Archive | XPDC RSS feed for this section

Ifa Penat, Salwa Kejar Masa

3 Apr

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
KEHADIRAN artis menjayakan persembahan dan aktiviti di gerai Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA) ternyata mencuri tumpuan di Karnival Jomheboh TV3 yang diadakan di Padang MPK2 Kuantan, Pahang minggu lalu.

Pengunjung yang hadir bukan saja dihiburkan dengan nyanyian daripada artis jemputan malah berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti dianjurkan. Selain mendapatkan cenderamata ekslusif di gerai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan di gerai HM/MA sepanjang dua hari karnival berlangsung juga tidak pernah menghampakan pengunjung yang membanjiri gerai sejak jam 8.30 pagi. Kemunculan artis undangan seperti Ifa Raziah, Salwa Abdul Rahman, Rafidah Ibrahim (Fida) dan Mohd Ali Ismail (Ali XPDC) ternyata menarik perhatian pengunjung.

Ifa yang menyertai program berkenaan bersama HM/MA buat kali kedua selepas Jomheboh di Melaka bulan lalu, gembira dengan sambutan diterima daripada pengunjung.

“Saya gembira kerana diberi ruang sekali lagi oleh penganjur untuk menghiburkan pengunjung di gerai HM/MA. Memang sambutan di gerai HM/MA di Kuantan cukup hebat. Walaupun penat, saya seronok kerana dapat memeriahkan program ini.

“Hari pertama mengadakan persembahan memang penat. Kebetulan pula pada sebelah petang saya terpaksa bergegas ke sesi latihan Hits 1 sebelum kemuncaknya pada malam itu.

“Peminat sentiasa memberi sokongan amat baik ketika menjayakan persembahan dan aktiviti. Pada saya program seperti ini memberi ruang kepada artis untuk lebih dekat dengan peminat. Ia juga sebagai penghargaan kepada peminat yang sebelum ini jarang bertemu dengan artis,” katanya.

Ifa menyampaikan single terbarunya, Panas ciptaan Cat Farish dan lirik Adeep Fabulous Cat serta Ketahuan yang dipopularkan kumpulan dari Indonesia, Matta.

Di samping menyanyi, Ifa turut mengadakan pertandingan menari dan sketsa membabitkan pengunjung. Antara sketsa yang mendapat perhatian pengunjung membabitkan gelagat isteri mengandung ditinggalkan suami kerana mahu ke Jomheboh.

Kata Ifa, akhbar HM/MA sememangnya dikenali dan menjadi pilihan ramai. Justeru, dia tidak menolak menyokong seterusnya menyertai aktiviti yang diadakan pada masa akan datang.

 

 

“Dalam memeriahkan program diadakan, penganjur perlu bijak menampilkan artis. Bukan ditujukan kepada saya saja sebaliknya saya mahu berkongsi pandangan ini secara umum.

“Setiap artis yang menjayakan persembahan di setiap gerai Jomheboh kena pandai menarik perhatian dan menghiburkan pengunjung. Tidak kira mana-mana artis sekalipun,” katanya.

Salwa pula mengakui terharu dengan sambutan yang diberikan pengunjung. Katanya, pengalaman menyertai gerai HM/MA cukup menyeronokkan buatnya.

“Saya gembira kerana melihat sambutan yang positif daripada pengunjung. Mereka yang hadir bukan saja sama-sama menyanyi, menari dan merakamkan persembahan yang disampaikan artis.

“Walaupun sudah lama tidak muncul menjayakan persembahan, saya dapat lihat maklum balas pengunjung menunjukkan saya masih mempunyai peminat.

“Situasi ini cukup baik untuk proses come back saya. Sebelum ini saya banyak menghabiskan masa menjayakan persembahan majlis korporat tertentu dan diadakan secara tertutup di hotel atau dewan tertentu. Begitupun, selepas menjayakan persembahan secara terbuka ini saya dapat merasai kelainannya.

“Secara tidak langsung, saya dapat mempromosikan lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan. Selain memaklumkan mengenai single terbaru, Kerana Kamu yang dimuatkan dalam album kompilasi Anugerah,” katanya yang menyampaikan lagu Jangan Tenung-Tenung dan Samba Riang.

Bagi Fida yang juga baru pertama kali menyertai program itu, turut berkongsi perasaan sama apabila berpeluang menyampaikan lagu di gerai HM/MA. Lebih manis, kehadirannya ibarat sirih pulang ke gagang memandangkan pernah mempunyai pengalaman menuntut ilmu di negeri Pantai Timur itu.

“Tidak dinafikan memang banyak kenangan manis yang dilalui sepanjang menuntut dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Shah Putra, Kuantan sekitar 2004. Tambah seronok apabila dapat turut serta dalam program ini. Sambutan yang diberikan pengunjung juga begitu menggalakkan.

