Archive | Zed Zaidi RSS feed for this section

Sambutan Hari Kek Di TV3

24 Apr


ACARA lelong kek mendapat sambutan menggalakkan.

HARI Kek anjuran TV3 sempena sambutan jubli perak stesen televisyen itu, berlangsung di pekarangan Sri Pentas, baru-baru ini bukan saja menerima kira-kira lima ribu kunjungan daripada orang ramai, sebaliknya turut meraih RM1,312 untuk disalurkan kepada Tabung Bersamamu.

Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin, berkata, objektif acara ini diadakan untuk memberi peluang kepada semua hadirin, bersama-sama menikmati kemeriahan sambutan ulang tahun jubli perak TV3, selain memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat dan berkongsi pengetahuan berkenaan ilmu pastri.

“Acara ini turut bertujuan menambah keriangan kanak-kanak yang menyertai ‘Kids Parade’ yang diadakan pada hari sama. Memandangkan ibu bapa turut hadir menyaksikan perarakan berkenaan, pihak kami tidak menghampakan mereka dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuklah Hari Kek berkenaan.

“Menariknya ia bukan saja mendapat sambutan hebat daripada golongan ibu, malah ada juga bapa menyertai pertandingan yang dianjurkan. Ternyata, penerimaan aktiviti ini amat baik sekali dan pihak kami berharap dapat mengadakan acara begini pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini. Antara hadir pada majlis berkenaan ialah Almy Nadia, Fizz Fairuz, Arash Mohd, Zed Zaidi, Anita Baharom, Nuraffenda, Irin Putri dan Hasfizza Sabjahan.

Acara itu menerima tajaan daripada KDU College dan Sugarcraft Baking Academy.

Selain acara kemuncak Pertandingan Menghias Kek, aktiviti lain turut diadakan termasuklah demonstrasi menghias kek, pertandingan makan kek dan lelong kek.


ANTARA selebriti yang turut memeriahkan majlis.

Berita Harian

Advertisements

ABPBH 2008: Rasa Bertuah

8 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Scha Alyahya

Tersenarai pada peringkat akhir ABPBH2008 satu pencapaian membanggakan buat Scha

SIAPA sangka di sebalik pembabitan seni yang pada permulaannya hanya sekadar mahu menguji pasaran, kini beralih menjadi bidang yang semakin menuntut fokus berpanjangan. Pernah bertugas di awan biru sebagai pramugari, Scha Alyahya agak pantas mengecapi populariti sebagai pelakon biarpun belum sampai tiga tahun berada dalam dunia seni.

Kejayaannya bukan semudah yang disangka. Malahan gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia usia 26 tahun pada 30 Mei nanti pernah berasakan pengalaman sewaktu mula melangkah ke dalam dunia seni cukup mengerikan.

Katanya, pernah dia menjalani penggambaran drama tapi untuk jangka masa yang panjang.

Pernah juga selama enam bulan dia bekerja di butik pakaian milik kawannya di Damansara kerana terdetik perasaan gusar apakah bidang seni yang diharungi satu pilihan yang tepat.

Tapi jelas dengan apa yang dimilikinya, ternyata pertaruhannya cukup berbaloi apabila namanya mula menjadi sebutan. Drama Bella dan Awan Dania antara naskhah yang terus meledakkan namanya.

Menambah kekuatan trek pembabitan Scha apabila tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Sehingga kini dia semakin ligat memenuhi tawaran berlakon dan membuat iklan komersial.

Apapun, Scha tetap Scha. Dia Masih lagi seperti dulu. Tutur katanya masih agak pekat dengan loghat utara.

“InsyaAllah apa yang Scha nampak berjalan dengan baik seadanya. Scha sekarang semakin serius dan kerja ini bukan perkara main-main. Sekali kita memasuki arena ini, ia petanda untuk kita terus bekerja kuat bagi memastikan hayat diri terus ada.

“Sewaktu nama Scha tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 2008, Scha terkejut juga sebab tak sangka orang luar dan peminat mula menyedari kehadiran kita.

“Scha bertuah apabila tersenarai dalam Top 5 dan berada di lingkungan lima yang popular itu sudah cukup bagus. Saingan pun sengit dan sihat,” katanya sewaktu ke premis Rafflesia untuk sesi perbincangannya dengan pereka fesyen, Anizam Yusof yang terbabit mereka busananya menjelang malam kemuncak ABPBH 2008, Ahad ini.

Dalam Artis Baru Wanita Popular, Scha diundi bersama Ayu Damit (Ayu OIAM), Lisa Surihani, Stacy dan Sariyanti.

