Archive | Jamal Abdillah RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Persembahan Lima Bintang

24 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

USTAZ Harun (lima dari kiri) turut menyanyi bersama artis yang menjayakan konsert Rock Rohani.

Sambutan dingin khalayak terhadap Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani bukan satu kegagalan

SEKALIPUN mempertaruhkan nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Yantzen, Rahmat (Mega) dan ramai lagi, usaha penganjur Karya Hadani dalam mengangkat lagu kerohanian melalui Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani tidak dianggap gagal walaupun kurang mendapat sambutan penonton.

Memang sayang apabila persembahan yang membariskan penyanyi terbaik tanah air tidak mendapat sambutan penonton. Ini terbukti apabila jumlah penonton yang hadir bagaikan boleh dikira dengan jari. Ia mungkin juga gara-gara promosi atau publisiti yang kurang meluas bagi menguar-uarkan konsert itu.

Biarpun kurang mendapat sambutan, namun konsert yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, malam Sabtu lalu mempertaruhkan 32 lagu rock ketuhanan boleh dianggap sebagai persembahan lima bintang yang mempunyai kelasnya tersendiri.

Persembahan yang sepatutnya dimulakan jam 9 malam terpaksa ditangguhkan seketika bagi menunggu ruang bawah stadium dipenuhi penonton apabila nama besar yang membuat persembahan gagal menarik penonton hadir.

Konsert yang dimulakan dengan doa bersama iringan muzik, pencahayaan dan visual di kedua-dua belah pentas cukup meremangkan bulu roma penonton. Sebelum memulakan persembahan, beduk yang muncul dari bawah pentas dipalu Presiden Karya Hadani, Raja Iskandar Raja Ibrahim sebagai gimik pelancaran konsert. Ia juga bagaikan memukul beduk sebelum memulakan solat di zaman dulu kala.


AMY Search muncul di tengah-tengah penonton dengan gaya menarik.

Permainan laser yang memenuhi ruang dewan yang mampu memuatkan 7,000 penonton tetapi hanya dihadiri kurang daripada 1,000 penonton dimulakan dengan lagu Zat Ilahi yang dinyanyikan oleh Yantzen dan Azam (Akar). Permulaan lagu yang bersemangat dimainkan oleh 16 pemuzik termasuk tiga penyanyi latar menaikkan semangat penonton untuk lebih mencintai Islam sedalam-dalamnya.

Konsert yang diacarakan oleh Aidil Abd Ghafar dan Isma Halil Hamzah sentiasa mengingati penonton untuk menghayati setiap bait indah karya ketuhanan yang disampaikan bukan muzik rock yang dialunkan.

Persembahan diteruskan oleh Nazrey dengan lagu Wahai Kaum Muslimin, Razak Ahmad (Renung), Ramli Sarip (Pernyataan), Rahmat (Laksamana) dan Azam (Semangat).

Sesi kedua persembahan dimulakan dengan Mawi menerusi lagu Kian yang mengejutkan peminat menerusi penampilan rambut barunya. Mawi turut membawakan lagu terbarunya Allah Habeebi. Karya Hadani juga tidak ketinggalan mengundang kumpulan di bawah naungannya, Manik membuat persembahan menerusi tiga lagu.


JAMAL muncul menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Berkorban Apa Saja.

Sekali lagi dewan menerima tepukan gemuruh apabila Jamal Abdillah muncul dengan lagu Ghazal Untuk Rabiah yang cukup menyentuh perasaan. Penonton turut dikejutkan dengan kemunculan Amy Search di tengah-tengah penonton menerusi lagu Tiada Lagi.

Saat kemunculan Amy, penonton mula tidak senang duduk apabila saat itulah peluang bagi mereka untuk merakam gambar kenangan bersama Amy.

Malam itu penonton yang hadir disajikan dengan santapan rohani apabila kebanyakan lagu yang dinyanyikan mengajak kita mendekati agama melalui hiburan yang disampaikan.