“Malah ada yang terkejut apabila melihat persembahan saya. Masih ramai yang tidak tahu saya boleh menyanyi. Penampilan ini juga mungkin sebagai pengenalan dan pendedahan untuk muncul dengan lagu single tidak lama lagi,” katanya.

Juara Pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene itu menyanyikan lagu Nilai Cinta dan lagu duet bersama Ali XPDC, Dua Insan pada hari pertama manakala lagu Wajah yang dipopularkan Jaclyn Victor serta Bukan Cinta Biasa (Datuk Siti Nurhaliza).

Sepanjang dua hari berada di gerai berkenaan, Fida yang juga pengacara Riwayat Kamil di Astro merasai bahang sebenar sambutan karnival itu.

Sementara itu, Ali XPDC berterima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang kepada artis untuk menjayakan persembahan. Dia yang acap kali menyertai program Jomheboh menyampaikan beberapa lagu seperti Semangat Yang Hilang, Sakina, Hidup Bersama, Apa Nak Di Kata selain Bunga Angkasa.

“Memang masih ramai yang meminati dan mengingati lagu-lagu XPDC. Malah saya kerap kali diajukan mengenai pembentukan semula kumpulan. Walaupun masih bersama Empire, peminat tetap mengenali lagu-lagu daripada XPDC dan Terra Rosa.

“Menerusi persembahan dengan konsep gerai ini, artis dapat lebih dekat dengan peminat. Sebelum ini, peminat hanya dapat melihat persembahan artis di atas pentas sebaliknya pula menerusi program ini,” katanya.

Disamping itu pengunjung turut dihiburkan dengan penampilan istimewa naib juara Metro Idol di Bukit Jalil, Disember lalu, Fira dan juara Metro Idol Kuantan, Nurizati (Ezzaty) Mohd Rashid.

Antara aktiviti disediakan di gerai HM/MA ialah kuiz 18 tahun Harian Metro, pertandingan untuk kanak-kanak, Mini Personaliti Harian Metro, jualan akhbar, cenderahati, kuiz dan Metro Idol.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Jom Pi Penang!

18 Dec

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

MAHU bertemu angkasawan negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor atau jaguh skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David atau pemenang pingat emas badminton di Olimpik, Datuk Lee Chong Wei?

Jika tidak pun, anda boleh bertemu kartunis popular, Datuk Lat melakar lukisan di depan mata.

Semua ini hanya menjadi realiti jika anda berkunjung ke Pesta Pulau Pinang 2008.

Tahun ini, pesta dengan tema, ‘Jom Pi Penang!’ meneruskan penganjuran acara wajib seperti pertandingan sukan terbuka kepada penyertaan awam termasuk badminton, sepak takraw, karom, gusti lengan, kick boxing dan senaman aerobik.

Jangan lupa mengunjungi ‘Euro Fun Park’, taman permainan dengan tarikan ala kota keriangan Genting Highland. Mereka yang datang bersama keluarga juga boleh menyaksikan persembahan dari Menara Kuala Lumpur dan karnival Mini Malaysia.

Malah, jangan ketinggalan melihat pameran haiwan eksotik termasuk ular sawa dan memeriahkan cabaran ‘paintball’, secara berkumpulan bersama rakan dan keluarga.

Acara tahunan sejak 1970-an ini bakal menarik kunjungan sehingga setengah juta orang. Penganjur juga sudah menurunkan bayaran untuk masuk ke tapak pesta selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa.

Selain berhibur, pengunjung boleh mengunjungi bazar terbuka menempatkan 160 gerai menjual pelbagai barangan daripada produk kesihatan, pakaian, barangan hiasan rumah, kraftangan dan tekstil.

Seperti pesta lain, acara ini bagaikan tidak lengkap tanpa persembahan bertenaga artis tempatan. Artis yang bakal membuat persembahan termasuk Mas Idayu, Faizal Tahir, Izwan Pilus, Jinbara, May, Data, Hujan, Def Gab C, Kristal, Wings dan XPDC.

Turut menghangatkan tapak pesta termasuk Ifa Raziah, Haiza dan Ani Mayuni yang bergabung di bawah nama Semarak Dangdut, Senario dan artis kelahiran program realiti TV3, Mentor, Fiq, Pija dan Ayu.

Penganjur juga turut membawa kumpulan dari Medan di utara Sumatera dan Aceh untuk mempersembahkan kebudayaan masyarakat di negara jiran itu.

ACARA SAMPINGAN

Sempena Pesta Pulau Pinang, penganjur juga turut mengadakan pelbagai acara pelancongan sampingan termasuk Festival Pesta Flora, Miss Pesta Beauty Pageant, Pesta International Dragon Boat Race dan Pesta International Scrabble Competition.

