Archive | Yasmin Hani RSS feed for this section

Setengah Juta Tonton Kelab Pop

16 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
SEJAK disiarkan, program game show, Kelab Pop berjaya menarik perhatian ramai.

Selain mencatat jumlah penonton yang meningkat, program yang dikendalikan Reza Mohamed turut mencuri perhatian setiap selebriti tempatan untuk mengambil bahagian.

Program yang diadakan dengan tujuan hiburan bermaklumat itu hanya disertai golongan selebriti dan dijalankan secara berkumpulan.

Musim kedua program disiarkan setiap Rabu jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104) bermula 20 Mei ini.

Bagi mengekalkan reputasi program berkenaan beberapa pembaharuan dilakukan seperti perubahan set dan beberapa jenis permainan baru.

Antara yang menjadi tarikan ialah lagak seorang gadis Inggeris yang menyanyi lagu Melayu dengan cara tersendiri mengikut apa yang didengar daripada alat pendengar.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada selebriti yang ingin mengambil bahagian dalam program berkenaan begitupun kesibukan memenuhi aktiviti seni sedikit sebanyak menghalang pembabitan mereka.

“Sebenarnya kami buka penyertaan ini kepada semua selebriti. Bukan hanya pelakon dan penyanyi, malah kami turut mempelawa jurumekap artis dan pihak media juga turut terbabit dalam program ini.

“Program ini sekadar hiburan untuk peserta dan penonton yang menyaksikannya.

“Walaupun program ini diilhamkan mengikut format dari Jerman, Pop Club namun kami sudah melakukan beberapa perubahan selain mementingkan pengisian hiburan dan kandungan yang sesuai dengan penonton tempatan,” katanya.

 

 

Program berkenaan adalah antara himpunan program game show menarik yang diterbitkan Astro bermula Bolos, seterusnya Jangan Lupa Lirik.

Musim pertama siaran program berkenaan mencatat lebih 513,000 jumlah penonton setiap kali disiarkan.

Jumlah berkenaan tersenarai antara tertinggi bagi program game show.

Menurut Khairul, pihaknya tidak bercadang untuk menawarkan hadiah wang tunai atau trofi khas sebagai ganjaran kepada pemenang untuk musim baru ini.

“Kami masih mengekalkan hadiah trofi kepada pemenang. Setiap peserta hanya perlu melalui satu episod permainan. Tanpa perlu menyertai peringkat saringan atau membabitkan peringkat akhir.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan program berkenaan di pusat beli-belah jika sambutan mendapat sambutan lebih memberangsangkan,” katanya.

rogram game show hiburan diketuai Penerbitnya, Sazilatul Ahamad menampilkan pelbagai segmen antaranya soal & jawapan, pop berantai, CD Rosak, runut bunyi, budak baru belajar, goreng kaw kaw, versi versus, sekalijehit!, biar betul dan suara buluh kasap yang dijalankan secara kumpulan yang membabitkan tiga individu.

Selain itu, permainan baru membabitkan buskers, tiru macam saya dan Mr Saxophone. Artis yang terbabit dalam program musim ini antaranya Accapan, Mr Os, Ebby Yus, Louisa Chong, Kenchana Devi, Nora Danish, Sherry Ibrahim, Nana, Nila Kurnia, Fara Fauzana, Intan Ladyana, Ezlynn, Ilyaka, Ifa Raziah, Roslan Shah, Lana Nordin, Fazura, Nabila, Liyana Jasmay, Raja Farah, Fauziah Gous, Nubhan, Aizat dan Ayu (One In A Million).

Turut serta Ahmad Karsan, Amyza Adnan, Yasmin Hani, Azwan Ali, Ropi Cecupak, Enot, Ferhad, LnJ RL, Talam RL, Sasha, Andy Flop Poppy, Lan Meet Uncle Hussein, Zahida Rafik, Zizie Izette, Abby Abadi, Linda Onn, Amy Mastura, Norish Karman, Sazzy Falak, Farouk Hussein, Mawi, Ekin, Khai, Rosma, Fazli Zainal dan Anita Baharom.

Harian Metro

Duet 2 R

9 Mar

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

Walaupun label Rizman Ruzaini masih baru dalam industri fesyen tempatan tetapi ia sudah mampu memikat hati.


TAMPIL dengan rekaan yang ringkas tetapi penuh ceria dan menggoda.

‘RAMAI yang berpendapat label Rizman Ruzaini Creation, diasaskan oleh seorang pereka, sedangkan pada hakikatnya ia diusahakan oleh kami berdua,” jelas Rizman Nordin, 25, mengenai label Rizman Ruzaini Creations yang dijalankan bersama rakan karibnya, Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil, 25.

Jika pereka lain lebih selesa menguruskan rumah fesyen mereka sendiri, tetapi tidak bagi kedua-dua graduan Ijazah Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini. Mereka saling memerlukan dari segi lakaran, idea dan pengurusan butik.

Jelas Rizman yang dilahirkan di Ayer Hitam, Pulau Pinang, pada mulanya, mereka bergerak secara individu.


BERMULA dari bawah, kini mereka semakin menempa nama mencipta rekaan untuk selebriti popular.

Sehinggalah niat untuk bekerjasama timbul ketika terlibat dalam sesi penggambaran anjuran sebuah majalah.

“Pada waktu itu, saya menyolek wajah penyanyi Pija (Mentor) manakala Ruzaini bertindak sebagai pereka busana. Selesai saja, sesi penggambaran tersebut, Pija bertanyakan kepada Ruzaini, sama ada beliau mempunyai baju yang sesuai dengan tema majlis yang ingin dihadirinya.

“Malangnya, Ruzaini tidak mempunyai busana berkenaan sebaliknya saya yang ada. Bermula dari saat itu, kami berbincang untuk menubuhkan label Rizman Ruzaini Creations,” tambah Rizman yang turut memberitahu bahawa tidak pernah mengalami sebarang kesukaran bekerjasama dengan Ruzaini.

Beliau mengakui, saling memahami, serasi dan memiliki minat serta hasil lakaran fesyen yang sama. Label Rizman Ruzaini Creations yang diasaskan sekitar tahun 2005, menampilkan rekaan yang ringkas dan klasik tetapi mempunyai jalinan gaya yang stailo.

Terang Rizman, pada pengamatannya terdapat dua cara untuk memperkenalkan diri kepada orang ramai.


RIZMAN (kiri) dan Ruzaini dua sahabat karib yang mengasaskan label fesyen Rizman Ruzaini Creations.

Kaedah pertama seseorang pereka itu perlu aktif menyertai pertandingan rekaan fesyen, sekali gus meraih kemenangan.

“Kaedah yang kedua pula, kami (pereka) perlu menaja busana kepada golongan selebriti yang ingin menghadiri majlis formal atau majlis anugerah.

“Tidak sia-sia kami mengamalkan kaedah kedua. Selepas bekerjasama dengan beberapa orang selebriti seperti Yasmin Hani, Dayang Nurfaizah dan Betty Benafe, lama-kelamaan kami mendapat kepercayaan dan tempahan daripada artis yang sudah mempunyai nama besar dalam bidang seni (Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira dan Ning Baizura),” ujar Rizman ketika ditemui Stailo.

Kosmo

Fesyen Tanpa Tema, Peralihan Musim

8 Mar

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

Azalea (kiri) dan Yasmin menggayakan rekaan
baju dan aksesori yang ada di PU3 Design.

