Archive | Utusan RSS feed for this section

Harapan Baru 2011

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
kacakbergaya2011@gmail.com

SETIAP kali menginjak tahun baru, pasti ramai yang memasang azam baru. Tapi adakah azam tahun lalu benar-benar berjaya? Adakah impian yang dipasang itu hanya satu “kewajipan” sedangkan tidak ada apa-apa pencapaian terlakar sepanjang tahun,” kata lelaki tinggi lampai ini.

Bagi pemilik nama Syed Aziruddin Syed Termizi ini, sudah menjadi kebiasaan setiap orang untuk melakukan pembaharuan setiap kali munculnya tahun baru.

Tapi apa yang kadang kala membuatkan dia jelik apabila ada yang hanya hanya menyebut apa yang diidamkan sedangkan mereka langsung tidak pernah berusaha ke arah itu.

Katanya lagi, bagaikan satu tradisi pula apabila segelintir orang sanggup berbangga dengan pelbagai cerita azam yang agak mustahil sedangkan ramai yang tahu itu tak mungkin tercapai.

“Bukan tak boleh nak pasang azam. Semua orang ada impian masing-masing. Kalau boleh biarlah apa yang diimpikan itu disertakan dengan usaha gigih yang tak pernah putus selain kerja keras.

“Kalau tidak rasanya tak guna kita hanya berazam. Menyambut tahun baru dengan berpesta sakan sedangkan tidak apa yang boleh kita banggakan setelah melewati setahun.

“Apa kata setiap penghujung tahun, kita renungkan kembali apa yang dah berlaku sepanjang tahun. Apa pencapaian kita dan apa perkara yang boleh kita banggakan.

“Ini lebih baik kalau kita sendiri dapat cari di mana kesalahan kita di samping memperbaiki mana-mana kelemahan untuk bekalan dikemudian hari,” kata jejaka yang baru sahaja menginjak usia 22 tahun ini.

Menjangkakan tahun 2011 merupakan tahun dia menimba pengalaman hidup, kata jejaka yang cukup mesra disapa dengan panggilan Syed ini berharap dia mampu menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Memandangkan dia baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang senibina landskap di sebuah institusi pengajian tinggi, sudah pasti dia berharap dapat melakukan sesuatu nanti.

“Saya baru sahaja menamatkan pengajian. Sudah ada beberapa tawaran daripada beberapa syarikat tetapi saya masih memikirkannya.

“Bukan tak mahu bekerja lagi cuma kalau boleh saya mahu menyambung lagi pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi sebagai bekalan pada masa hadapan.

“Ramai orang berpuas hati setakat itu sahaja. Saya pula mengimpikan untuk menuntut ke peringkat yang lebih tinggi kerana itu impian yang saya mahu laksanakan sejak kecil lagi.

“Ramai di kalangan rakan-rakan saya yang sudah menceburi alam pekerjaan dan mereka kelihatan gembira. Ada yang seronok bekerja dan sudah tidak mahu menyambung pengajian lagi.

“Inilah perkara yang paling saya takuti. Kalau boleh biarlah saya melunaskan impian saya sebelum mula bekerja,” katanya satu persatu.

Utusan

Siti Di Alam Fantasi Pamer Kehebatan

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

BERKISAH tentang dunia kanak-kanak, ternyata teater muzikal Siti Di Alam Fantasi mencatatkan sejarah baru bagi Istana Budaya apabila menjadi teater kanak-kanak pertama yang mencatatkan kutipan tiket paling laris.

Dengan kutipan tiket lebih RM200,000 sepanjang tempoh pementasan, ada yang beranggapan teater ini merupakan muzikal kanak-kanak terbaik yang pernah dihasilkan oleh karyawan seni tempatan khususnya.

Cerita mengenai gadis kecil yang bongkak dengan kekayaan dan tidak mahu mendengar nasihat orang sekeliling masih lagi relevan biarpun ia pernah dipentaskan 10 tahun yang lalu.

Kesombongan gadis yang bernama Siti itu tidak lama apabila dia berusaha mencari geliga yang hilang. Dalam perjalanan mencari geliga pelbagai peristiwa yang dilalui oleh Siti bersama Mamat dan Pokok yang akhirnya memberi keinsafan kepada dirinya.