Rata-rata lagu yang dinyanyikan malam itu adalah hasil karya pengasas Karya Hadani iaitu Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai Ustaz Harun.

Tema warna putih yang menggambarkan kesucian, setiap penyanyi dan pemuzik lebih menyerlahkan bahang semangat kepada penonton untuk terus berada di kerusi sehingga konsert Rock Rohani menutup tirai kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Inisiatif Karya Hadani yang mengajak penonton berjihad menerusi medium hiburan tetap akan diteruskan biarpun gagal menarik jumlah penonton yang ramai untuk kali pertama dianjurkan.

Terlebih awal lagi mereka sudah merancang untuk meneruskan usaha ini untuk menganjurkan konsert Pop Rohani dengan menampilkan Jamal Abdillah sebagai penyanyi utama dalam masa terdekat ini.

Berita Harian

Dengarnya…: Kesetiaan Jamal Abdillah

24 Apr


JAMAL masih setia bersama Warner Music sejak tiga dekad lalu.

CIK NORMAH cukup kagum dengan penyanyi hebat, Jamal Abdillah, yang nampaknya cukup setia dengan syarikat rakaman Warner Music, sejak kira-kira tiga dekad lalu. Pendek kata, sepanjang dia bergelar penghibur, selama itulah dia bernaung di bawah label antarabangsa terbabit.

Dengarnya, Jamal lebih senang berurusan dengan mereka yang sudah lama mengenalinya. Petugas di Warner pula, sememangnya cukup masak dan kenal hati budi penyanyi ini. Iyalah, kalau sudah 30 tahun bersama-sama, tetapi masih tidak faham-faham juga, apa ke ceritanya?

Khabarnya juga, kata Jamal, kalau dia berpindah ke syarikat rakaman baru, maknanya dia harus berdepan dengan mereka yang baru juga. Orang baru pula, pasti tidak berapa mengenali cita rasa atau budaya kerja penyanyi ini. Jadi, daripada mengambil risiko yang bukan-bukan, dia nekad untuk terus memperjuangkan seninya bersama syarikat berkenaan.

Tidak ramai penyanyi Malaysia yang mampu menyimpan kesetiaan terhadap syarikat rakaman mereka selama yang ditunjukkan oleh Jamal. Yalah, jangka hayat populariti artis lain pun belum tentu sepanjang kemasyhuran yang dicipta penghibur berusia 50 tahun ini. Sebahagiannya, baru keluar sebuah album, terus hilang entah ke mana.

Jamal pula, setiap kali naik ke pentas mengadakan persembahan, peminat masih terpaku menonton nyanyiannya. Suaranya tetap hebat seperti dulu. Biarlah apa juga yang terjadi kepada anak seni ini, dia nyata mampu untuk bangun kembali dan meneruskan karier muziknya dalam suasana lebih baik.

Berita Harian

Pengalaman Luar Biasa Konsert Rohani

22 Apr

wanasr@hmerto.com.my

Rap
PENONTON yang hadir menyaksikan Konsert Malam Seribu Karya bukan saja dihiburkan menerusi beberapa lagu popular, malah melodi indah berunsur rohani yang memberi kesedaran.

Dari permulaan sehingga penghujung konsert bertemakan Rock Rohani diterapkan dengan penuh penghayatan dan mesej tersendiri berunsur dakwah, kemasyarakatan dan cinta.

Biarpun tanpa penonton yang ramai, konsert yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu lalu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding ribuan penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pertembungan Selangor menentang Perlis bagi saingan Piala FA di stadium bersebelahan.

Ia juga berbeza daripada konsert sebelum ini yang lebih tertumpu kepada artis yang menjayakan persembahan mahupun mensasarkan keuntungan. Penampilan barisan artis terkenal tanah air seperti Ramli Sarip, Amy Search selain Raja Pop, Jamal Abdillah dan Mawi cukup dinantikan peminat.