Pakaian PU3 Design mudah disuai padan, menyerlahkan keperibadian pemakai

MEMPERTARUHKAN rekaan sendiri memberi kelebihan kepada pasangan kembar, Putri Azalea Ashram Ramli dan Putri Yasmin Ashram Ramli mencatur perjalanan butik PU3 Design milik mereka yang terletak di The Curve, Kota Damansara.

Melihat kepada latar belakang gadis genit yang juga anak kesayangan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, pasti ramai beranggapan mereka hanya menumpang tuah keluarga.

Bagaimanapun, sesiapa mengenali pasangan kembar yang memiliki pesona seperti si kembar Hollywood, Mary-Kate dan Ashley Olsen pasti akan berbisik kagum dengan komitmen mereka mengangkat label tempatan setanding jenama pakai siap terkenal dari luar negara.

Dalam usia menginjak 27 tahun, rangkaian label pakai siap dikendali yang dulunya hanya beroperasi di sebuah kiosk kecil di The Curve, kini memiliki ruang niaga sendiri dihias indah bertemakan warna hitam dan merah jambu.

Azalea berkata, inspirasi untuk membuka perniagaan berasaskan pakaian wanita bermula selepas menamatkan pengajian di London. Oleh kerana Yasmin sendiri memiliki segulung ijazah dalam rekaan fesyen, idea menubuhkan butik pakaian dan aksesori wanita disampaikan kepada bonda tersayang, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah yang sememangnya memiliki kepakaran mereka dan menghasilkan aksesori perhiasan wanita.

“Ibu menjadi pendorong utama kejayaan kami. Sehingga hari ini, ibu setia memantau dan memberi tunjuk ajar kepada kami malah rekaan aksesori PU3 juga sebilangan besar adalah hasil idea dan kerja tangan ibu bersama kami berdua.

“Saya masih ingat, lima bulan sebelum PU3 Design dibuka, hampir setiap hari kami bertiga bersengkang mata menghasilkan aksesori untuk stok jualan. Apabila semua tersedia, kami sendiri bagai tidak percaya melihat deretan aksesori yang dihasilkan,” katanya.

PU3 Design mengetengahkan koleksi pakaian siap tanpa berpegang kepada tema atau peralihan musim tertentu. Konsep dipilih adalah moden dan kasual malah kebanyakan rekaan dihasilkan lebih cenderung kepada aliran fesyen yang menjadi ikutan mereka berdua.

“Pasaran fesyen di negara ini tidak seperti negara empat musim. Bagaimanapun, sedikit sebanyak kami juga perlu seiring dengan arus fesyen antarabangsa dan penambahan serta pengubahsuaian perlu dilakukan supaya sesuai selera peminat fesyen tempatan.

“Antara rekaan yang menjadi ikutan ramai ketika ini adalah seluar sendat. Justeru, kami membuat perubahan dengan mengetengahkan rekaan seluar sendat yang diperincikan zip serta lipatan pada sisi seluar untuk kelainan,” katanya.

Koleksi PU3 Design mempunyai identiti sendiri yang boleh dibezakan daripada pakaian pakai siap lain. Menurut Azalea dan Yasmin, mereka selesa menghasilkan pakaian menggunakan fabrik polos dari warna terang kerana ia mampu menarik pandangan.

Sesuai dengan sasaran pasaran mereka iaitu wanita muda yang ceria serta mencintai fesyen, pakaian PU3 Design juga mudah disuai padan malah mampu menyerlahkan keperibadian pemakai supaya kelihatan seksi dan periang.

Turut ditawarkan butik PU3 adalah rangkaian aksesori perhiasan wanita seperti rantai, gelang dempak, aksesori kepala (headband), anting-anting dan cincin hasil kerja tangan Azalea, Yasmin dan ibunya.

“Keistimewaan aksesori PU3 ialah semuanya dihasilkan satu untuk setiap rekaan. Tapi kami tetap menerima tempahan pelanggan yang mahukan rekaan sama daripada koleksi terdahulu,” katanya.

Butik PU3 dedikasi Ramli untuk tiga wanita kesayangannya iaitu isteri dan dua puteri kembar melalui tahun pertama yang memeritkan dan Yasmin sendiri mengakui mereka terpaksa bekerja keras untuk berada pada tahap sekarang.

“Untuk itu, kami mengambil pelbagai langkah untuk mempromosikan pakaian PU3 dan kebetulan bekas kakak ipar, Nora Danish sentiasa muncul memperaga pakaian kami. Saat itu orang mulai sedar kewujudan PU3.

“Selain Nora, Sazzy Falak dan Yasmin Hani juga selalu berkunjung ke butik setiap kali ada koleksi baru dikeluarkan,” kata Yasmin yang turut membuka sebuah kiosk menjual coklat import, Me Luv Candy bersama rakan kongsi, Alfi Alizar.

Berita Harian

Hani, Sazzy Saling Melengkapi

13 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Sazzy (kiri) dan Hani, makin serasi menjadi pengacara program hiburan.

Pengacara Ria Sentral mengaku tak pernah wujud perasaan cemburu di antara mereka

SALING memberi dan menerima bahkan sentiasa menghulur tangan untuk memantapkan program kendalian mereka membangkitkan keserasian dua pengacara wanita popular, Sazzy Falak dan Yasmin Hani Richardson ketika mengacara program hiburan siaran Astro Ria, Ria Sentral.

Disatukan sejak siaran itu menemui penonton secara langsung 14 Februari tahun lalu, Sazzy dan Hani sentiasa menyenangi antara satu sama lain malah sepakat mengakui mereka berdua bagaikan saling melengkapi.

Tiada langsung perasaan cemburu bertunas di hati mereka, sebaliknya Sazzy dan Hani jujur menjalani persahabatan sekali gus menyanggah pandangan sesetengah pihak yang kurang menyenangi keakraban mereka berdua.

Jujur kata Sazzy, 24, dia berterima kasih kepada Hani kerana gadis itu mencadangkan namanya apabila pengurusan Astro Ria merangka untuk menerbitkan Ria Sentral.

“Dari segi kelebihan, Hani menimba jauh lebih banyak pengalaman dan ia memberikan saya cabaran kerana perlu berusaha memberikan persembahan sebaik dia.

“Bagaimanapun, semua itu tidak pernah memberikan tekanan kerana Hani sentiasa di sisi untuk membantu. Seronoknya apabila bekerja dengan pengacara yang lebih berpengalaman, ia secara tidak langsung memberi motivasi untuk bekerja keras supaya tidak mengecewakan kepercayaan yang diberikan itu,” kata pengacara bertubuh kecil molek yang juga menyinar nama sebagai pelakon.

Hani sendiri mengakui, pengalaman bekerja dengan Sazzy yang juga teman baiknya selain Aishah Sinclair banyak mematangkan dirinya untuk memantapkan mutu pengacaraannya.

Disebabkan persahabatan yang akrab serta sudah saling memahami kekurangan dan kelebihan masing-masing, jika berlaku ketidakpuasan hati mereka akan meluahkannya secara berdepan.

Telus dan tidak berselindung, malah tidak pernah menyimpan dendam di hati setiap kali menerima teguran membantu kru produksi untuk menjalankan kerja di lokasi dengan licin.

“Setiap kami punya kelebihan dan kekurangan masing-masing, jadi menjadi tanggungjawab kami berdua untuk berusaha menutup kelemahan antara satu sama lain supaya apa yang dipersembahkan kelihatan sempurna di mata penonton.

