Archive | Waheeda RSS feed for this section

Mr S Disiasat Kerana Ugut

19 Apr

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bharian.com.my

Bekas pengurus artis tipu RM1j

PETALING JAYA: Bekas pengurus artis dikenali sebagai Mr S yang pernah disiasat berhubung dakwaan penipuan melebihi RM1 juta, kini disiasat pula atas dakwaan membuat ugutan mangsanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata siasatan ke atas lelaki itu dibuat selepas mangsa membuat laporan polis.

“Kita terima laporan baru mengenai kes ugut berkenaan dan kita sedang siasat, ” katanya ketika ditemui pada program Bersemuka Bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di sebuah pasar raya besar di Kota Damansara di sini, semalam.

Baru-baru ini, akhbar mendedahkan kegiatan Mr S memperdaya ramai artis dan ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan.

Lelaki lingkungan 30-an itu menggunakan taktik menubuhkan kumpulan, syarikat menguruskan artis tertentu kemudian menjaja nama artis itu untuk menarik mangsa melabur sejumlah wang dengan janji kononnya akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.

Antara mangsanya ialah penyanyi dan pelakon, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees dan Nice serta kumpulan Infinatez menyebabkan dia kini dikatakan mengaut keuntungan lebih RM1 juta hasil penipuan itu.

Arjunaidi yang sebelum ini pernah mengesahkan turut mendapatkan kerjasama polis Indonesia berkata, kes penipuan berkenaan juga masih dalam siasatan.

Sementara itu, beliau berkata, program bersemuka antaranya dan orang awam semalam adalah yang keempat bagi memberi peluang penduduk membuat aduan mengenai masalah kes jenayah.

Berita Harian

Advertisements

'Mr S Bukan Saya'

29 Mar

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekali menipu, selama-lamanya menipu. Mungkin itu ungkapan paling sesuai ditujukan kepada bekas pengurus artis yang didakwa melakukan penipuan melebihi RM1 juta seperti disiarkan muka depan akhbar ini minggu lalu, apabila dia dikesan menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan kononnya Mr S bukan merujuk kepada dirinya, sebaliknya orang lain.

Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, seorang bekas pengurus artis dan pernah bekerja dengan mangsa Mr S yang kebetulan mempunyai pangkal nama ‘S’ kini bimbang dituduh sebagai Mr S sebenar.

Mangsa, Syamsul Ridhuan Masri, 32 berkata dia menerima SMS yang dikatakan dihantar Mr S dan terkejut apabila kandungan SMS itu secara terang-terangan menyebut namanya sebagai Mr S.

Katanya, Mr S sesuka hati memberitahu apa yang dilaporkan di Metro Ahad ditujukan kepadanya.

 

 

“Antara kandungan SMS itu, Mr S memberitahu atas nasihat dan sokongan daripada keluarga tercinta, rakan tersayang, rakan artis, rakan media dan peguam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, dia tampil menafikan semua dakwaan mangsanya dengan membuat kenyataan media yang dihantar menerusi faks dan e-mel ke pejabat media tempatan pada jam 3.30 petang 25 Mac lalu.

“Dia turut memberitahu pada tarikh sama, dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dia akan membuat satu sidang akhbar di Saloma Bistro. Dia mahu semua mangsa yang tampil membuat kenyataan di Metro Ahad memohon maaf secara bertulis kepada Shafee & Co dalam tempoh 24 jam, walaupun dia mendakwa Mr S seperti digambarkan Metro Ahad adalah saya,” katanya yang bergiat dalam perniagaan pengurusan acara membabitkan persembahan artis.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan Mr S, berusia 30-an, yang berperwatakan lemah lembut dan baik, memanfaatkan industri itu untuk melakukan penipuan.

Modus operandinya mudah – menubuhkan kumpulan, syarikat atau menguruskan artis tertentu, kemudian menjaja nama artis terbabit untuk menarik mangsanya melabur sejumlah besar wang dengan janji kononnya wang itu akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.