Selain mempertaruhkan nama besar itu, konsert dianjurkan Karya Hadani Sdn Bhd (KHSB) itu turut menampilkan Nazrey Johany dan artis KHSB antaranya Yantzen, Rahmat Mega, Sham Barongan, Razak Ahmad, Ezam Akar dan Kumpulan Manik.

Tidak terkecuali menjayakan persembahan konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu ialah penampilan istimewa pengasas KHSB, Harun Mat Saat atau lebih dikenali Ustaz Harun.

Razak menyifatkan penganjuran konsert berkenaan ternyata berbeza daripada konsert sedia ada kerana menerapkan unsur dakwah dalam hiburan.

“Saya berpuas hati dengan persembahan ini selepas melakukan persiapan sejak beberapa bulan lalu. Saya gugup apabila ketika latihan menyampaikan lagu Renung, pasti ada lirik akhir yang kurang lancar.

“Begitupun, ia berjaya dilaksanakan dengan baik ketika kemuncak konsert. Mungkin juga bantuan daripada sistem bunyi yang memudahkan intonasi ketika menyanyi.

“Saya percaya dengan penganjuran konsert ini, lebih ramai yang akan mengetahui mengenai konsep Rock Rohani. Tidak mustahil jika satu hari nanti konsep ini dapat diterima semua golongan masyarakat,” kata Razak yang menyampaikan lagu Renung, Pesanan Untuk Ibu dan Kiamat.

 

 

Rahmat yang pernah popular bersama kumpulan Mega menerusi lagu Bayangan Gurauan mengakui seronok dapat menjayakan konsert berkenaan. Sebagai artis KHSB dia terharu dan gembira kerana diberi peluang menjayakan konsert berkenaan. Rahmat yang cukup popular dengan lagu berentak rock menyampaikan Laksamana dan Warkah Untuk Isteri.

Kemunculan rocker terkenal, Amy Search dari sudut tempat duduk penonton menerusi lagu Tiada Lagi ternyata mencuri perhatian. Amy turut menyampaikan lagu Isi dan Kulit. Penampilan Jamal dengan aksi santai menyanyikan lagu popularnya, Ghazal Untuk Rabiah.

Kemunculan Mawi menyampaikan lagu Kian turut mendapat sorakan gemuruh daripada penonton. Gelagat pengacara, Isma Halil Hamzah dan Aidiel Abdul Ghafar menerusi ulasan berkonsep rohani turut membawa maksud tersendiri.

Tidak ketinggalan, persembahan bertenaga Ramli menerusi lagu Pernyataan. Sementara Nazrey menghiburkan dengan lagu Wahai Kaum Muslimin dan Antara Dua Cinta.

Turut menjayakan persembahan, kumpulan Kulit dianggotai Mahdi (vokalis), Beb (dram), Fiqri (bass) dan Sham (gitar). Paling istimewa penampilan khas Ustaz Harun di samping beberapa artis jemputan yang menyampaikan lagu Kaulah Pujaan, Insaf serta Sedih Dalam Kebahagiaan sebagai penutup persembahan.

Persembahan di bawah pimpinan pengarah muzik, Shaharil Shamsuddin turut diiringi Stone sebagai pemain gitar utama di samping khidmat dua pemain dram, Zul dan Ujang, Habib (perkusi), Mohar (seruling) serta Uda (accordian).

Pengarah Urusan KHSB merangkap penerbit konsert, Raja Iskandar Raja Ibrahim memaklumkan merasai pengalaman yang luar biasa daripada persembahan konsert sebelumnya.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan konsert yang berskala kecil atau sebahagian daripada agenda promosi bagi album Rock Rohani I dan II di Kota Bharu, Kelantan dan Keningau, Sabah tahun lalu. Konsert ini ternyata lebih besar dan membabitkan banyak pihak termasuk kru dan artis.

“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan sambutan diberikan. Malah kami mendapat maklum balas baik daripada peminat sehingga dimaklumkan ada yang menyentuh perasaan ketika mengikutinya.