“Mungkin saya lebih berpengalaman berbanding Sazzy tetapi itu tidak bermakna saya sudah sempurna. Saya juga banyak belajar daripadanya dan mungkin kerana sentiasa meletakkan diri dalam situasi yang sama membuatkan kami berdua mudah mencari keserasian,” kata Hani.

Saat nama sedang meniti di bibir pencinta seni, populariti yang dikecapi isteri kepada Nazril Idris atau Nash turut membuka pintu rezekinya untuk mempelbagaikan kemampuan sebagai pengacara.

Namun, semua itu tidak pantas membuatnya leka. Sazzy selesa memusatkan tugasannya kepada Ria Sentral sebelum beralih menjayakan program lain.

“Sudah lima tahun saya bersama Astro hingga menyebabkan ada pihak keliru apabila wajah saya mula menghiasi saluran televisyen lain. Sebenarnya saya bukan wajah eksklusif Astro, cuma mungkin kekeliruan timbul kerana saya terlebih dulu membina nama bersama mereka.

“Andai ditanya keinginan memang saya ingin memperluaskan kebolehan dalam bidang pengacaraan cuma bukan dalam masa terdekat ini. Biar saya selesaikan satu persatu sebelum saya memikirkan perancangan lain,” katanya.

Menyelak helaian diarinya sepanjang tahun lalu, akui Sazzy, dia diburu kesibukan berganda apatah lagi tawaran lakonan untuknya berterusan hingga sesekali hatinya menjerit mahu bercuti kerana terlalu penat bekerja.

Dalam kesibukan itu, dia tetap mencuri masa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan tuturnya jujur, menggalas dua peranan serentak bukan sesuatu yang mudah untuk disempurnakan terutama apabila sentiasa mengejar waktu.

Melihat kesungguhan Sazzy yang tidak pernah kenal erti putus asa juga memberi dorongan kepada Hani untuk meraih peluang yang sama.

Andai dulu Hani lebih senang menyendiri, malah permintaan media untuk menemubual dirinya kerap ditolak tetapi hari ini, bekas penyampai Pagi @ Era itu sudah jauh berubah.

Dia menganggap media umpama teman rapat, tempat untuk berkongsi aspirasi dan pada masa sama, membantu memacu namanya ke tangga pentas seni yang lebih tinggi.

“Dulu saya terlalu terikut-ikut dengan kakak kerana kami berdua kurang selesa apabila terlalu diberi tumpuan. Rasa tak selesa apabila keluar, orang pandang-pandang.

“Mungkin orang takkan percaya jika saya cakap saya ini sebenarnya pemalu. Sazzy juga banyak membantu saya, malah mengingatkan saya akan pentingnya peranan media untuk membawa seseorang anak seni itu ke puncak karier.

“Dulu saya tak fikir semua itu tetapi sekarang, media umpama kawan baik saya. Tanpa mereka, kerja keras bagaimanapun kita tidak akan ke mana,” katanya.

Turut mencipta nama sebagai pelakon, Hani yang membintangi drama bersiri Ampang Medikal serta filem Gentayangan berharap penerbit akan memberinya peluang untuk memainkan peranan mencabar.

Katanya, banyak pihak yang tidak berani memberikan watak mencabar kepadanya kerana berpendapat wajah jelitanya hanya sesuai membawakan peranan gadis kota yang cantik.

“Kebanyakan pengarah memilih jalan selamat kerana takut saya tidak mahu kelihatan buruk di kamera. Hakikatnya, saya tidak pernah kisah semua itu kerana sebagai pelakon, saya ingin mencuba pelbagai watak.

“Wajah boleh diubah dengan solekan dan kerana itu saya menerima tawaran membintangi Duyung untuk membuktikan kepada umum, saya sedia membawakan apa saja peranan. Kepercayaan itu penting kerana jika tidak selamanya kami tidak akan keluar daripada label yang diberikan terhadap kami,” kata Hani.

INFO: Sazzy Falak

NAMA PENUH: Sazlini Shamsul Falak

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1984

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik

DARAH CAMPURAN: Melayu-Arab

PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Media dari Kolej Lim Kok Wing, Kelana Jaya

PROGRAM TV: Pengacara Muzik-Muzik (TV3) dan Beat TV (Astro Ria)

FILEM: Gol & Gincu

INFO: Yasmin Hani

NAMA PENUH: Yasmin Hani Richardson

TARIKH LAHIR: 11 Jun 1979

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

DARAH CAMPURAN: Inggeris-Melayu

IKLAN PERTAMA: Coca-Cola, ketika itu baru berusia 14 tahun

PROGRAM TV: Pengacara pertama Muzik@Ria (Astro Ria) sejak 1999 hingga Februari 2008. Kini bersama Sazzy Falak mengacarakan Ria Sentral (Astro Ria) secara langsung setiap Khamis jam 5 hingga 6 petang dan ulangan 10.30 malam.

FILEM: Bilut, Cicak-Man, Duyung dan terbaru Gentayangan

Berita Harian

Inspirasi Dari Kembar Siam

6 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Penerbitan filem 2 Hati 1 Jiwa tercetus daripada nasib pasangan Laleh dan Lidan

SUKA duka dua wanita kembar Siam dari Iran, Laleh Bijani dan Ladan yang meninggal dunia dalam operasi pembedahan bersejarah pada 2003 lalu, menjadi inspirasi kepada pengarah Profesor A Razak Mohaideen mengarahkan filem ke-29 berjudul 2 Hati 1 Jiwa.

Berbekalkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.5 juta beliau kini sedang rancak menyiapkan filem ini dengan harapan dapat ditayangkan November depan.

Hasrat membikin filem realism ini sudah lima tahun dipendam Profesor Razak, namun cuma pada tahun ini ia mampu diusahakan melalui kajian, penyelidikan dan mengikuti perkembangan Laleh dan Ladan, ia sekali gus menaikkan semangatnya.

Berkesempatan ke lokasi penggambaran filem ini di Sunway Lagoon baru-baru ini, beliau menjelaskan, antara teknik terbaru yang turut digunakan dalam karya terbarunya ialah cantuman dua gambar dalam suasana masa dan latar yang berbeza.

Biarpun filem yang mengutamakan isu kembar pernah dibuat, Profesor Razak masih berani menjadikan subjek kembar bercantum sebagai topik utama dengan olahan cerita berbeza.

Untuk watak kembar ini, ia ditangani dua pelakon, Fouziah Gous sebagai Lana dan Yasmin Hani (Lina). Biarpun tidak ramai kembar sebegini mampu meneruskan hidup dengan peratusan kurang daripada satu peratus di dunia,

Profesor Razak melihat kisah ini mampu dikembangkan untuk tatapan penggemar filem tempatan.

“Filem ini ditujukan khas buat pasangan kembar yang meninggal dunia (Laleh dan Ladan), walaupun kita tidak pernah kenal dan berkomunikasi dengan keluarga mereka. Pengalaman lepas menghasilkan filem yang menggunakan solekan dan kesan khas, sedikit sebanyak membantu untuk membuat filem ini.

“Ini adalah cerita realiti dan saya percaya ramai orang di luar sana yang nak tahu kisah sebegini dan mahu melihat bagaimana kehidupan insan istimewa ini berlaku.

“Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Ibrahim Abu Shah juga ditampilkan dalam babak khas apatah lagi beliau memang cukup dikenali sebagai insan yang cukup prihatin terhadap golongan istimewa yang menjadi pelajar di universitinya,” katanya.