Cameron Diaz Malaysia

MEMILIKI seraut wajah jelita, bertubuh ramping dan tinggi, liuk lintuk badannya di depan kamera cukup menyenangkan apatah lagi bidang peragaan adalah makanannya. Dalam dua persalinan berwarna terang rekaan Anizam, kelibatnya menjadi perhatian orang ramai yang membawa kenderaan di tengah jalan termasuk yang lalu lalang.

Sekali pandang, Scha seakan peragawati dan pelakon tersohor, Nasha Aziz yang begitu hangat dan selamba dengan aksesori Rafflesia. Malahan ada sesetengah pengarah yang mahu mencipta Scha sebagai Cameron Diaz Malaysia kerana mempunyai kejelitaan, bijak dan pada masa yang sama terkenal dengan sikap humor serta bersederhana.

Memujinya bukan berniat mahu mengumpan soalan seterusnya mengenai kisah peribadinya yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Bukan cerita baru apabila Scha dikaitkan dengan Fahrin yang turut tersenarai dalam ABPBH 2008 untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Dalam ada yang suka mereka menjalin cinta, lumrah ada juga yang cukup jelak mengenai cerita mereka.

“Hanya masa yang akan memberitahu segala-gala sama ada Scha ada hubungan dengan dia atau sebaliknya,” katanya ringkas.

Tidak mahu terus disoal soalan berbaur peribadi itu, dia kemudian ditanya mengenai tanggungjawabnya sebagai pengacara program Sehati Sejiwa di RTM 1 ini dalam terus membuktikan kemampuannya sebagai anak seni tidak pernah silap.

Akuinya, ada pihak yang membuat andaian masuk dunia seni ini senang kerana bakal dilimpahi kerdipan glamour semata-mata. Itu memang tidak dinafikan dan Scha sendiri mengakui berasa seronok melihat kehidupan pelakon yang dipaparkan di media massa.

“Sekarang apabila diri sendiri yang mengalaminya, ternyata apa yang dianggap pada mulanya hanyalah khayalan. Malah, entiti permainan politik turut berlaku di dalam dunia seni dan ada sesetengah artis yang sanggup melobi semata-mata mahu mendapat perhatian.

“Depan mata sendiri, Scha pernah melihat ada artis yang cuba mendekati pihak berpengaruh dalam produksi kerana mahu mendapatkan tawaran berlakon. Tak boleh menidakkan istilah perhubungan awam memang perlu dalam dunia ini, cuma biarlah berpada-pada.

“Macam Scha, jujur diri ini jenis yang tak pandai membodek orang. Bagi Scha, biarlah Scha mahu orang nilai diri dengan impak lakonan yang dipamerkan dan Scha masih dalam peringkat memperbaiki kekurangan yang ada,” katanya tulus yang bakal muncul dengan filem Papadom dan Evolusi KL Drift 2, malah dia baru saja selesai menjalani penggambaran Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Utamakan fesyen selesa dipakai

MENGENAI Anizam, kata Scha, pereka fesyen itu pernah mengundangnya untuk Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) tahun lalu, namun ketika itu jodoh mereka untuk bekerjasama belum ada.

“Sebelum nama Scha tersenarai dalam top 5 lagi, dia sudah mula menghubungi Scha untuk menaja busana rekaannya. Apa yang Scha boleh katakan, semangat dan kesungguhannya membuktikan dia tidak memilih artis biarpun ketika itu tidak tahu langsung yang Scha akan ke senarai akhir.

“Difahamkan memang ada beberapa lagi pereka yang berminat nak dapatkan Scha, tapi sudah rezeki dia yang pertama menyapa Scha dulu. Bagi Scha apa yang penting ialah pakaian yang selesa dan bukan atas dasar kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Anizam mempunyai sebab kukuh memilih Scha sebagai selebriti yang mahu disarungkan rekaannya untuk ABPBH 2008. Lebih gemar rekaan dan potongan bersih yang tidak sarat, Anizam yakin bahawa Scha mampu menyerlahkan rekaannya nanti. Selain Scha, Sazzy Falak turut memberi pengesahan pada saat akhir untuk menggayakan rekaannya.

Menggunakan perincian ‘dart’, fabrik satin dan songket, warna biru elektrikal menjadi uji kaji kepada Scha. Kata Anizam, dia menggunakan pendekatan korset separuh (tidak penuh) yang dijahit sekali dengan baju dan kelainan itu antara tarikan yang ingin disampaikannya.

“Sentuhan Tenun satu idea tema yang menarik untuk diketengahkan dan sesetengah pihak menganggap fabrik tradisional tidak setanding fabrik moden.

“Dengan trend sekarang, apa saja boleh jadi mustahil, janji ia diiringi dengan semangat mencuba sesuatu yang baru untuk menghasilkan tradisional menjadi kontemporari.

