‘nyawa’ kepada keseluruhan rancangan yang bersiaran langsung di televisyen.

MARUAH filem Muallaf pernah tercalar teruk pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23), baru-baru ini. Semuanya gara-gara filem kontroversi itu tidak tersenarai langsung dalam mana-mana pencalonan kategori filem festival yang dianggap penuh berprestij di negara ini.

Padahal, Muallaf dianggap sebagai antara karya terbaik peninggalan pengarah prolifik negara, allahyarham Yasmin Ahmad.

Muallaf bukan filem terakhir arahan Yasmin, namun filem itu melengkapkan perjalanan seni anak kelahiran Muar, Johor itu sebagai seorang pengarah yang hebat menerusi karya penuh bijak.

Kehebatan Muallaf terserlah apabila pernah memenangi Special Mention Best Asian-Middle Eastern di Film 21st Tokyo International Film Festival.

Yasmin juga terus mendapat pengiktirafan selepas dijulang Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-54 baru-baru ini.

Namun semua kejayaan itu dipandang sebelah mata pada FFM23. Bagaimanapun, Muallaf membuktikan sentimen juri yang mempertikaikan dialog bahasa tidak berjangkit di Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010).

Barisan juri ASK 2010 dilihat lebih berfikiran terbuka dan profesional serta tanpa keraguan mengiktiraf kehebatan Muallaf menerusi tiga kategori.

Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menjadi milik Muallaf selepas hanya memandang sayu kejayaan yang dimiliki oleh warga seni lain di atas pentas FFM23.

Sekali lagi, Muallaf bukan filem terakhir yang diarahkan Yasmin. Namun takdir Ilahi tertulis filem itu memberi kejayaan terakhir buat Yasmin.

Apa lagi di ASK 2011?Tirai ASK 2010 sudah berlabuh. Dalam kecoh bercakap ramalan siapa yang tepat, seperti biasa suara-suara sumbang yang mempertikaikan kemenangan masih wujud.

Malah, tidak kurang yang mengeluh mengenai persembahan yang sedikit membosankan. Perjalanan majlis yang dikatakan berprestij itu sama sahaja seperti ASK lalu. Sajian saban tahun yang tidak ada bezanya.

Kalau ada perubahan pun, cuma ditambah mana yang patut di sana sini. Walhal, anugerah tahunan yang menjadi kebanggaan industri drama dan filem itu bukan lagi berusia setahun jagung.

Memasuki penganjuran kali ke-10, sepatutnya sudah banyak yang boleh diperkasakan kualiti majlis untuk memartabatkan ASK.

Yang pasti, penonton di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan di rumah sudah lama mahukan perubahan, iaitu satu anjakan paradigma yang mampu mencetuskan kejutan.

Malangnya, persembahan yang disajikan termasuk pentas yang disediakan pada ASK 2010 lebih kurang sama sebelum ini.

Kehadiran dua pengacara ‘junior’ bagi satu majlis anugerah besar, Awal Ashaari dan Vanidah Imran belum mampu membuat penonton melekat berikutan kurang serasi dan terlalu bergantung kepada skrip.

Entahlah, tiba-tiba teringat gelagat dua pengacara FFM23, Zizan dan Sharifah Shahirah (bukan Hezri Hashim) yang bijak menceriakan suasana.

Persembahan pembukaan oleh Jaclyn Victor, Adibah Noor dan Noryn Aziz memang menarik namun sudah kerap sangat dihidangkan kepada penonton.

Yang lain pun tiada bezanya kecuali persembahan muzik seperti alunan saksofon oleh Datuk Ahmad Nawab, gesekan biola oleh Genervie Kam dan petikan gitar oleh Hillary Ang menerusi lagu tema filem Nur Kasih, Isabella dan Sabar Menanti.

Persembahan penutup oleh Faizal Tahir pun kurang menjadi. Walaupun daya kreatif boleh dipuji apabila berlari dari luar dewan, ASK 2010 sebenarnya memerlukan impak maksimum untuk acara penutup tirai.

Kalau Pancaindera jadi penganjur, persembahan penutup pasti menjadi milik Search atau Wings kerana aura irama keras dua kumpulan ikon itu masih kuat. Kalau susah sangat panggil sahaja penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza.

Apa lagi yang boleh diharapkan pada ASK 2011? Terserahlah pada setiap individu di TV3 untuk memberi pendapat masing-masing bagaimana majlis tersebut boleh diperkemaskan pada 2011.

Pakaian seksi atau seksa?Seperti diduga, segelintir artis wanita yang berpakaian tidak sopan dan seksi pada ASK 2010 menjadi perbualan hingga mendapat teguran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Barangkali artis wanita itu perlu menilai kata-kata Rais apabila beliau hadir ke majlis itu hanya memberi fokus kepada mutu filem dan drama dipertandingkan.