Jika satu dekad yang lalu, teater ini turut mencipta fenomena, kali ini dengan dibarisi wajah-wajah baru, pandangan mata terpaku dengan kemasan lampu pentas yang cukup mengujakan.

Memulakan pementasan pada 22 hingga 31 Disember yang lalu, saban hari Panggung Sari Istana Budaya penuh dengan penonton terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Ternyata Siti Di Alam Fantasi kali ini bukan saja terletak pada kekuatan jalan cerita dan barisan para pelakon semata-mata, tapi dalam aspek teknikal.

Bukan menidakkan produksi lain yang pernah menghasilkan teater kanak-kanak sebegini, tetapi terlihatkan sahaja lampu-lampu di pentas cukup menarik minat penonton yang ada.

Set yang dihidangkan juga cukup kemas dengan perincian kostum pelakon memegang pelbagai watak haiwan seperti lipas, burung bayan, lebah, ulat bulu dan banyak lagi.

Pancaran sinaran laser yang penuh warna-warni menghidupkan lagi suasana pentas menjadikan penonton teruja untuk terus melekat sejak mula sehingga akhir pementasan.

Paling mengujakan apabila melihatkan set dalam laut yang dibina. Terbangnya Ratu Duyung bersama Siti bagaikan melihat mereka berenang di dalam laut.

Bagaikan benar-benar di alam fantasi, semuanya bersatu. Kehebatan pelakon-pelakon yang ada pada sepanjang malam membuatkan Siti Di Alam Fantasi benar-benar hebat.

Liyana Jasmay, Fizo Omar, Vanida Imran dan Johan Raja Lawak mungkin masih terlalu baru dalam pentas teater. Namun kemunculan mereka cukup mencuri perhatian.

Paling membanggakan melihat kelibat Ebby Yus yang cukup matang dalam pentas yang sebegini besar. Ternyata pengalaman yang dimiliki oleh pelakon senior ini mampu mengemudi keseluruhan pentas dengan lawak jenakanya.

Bagi pengarah teater ini, Aminah Rhapor, dia cukup gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peminat teater tempatan sehingga hari terakhir pementasan.

Aminah Rhapor menambah, kekuatan yang ada dalam teater kanak-kanak ini bukan hanya terletak kepada skrip dan pelakon semata-mata, tetapi keseluruhan pentas tersebut.

‘Sejak awal lagi memang saya mahu fokuskan aspek teknikal di samping para pelakon dan naskhah skripnya. Kita mahu tukar pentas IB itu menjadi satu pentas penuh fantasi dengan pancaran lampu yang berwarna-warni.

‘Sebab itu ramai yang memuji aspek teknikal kali ini lebih baik. Kita tidak menggunakan kepakaran orang luar sebaliknya hanya tenaga IB yang kita gunakan kali ini.

‘Sebagai pengarah sudah pasti saya tidak boleh berpuas hati dengan semuanya. Cuma apa yang boleh saya katakan saya cukup lega dengan semuanya. Apa yang kita harapkan benar-benar mencapai matlamat,’ kata pensyarah UITM ini lagi.

Menyusuri arus kemodenan hari ini, sudah tidak banyak naskah kreatif seperti cerita Siti Di Alam Fantasi yang dihasilkan. Mungkin ada yang terlepas pandang bahawasanya naskah sebegini akan hidup sampai bila-bila dan tak akan luput ditelan zaman.

Sambil mengakui kebenaran kata-kata itu, pelbagai perancangan yang telah diatur oleh pihaknya untuk mementaskan teater ini ke luar negara.

‘Memang kami ada menjemput wakil Esplanede Singapura dan wakil stesen televisyen Brunei untuk sama-sama lihat. Kalau boleh memang saya berhajat nak bawa teater ini ke sana.

‘Kalau nak buat filem itu mungkin agak sukar sebab ia memakan belanja yang besar. Ramai yang mahu melihat ia dijadikan seperti filem Alice In The Wonderland tapi rasanya sukar untuk dilaksana.