“Usia pembabitan saya dan Scha sama naik dan dengan rupa maskulin serta ‘attitude’ yang ada padanya, saya yakin dia boleh menjadi manifestasi terbaru saya dalam melebarkan idealisme rekaan saya. Scha ada aura tersendiri yang mampu membuatkan ramai yang terpesona kepadanya,” kata Anizam.

NAMA PENUH: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir PANGGILAN: Scha Alyahya ASAL: Sungai Petani, Kedah TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983 ADIK BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik KELULUSAN: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL cawangan Shah Alam PENCAPAIAN: Dewi Remaja 2006 dan 50 Wanita Paling Jelita disenaraikan majalah Female KERJAYA: Pelakon, Pengacara Dan Model IKLAN: Hotlink, Olay, Pantene, Power Root, Streamyx, Oral B, Watson, Nokia dan Ikea. DRAMA: Bella, Luna Fantasiku, Sadiq and Co, Honeyz dan Awan Dania FILEM: Antoo Fighter, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2 dan Dimensi Cinta

PROFIL: Anizam Yusof Nama penuh: Anizam Yusof

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 30 November 1983

Tempat lahir: Felda Linggiu, Kota Tinggi, Johor

Tahap pendidikan: Diploma Rekaan Footwear dan Ijazah Rekaan Fesyen

Blog: http://anizamyusoftherhucouture.blogspot.com

Pembabitan sejak: 2006

Pencapaian: Finalis Project Runway Malaysia musim pertama

Artis yang pernah menggunakan khidmatnya: Rosyam Nor, Nabil, Zahid, Felix, Meet Uncle Hussain, Ally Iskandar, Faizal Ismail, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Liyana Jasmay, Sazzy Falak, Juliana Evans, Elyana, Nita, Rozita Che Wan

Berita Harian

Nyanyian Tak Dilupakan

17 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

BARISAN pelakon yang memeriahkan drama Julia Juli yang menghiasi slot Lagenda di TV3 dan TV9.

Walaupun sibuk berlakon, Aqasha masih mencari masa sesuai untuk hasilkan single

NAMANYA mula tercatat di pentas seni sebagai penyanyi dan ketika itu jejaka bernama Firdee Akassya Rosli, 26, pernah berada di bawah naungan syarikat rakaman Suria Records. Lagu Cahaya Hati antara yang mempopularkan namanya. Entah di mana silapnya, percubaan bergelar penyanyi bagaikan tidak menjadi dan ternoktah buat seketika.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyanyi yang lebih dikenali dengan nama Aqasha ini bukan terus berlalu sepi meninggalkan dunia seni. Sebaliknya, dia mencuba bakat sebagai pelakon. Percaturannya menjadi. Satu persatu, karakter dan tuntutan watak berjaya dibuktikannya kepada pengarah, penerbit dan peminat.

Menambah tuah kepada dirinya apabila pertama kali namanya dalam senarai akhir calon Pelakon TV Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun ini. Baginya, pencalonan itu ibarat satu kemenangan dan isyarat awal kepadanya untuk terus meningkatkan prestasi ke peringkat lebih membanggakan.

“Saya rasa nama dicalonkan kerana semuanya atas ihsan dan kasih sayang peminat. Saya harus berterima kasih kepada peminat dan Berita Harian. Sebelum ini saya akui tidak begitu mengendahkan perkara sebegini.

“Namun, apabila disenarai pendek, ia umpama satu ruang untuk saya membuktikan bakat dan kemampuan yang ada. Calon lain yang bertanding tak dapat disangkal lagi kehebatan mereka dan saya tidak mampu menjangka sama ada mampu menewaskan yang lain,” katanya yang teringin untuk mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 jika berkesempatan.


DEMI mengelak lakonan stereotaip, Aqasha sanggup berehat seketika untuk mendapatkan ‘mood’ baru.

Bertemunya pada 3 Mac lalu di Restoran Kunang Kunang, Gombak, ketika sesi ramah mesra drama Julia Juli, Matahari dan drama Indonesia, Upik Abu & Laura untuk siaran di sebuah stesen TV swasta, dia kini sedang berehat seketika selama sebulan daripada berlakon.

Bukan merajuk atau ingin meninggalkan terus dunia seni, pelakon ini ada sebab berbuat demikian. Selain selesai menjalani penggambaran drama Julia Juli memegang peranan Putera Adika, dia turut melunaskan filem Rempit V3.

“Kerana banyak berlakon pada tahun lalu, saya perlu berehat menenangkan diri hingga beberapa ketika. Berat badan saya pun bertambah sebab saya memang kuat makan. Insya-Allah dalam bulan ini, saya akan kembali bekerja.

“Buat masa ini belum ada lagi tawaran drama yang boleh saya sahkan.