Pesta Beach Volleyball Competition, Pesta Fishing Tournament, Pesta Lion Dance Competition, Pesta Chingay, Go Kart competition, Mr Beach Pesta, Pesta Tenpin Bowling, Aslirama (persembahan muzik klasikal) dan Pertandingan Catur Pesta Pulau Pinang.

>Info

>Pesta Pulau Pinang berlangsung sehingga 31 Disember di Tapak Pesta, Sungai Nibong di Pulau Pinang. Ia dibuka setiap hari dari 6 petang dan 11.30 malam. Bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak (usia antara 7 dan 12 tahun).

>Keterangan lanjut, hubungi penganjur di talian 04-2623505/04-6593895.

Harian Metro

Antoo Fighter Gegar HM

3 Dec

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Rap
KEMERIAHAN gerai Harian Metro (HM) di Karnival Jomheboh TV3 yang diadakan di pekarangan Stadium Batu Kawan, Nibong Tebal, minggu lalu gempar seketika apabila Amukan Drakulat pelakon Antoo Fighter (AF) mengegar hampir 30,000 pengunjung.

Kehadiran pengarahnya, Azizi Adnan bersama pelakon utama AF, Radhi OAG, Soffi Jikan dan kumpulan Cap Ayam serta kru AF mendapat sambutan di luar jangkaan.

Lebih menarik lagi apabila kehadiran kumpulan baru yang menggelar diri mereka ‘Cap Ayam’ yang kini popular dengan lagu Hidup…Satu Perjuangan daripada filem itu.

Terik cahaya matahari yang panas tidak sedikitpun menggugat kehadiran pengunjung untuk setia di gerai HM dari awal hingga penutup acara kerana kesetiaan terhadap akhbar harian nombor satu di Malaysia tidak perlu disangkal lagi.

Kemunculan Azizi, Asrulhisyam Ahmad (Black), Delaila Adnan, Rashidi Rashid dan Jebon mungkin dianggap baru bagi pengunjung, namun kejayaan yang diperoleh AF selepas menarik perhatian juri pada Anugerah Oskar membuktikan sebaliknya.

Peluang untuk mengadakan promosi di gerai HM bagaikan seperti pepatah Melayu ‘pucuk dicita ulam mendatang’ apabila pelakon utama AF cukup teruja dan gembira dengan sambutan luar biasa peminat.

Kata Soffi Jikan, bukan mudah peluang seumpama itu diperoleh, malah sebelum ini ramai peminat ingin melihat karakternya lebih dekat berbanding lakonan dalam drama mahupun filem.

“Jika sebelum ini saya banyak melakonkan watak yang agak gila-gila hinggakan orang takut untuk mendekati tetapi pada hari itu, sudah terbukti saya seorang yang mudah didekati dan mesra,” katanya.

“Perasaan terharu dan teruja amat dirasai apabila HM memberi peluang dan kesempatan untuk beramah mesra dengan lebih dekat di antara pelakon AF dan peminat biarpun tanpa Awie, Scha dan pelakon lain,” katanya.

Radhi OAG pula berkata, HM banyak membantu mempromosikan filem AF dan debaran pastinya akan dirasai apabila ditayangkan di pawagam dan diharap akan mendapat sambutan daripada peminat filem tempatan.

Acara terbesar anjuran TV3 yang kini hampir melabuhkan tirainya hujung bulan ini apabila Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjadi lokasi terakhir Karnival Jomheboh 2008 pada 20 dan 21 Disember ini.

Selain kehadiran pelakon AF, gerai HM tidak kurang menyegatnya dengan kehadiran barisan artis popular seperti Ali M’pire, Farawahida, Iqwal Hafiz, Syazliana serta kemunculan istimewa Nikki, Nubhan AF6, The Girls dan gitaris Sweet Charity, Rosli Mohalim.

Ali Mpire atau nama penuhnya, Mohd Ali Ismail, berkata biarpun tanpa kehadiran rakan M’pire yang lain, namun kepercayaan dan peluang yang diberikan HM serta sokongan peminat terhadap muzik Rock menguatkan lagi semangatnya.

“Sungguhpun sebelum ini peminat mengenali saya ketika bersama Terra Rossa dan XPDC, namun pastinya kedua-dua kumpulan ini banyak meninggalkan kenangan manis, malah kehadiran album ‘Hasrat’ bersama M’pire amat menguji kemampuan.

“Saya tidak mahu dibayangi kumpulan terdahulu, malah kini ingin orang mengenali Ali M’pire bukannya Ali XPDC selepas kumpulan ditubuhkan dua tahun lalu kini sedang rancak dan sibuk mengatur strategi terbaru,” katanya.

