Archive | Nasha Aziz RSS feed for this section

ABPBH 2008: Rasa Bertuah

8 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Scha Alyahya

Tersenarai pada peringkat akhir ABPBH2008 satu pencapaian membanggakan buat Scha

SIAPA sangka di sebalik pembabitan seni yang pada permulaannya hanya sekadar mahu menguji pasaran, kini beralih menjadi bidang yang semakin menuntut fokus berpanjangan. Pernah bertugas di awan biru sebagai pramugari, Scha Alyahya agak pantas mengecapi populariti sebagai pelakon biarpun belum sampai tiga tahun berada dalam dunia seni.

Kejayaannya bukan semudah yang disangka. Malahan gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia usia 26 tahun pada 30 Mei nanti pernah berasakan pengalaman sewaktu mula melangkah ke dalam dunia seni cukup mengerikan.

Katanya, pernah dia menjalani penggambaran drama tapi untuk jangka masa yang panjang.

Pernah juga selama enam bulan dia bekerja di butik pakaian milik kawannya di Damansara kerana terdetik perasaan gusar apakah bidang seni yang diharungi satu pilihan yang tepat.

Tapi jelas dengan apa yang dimilikinya, ternyata pertaruhannya cukup berbaloi apabila namanya mula menjadi sebutan. Drama Bella dan Awan Dania antara naskhah yang terus meledakkan namanya.

Menambah kekuatan trek pembabitan Scha apabila tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Sehingga kini dia semakin ligat memenuhi tawaran berlakon dan membuat iklan komersial.

Apapun, Scha tetap Scha. Dia Masih lagi seperti dulu. Tutur katanya masih agak pekat dengan loghat utara.

“InsyaAllah apa yang Scha nampak berjalan dengan baik seadanya. Scha sekarang semakin serius dan kerja ini bukan perkara main-main. Sekali kita memasuki arena ini, ia petanda untuk kita terus bekerja kuat bagi memastikan hayat diri terus ada.

“Sewaktu nama Scha tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 2008, Scha terkejut juga sebab tak sangka orang luar dan peminat mula menyedari kehadiran kita.

“Scha bertuah apabila tersenarai dalam Top 5 dan berada di lingkungan lima yang popular itu sudah cukup bagus. Saingan pun sengit dan sihat,” katanya sewaktu ke premis Rafflesia untuk sesi perbincangannya dengan pereka fesyen, Anizam Yusof yang terbabit mereka busananya menjelang malam kemuncak ABPBH 2008, Ahad ini.

Dalam Artis Baru Wanita Popular, Scha diundi bersama Ayu Damit (Ayu OIAM), Lisa Surihani, Stacy dan Sariyanti.

Cameron Diaz Malaysia

MEMILIKI seraut wajah jelita, bertubuh ramping dan tinggi, liuk lintuk badannya di depan kamera cukup menyenangkan apatah lagi bidang peragaan adalah makanannya. Dalam dua persalinan berwarna terang rekaan Anizam, kelibatnya menjadi perhatian orang ramai yang membawa kenderaan di tengah jalan termasuk yang lalu lalang.

Sekali pandang, Scha seakan peragawati dan pelakon tersohor, Nasha Aziz yang begitu hangat dan selamba dengan aksesori Rafflesia. Malahan ada sesetengah pengarah yang mahu mencipta Scha sebagai Cameron Diaz Malaysia kerana mempunyai kejelitaan, bijak dan pada masa yang sama terkenal dengan sikap humor serta bersederhana.

Memujinya bukan berniat mahu mengumpan soalan seterusnya mengenai kisah peribadinya yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Bukan cerita baru apabila Scha dikaitkan dengan Fahrin yang turut tersenarai dalam ABPBH 2008 untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Dalam ada yang suka mereka menjalin cinta, lumrah ada juga yang cukup jelak mengenai cerita mereka.

“Hanya masa yang akan memberitahu segala-gala sama ada Scha ada hubungan dengan dia atau sebaliknya,” katanya ringkas.

Tidak mahu terus disoal soalan berbaur peribadi itu, dia kemudian ditanya mengenai tanggungjawabnya sebagai pengacara program Sehati Sejiwa di RTM 1 ini dalam terus membuktikan kemampuannya sebagai anak seni tidak pernah silap.

Akuinya, ada pihak yang membuat andaian masuk dunia seni ini senang kerana bakal dilimpahi kerdipan glamour semata-mata. Itu memang tidak dinafikan dan Scha sendiri mengakui berasa seronok melihat kehidupan pelakon yang dipaparkan di media massa.

“Sekarang apabila diri sendiri yang mengalaminya, ternyata apa yang dianggap pada mulanya hanyalah khayalan. Malah, entiti permainan politik turut berlaku di dalam dunia seni dan ada sesetengah artis yang sanggup melobi semata-mata mahu mendapat perhatian.

“Depan mata sendiri, Scha pernah melihat ada artis yang cuba mendekati pihak berpengaruh dalam produksi kerana mahu mendapatkan tawaran berlakon. Tak boleh menidakkan istilah perhubungan awam memang perlu dalam dunia ini, cuma biarlah berpada-pada.