Antara mangsanya ialah penyanyi dan pelakon, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees, Nice, kumpulan Infinatez, pemilik Nazz Music Entertainment, Nazri Abdul Rahman dan pensyarah dikenali sebagai Dr Zamri.

Menurut Syamsul, berdasarkan SMS berkenaan, jelas Mr S cuba memfitnah, menghasut dan memburukkan namanya.

“Ketika artikel mengenai Mr S disiarkan, ada juga yang menghubungi saya dengan bertanya adakah saya orangnya. Ini kerana saya pernah menjadi pengurus Waheeda dan bekerja dengan Nazz Music Entertainment sebagai pengurus A&R. Saya berhenti kerja di Nazz Music Entertainment kerana saya sedar penipuan demi penipuan yang Mr S lakukan akan menjejaskan nama baik saya dan seterusnya nama baik syarikat.

“Saya juga aktif menganjurkan beberapa acara yang membabitkan artis dan ramai memanggil saya dengan nama Syam. Ingin saya tegaskan di sini, Mr S bukan saya, malah saya pernah menjadi mangsa penipuan Mr S,” katanya.

Syamsul berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mr S kerana apa yang berlaku mengganggu emosi, reputasi, maruah dan kerjayanya.

Sementara itu, Mr S jelas melakukan penipuan apabila semua dakwaan yang disebarkan menerusi SMS itu dusta belaka.

Tiada kenyataan media yang dibuat olehnya sama ada yang dihantar menerusi faks, e-mel atau sidang media.

Dia juga sesuka hati menggunakan nama peguam terkenal, Datuk Muhammad Shafee Abdullah kerana Shafee ketika dihubungi Metro Ahad menafikan mengenali Mr S dan tidak pernah dilantik menjadi peguam Mr S.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, turut menafikan Mr S ada menemuinya dan memohon bantuan Karyawan untuk mengadakan sidang akhbar.

Harian Metro

Mula Cipta Fenomena

26 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Yuna yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya dapat perhatian penganjur persembahan akustik

PERCUBAAN yang bermula sekadar suka-suka akhirnya menjadi satu penanda aras apabila muzik yang diperjuangkannya sejak dua tahun lalu menjadi perhatian dan serius diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Bermula daripada memuat turun lagu ciptaannya sendiri di dalam laman mencari kenalan popular di Myspace Music, anak tunggal berbakat besar bernama Yuna ini mencipta keajaiban yang cukup tersendiri.

Melalui medium Myspace itu, pemilik nama sebenar Yunalis Zarai, 22, mula mencipta rangkaian bagi mereka yang gemar berinteraksi secara maya. Tuah tidak hanya berhenti di situ, kehadiran Yuna menarik minat penganjur dan promoter untuk mengundangnya membuat persembahan akustik dan gig.

Dalam sekelip mata, gadis bertudung ini mula mencipta fenomena. Berpaksi kepada pegangan berani dan sentiasa percaya kepada impian, Yuna pantas meledak apabila lagu nyanyiannya berjudul Dan Sebenarnya mula menjadi siulan ramai. Atas desakan rakan juga membuatkan penulis cuba menghubunginya melalui Myspace untuk mendapatkan Yuna dalam sebuah sesi fotografi yang diaturkan minggu lalu.

Malah, menerusi capaian laman web Youtube, suara dan wajah Yuna lantas dikenali dan menjadi sebutan. Selepas lagunya mula berkumandang di stesen Fly FM dan Hot FM, mula ramai yang tertanya-tanya siapakah dirinya di sebalik suara dan imej bertudung yang jarang sekali lahir menerusi cabang indie.

Kalau ada sekalipun, industri seni tempatan merentasi arus perdana pernah melahirkan artis wanita bertudung seperti Waheeda, Bienda dan Salima, sekadar menyebut beberapa nama.

Temu janji sesi fotografi bersamanya akhirnya direalisasikan, itu pun selepas Yuna kembali dari membuat persembahan Mosaic di Singapura dan kebetulan lapang daripada kesibukan jadual kuliahnya.