Beliau tidak menumpukan kepada pakaian setiap artis yang hadir. Justeru elok benar teguran Rais agar Kumpulan Media Prima Bhd. perlu membuat penilaian semula berhubung etika berpakaian dalam majlis anugerah anjurannya.

Pancaindera tidak berminat langsung menyebut nama segelintir artis wanita itu. Bukannya apa, nanti kami dituduh pula akhbar Melayu yang tidak urban dan berfikiran kolot.

Sekadar mengimbau, ada artis wanita menampakkan lurah dada walaupun ditutup dengan kain renda jarang. Fesyen berkemban pula tidak payah lagi diperkatakan. Banyak sangat. Dapat dilihat di mana-mana sahaja pada ASK 2010.

Ada juga yang memakai kain terlalu ketat dan nipis untuk menampakkan ‘aset’ mereka selain membangkitkan ghairah di kalangan kaum lelaki dengan pilihan pakaian warna putih yang jarang.

Bak kata Rais, setiap manusia ingin maju dalam kehidupan tetapi bukan bererti tamadun terutama sebagai orang Melayu dicabuli oleh kelakuan atau cara berpakaian yang tidak senonoh.

Apa pun, Pancaindera mengucap tahniah kepada semua pemenang kerana selain menerima trofi, mereka juga mendapat hadiah lawatan ke Los Angeles, Amerika Syarikat.

Utusan

Saya Tak Ada Sugar Daddy

2 Jan

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto IZHAM JAAFAR


YASMIN menafikan ada sugar daddy.

Heroin filem Jalang, Yasmin Khanif menafikan dia mempunyai sugar daddy yang membiayai kehidupannya pada usia semuda 22 tahun tetapi mengakui sudah mempunyai sebuah syarikat produksi filem, Yasmin Khanif Production.

Yasmin juga sudah bergelar penerbit untuk filem sulungnya berjudul Cempakayang menelan belanja RM3.5 juta. Malangnya, filem yang dilancarkan pada awal tahun lalu pula terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakan.

Namun, orang tetap akan bertanya, banyakkah pendapatan buat pendatang baru seperti Yasmin yang hanya berlakon satu filem? Tak sampai setahun jadi artis, sudah ada rumah, kereta dan syarikat perniagaan sendiri.

“Saya tidak ditaja oleh sesiapa, atau punya sugar daddy yang memberi wang untuk menanggung saya setiap bulan. Segala kemewahan yang orang lihat pada saya didapati hasil titik peluh sendiri.

“Semuanya bukan pemberian atau belas ihsan orang lain. Saya yang bertungkus lumus untuk mendapatkan apa yang diingini selama ini. Jual bakat dan mencari ke merata projek untuk bisnes sendiri.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu bahawa kehidupannya cukup sederhana dan tidak pernah bermegah-megah seperti mana yang dicanangkan.

Menyentuh tentang ‘penaja’ berpangkat Datuk yang bertanggungjawab melaburkan sejumlah wang untuk syarikat produksi miliknya itu, Yasmin diam seketika.

“Baiklah, saya mengaku bahawa syarikat produksi itu memang ditaja oleh seorang Datuk tetapi segala urusan dilakukan saya sepenuhnya. Saya buat dari A hingga Z. Untuk pengetahuan, dia adalah pembiaya kewangan sepenuhnya untuk filem Cempaka.

“Bagaimanapun tidak lama kemudian, hati kecil saya mengatakan Datuk ini sebenarnya penipu. Pelaburan bernilai kira-kira RM100,000 sebagai wang pendahuluan filem Cempaka saya itu macam ada agenda tertentu,” jelasnya.

Yasmin turut mendakwa bahawa hubungannya dengan lelaki berusia 43 tahun itu hanya sekadar teman bisnes. Tidak lebih daripada itu. Malah mereka tidak pernah keluar berdua-duaan kerana dia sering ditemani ahli keluarga lain.

“Dengar sini, saya tidak pernah ada skandal atau berkasih dengan Datuk itu. Dan dia bukan seorang sahaja Datuk yang pernah berurusan dengan saya sebelum ini.

“Saya pernah buat laporan polis pada 22 Disember tentang kelakuan Datuk itu. Dia menyerbu masuk rumah saya di Kota Damansara ala gengster membuatkan kami sekeluarga menggigil ketakutan.

“Jadi saya rasa sedih apabila dia mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan tentang saya. Mahu saya buat kenyataan maaf secara terbuka, untuk apa semua itu? Saya kan tiada hubungan istimewa dengan dia,” tegas Yasmin berkali-kali.

Kata Yasmin, prinsip hidupnya tidak sesekali merampas suami orang yang sudah punya keluarga sendiri. Tidak juga menjaja cerita istimewanya dengan mana-mana lelaki yang bertujuan untuk meraih publisiti murahan.