“Bukan saya tertekan menjalani penggambaran, malahan, saya seronok berada di set berlakon. Pada hemah saya, sebagai pelakon, kita memang perlu berehat dalam beberapa tempoh demi menjana semula pemikiran kreatif. Ia memberi peluang kepada saya untuk membentuk karakter baru dalam diri untuk hasil lakonan yang lebih baik,” katanya.

Aqasha mengaku apabila terlalu kerap dilihat TV orang akan mula mengesan gaya kerja dan lakonannya tetapi itu bukanlah bermaksud, dia tidak suka hasil kerjanya diperhatikan.

“Cuma, saya tidak mahu terus memberi lakonan yang sama saja. Jadi, saya ambil peluang untuk ‘menjauhkan diri’ dalam dunia lakonan seketika,” katanya yang mempunyai studio sendiri di rumah.

Masih cintakan dunia nyanyian, kini mungkin boleh diandaikan kerjaya lakonan menjadi keutamaan. Bukan bermaksud mahu terus melupakan bidang nyanyian, Aqasha memberitahu semuanya berbalik kepada soal ruang, peluang dan rezeki.

Katanya, kedua-dua bidang seni adalah jiwa yang sering melengkapi hidupnya dan kini tawaran berlakon lebih terbuka kepadanya. Jelasnya lagi, dunia nyanyian sudah jatuh ke tangga kedua.

“Bukan saya tidak sayangkan dunia nyanyian. Ia masih kuat dalam sanubari. Saya masih terdorong untuk menyanyi, tapi mungkin saya andaikan peminat sudah lupa yang saya bermula menjadi penyanyi.

“Biarlah, siapa tahu peminat saya sendiri akan kembali bertanya, mungkin ketika itu saya akan kembali menyanyi.

“Sebenarnya ada banyak lagu yang saya cipta tersimpan di dalam arkib. Malah, saya sudah ada dua buah lagu berjudul Obsesiku dan Raikan Kehilangan yang menjadi lagu tema untuk telefilem Joe & Faridah yang pernah disiarkan di Astro Ria,” katanya.

Menurutnya, tempoh berehat daripada lakonan juga akan digunakan untuk menyiapkan proses rakaman lagu single yang sudah agak lama terbengkalai.

“Tapi biasalah disebabkan masalah kewangan dan kesempitan waktu, semuanya tersangkut,” katanya yang mengharapkan 2009 akan terus memberi sinar ke dalam kerjaya seninya.

Tak lengkap bertemunya jika tidak bertanyakan soal peribadi. Bekas kekasih kepada pelakon dan penyanyi Tasha ini masih lagi ‘terbang solo’. Kata Aqasha, dia belum bertemu pengganti dan sebabnya mungkin berbalik kepada dirinya sendiri.

Biarpun cinta yang pernah dibina selama empat tahun sudah berakhir, dia dan Tasha masih berkawan baik. Putus kerana tidak sehaluan, Aqasha menjelaskan dia terlalu mementingkan kerja hingga tak mempedulikan orang sekeliling. Ke depan nanti, dia tidak menolak andai takdir masih kuat menyatukannya dengan golongan artis.

“Saya bersikap rasional. Soal artis atau tidak yang menjadi bakal isteri saya nanti, ini semua terserah kepada jodoh. Mungkin juga saat ini belum masa untuk saya bertemu dengan pengganti. Tapi syukurlah, keluarga saya begitu memahami.

“Saya bukan playboy, cuma saya perlu ruang untuk diri sendiri. Ketika bekerja, membaca atau berada di studio, saya memang tak suka diganggu. Mungkin saya terlalu cerewet memilih wanita yang betul-betul sempurna dan memahami diri ini,” katanya.

Info drama Julia Juli

Disiarkan dalam slot Lagenda sejak 3 Mac lalu

Diterbitkan Tenview Sdn Bhd dan disiarkan dalam 20 episod

Menggunakan dua pengarah iaitu Adam Hamid dan Jet Li.

Selain Aqasha, drama yang diadaptasi daripada cerita mitos, Jula Juli Bintang Tiga ini turut dibintangi Misha Omar, Dynas, Nik Sayyidah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Syawal AF, Rahim Jailani dan Imuda.

Berita Harian

Info TV: Drama Bersiri Terbaik Daripada TV3 Bulan Ini

5 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

NORKHIRIAH antara pelakon utama drama bersiri Matahari yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

PENGGEMAR drama bersiri tempatan pastinya tidak sabar untuk mengikuti cerita terbaru yang bakal mengisi tiga slot utama di TV3 iaitu Lagenda, Akasia dan Sinetron.

Ketiga-tiganya menyediakan drama menarik dengan pelakon hebat serta jalan cerita yang pastinya mengasyikkan khusus untuk tontonan penonton TV3. Ketiga-tiga drama tersebut adalah Julia Juli untuk slot Lagenda, Matahari dalam slot Akasia dan drama bersiri Indonesia, Upik Abu & Laura yang bakal disiarkan dalam slot Sinetron.

