Archive | Ziana Zain RSS feed for this section

Penyertaan Album AIM16 Makin Merosot

30 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hemtro.com.my

Rap
JUMLAH album yang dipertandingkan untuk Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) semakin merosot apabila tahun ini hanya 50 penyertaan diterima.

Walaupun sebelum itu penyertaan dikatakan menggalakkan namun perkara itu hanya berlaku selepas beberapa kategori baru diwujudkan. AIM 16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8.30 malam.

Penganjur pertandingan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) menerima hampir 700 penyertaan membabitkan kategori baru iaitu Lagu Terbaik dalam setiap genre.

Perkembangan itu benar-benar membimbangkan beberapa pertubuhan yang menjaga kepentingan industri muzik tempatan antaranya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) mahupun Akademi sendiri.

Sewaktu sidang akhbar mengumumkan calon lima terbaik AIM16, berlangsung di Concord Hotel baru-baru ini, Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar menjelaskan, walaupun banyak penyertaan diterima tetapi mutu kebanyakan lagu dihantar berada di tahap rendah. Tambahan pula piawaian ditetapkan Akademi sudah semakin meningkat kerana ia sudah 15 kali diadakan.

“Perkembangan ini amat menakutkan, dan beberapa pertubuhan dan persatuan bimbang sekiranya perkara ini berlanjutan kita sudah tidak akan ada lagi industri dalam bidang muzik.

“Waktu sama kami faham sebagai penggiat kebanyakan syarikat rakaman, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, jurutera muzik mahupun penyanyi sendiri tidak berani hendak melabur dalam jumlah besar apabila menghasilkan album.

“Sekarang ini proses untuk menghasilkan sebuah album termasuk promosi dan pemasaran memerlukan modal mencecah RM150,000, tetapi pulangan yang diterima hanyalah sekitar RM40,000 hingga RM60,000.

“Penggiat bertuah kerana sekarang mereka masih boleh bergantung kepada pasaran dalam bentuk digital iaitu muat turun muzik ke telefon bimbit memandangkan jualan dalam bentuk fizikal iaitu cakera padat dan album sangat perlahan dan tidak membantu.

“Bagi memastikan kerugian ditanggung tidak besar, kebanyakan penggiat menggunakan kos sangat rendah untuk menghasilkan lagu dan ia secara tidak langsung mempengaruhi mutu album dihasilkan. Sekiranya perkara ini berterusan akhirnya industri muzik tempatan akan mati,” katanya.

 

 

Bagi menangani perkara itu, Aziz secara peribadi berasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan membantu industri dengan menyediakan dana khas bagi membantu para penggiat dalam berkarya.

“Seperti juga dalam bidang lain iaitu perdagangan, keusahawanan dan pertanian industri muzik juga perlu modal rangsangan untuk menggerakkannya, oleh itu saya amat mengharapkan apa yang saya ketengahkan ini akan mendapat perhatian.

“Permohonan membabitkan dana ini akan dilaksanakan bersama semua persatuan yang bernaung dibawah industri muzik. Mekanisma belum ditetapkan tetapi andai ia diberikan, dana ini boleh disalurkan kepada Majlis Muzik Malaysia (MMM) sebagai badan induk.

“Dana ini boleh digunakan para penggiat yang mahu menghasilkan album dan kita mungkin tidak memberikan sepenuhnya sebaliknya ia bergantung kepada keperluan penggiat itu sendiri.

“Modal untuk menghasilkan album mungkin harus dikeluarkan sendiri oleh penyanyi ataupun penerbit dan dana pula digunakan untuk memasarkan atau mempromosikan karya dihasilkan,” katanya.

Di majlis pengumuman calon lima terbaik AIM16, kumpulan Estranged yang sebelum ini mengungguli Anugerah Juara Lagu tahun lalu menerusi single mereka Itu Kamu mendominasi pencalonan dalam lapan kategori.

Kumpulan ini menerima pencalonan daripada album Inggeris dihasilkan Remain Unknown. Membanggakan apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album itu turut dicalonkan dalam Lagu Rock Terbaik.

Datuk Siti Nurhaliza pula yang mempertandingkan album berkonsepkan etnik kreatif dan tradisional Lentera Timur menerima tujuh pencalonan, dan lagu pop dendangannya menjadi runut bunyi drama Spa-Q 2 Pada Cintanya turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik terbaik.

Timbul kekeliruan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik apabila lagu dendangan kumpulan Pop Shuvit, Marabahaya dipertandingkan sekali lagi atas alasan dialih bahasa. Begitu juga dengan Vokal Terbaik Lelaki/Wanita apabila ada yang dicalonkan lebih daripada satu lagu.

Menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul Ketua Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Jennifer Thomson berkata Marabahaya selain dialih bahasa, rakamannya juga baru terutama membabitkan susunan muziknya.

“Perkara ini sudah saya jelaskan kepada juri sewaktu penilaian dilakukan. Keputusan sama ada ia layak atau tidak mereka sendiri yang harus memutuskannya.

“Walaupun ada yang menolak Marabahaya dipertandingkan tetapi waktu sama masih ada juri memberikan markah kepada lagu itu. Secara tidak langsung apabila diaudit ia memiliki markah tinggi dan dicalonkan.

“Mengenai ada artis mendominasi kategori vokal apabila ia mempertandingkan single, kami akui perkara ini. Ini kali pertama ia dilakukan dan perlaksanaannya sudah tentu akan ada kelemahan. Kami akan memperbaikinya pada tahun akan datang.

“Pihak Akademi sendiri sudah nampak perkara seperti ini akan berlaku apabila single dipertandingkan dalam vokal. Kami sudah nyatakan kepada wakil syarikat rakaman sendiri agar menghantar satu lagu untuk kategori itu tetapi ada antaranya berkeras mahu menghantar sepuluh lagu terdapat dalam album dihasilkan artis mereka,” katanya.

Berikut adalah senarai penuh pencalonan AIM16.

Artis Baru Terbaik
1) Hujan
2) Joe Flizzow
3) Malique
4) Meet Uncle Hussain
5) Suki

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki)
1) Aizat – Lagu Kita
2) Bob AF2 – Cinta Terhalang
3) Reshmonu – Doa Untuk Dia
4) Reshmonu – Sayu
5) Ritan (Deja Voodoo Spells) – Rock ‘N’ Roll

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Perempuan)
1) Ayu – Hanya Di Mercu2) Dina – Sejauh Ini
3) Shila – Memori Tercipta
4) Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
5) Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album
1) AJAI dan Marsha – Sayang
2) ALL One – Bilal bin Rabah
3) Pop Shuvit – Marabahaya
4) Rabbani – Bila Nur Melimpah Di Hati
5) Raihan – Assubhu Bada

Kulit Album Terbaik
1) Hawa – Nikki
2) President – Joe Flizzow
3) Transit – Altered Frequency
4) Satu – Ferhad
5) Remain Unknown – Estranged

Rakaman Album Terbaik
1) Remain Unknown – Estranged
2) Finally/Akhirnya – Suki
3) Satu – Ferhad
4) Adam 3 – Adam
5) Harapan – Reshmonu

VIDEO MUZIK TERBAIK
1) Hanya Di Mercu – Ayu
2) Sampai Syurga – Faizal Tahir
3) Mati Hidup Kembali – Butterfingers
4) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
5) Oh Anok Anok – Reshmonu

Album Pop Etnik Terbaik
1) Khazanah Pujangga – Syura
2) Lentera Timur – Siti Nurhaliza
3) Selagi Ada Rindu – Shafie Ahmad
4) Zapin Suri – Haziq

Lagu Pop Etnik Terbaik
1) Di Kayangan Kita – Siti Nurhaliza
2) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
3) Dirgahayu – Ramlah Ram
4) Nafas Cahaya – Misha Omar
5) Zapin Suri – Haziq

Album Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Istimewa Tiada Dua – Nice
3) Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johani
4) Nostalgia Nadamurni – Rabbani
5) Setia – Wildan

Lagu Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Bila Nur Melimpah Di Hati – Rabbani
3) Kemuliaan Al-Quran – In Team
4) Serulah Namanya – Mawi
5) Teman Hakiki – Mawi

Album Rock Terbaik
1) Bongkar – Kristal
2) Hujan – Hujan
3) Keamanan – Nrocinu
4) Kembali – Butterfingers
5) Modern Minimals Glamour – The Times

Lagu Rock Terbaik
1) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
2) Aurora – Estranged
3) Bila Aku Sudah Tiada – Hujan
4) Dugaannya – Hujan
5) Yang Pernah – Estranged

Album Pop Terbaik
1) Alyah – Alyah
2) Arus Qudus – Yassin
3) Harapan – Reshmonu
4) Misha Omar – Misha Omar
5) Percubaan Pertama – Aizat

Lagu Pop Terbaik
1) Cinta Adam dan Hawa – Misha Omar
2) Dingin – Ziana Zain
3) Ketentuan – Ramlah Ram
4) Lagu Kita – Aizat
5) Sampai Di Sini – Misha Omar

Lagu Hip Hop Terbaik
1) Bergerak – Joe Flizzow
2) Isabella – Joe Flizzow
3) Mengapa Harus Bercinta – Jow Flizzow
4) Mentera Beradu – Malique feat. M.Nasir
5) Ok – Malique feat. Cat Farish