Ali berkata, HM banyak membantu kerjaya seninya, namun ungkapan terima kasih tidak mampu diberikan begitu sahaja kerana jasa dan perhargaan amatlah tinggi, begitu juga dengan sokongan dan dorongan peminat.

“Sebagai hadiah, lagu Bunga Angkasa, Sakinah, Semangat Yang Hilang serta Hasrat dihadiahkan buat peminat yang tidak jemu memberi sokongan dari dulu sehingga sekarang,” katanya.

Bagi penyanyi yang menerima jolokan ‘Kajol Malaysia’, Farawahida atau nama penuhnya Farawahida Razali, 23, kehadirannya di gerai HM sememangnya amat dinantikan kerana jasa yang diberikan HM terhadap karier seninya masih belum terbalas.

Farawahida yang baru saja melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu 2008 menerusi lagu Persoalan Cinta kategori Etnik Kreatif berkata, HM banyak membantu kerjaya seninya dari mula hingga sekarang.

“Saya baru saja menyiapkan klip video lagu Hilangkan Segalanya bersama aktor terkenal Indonesia, Ari Wibowo. Peasaan saya kini berdebar-debar menantikan reaksi peminat.

“Dia (Ari) pelakon dan saya adalah penyanyi serta kedua-duanya mempunyai jurang yang amat berbeza. Pastinya sebagai penyanyi, perasaan gemuruh ada dalam diri namun dikawal perasaan itu secara tenang,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu dan Semuanya Ada Di Sini menganggap segala yang diperoleh selama ini satu rahmat dan rezeki daripada Allah terhadap dirinya sebagai artis baru.

Apa yang pasti, karier seninya berjalan lancar apabila bakal menghasilkan album terbaru untuk edaran Indonesia berkonsepkan pop komersial.

“Proses album ini mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan bakal diedarkan Demajors pada penghujung bulan ini. Kebanyakan lagu yang dicipta dalam album ini hasil ciptaan Ari Bias, Congky, Umar Kudat, Abie, Haj, Kay, Jas, Fera dan Julfekar,” katanya.

Sementara itu, penyanyi muda berbakat besar, Syazliana Abd Karim, 22, yang kini sibuk dengan tiga tugas digalas iaitu pelajar, penyanyi dan menguruskan perniagaan menganggap kehadirannya di gerai HM sebagai satu platform terbaru kerjaya seninya.

Syazliana atau lebih mesra dipanggil Syaz berkata, tahun lalu dia berkesempatan bersama gerai HM di Karnival Jomheboh di Ipoh dan sekali gus menempatkan diri secara lebih dekat dengan peminat.

Syaz yang lulus cemerlang dalam pengajiannya dan baru memperoleh Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman di The One Academy menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah di Australia.

Katanya, nyanyian adalah hobi dan minat sejak dari kecil lagi. Kerjaya seninya tidak akan terhenti begitu saja, malah bidang seni yang diceburi sejak berusia 13 tahun akan tetap diteruskan.

“Album terbaru saya edaran Sony BMG Music akan dipasarkan tidak lama lagi. Ia memuatkan 10 lagu berkonsepkan pop dan balada.

“Album terbaru ini berbeza berbanding album terdahulu, malah saya turut bekerjasama dengan Hazami. Peluang bersama gerai HM digunakan sebaik mungkin untuk mempromosikan lagu daripada album terbaru.

“Alhamdulillah, sokongan dan sambutan yang diberikan peminat amat memberangsangkan selain kemeriahan dan kegembiraan yang diperoleh di gerai HM pastinya tidak akan diperoleh di mana-mana gerai,” katanya.

Penyanyi baru, Ikhwal Hafiz Ismail atau Iqwal pastinya tidak mampu menyembunyikan perasaan terharu dan bangga apabila diberi kepercayaan HM untuk membuat persembahan.

“Selepas kejayaan yang diperolehnya dalam Anugerah Bakat Baru Terbaik Antarabangsa di Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 di Los Angeles, Amerika Syarikat Ogos lalu, rezeki yang diperoleh tidak pernah putus.

“Jika sebelum ini pernah bersama-sama HM di beberapa lokasi Jomheboh di seluruh negara sebagai anak angkat HM ketika berusia 12 tahun dan kini sudah menjangkau usia 16 tahun, malah banyak kenangan dan pengalaman diperoleh.

“Saya bersyukur kepada Allah di atas segala kurnia dan rezeki yang diberikan, malah semakin mendapat tempat dan perhatian di hati penonton baik di kalangan remaja dan dewasa.

“Kini saya bernaung di bawah syarikat pengurusan sendiri, MM Event & Management Sdn Bhd. Kini saya sedang mencari komposer sesuai untuk menerbitkan album terbaru,” katanya.

Katanya, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) turut memainkan peranan dengan menaja sebahagian pembikinan album yang bakal dihasilkan tidak lama lagi.