Julia Juli yang diterbitkan oleh Tenview Sdn Bhd. ini diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Adam Hamid dan sudah menemui penonton mulai 3 Mac lalu. Siri 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama komedi romantik ini membariskan pelakon handalan tanah air seperti Dynas, Nik Safiyah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Rahim Jelani, Syawal AF, Aqasha dan Imuda. Apa yang menarik drama ini turut mengetengahkan penyanyi popular Misha Omar.

Julia Juli adalah adaptasi dari sebuah cerita mitos bertajuk Jula Juli Bintang Tiga. Ia diolah semula menjadi drama bersiri sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Drama ini memberi tumpuan kepada tiga beradik yang berasal dari dunia kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu. Juli, kakak sulung taksub terhadap fesyen. Satu hari, setelah mengetahui dirinya akan dikahwinkan dengan Putera Adika yang tidak disukai, dia lari turun ke bumi dan terjumpa dengan Arif, seorang lelaki kaya. Arif yang terpikat dengan kecantikan Juli telah mencuri kalung identitinya dari dunia kayangan yang menyebabkan Juli lupa akan asal usulnya.

Slot Akasia pula menyiarkan drama bersiri Matahari bagi menggantikan Spa Q 2. Siri 44 episod ini bakal menemui penonton mulai 30 Mac. Drama ini diterbitkan oleh Pena Kreatif Sdn. Bhd dan hasil kerja dari pengarah berpengalaman Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb. Ia membariskan pelakon seperti Nisdawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Syukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.

Drama Matahari mengisahkan seorang wanita yang terus memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama. Kisah tragis Matahari, seorang wanita kampung naif yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan musibah hidup dan ini telah menukarkannya menjadi wanita penuh keterampilan. Dengan kekuatan dan kepandaian yang ada pada dirinya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi memenuhi keinginan diri. Apakah kesudahan kisah sendu Matahari ini?

Slot Sinetron pula mengetengahkan siri Indonesia Upik Abu & Laura menggantikan Jelita dan bakal disiarkan pada 30 Mac ini. Siri ini mempunyai 103 episod dan mengetengahkan pelakon popular Indonesia seperti Alyssa Soebandono, Cinta Laura dan penyanyi dan pelakon terkenal, Irwansyah.

Siri ini mengisahkan permusuhan antara Opie dan Laura, dua orang gadis yang datang dari dua dunia dan latar belakang yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk hidup. Opie seorang gadis miskin tetapi mempunyai hati yang baik. Dia berusaha untuk mencari tempat berlindung untuk dirinya dan adik-beradik angkatnya selepas diusir dari rumah mereka yang bakal dibangunkan sebagai pusat membeli-belah. Manakala, Laura pula seorang anak manja dari keluarga kaya yang telah ditarik keistimewaannya oleh ayahnya untuk mengajar dia tentang erti kehidupan dengan memaksa dia menjalinkan persahabatan dengan Opie.

Berita Harian

Yusuff Dibenci Saudara

28 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
KISAH Nabi Yusuf yang mempunyai rupa paras menarik dan budi pekerti mulia digambarkan dalam al-Quran. Begitu juga kisah hidupnya yang berhadapan dengan iri hati saudara tirinya hingga dibuang ke dalam perigi untuk melenyapkan dirinya dari dunia.

Kini kisah ini diangkat televisyen melalui drama bersiri Yusuff yang bakal disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 mulai 4 Mac ini.

Drama arahan Mohd Hitler ini diambil daripada kisah Nabi Yusof tetapi disesuaikan dengan keadaan semasa dengan mengambil elemen perasaan hasad dengki dan tamak haloba manusia hingga sanggup melakukan apa saja.

Pelakon muda, Ashraf Muslim diberi tanggungjawab memegang watak Yusuff dan dibantu pelakon lain, Zarynn Min, Syed Ali, Intan Sarafina, Datuk Jalaluddin Hassan, Jamaluddin Kadir, Betty Banafe, Adam Anuar, Puteri Fateen dan Zed Zaidi.

Ia mengisahkan nasib seorang lelaki bernama Yusuff, yang sentiasa dirundung malang akibat dengki ibu dan saudara tiri sejak kecil hingga dibesarkan bapa angkat yang juga ketua samseng. Namun Yusuff membesar sebagai lelaki baik dan punya penampilan menarik.

Hitler atau lebih dikenali sebagai Yeob berkata, skop drama itu memperlihatkan bagaimana seseorang sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan nafsu tamak dan iri hati termasuk merancang membunuh saudara sendiri.