“Menerusi konsert ini juga ia sebagai strategi kami mempromosi dan memperkenalkan KHSB sebagai platform untuk orang ramai khususnya generasi muda mempelajari ataupun mengetahui mengenai agama dan kesenian,” katanya.

Raja Iskandar atau lebih dikenali dengan gelaran Is Wow turut memaklumkan konsert sama bakal di langsung di beberapa daerah seperti Utara atau Selatan jika segalanya berjalan lancar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Kes Jamal Ugut Isteri Ditangguh 10 Jun Depan

21 Apr

BINCANG...berbincang dengan isterinya, Fatimatuzahra Samad.
BINCANG…berbincang dengan isterinya, Fatimatuzahra Samad.

SHAH ALAM: Perbicaraan penyanyi, Jamal Abdillah, atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 49, yang didakwa mengugut isterinya menerusi SMS dua tahun lalu ditangguhkan pada 10 Jun depan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Norkamilah Aziz menetapkan tarikh itu selepas peguam Jamal Abdillah, Datuk Taqiyuddin Yahya meminta perbicaraan berkenaan ditangguhkan kerana mengendalikan kes bunuh di Mahkamah Tinggi di sini, yang perlu diberikan keutamaan.

Taqiyuddin berkata, pihaknya bersedia meneruskan perbicaraan penyanyi terbabit semalam, bagaimanapun beliau menerima arahan supaya memberi keutamaan mengendalikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

“Ini berikutan Pesuruhjaya Jaya Kehakiman Abang Iskandar Abang Hashim yang mendengar kes bunuh itu akan ditukarkan ke Kuala Lumpur,” katanya.

 

 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim.

Jamal Abdillah yang menerima Anugerah Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 12 April lalu kelihatan tenang ketika berada dalam kandang tertuduh.

Harian Metro

Konsert Rock Kerohanian 18 April

16 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

DARI kiri; Jamal, Yantzen, Mawi, Amy Search dan Ramli Sarip bakal menjayakan konsert Malam Seribu Karya di Stadium Melawati, Shah Alam.

KEKUATAN pada Konsert Malam Seribu Karya yang bertemakan Rock Rohani bukanlah sekadar mempertaruhkan nama besar yang dianggap ‘otai’ rock, tetapi karya rohani yang bakal dinyanyikan oleh mereka itu sendiri.

Sebelum ini kita sering disajikan dengan lagu-lagu komersial oleh orang lama dalam muzik rock seperti Ramli Sarip, Amy Search, Jamal Abdillah, Yantzen dan pendatang baru Mawi menerusi muzik yang keras tetapi mempunyai mesej pengajaran.

Menerusi Konsert Malam Seribu Karya yang akan berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 18 April ini dilihat bukanlah satu permulaan konsert lagu-lagu berunsur kerohanian ini diperdengarkan kepada masyarakat tetapi bermulanya satu penghijrahan.

Lima nama besar dalam industri muzik tanah air ini akan menjadi penyanyi undangan pada konsert anjuran Karya Hadani Sdn Bhd yang diasaskan sendiri oleh pengasasnya Harun Mat Saat.

Menurutnya, pemilihan rock dalam menyampaikan lagu-lagu berunsur rohani ini bukanlah kerana muziknya tetapi semangat yang diperjuangkan penyanyinya.

“Penganjuran konsert ini bertujuan untuk memberikan mesej positif kepada peminat, selain mahu orang ramai menjadikannya sebagai sumber hiburan berlandaskan kerohanian,’ kata Harun.

Pembabitan lima nama besar dalam konsert ini bukanlah dilihat satu paksaan tetapi jelas keikhlasan sama-sama memperjuangkan bidang muzik dalam konteks positif, melalui perspektif lebih meluas termasuk peranannya dalam pembentukan sahsiah diri serta masyarakat.