Album Inggeris Terbaik
1) Dark Sun Big Rain – Karen Nunis Blackstone
2) President – Joe Flizzow
3) Remain Unknown – Estranged
4) Take Five With Juwita Suwito at Avanti – Juwita Suwito
5) Tapestry Of Life – Shal Sagan

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
1) All Around My World – Joe Flizzow
2) Dances Of The Spirit – Estranged
3) In No Time – Estranged
4) KL Streets – Malique Feat. Lah
5) Marabahaya – Pop Shuvit

SUSUNAN MUZIK DALAM LAGU
1) Pada Cintanya – Siti Nurhaliza
2) Tiada Maaf – Daniel Lee
3) Aurora – Estranged
4) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
5) Bukan Mimpi – Farhan.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Abby Banyak Terima Tawaran Jadi Ibu

30 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

BAGAIKAN hukuman mati kepada artis wanita yang sudah berkahwin dan beranak-pinak apabila produser serta pengarah mula melambakkan mereka dengan watak ibu.

Walaupun artis wanita yang berumah tangga itu masih muda belia dengan bentuk tubuh menggiurkan, tetapi peluang untuk mereka membawakan watak seperti zaman anak dulu agak tipis.

Ada artis sanggup menjadikan rakan mereka sendiri iaitu Ziana Zain sebagai idola kerana kejayaan penyanyi kepada dua cahaya mata itu mengekalkan bentuk tubuhnya.

Menceburi dunia seni mereka perlu bijak ‘memasarkan’ diri sendiri.

Malang juga bagi sesetengah artis wanita yang berkahwin apabila ‘saham’ mereka merudum sedangkan perkahwinan itu satu ibadah.

Kesan daripada sikap pilih kasih industri hiburan kepada artis wanita yang sudah berkeluarga, ada yang sanggup merahsiakan perkahwinan mereka.

Yang sudah berkahwin pun mengaku bujang. Lantaran itu, mereka sanggup tidak mempunyai anak bimbang rahsia terbongkar dan untuk memastikan kerjaya seni mereka tidak terjejas.

Abby Abadi atau Arbaeyah Abdul Manan, 31, turut terkena tempiasnya apabila semakin banyak tawaran berlakon sebagai ibu diberikan kepadanya.

Memikirkan persada lakonan tanah air kecil saja, Abby terima walaupun ada sesetengah drama lakonannya, watak pelakon lelaki yang menjadi anak hampir sebayanya.

Terbaru dia pegang peranan ibu dalam berepisod, Hikayat Putera Shazlan, Julia Juli, Yusuff dan Ceria Ceria Cikgu Ribena.

 

 

“Tidak jadi masalah kepada saya pegang peranan ibu dan saya berusaha melakonkan watak itu dengan baik. Malah, kerana menjadi ibulah saya dilantik menjadi duta Ribena yang memaparkan keluarga sihat.

“Cuma saya berharap jangan terlalu hadkan watak artis berkahwin dalam drama atau filem. Jangan jadikan status isteri yang disandang mereka penghalang kepada bakat seni mereka.

“Setiap manusia perlu hidup berpasangan dan disayangi. Lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan perkara yang tidak baik di mata masyarakat dan agama. Ada artis yang lebih rajin bekerja dan kreatif selepas berkahwin kerana mereka ada tanggungjawab mengukuhkan ekonomi rumah tangga.

“Saya gembira dengan status saya sebagai ibu kepada tiga anak. Saya perlukan fikirkan hari tua dan anak-anaklah harapan untuk menjaga saya kelak.

“Saya tengok rakan artis yang sudah berumah tangga tidak pernah mengabaikan penampilan mereka, malah ada yang tampil lebih cantik dan bergaya.

“Nama pun lakonan. Jadi jangan kerana dalam realiti kehidupan mereka adalah isteri dan ibu, maka dalam drama atau filem pun mereka diberi watak ibu. Misalnya saya sendiri sanggup menahan selera untuk mendapatkan berat badan idaman. Jangan matikan bakat dan minat pelakon hanya kerana dia sudah berkeluarga.

“Walaupun mungkin ada artis wanita yang belum berkahwin atau menyembunyikan status perkahwinan mereka, lumrah alam mereka akan tua juga. Jadi ketika itu, mereka tidak lagi sesuai pegang peranan gadis sunti.

“Kita memang tidak boleh menahan usia daripada terus meningkat, tetapi juga bukan halangan untuk membawakan pelbagai watak. Jika pelakon macam saya diberi watak ibu, pelakon veteran hendak pergi ke mana,” katanya.