Utusan

Penutup Sempurna Konsert Gemuruh DT

2 Jan

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
Foto AHMAD ZAKKI ZILAN, AMIN FARIJ HASAN dan NOORADZRENE MOHD. NOOR

ARTIS luar negara sudah bersilih ganti mengadakan persembahan di Surf Beach, Sunway Lagoon, Selangor manakala nasib artis tempatan bagai dipinggirkan sebelum ini.

Namun apabila diberi peluang menjadi artis tempatan pertama muncul di sana, kumpulan Search dan Wings tampil membuktikan taring luar biasa yang dimiliki mereka.

Malam minggu lalu, peluang keemasan tiba akhirnya apabila dua ikon kumpulan rock tanah air itu beraksi atas nama Konsert DiGi Live – Gemuruh DT Search & Wings.

Seperti dijangkakan, suasana jalan menuju ke Sunway Lagoon menjadi sesak dan kelam-kabut apabila ribuan peminat setia dua kumpulan itu berduyun ke sana bermula pukul 7 petang.

Pelbagai genap lapisan peminat semuanya dapat dilihat daripada anak kecil hingga ke orang dewasa dan daripada wanita bertudung hingga ke jean ketat.

Biarpun konsert dijanjikan bermula pukul 8.45 malam, ruang hadapan pentas sudah penuh sebelum pukul 8 malam. Bayangkan mereka sanggup berdiri dalam tempoh yang begitu lama hingga ke penghujung konsert.

Jumlah hampir 10,000 penonton yang hadir itu jelas memberi kuasa sakti kepada Search dan Wings. Namun cabaran permulaan disambut oleh Azlan & The Typewriter yang menjadi artis undangan pembuka tirai.

Lan berjaya menyembunyikan keresahan dalam jiwanya bagi membuktikan kehebatan vokalnya yang setanding dengan vokal Amy dan Awie menerusi lagu Intan Ku Kesepian dan Fantasia Bulan Madu.

Kuasa irama kerasMenyanyikan lebih 20 lagu tanpa henti selama dua jam, itulah kehebatan Search dan Wings bagi membuktikan mengapa mereka masih bertahan dalam karier nyanyian tanah air hari ini.

Amy dan Awie jelas tidak hilang fokus. Malah, mereka masih berupaya menonjolkan kekuatan vokalnya seperti zaman bujang dahulu. Kesimpulannya, dua bapa orang ini langsung tidak ‘pancit’.

Malam penuh dingin selepas hujan turun beberapa jam sebelum itu menyaksikan Balada Pemuzik Jalanan, Taming Sari, Romania, Opera Hidup, Paranoid, Emenuelle dan Jerangkung Dalam Almari adalah lagu-lagu yang menghiasi persembahan pemanas badan mereka yang nampak kasual dengan fesyen ringkas – jeans dan kemeja-T.

Persembahan Double Trouble diteruskan lagi dengan lagu-lagu seperti Orang Kita, Bujang Senang dan Sejati selain lagu-lagu pilihan seperti Cakap Orang Muda, Pelesit Kota dan Pawana sebelum lagu Gemuruh benar-benar membuat suasana Surf Beach seperti dilanda guruh kuat.

Apa yang menariknya, langsung tidak tergambar raut kecewa pada wajah peminat setia Search dan Wings itu yang menghabiskan RM70 untuk mengabadikan kenangan indah mereka pada malam itu.

Sebaliknya, mereka begitu sporting menyanyikan lirik lagu-lagu yang sudah melekat dalam minda mereka sambil sesekali menggoyangkan kepala.

Memanaskan lagi suasana malam, Amy dan Awie beralih kepada lagu-lagu medley popular yang menggemakan suasana malam seperti Rozana, Semalam Yang Hangat, Gadisku, Taman Rashidah Utama, Meniti Titian Usang dan Misteri Mimpi Syakila.

Search dan Wings menutup sempurna pentas dengan Rock N Roll Lu Punya Suka dan lagu terakhir, Pasti.

Tamat konsert sekitar pukul 11.30 malam, Search dan Wings membuktikan mereka lulus cemerlang menjayakan Konsert DiGi Live – Gemuruh DT Search & Wings sepanjang tahun ini.

Utusan

Menguak Jendela Baru 2011

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

HARI berganti hari, musim berganti musim akhirnya sinar 2011 sudah menampakkan cahayanya. Biarpun masih terlalu awal untuk menebak apakah yang berlaku sepanjang tahun ini, sudah tentu semuanya mengharapkan cahaya 2011 memancarkan seri menemani gelita.

Bagi anak seni tempatan, inilah masanya untuk mereka memasang azam baru atau setidak-tidaknya menyambung kembali azam yang masih belum tercapai pada tahun lalu.

