Archive | Watie Elite RSS feed for this section

Intan Mula Seronok Berlakon

12 May

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

BUKAN sekali dua, dia menolak tawaran berlakon kerana selain bertentangan dengan prinsipnya, fokus utama gadis cantik ini menyertai bidang seni adalah untuk menjadi penyanyi.

Namun, pendirian yang dipertahankan lebih lapan tahun itu nampaknya sudah tidak lagi relevan kepada Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya (Intan), 27, sekarang ini apabila dia memberi persetujuan membintangi drama, Suara Hati.

Menariknya mengenai drama bersiri 26 episod terbitan Astro ini, Intan diberi peranan utama walaupun kemampuan lakonannya belum teruji.

“Saya sedar, saya sebenarnya belum layak untuk melakonkan watak utama dan disebabkan itulah saya bersyukur dan sangat terharu apabila Faizal Ishak (pengarah) menawarkan peluang ini.

“Sebenarnya memang sukar untuk membiasakan diri di set penggambaran lebih-lebih lagi pada hari pertama, maklumlah saya ini bukannya pelakon tetapi penyanyi. Malah, tidak pernah sekali pun mencuba meskipun watak kecil.

“Namun, saya bertuah kerana selain pengarah, barisan pelakon yang terbabit tidak lokek memberikan tunjuk ajar.

“Pengarah sendiri memahami dan tidak terlalu mendesak sebaliknya menyerahkan seluruh kepercayaan kepada saya untuk belajar mencari rentak dalam lakonan secara perlahan-lahan serta menyesuaikan diri dengan suasana baru ini.

“Syukur, selepas hampir sebulan di lokasi penggambaran, saya mendapat maklum balas positif daripada kru produksi dan teman artis,” katanya.

Drama durasi satu jam itu, turut dibintangi pelakon terkenal antaranya, Zamarul Hisham, Watie Elite, Delimawati, Zoey dan penyanyi popular Ezlynn. Penggambarannya dijangkakan berakhir hujung bulan ini.

Menerusi Suara Hati atau tajuk asalnya Putera Asmara menyaksikan Intan memegang watak sebagai Asmara.

“Perwatakan Asmara ada sedikit persamaan dengan karakter saya disebabkan itulah saya menyahut cabaran pengarah yang menawarkan peluang sebaik tamat menyertai program realiti OIAM.

“Kalau diberi watak yang bertentangan dengan sifat sebenar, terus-terang saya katakan belum berani mencubanya kerana bimbang tidak terbawa karakter itu.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak untuk mencubanya selepas ini. Berbalik pada watak Asmara, dia digambarkan sebagai gadis yang lemah lembut, pendiam dan sering dianiaya.

“Watak ini cukup berat buat saya kerana Asmara sering di lukakan dan terseksa. Untuk menggambarkan keadaan itu sebaik mungkin, saya kena bermain dengan emosi dalaman dan belajar menangis secara spontan.

“Percaya atau tidak, ada babak menyentuh perasaan apabila Asmara dipukul selain babak melahirkan anak sedangkan semua itu tidak pernah saya lalui. Justeru, ia menjadi cabaran paling sukar sepanjang penggambaran drama ini,” katanya.

Bersama syarikat rakaman terakhirnya, Warner Music, Intan sempat menghasilkan dua album iaitu Selamanya dan Duhai Malam.

Bagaimanapun, selepas tamat kontrak sejurus kemunculan album kedua kira-kira lima tahun lalu, kerjaya nyanyian Intan jatuh merudum berikutan ketiadaan album baru selain kebangkitan ramai artis baru khususnya bintang program realiti.

Selepas beberapa tahun kurang aktif, Intan nekad menyertai One In A Million (OIAM) awal tahun lalu dengan harapan pertandingan yang menawarkan RM1 juta itu akan mengubah nasibnya.

Namun, belum sempat mengecapi kejayaan perjuangan penyanyi cantik ini terlebih dulu kecundang di tengah jalan sekali gus meranapkan impiannya.

Mengharapkan penyingkiran itu tidak menjadi titik noktah karier nyanyiannya, Intan terpaksa menerima hakikat rezekinya lebih berpihak pada lakonan bukan nyanyian.