‘Tapi saya memang mencari kalau-kalau ada stesen televisyen yang berminat untuk menjadikan ia program kanak-kanak. Itu memang impian saya,’ katanya lagi.

Utusan

Bukan Tunjuk Belang – Maher Zain

2 Jan

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto ZAKKI JILAN

KEKECOHAN mengenai kegagalan penyanyi terkenal Lebanon, Maher zain untuk hadir ke studio TV9 baru-baru ini masih lagi berdesing di telinga ribuan peminatnya di Malaysia.

Mana tidaknya, sebagai sebuah nama yang sedang mekar berkembang dan menumpang tuah dalam industri muzik tanah air, Maher juga tidak terkecuali daripada menerima tempias negatif.

Penyanyi yang popular dengan lagu For The Rest Of My Life itu didakwa sudah tidak segan-segan lagi menunjukkan belang sebenarnya hanya kerana gagal menyertai rancangan siaran awal pagi tersebut.

Malah, dek kerana satu kesilapan tersebut, Maher dituduh tidak bijak menjaga hati pihak media dan peminatnya di sini. Sayang sekali jika kedatangan kali keduanya ke negara ini sejak 25 Disember lalu tercemar dengan berita kurang enak sebegini.

Bukan itu sahaja, tidak kurang juga ada yang menganggap Maher sudah pandai tunjuk belang lantaran populariti yang ditempanya sekarang. Benarkah begitu?

Menjawab segala persoalan, penyanyi R&B ini tampil membuka bicara. Menyifatkan segala apa yang berlaku sebagai satu salah faham, kata Maher, dia langsung tidak tahu-menahu mengenai program yang mesti dihadirinya itu.

“Pihak pengurusan saya menyangkakan program siaran langsung tersebut bersiaran pada hari Isnin dan bukannya hari Ahad. Kalau saya tahu berlangsung pada hari tersebut, pastinya saya akan hadir.

“Perkara ini berlaku kerana salah faham, mungkin pihak pengurusan saya sedikit keliru berhubung tarikh yang tepat, ia bukan kerana saya mahu berlagak popular,” katanya.

Menyusun sepuluh jari tanda memohon maaf, Maher juga mengakui sebagai manusia biasa dia tidak dapat lari daripada kesilapan begitu.

“Saya tahu saya telah menghampakan ribuan peminat yang menunggu kemunculan saya di kaca televisyen pada pagi itu, saya mohon maaf atas apa yang berlaku kepada semua pihak,” ujarnya lagi.

Difahamkan kegagalan Maher untuk hadir ke program itu menyebabkan slot temu bual selama 17 minit bersamanya digantikan dengan slot lain sekali gus menimbulkan kesulitan di pihak TV9.

Menyentuh mengenai populariti yang diraihnya kini, pantas tampak serba salah pada raut wajah penyanyi berusia 28 tahun ini.

Bimbang akan ada yang tersalah erti, Maher dalam tutur sopan tidak menolak mahu mengiyakan tanggapan itu.

Kata Maher, apa yang dimilikinya sekarang hanyalah sementara dan ia bila-bila sahaja ia boleh dirampas Allah S.W.T jika dirinya alpa.

“Apa yang saya boleh katakan, saya bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Tuhan. Saya tak rasa populariti merupakan tiket untuk saya berlagak hebat.

“Ya..saya popular kerana dikenali ramai peminat, tetapi jauh di sudut hati sebenarnya saya masih orang biasa.

“Menjadi popular adalah satu cabaran buat saya. Tetapi saya selalu ingatkan diri bahawa apa jua yang saya lakukan dan kerjakan sekarang adalah kerana Allah S.W.T,” ujarnya.

Kejutan buat peminat

Maher akan mengadakan konsert khusus buat para peminatnya di Malaysia pada 25 dan 26 Februari ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. Kata Maher, dia punya banyak kejutan buat semua penyokong tempatan.

Konsert berjudul Maher Zain Live In Concert 2011 Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia itu akan menyaksikan gabungan antara Maher dengan 10 pemuzik profesional bertaraf antarabangsa.