Jika ada air mata yang tertumpah sepanjang tahun 2010 lalu, biarkan ia terus tersimpan rapi dalam lipatan sejarah. Tidak guna terus berendam air mata sedangkan masa yang pergi tidak menunggu kita.

Insiden putus cinta, saman menyaman, perang dingin, cerai menghias kanvas perjalanan hidup anak seni sepanjang tahun. Ramai juga yang bersorak gembira apabila impian di capai yang mengukuhkan nama mereka di persada seni tanah air.

Ada yang memasang impian untuk menamatkan zaman bujang, mengisi kekosongan hati dan tak kurang juga yang mahu 2011 membuka pintu rezeki seluas-luasnya untuk mereka.

Sudah pasti permulaan tahun baru ini disambut dengan penuh rasa syukur agar perjalanan hidup ini akan diberkati oleh-Nya.

Sebagai permulaan tahun 2011, sudah pasti Pancaindera sendiri mengharapkan lebih banyak kejayaan yang datang kepada industri seni tempatan khususnya. Moga lebih banyak kejayaan manis dicapai oleh insan seni seterusnya memacu kecemerlangan hingga akhirnya.

2011 tahun mencabar

TERHERET dalam kancah kontroversi suku terakhir tahun 2010, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Asmara Ini tidak menafikan 2010 merupakan tahun yang memberikan kesan kepada dirinya.

Kontroversi tentang kolej yang dikatakan bermasalah itu, Fazley yakin semuanya akan berakhir menjelang tahun baru kerana banyak perkara sudah dilaksanakan untuk membersih kembali namanya.

‘Saya tidak mahu ulas pasal kontroversi itu lagi memandangkan ia ada sangkut paut dengan undang-undang. Tapi apa yang boleh saya katakan itu merupakan satu kes yang unik dan teknikal.

‘Tentang tahun baru pula, sudah pasti saya mengharapkan sinar 2011 akan memberikan cahaya yang indah buat saya. Album baru akan muncul sekitar bulan Februari dan sudah ada beberapa program tv yang saya kena sertai.

‘Saya juga sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah di sebuah IPTA tempatan dan sebagai bapa pula saya mengharapkan anak-anak akan membesar dengan sihat. Anak sulung saya akan mula masuk pra sekolah tahun ini,’ kata Fazley lagi.

Nabil hindar kontroversi

KONTROVERSI dan Nabil bagaikan bersatu! Semakin dia lari dari menjadi mangsa kontroversi, semakin banyak kisah-kisah hitam melingkari pelawak, pelakon dan bakal penyanyi ini.

‘Tahun 2010 memang tahun kontroversi saya. Bukan tak sedih dengan apa yang telah berlaku tapi setidak-tidaknya banyak pengajaran yang saya dapat semasa terhimpit dengan kontroversi ini.

‘Sudah pasti untuk tahun baru ini saya mengharapkan yang terbaik buat diri. Tidak ada dalam carta diri saya untuk mencari cinta ataupun menamatkan zaman bujang bagi tahun ini.

‘Biarlah saya bekerja mencari rezeki dan membina nama untuk bekalan diri sendiri. Bukan tak mahu fikir soal cinta tapi rasanya baik saya rehat seketika. Takut nanti terus terhimpit dek kontroversi tak sudah.

‘Kalau ada orang yang masih belum nampak bakat yang ada dalam diri saya, sudah pasti saya mahu orang buka mata. Tengok bakat yang ada dan bukan tengok kontroversi,’ kata Nabil lagi.

Maya Karin cari ketenangan

HIDUP bersendirian ternyata memberikan impak kepada pelakon utama teater Natrah ini. Pelbagai ranjau dan duri terpaksa dilalui sepanjang tahun 2010 termasuklah kes penceraiannya.

Tak cukup dengan itu khabar angin yang bertiup kencang mengatakan dia kini kelihatan intim dengan Yusri Abdul Halim.

‘Kalau boleh tahun ini saya nak cari ketenangan. Dah penah harung cerita yang tak pernah habis, sudah pasti saya mengharapkan tahun baru ini memberikan kelegaan kepada saya. Kalau tidakpun saya mahu jadikan tahun 2011 sebagai tahun untuk saya melancong.

‘Saya juga harap kerjaya saya akan maintain pada tahun 2011 dengan pelbagai perancangan yang telah diatur. Harap-harap saya boleh ke gym dengan lebih kerap untuk jaga stamina saya,’ kata Maya yang akan muncul dengan filem Cun dan Ombak Rindu.

Lisa mahu lebih ‘hijau’

MENCATATKAN kenangan yang cukup manis sepanjang karier lakonannya, Lisa Surihani mahu menjadikan tahun 2011 sebagai tahun yang ‘hijau’ buat dirinya.