“Jutaan terima kasih kepada HM kerana tanpa mereka, saya mungkin tidak akan berada di kedudukan sekarang, malah jasa dan perhargaan HM sukar dibalas sampai bila-bila,” katanya.

Gerai HM turut menerima kunjungan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak yang meluangkan masa meninjau aktiviti gerai selain bertanya khabar kru HM kira-kira 15 minit.

Selain kemeriahan persembahan barisan artis, suasana kemeriahan HM turut dirasai dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan tarian ‘shuffle’ daripada kumpulan Permenant Head Damage (PHD) dari Bukit Gedung, Bayan Lepas Pulau Pinang.

Bukan itu saja, pengunjung juga turut berkesempatan bergambar kenangan bersama kru Metro Runner’s dan maskot HM, Nabilo serta mendapatkan cenderahati berupa barangan eksklusif HM seperti topi, kemeja-T dan beg galas.

Kemeriahan HM Sabtu lalu turut dimeriahkan dengan Pertandingan Mini Gadis Metro apabila Nurjahan Abu Bakar, 17, dinobatkan sebagai juara; Intan Nor Azrenda Mohd Sabri, 20 tahun (Kedua) dan Norfaezah Abu Bakar, 21, (Ketiga) yang memberi pengalaman manis kepada remaja Batu Kawan merasai bagaimana menyertai pertandingan itu.

Turut dimeriahkan persembahan pada petang Ahad pula Pertandingan Metro Idol dengan kemenangan berpihak pada Nur Azzila Mohd Ibrahim, 22, Intan Nor Azrenda Mohd Sabri, 20 (Kedua) dan Aimi Syazzamer Ismail, 17 (Ketiga).

Harian Metro

Legasi 5 Penyanyi Rock

6 Oct

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
TIDAK dinafikan irama rock mempunyai pengaruh dalam industri hiburan tempatan. Begitupun, fenomena itu semakin kurang mencengkam sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tidak dinafikan permintaan terhadap lagu yang mendapat jolokan, rock kapak, rock leleh dan rock jiwang masih ada biarpun kurang mendapat tempat di stesen radio tempatan.

Irama rock dengan lirik yang puitis sekitar 1980-an dan 1990-an kerap menjadi siulan remaja dan diminati sehingga kini. Kemunculan beberapa penyanyi sekitar era itu juga ternyata mempunyai daya tarikan. Penampilan mereka bukan saja dinantikan malah mempunyai gaya tersendiri.

Perkara itu tidak dinafikan lima vokalis Rock tanah air, Bahagia Daharun, 37, (Baggio Damasutra), Rahmat Toha, 39, (Rahmat Mega), Mohd Safee (Afee U-Topia), Rusli Mohd Sharif, 53, (Blank Gamma) dan Bakaruddin Daud, 43, (Burn Meditasi).

Menerusi sesi fotografi yang dibuat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, pelbagai pengalaman menarik dikongsi berkaitan karier seni di samping aktiviti terkini masing-masing.

Pada zaman kemuncak mereka cukup dikenali menerusi lagu yang disampaikan bersama kumpulan masing-masing hampir sedekad yang lalu. Begitupun, tidak ramai yang menyedari mereka masih aktif menyanyi walaupun sibuk dengan urusan peribadi dan pekerjaan sampingan.

Menurut Baggio yang membabitkan diri dalam bidang seni sejak 1991, sebagai insan seni di negara ini dia juga seperti rakan seperjuangan yang lain apabila perlu berusaha gigih untuk mengukir nama apabila bergelar anak seni.

“Setakat ini saya memang memberi tumpuan sepenuh masa kepada bidang seni. Selain baru selesai berlakon saya masih menerima jemputan menjayakan persembahan pada majlis tertentu. Saya baru selesai penggambaran telefilem komedi, Pak Pong terbitan Zeel Production arahan Murali untuk RTM.

“Saya juga diundang Awang BPR menyanyikan dua lagu dalam album kompilasi berjudul Awang BPR & Co yang dijual menerusi laman web. Album itu menampilkan beberapa artis tempatan seperti Nash, Z Kool dan kumpulan Kaca. Saya menyanyikan dua lagu, Cinta Ku Honey dan Amarah Bumi ciptaan pendatang baru, Shawn,” katanya.

Album baru diilhamkan oleh Awang boleh dibeli menerusi laman web http://www.myjammin.com.

Bagi penyanyinya yang popular menerusi lagu Kembang Terhalang, Blank berkata karier nyanyiannya tidak pernah berkubur walaupun usia sudah mencecah 53 tahun. Disamping menyanyi bapa kepada lima anak ini berkerja sebagai Pengurus Syarikat Bahang Asmara Enterprise yang mengendalikan kerja kebersihan dan pembinaan.