Pun begitu, selepas menjadi ibu tunggal, rezeki Abby melimpah ruah. Setiap hari jadual kerjanya padat. Dia juga bakal muncul dalam telefilem, Rajuk Si Nyanyuk dan Paku Di Dinding Hati. Membanggakan Abby, dalam Rajuk Si Nyanyuk dia menjadi teraju utama dan Paku Di Dinding Hati dia sebagai pelajar kolej.

“Saya gembira ada pengarah masih mempercayai saya untuk pegang watak utama dan pelajar kolej. Untuk menghayati watak pelajar kenalah pakai beg galas belakang. Tetapi bukan pula saya melakukan transformasi berlebihan kerana nanti nampak tidak natural pula.

“Dalam keadaan nyata pun, mereka yang bergelar datuk dan nenek masih ada yang belajar di universiti, jadi bukanlah sesuatu yang janggal apabila ibu anak tiga macam saya jadi pelajar kolej,” katanya.

Dalam pada itu Abby yang tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), kategori Pelakon TV Wanita Popular, dia bertuah kerana bakat lakonannya turut dihargai peminat di Singapura. Awal April ini dia akan berangkat ke Kota Singa itu memenuhi pelawaan majalah Manja untuk menjalani sesi fotografi menghiasi kulit majalah itu untuk keluaran Mei.

“Mereka menggelar saya Ratu Drama Malaysia. Maknanya saya ada peminat di sana. Penghargaan itu anugerah yang tidak ternilai buat saya walaupun tak ada trofi.

Kebanyakan drama Malaysia disiarkan di saluran televisyen Singapura. Banyak drama lakonan saya boleh ditonton di sana termasuk Gerak Khas dan Manjalara.

“Masyarakat di sana tahu perkembangan artis negara ini termasuk saya. Apapun yang berlaku ramai menyokong saya. Walaupun semakin dikenali ramai di Singapura tetapi saya tetap mahu mengukir kejayaan di tempat sendiri. Ada tawaran berlakon di sana tetapi kesuntukan waktu untuk menerimanya.

“Tahun ini saya lebih bersemangat untuk majukan kerjaya. Kalau boleh saya juga ingin meneroka pasaran lakonan di Indonesia. Sudah ada pihak yang menghantar profil saya ke sana.

“Jika ada yang kata mereka tidak perlukan anugerah popular seperti ABPBH2008 tetapi saya anggap diri ini terlalu bertuah kerana dapat berada dalam kelompok itu bertahun-tahun. Ia petanda baik peminat masih menerima saya,” katanya.

Ketabahan Abby sebagai tunggal juga menjadi contoh kepada wanita senasibnya. Lantaran itu dia ingin berkongsi suka dukanya dengan masyarakat menerusi seminar bersama Bengkel Mak Dara pada 25 dan 26 April ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Port Dickson.

“Saya bersedia berkongsi cerita dan pengalaman. Kita tidak boleh terlalu mengikut hati tambahan ada anak yang sangat memerlukan perhatian kita. InsyaAllah, apabila kita bersabar pasti ada jalan keluar,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Fiesta Fesyen KL: Fabrik Mewah Cabar Minda

25 Mar

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my

RIZMAN (kanan) dan Wan Ruzaini mendapatkan pandangan Pengarah Eksekutif Euro Moda, Jasleen Kaur, bagi memilih kain yang sesuai untuk digabungkan dengan fabrik songket.

Rizman Ruzaini curah kreativiti hasilkan rekaan berasaskan perincian songket

PELUANG mengadun ilham dengan fabrik tenun seperti songket ternyata menyeronokkan bagi dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang membangunkan jenama Rizman Ruzaini sebagai rumah fesyen yang bersedia memenuhi cita rasa pelanggan dalam menata gaya serta penampilan.

Meskipun sudah lama membabitkan diri dalam industri yang dianggap glamor itu, kedua-duanya tidak pernah memandang remeh mengenai tanggungjawab berkaitan rekaan busana kerana mereka sebetulnya ingin memberikan yang terbaik kepada pelanggan melalui kepelbagaian fabrik yang ada di pasaran tempatan.

Menyentuh mengenai fabrik, keterujaan kedua-duanya jelas kerana mereka adalah antara 10 pereka fesyen yang terbabit dengan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian (BH) pada 6 dan 7 April di pusat beli-belah One Utama, bandar Utama dan Hotel One World, Petaling Jaya.

FFKL yang mengangkat martabat fabrik tenun dan songket sebagai teras rekaan ternyata menjadi gelanggang hebat bagi kedua-duanya memerah ilham untuk menghasilkan busana indah selaras dengan kehebatan fabrik tenun yang diangkat dalam acara dimaksudkan.

“Kami gembira kerana berpeluang memeriahkan dunia fesyen melalui FFKL anjuran BHSB. Walaupun, sudah ada pengalaman menghasilkan busana, rekaan kami kali ini amat bermakna kerana adanya elemen songket yang diketahui umum berharga dan tinggi nilainya.