‘Saya mahu terlibat dalam pelbagai kempen kesedaran alam sekitar mulai tahun ini. Sebelum ini mungkin saya kurang kesempatan dengan jadual kerja yang cukup padat. Sudah pasti kali ini saya mahu melaksanakan tanggungjawab sosial sebaik mungkin.

‘Kalau dalam lakonan saya mengharapkan agar saya mendapat watak yang benar-benar mencabar diri saya dan lain dari yang lain. Ini memang impian saya untuk tahun 2011.

‘Selain itu saya juga mengidamkan untuk mempunyai rancangan bual bicara sendiri. Sama ada cepat atau lambat,’ kata Lisa yang menjadi artis pertama yang mempunyai lebih sejuta peminat di facebook.

Shaheizy Sam terbaik

RAMAI yang menggelar pelakon ini sebagai Johnny Depp Malaysia dek keberkesanan lakonannya. Bagilah apa sahaja watak, pasti akan dilunaskan oleh Shaheizy Sam dengan jayanya.

‘Saya nak jadi lebih baik dan saya nak jadi jutawan. Hahaha. Saya bangga apabila kemunculan saya dalam industri ini diterima ramai. Ramai yang tahu ada Shaheizy Sam sebagai pelakon.

‘Kalau nak cakap soal puas, memang tak akan puas. Setiap masa saya mahu buat yang terbaik. Saya tak mahu dilihat sama dalam setiap filem.

‘Sebab itu ramai yang lihat lakonan saya dalam filem Ngangkung lain daripada yang lain. Insya-Allah dalam masa akan datang saya akan cuba jadi buat yang lebih baik untuk semua peminat saya,’ katanya lagi.

Tahun kerja keras Erra

MELAYARI kehidupan sebagai anak seni sememangnya memberikan pengalaman yang cukup manis buat Erra Fazira. Masih terhimpit dengan pelbagai gosip yang tak berkesudahan, Erra tahu itu asam garam yang perlu dihadapinya sebagai insan seni.

Tidak mahu terus tunduk dengan cerita kurang enak, Erra mahu menjadikan tahun 2011 ini sebagai tahun untuk dia kembali bekerja dengan lebih keras.

‘Bila masuk tahun baru, banyak impian yang saya pasang. Saya mahu membeli rumah baru dan buat itu dan ini. Aleesya pun dah makin membesar, cukup membuatkan saya tenang.

‘Banyak perancangan yang telah saya fikirkan sebenarnya. Selepas ini saya akan sibuk dengan program Mentor musim terbaru dan akan melahirkan bakat baru.

‘Saya tak mahu melahirkan bakat yang boleh menghibur semata-mata. Kalau boleh biarlah dia berdisiplin dan ada nilai-nilai yang baik sebelum saya perturunkan ilmu yang ada,’ ujar isteri kepada Engku Emran ini lagi.

Mamat Khalid teruja

SEBELUM ini ramai yang membelasah Mamat Khalid gara-gara filem Estet tidak berjaya merangkul kategori Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM23) tahun lalu.

Kemunculan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sedikit sebanyak mengembalikan nama Mamat Khalid ke landasan yang betul apabila filem tersebut berjaya mencecah kutipan lebih RM6 juta.

‘Untuk tahun ini saya akan buat filem yang orang nak tengok! Kita tahu filem-filem sebegini memang mendapat sambutan dan pulangannya cukup baik.

‘Selain itu saya juga nampak tahun ini bakal memunculkan lebih banyak filem tempatan daripada karyawan kita yang sememangnya bagus-bagus belaka.

‘Selain itu saya nak kurangkan merokok sebab harga rokok dah naik,’ kata Mamat berseloroh.

Utusan

Anita Sarawak Hebat

2 Jan

BARU-baru ini saya ada menonton rancangan baru berjudul Astana di saluran Astro. Kalau diikutkan tidak ada bezanya rancangan yang memaparkan dekorasi mewah segelintir orang Malaysia yang kaya raya.

Tapi apa yang membezakan rancangan itu dengan rancangan yang lain terletak pada kekuatan pengacaranya. Cukup bersahaja Anita Sarawak mengemudi rancangan tersebut sehingga membuatkan saya terpegun.

Bukan apa, kebanyakan rancangan lain kebiasaannya hanya mengikut skrip. Kebanyakan pengacaranya cukup “plastik” untuk nampak hebat sedangkan kita tahu mereka tak begitu.

Paling menarik sudah tentu melihatkan pergerakan kamera yang cukup lain daripada yang lain. Tidak statik pada satu tempat sahaja ternyata Astana cukup hebat dalam kelasnya yang tersendiri.