Pertemuan pertama dengan Hip, Yuna hadir dengan gaya lazimnya yang dilabel sebagai identitinya. Cukup sekadar menyarung jeans potongan ‘skinny’, kasut sukan, jaket dan tudung berwarna-warni, dia ditemani ibu dan rakannya, Paan.

Gitar berwarna putih menjadi peneman kala lensa kamera mula dipetik. Jika dulu, dia hanyalah gadis dan pelajar biasa, tapi kini siapa tahu hanya dengan sedikit magis, dia mula diterima ramai.


YUNA membuat persembahan Mosaic di Singapura, baru-baru ini.

“Saya tidak menyangka akhirnya semuanya menjadi begini kerana dulu apa yang saya perjuangkan tidak lebih daripada berkongsi rasa muzik dengan orang lain. Saya mula menulis lirik seawal usia 14 tahun, malah saya akui dulu saya bukannya arif dalam bidang komposisi lagu. Beberapa tahun kemudian, saya bermain gitar, itu pun belajar sendiri. Saya mula merakamkan lagu diiringi gitar dan kemudiannya dimuat turun ke dalam komputer riba.

“Mulanya saya gentar dan wujud pandangan skeptikal, mampukah gadis bertudung yang bergerak secara bebas seperti saya boleh diterima. Macam-macam bermain dalam minda, malahan, saya pernah diejek sewaktu kali pertama membuat persembahan. Dengan imej saya yang sebegini, mungkin ada yang memandang lain macam.

“Saya harus berfikiran positif, lupakan perkara negatif yang mungkin mendorong saya daripada tidak terus berkarya. Saya lakukan ini semua bukan kerana glamor mahupun wang ringgit, ia adalah hobi dan keghairahan saya. Saya juga belum layak untuk berada di arus perdana kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya di awal bicara.

Simpan 30 lagu ciptaan sendiri

SELAIN gitar, Yuna turut berkebolehan bermain piano dan bidang yang diceburinya kini turut mendapat galakan ibu bapa tersayang.

Ungkap Yuna, dia mula bertudung sejak berusia 19 tahun dan mempunyai lebih 30 buah lagu yang dicipta sendiri. Memperjuangkan muzik pop rock, Yuna pernah menghasilkan album EP memuatkan empat lagu berbahasa Inggeris dan sebuah lagu Melayu. Khabarnya juga sudah ada syarikat rakaman tempatan dan luar negara yang mula berhasrat untuk menyunting Yuna.

Album itu dibikin menggunakan modal duit bapanya dan lagu Deeper Conversation menjadi single pertaruhannya. Lagu itu mula dimainkan di Fly FM dan kebetulan Hunny Madu mengenalinya sebagai kawan. Bahkan penyampai radio Fly FM itu yang mula memutarkan lagu itu. Sehingga kini, suaranya mula dikatakan mirip penyanyi Norah Jones dan Colbie Caillat.

“Bukan semua lagu saya berentak perlahan dan melankolik. Mungkin apabila ada yang mendengar lagu Deeper Conversation, mereka mengandaikan suara saya persis penyanyi luar negara. Hakikatnya saya memperjuangkan muzik pop rock dan rata-ratanya lagu yang dihasilkan berkait dengan pengalaman diri sendiri dan cerita kawan.

“Saya tak adalah jiwang sangat, biasa-biasa saja. Tipu kalau saya cakap saya tak pernah mengalami fasa bercinta dan kecewa, pengalaman lumrah itu saya salurkan ke dalam muzik. Album EP saya selalunya dijual sewaktu saya membuat persembahan dan turut dijual di beberapa stor muzik terpilih.

“Alhamdulillah, jualan album EP berjaya dijual sebanyak 2,000 cetakan. Dengan hasil jualan itu, saya sedang merancang untuk membikin album penuh memuatkan sekitar 10 lagu. Dua daripadanya dalam bahasa Melayu, manakala selebihnya dalam bahasa Inggeris.

“Sebahagian daripada keuntungan jualan ini juga saya kembalikan semula kepada bapa saya di atas modal awal yang dilaburkannya,” kata Yuna sambil memberitahu lagu Dan Sebenarnya turut diputarkan di Cats FM dan stesen radio di Melaka.