Bagi Ramli Sarip, dia menganggap konsert ini bukan satu permulaan buat industri tetapi jalan yang baik untuk melakukan kebaikan.

“Konsert ini mempertaruhkan tema yang baik dan saya menerimanya kerana konsep karya yang akan dipersembahkan bukan saja menyentuh aspek kerohanian tetapi mengenai kehidupan jatuh dan bangunnya seseorang,” katanya.

Amy Search pula melihat tujuan murni menjayakan konsert itu tidak akan dipandang sepi oleh penyanyi lama seperti mereka kerana sudah sampai masanya industri kita mengalami satu pembaharuan oleh orang-orang lama.

“Saya menerimanya konsert rohani ini kerana melihat satu penghijrahan menuju ke jalan kebaikan melalui konsert ini. Semua nama-nama besar yang akan menjayakan konsert ini mempunyai kekuatan dan pengikut masing-masing dan saya percaya konsert ini akan menjadi satu konsert yang besar daripada apa yang saya sangkakan nanti.

Raja Pop, Jamal Abdillah mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepadanya akan digunakan ke jalan kebaikan dengan menerima tawaran menjayakan konsert ini.

“Bukan semua manusia dikurniakan anugerah suara yang baik, dan jika seseorang itu dikurniakan suara yang baik alangkah ruginya sekiranya tidak digunakan untuk kebaikan untuk dikongsi bersama,” katanya.

Konsert Malam Seribu Karya pasti menjanjikan kelainan kepada penonton yang hadir datang malam itu, terutama dari segi suasana, pemilihan lagu dan konsep persembahannya.

Semua 14 pemuzik berpengalaman yang mengiringi persembahan pada malam itu sedang sibuk berlatih di bawah pimpinan pengarah muzik, Shaharil Shamsuddin.

Info

Acara: Konsert Malam 1,000 Karya

Tema/Konsep: Rock Rohani

Lokasi: Stadium Malawati, Shah Alam

Masa: 8.30 malam

Penyanyi: Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Sham Barongan, Razak Ahmad, Ezam Akar, Ustaz Harun Mat Saat, Nazrey Johany, Yantzen, Rahmat Mega dan Kumpulan Manik.

Tiket: RM60, RM120, RM150 dan RM200

Kaunter Tiket: Karya Hadani Sdn Bhd (No.5, Ground Floor, Jln UP 1/6, Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor) Sungei Wang Plaza, Kompleks Pertama dan Kompleks PKNS Shah Alam

Tempahan/Pertanyaan: 03-41475771/019-3771344/019-2006788

Berita Harian

Jamal Masih Mampu Bersaing

15 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat itu menganggap insan seni juga melalui episod jatuh dan bangun

SEPANJANG tiga dekad dia bergelar seorang bintang, penyanyi ini mengaku dirinya tidak terkecuali daripada meniti babak duka dalam kehidupannya. Namun, episod hitam itu sendiri ialah sebahagian daripada warna kehidupannya sebagai seorang insan seni.

Dia pernah melakar kejayaan, mengalami kejatuhan dan bangun semula. Dia juga pernah gagal dalam berumah tangga.

Begitupun, semua itu bukan halangan untuknya terus melangkah, lalu membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Bahkan, Jamal Abdillah yang diangkat sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menganggap, itulah suratan yang harus dilaluinya sebagai manusia.

“Mungkin kejadian yang berlaku dalam hidup saya itu, bukan untuk renungan saya seorang. Ia membolehkan lebih ramai orang melihatnya dan berfikir, kehidupan ini sememangnya memerlukan ketabahan. Ketabahan dan semangat itulah yang membolehkan saya berdiri di sini sehingga hari ini,”ῠkatanya.


Jamal dan Ayu Damit ketika mendendangkan lagu Kehebatan Cinta.

Ditemui pada majlis keraian selepas tamatnya majlis kemuncak ABPBH 2008, Jamal memberitahu, dia sendiri ingin berkongsi segala pengalaman itu bersama peminat supaya mereka sedar, sesiapa yang pernah jatuh juga mampu berdiri kembali akhirnya.