Tahniah sekali lagi kepada Anita Sarawak dan pihak produksi yang ternyata menghidangkan sesuatu yang berbeza kepada penonton.

Zulhakimy

Perak.

Utusan

Harapan Baru 2011

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
kacakbergaya2011@gmail.com

SETIAP kali menginjak tahun baru, pasti ramai yang memasang azam baru. Tapi adakah azam tahun lalu benar-benar berjaya? Adakah impian yang dipasang itu hanya satu “kewajipan” sedangkan tidak ada apa-apa pencapaian terlakar sepanjang tahun,” kata lelaki tinggi lampai ini.

Bagi pemilik nama Syed Aziruddin Syed Termizi ini, sudah menjadi kebiasaan setiap orang untuk melakukan pembaharuan setiap kali munculnya tahun baru.

Tapi apa yang kadang kala membuatkan dia jelik apabila ada yang hanya hanya menyebut apa yang diidamkan sedangkan mereka langsung tidak pernah berusaha ke arah itu.

Katanya lagi, bagaikan satu tradisi pula apabila segelintir orang sanggup berbangga dengan pelbagai cerita azam yang agak mustahil sedangkan ramai yang tahu itu tak mungkin tercapai.

“Bukan tak boleh nak pasang azam. Semua orang ada impian masing-masing. Kalau boleh biarlah apa yang diimpikan itu disertakan dengan usaha gigih yang tak pernah putus selain kerja keras.

“Kalau tidak rasanya tak guna kita hanya berazam. Menyambut tahun baru dengan berpesta sakan sedangkan tidak apa yang boleh kita banggakan setelah melewati setahun.

“Apa kata setiap penghujung tahun, kita renungkan kembali apa yang dah berlaku sepanjang tahun. Apa pencapaian kita dan apa perkara yang boleh kita banggakan.

“Ini lebih baik kalau kita sendiri dapat cari di mana kesalahan kita di samping memperbaiki mana-mana kelemahan untuk bekalan dikemudian hari,” kata jejaka yang baru sahaja menginjak usia 22 tahun ini.

Menjangkakan tahun 2011 merupakan tahun dia menimba pengalaman hidup, kata jejaka yang cukup mesra disapa dengan panggilan Syed ini berharap dia mampu menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Memandangkan dia baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang senibina landskap di sebuah institusi pengajian tinggi, sudah pasti dia berharap dapat melakukan sesuatu nanti.

“Saya baru sahaja menamatkan pengajian. Sudah ada beberapa tawaran daripada beberapa syarikat tetapi saya masih memikirkannya.

“Bukan tak mahu bekerja lagi cuma kalau boleh saya mahu menyambung lagi pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi sebagai bekalan pada masa hadapan.

“Ramai orang berpuas hati setakat itu sahaja. Saya pula mengimpikan untuk menuntut ke peringkat yang lebih tinggi kerana itu impian yang saya mahu laksanakan sejak kecil lagi.

“Ramai di kalangan rakan-rakan saya yang sudah menceburi alam pekerjaan dan mereka kelihatan gembira. Ada yang seronok bekerja dan sudah tidak mahu menyambung pengajian lagi.

“Inilah perkara yang paling saya takuti. Kalau boleh biarlah saya melunaskan impian saya sebelum mula bekerja,” katanya satu persatu.

Utusan

Siti Di Alam Fantasi Pamer Kehebatan

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

BERKISAH tentang dunia kanak-kanak, ternyata teater muzikal Siti Di Alam Fantasi mencatatkan sejarah baru bagi Istana Budaya apabila menjadi teater kanak-kanak pertama yang mencatatkan kutipan tiket paling laris.

Dengan kutipan tiket lebih RM200,000 sepanjang tempoh pementasan, ada yang beranggapan teater ini merupakan muzikal kanak-kanak terbaik yang pernah dihasilkan oleh karyawan seni tempatan khususnya.

Cerita mengenai gadis kecil yang bongkak dengan kekayaan dan tidak mahu mendengar nasihat orang sekeliling masih lagi relevan biarpun ia pernah dipentaskan 10 tahun yang lalu.

Kesombongan gadis yang bernama Siti itu tidak lama apabila dia berusaha mencari geliga yang hilang. Dalam perjalanan mencari geliga pelbagai peristiwa yang dilalui oleh Siti bersama Mamat dan Pokok yang akhirnya memberi keinsafan kepada dirinya.

Jika satu dekad yang lalu, teater ini turut mencipta fenomena, kali ini dengan dibarisi wajah-wajah baru, pandangan mata terpaku dengan kemasan lampu pentas yang cukup mengujakan.

Memulakan pementasan pada 22 hingga 31 Disember yang lalu, saban hari Panggung Sari Istana Budaya penuh dengan penonton terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Ternyata Siti Di Alam Fantasi kali ini bukan saja terletak pada kekuatan jalan cerita dan barisan para pelakon semata-mata, tapi dalam aspek teknikal.