Antara yang akan muncul di pentas dengannya termasuk penyanyi nasyid dari Macedonia, Mesut Kurtis, Irfan Makki dari Kanada serta kumpulan Inteam dari Malaysia.

“Saya teruja untuk kembali sekali lagi di bumi Malaysia yang sudah saya anggap sebagai rumah kedua saya. Lebih bermakna apabila kunjungan saya kali ini disertakan dengan penganjuran konsert pertama saya.

“Buat semua peminat di sini, nantikan kejutan yang akan saya hadiahkan pada konsert itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Maher juga memaklumkan bahawa dia bakal merakamkan lagu berjudul InshaAllah versi Bahasa Melayu tidak lama lagi.

Katanya, ia adalah sebagai sebahagian daripada strateginya untuk terus memenangi hati peminat tempatan yang tidak henti-henti memberi sokongan terhadapnya.

Bakal muncul dengan album kedua yang masih di dalam pembikinan, kata Maher, setakat ini, dia juga masih belum memutuskan sama ada mahu menyelitkan lagu tersebut atau tidak ke dalam album itu kelak.

“Saya pernah merakamkan lagu InsyaAllah dalam bahasa Arab, Perancis, Turki dan Bahasa Inggeris. Rasanya tak salah kalau saya cuba merakamkan lagu ini dalam Bahasa Melayu.

“Sekarang saya masih lagi dalam proses mengumpul lagu. Apa yang pasti lagu itu kelak bukanlah seratus peratus terjemahan daripada lagu asal.

“Liriknya akan diubah sedikit mengikut kesesuaian, namun fokus dan intipati lagu masih sama,” katanya.

Dalam pada itu, harga tiket bagi konsert yang akan berlangsung selama dua hari itu adalah sekitar RM50 hingga RM200. Untuk maklumat lanjut berhubung konsert, layari laman web http://www.inteam.com.my.

Utusan

Shania Twain Bicara Cinta

2 Jan

Selepas bercerai dengan bekas suaminya, Robert Mutt Lange, penyanyi country terkenal, Shania Twain kini sudah menemui cinta baru, Frederic Nicolas Thiebaud.

Ahli perniagaan tersebut dikatakan telah berjaya menawan hati Twain selepas wanita itu menemui kegagalan dalam perkahwinan lalunya.

Malah tanpa membuang masa, mereka berdua juga sudah mengikat tali pertunangan.

“Saya benar-benar jatuh cinta semula. Dia ibarat sebuah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya, seorang kawan yang memahami, dan seorang kekasih yang romantik.

“Kerana itu, saya gembira untuk mengumumkan pertunangan kami,” katanya.

Utusan

Gambar Siapa Tu?

2 Jan

Dalam sebuah rancangan televisyen di Korea baru-baru ini, anggota kumpulan Super Junior, Heechul telah dipaksa untuk mendedahkan gambar paparan skrin di telefon bimbitnya.

Meskipun pada mulanya dia bertegas enggan mendedahkan, Heechul bagaimanapun akhirnya terpaksa menuruti kemahuan penonton studio yang kemudiannya terkejut dengan apa yang dilihat mereka.

Tak disangka, rupa-rupanya gambar yang ada pada paparan skrin telefon bimbitnya ialah wajah anggota kumpulan Wonder Girls, Soo Hee.

‘Saya suka melihat kecomelan wajahnya.

Lagipun dia memiliki ciri-ciri wanita ideal saya,’ katanya ketika ditanya mengapa Soo Hee menjadi pilihannya.

Bagaimanapun , dalam keadaan malu-malu , Heechul kemudiannya berkata, ‘Baiklah, saya akan tukar gambar lain selepas ini,’ ujarnya.

Utusan

Cinta Laura Tak Takut Bersaing

2 Jan

UMUM sudah mengetahui, artis cantik Indonesia, Cinta Laura sekarang sibuk dengan aktivitinya di universiti dan semakin kurang dengan aktiviti lakonannya.

Bahkan, aktres dan penyanyi itu turut

mengaku dunia hiburan kini menjadi sekadar hobinya semata.