Buat filem ketika cuti semester

PELAKON dan juga penerbit drama syarikat Pena Creatives Sdn Bhd, Ziela Jalil yang turut berlakon di dalam filem ini sebagai ibu kepada Lina dan Lana, kagum dengan corak kerja Profesor Razak hingga membuatkan hatinya tersentuh apabila setiap kali memulakan dan mengakhiri penggambaran iaitu diiringi doa memohon keberkatan. Menurut Profesor Razak, sejak mengarahkan filem pertama hinggalah sekarang berkata, hal yang diperkatakan Ziela sudah menjadi rutin kerjanya selama ini.

Katanya, beliau sentiasa terbuka memberi peluang kepada pelajarnya di UiTM untuk mengutip pengalaman bekerja di bawah syarikatnya.

“Ia sebagai latihan awal kepada mereka sebelum ke alam realiti dunia pekerjaan.

“Itu pendekatan yang saya gunakan memohon dielakkan daripada terjadi perkara yang tidak diingini. Ia juga satu contoh dan teladan kepada krew yang terbabit termasuk pelakon di samping berdoa supaya filem yang dihasilkan akan menjadi berjaya.

“Selalunya penggambaran filem saya lakukan sewaktu pelajar bercuti semester dan daripada situ mereka boleh menimba peluang selok belok pengarahan. Pelajar saya yang memohon untuk bekerja dan membuat praktikal di bawah seliaan saya dan sebagaimana kebiasaan mereka dibayar secara profesional seperti di tempat lain,” katanya yang memberitahu sinopsis filem ini turut dipersembahkan di Pasar Filem Amerika yang dihadirinya November lalu hingga ia menarik minat pengedar di sana yang berminat dengan subjek kembar ini yang dilihat universal.

Selepas 2 Hati 1 Jiwa, Profesor Razak bercadang untuk mengarahkan filem dengan judul sementara Empat Madu dengan menampilkan pelawak terkenal sebagai watak utama.

Menurutnya, beliau juga bakal mengarahkan filem sejarah epik membabitkan kerjasama Malaysia dan Australia yang kemungkinan besar penggambarannya dapat dimulakan akhir tahun ini.

“Filem itu diberi judul Between Two Sky atau Antara Dua Langit. Filem ini akan mendapat kerjasama beberapa pihak termasuk FINAS dan menggunakan pangkalan tentera di Malaysia dan di sana,” katanya.

INFO: 2 Hati 1 Jiwa Penggambaran mengambil masa selama 25 hari

Secara keseluruhannya pelakon yang terbabit berjumlah 150 orang dan 16 orang daripadanya adalah selebriti popular.

Lebih 30 pasang pakaian yang diperlukan untuk watak kembar bercantum ini.

Proses solekan yang memakan belanja RM150,000 untuk watak kembar ini mengambil masa selama tiga jam untuk disiapkan.

Krew yang terbabit seramai 53 orang termasuk yang membuat solekan kesan khas. Ia juga termasuk 12 orang yang menjalani latihan praktikal, enam pelajar UiTM dan empat pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM.

Berita Harian

Era Aznil, Din Beramboi

4 Jan

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

BANYAK pembaharuan dilakukan ERA FM dalam usaha memantapkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu. Bukan sekadar memperbaharui tagline kepada Muzik Terkini, tetapi turut memperkasakan barisan penyampai.

Antara tranformasi penting, Pagi Era yang dulunya dikenali sebagai Pagi di Era kini dikendalikan pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi dan rakan setugasnya, Din Beramboi.

Kombinasi yang cukup berani dan pasti memberi saingan sengit kepada stesen sedia ada. Selama empat jam bermula seawal 6 pagi, dua nama besar ini akan menemani pendengar setia ERA, malah dengan aura dimiliki, mereka dilihat berupaya menarik lebih ramai pendengar, sekali gus mengembalikan kegemilangan segmen itu.

Menyusuri sejarah segmen ini, ketika diperkenalkan pada Ogos 1998, ia dikendalikan juruhebah berbakat besar, Halim Othman. Dua tahun kemudian, Halim berpasangan dengan Jamal Jamaluddin dan pada Februari 2004, Pagi Di Era semakin mendapat perhatian apabila anak jati Terengganu yang beberapa kali dinobatkan sebagai Penyampai Radio Lelaki Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu dipasangkan dengan Khairil Rashid atau Krill.

Segmen itu terus melakar sejarah tersendiri apabila dikendalikan Krill dan Kieran pada Disember 2004 apabila angka pendengar mencecah 3.5 juta setiap minggu dan apabila Krill beralih ke Sinar FM, tempatnya digantikan AC Mizal dan Yasmin Hani pada Julai 2007. Hanya bertahan lima bulan, Kieran kemudian digandingkan dengan penyampai muda, Nana dan Adi.

Bagaimanapun pada November 2008, pengunduran Kieran dari stesen itu memberi ruang kepada Nana dan Adi mengendalikan sepenuhnya segmen itu. Bagaimanapun, gandingan ini kurang berjaya apabila jumlah pendengar kian merosot hinggakan diatasi stesen pesaing.

Dan bermula 5 Januari ini, Aznil dan Din Beramboi bakal menghangatkan kembali Pagi Era. Kolaborasi selebriti berpengalaman ini diyakini dapat menebus kembali ‘kemerosotan’ itu.

Aznil tidak menafikan tanggungjawab dipikul kini semakin besar apabila perlu meyakinkan kembali masyarakat mendengar Pagi Era dan terus memperkatakan segmen itu.

Pun begitu, bukan rating yang menjadi fokus, sebaliknya dia lebih mementingkan kepuasan bekerja selain memberi persembahan maksimum.

“Tidak dinafikan rating penting tetapi bagi saya, yang perlu difikirkan kini adalah memberi persembahan terbaik dan mengembalikan keyakinan pendengar. Jangan fikir orang dengar atau tidak, sebaliknya bergembira dengan apa yang kita buat kemudian baru fikir soal rating.

“Ketika mula-mula mengambil alih segmen jam 10 pagi hingga satu petang dulu, saya difahamkan ratingnya rendah. Saya tak ambil kisah, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja. Alhamdulillah, tidak lama kemudian jumlah pendengar naik mendadak. Saya akan praktikkan formula sama ketika mengendalikan Pagi Era.

“Saya percaya jika terlalu mementingkan rating, kita akan jadi gelojoh dan mendesak pendengar supaya mendengar celoteh kita. Lama kelamaan orang menyampah, jadi ada baiknya kita selamba saja. Jika hasil kerja kita bagus, insya-Allah ramai akan setia bersama kita,” kata Aznil yang akan memastikan Pagi Era mesra panggilan.

Jelas Aznil lagi, tahun lalu Era menawarkannya bertugas pada awal pagi, tetapi permintaan itu terpaksa ditolak berikutan terikat dengan banyak komitmen. Hasrat itu kemudian diutarakan lagi sebelum dia mengerjakan haji dan persetujuan diberikan selepas pulang dari tanah suci Makkah.

“Tiba masanya saya bergiat serius di bidang penyiaran radio. Ketika mengendalikan Carta Era, saya jatuh cinta dengan profesion ini. Hati meronta-ronta mahu mencabar kemampuan diri dengan memikul tanggungjawab lebih berat. Sebab itu apabila ditawarkan mengendalikan segmen 10 pagi hingga 1 petang, saya terima.