Bukan menidakkan produksi lain yang pernah menghasilkan teater kanak-kanak sebegini, tetapi terlihatkan sahaja lampu-lampu di pentas cukup menarik minat penonton yang ada.

Set yang dihidangkan juga cukup kemas dengan perincian kostum pelakon memegang pelbagai watak haiwan seperti lipas, burung bayan, lebah, ulat bulu dan banyak lagi.

Pancaran sinaran laser yang penuh warna-warni menghidupkan lagi suasana pentas menjadikan penonton teruja untuk terus melekat sejak mula sehingga akhir pementasan.

Paling mengujakan apabila melihatkan set dalam laut yang dibina. Terbangnya Ratu Duyung bersama Siti bagaikan melihat mereka berenang di dalam laut.

Bagaikan benar-benar di alam fantasi, semuanya bersatu. Kehebatan pelakon-pelakon yang ada pada sepanjang malam membuatkan Siti Di Alam Fantasi benar-benar hebat.

Liyana Jasmay, Fizo Omar, Vanida Imran dan Johan Raja Lawak mungkin masih terlalu baru dalam pentas teater. Namun kemunculan mereka cukup mencuri perhatian.

Paling membanggakan melihat kelibat Ebby Yus yang cukup matang dalam pentas yang sebegini besar. Ternyata pengalaman yang dimiliki oleh pelakon senior ini mampu mengemudi keseluruhan pentas dengan lawak jenakanya.

Bagi pengarah teater ini, Aminah Rhapor, dia cukup gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peminat teater tempatan sehingga hari terakhir pementasan.

Aminah Rhapor menambah, kekuatan yang ada dalam teater kanak-kanak ini bukan hanya terletak kepada skrip dan pelakon semata-mata, tetapi keseluruhan pentas tersebut.

‘Sejak awal lagi memang saya mahu fokuskan aspek teknikal di samping para pelakon dan naskhah skripnya. Kita mahu tukar pentas IB itu menjadi satu pentas penuh fantasi dengan pancaran lampu yang berwarna-warni.

‘Sebab itu ramai yang memuji aspek teknikal kali ini lebih baik. Kita tidak menggunakan kepakaran orang luar sebaliknya hanya tenaga IB yang kita gunakan kali ini.

‘Sebagai pengarah sudah pasti saya tidak boleh berpuas hati dengan semuanya. Cuma apa yang boleh saya katakan saya cukup lega dengan semuanya. Apa yang kita harapkan benar-benar mencapai matlamat,’ kata pensyarah UITM ini lagi.

Menyusuri arus kemodenan hari ini, sudah tidak banyak naskah kreatif seperti cerita Siti Di Alam Fantasi yang dihasilkan. Mungkin ada yang terlepas pandang bahawasanya naskah sebegini akan hidup sampai bila-bila dan tak akan luput ditelan zaman.

Sambil mengakui kebenaran kata-kata itu, pelbagai perancangan yang telah diatur oleh pihaknya untuk mementaskan teater ini ke luar negara.

‘Memang kami ada menjemput wakil Esplanede Singapura dan wakil stesen televisyen Brunei untuk sama-sama lihat. Kalau boleh memang saya berhajat nak bawa teater ini ke sana.

‘Kalau nak buat filem itu mungkin agak sukar sebab ia memakan belanja yang besar. Ramai yang mahu melihat ia dijadikan seperti filem Alice In The Wonderland tapi rasanya sukar untuk dilaksana.

‘Tapi saya memang mencari kalau-kalau ada stesen televisyen yang berminat untuk menjadikan ia program kanak-kanak. Itu memang impian saya,’ katanya lagi.

Utusan

Bukan Tunjuk Belang – Maher Zain

2 Jan

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto ZAKKI JILAN

KEKECOHAN mengenai kegagalan penyanyi terkenal Lebanon, Maher zain untuk hadir ke studio TV9 baru-baru ini masih lagi berdesing di telinga ribuan peminatnya di Malaysia.

Mana tidaknya, sebagai sebuah nama yang sedang mekar berkembang dan menumpang tuah dalam industri muzik tanah air, Maher juga tidak terkecuali daripada menerima tempias negatif.

Penyanyi yang popular dengan lagu For The Rest Of My Life itu didakwa sudah tidak segan-segan lagi menunjukkan belang sebenarnya hanya kerana gagal menyertai rancangan siaran awal pagi tersebut.

Malah, dek kerana satu kesilapan tersebut, Maher dituduh tidak bijak menjaga hati pihak media dan peminatnya di sini. Sayang sekali jika kedatangan kali keduanya ke negara ini sejak 25 Disember lalu tercemar dengan berita kurang enak sebegini.