Kini penyanyi bersuara buluh perindu itu melihat segala episod kelam itu sudah pun berlalu dan dia sendiri bersedia untuk tampil bersaing bersama-sama penyanyi generasi baru hari ini. Apatah lagi penyanyi itu baru saja muncul dengan album Tak Hilang Cinta, yang menyaksikannya bekerjasama dengan pencipta muda.

Tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapnya selama ini, Jamal tidak berasakan kehadirannya selama 30 tahun dalam dunia muzik meletakkan dirinya pada kedudukan lebih istimewa berbanding penyanyi lain.

“Saya masih berada di fasa biasa, sebagai penyanyi lain juga. Malah, saya ingin menunjukkan betapa saya masih mampu untuk bersaing bersama mereka. Saya juga boleh menyanyi dengan dengan penyanyi muda yang ada sekarang,” katanya.


Jamal turut berduet dengan Sarah Raisuddin.

Bagi penyanyi yang bakal berusia 50 tahun Mei ini, bukan populariti yang dikejar olehnya apabila dia menjerumuskan diri dalam arena seni.

“Kehadiran ke dalam dunia seni akan lebih bererti sekiranya peminat mengingati kita kerana hasil kerja yang dilakukan. Jika hasil kerja kita tidak meninggalkan kesan, pastinya diri kita juga akan mudah dilupakan. Saya berpegang kepada kata-kata ini. Mungkin kerana itulah jangka hayat saya dalam seni agak panjang,” tutur pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali ini.

Begitu juga Jamal mengaku, bukan pengiktirafan yang dicari-cari setiap kali dia berusaha menghasilkan sesuatu yang terbaik buat peminat.

‘Hargailah mereka sementara masih hidup’

Hakikatnya, apa saja yang dia lakukan, dia mahu melihat hasilnya cukup memuaskan hati diri sendiri, serta peminat yang sentiasa mengharapkan kerja terbaik daripadanya.

Pada masa yang sama, Jamal yang turut mencipta nama sebagai pelakon bermula dengan filem Azura (1984) tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila ABPBH 2008 menganugerahkan dirinya dengan pengiktirafan yang begitu tinggi nilainya.

Selama 30 tahun bergelar penyanyi, belum pernah Jamal menerima anugerah sebegini.

Dia juga melahirkan kegembiraan apabila lebih banyak pengiktirafan kini diberikan kepada penggiat seni yang masih lagi aktif, berbanding pengiktirafan yang diberikan kepada tokoh yang sudah pun meninggal dunia.

“Satu ketika dulu, tidak banyak majlis anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada anak seni. Justeru, apabila majlis sedemikian dianjurkan kemudian, beberapa pengiktirafan diberikan kepada mereka yang sudah tiada lagi di dunia ini.

“Saya berasakan, pendekatan itu harus ditukar kepada penghargaan terhadap mereka yang masih lagi hidup dan bergiat cergas sebagai anak seni. Namun faham-faham sajalah sikap manusia, apabila seseorang itu sudah tiada, barulah mereka terasa kehilangannya,” kata Jamal penuh makna.

Berita Harian

Respirasi Muzik: Turut Tampil Irama Malaysia

14 Apr

Rap
Album: Laskar Pelangi
Artis: Pelbagai

RUNUT bunyi filem popular seberang, Laskar Pelangi diangkat daripada novel karya Andrea Hirata dan diterjemahkan ke layar perak oleh Riri Reza.

Kreatifnya mereka yang terbabit dalam runut bunyi ini apabila setiap lagu diambil daripada babak yang dirasakan menarik dan boleh diangkat menjadi jalan cerita. Dalam erti kata lain, runut bunyi Laskar Pelangi cuba menterjemahkan novel dalam bentuk lagu pula.

