Archive | Asmah Laili RSS feed for this section

Cara Masak Laksa Sihat

6 Aug

BAGAIMANAKAH untuk memasak Laksa Nanas Kasturi dengan cara yang menyihatkan?

Jika ingin tahu, sila ke bengkel masakan sihat dan ceramah kesihatan pada Sabtu ini, 2.30 hingga 5 petang di Kelab Masyarakat Geylang Serai di Haig Road.

Bengkel ini anjuran Jawatankuasa Kegiatan Melayu Kelab Masyarakat Geylang Serai dengan kerjasama Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

Pakar masak yang akan memberikan demonstrasi masakan sihat ini ialah Cik Asmah Laili yang akan juga menunjukkan cara-cara memasak Ayam Ros Orange, Sos Orange Lime Basil dan Apple Ring Cake serta cara membuat teh epal.

Untuk keterangan lanjut dan pendaftaran sila telefon Cik Aisah Mohd Amin melalui nombor 6747-2919.

Cyberita

Yuk Kita 'Joli' Makan

28 Jul

PESTA MAKANAN SINGAPURA 2008
YUK KITA
‘JOLI’ MAKAN

By Zawiyah Salleh

LEBIH 100 pemimpin masyarakat – tidak kira kaum Cina, India dan Melayu – akan menyingsing tangan, bukan untuk bertumbuk tetapi makan mengikut cara orang Melayu.

Mereka akan bersila di atas tikar dan makan nasi ambeng menggunakan tangan serta menikmati hidangan seperti majlis kenduri kendara pada tahun- tahun ’60-an dan ’70-an.

Meskipun majlis kenduri dengan makan berhidang (satu hidang empat orang jemputan) kini seolah-olah telah hilang daripada pandangan mata, ia kini dihidupkan kembali di Taman Warisan Melayu, kali ini melibatkan semua kaum sesuai dengan konsep keharmonian kaum.

Majlis makan ala kenduri masyarakat Melayu ini akan diadakan di dewan Taman Warisan Melayu sempena Pesta Makanan Singapura ’08 esok dan lusa.

Cik Hira Osman, Eksekutif Program dan Perhubungan Awam Yayasan Taman Warisan, berkata:

‘Pihak kami mengundang lebih 100 pemimpin akar umbi di Kelab Masyarakat Kampong Glam dan para pemimpin akar umbi yang lain, mereka terdiri daripada pelbagai kaum yang akan mencuba nasi ambeng.

‘Kami percaya konsep masyarakat Melayu dulu yang makan nasi ambeng satu hidang untuk empat orang di majlis kenduri mungkin tidak ramai yang mengamalkan sekarang ini.

‘Oleh itu kami hidupkan kembali warisan Melayu ini agar kaum lain dapat melihat daripada dekat.’

Kira-kira 30 hidangan akan disediakan dengan kerjasama Restoran Tepak Sireh di majlis itu kelak. Ia dihidangkan di atas daun pisang dengan lauk-pauk yang membuka selera seperti serondeng, sayur urap, taufu dan tempe goreng.

Rasa Warisan yang berlangsung di Taman Warisan sempena Pesta Makanan Singapura 2008 (SFF) dianjurkan bersama Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Peter Knipp Holdings Pte Ltd. Ia akan dirasmikan pembukaannya oleh Anggota Parlimen Pasir Ris-Punggol, Dr Ahmad Mohd Magad, pada 11 pagi esok.

Pesta Makanan Singapura ’08 yang membuka tirainya pada 4 Julai lalu telah berlangsung di Lau Pa Sat dan akan berakhir pada Ahad ini. Acara di Taman Warisan merupakan antara 40 acara yang diadakan sepanjang bulan tersebut.

Ini termasuk acara A Wish For Every Wish di Suntec City, Seafood Weekend di Robertson Quay dan barbeku di Sentosa.

Pesta itu terbuka kepada orang ramai. Jadi, esok dan lusa adalah hari terbaik untuk anda membawa isteri/suami dan anak-anak bersiar-siar sambil menikmati pelbagai hidangan lazat di Taman Warisan Melayu.

Ini kerana lebih 10 buah gerai menjual pelbagai makanan Melayu terdapat di Taman Warisan Melayu.

Makanan Warisan lain yang anda boleh nikmati termasuk mi mydin (yang sering kali muncul pada bulan puasa), nasi ayam penyet, rendang dan sambal goreng, manakala kuih pula seperti puteri salat.

Bagi membasahkan tekak, anda boleh menikmati cendol dan air bandung.

Selain menikmati makanan anda juga berpeluang menyaksikan pertunjukan budaya dan pertandingan masakan.

Dari 5 petang hingga 7 malam pada hari yang sama anda turut berpeluang menyaksikan program Sepetang bersama Asmah Laili dan Cef Khaled (pemenang Cef Selebriti saluran Suria).

Pada Ahad pula, Aziza Ali, nama yang tidak asing lagi dalam bidang masakan kerana pembabitan beliau selama lebih 30 tahun dalam bidang itu, akan menyampaikan ceramah berjudul Beras.

Antara lain, beliau akan menyentuh tentang pelbagai jenis beras di Asia kerana ia merupakan makanan utama masyarakat rantau ini.

Beliau kemudian akan mengadakan demostrasi memasak iaitu nasi goreng yang mudah.

Aziza Ali sebelum ini pernah membuka restoran, kemudian terlibat pula sebagai konsultan makanan di dalam dan luar negeri seperti di Australia, New Zealand, Istanbul, Athens, London, Amerika Syarikat dan Canada.

Cyberita