“Pagi Era satu permulaan baru buat saya. Jika sebelum ini saya tidak pernah nampak diri ini sebagai penyampai radio, kini saya mula merasakan cabarannya. Tanggungjawab kali ini lebih besar kerana saya bukan saja perlu petah melontarkan kata, tetapi menjadikan segmen itu menarik didengar, memahami rakan sejawat dan menyesuaikan diri dengan waktu.

“Jadual hidup saya turut berubah di mana perlu bangun seawal jam 5 pagi. Biasanya lewat pagi baru saya tidur. Namun tidak mengapa kerana saya jenis yang sukakan cabaran. Kerja yang tiada cabaran adalah membosankan dan saya akan tenggelam dengan kemunculan generasi baru yang lebih kuat tenaganya.

“Selagi ada dalam industri, saya akan terus memberi saingan hebat kepada generasi baru,” katanya.

Dengan kredibiliti dan populariti dimiliki, bukan mudah mencari pasangan untuk Aznil kerana jika silap perhitungan, aura penyanyi, pelakon dan pengacara kesayangan ramai ini akan menenggelamkan rakan setugas. Justeru, Era sungguh teliti dalam pemilihan calon sesuai dan proses uji bakat itu mengambil masa dua minggu.

“Saya gembira apabila Era memaklumkan Din menjadi rakan setugas saya. Persahabatan kami terjalin lebih 13 tahun dan saya sudah masak dengan perangai serta cara kerjanya.

“Kami pernah merakam album Sawancara Aznil dan Din Beramboi, malah sama-sama menulis untuk komik Boom serta terbabit dengan ‘game show’ anjuran sebuah syarikat telekomunikasi. Kolaborasi itu berterusan hingga hari ini apabila Din meminjamkan suaranya untuk boneka Kicap dalam program kendalian saya, Tom Tom Bak.

“Bagi saya, Din kreatif dan mempunyai pelbagai kebolehan. Sepanjang mengikuti perkembangannya, saya dapati dia boleh seimbangkan dirinya dengan orang lain. Senang bekerja dengan orang sepertinya daripada mereka yang suka menonjolkan diri tanpa memikirkan rakan setugas,” kata Aznil yang menyambung kontrak selama dua tahun bersama Era.

Sementara itu, Din menyifatkan tawaran bekerja di samping Aznil umpama bulan jatuh ke riba. Baginya, Aznil bukan saja sahabat yang baik, bahkan guru yang banyak mengajarnya selok-belok industri. Malah, ketika mula berjinak-jinak dalam industri seni, Aznil antara rakan yang membantu menaikkan namanya.

“Saya sangat kagum dengan kerja Aznil. Apa yang dilakukannya tidak pernah gagal dan apabila ditawar mengendalikan Pagi Era bersamanya, saya yakin kami tidak akan gagal. Saya akan membantunya mencipta satu lagi kejayaan buat radio Era.

“Saya rasa sangat dihargai apabila dia sudi bergandingan dengan saya. Seperti kita sedia maklum, Aznil biasanya bergerak solo dan bukan mudah mencari rakan setugas yang sesuai untuknya. Muncul keyakinan bila dia sudi menerima saya sebagai rakan setugas.

“Kejayaan saya banyak dibantu Aznil. Sepanjang mengenalinya, dia banyak kenalkan saya dengan rakan industri yang memberi peluang kerja kepada saya.

“Aznil tahu apa yang diingininya, berdisiplin dan menepati masa. Nilai positif itu secara tidak langsung akan mempengaruhi saya dan ia bagus dalam membentuk peribadi dan peningkatan karier saya. Insya-Allah dengan pengalaman sebelum ini, saya tahu apa yang dia suka atau sebaliknya dan akan jadikannya sempadan bagi mengelak perkara tidak sepatutnya berlaku ketika ke udara,” kata Din yang akan mengupas topik Kembali ke Sekolah bersama Aznil esok pagi.

Mengulas perkembangan terkini, selain bertugas di konti Era, Aznil kembali sibuk dengan program Tom Tom Bak, Jangan Lupa Lirik dan rancak mencari proposal sesuai untuk menerbitkan program bercorak kerohanian untuk Astro Oasis, manakala Din pula mendapat kepercayaan TV9 mengendalikan program baru, Apa Ke Halnya? dan Apa-Apa Aje (TV3).

Selain Aznil dan Din Beramboi, Era membariskan Adi, Nana, Ray, Burn, Cham, Reza dan Dina (OIAM) sebagai juruhebah stesen berkenaan.

Pagi di Era

Ogos 1998 – Halim Othman

2000 – Halim Othman dan Jamal Jamaluddin

Feb 2004 – Halim Othman dan Krill

Dis 2004 – Krill dan Kieran

Julai 2007 – Kieran, AC Mizal dan Yasmin Hani

Dis 2007 – Kieran, Nana dan Adi

Nov 2008 – Nana dan Adi

Jan 2009 – Aznil dan Din Beramboi

Senarai segmen

Pagi Era (6 pagi – 10 pagi): Aznil dan Din Beramboi

10 pagi – 1 petang: Adi dan Ray

1 petang – 4 petang: Nana

4 petang – 8 malam: Burn dan Cham

8 malam – 12 tengah malam: Reza

Carta Era (Sabtu, 2 – 4 petang): Nana dan Dina

Carta Era Ulangan (Ahad, 10 pagi – 12 tengah hari)

Harian Metro

Adegan Ranjang Lana

20 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

LAKONAN menerusi drama bersiri popular Gol & Gincu sebagai gadis kampung bernama Ayu yang bermain karakter jahat meninggal kesan mendalam pada penonton. Akui pelakon baru, Lana Nordin, penonton lebih mengenali dirinya dengan watak itu berbanding lakonan dalam drama lain.

Menariknya, dalam watak itu, karakter jahat yang ditunjukkan bukan pada perbuatan, tetapi ekspresi muka dan bahasa tubuh.

Walaupun melakonkan watak sampingan, Lana menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan gembira dengan hasil yang membuatkan penonton ingat pada lakonannya itu.

“Memang antara drama yang pernah saya lakonkan, saya paling suka dengan watak Ayu kerana ia banyak bermain dengan perasaan. Hanya penonton yang tahu dia jahat sebaliknya watak sekeliling tidak tahu perasaan sebenar yang ada dalam dirinya.

“Walaupun tidak banyak dialog, Ayu sebenarnya banyak berinteraksi dengan penonton. Dari situ, penonton dapat menyelami perasaan sebenar Ayu yang mempunyai niat menyakiti hati Putri (lakonan Nur Fazura). Dalam menghayati watak dengan berkesan, saya perlu cakap dalam hati.

“Apabila saya berasa geram dalam diri, ia secara tidak langsung terpancar pada wajah. Hingga kini dalam kebanyakan drama, saya sering diberi tawaran watak jahat. Saya tidak kisah dengan watak jahat atau baik kerana setiap tawaran yang diterima adalah rezeki.

“Bagaimanapun, apabila saya dicop watak jahat, ia menunjukkan lakonan saya berjaya dan produser berani menawarkan watak yang sama pada saya lagi. Drama lain seperti Sadiq & Co pula, saya tampil sebagai pelakon undangan yang menyaksikan saya berlakon sebagai artis yang pukul wanita dengan kasut tumit tinggi dalam sebuah kelab malam.

“Perkembangan terbaru, saya selesai menjalani penggambaran drama Kopitiam yang menampilkan pelakon Aida Radzwill, Rusdi Ramli dan Raja Farah.