Rizman (kiri) dan Ruzaini.

“Justeru, kami cuba menghasilkan rekaan yang bertepatan dengan motif BHSB memartabatkan songket ke persada dunia sekali gus memperluaskan penguasaan songket di kalangan penggiat industri fesyen luar negara,” katanya ketika ditemui di gedung Euro Moda yang juga penaja fabrik untuk FFKL, baru-baru ini.

Rizman dan Wan Ruzaini yang ternyata tidak sabar menyiapkan rekaan berkata, konsep ‘less is more’ yang sering diperkatakan dalam istilah rekaan fesyen turut menjadi panduan untuk mereka memanfaatkan peluang keemasan mencipta busana untuk artis yang akan tampil membuat peragaan di FFKL.

“Untuk rekaan tempatan, mungkin tidak menjadi masalah kalau diselitkan dengan elemen sarat perhiasan, tetapi memandangkan matlamat penganjuran antara lain memartabatkan fabrik songket ke persada dunia melalui acara peragaan, kami berpendapat lebih baik memfokuskan rekaan ke arah cita rasa antarabangsa,” katanya.

Rizman dan Wan Ruzaini yang mengambil inisiatif menyediakan busana untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Sariyanti dan Siti Saerah berazam menampilkan persalinan yang boleh menyerlahkan keistimewaan pemakainya selain pada masa sama mengetengahkan keunikan fabrik tenun yang terus diperakui mutu dan nilainya.

“Songket sangat ekslusif seperti kehadirannya yang bermula di Terengganu dan oleh itu,

kami turut memanfaatkan ilham kreativiti ikatan samping yang lazim dipakai orang Melayu dalam penataan busana yang kami hasilkan,” katanya.

Bagi dua pereka itu, dunia fesyen tiada had dan sempadan, lebih-lebih lagi unsur kesenian budaya Melayu sangat jelas dalam kebanyakan perincian membabitkan pemakaian tengkolok, samping, sarung dan persalinan yang masing-masing mempunyai cara tertentu menggayakannya.

“Kami tidak perlu memandang jauh untuk mendapatkan ilham bagi mereka busana untuk FFKL kerana dunia Melayu sendiri kaya dengan falsafah penciptaan yang sangat indah dan penuh misteri.

“Melalui penampilan ini, diharap usaha kami untuk sama-sama membawa songket ke arena yang lebih luas sedikit sebanyak mencetus inspirasi positif kepada penggiat industri fesyen,” katanya.

Sementara itu, antara penenun yang terbabit dalam FFKL ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI dan Nur Atikah Songket.

Bagi memeriahkan FFKL, beberapa jenama terkenal tampil menaja acara berprestij itu antaranya Euro Moda yang menaja fabrik, Secret untuk solekan dan dandanan artis serta peragawati, manakala R&R Craft dan Fruitale, penaja cenderamata.

INFO: Rizaman Ruzani

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian: Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall, peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003, penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura dan terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Berita Harian

Adila Tidak Malu Apabila Tersingkir

23 Mar

>>Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BERGELAR penyanyi dengan memiliki dua album dan satu lagu single tidak memberi kelebihan kepada Nas Adila Mohd Dan, 23, untuk terus kekal dalam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) apabila dia menjadi pelajar pertama tersingkir daripada program realiti itu, kelmarin.

Menyanyikan dua lagu yang digubah dalam bentuk medley, Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), dia dipuji juri, Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim dan Datuk Yusni Hamid namun Adila gagal menambat hati penonton yang menentukan kedudukan peserta di hujung jari mereka. Undian menerusi SMS memungkinkan apa saja keputusan yang bakal keluar.

Tidak kesal terkeluar awal selepas hanya dua minggu sempat berguru dengan tenaga pengajar AF7, Syafizawati Sharif, Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar, Ida Nerina, A Aris Kadir, Acis dan Datin Seri Tiara Jacquelina selaku pengetua, Adila menyifatkan walaupun masanya di AF7 terlalu singkat, ia tetap pengalaman menarik.

“Walaupun sudah bergelar penyanyi, saya tidak malu tersingkir awal paling utama saya dapat menimba pengalaman dalam akademi. Pengalaman itu tidak boleh dijual beli.

“Dengan pendedahan selama dua minggu di akademi semakin ramai yang tahu bakat saya. Tiada kekesalan di hati kerana daripada 9,000 penyertaan saya terpilih ke akademi.

“Mungkin faktor penyingkiran awal kerana sikap pendiam saya dan tiada ‘drama’ di akademi membuatkan pengundi kurang memberi perhatian. Saya menjadi diri saya sendiri. Penonton agaknya mahukan pelajar yang agresif seperti Aril (Khairil Azam Pilus).

