SETELAH beberapa lama fenomena tersebut tidak begitu diendahkan terutama di Hollywood, kini ramai terpaksa mengakui bahawa Bollywood memang unik dan cukup berpengaruh.
Bollywood hari ini bukan semata-mata berkaitan tentang filem atau lagu mereka, apa yang ketara fesyen dari situ turut meraih tempat dalam dunia fesyen antarabangsa.
Bollywood sememangnya sinonim dengan fesyen kerana trend yang datang daripada bintang filem mereka sentiasa meraih perhatian.
Di kala filem Bollywood seperti Lagaan dan Bend it like Beckham meraih perhatian di peringkat global, gaya pakaian mereka juga mengikut jejak itu.
Fabrik sari yang mewah perincian, aksesori bermotif India dan variasi warna terang yang ceria itu kelihatan menjadi inspirasi banyak pereka bertaraf antarabangsa.
Banyak pereka terkemuka dunia mula tertarik dengan elemen tersebut dan menjadikan ia sebagai inspirasi baru mereka untuk berkarya bagi koleksi terbaru.
Kemewahan warna yang sering kali dikaitkan dengan Bollywood itu jelasnya menjadi tarikan mereka. Warna-warna asas yang terang itu cukup menarik untuk gaya musim panas.
Gaya masala bercampur fantasi itu menawan ramai pereka fesyen daripada label terkemuka. Itu termasuk koleksi daripada John Galliano, Celine, Issey Miyake dan Pucci.
Kecenderungan pereka adalah untuk mencipta keceriaan daripada masala warna Bollywood yang mewah itu.
John Galliano sendiri tidak segan meminjam hampir keseluruhan gaya pakaian sari wanita India dalam koleksinya sebelum ini.
Begitu juga dengan aksesori yang meletup sepanjang musim baru ini turut terkena tempias Bollywood.
Daripada subang gantung, rantai leher, gelang tangan, cincin di jari kaki hingga ke rantai kaki mempunyai motif India.
Anda tentu masih ingat subang gantung yang digayakan oleh bintang Hollywood, Nicole Kidman pada Anugerah Golden Globe tahun lepas. Ia menjadi begitu hangat.
Subang bergaya etnik itu kembali digayakan oleh banyak celebrity sejak kebelakangan.
Subang etnik seperti itu kembali digayakan oleh Julia Roberts baru-baru ini. Walaupun ia kelihatan seperti sesuatu yang cukup tradisional tetapi ia juga bakal hangat untuk gaya musim baru ini.
Ia turut menghiasi majalah fesyen terkenal yang mengangkat fesyen itu sebagai koleksi musim bunga/panas yang baru.
Hari ini ketika dunia fesyen didominasi oleh pereka dari Milan, Paris dan New York, pereka dari India juga mula meraih perhatian.
Pereka fesyen dari India seperti Tarun Tahiliani, Wendell Rodrick, Manish Malhotra, Rocky S dan Netta Lulla meraih tempat tersendiri dalam arena fesyen antarabangsa.
Rekaan daripada Rohit Bal pernah digayakan oleh banyak celebrity dari Hollywood termasuk Pamela Anderson dan Anna Kournikova.
Suatu masa dulu, ramai yang beranggapan pakaian masyarakat India sebagai sesuatu yang kuno dan bersifat setempat.
Fesyen selalu dikaitkan dengan Barat lantas banyak gaya dari situ diimport ke seluruh dunia.
Sehingga hadir generasi yang berani untuk menampilkan identiti India yang unik dengan menggabungkan gaya moden dan tradisional.
Eksperimen mereka untuk memindahkan sesuatu yang bersifat begitu tradisi kepada kontemporari berjaya mencipta fantasi Oriental yang boleh diterima di seluruh dunia.
Fabrik dan gaya dari India berbaur dengan potongan Barat yang moden nyata melahirkan satu fesyen yang unik.
Mereka juga berjaya mereka kembali rekaan pakaian India itu menjadi lebih unik dan glamor.
Hari ini evolusi fesyen di India berjaya mengagumkan rumah fesyen terkemuka lain.
Utusan Malaysia