“Watak Yusuff yang dilakonkan Ashraf Muslim digambarkan sering menjadi mangsa tetapi tidak sanggup melakukan perkara kejahatan walaupun mendapat ugutan dan godaan.

“Skrip drama ini memang diilhamkan daripada kisah Nabi Yusuf dan pengajaran yang cuba dipaparkan melalui drama ini diangkat melalui kisah Nabi Yusuf a.s yang penyabar serta tidak mudah tergoda dengan hasutan nafsu.

“Bagaimanapun, drama ini lebih menekankan kepada tamak haloba manusia, bukanlah dakwah Nabi Yusuf sebagaimana kisah sebenarnya. Namun drama ini juga cuba berdakwah kepada penonton dengan caranya tersendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon Yusuff, baru-baru ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn Bhd ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka selama sebulan bermula awal Disember lalu.

“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran dilakukan, saya tidak menghadapi sebarang masalah atau cabaran kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pelakon dan kru.

“Pelakon drama ini juga semuanya berpengalaman, jadi interaksi dan proses penggambaran mudah dilakukan. Saya juga banyak berbincang dengan mereka untuk memperbaiki lagi jalan cerita drama ini,” katanya.

Yeob yang kini dalam proses menyiapkan telefilem Bila Hujan Turun untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), mengakui bangga kerana diberi peluang mengarah drama ini.

“Sepatutnya drama ini diarahkan pengarah lain hingga saya diberi tanggungjawab ini lima hari sebelum penggambaran dan semua barisan pelakon sudah dipilih.

“Saya cuba melakukan tanggungjawab itu sebaik mungkin demi menampilkan sesuatu yang baru kepada penonton. Penampilan pakaian pelakon juga perlu bersesuaian dengan jalan cerita yang diambil daripada kisah Nabi Yusuf tetapi dalam drama lain, saya juga cuba menjaga penampilan pelakon supaya tidak mengundang rasa kurang senang penonton.

“Cuma untuk drama ini, saya masukkan babak agak seksi ketika Zaliha yang juga ibu tiri Yusuff, lakonan Betty Banafe memakai baju tidur untuk menggoda Yusuff,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, berkata TV3 memperkenalkan drama hebat dalam slot Lagenda, Seram, Lestary, Aksi dan Samarinda.

“Namun setiap slot memaparkan genre berbeza dan sesuai untuk tontonan khalayak umum dengan Samarinda memaparkan drama berkisarkan dunia korporat seperti konspirasi, komplot dan rencah kehidupan moden.

“Di sinilah gabungan pelakon diminati ramai dengan jalan cerita menarik menjadi kekuatan drama Yusuff, buah tangan terbaru daripada pengarah tidak asing lagi, Mohd Hitler Zami,” katanya.

Drama ini bermula apabila bapa Yusuff, Yaacob bekerja dengan orang kaya Kemat dan dijanjikan bernikah dengan anak angkat lelaki itu, Suhana selepas tujuh tahun berkhidmat.

Bagaimanapun, Kemat tidak menunaikan janji, sebaliknya menikahkan Yaacob dengan anak kandungnya, Rabiah menyebabkan Suhana meninggalkan kampung akibat terlalu kecewa dengan perbuatan bapa angkatnya itu.

Selepas Kemat meninggal dunia, kekayaannya diwarisi Yaacob dan tidak lama kemudian dia mengahwini Suhana yang dicari sekian lama sehingga menyebabkan Rabiah mengamuk dan berjanji membalas dendam.

Suhana kemudian melahirkan bayi lelaki diberi nama Yusuff tetapi disebabkan benci, Rabiah dengan bantuan anaknya mencampakkan Yusuff ke dalam gaung.

Yusuff diselamatkan ketua samseng bernama Aziz yang melihat kejadian itu tetapi hilang ingatan akibat satu kejadian. Bagaimanapun, konflik timbul apabila isteri muda Aziz, Zahila jatuh cinta kepada Yusuff yang membesar sebagai seorang lelaki kacak.

Harian Metro

Zeyna, Dina Merempit

26 Feb

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


ZEYNA (kanan) dan Dina menimba pengalaman baru dalam Rempit VS Impak Maksima.

MEREKA berdua boleh dikatakan sebagai orang baru dalam dunia drama. Seorang merupakan artis kelahiran program realiti pencarian bakat nyanyian dan seorang lagi pernah dilihat menerusi drama KAMI yang ditayangkan di 8TV dua tahun lalu.

Namun, Ani Zayanah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Zeyna telah dipilih sebagai aktres utama drama arahan Ahmad Idham, Rempit VS Impak Maksima. Bukan sahaja kerana dirinya amat sesuai dengan watak yang ditawarkan tetapi dia telah mendapat tugasan itu atas bantuan kawan rapatnya, Nas-T.