Bukan itu sahaja, tidak kurang juga ada yang menganggap Maher sudah pandai tunjuk belang lantaran populariti yang ditempanya sekarang. Benarkah begitu?

Menjawab segala persoalan, penyanyi R&B ini tampil membuka bicara. Menyifatkan segala apa yang berlaku sebagai satu salah faham, kata Maher, dia langsung tidak tahu-menahu mengenai program yang mesti dihadirinya itu.

“Pihak pengurusan saya menyangkakan program siaran langsung tersebut bersiaran pada hari Isnin dan bukannya hari Ahad. Kalau saya tahu berlangsung pada hari tersebut, pastinya saya akan hadir.

“Perkara ini berlaku kerana salah faham, mungkin pihak pengurusan saya sedikit keliru berhubung tarikh yang tepat, ia bukan kerana saya mahu berlagak popular,” katanya.

Menyusun sepuluh jari tanda memohon maaf, Maher juga mengakui sebagai manusia biasa dia tidak dapat lari daripada kesilapan begitu.

“Saya tahu saya telah menghampakan ribuan peminat yang menunggu kemunculan saya di kaca televisyen pada pagi itu, saya mohon maaf atas apa yang berlaku kepada semua pihak,” ujarnya lagi.

Difahamkan kegagalan Maher untuk hadir ke program itu menyebabkan slot temu bual selama 17 minit bersamanya digantikan dengan slot lain sekali gus menimbulkan kesulitan di pihak TV9.

Menyentuh mengenai populariti yang diraihnya kini, pantas tampak serba salah pada raut wajah penyanyi berusia 28 tahun ini.

Bimbang akan ada yang tersalah erti, Maher dalam tutur sopan tidak menolak mahu mengiyakan tanggapan itu.

Kata Maher, apa yang dimilikinya sekarang hanyalah sementara dan ia bila-bila sahaja ia boleh dirampas Allah S.W.T jika dirinya alpa.

“Apa yang saya boleh katakan, saya bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Tuhan. Saya tak rasa populariti merupakan tiket untuk saya berlagak hebat.

“Ya..saya popular kerana dikenali ramai peminat, tetapi jauh di sudut hati sebenarnya saya masih orang biasa.

“Menjadi popular adalah satu cabaran buat saya. Tetapi saya selalu ingatkan diri bahawa apa jua yang saya lakukan dan kerjakan sekarang adalah kerana Allah S.W.T,” ujarnya.

Kejutan buat peminat

Maher akan mengadakan konsert khusus buat para peminatnya di Malaysia pada 25 dan 26 Februari ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. Kata Maher, dia punya banyak kejutan buat semua penyokong tempatan.

Konsert berjudul Maher Zain Live In Concert 2011 Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia itu akan menyaksikan gabungan antara Maher dengan 10 pemuzik profesional bertaraf antarabangsa.

Antara yang akan muncul di pentas dengannya termasuk penyanyi nasyid dari Macedonia, Mesut Kurtis, Irfan Makki dari Kanada serta kumpulan Inteam dari Malaysia.

“Saya teruja untuk kembali sekali lagi di bumi Malaysia yang sudah saya anggap sebagai rumah kedua saya. Lebih bermakna apabila kunjungan saya kali ini disertakan dengan penganjuran konsert pertama saya.

“Buat semua peminat di sini, nantikan kejutan yang akan saya hadiahkan pada konsert itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Maher juga memaklumkan bahawa dia bakal merakamkan lagu berjudul InshaAllah versi Bahasa Melayu tidak lama lagi.

Katanya, ia adalah sebagai sebahagian daripada strateginya untuk terus memenangi hati peminat tempatan yang tidak henti-henti memberi sokongan terhadapnya.

Bakal muncul dengan album kedua yang masih di dalam pembikinan, kata Maher, setakat ini, dia juga masih belum memutuskan sama ada mahu menyelitkan lagu tersebut atau tidak ke dalam album itu kelak.

“Saya pernah merakamkan lagu InsyaAllah dalam bahasa Arab, Perancis, Turki dan Bahasa Inggeris. Rasanya tak salah kalau saya cuba merakamkan lagu ini dalam Bahasa Melayu.

“Sekarang saya masih lagi dalam proses mengumpul lagu. Apa yang pasti lagu itu kelak bukanlah seratus peratus terjemahan daripada lagu asal.

“Liriknya akan diubah sedikit mengikut kesesuaian, namun fokus dan intipati lagu masih sama,” katanya.

Dalam pada itu, harga tiket bagi konsert yang akan berlangsung selama dua hari itu adalah sekitar RM50 hingga RM200. Untuk maklumat lanjut berhubung konsert, layari laman web http://www.inteam.com.my.

Utusan