Archive | Zarina Zainuddin RSS feed for this section

Status Zarina Dihormati

17 Jun

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN Fadzilah.bahar@utusan.com.my

GAYA manis Zarina Zainuddin di hadapan lensa kamera selepas majlis ramah mesra drama bersiri Dendam di Borneo Rainforest, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

JIKA satu ketika dahulu episod duka pernah singgah dalam diari hidupnya namun kini, sinar kebahagiaan sudah pun menghiasi ruang-ruang hidupnya. Lara satu ketika dahulu yang pernah dialami sudah pun menghilang dan kini segala penderitaan tersebut telah pun diganti dengan kebahagiaan.

Apa lagi yang boleh diperkatakan selain syukur ke hadrat Ilahi atas segala rahmat yang diterimanya kini. Dikurniakan anak-anak dan suami yang penyayang sudah cukup menggembirakan hati pelakon yang pernah mencetus kontroversi satu ketika dahulu, Zarina Zainuddin.

Tidak mahu menoleh ke belakang, kini Zarina bangkit mengejar segala impian yang diminati sejak dahulu lagi. Sementelah anak-anaknya kini semakin dewasa dan suami juga memberi keizinan membuatkan semangat Zarina untuk aktif semula dalam bidang seni bercambah.

Lantas satu demi satu tawaran berlakon diterimanya. Namun begitu, setiap kebebasan yang diberi itu ada batasnya.

“Saya terima tawaran berlakon kerana saya minat dan amat sukar untuk melupakannya. Tambahan pula sekarang suami sudah memberi keizinan dan peluang tersebut tidak mungkin saya lepaskan.

“Tapi saya perlu tahu batas-batasnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Dendam yang akan disiarkan di TV3 bermula 24 Jun ini.

Menyambung perbualan aktres kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui, selepas bergelar isteri orang, dirinya lebih dihargai.

“Jika dulu watak yang saya dapat seksi saja. Tapi bila sudah bergelar isteri orang saya makin dihargai dan dipercayai. Watak-watak yang ditawarkan semuanya watak yang mampu menguji kemampuan saya sebagai pelakon. Saya sangat senang dengan situasi sekarang berbanding ketika saya bujang dulu,” luah ibu kepada empat cahaya mata ini.

Mengambil keputusan untuk semakin aktif sejak tahun lalu, Zarina seakan-akan dapat memahami apa yang bermain di minda khalayak.

Pastinya ramai akan membuat andaian mungkin Zarina aktif semula dalam bidang seni kerana mempunyai masalah rumah tangga. Tambahan pula, sejak 16 tahun melayari hidup sebagai isteri orang, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan identiti suaminya.

“Alhamdulillah rumah tangga saya tidak ada masalah. Kami bahagia dan janganlah ada yang beranggapan kerana mempunyai masalah penyebab saya mahu aktif dalam bidang lakonan. Itu tidak benar sama sekali dan saya harap janganlah berfikiran negatif terhadap saya,” terang pengasas produk kecantikan Adura Cosmetics ini.

Jelas aktres berbintang Capricon ini lagi, ada sebab mengapa identiti suaminya dirahsiakan sehingga kini.

“Saya mahu menjaga hati banyak pihak terutamanya suami dan madu saya. Tapi apa

yang saya lakukan ini bukanlah satu perkara yang salah. Sekurang-kurangnya saya mahu menggembirakan hati semua pihak,” katanya yang membawa watak Sarah dalam drama bersiri Dendam itu.

Bercerita lanjut mengenai watak dalam drama bersiri Dendam, jelas Zarina: “Watak Sarah seorang isteri yang teraniaya. Dia sangka suaminya jujur tapi rupanya suaminya bermain kayu tiga di belakang dia. Tidak susah sangat untuk menjiwai bawa watak tersebut.”

Sibuk dengan produk Kini hidup anak sulung daripada tujuh beradik ini semakin sibuk dan terisi. Kata Zarina, sekiranya tidak ada penggambaran pastinya dia sibuk menguruskan syarikatnya.

“Setiap hari saya akan ke pejabat dan menguruskan sendiri produk saya. Kalau boleh saya mahu produk ini terus berkembang. Bukannya senang kita nak yakinkan orang dengan barang-barang kita.

“Malah demi memastikan produk saya ini diterima ramai saya sendiri akan pergi ke kedai-kedai atau mana-mana lokasi untuk memberi penerangan kepada orang ramai. Bukan boleh lepas tangan, kalau hendak harapkan iklan sahaja tidak memadai,” terangnya lagi .