“Dunia hiburan kini hanyalah hobi saya. Ini kerana saya tidak teringin untuk menjadi seperti artis-artis lain yang setiap hari bekerja.

“Bagi saya, seminggu tiga kali sudah mencukupi. Lebih baik, kalau hanya hujung minggu sahaja bekerja dan hari selebihnya saya tumpukan pada pelajaran,” katanya.

Saat ditanya adakah dia tidak takut bersaing dengan artis-artis baru, Cinta memberitahu dia tidak kisah mengenainya.

“Itu bererti Indonesia mempunyai banyak artis yang berbakat besar. Saya cuma mahu nikmati masa remaja saya, jadi saya tak kisah ada pesaing,” katanya.

Utusan

Khurafat Cara Syamsul

2 Jan

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

PENONTON filem seram tempatan hari ini semakin ke depan apabila sering terdedah dengan banyak filem-filem genre seram dari luar. Secara tidak langsung, mereka akan mula bijak membandingkan filem tempatan yang menampilkan elemen filem seram luar yang pernah mereka tonton sebelum ini.

Ini kerana sebuah filem seram acap kali bersandarkan kepada penciptaan visual dan kesan bunyi yang mampu mengesankan penonton untuk menimbulkan kesan seram.

Justeru, apabila Syamsul Yusof pertama kali mengarah filem seram, cabaran besar menanti Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) itu untuk menghasilkan filem seram yang ada kelainan.

Filem arahan terbarunya berjudul Khurafat – Perjanjian Syaitan masih lagi tidak dapat lari dibangunkan dengan unsur-unsur aksi mencemaskan, seram dan penuh suspens.

Khurafat boleh dianggap percubaan berani Syamsul menerusi filem genre seram pertamanya dan merupakan karya seni yang boleh dibanggakan dari segi kualiti produk dan imej.

Kesan visual yang dihasilkan cukup berkesan selain filem itu dikuatkan dengan kesan bunyi yang baik untuk membentuk mood keseluruhan filem.

Filem keempat Syamsul itu mengisahkan mengisahkan perjanjian terlarang, iaitu persekongkolan antara manusia dan syaitan yang akhirnya membawa kepada bahana besar.

Khurafat bermula dengan kisah Johan lakonan Syamsul sendiri yang bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital kerajaan.

Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri, Aisyah yang pada awalnya hidup aman dan bahagia.

Namun tanpa disangka ujian datang melanda mereka di pertengahan jalan cerita apabila pasangan itu sering menerima gangguan misteri yang berterusan.

Namun kematian bekas teman wanita Johan, Anna yang cintanya ditolak berkali-kali berjaya membongkar misteri yang berlaku di dalam Khurafat. Khurafat dimulakan dengan adegan-adegan awal yang menarik, plotnya terkawal dan bergerak secara suspen.

Namun momentum Khurafat mula timbul apabila memasuki pertengahan jalan cerita dengan kemunculan misteri seorang perempuan tua yang tidak Johan kenali namun sering menyapa dan cuba mendekati Johan sewaktu di tempat kerja.

Kematian Anna dengan cara membunuh diri dan babak van jenazah jatuh ke dalam gaung serta usaha Johan menyelamatkan di dalam hutan pada waktu malam pula membawa kepada penamat Khurafat yang tidak disangka.

Adegan penamatnya yang membawa pada kematian dramatik jelas membuatkan adegan itu cukup penting sebagai kesimpulan pada keseluruhan filem ini.

Penonton akhirnya mendapat jawapan kenapa Johan mengiringi seorang jenazah bersama orang kampung ke tanah perkuburan sambil menitiskan air mata pada permulaan filem itu.

Siapakah jenazah yang diiringi itu dan apakah ia cuba memberikan isyarat tertentu antara hubungan dengan Johan? Semuanya bakal terjawab apabila Khurafat akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula Khamis ini.

Khurafat yang menelan kos termasuk promosi berjumlah RM1.7 juta itu turut dibintangi Liyana Jasmay yang melakonkan watak Aishah, Sabrina Ali (Anna), Fauziah Nawi (ibu Johan), Mariani (nenek) dan Latif Borgiba (bomoh).

Utusan