Mahu jadi peguam

SEJAK kecil, cita-citanya mahu bergelar peguam mengikuti jejak bapanya yang bekerja di syarikat guaman. Dunia nyanyian hanya datang tanpa dipinta dan Yuna mengikuti jejak seperti Allahyarham Sudirman dan pelakon Lisa Surihani yang memilih bidang undang-undang dalam masa yang sama, mengasah bakat sebagai anak seni.

“Saya masih ada keinginan untuk bergelar peguam suatu hari nanti, cuma ketika ini saya ketepikan dan seimbangkan ia dengan nyanyian. Ke depan nanti, saya juga bersedia untuk mencipta lagu kepada mana-mana artis yang ingin menggunakan khidmat saya,” katanya yang berminat menulis lagu untuk projek dokumentari contohnya untuk filem pendek indie berjudul The Value Of My Sanity.

Ditanya mengenai bagaimana dia mampu menghasilkan lagu yang cukup puitis, insan kreatif ini berkata semuanya berlaku tanpa diduga. Katanya, waktu malam selalunya menjadi ruang yang mana cetusan inspirasi terus berkembang.

“Apabila tak dapat lelapkan mata, tiba-tiba akan teringat satu situasi atau bayangan keadaan. Bermula dari satu baris ayat, ia dikembangkan dengan alunan muzik mahupun tanpa melodi. Waktu memandu juga ada kalanya saya tak semena-mena boleh timbul idea mencipta lagu,” katanya mengakhiri perbualan.

PROFIL: Yuna

Nama sebenar: Yunalis Zarai
Komersial: Yuna
Usia: 22 tahun
Tarikh lahir: 14 November 1986
Tempat lahir: Alor Setar, Kedah
Hobi: Menonton filem
Idola: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar 1990).
Pendidikan: Masih menuntut dalam tahun akhir di UiTM Shah Alam dalam ijazah Undang Undang
Emel: yunaroomrecords@gmail.com

INFO: Pandangan Yuna

Bertudung: Menjadi sebahagian daripada tuntutan hidup dirinya dan akan kekal dengan cara begini

Pendidikan undang-undang: Kursus ini banyak mengajar dirinya bagaimana untuk serius dalam kehidupan kerana hampir sepanjang masa, dia mengakui tidak terlalu serius.

Indie: Artis ‘independent’ yang tidak terikat dengan sebarang label, yang menjayakan muzik secara sendiri (Do It Yourself) dan kebelakangan ini penerimaan terhadap terma ini sudah mula dipandang luas. Indie bukan sejenis jalur muzik, sebaliknya ia hanyalah kelompok atau budaya sesebuah perjuangan.

Dunia seni: Sangat rumit dan sukar difahami. Kena bekerja keras untuk betul-betul berjaya.

Berita Harian

Selidik Tawaran Elak Ditipu

23 Mar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Golongan artis dinasihatkan supaya tidak mudah percaya kepada pihak berkepentingan yang menjanjikan kekayaan menerusi pelaburan tertentu atau pembikinan sesebuah album bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Presiden Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez, berkata mereka perlu memeriksa latar belakang individu tidak dikenali yang membuat pelbagai tawaran seperti itu kerana meletakkan kepercayaan tanpa usul periksa boleh mengakibatkan mereka mudah diperdaya.

“Saya harap golongan artis lebih berhati-hati terutama apabila ia membabitkan jumlah wang yang banyak kononnya untuk dilaburkan.

“Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan sehingga artis mengalami kerugian besar akibat diperdaya individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Metro Ahad semalam mengenai seorang lelaki dikenali sebagai Mr S yang licik memperdaya ramai artis dan ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan.

Lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu menggunakan taktik menubuhkan kumpulan, syarikat atau menguruskan artis tertentu kemudian menjaja nama artis terbabit untuk menarik mangsa melabur sejumlah besar wang dengan janji kononnya akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.

Antara mangsanya ialah penyanyi dan pelakon, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees dan Nice serta kumpulan Infinatez menyebabkan dia sehingga kini dikatakan mengaut keuntungan lebih RM1 juta hasil temberang.