Mengenai desas-desus mengatakan Intan terdesak melakukannya untuk menyara keluarganya, dia berkata:

“Saya terima kalau sudah takdir saya dalam bidang lakonan. Namun, nyanyian tetap menjadi keutamaan saya sampai bila-bila kerana ia sesuatu yang sudah ada dalam diri.

“Kalau ikutkan selepas tamat OIAM, saya banyak menerima tawaran merakamkan album namun, disebabkan sibuk berlakon saya belum berkesempatan berbincang secara serius dengan pihak berkenaan.

“Mengenai lakonan, saya tidak menolak untuk mencubanya lagi kerana mula rasa seronok dan selesa dengan kerjaya yang baru saya terokai ini. Walaupun dulu saya pernah menegaskan tidak minat berlakon.

“Sekarang saya sedar, nasib tidak selalu baik dan sebagai manusia kita tidak perlu takut mencuba sesuatu baru kerana ada kalanya ia membawa sinar yang lebih baik dalam kehidupan kita. Luhur dari hari, saya sudah sedia menjadi pelakon yang serius,” katanya.

Powered by Harian Metro

Advertisements

Tidak Pernah Ku Sesali Drama Baru Di RTM1

28 Sep

Kisah pergolakan keluarga dan perebutan harta menjadi taruhan terbaru Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk para penonton RTM1 kali ini. Bermula hari ini, sebuah drama bersiri Tidak Pernah Ku Sesali menyerikan slot Sutera, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menggantikan drama Bicara Aur Dengan Tebing yang tamat siarannya semalam.

Konflik keluarga Datuk Mahmud dan Datin Sharifah memuncak sekembalinya anak lelaki sulung mereka, Prof. Helmi dan isterinya, Hanim yang dinikahi di Amerika. Ini kerana kepulangan Prof. Helmi tidak disenangi adik-adiknya terutama Asmadi dan Rahimi kerana Prof. Helmi dilantik oleh ayah mereka untuk mengambil alih perniagaan keluarga. Malah Junaidah dan Anita, kedua-dua menantu Datuk Mahmud dan Datin Sharifah cemburukan Hanim yang ternyata lebih disayangi oleh mertuanya kerana dia berkeperibadian mulia.

Prof. Helmi bukannya mahu membolot kekayaan ayahnya sebaliknya dia mahukan adik-beradiknya bekerjasama memajukan syarikat, hasil titik peluh ayah mereka selama ini. Namun, Prof. Helmi kecewa apabila mendapati banyak penyelewengan berlaku ketika syarikat diurus oleh Asmadi dan Rahimi ketika ayah mereka sakit akibat serangan jantung. Hanya Asraf, adiknya yang seorang lagi sahaja yang boleh diharapkan yang selama ini menegur tindak tanduk tidak betul Rahimi dan Asmadi. Namun, Asraf lebih berminat mengendalikan perniagaan sendiri dalam industri pertanian.

Saman

Paling mengecewakan Prof. Helmi apabila syarikat menerima surat saman daripada pelanggan kerana kegagalan syarikat perkapalan Datuk Mahmud menepati jadual membawa barang masuk ke Malaysia seperti dijadualkan. Prof. Helmi meminta bantuan Rahimi dan Asmadi untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka mengambil sikap sambil lewa.

Keengganan mereka melakukan penyiasatan kerana mereka sebenarnya berkomplot dengan pelanggan tersebut menaikkan tuntutan saman daripada RM3 juta kepada RM5 juta di mana mereka berdua akan mengambil RM1 juta seorang. Prof. Helmi tidak membuat laporan polis memandangkan mereka adalah darah daging sendiri dan meminta mereka memulangkan wang tersebut kepada syarikat. Tetapi, masing-masing sudah membelanjakan wang tersebut.

Sementara itu, Datuk Mahmud membuat kejutan untuk membahagikan harta dan saham syarikat kepada anak-anak dan menantunya. Anita, Junaidah dan anak perempuan Datuk Mahmud, Malina mempersoalkan saham Hanim yang lebih.

Anita juga menyebarkan cerita bahawa Prof. Helmi dan Hanim akan bercerai kerana kononnya Prof. Helmi menghadapi masalah kelelakian. Untuk menutup mulut daripada perkara itu sampai ke pengetahuan Datuk Mahmud, Anita meminta Prof. Helmi sebanyak RM3 juta. Ugutan Anita itu gagal kerana Datuk Mahmud sudah mengetahui perkara itu.