“Nyanyian sudah sebati dalam hidup saya. Walaupun sudah berusia saya sentiasa mahu mengadakan persembahan dan berkumpul bersama teman seperjuangan dalam bidang seni. Jika tiada aral saya juga akan menghasilkan album baru dengan menggabungkan semula semua anggota asal kami,” katanya.

Sepanjang bersama kumpulan itu, Blank sudah menghasilkan empat album. Blank juga antara artis yang menjayakan konsert Rock Prima membabitkan 26 kumpulan tempatan yang mengadakan persembahan rakaman dan secara langsung.

“Usaha pihak penerbitan program Rock Prima perlu dipuji untuk menjayakan persembahan yang julung kali diadakan itu. Menerusi program ini setiap kumpulan muzik yang diundang menjayakan persembahan secara langsung dan rakaman yang disiarkan menerusi saluran Astro Prima selepas Raya kelak.

“Kumpulan yang terbabit menjayakan persembahan ini antaranya, May, Putra, Meditasi dan Fotograf. Pembabitan dalam program ini dapat mengimbau kembali kenangan ketika zaman kemuncak pembabitan masing-masing,” katanya.

Afee U-Topia yang berkawan rapat dengan Blank turut terbabit dalam program Rock Prima itu tampil dengan projek rakaman bersama Life Record. U-Topia yang pernah bernaung dibawah Karya Muzik Sdn Bhd pada 1989 ketika menghasilkan album pertama berjudul, Mithali Cintaku diikuti album kedua, Maya Percintaan.

Menurut Afee permintaan terhadap lagu rock 80-an masih tinggi memandangkan alunan melodinya mempunyai tarikan tersendiri. Malah berdasarkan pengalaman mengadakan persembahan di beberapa negeri masih ada permintaan terhadap lagu itu.

“Disebabkan itu kami menampilkan projek khas dengan kerjasama Life Record. Projek ini membabitkan beberapa lagu hit membabitkan beberapa kumpulan seperti Laksamana, Dinamik dan U-Topia sendiri. Idea menghasilkan projek ini timbul apabila lagu, Inikah Cinta Kita mendapat kejayaan apabila tiga minggu berada dalam carta berturut-turut menerusi radio KLFM.

“Bagaimanapun entah kenapa album yang sudah dirakamkan tahun lalu itu masih belum dijual di pasaran. Mungkin disebabkan faktor tertentu pihak syarikat rakaman tidak berani untuk mengedarkan album itu,” katanya.

Sementara itu, Rahmat Mega yang popular menerusi irama penuh kenangan seperti Nina Karina, Takdir & Waktu, Suara Cinta serta Bayangan Gurauan turut menyimpan impian merakamkan single pada masa depan jika diberikan berkesempatan.

“Setakat ini, saya memang sibuk dengan perniagaan. Cuma kadang kala itu saya turut terbabit menjayakan persembahan. Memang saya ada perancangan untuk menghasilkan album tetapi menunggu masa yang sesuai. Sebenarnya lagu yang saya cipta sendiri sudah ada namun belum berkesempatan untuk memulakan proses rakamannya,” katanya.

Bagi vokalis kumpulan Meditasi, Burn impian untuk menubuhkan studio semakin menampakkan kejayaan selepas lebih 20 tahun ‘berehat’ daripada industri hiburan.

“Jika tiada aral saya akan membuka studio rakaman berhampiran kediaman di Bukit Beruntung, Selangor. Saya bersyukur kerana wang simpanan yang dikumpul akhirnya menampakkan hasil dengan pembukaan studio ini. Hajat untuk menubuhkan studio ini memang sudah lama terpendam namun baru kini dapat dilaksanakan,” kata bapa kepada dua anak ini.

Burn dan anggota asal kumpulan Meditasi, Man Tobey (bass) dijangka membentuk kembali kumpulan itu dengan penampilan beberapa ahli baru seperti Rezal (gitar), Boy Melisa bekas anggota kumpulan Real XPDC (gitar) dan Elly (dram). Bersama Meditasi, Burn menghasilkan empat album iaitu Biar Pedih Kasih, Bidadari, Takdir Menanti dan terakhir Demi Rindu sekitar 1995.

Disamping terbabit dalam kerja penyediaan sistem bunyi di majlis tertentu (PA Sistem) dia juga menghasilkan album Raya dengan konsep Rock selain menerbitkan beberapa lagu nasyid untuk syarikat rakaman, SCS.

Pelbagai cerita dikongsi vokalis Rock tanah air apabila berkumpul bersama. Walaupun sibuk dengan urusan masing-masing namun mereka jarang berputus hubungan apabila kerap berhubung antara satu sama lain menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan telefon. Malah sambutan Syawal lalu mereka sambut dengan sederhana bersama keluarga masing-masing.