Freddie berkata, memandangkan ramai artis yang menjadi mangsa lelaki itu, pihaknya berharap ia menjadi pengajaran kepada artis lain sebelum membuat sesuatu keputusan pelaburan.

“Perkara sebegini jarang berlaku, kalau ada pun dalam 20 tahun lalu, jadi saya harap golongan artis jangan terpengaruh jika dihampiri individu sebegini kerana ia kejadian penipuan kedua selepas kes artis ditipu menerusi skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM).

“Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Metro Ahad kerana mendedahkan perkara ini sebagai pengajaran kepada orang lain supaya berfikir dua kali sebelum membuat apa-apa keputusan membabitkan wang,” katanya.

Menurutnya, mungkin ada ramai lagi artis yang menjadi mangsa lelaki berkenaan tetapi malu untuk membuat laporan polis selepas tertipu.

“Saya harap mereka terus membuat laporan polis tanpa teragak-agak supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya.

Harian Metro

RTM Aktifkan Muzik Tempatan

18 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PROGRAM berkonsep muzikal sering kali menarik perhatian ramai sama ada ia siaran di televisyen mahupun radio.

Kini, program muzikal tidak hanya terhad pada persembahan artis menerusi konsert semata-mata, sebaliknya tertumpu pada klip video dan persembahan acara khusus di studio.

Dalam usaha memberi hiburan terbaik kepada penonton, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif memperkenalkan saluran baru yang memberi alternatif pada punca hiburan sedia ada.

Saluran baru yang dikenali Muzik Aktif dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Membawa tagline Segalanya Muzik, saluran ini memberi tarikan berbeza menerusi pengisian kandungan apabila hanya memaparkan persembahan artis tempatan seratus peratus menerusi klip video atau konsert.

Menariknya, penonton berpeluang menyaksikan saluran ini selama 24 jam tanpa henti dan ia hanya disiarkan menerusi rangkaian baru di Astro – saluran 180.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Abu Bakar Ab Rahim berkata, RTM berkeyakinan melancarkan saluran berkenaan selepas ia mendapat respons positif daripada penonton ketika ia mula menjalani proses percubaan untuk projek Pendigitalan Penyiaran RTM pada 1 September 2006.

Ketika itu, percubaan dilakukan selama lima jam sehari untuk tempoh enam bulan membabitkan 1,000 responden menerusi dekoder digital baru RTM.

Katanya, saluran Muzik Aktif antara agenda baru RTM yang mendapat sambutan baik daripada penonton yang mahu ia diteruskan.

Justeru, sejak Mac 2007 hingga kini saluran berkenaan masih menjalani proses eksperimen iaitu ujian dalaman untuk aspek pembangunan aplikasi interaktif.

 

 

“Saluran ini suatu berbeza yang pernah ditonton di RTM apabila ia mengetengahkan konsep muzik Malaysia. Maksudnya, saluran ini hanya menyiarkan persembahan muzikal daripada karya tempatan.

“Walaupun ada lagu yang dinyanyikan penyanyi luar negara, tetapi jika ciptaannya adalah komposer tempatan, ia masih layak untuk disiarkan menerusi saluran baru ini.

“RTM berharap Muzik Aktif ini dapat dijadikan platform terbaik untuk komposer mahupun penyanyi mempromosikan lagu mereka. Saluran ini juga sebenarnya adalah satu daripada tujuh saluran digital baru selain saluran Kanak-Kanak & Remaja, Wilayah, Sukan, Berita, Drama dan Filem.

“RTM turut merancang untuk memasukkan program lain seperti Fenomena Seni dan Santai@1 ke dalam saluran Muzik Aktif pada masa akan datang.

“Usaha memperkenalkan saluran dan program baru ini dianggap penting sebagai langkah untuk penonton mendapatkan siaran digital RTM sepenuhnya pada 2012 nanti,” katanya.