Dalam pada itu, Prof. Helmi dan Hanim terpaksa membuka cerita sebenar bahawa mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri akibat kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kereta mereka terhumban ke dalam sungai di Amerika. Prof. Helmi dan Hanim sebenarnya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Prof. Helmi berkahwin dengan Khalidah dan Hanim dengan Dr. Farid dan pasangan mereka hilang tanpa dapat dikesan pada hari kemalangan itu. Prof. Helmi meminta Hanim menjadi isterinya untuk memenuhi harapan keluarga melihatnya pulang membawa isteri.

Apakah yang bakal berlaku kepada hubungan Prof. Helmi dan Hanim apabila Dr. Farid dan Khalidah yang disangka mati selama ini muncul kembali menagih cinta? Pastikan anda menonton Tidak Pernah Ku Sesali, drama bersiri sebanyak 30 episod yang penuh dengan konflik, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi di RTM1 bermula 28 September ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Faisal Ishak dan dibintangi oleh Arni Nazira (Hanim), Fauziah Nawi (nenek), Khairil Anuar (Datuk Mahmud), Khaty Azean (Datin Sharifah), Amyza Adnan (Anita), Watie Elite (Junaidah), Zed Zaidi (Asmadi), Zarina Zainuddin (Rita), Ashraf Sinclair (Dr. Farid) dan Zaefrul Nadzarine Nordin (Prof. Helmi).

Powered by Utusan Malaysia

Watie Elite Hati Sayu Menatap Wajah Afif

31 Oct

Oleh: MUZLINA ABU BAKAR

WALAUPUN tahun ini adalah kali kedua dia menyambut Syawal sebagai ibu tunggal bersama anaknya, Ahmad Afif Danial Azhari, dua tahun, namun bagi Norwati Sadali, 30, atau lebih dikenali Watie Elite tidak pernah menjadikan itu alasan untuk melupakan tanggungjawabnya.

Sebaliknya tiga minggu sebelum menjelang raya, ibu tunggal yang jelita ini sudah membelikan segala persiapan untuk buah hatinya itu.

“Sebagai ibu, bagi Watie apa yang penting ialah Afif. Sebab itu dalam apa keadaan Watie akan pastikan Afif tidak diabaikan.

“Memandangkan pada minggu kedua puasa lalu Watie sibuk dengan penggambaran drama komedi 13 episod untuk TV9 Ayahku Kahwin Lagi terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., jadi awal-awal lagi Watie sudah membawa Afif ke KLCC untuk membeli-belah.

“Seronok tengok Afif begitu gembira bila Watie memilih empat pasang baju raya untuknya. Keletah Afif membuatkan Watie lupa seketika suka duka hidup Watie,” cerita Watie yang beraya di rumah ibunya di Kuala Lumpur.

Bagi Watie, sebagai ibu tunggal perhatian kepada anaknya dan kegembiraan Afif amat penting biarpun kadangkala hatinya sayu setiap kali menatap wajah Afif.

“Manalah hati tak sayu, sejak dilahirkan hingga sekarang dia tidak pernah menatap wajah ayahnya. Tapi…Watie bersyukur kerana dia tidak pernah bertanya tentang itu. Kalau dia tanya, risau juga Watie.

“Cuma Watie berharap rezeki kami anak beranak akan semakin bertambah dalam menjalani kehidupan di masa depan,” katanya.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa Watie yang dulunya penyanyi kini menukar haluan kerjayanya sebagai pelakon.

Watie yang pernah bersama kumpulan Elite memberitahu:

“Dalam hidup ini, kita tidak boleh terlalu memilih. Bagi Watie dalam keadaan sekarang apa yang penting membesarkan Afif sebab itu Watie tidak pernah memilih apa juga tawaran yang diterima sama ada berlakon atau menyanyi dan kadang-kadang ditawarkan menjadi pengacara.

“Setiap tawaran itu adalah rezeki Watie dan Afif. Sebab itu Watie tidak kira watak apa pun yang ditawarkan oleh penerbit drama, semua Watie terima.

“Sebagai artis itulah pendapatan Watie dan sebagai ibu adalah menjadi tanggungjawab Watie untuk memberikan yang terbaik kepada Afif,”

kata Watie sambil memandang wajah comel anaknya itu.