“Perancangan karier saya selepas ini terpulang kepada Astro. Saya akan ikut jadual yang ditetapkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, konsert mingguan kedua AF7 melakukan transformi dengan memberi dua lagu kepada pelajar yang digubah dalam bentuk medley. Perubahan ini juga barangkali digunakan untuk menutup kelemahan pelajar yang begitu ketara pada konsert pertama dua minggu lalu. Tidak banyak perubahan pada pelajar cuma ada seorang dua yang boleh dipuji seperti Claudia, 24, (Claudia Fay Geres) dan Hafiz, 19, (Mohd Hafiz Mohd Suip).

Persembahan tiga pelajar pertama, Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, dengan lagunya Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima), Rubisa Tiasin, 23, menerusi lagi Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud, 25, yang menyanyikan lagu Bila Nak Saksi (Spider), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain), boleh memikat penonton dan juri. Bagaimanapun, nyanyian daripada pelajar selepas itu bagaikan tiada hala tuju.

Pun begitu persembahan dalam bentuk medley itu percubaan yang baik untuk menguji kecekapan pelajar menukar rentak, gaya dan mood nyanyian tetapi rata-ratanya perlu berusaha lebih kuat. Bukan hendak membuat tuduhan terburu-buru tetapi mungkin populariti yang sedia menanti di luar sana menjadikan mereka kurang berusaha.

 

 

Alasan diberikan baru dua minggu di akademi, tetapi jika mereka benar ingin menjadi penyanyi yang berilmu dan berwawasan jangan salahkan tempoh waktu serta jangan terlalu cepat terbuai dengan keindahan dunia hiburan. Usah terlalu mengambil mudah kerana bekas pelajar AF terdahulu sudah melalui pahit getirnya menjadi anak seni.

Menurut Tiara, setiap minggu fakulti AF7 akan menyediakan konsep persembahan berbeza untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar.

“Minggu ini konsep persembahan berbentuk medley untuk memberi peluang kepada setiap pelajar membawakan lagu berentak perlahan dan rancak. Ia cabaran besar kepada pelajar dan tenaga pengajar kerana perlu membuat persediaan 28 lagu dalam masa beberapa hari saja.

“Saya dapat rasakan pelajar bekerja kuat dan Adila antara yang menunjukkan peningkatan paling bagus. Kebanyakan pelajar masih baru dan tiada kefahaman mengenai lagu. Ini semua satu proses pembelajaran, tetapi mereka ada peningkatan. Dalam masa singkat mereka kena belajar semua perkara.

“Di akademi kami mahu melahirkan pelajar serba boleh, menari, menyanyi dan berlakon kerana untuk menjadi penghibur semua elemen itu perlu ada pada mereka. Minggu ini kami sepakat untuk memfokuskan kekurangan setiap pelajar untuk memantapkan lagi persembahan mereka.

‘Pelajar yang ada masalah vokal di samping mengikuti kelas sedia ada, perlu mengikuti kelas tambahan untuk vokal,” katanya.

Atas nama transformasi juga, pelajar mempersembahkan lagu Menuju Puncak pada awal persembahan yang sekali gus mengembalikan semula identiti AF.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Dendang Secara Medley

21 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PERSEMBAHAN konsert minggu pertama peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) minggu lalu mendapat kritikan negatif kerana kurang memberangsangkan.

Bagi menarik kembali kepercayaan penonton terhadap rancangan yang disiarkan di Astro Ria itu, pihak produksi cuba memberikan kelainan dengan peserta kehendaki mendendangkan dua lagu secara medley di konsert kedua yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, 9 malam ini.

Pelajar lelaki yang mendapat pujian kerana mempersembahkan Lagu Kita nyanyian asal Aizat dengan baik minggu lalu Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) diberikan cabaran mendendangkan Cinta Ini Membunuhku (D-Masiv) dan Toyol (Allahyarham Sudirman Arshad).

Sementara peserta lelaki lain seperti Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) menyanyikan lagu Lelaki ini (Anuar Zain) dan Fikirlah (Aizat), Khairil Azam Pilus (Aril), Benar-Benar (Adam) dan Robot (Adam) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud) menyanyikan lagu asal Spider, Bila Nak Saksi juga Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein).

Dua lagi peserta lelaki, Mohd Rashidi Mohamad Isa (Sidi) menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang (Imran Ajmain) dan Kukoo (Ferhad), Ahmad Sobri Hasmuni, Akan Tiba (Aliff) dan Ada Untukmu (Nubhan) juga Afiq Hakim Ahmad (Akim) menyanyikan Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima).

Pelajar wanita turut diberikan lagu yang bakal mencabar kemampuan vokal dan ada antara mereka menyanyikan lagu dipopularkan penyanyi lelaki seperti Siti Aishah Bujang (Aishah) dengan Faizal Tahir (Coba) dan Gila oleh Mila sementara Zuzafrini Zulkifli (Rini) akan menyanyikan lagu Kiblatku oleh Hazami dan Aku Sindarela dipopularkan Amylea.

Peserta wanita lain seperti Rubisa Tiasin (Rubisa) menyanyikan Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy), Claudia Fay Geres (Claudia) bakal menyanyikan lagu kedua-duanya dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza, Ku Mahu dan Wanita.

Peserta yang pernah menghasilkan album Nas Adila Mohd Dan menyanyikan lagu Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), Nurfazelah Mohd Tahil (Zizi), Sembilu (Ella) dan Wonder Women (Mulan Jameela) juga Ismaliza Ismail mendendangkan lagu Jat Da Da Da (Dia Fadilla) dan Hello (Farah Asyikin).

Selepas ditiadakan minggu lalu, untuk konsert minggu kedua penonton setia akan dapat menyaksikan persembahan Menuju Puncak.

Bagi memberikan sedikit kelainan ia akan diadakan pada permulaan konsert.

 

 

Minggu ini juga pastinya penyingkiran pertama akan dilakukan dan Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie bertindak selaku pengkritik tetap.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Dengarnya…: Empat Calon ABPBH 2008 Berbadan Dua

12 Mar

Oleh Normah Becok

RITA RUDAINI antara artis yang kini sedang hamil anak sulung.

TAHUN ini Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menyaksikan beberapa selebriti tanah air yang tercalon dalam beberapa kategori sedang berbadan dua. Sebelum ini, Cik Normah ada menulis mengenai finalis ABPBH 2008, Erra Fazira, Aleya dan Dynas yang mengandung.

Erra kini sedang menghitung hari untuk melahirkan anak dijangka bayi perempuan pada 25 Mac ini. Leya lambat lagi rasanya, Dynas pula dijangka melahirkan bayi perempuan juga pada 4 Julai ini.

Tak silap Cik Normah, Dynas dan Leya kemungkinan besar akan tetap hadir pada malam kemuncak ABPBH 2008 pada 12 April nanti walaupun terpaksa berdepan dengan kedinginan suhu di Genting Highlands. Dynas akan melaram baju rekaan Nik Erwan Roseli, manakala Leya dan suaminya menggunakan khidmat Hazwani. Nik Erwan dan Hazwani juga antara pereka yang terbabit dalam Anugerah Pereka Popular pada tahun ini.

Asyik dok sebut Erra, Dynas dan Leya, Cik Normah terlupa pula kepada Rita Rudaini yang juga sedang berbadan dua dan tersenarai sebagai Pelakon TV Wanita Popular. Maafkan Cik Normah ye Rita, terlupa pula nama you. Tapi apa pun, Cik Normah ucapkan selamat berjaya kepada semua calon dalam setiap kategori ABPBH 2008.

Sebelum terlupa, Cik Normah ucapkan tahniah kepada pelakon Nadia Mustafar yang baru saja melahirkan anak lelaki pada 3 Mac lalu. Bayi seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Pantai, Cheras. Bayi itu adalah hasil perkongsian hidupnya dengan Hazil Izham.

Ramai lagi selebriti tempatan yang disahkan berbadan dua. Ziana Zain pun Cik Normah dapat tahu bakal mendapat anak kembar seperti Aleya. Rezeki berganda tu dan Cik Normah tumpang seronok. Liza Hanim, Sasha Saidin, Melissa Saila dan Balkish Semundur Khan (Kiss) pun sedang mengusung perut.

Rosma isteri kepada Khai pun mengandung empat bulan dan semasa terbabit dalam siri jelajah ABPBH 2008 di Pasir Gudang minggu lalu, dia masih suka bergaya memakai kasut platform. Jaga-jaga dik, jangan sampai membahayakan kandungan cukuplah. Akhir kata, Cik Normah juga yang tak ada rezeki untuk berbadan dua. Reda sajalah.

Berita Harian

Bintang Idola Berita Harian: Tuah Gadis Tinggi Lampai

11 Mar

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin | Gambar: Ihsan Persatuan Akademi Industri dan Muzik

PESERTA Bintang Idola Berita Harian bergambar kenangan dengan sekretariat ABPBH 2008 selepas pertandingan di Pasir Gudang.

Farlyana Mohamad yang pernah menganggotai kumpulan South Trio dinobatkan sebagai juara di Pasir Gudang

PENGALAMAN yang ditimba dari program realiti Gang Starz 2 tahun lalu barangkali memberi sedikit kelebihan kepada gadis berusia 16 tahun, Farlyana Mohamad untuk mempamerkan kekuatannya apabila namanya diangkat sebagai johan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) edisi Pasir Gudang, Ahad lalu.

Gadis yang pernah menganggotai kumpulan South Trio itu memukau juri dengan kelantangan vokalnya tatkala mendendangkan lagu milik Agnes Monica, Matahariku. Kemenangan itu sekali gus melayakkan Farlyana membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500, barangan kemas tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM1,000 berserta sijil.

Gadis yang menetap di Bandar Sri Alam itu berkata, dia memilih lagu milik penyanyi dari seberang itu untuk menonjolkan kekuatan vokalnya di samping populariti lagu berkenaan.

Farlyana yang mula mengikuti pertandingan nyanyian sejak berusia 4 tahun menyertai BIBH atas saranan ibunya. Biarpun pernah menimba pengalaman lebih besar di kaca televisyen, bagi Farlyana bukanlah sesuatu yang memalukan menyertai pertandingan seperti BIBH.

Sebaliknya dia menganggap pertandingan ini cukup istimewa kerana memberi peluang kepada mereka yang bergelar juara antara juara untuk beraksi di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang cukup berprestij.


Farlyana Mohamad

“Saya tidak akan jemu menyertai pertandingan nyanyian sehinggalah saya mencapai impian yang dimahukan. Saya menyertai BIBH tentulah dengan harapan untuk menang tetapi saya tidak berasakan diri saya istimewa atau mempunyai kelebihan daripada rakan-rakan lain hanya kerana pernah menyertai Gang Starz.

“Bagi saya pengalaman kami semua sama, kekuatan vokal kami juga setara. Saya masih lagi perlu banyak belajar. Kritikan yang juri berikan tadi saya terima dengan positif dan akan cuba saya perbaiki lagi,” katanya yang akan berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi pertandingan antara juara yang bakal diadakan 5 April depan di Klang Parade.

Pertandingan BIBH yang diadakan di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, lokasi sama siri jelajah ABPBH 2008 diadakan itu menerima sebanyak 75 penyertaan. Pertandingan peringkat akhirnya diadili oleh Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah; wartawan murai.com.my, Haswari Ali dan pemain gitar kumpulan Sweet Charity, Rosli Mohalim.

Haswari yang ditemui berkata, peserta Pasir Gudang kurang kepelbagaian, namun mereka mempunyai kelebihan dari sudut vokal.

“Peserta di Pasir Gudang kurang kepelbagaian mungkin disebabkan ramai sudah terdedah kepada uji bakat program realiti dan mereka lebih berminat menyertai program sedemikian. Bagaimanapun menilai dari sudut vokal, kebanyakan daripada mereka memiliki vokal yang baik,” katanya.

Pemenang tempat kedua yang juga jatuh kepada gadis remaja, Sharifah Shahira Syed Abdul Malik, 15, yang bersekolah di Taman Tun Aminah, Skudai berkata, dia menyertai pertandingan ini atas dorongan rakan-rakan sekolah yang mengetahui mengenai BIBH.

Mendendangkan lagu milik penyanyi Ziana Zain, Bersama Akhirnya, gadis ini berkata dia tidak memandang nilai hadiah yang ditawarkan sebaliknya hanya mahu menunjukkan bakatnya kepada orang ramai.

“Saya tidak sangka boleh mendapat tempat kedua daripada 75 orang yang menyertai pertandingan ini. Saya menyertai pertandingan ini hanyalah sekadar untuk melatih diri. Namun saya belajar dari kesilapan dan akan cuba menyanyikan lagu lain pada masa hadapan,” katanya yang mula menyanyi sejak usia 6 tahun.

Dengan kemenangan itu, Sharifah Shahira membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 300 berserta sijil dan hadiah lain.

Kerani di Taman Teknologi Malaysia, Muhammad Irwan Othman, 24, tidak menyangka kepulangannya ke Johor untuk menjenguk isteri dan dua anak berusia 3 tahun dan anak keduanya 3 bulan membawa tuah kepadanya.

Katanya, dia terharu dengan dorongan isterinya dan tanpa pengetahuannya, isterinya terlebih dulu sudah mengumpul 10 keratan logo Berita Harian yang menjadi syarat untuk penyertaan.

“Sebenarnya pada pertandingan akhir ini keyakinan diri saya kurang kerana tidak berapa sihat. Saya tidak sangka lagu Harapan milik Fazli Zainal yang sering saya bawakan sebelum ini dalam mana-mana pertandingan membawa rezeki kepada saya,” katanya yang membawa pulang wang tunai bernilai RM 200.

Hadiah kepada peserta pertandingan akhir disampaikan oleh Pengerusi Jelajah ABPBH 2008, Shamsaini Salim.

Berita Harian