Untuk saluran Muzik Aktif, sebanyak 10 program disediakan iaitu Aktif@Pagi bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi diikuti Hits Aktif (9 pagi hingga 12 tengah hari), Muzikal Aktif (12 tengah hari hingga 3 petang), Ritma (3 petang hingga 7 malam), Gema Nurani (7 malam hingga 8 malam), Prima Aktif (8 malam hingga 11 malam), Ritma (11 malam hingga 2 pagi), Irama Santai (2 pagi hingga 5 pagi) dan Gema Mentari (5 pagi hingga 7 pagi) manakala Hidayah pula disiarkan selama sejam pada setiap Jumaat, jam 1 tengah hari.

Pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan baru-baru ini, ia turut dimeriahkan dengan acara permaidani merah dan persembahan ramai artis popular seperti Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk DJ Dave, Datuk David Arumugam, Jeffrydin, Man Kidal, Ning Baizura, Mas Idayu, Waheeda, Akhil Hayy, Bienda, Ali Mpire, Azharina Azhar, Dia Fadila, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

Persembahan lebih dua jam berkenaan dihoskan penyanyi Izwan Pilus bersama Sazzy Falak.

Harian Metro

Perarakan Maulidur Rasul Lambang Kesatuan Ummah

9 Mar

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PERARAKAN Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan didahului Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Seremban, semalam.

Hujan tak jejas kehadiran 100,000 peserta sambutan peringkat kebangsaan di Dataran Merdeka

HUJAN rahmat pada pagi semalam, 12 Rabiulawal 1430 Hijrah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tidak sedikitpun melunturkan semangat 100,000 hadirin yang berkumpul sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Berserta paluan kompang diiringi bacaan selawat memohon kesejahteraan ke atas Rasulullah SAW oleh 167 kontinjen yang mengambil bahagian, semangat penyatuan terserlah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah/2009 Masihi.

Berlindung sementara di kawasan persekitaran, hadirin kembali memenuhi padang Dataran Merdeka untuk menyaksikan kemuncak acara iaitu majlis pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima termasuk tokoh Anugerah Perdana yang julung kali diperkenalkan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perarakan kontinjen dari lapan masjid yang mengambil bahagian menuju ke satu arah adalah simbolik kepelbagaian dalam kumpulan Islam yang mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi bersatu kerana agama.

“Penyatuan umat Islam di negara ini menampakkan kesan positif dan diharap berterusan. Perbezaan pendapat boleh ada tetapi jangan sehingga membawa perpecahan,” katanya pada sidang media selepas majlis itu, semalam.


PESERTA yang mengambil bahagian sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan berarak di Dataran Merdeka, semalam.

Majlis sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah/2009 Masihi bertemakan ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’ atau Penyatuan Pemangkin Ummah Terbaik bermula dengan perarakan kumpulan kenamaan diketuai Ahmad Zahid dari Masjid Negara menuju Dataran Merdeka.

Ini diikuti perarakan membabitkan kontinjen kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah dari lapan masjid yang mengambil bahagian.

Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC.

Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada penerima sebagai pengiktirafan sumbangan mereka melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan negara dan rakyat.

Mereka ialah Penerima Anugerah Perdana, Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma’amor Osman; Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Sarawak, Mortadha Lau Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi Mohd.

Dua penerima muda yang turut dipilih ialah johan kategori bacaan/suara terbaik Musabaqah Hafazan al-Quran 30 juzuk pada Anugerah al-Quran peringkat Antarabangsa Dubai 2008, Muhamad Ahmad Zahid dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Haziq Samrat.

Penerima Anugerah Perdana menerima hadiah wang tunai RM50,000, plak dan sijil penghargaan, sementara lima penerima lain menerima RM22,000 setiap seorang berserta plak dan sijil penghargaan.

Menyentuh pemilihan dua penerima muda itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz, berkata mereka berjaya menampilkan semangat sebagai personaliti dicontohi.

“Adik Muhammad berjaya menghafaz al-Quran pada usia 10 tahun ini pencapaian yang boleh dicontohi mereka sebayanya. Muhammad Haziq pula yang mengalami kecacatan kekal boleh meneruskan kehidupan secara normal tanpa rasa kecewa.