Watie memberitahu walaupun dia menerima apa juga tawaran yang diberikan namun beliau tetap bersyukur kerana penerbit memberikan bayaran yang berpatutan kepadanya sesuai dengan watak yang ditawarkan.

Selain berlakon, menyanyi dan menjadi pengacara, Watie juga menubuhkan syarikat sendiri iaitu AFF Event Management.

AFF Event Management ini menguruskan segala pertunjukan artis yang dikehendaki oleh sesebuah syarikat korporat disamping menyediakan peralatan audio.

“Setakat ini, sambutannya Alhamdulillah. Bolehlah menampung kehidupan kami dua beranak. Bagi mereka yang inginkan perkhidmatan Watie bolehlah hubungi 016-3421941,” katanya.

Menyentuh mengenai album baru yang pernah diperkatakan dulu dengan nada mengeluh Watie berkata:

“Malas Watie nak fikirkan tentang orang yang berjanji mahu menajanya. Tapi…insya-Allah kalau ada rezeki Watie akan buat dengan duit sendiri.”

Utusan Malaysia

Kelab Kadet TJP 38 Adakan Sambutan Jubli Perak

26 Apr

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

KELAB Kadet TJP 38 merupakan sebuah kelab yang disertai bekas pegawai tentera daripada Pengambilan Ke-38 Tauliah Jangka Pendek Sekolah Pegawai Kadet (SPK) Kem Sebatang Karah, Port Dickson.

Walaupun dua puluh lima tahun sudah berlalu, hubungan sesama mereka tidak pernah terputus.

Satu majlis makan malam sempena jubli perak pengambilan TJP 38 diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Seramai 232 bekas jurulatih, pegawai dan bekas pegawai termasuk isteri masing-masing hadir.

Majlis diserikan dengan celoteh pelakon terkenal Jalaluddin Hassan yang menjadi pengacara majlis dan persembahan hebat oleh penyanyi Azza dan Watie Elite.

Nostalgia terungkap sebaik melihat persembahan ‘slide’ yang memaparkan klip video upacara pentauliahan mereka 25 tahun lalu.

Persembahan ‘slide’ turut memaparkan gambar-gambar sejak dari awal pembabitan Kelab TJP 38 bermula dari tahun 1981 sehinggalah kepada perkembangan terkini.

Persembahan nyanyian lagu patriotik ‘Barisan Kita’ oleh semua skot dan bekas jurulatih menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

Bekas Komandan SPK, Kolonel (B) Mohd. Zain Daud menjadi tetamu kehormat majlis tersebut.

Beliau dianggap ‘sifu’ bagi Kelab Kadet TJP 38.

Mohd. Zain turut melancarkan Buku Memori I 38.

Di samping itu, laman web Kelab TJP 38, http://www.intake38.net, turut dilancarkan pada majlis itu yang mengandungi galeri gambar keluarga serta aktiviti terkini kelab.

Antara acara yang turut diadakan adalah penyerahan sumbangan dan tajaan oleh eSHARKScuba Sdn.Bhd., Istitulen Sdn. Bhd., Pesaka Trading Sdn. Bhd. dan beberapa syarikat lain.

Menurut Timbalan Presiden Kelab Kadet TJP 38, Kapten (B) Mohd. Nor Bon, idea majlis pertemuan semula itu tercetus hasil pertemuannya dengan Bekas Setiausaha I kelab berkenaan sebelum ini, Mejar Mohd. Amin Mohamed pada 10 April 2001.

Mohd. Nor yang ketika itu merupakan Presiden Bekas Pegawai Sebatang Karah secara tiba-tiba teringat akan hari pentauliahan TJP 38 pada 10 April 1981 dan bercadang untuk mengadakan pertemuan semula bekas kadet TJP 38.

Hasilnya, seramai 30 orang dapat dikumpulkan pada majlis makan malam pertama yang diadakan di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bermula dari situ, perbincangan lanjut mengenai penubuhan Kelab Kadet TJP 38 dan rancangan pertemuan semula diadakan.

Presiden Kelab TJP 38, Kolonel (B) Mohd. Ramli Jaafar pula berkata, setiap individu skot harus berasa bangga dengan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh mereka selama ini.

“Kepada skot-skot yang masih berkhidmat, saya menyeru agar mereka meningkatkan mutu kerja dan kepada skot yang telah meninggalkan perkhidmatan, diucapkan semoga berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia