Archive | Zuliana Aziz RSS feed for this section

Naga Chini Lakonan Ako Mustapha, Jehan Miskin Di Istana Budaya

15 May

Oleh: ANI AWANG

BARISAN artis yang terlibat menjayakan bangsawan Naga Chini di Istana Budaya dari 6 hingga 13 Jun ini.

ISTANA Budaya Kuala Lumpur bakal meneruskan kesinambungan menjayakan pementasan bangsawan. Kali ini yang dipersembahkan ialah bangsawan Naga Chini yang akan berlangsung pada 6 hingga 13 Jun ini.

Pementasan ini menggabungkan pelakon teater dan artis bagi menarik khalayak agar menonton bangsawan.

Antara artis yang terpilih menjayakan Naga Chini ialah Ako Mustapha, Jehan Miskin, Serena Redzuawan, Zuliana Aziz, Juhara Ayob, Yalal Chin dan Ebby Yus.

Pada sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengarah persembahan bangsawan itu, Sufiat Mukri menjelaskan, pementasan Naga Chini menampilkan beberapa elemen bangsawan moden dengan menggunakan teknik multimedia.

Sufiat yang merupakan penulis skrip Naga Chini yakin elemen moden dan tradisional yang digabungkannya itu mampu menjadikan bangsawan sebagai seni yang boleh dikomersialkan.

Bagaimanapun, pementasan itu tidak akan lari daripada elemen tradisional, terutama kostum pelakonnya.

Selain itu, kata Sufiat, dia juga mempertaruhkan lakonan mantap oleh para artis yang terlibat.

Pementasan Naga Chini menelan kos produksi mencecah kira-kira RM400,000.

Tiket-tiket bagi pementasan itu dijual pada harga RM20, RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150. Orang ramai yang membeli tiket sebelum 25 Mei ini akan diberikan diskaun 30 peratus untuk tiket RM50, RM70, RM100 dan RM150.

Pembelian tiket boleh dibuat di Box Office Istana Budaya. Tempahan juga boleh dibuat melalui talian 03-4026 5558 atau secara online di http://www.ticket2u.biz.

Apa komen pelakon?

Ako Mustapha

“Saya rasa bertuah kerana dipilih untuk berlakon dalam teater ini. Malah diberikan watak yang penting sebagai Gempita Sakti. Sudah lima tahun saya tidak berteater,” kata Ako Mustapha.

Pelakon drama dan filem terkenal ini memulakan kerjaya dalam bidang lakonan melalui pentas teater pada tahun 1996. Antara teater lakonannya ialah Kuala Lumpur Knock Out, The Storyteller dan Mahkamah Keadilan.

Jehan Miskin

“Saya diberikan watak Orang Asli bernama Arus Putra. Memang berat watak ini tapi saya anggap itu sebagai cabaran,’’ kata Jehan Miskin yang pernah muncul dalam beberapa telemovie dan filem Qaisy dan Laila.

Powered by Utusan Malaysia