“Semangat ini dapat dilihat dalam sirah Rasulullah SAW yang dilahirkan sebagai anak yatim dan dalam keadaan tertekan pada zaman jahiliah berjaya menghadapi dugaan seterusnya menjadi teladan. Inilah semangat yang kita ingin ada dalam umat Islam hari ini,” katanya.

Mengakui anugerah yang diterima itu terlalu tinggi buat dirinya dan datang sebagai amanah, Muhammad yang bersyukur dengan kurniaan itu berazam meningkatkan ilmu dalam bidang hafazan serta terus meningkatkan akhlak yang baik.

Baginya, status sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bukan satu tekanan, sebaliknya pendorong untuk mencetuskan sesuatu yang baik yang boleh dijadikan contoh supaya remaja sebayanya terarah kepada kegiatan bermanfaat untuk diri, keluarga, agama serta negara.

Sementara Muhammad Haziq mengharapkan, kegembiraan terpilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul akan menguatkan semangat kanak-kanak kurang upaya yang lain untuk menerima kekurangan mereka secara positif.

“Pasti saya gembira menerima anugerah ini kerana saya tidak sangka dipilih sebagai seorang penerima.

“Kecacatan bukan kelemahan sebaliknya cabaran yang sepatutnya menguatkan lagi semangat untuk berjaya seperti mereka yang normal,” katanya yang bercita-cita menjadi peguam.

Sambutan perhimpunan kali ini turut diserikan 1,430 peserta menaiki motosikal berkuasa tinggi dan motosikal berkuasa rendah yang menggabungkan kalangan profesional serta remaja dalam gerakan dakwah.

Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan bermesej mengimbau kehidupan Rasulullah SAW oleh kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak.

Berita Harian

Apa Cerita…: Nana Tanjung Bakal Pecah Perut

8 Mar

Rap
SEBUAH lagi drama membuka tirai siaran Mac ini adalah Nana Tanjung. Kejayaan terdahulu rancangan sitkom bersiri Anak Mami terbitan Line Clear Pictures Sdn Bhd mencetuskan idea untuk menerbitkan sitkom kekeluargaan terbaru ini.

Sitkom bersiri ini dijangka berupaya memenuhi selera penonton yang menjadi pengikut setia filem dan drama bergenrekan ‘Mami’ sejak awal 1990-an.

Bukan hanya menonjolkan unsur humor, Nana Tanjung juga berusaha menyingkap keharmonian kehidupan sebuah keluarga yang sentiasa dipenuhi kerenah dan kenakalan anak Pak Piee dan Mak Bee.

Seperti biasa, kehadiran Mami Jarum sentiasa menambah konflik dalam keluarga Pak Piee dengan cerita panas yang berunsur hasutan.

Namun sebagai ketua keluarga, Pak Piee berusaha untuk mempertahankan keharmonian dan kebahagiaan keluarganya.

Nana Tanjung juga memberi peluang kepada penonton untuk bersantai bersama keluarga bagi mendapat hiburan ringan dan melepaskan kepenatan setelah seharian penat bekerja.

Bahkan sitkom ini turut memberi penekanan dalam membentuk keluarga bahagia kepada penonton melalui kaedah mendidik anak mengikut norma yang betul.

Barisan pelakon popular sudah pasti menjadi tarikan utama penonton TV9.

Antaranya Pak Piee, Sheila Mambo, Ku Fridah, Waheeda, Saiful Apek, Fouziah Gous serta dua pendatang baru berbakat Alisya Amira dan Ramona.

Jika anda ingin melihat telatah mereka berperang dengan Pak Piee, saksikan Nana Tanjung pada setiap hari Isnin, jam 10 malam.

Nana Tanjung yang bersiaran sejak 2 Mac lalu diterajui oleh A Razak Mohaideen selaku penerbit dan pengarah. Manakala skrip oleh Shukor Mohaideen.

Oleh itu, jangan ketinggalan menyaksikan rancangan terbaru TV9 yang menampilkan pelbagai elemen penting dalam membentuk anak bestari dan keluarga bahagia tentunya di TV9, Dekat Di Hati anda!

Selamat Menonton!

Harian Metro