Harian Metro

Menanti Nasib Artis EMI

17 Sep

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

NAMPAKNYA nasib artis-artis tempatan yang bernaung di bawah payung syarikat rakaman EMI Music Malaysia akan berhadapan dengan cabaran baru dalam meneruskan karier mereka khususnya selepas tarikh 1 September lalu.

Ini kerana, mulai tarikh berkenaan, segala urusan pemasaran dan pengedaran album hampir 11 artis tempatan EMI telah diberikan hak pelesenannya kepada syarikat rakaman kumpulan Warner Music (WMG).

Dalam erti kata lain, mengikut perjanjian yang telah dipersetujui itu, WMG kini bebas untuk memilih mana-mana artis EMI yang mereka rasakan berpotensi untuk terus diketengahkan ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun, menurut Ketua Bahagian Domestik EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy, artis-artis terbabit masih merupakan artis-artis syarikat rakaman itu BERDASARKAN KEPADA KONTRAK YANG SEDIA ADA TETAPI HAK RAKAMAN, PEMASARAN DAN pengedarannya telah ‘DILESENKAN’ kepada WMG.

“Setakat ini EMI Malaysia mengikat kontrak dengan 11 artis tempatan, antaranya Bandi Amuk, Ella, Ziana Zain, Fiq, Republic Of Brickfields, Sheila Abdull, Camelia, Awie, VE, Ruffedge dan Mael XPDC.

“Kami akan berbincang terlebih dahulu dengan artis-artis terbabit sama ada akan mengekalkan, menyambung ataupun menamatkan kontrak mereka dalam waktu terdekat ini.

“Bagaimanapun, EMI berkemungkinan besar akan menamatkan kontrak atau ‘membebaskan’ mana-mana artis yang tidak diperlukan oleh pihak WMG,” katanya kepada Hits pada satu pertemuan di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd. Arzmy, perjanjian hak pelesenan pemasaran dan pengedaran selama beberapa tahun itu turut meliputi produk-produk terbitan EMI cawangan Hong Kong, Indonesia, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand berkuatkuasa 1 September lalu.

Ketika ini, perjanjian yang sama telah pun dilaksanakan tetapi EMI yang memegang hak pelesenannya pemasaran dan pengedaran produk-produk WMG di Afrika Utara, Timur Tengah dan India.

Katanya, ekoran perubahan dalam pengurusan anak-anak syarikat EMI yang beribu pejabat di London, United Kingdom itu, ia juga melibatkan para kakitangan EMI Malaysia, di mana ada di kalangan mereka yang mungkin akan diserapkan menerusi WMG.

“Saya difahamkan kakitangan EMI Malaysia yang tidak terpilih akan diberi pelepasan dengan mendapat pampasan mengikut tempoh perkhidmatan mereka. Malah, pejabat EMI ini akan dikosongkan pada hujung bulan ini.

“Hanya jabatan akaun yang mungkin akan dikekalkan tetapi ia juga akan dipindahkan di suatu tempat yang telah ditetapkan kelak,” ujarnya yang memulakan kariernya sebagai Pengurus Artis di EMI Malaysia pada tahun 1977.

Perubahan struktur perniagaan terutamanya pengedaran dan pemasaran hak cipta produk-produk EMI Malaysia ini merupakan yang paling drastik pernah berlaku selepas hampir 42 tahun ia beroperasi di negara ini.

Difahamkan, EMI yang merupakan antara syarikat rakaman tertua di dunia dengan usia 106 tahun melakukan penstrukturan semula itu selepas ia dibeli oleh syarikat Terra Firma sebuah syarikat gergasi di Eropah di Bursa Saham London dengan nilai lebih 3.2 bilion pound sterling (RM19.8 billion).

Ditanya mengenai nasib lagu-lagu dan album-album artis tempatan yang masih berada dalam simpanan EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy berkata, ia tetap akan menjadi hak milik syarikat rakaman tersebut.

“Hak pengedaran dan pemasaran ke atas produk-produk terbitan EMI Music Malaysia termasuklah artis-artis luar kepada WMG hanya diberi tempoh beberapa tahun sahaja.

“Selepas itu, terpulanglah kepada mereka untuk memperbaharui atau tidak hak-hak tersebut. Ini kerana, EMI mempunyai ratusan ribu lagu-lagu dan album-album yang masih berada di bawah syarikat rakaman ini,” kata Arzmy yang bakal memulakan kariernya di sebuah syarikat lain sebelum hujung tahun ini.

Utusan Malaysia

Kebangkitan Semula Nitrus

1 Jun

KEBANGKITAN kumpulan muzik indie yang menguasai pasaran tempatan haruslah disambut baik kerana pemuzik alternatif hari ini mempunyai bakat besar untuk bersaing dalam industri muzik.