Dina pula dipilih kerana bakat yang ditonjolkan semasa berlakon dalam versi teater muzikal Impak Maksima serta filem Jangan Pandang Belakang Congkak yang turut diarahkan oleh Ahmad Idham.

Memegang watak Erin, kawan baik kepada Farhana (Zeyna), drama 13 episod itu menggabungkan teknik drift kereta dan rempit motosikal.

“Banyak dugaan dalam drama ini dan ia amat berbeza dengan drama KAMI. Semasa menjayakan watak dalam drama KAMI, saya tidak perlu banyak berlakon kerana ia adalah seperti saya dalam kehidupan realiti.

“Namun, dalam drama Impak Maksima VS Rempit, saya perlu bermanja dengan ibu bapa saya, Datuk Razali dan Datin Aziah. Dalam kehidupan realiti, saya tidak manja dengan ibu bapa saya. Lagipun saya bukan seorang yang garang tetapi dalam drama ini memerlukan saya berkelakuan sedemikian,” kata Zeyna, 23, ketika ditemui pada sidang media drama tersebut.

Menjayakan watak sebagai seorang gadis kaya dari keluarga yang memiliki perniagaan pemotoran, Zeyna turut memberitahu bahawa dia menghadapi kesukaran untuk memegang watak utama dalam drama yang ditayangkan di TV3.

“Seperti yang diketahui umum, drama TV3 banyak ditonton oleh seisi keluarga. Jadi sebagai pelakon, kami perlu memberikan lebih emosi supaya dapat menyakinkan penonton. Kita perlu sentiasa mengingati apa cita rasa yang dikehendaki oleh penonton,” tambahnya yang bakal disaksikan menerusi drama Rocky Grey.

Bagi Dina pula, dia mengambil peluang untuk berlakon dalam drama yang turut dibintangi oleh Iqram Dinzly, Zed Zaidi, Puerti Fatin, Nas-T dan Siti Elizad itu sebagai sebahagian daripada pengalaman anak seni.

Percubaan berlakon telah mewarnai hidupnya kerana apa yang dirasai tidak sama dengan hidupnya semasa bertugas sebagai penyanyi.

“Saya seronok dengan kehidupan sekarang. Semasa berlakon, saya dapat merasakan diri saya sebagai orang biasa. Saya kena marah apabila lambat, menunggu giliran untuk berlakon dan berjemur. Semua itu tidak dapat dilalui semasa berlakon.

“Kami bagaikan sebuah keluarga dan Idham banyak mengajar saya. Apa yang penting adalah Idham tahu cara untuk menegur saya. Itu yang membuatkan kerjasama kali ini lebih menyeronokkan,” jelas Dina yang kini merupakan penyampai radio ERA.

Mula berlakon selepas menghabiskan pelajaran di Kolej Damansara Utama (KDU), Zeyna melibatkan diri selepas diajak oleh sepupunya, pelakon Sazzy Falak. Dia yang tidak mempunyai lesen memandu menceritakan sedikit sebanyak pengalamannya berlakon sebagai seorang yang mahir dalam bidang pemotoran.

“Dari awal saya sudah memberitahu mereka bahawa saya tidak mempunyai lesen memandu. Namun, Idham memberitahu saya bahawa itu bukan satu masalah.

“Saya mempunyai ramai kakak yang selalu membawa saya dan suka menaiki teksi. Jadi memandu, pada saya tidak diperlukan,” jelas anak keempat daripada tujuh adik-beradik.

Ingin lihat bagaimana Farhana bergelumang dengan dunia pemotoran, ikuti drama Rempit VS Impak Maksima yang ditayangkan setiap pukul 9 malam Isnin, bermula 16 Februari lalu di TV3.

Kosmo

Visi Dua Dara

24 Feb

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

DINA (kiri) berganding
bersama Zayana dalam
Rempit vs Impak
Maksima The Series.

Menceburi pelbagai bidang seni untuk kepuasan kerjaya

SEKALIPUN bukan orang baru dalam industri hiburan, dua wanita ini, Zayana Ibrahim dan Dina berasa bertuah apabila diberi peluang muncul dalam drama yang disiarkan dalam slot perdana. Lakonan bagi gadis berwajah persis Cina ini bukanlah sesuatu yang asing.

Sebelum membintangi Rempit vs Impak Maksima The Series yang disiarkan dalam slot Aksi di TV3 setiap Isnin, sepupu kepada pengacara dan pelakon Sazzy Falak ini pernah membintangi drama bersiri dan filem Kami.

Ketika itu, penampilannya berbeza dengan imejnya sekarang hingga hampir tidak mengenalinya. Dulu wanita ini selesa dengan potongan rambut pendek, tetapi kali ini Zayana tampil lebih feminin dengan rambut ikal dibiarkan melepasi bahu.