Meskipun penat dengan apa yang dilaluinya kini, namun Zarina berpuas hati dengan hasilnya.

“Penat memang penat tapi bila saya di lokasi sekurang-kurang dapat bertemu dengan kawan-kawan penat pun hilang. Paling penting segala tekanan hilang sebab bila di lokasi saja ada kawan-kawan untuk berbicara dan melupakan segala masalah yang ada,” terang penggemar muzik R & B ini.

Cerita masyarakat harian Sementara itu bagi pengarah Dendam, Adam Hamid berkata, Dendam merupakan sebuah drama yang memaparkan permasalahan yang melanda masyarakat seharian.

“Dendam ini menonjolkan apa yang berlaku dalam masyarakat kita seharian. Memang wujud dendam dalam hati kita tapi cara kita membalas atau membuang dendam itu sahaja berlainan.

“Drama ini merupakan sebuah drama suspen thriller yang membuatkan para penonton ternanti-nanti apa yang akan berlaku seterusnya. Banyak adegan cemas yang ada dalam drama ini sewaktu watak utamanya mahu membuat pembalasan,” katanya.

Namun tegas Adam, drama 26 episod ini tetap mempamerkan elemen-elemen yang baik untuk tontonan umum.

“Walaupun drama ini banyak menyiarkan adegan-adegan membalas dendam, tapi masih ada lagi elemen positif yang ditonjolkan. Drama ini diterbitkan untuk tontonan seisi keluarga,” jelasnya lagi.

Selain Zarina Zainuddin, Rima Melati, Noniswara, Kathy Azean dan Aqasha turut membintangi drama bersiri tersebut.

Utusan Malaysia

Advertisements

Yuzwan Wahid (1956-2008): Lebih Berjaya Dalam Bisnes

4 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

SEHARI selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, kelmarin warga seni dikejutkan pula dengan berita kematian penerbit dan pengarah cukup aktif sekitar 90-an, Datuk Meswan Dol, 51 atau lebih dikenali dengan nama Yuzwan Wahid di kalangan orang filem.

Meswan disahkan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang yang dideritai sejak tiga tahun lalu.

Menurut anaknya Mohd Hatta, 22 bapanya disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di hospital itu sepanjang tiga minggu lalu.

Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim, anak, Zariyatul Akma, 23; Mohd Helmi, 19 dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir.

Sebelum bergelar penerbit dan pengarah, Meswan terlebih dulu menjadi pelakon dan pernah membintangi beberapa drama sekitar 80-an.

Pada 1993, di bawah produksi sendiri Daya Pentas Sdn Bhd (DPSB), Meswan menerbitkan dan mengarah filem pertama, Antara Gadis menampilkan pelakon popular waktu itu, Mas Anizan dan Zarina Zainuddin.

Walaupun filem sulung terbitan produksinya gagal di pawagam ia langsung tidak mematahkan semangat Meswan untuk menerbitkan filem kedua Sama Tak Serupa (STS) pada 1995.

Filem yang skripnya turut ditulis sendiri Meswan, menampilkan lebih ramai pelakon popular seperti Aznil Nawawi, Anne Ngasri, kumpulan Nico, Sasha, Jasmin Hamid dan Razzi Rahman. Selain itu DPSB pernah menghasilkan drama antaranya Geregai dan Kemelut.

Beberapa artis yang pernah bekerja dengan Meswan turut terkejut apabila terbaca berita disiarkan Harian Metro dan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

Pelakon, Zarina Zainuddin berkata selepas Allahyarham meninggalkan dunia perfileman mereka tidak lagi berhubung. Begitupun, katanya dia sering mengikuti perkembangan Meswan dalam dunia perniagaan dan politik.

“Sewaktu menjayakan filem Antara Gadis, selain menjadi pengarah dia turut berlakon. Setiap kali berbual, Allahyarham selalu bercerita mahu berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Waktu itu sebagai rakan, saya mahupun Mas Anizan selalu mengusik dengan mengatakan dia berangan besar, tetapi tidak sangka selepas itu apa yang dikatakan dikotakan. Perniagaannya benar-benar berkembang dan kerana sibuk dia terpaksa melupakan dunia perfileman.

“Namun, untuk berjaya dalam dunia hiburan terutama filem, sebenarnya dia tidak boleh senyap kerana orang akan lupa. Begitupun saya berasakan kecenderungan Allahyarham lebih kepada dunia perniagaan dan politik berbanding seni,” katanya.