Satu perkara yang menjadi perhatian dalam album ini apabila ia turut menampilkan lagu etnik kreatif dan irama Malaysia yang didendangkan Gita Gutawa, Tak Perlu Keliling Dunia ciptaan Erwin Gutawa dan lirik ditulis Mira Lesmana.

Begitu juga lagu Bunga Seroja pernah dipopularkan penyanyi Jamal Abdillah, turut dimuatkan dalam runut bunyi Laskar Pelangi dan didendangkan semula pelakon filem ini, Yamarno dan Mara Karma.

Susunan muziknya kedengaran lebih Melayu apabila menampilkan gendang dan rebana juga disulami gesekan biola dan harmonika.

Begitupun, sesuai dengan suasana runut bunyi ini yang menceritakan kisah kehidupan anak kecil yang berhadapan dengan kepayahan dalam menuntut ilmu, beberapa lagu berentak pantas turut dihasilkan seperti Sahabat didendangkan Gerasi dan Lintang dinyanyikan Netral.

Pastinya kekuatan album ini bergantung penuh kepada lagu Laskar Pelangi yang dicipta dan didendangkan sendiri kumpulan Nidji.

Ia berjaya merangkumkan sepenuhnya falsafah novel dan filem yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung sewaktu ditayangkan di seberang pertengahan tahun lalu.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Bagaikan Artis

14 Apr


DARI kiri; Siti Hawa, Nuramalina, Rohani dan Kamarulzaman sangat teruja dapat berjalan bersama artis melintasi permaidani merah di Genting Highlands.

Empat pemenang GBB tidak lupa kenangan berjalan di permaidani merah bersama bintang popular

BUKAN lagi mimpi atau sekadar fantasi, dikelilingi selebriti sewaktu malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun menjadi kenyataan buat empat pemenang siri Peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) yang sudah berlanjutan hingga ke tahun keempat tanggal 12 April lalu.

Biarpun berasa janggal buat julung kali duduk di sisi penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio dan pelawak yang selama ini hanya ditatap di akhbar mahupun majalah atau pun paling tidak hanya sekadar menonton di kaca TV, empat pemenang tidak sesekali melupakan detik indah lagi bermakna itu.

Selain diberi peluang melaram rekaan pereka fesyen terkemuka dan duduk berdekatan dengan selebriti popular tanah air, empat pemenang siri satu hingga empat peraduan itu, Siti Hawa Mohd, Rohani Abu Hassan, Kamarulzaman Abd Rahman dan Nuramalina Mohd Amin juga dilayan seperti bintang terkemuka berjalan di atas permaidani merah.

Pengalaman menakjubkan buat pertama kali ini pasti tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat ini, malahan menjadi bekalan untuk dikongsi rakan dan keluarga terdekat. Perasaan asing dikelilingi selebriti ditolak ketepi, sebaik melihat artis pujaan masing-masing saat menanti untuk berarak di permaidani merah.

Kata Siti Hawa yang ditemani suaminya, usaha ini harus diteruskan Berita Harian supaya pembaca lain juga berpeluang menyelami perasaan artis berjalan di permaidani merah.

Menurutnya, mungkin ada beranggapan berjalan di permaidani merah ini semudah yang disangka tetapi akuinya debaran yang dirasanya pasti dirasai selebriti lain.

“Saya menyertai pertandingan ini sejak kali pertama ia diadakan, namun belum rezeki saya untuk memenanginya. Alhamdulillah penantian itu tamat dan tidak sangka kerjasama bersama suami menghasilkan slogan menarik berjaya menjadi perhatian pihak Berita Harian.

“Berdebar juga apabila pertama kali menjejakkan kaki ke atas permaidani merah. Ketika berjalan, Sazzy Falak dan suaminya berada di hadapan. Pengalaman ini adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini. Ia meninggalkan satu pengalaman manis buat saya. Berita Harian harus meneruskan lagi usaha ini supaya pembaca lain dapat merasakan apa yang saya rasakan,” kata Siti Hawa.