“Dalam drama ini, watak saya hanya pelakon pembantu iaitu rakan baik yang banyak beri pendapat. Selain itu, saya terbabit dengan program terbaru, Anak Gemilang untuk tayangan RTM,” katanya.

Menerusi Anak Gemilang, Lana mengasah bakat sebagai pengacara. Pernah menimba pengalaman mengacara program Jejak Pulau dan X-Tune, kali ini Lana perlu melakukan tugas menemubual tokoh akademik dan pelajar dari peringkat tadika hingga universiti.

“Program sebelum ini tertumpu pada hiburan tetapi dalam program baru ini, ia menekankan aspek pendidikan. Untuk persediaan saya perlu melakukan kajian di Internet dalam merangka soalan yang perlu ditanya. Boleh dikatakan saya banyak belajar tugas wartawan dan pengalaman ini memang menyeronokkan.

“Berbeza dengan lakonan, tugas mengacara tidak memeningkan kepala hingga perlu tunggu lama di set penggambaran. Sebelum ini, kami sudah selesai empat episod dan tinggal baki sembilan episod untuk dirakam,” katanya.

Mengenai projek filem, Lana menantikan filem ketiganya, Gentayangan menemui penonton pada tahun depan. Berkongsi cerita menarik, Lana memberanikan diri melakonkan adegan ranjang bersama Hasnol Rahmat. Katanya, watak Sabrina yang dipegang, pada mula menggoda Hasnol sebagai kekasihnya hingga mereka terlanjur.

Namun, dalam cerita, Sabrina sebenarnya bermesra dengan jelmaan hantu yang menyerupai kekasihnya. Filem arahan Zukiflie M Osman ini turut dibintangi Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan, Abu Bakar Omar, Yasmin Hani dan Afida Es. Dalam menantikan respons penonton terhadap filem ini, adegan ranjang Lana bersama Hasnol dijangka mencetus kontroversi.

Bagaimanapun, Lana berkata dia bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan yang dilontarkan. Baginya, dia harus positif terhadap komen penonton dan menganggap adegan itu adalah satu amanah kerja yang perlu dilaksanakan dengan baik.

“Saya juga takut dengan respons penonton terhadap lakonan saya itu. Dalam adegan itu yang berlaku di stor, kami ada bertindih badan tetapi saya ada minta bantuan adik saya untuk merakam adegan itu menerusi kamera video sendiri.

“Rakaman itu penting sebagai bukti untuk saya tunjuk pada ibu bapa saya bagaimana adegan sebenar berlaku antara kami berdua. Saya takut mereka salah faham jika tidak lihat sendiri rakaman itu. Saya syukur mereka faham dengan adegan itu. Namun, saya tetap gementar apabila filem itu ditayangkan kelak kerana ramai akan menontonnya,’ katanya.

Harian Metro

Semakin Ghairah Terbit Drama

16 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Laila Majnun terbitan Pena Creative temui penonton pada 22 Disember

LALUAN seninya bermula sebagai pelakon, namun sejak tahun 1991 hinggalah sekarang aktres yang kini bergelar penerbit drama bersama syarikatnya, Pena Creative Sdn Bhd, Ziela Jalil sedang berusaha memantapkan profil produk keluaran syarikatnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diiktiraf dan diterima membakar semangat ibu kepada dua anak – Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 14.

Menurut isteri kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, sepanjang tempoh pembabitan di dalam bidang penerbitan, selama tiga tahun, sekitar 1998 hingga 2001, syarikat miliknya tidak menerbitkan drama ketika zaman kegawatan ekonomi.

Kejayaan drama Lebih Bisa Dari Jelatang menerusi Anugerah Skrin (ASK) 2006 dan Suara Solehah (ASK 2008), membuktikan drama terbitannya bukan saja berkesan pada mata juri sebaliknya mampu memikat penonton.

Satu majlis kesyukuran meraikan kemenangan drama Suara Solehah sekali gus melancarkan drama Laila Majnun terbitan produksi yang sama diadakan pada 12 Disember lalu di Restoran Seri Melayu. Turut sama berkongsi kesenangan dan keberkatan ialah anak yatim daripada Persatuan Ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan (Perwanida).


ZIELA, Fauziah Ahmad Daud dan Megat Jufri Nasrullah bersalaman dengan anak yatim daripada Persatuan ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan.

Drama Laila Majnun arahan sutradara Emi Suffian yang mengisi slot Lagenda TV3 & TV9 mulai 22 Disember ini menjadi penerbitan kedua Pena Creative selepas drama Akukah Tanggang yang pernah disiarkan sebelum ini menerusi slot yang sama.

Masih mengenakan pendekatan cerita yang memberi iktibar, Laila Majnun mengetengahkan mesej darah daging sendiri tergadai gara-gara hutang. Olahan skrip dilaksanakan oleh Jumal Yunus dan menampilkan gandingan sulung Nabila Huda dan Zizan Nin.

“Penggambaran drama ini sejak Oktober lalu, dua minggu selepas musim Aidilfitri. Baki penggambaran drama 20 episod ini masih dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Hulu Langat. Laila Majnun juga menampilkan budaya pelbagai kaum di antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Pemilihan Nabila dan Zizan sebagai pelakon utama adalah sebagai pilihan pertama.

“Saya dan pengarah drama Suara Solehah (Murali Abdullah) memang sudah lama berhasrat untuk mengadakan majlis doa selamat untuk anak yatim apabila kemenangan berpihak kepada kami. Terlanjur ada majlis pelancaran drama Laila Majnun, kita buat majlis ini. Lagipun, Murali dan saya masing-masing sibuk dengan komitmen lain,” kata Ziela yang kini sedang merangka drama Puteri Gunung Ledang dan Puteri Mayang Murai untuk mengisi slot Lagenda.


BARISAN pelakon yang terbabit memeriahkan drama Laila Majnun.

Januari depan juga, Ziela akan menerbitkan drama telenovela berjudul Matahari bagi mengisi slot Akasia TV3 bermula Mac nanti (sejurus selepas tamat Spa Q 2). Mengambil ilham sebuah drama Thailand yang pernah disiarkan di Astro ia mengisahkan seorang wanita bernama E Pring yang berkahwin ramai suami. Jika tiada aral melintang drama ini akan menjalani penggambaran di Terengganu.

Tidak sesekali pernah meninggalkan dunia lakonan, Ziela kini sedang menjalani penggambaran filem arahan Prof A Razak Mohaideen berjudul Dua Hati Satu Jiwa. Kali terakhir, Ziela berlakon filem ialah menerusi Kayangan yang ditayangkan 2007 lalu.

Dua Hati Satu Jiwa menjadikan subjek kembar Siam lakonan Fouziah Gous dan Yasmin Hani sebagai fokus utama dan Ziela menjadi ibu kepada mereka. Fahrin dipertanggungjawabkan sebagai hero dan turut menampilkan Mustapha Kamal memegang watak suami kepada Ziela.

Peluang berlakon buat julung kalinya di bawah arahan Razak Mohaideen, menjadi landasan terbaik untuk Ziela mengutip pengalaman yang boleh dijadikan amalan sebelum berjinak-jinak ke arah penerbitan filem. Ziela memuji corak kerja syarikat Line Clear milik Razak Mohaideen ini hingga membuatkan hatinya tersentuh. Filem ini adalah filem ke-16 lakonannya.