Aznil Nawawi membintangi filem arahan Meswan, STS pula berkata sebagai penerbit, Allahyarham seorang yang sangat pemurah.

“Walaupun filem STS waktu itu tidak mendapat sambutan dan DPSB mengalami kerugian tetapi saya tetap mendapat bayaran penuh mengikut seperti apa yang dijanjikan.

“Satu lagi sikap Allahyarham yang saya cukup ingat adalah, dia suka menggembirakan hati orang. Mengambil contoh dia selalu membawa piza di lokasi semata-mata mahu melayan kerenah rakan pelakon lain, sedangkan waktu sama makanan sudah disediakan.

“Pada hari raya, pelakon filem STS turut menerima bonus. Padahal waktu itu filem belum lagi ditayangkan. Sebagai penerbit dia juga seorang yang peramah.

“Sekarang walaupun sudah bergelar Datuk dan tidak lagi aktif sebagai penerbit tetapi kalau bertemu di mana-mana, dia akan datang dan menegur saya dulu,” katanya.

Powered by Harian Metro

Tidak Pernah Ku Sesali Drama Baru Di RTM1

28 Sep

Kisah pergolakan keluarga dan perebutan harta menjadi taruhan terbaru Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk para penonton RTM1 kali ini. Bermula hari ini, sebuah drama bersiri Tidak Pernah Ku Sesali menyerikan slot Sutera, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menggantikan drama Bicara Aur Dengan Tebing yang tamat siarannya semalam.

Konflik keluarga Datuk Mahmud dan Datin Sharifah memuncak sekembalinya anak lelaki sulung mereka, Prof. Helmi dan isterinya, Hanim yang dinikahi di Amerika. Ini kerana kepulangan Prof. Helmi tidak disenangi adik-adiknya terutama Asmadi dan Rahimi kerana Prof. Helmi dilantik oleh ayah mereka untuk mengambil alih perniagaan keluarga. Malah Junaidah dan Anita, kedua-dua menantu Datuk Mahmud dan Datin Sharifah cemburukan Hanim yang ternyata lebih disayangi oleh mertuanya kerana dia berkeperibadian mulia.

Prof. Helmi bukannya mahu membolot kekayaan ayahnya sebaliknya dia mahukan adik-beradiknya bekerjasama memajukan syarikat, hasil titik peluh ayah mereka selama ini. Namun, Prof. Helmi kecewa apabila mendapati banyak penyelewengan berlaku ketika syarikat diurus oleh Asmadi dan Rahimi ketika ayah mereka sakit akibat serangan jantung. Hanya Asraf, adiknya yang seorang lagi sahaja yang boleh diharapkan yang selama ini menegur tindak tanduk tidak betul Rahimi dan Asmadi. Namun, Asraf lebih berminat mengendalikan perniagaan sendiri dalam industri pertanian.

Saman

Paling mengecewakan Prof. Helmi apabila syarikat menerima surat saman daripada pelanggan kerana kegagalan syarikat perkapalan Datuk Mahmud menepati jadual membawa barang masuk ke Malaysia seperti dijadualkan. Prof. Helmi meminta bantuan Rahimi dan Asmadi untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka mengambil sikap sambil lewa.

Keengganan mereka melakukan penyiasatan kerana mereka sebenarnya berkomplot dengan pelanggan tersebut menaikkan tuntutan saman daripada RM3 juta kepada RM5 juta di mana mereka berdua akan mengambil RM1 juta seorang. Prof. Helmi tidak membuat laporan polis memandangkan mereka adalah darah daging sendiri dan meminta mereka memulangkan wang tersebut kepada syarikat. Tetapi, masing-masing sudah membelanjakan wang tersebut.

Sementara itu, Datuk Mahmud membuat kejutan untuk membahagikan harta dan saham syarikat kepada anak-anak dan menantunya. Anita, Junaidah dan anak perempuan Datuk Mahmud, Malina mempersoalkan saham Hanim yang lebih.

Anita juga menyebarkan cerita bahawa Prof. Helmi dan Hanim akan bercerai kerana kononnya Prof. Helmi menghadapi masalah kelelakian. Untuk menutup mulut daripada perkara itu sampai ke pengetahuan Datuk Mahmud, Anita meminta Prof. Helmi sebanyak RM3 juta. Ugutan Anita itu gagal kerana Datuk Mahmud sudah mengetahui perkara itu.