Bagi Rohani pula impiannya untuk berada dalam kerlipan glamor biarpun hanya untuk tempoh seketika akhirnya berjaya direalisasikan. Paling indah, penyanyi pujaannya Datuk Siti Nurhaliza terus unggul mempertahankan kejuaraannya untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Tak dapat jadi artis sekalipun, setidak-tidaknya peluang ini menjadi azimat berharga untuk terus dikenang saya untuk hari mendatang. Perasaan saya hanyut seketika dan berjalan-jalan di permaidani merah seolah-olah saya pula artis dan finalis yang tercalon. Malah, debaran saya ketika melalui permaidani merah mungkin boleh mengalahkan artis sebenar.

“Pada mulanya terasa janggal juga berjalan di permaidani merah. Maklumlah kita ini siapa jika dibandingkan dengan artis, tetapi apabila melihat orang ramai yang menanti kemunculan artis di atas permaidani merah timbul pula perasaan seronok,” katanya yang begitu teruja menonton persembahan Datuk Siti menerusi lagu Di Taman Teman.

Sementara itu, Kamarulzaman bukan saja leka seketika ketika cahaya lensa kamera mula menerjah susuk tubuh dan wajahnya, bahkan pekerja Pos Malaysia yang turut menjadi penaja rasmi ABPBH 2008 ini turut gembira melihat persembahan mantap yang mengisi slot persembahan pada malam itu.

“Siapa boleh melupakan aksi lincah permulaan Anita Sarawak dan Stacy hinggalah ke slot penghargaan kepada penyanyi Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir. Saya pasti kenangan malam itu akan terus bersemadi dalam ingat semua peminat setia ABPBH dan pembaca Berita Harian.

“Ini adalah kenangan paling manis dalam hidup saya kerana berpeluang mendekati artis dengan lebih dekat. Peluang seperti ini bukannya datang selalu, Berita Harian wajar meneruskan usaha seperti ini,” kata Kamarulzaman.

Manakala pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nuramalina bersetuju dengan pemilihan Nabil sebagai Bintang Paling Popular kerana menyifatkan juara Raja Lawak musim kedua itu dilahirkan dengan bakat semula jadi yang cukup mengesankan.

Katanya lagi, detik 12 April itu akan pasti dikenang sampai bila-bila. Menurut Nuramalina, dia yakin peluang yang mungkin datang seumur hidup itu harus dimanfaatkan pembaca Berita Harian yang bertuah.

“Dulu saya hanya menonton lagak selebriti menyusun langkah di atas permaidani merah. Malah, saya kerap menyelak majalah tempatan dan antara bangsa yang memaparkan gaya selebriti di atas permaidani merah.

“Mungkin lepas ini, saya pula dapat menonton wajah dan aksi saya di permaidani merah,” kata Nuramalina yang turut meminati Nabil.

Berita Harian

Keputusan ABPBH 2008

12 Apr

Keputusan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008

Bintang Paling Popular – Nabil

Pelakon Filem Lelaki Popular – Que Haidar

Pelakon Filem Wanita Popular – Maya Karin

Penyanyi Lelaki Popular – Mawi

Penyanyi Wanita Popular – Datuk Siti Nurhaliza

Pelakon TV Lelaki Popular – Rosyam Nor

Pelakon TV Wanita Popular – Dynas

Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular – Meet Uncle Hussain

Artis Nasyid Popular – Rabbani

Artis Komedi Lelaki Popular – Nabil

Artis Komedi Wanita Popular – Norkhiriah

Artis Baru Lelaki Popular – Nabil

Artis Baru Wanita Popular – Stacy

Pengacara TV Lelaki Popular – Aznil Nawawi

Pengacara TV Wanita Popular – Fara Fauzana

Penyampai Radio Lelaki Popular – Faizal Ismail

Penyampai Radio Wanita Popular – Fara Fauzana

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Jamal Abdillah

Berita Harian