Penganjuran persembahan ‘gig’ secara tidak langsung berjaya memperkenalkan karya yang dihasilkan mereka tetapi tidak dikomersialkan dengan baik.

Menyedari muzik indie menunjukkan kebangkitan, kumpulan Nitrus yang dianggotai Eddie (vokalis dan guitaris), Syed (gitar utama), Bob (bass) dan Is (drum) mahu membuktikan mereka juga mampu meraih kejayaan sebagaimana beberapa kumpulan indie lain seperti Hujan.

Malah Nitrus juga telah menempa kejayaan mereka sendiri apabila dipilih memenangi katogeri Artis Harapan Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2002.

Memulakan kerjaya muzik sekitar 1999, demo yang dihasilkan Better Days dan Twisted berjaya menarik minat Posse Records sekali gus memberikan ruang kepada Nitrus untuk bertapak dalam industri muzik tempatan dengan merakamkan dua lagu dalam album kompilasi Another Boring Sunday.

Hampir dua tahun menyepikan diri selepas menghasilkan album Rasa, Nitrus kembali dengan karya-karya terbaik mereka menerusi Album 2 yang mula dipasarkan pada 8 April lalu.

Album 2 mengambil masa setahun pembikinan bermula daripada proses penyusunan lagu, rakaman, adunan sehinggalah proses suntingan.

Pastinya dalam usaha memastikan album kedua ini lebih mantap berbanding karya sebelumnya mereka turut berkolaborasi dengan pemuzik handalan dalam industri muzik tempatan. Proses rakaman Album 2 berlangsung selama enam minggu penghujung tahun 2007 melibatkan tiga buah studio.

Proses rakaman ini sekali lagi menemukan anggota Nitrus dengan tenaga kerja cukup berpengalaman seperti jurutera studio Amir dari NSR yang pernah menghasilkan album Exist dan Jinbara, Greg Henderson (Ferhad & Butterfingers) dan Zairi (Search, Kristal & XPDC).

Album 2 menampilkan 10 lagu iaitu Sisa yang dijangka akan menjadi satu lagi lagu yang bakal menaikkan nama Nitrus terutama apabila mengadakan persembahan secara langsung.

Masih mengekalkan konsep rock namun kali ini lagu-lagu yang dihasilkan sendiri anggota kumpulan Nitrus terutamanya Eddie dan Syed turut disulami irama lebih ringan.

Selain itu ada beberapa tema dalam lirik dihasilkan lebih dekat dengan kehidupan semasa seperti perhubungan, ketuhanan dan kritikan sosial.

Mendengar keseluruhan lagu di dalam album tersebut, pendengar akan mengalami satu kembara muzik yang lebih variasi dan mengusik emosi.

Sentuhan kumpulan ini dalam menulis lagu biasanya memaparkan perbezaan cita rasa setiap anggota berbanding kebanyakannya lebih mudah menerima konsep ditetapkan.

Perkara ini jelas kedengaran dalam Album 2. Ia merupakan hasil kerja kolektif. Pengaruh muzik baru berserta dengan pengalaman mereka memainkan peranan penting dalam menghasilkan album ini.

Powered by Utusan Malaysia

Lagi Album Karaoke Kitar Semula

26 May

KOMEN: Tiada apa yang istimewanya tentang album ini. Jika anda berminat dengan seleksi lagu-lagu yang ditampilkan, beli sahaja album ini dan berkaraokelah sendiri. Kebanyakan lagu dalam album ini sudah banyak kali dibuat versi karaoke.

Mungkin lagu seperti Slumber (OAG) jarang dipertaruhkan menerusi album karaoke. Album karaoke ini menampilkan 16 buah lagu-lagu yang pernah popular pada tahun 1990-an. Namun, lagu paling lama yang ditampilkan berjudul Menara Kehidupan (Helter Skelter) yang popular pada hujung tahun 1980-an. Antara lagu-lagu yang sering menjadi pilihan mereka yang gemar berkaraoke berjudul Kau Satu-Satunya (UK’s), Insan (Yantzen), Permata Biru (Ella) dan Silaturrahim (BPR). Cuma diharap lain kali syarikat rakaman cubalah menggali semula lagu-lagu rock dan slow rock lama yang jarang diterbitkan dalam versi karaoke. Misalnya, lagu-lagu kumpulan rock Desire, Utopia, Rockers dan ramai lagi.

Judul Album: 16 Lagu-Lagu Rock Hits Terpopular

Artis: Slam, BPR, XPDC, UK’s, Helter Skelter, Rusty Blade, OAG dan ramai lagi

Konsep Muzik: Rock dan Slow Rock

Terbitan: Hup Hup Sdn. Bhd. (Life Records)

Powered by Utusan Malaysia