Dalam pada itu, Prof. Helmi dan Hanim terpaksa membuka cerita sebenar bahawa mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri akibat kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kereta mereka terhumban ke dalam sungai di Amerika. Prof. Helmi dan Hanim sebenarnya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Prof. Helmi berkahwin dengan Khalidah dan Hanim dengan Dr. Farid dan pasangan mereka hilang tanpa dapat dikesan pada hari kemalangan itu. Prof. Helmi meminta Hanim menjadi isterinya untuk memenuhi harapan keluarga melihatnya pulang membawa isteri.

Apakah yang bakal berlaku kepada hubungan Prof. Helmi dan Hanim apabila Dr. Farid dan Khalidah yang disangka mati selama ini muncul kembali menagih cinta? Pastikan anda menonton Tidak Pernah Ku Sesali, drama bersiri sebanyak 30 episod yang penuh dengan konflik, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi di RTM1 bermula 28 September ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Faisal Ishak dan dibintangi oleh Arni Nazira (Hanim), Fauziah Nawi (nenek), Khairil Anuar (Datuk Mahmud), Khaty Azean (Datin Sharifah), Amyza Adnan (Anita), Watie Elite (Junaidah), Zed Zaidi (Asmadi), Zarina Zainuddin (Rita), Ashraf Sinclair (Dr. Farid) dan Zaefrul Nadzarine Nordin (Prof. Helmi).

Powered by Utusan Malaysia

Pelakon Gagal Dikesan, Kes Ditangguh Kali Keempat

14 Nov

PUTRAJAYA 13 Nov. – Pendakwa raya yang gagal mengesan pelakon drama, Norliana Sulaiman memohon penangguhan kali keempat kepada Mahkamah Rayuan hari ini untuk rayuan terhadap pembebasan Norliana daripada tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi kes perantara pelacuran, Haslinda Merican, lapan tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Shamsul Sulaiman memohon penangguhan itu setelah memaklumkan bahawa polis masih gagal mengesan Norliana kerana alamat yang diperoleh tidak lengkap menyebabkan notis rayuan tidak dapat diserahkan.

”Ini merupakan kali keempat pihak pendakwa memohon penangguhan kerana responden masih gagal dikesan,” katanya ketika disoal oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff yang bersidang bersama Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Datuk Hasan Lah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Shamsul meminta bantuan orang awam yang mengenali Norliana dan mengetahui tempat dia berada supaya menghubungi balai polis berdekatan.

Pada 20 Jun tahun lalu, pihak pendakwa raya terpaksa memohon penangguhan rayuan atas alasan yang sama iaitu kegagalan menyampaikan notis kepada pelakon yang juga merupakan adik kepada artis yang kini bergelar ahli perniagaan, Zarina Zainuddin.

Pihak pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Norliana, 31, setelah mendapatinya tidak bersalah atas tuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes perantara empat artis melacur.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 April 1998 menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Norliana yang juga dikenali sebagai Liana kerana didapati bersalah terhadap dua tuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu ketika menjadi saksi pendakwa dalam perbicaraan pengurus produksi sebuah syarikat penerbitan filem, Haslinda Merican M. A. Merican dan perunding kewangan, Mohamed Amin Jamadi yang dituduh menjadi perantara kepada empat artis wanita dalam kegiatan pelacuran.

Menurut kertas pertuduhan, keterangan pelakon itu bercanggah daripada percakapan yang diberikannya kepada polis ketika soal siasat. Norliana didakwa memberi keterangan palsu yang pertama pada 6 Februari 1996 di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Jalan Raja, Kuala Lumpur di hadapan Hakim Zura Yahya.

Mengikut tuduhan pertama, Norliana telah memberi percakapan kepada Asisten Supritendan Shamsiah Yusof yang ketika itu adalah pegawai penyiasat kes Haslinda, kira-kira pukul 3 petang, 30 Jun 1995 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurut percakapan tersebut, pada 26 Jun 1995, Linda (Haslinda) telah menelefon pelakon itu dan menawarkan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk sebuah ‘show’ yang difahaminya sebagai adegan seks bersama lelaki.

Sebaliknya, percakapan itu bercanggah dengan keterangannya di mahkamah bahawa Linda (Haslinda) menghubunginya untuk bertanya sama ada dia (Norliana) berminat menjadi pembantu pengacara sebuah rancangan kuiz.

Mengikut tuduhan kedua, Norliana telah menyambung percakapannya mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah kepada Shamsiah pukul 11.50 pagi, 9 September 1995 di tempat yang sama.

Utusan Malaysia