“Inilah pertama kali saya bekerja dengan produksi yang sebelum memulakan penggambaran dimulakan dengan bacaan doa dan Al- Fatihah. Begitu juga sesudah tamat penggambaran diakhiri dengan bacaan Alhamdulillah. Ia satu contoh yang baik, membawa berkat dan dapat mengutip pahala.

“Seronok juga dapat berlakon kembali dan pelakon lain sudah menjadi macam ahli keluarga apatah lagi saya tidak mempunyai adik beradik kandung. Cuma apabila kembali berlakon dengan produksi lain, soal masa memang amat mencemburui ruang waktu saya dengan anak-anak. Kadang-kadang saya tidak dapat menghantar anak ke sekolah disebabkan terikat dengan jadual penggambaran.

“Hakikatnya, saya memang selektif memilih untuk berlakon terutama hal yang membabitkan skrip. Jika berlakon dengan produksi sendiri, agak mudah bagi saya mengatur jadual di samping menunaikan ibadat yang wajib. Sekarang ini pun, saya sedang dalam proses perbincangan dengan seorang usahawan untuk bekerjasama menghasilkan filem,” ungkap Ziela yang sudah bertudung sejak hujung 2006 lalu.

Ditanya mengenai anak-anaknya andai mereka berminat untuk mengikuti jejaknya sebagai anak seni, Ziela mempunyai alasannya yang tersendiri.

“Saya memang tidak galak anak membabitkan diri dalam dunia lakonan. Biarlah mereka belajar sampai habis dulu dan kejar cita-cita. Kalau dapat segulung ijazah dan ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya sampingan, mungkin juga saya akan pertimbangkan ketika itu. Saya takut mereka akan lalai apabila sudah seronok berlakon,” katanya ringkas.

INFO: Laila Majnun

Disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3 mulai 22 Disember ini.

Gandingan Nabila Huda dan Zizan Nin adalah yang pertama dilakukan.

Turut berlakon ialah Fauzi Nawawi, Balkish Semundur Khan, Maisarra, Kenchana Dewi, Aida Radzwill, Wan Hanafi Su dan Wan Maimunah.

Berita Harian

Pasrah Digelar Artis Seksi

12 Dec

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

WAJAH pelakon ini, Lana Nordin sekadar sekejap-sekejap singgah di kaca TV dan layar perak, namun publisiti diterima wanita ini bagaikan berlebihan setelah diberi jolokan Pamela Anderson Malaysia.

Barangkali kalau ada sesiapa yang mendapat gelaran ini, pasti akan terasa bangga.

Cuma daripada skop berlainan, panggilan ini seolah menjatuhkan martabat kaum wanita kerana pelakon antarabangsa itu tidak sunyi dihimpit kontroversi memualkan.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin berkata, secara jujurnya dia malas mengambil peduli kata-kata nakal yang dilemparkan masyarakat terhadap diri yang baru mahu melebar sayap dalam dunia lakonan.

“Kalau orang sekeliling yang beri jolokan ini, saya tidak boleh hendak cakap apa-apa. Hendak marah pun tidak boleh sebab saya sudah bergelar artis, jadi saya terima saja anggapan ini tanpa melenting tidak tentu pasal.

“Bukan istilah saya kisah ataupun tidak kisah, sebaliknya saya berpendapat gelaran Pamela Anderson Malaysia ini sekadar cakap-cakap nakal orang luar sana,” katanya telus semasa majlis beramah mesra bersama artis Aquila Emas di Saloma Bistro, Jalan Ampang baru-baru ini.


SELAGI tidak menggangu diri, keluarga dan rakan-rakan terdekat, Lana sekadar membiarkan cakap-cakap tentang dirinya umpama Pamela Anderson Malaysia.

Antara artis Aquila Emas yang hadir adalah Betty Benafe, Zizan Nin, Yasmin Hani, Tony Eusoff, Airis Yasmin, Nazim Othman, Chelsia Ng dan Tania Zara.

Sambung wanita berusia 29 tahun ini, selagi gelaran ini tidak menganggu diri, keluarga serta rakan-rakan terdekat, Lana hanya membiarkan sahaja peminat memberi gelaran kepadanya.

“Saya menerima saja jolokan ini walaupun sewaktu awal diberitahu , saya terus tergelak besar gara-gara mengenang saya yang kononnya mirip selebriti seksi luar itu.

“Paling penting, saya dan orang-orang yang terdekat di hati saya tahu siapa sebenarnya Lana Nordin. Itu sudah memadai kepada saya.

“Lagipun, susah untuk saya menutup mulut orang yang suka buat penilaian sendiri. Perkara ini tidak memberikan kesan buruk kepada saya. Jadi mengapa saya perlu lihat jolokan diberikan ini sebagai negatif?”soal Lana terus tersenyum.


ZIZAN NIN dan Tony Eusoff antara pelakon yang bernaung dengan Aquila Emas.

Ditanya bagaimanakah gelaran ini mula melekat kepada diri, pantas sahaja jawapan si Lana: “Barangkali sebelum ini saya tidak mendapat liputan meluas sangat daripada pihak media cetak dan elektronik.

“Awal kemunculan saya sedikit berisi, namun lama-kelamaan berat badan saya makin susut sekali gus membuatkan badan saya nampak kurus, cuma ada bahagian yang tidak berubah.

“Sedangkan aset yang saya miliki sekarang kelihatannya sama saja dengan perempuan lain, malah tiada beza jika ingin diimbas kembali semasa badan saya besar.

“Saya juga mengakui tidak menjalankan pembesaran di mana-mana bahagian badan. Kalau tidak, sudah tentulah emak dan adik beradik perempuan saya yang lain akan perasan dengan situasi ini.

“Kalau orang ramai terus hendak berbuat bising, saya tidak boleh menjelaskan apa-apa lagi. Adik beradik saya yang lain pun punya ukuran saiz badan sama dengan saya juga.

“Istilah saya buat pembedahan membesarkan payu dara hingga digelar Pamela Anderson Malaysia memang tidak wujud sama sekali,” jelas Lana yang pernah kehilangan kira-kira lima kilogram hingga menjadikan tubuh yang dimiliki kini menjadi susut.


DARI kiri: Lana, Airis Yasmin dan Tania Zara.

Sampuk wanita yang pernah muncul menerusi filem Remp-It dan Main-Main Cinta, meskipun gelaran itu ada waktu disalah anggap sesetengah pihak, namun Lana mengakui bertuah dek diri makin dikenali di laman seni.

“Satu yang saya perasan apabila munculnya cerita macam itu, khalayak mulai sedar kehadiran saya dalam dunia lakonan ini.

“Kalau ada yang pandang serta cakap saya ini dan itu, perkara berkenaan bermaksud orang ramai mula mengenali mana satu Lana Nordin.

“Maknanya saya wujud di hati masyarakat walaupun diberi gelaran Pamela Anderson Malaysia yang dilihat banyakkan keburukan berbanding kebaikan.

“Paling utama, saya tidak pernah sesekali mengacau orang lain, malah tidak juga mencipta isu Pamela Anderson untuk menaikkan populariti saya dalam industri ini.

“Kalau betul-betul saya inginkan glamor yang cepat, sudah tentu sudah lama saya buat perkara ini, cuma saya bukanlah artis gemar mencipta publisiti murahan,” jelas Lana dalam suara cukup tegas.

Ingin tonjol bakat lakonan

Sambung wanita peramah ini lagi, dia merupakan artis yang punya strategi sendiri untuk mengenengah diri dalam karier lakonan, tanpa perlu bergantung harap cerita sensasi.