Pertama kali mencuba gelanggang yang lebih meluas penontonnya, Zayana mengakui berasakan perbezaannya dengan Kami. Drama bersiri Kami lebih sesuai untuk golongan remaja, namun skop Rempit vs Impak Maksima lebih meluas dan sering menjadi pilihan penonton dari pelbagai lapisan umur.

Bukan saja skop berbeza, wataknya sebagai Farhana dan Adii juga dua watak yang berbeza sama sekali. Adii kata Zayana lebih dekat dengan ciri dimilikinya, sementara Farhan pula memerlukannya menjadi seorang wanita yang tegas dan agresif.


PELAKON drama Rempit vs Impak Maksima pada sesi ramah mesra di Sri Pentas Bandar Utama.

“Saya perlu bertukar-tukar karakter sekelip mata dalam Rempit vs Impak Maksima dan saya juga perlu melebih-lebih kerana itu adalah apa yang penonton slot perdana mahukan. Watak Farhana bagi saya mencabar kerana inilah pertama kali saya memegang watak utama sehingga saya sentiasa mengingatkan diri apa yang penonton mahukan.

“Bagaimanapun, ia satu pengalaman baru bagi diri saya. Jika tiada sepupu saya, Sazzy Falak yang memberikan dorongan supaya saya menceburi dunia lakonan, mungkin saya tidak berada di mana saya sekarang.

“Malah, saya juga tidak sangka dapat bekerja di bawah Ahmad Idham kerana semuanya berlaku secara kebetulan apabila sahabat baik saya Nas T mencadangkan nama saya kepada Idham sehari sebelum kontrak ditandatangani,” kata Zayana.

Perkara yang paling mencabar buat anak keempat daripada tujuh adik beradik ini apabila membintangi Rempit vs Impak Maksima ialah terpaksa membawa kereta sedangkan dia tidak memiliki lesen.

Bagaimanapun, mujur Idham memahami kelemahannya dan menggantikan adegan itu dengan pelakon ‘stand-in’.

Gadis berusia 23 tahun ini mempunyai alasan sendiri kenapa tidak memiliki lesen kenderaan. Jika orang lain berlumba-lumba memiliki kereta, dia pula lebih senang menjadikan pengangkutan awam terutamanya teksi untuk bergerak ke mana saja. Adik beradiknya juga sering menjadi mangsa setiap kali hendak ke sesuatu destinasi.

Terpaksa cari kerja sampingan

APA yang tidak dicubanya. Daripada menyanyi kemudian berlakon teater, diikuti filem Jangan Pandan Belakang, Congkak dan kini bergelar penyampai radio Era FM pula.

Kata Dina, dia menceburi pelbagai bidang kerana peluang terbentang di depan mata. Sambil itu, katanya, dia juga segan untuk menganggap dirinya sebagai anak seni jika tidak mencuba pelbagai bidang lain.

Bagaimanapun, pada masa sama, Dina mengakui kelembapan industri muzik kini juga menjadi salah satu punca mengapa dia melebarkan sayapnya ke bidang lain dengan peluang yang ada.

“Benar disebabkan industri muzik merudum saya harus memikirkan alternatif lain. Tetapi keadaan itu tidak begitu menjejaskan kerjaya nyanyian saya. Oleh kerana saya bekerja sendiri, memang saya dapat merasakan kelembapannya dan nasib sama turut menimpa rakan penyanyi lain.

“Kerjaya terbaru saya sebagai pelakon memang sesuatu yang menyeronokkan. Saya belajar benda baru dan tidak kisah jika ada yang mengatakan saya artis Excellent Pictures. Saya akui kerana peluang berlakon dalam drama ini diberikan oleh Ahmad Idham, sebelum ini saya tidak pernah menerima tawaran daripada sesiapapun.

“Saya seronok berlakon kerana berasa seperti sebuah keluarga. Keadaan itu amat berbeza sekali dengan nyanyian, bila menyanyi kita ditatang bagai minyak yang penuh. Tapi bila berlakon kebanyakan benda yang dilakukan di lokasi dibuat bersama-sama dan kita tidak berasakan diri kita istimewa,” kata Dina yang turut menyanyikan soundtrack Rempit vs Impak Maksima.

Dina membawakan watak Erin, rakan baik kepada Farhana. Erin seorang yang ceria, kelam kabut, kelakar dan manja. Walaupun bersikap gila-gila, dia mengajar Farhana erti tanggungjawab dan menjadi penyokong kepada watak Farhana.

Selain Zayana dan Dina, Rempit vs Impak Maksima turut ditangani pelakon lain iaitu Iqram Dinzly (Ijal), Zed Zaidi (Danial), Puteri Fatin Nasuha (Tina) dan Nas T (Bidin) serta ramai lagi.

Berita Harian