“Saya enggan berjumpa wartawan kalau tidak ada sebarang drama atau filem yang hendak diuar-uar. Sebaliknya, macam hari ini saya bertemu pihak media dalam upacara berhubung kait dengan lakonan.

“Kalau boleh saya mahu orang kenal saya menerusi hasil kerja dan mutu lakonan, bukan dengan kisah yang tiada kepentingan dalam seni.

“Saya akan berusaha dengan sehabis baik untuk muncul di khalayak bermula tahun 2009 kerana waktu itu filem saya Gentayangan akan menjengah di pawagam.

“Sekarang kalau setakat jadi pelakon sampingan atau watak pembantu dengan mana-mana produksi, saya agak malu untuk bertemu wartawan.

“Biarlah saya mencipta nama dulu dan baiki gaya lakonan, kemudian barulah saya akan mempromosikan diri,” tutur wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini sepenuh keyakinan.


TANIA ZARA (kiri) dan Airis Yasmin.

Dipalit gelaran Pamela Anderson Malaysia barangkali menyebabkan keluarga Lana turut menanggung malu kerana bukan calang-calang jolokan yang diberi. Memalukan dek selebriti luar itu sering dilabel pelbagai kisah kurang elok.

Beritahu Lana, keluarga sekadar tertawa besar mengenang cerita kelakar yang dilempar kepada anak perempuan yang ditatang bagai minyak penuh selama ini.

“Famili saya amat memahami dengan gelaran yang diberi. Lagipun saya sudah menerangkan segala-galanya kepada mereka tentang asam-garam dunia seni.

“Saya menerangkan kepada mereka, apabila menjadi artis, kita diibarat duduk di bawah mikroskop. Orang lain nampak sahaja setiap pergerakan kita tidak kira masa serta waktu.

“Ada ketika kita tidak melakukan perbuatan yang tidak elok itu, namun kita tetap dikeji dengan pelbagai tohmahan yang tidak baik.

“Bayangkan, kalau ada artis lain yang buat pembedahan payu dara, tidak menjadi isu langsung. Sedangkan saya yang tidak bersalah ini, dituduh bermacam-macam melakukan ubah suai pada payu dara.

“Alhamdulillah, keluarga mengerti keadaan yang saya hadapi ketika ini apatah lagi setelah menjadi individu dikenali ramai,” sahut Lana sambil menghela nafas lega.

Sekadar hubungan teman biasa

Bukan setakat digelar Pamela Anderson Malaysia, Lana juga dikatakan mempunyai hubungan dengan anak kepada seorang golongan kenamaan terkenal di negara ini. Lelaki berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan seorang artis jelita ternama dan seorang personaliti TV.

Dengan cukup professional, Lana tidak sesekali menyembunyikan perkara itu, namun dia sekadar mengatakan hubungan yang terjalin dengan lelaki itu, hanya teman biasa.

“Saya dan si dia sekadar bersahabat saja. Lagipun kami sudah saling mengenali sejak tujuh hingga lapan tahun lalu. Waktu itu umur saya adalah 21 tahun.

“Kami memang tiada sebarang perhubungan istimewa, sebaliknya sekadar kawan baik saja setelah diperkenal oleh seorang rakan lain.

“Daripada situ, bermulalah detik kami berkawan dan dia menjadi sebahagian daripada rakan baik saya. Kami selalu lepak dan minum-minum saja, tanpa membabitkan soal hati dan kasih-sayang,” terang Lana tanpa berselindung.

Melafaz cinta bersama Aquila Emas

Bagi menempatkan kedudukan di lapangan seni yang sentiasa meranum ini, Lana mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Aquila Emas (AE), sebuah syarikat menguruskan dan melayar bahtera anak seni tanah air sejak tiga tahun lalu.

Kehadiran Lana dalam organisasi itu, sebagai individu ketiga setelah kemasukan Zizan Nin dan Carrie Lee Sze Kei, nyata memberi impak besar dan perubahan dalam kerjayanya.

Menurut Lana, dia mendapat nasihat daripada Zizan yang beria-ria mahukan dia menyertai AE, bagi memudahkan segala kerjanya sebagai insan seni.

“Saya amat teruja dengan syarikat ini kerana dia bersungguh mengurus dan mempromosikan semua artis jagaannya dengan cukup baik.

“Semua urusan kerja saya bersangkutan dengan AE termasuk berkaitan kontrak dan setiap perjanjian untuk melibatkan diri dalam mana-mana projek terbaru.

“Ada banyak faedah yang saya dan artis lain nikmati dengan melibatkan diri bersama AE. Segala hak dan kebajikan kami dijaga dengan baik sekali, tanpa ada kekurangan,” akui Lana teruja.

Kosmo

'Pengorbanan Saya Dihargai'

8 Nov

“HARI ini (semalam) baru saya sedar bahawa segala pengorbanan selama ini amat dihargai.”

Itu pengakuan jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek (gambar) atas usaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan stesen radio SINAR menganjurkan pertandingan badminton amal Terbuka SINAR Latifah di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kejohanan tersebut diadakan khas untuk mengutip derma bagi membantu isteri Misbun, Datin Latifah Mohd. Sidek yang mengidap penyakit buah pinggang.

Menurut Misbun yang juga jurulatih pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, dia amat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh BAM, SINAR serta peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

“Saya memang terharu apabila melihat sokongan yang diberikan terhadap saya dan keluarga,” tambah Misbun.

“Pada mulanya, saya tidak sangka acara ini dapat dijalankan tetapi semua pihak memberikan kerjasama dengan baik. Memang saya rasa gemuruh menanti kehadiran hari ini (semalam) tetapi syukur ia mendapat sambutan yang agak meriah daripada peminat.”

Dalam pada itu, Misbun menjelaskan, keadaan isterinya masih kritikal.

“Isteri saya merupakan tulang belakang saya selama ini dan dia kini berada dalam keadaan yang kritikal.

“Kami baru pulang dari China untuk menjalani pemeriksaan dan doktor di sana memberikan pendapat yang sama seperti doktor di Malaysia.

“Pada ketika ini, dia hanya menjalani rawatan hemodialisis seperti biasa.”

Sementara itu, Chong Wei berkata, penyertaannya pada kejohanan tersebut merupakan salah satu cara untuk dia menunjukkan sokongan terhadap Misbun.

“Sebagai pemain, saya memang rapat dengan jurulatih dan hubungan kami seperti anak dan bapa,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing itu.

“Saya sedar pengorbanan yang dia (Misbun) lakukan untuk saya. Dia sanggup menemani saya di Beijing lalu meskipun pada ketika itu isterinya berada dalam keadaan kritikal.

“Walaupun berada bersama saya, saya tahu dia sentiasa susah hati dan saya harap, isterinya akan cepat sembuh agar dia dapat kembali ceria.”

Kejohanan Terbuka SINAR Latifah semalam menampilkan perlawanan antara pemain dan bekas pemain kebangsaan Malaysia yang beraksi menentang krew- krew radio SINAR.

Seramai hampir 1,000 penonton hadir bagi menyaksikan aksi-aksi pemain seperti Chong Wei dan Misbun sendiri, Jalani dan Rashid Sidek, Roslin dan Muhammad Hafiz Hashim serta krew-krew SINAR seperti Khairil, Raja Azura dan Salih Yaccob.

Dua personaliti Astro, Linda Onn dan Yasmin Hani turut memeriahkan kejohanan amal tersebut.

Kosmo