“Macam Scha, jujur diri ini jenis yang tak pandai membodek orang. Bagi Scha, biarlah Scha mahu orang nilai diri dengan impak lakonan yang dipamerkan dan Scha masih dalam peringkat memperbaiki kekurangan yang ada,” katanya tulus yang bakal muncul dengan filem Papadom dan Evolusi KL Drift 2, malah dia baru saja selesai menjalani penggambaran Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Utamakan fesyen selesa dipakai

MENGENAI Anizam, kata Scha, pereka fesyen itu pernah mengundangnya untuk Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) tahun lalu, namun ketika itu jodoh mereka untuk bekerjasama belum ada.

“Sebelum nama Scha tersenarai dalam top 5 lagi, dia sudah mula menghubungi Scha untuk menaja busana rekaannya. Apa yang Scha boleh katakan, semangat dan kesungguhannya membuktikan dia tidak memilih artis biarpun ketika itu tidak tahu langsung yang Scha akan ke senarai akhir.

“Difahamkan memang ada beberapa lagi pereka yang berminat nak dapatkan Scha, tapi sudah rezeki dia yang pertama menyapa Scha dulu. Bagi Scha apa yang penting ialah pakaian yang selesa dan bukan atas dasar kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Anizam mempunyai sebab kukuh memilih Scha sebagai selebriti yang mahu disarungkan rekaannya untuk ABPBH 2008. Lebih gemar rekaan dan potongan bersih yang tidak sarat, Anizam yakin bahawa Scha mampu menyerlahkan rekaannya nanti. Selain Scha, Sazzy Falak turut memberi pengesahan pada saat akhir untuk menggayakan rekaannya.

Menggunakan perincian ‘dart’, fabrik satin dan songket, warna biru elektrikal menjadi uji kaji kepada Scha. Kata Anizam, dia menggunakan pendekatan korset separuh (tidak penuh) yang dijahit sekali dengan baju dan kelainan itu antara tarikan yang ingin disampaikannya.

“Sentuhan Tenun satu idea tema yang menarik untuk diketengahkan dan sesetengah pihak menganggap fabrik tradisional tidak setanding fabrik moden.

“Dengan trend sekarang, apa saja boleh jadi mustahil, janji ia diiringi dengan semangat mencuba sesuatu yang baru untuk menghasilkan tradisional menjadi kontemporari.

“Usia pembabitan saya dan Scha sama naik dan dengan rupa maskulin serta ‘attitude’ yang ada padanya, saya yakin dia boleh menjadi manifestasi terbaru saya dalam melebarkan idealisme rekaan saya. Scha ada aura tersendiri yang mampu membuatkan ramai yang terpesona kepadanya,” kata Anizam.

NAMA PENUH: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir PANGGILAN: Scha Alyahya ASAL: Sungai Petani, Kedah TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983 ADIK BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik KELULUSAN: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL cawangan Shah Alam PENCAPAIAN: Dewi Remaja 2006 dan 50 Wanita Paling Jelita disenaraikan majalah Female KERJAYA: Pelakon, Pengacara Dan Model IKLAN: Hotlink, Olay, Pantene, Power Root, Streamyx, Oral B, Watson, Nokia dan Ikea. DRAMA: Bella, Luna Fantasiku, Sadiq and Co, Honeyz dan Awan Dania FILEM: Antoo Fighter, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2 dan Dimensi Cinta

PROFIL: Anizam Yusof Nama penuh: Anizam Yusof

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 30 November 1983

Tempat lahir: Felda Linggiu, Kota Tinggi, Johor

Tahap pendidikan: Diploma Rekaan Footwear dan Ijazah Rekaan Fesyen

Blog: http://anizamyusoftherhucouture.blogspot.com

Pembabitan sejak: 2006

Pencapaian: Finalis Project Runway Malaysia musim pertama

Artis yang pernah menggunakan khidmatnya: Rosyam Nor, Nabil, Zahid, Felix, Meet Uncle Hussain, Ally Iskandar, Faizal Ismail, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Liyana Jasmay, Sazzy Falak, Juliana Evans, Elyana, Nita, Rozita Che Wan

Berita Harian

Impak Pereka Fesyen Malaysia!

4 Apr

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tampil istimewa, XY – Ikon Lelaki minggu ini menghimpunkan 10 pereka fesyen lelaki yang bakal menyemarakkan Fiesta Fesyen Berita Harian. Inspirasi rekaan mereka – songket dan tenun turut digayakan bintang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) kelak. Raikan aura fesyen mereka!

BUKAN mudah menghimpunkan 10 pereka fesyen tanah air dalam satu sesi fotografi kerana masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan perincian terakhir rekaan bagi dua acara besar anjuran Berita Harian bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian yang bakal mewarnai pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, lusa, serta majlis gala di Hotel One World, keesokannya, disusuli kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April ini cukup memadatkan diari kumpulan pereka muda ini.

Namun, 10 pereka ini masih sempat meluangkan masa menjalani sesi fotografi eksklusif bersama XY – Ikon Lelaki. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menyokong acara berprestij yang bakal disertai selebriti dan pereka fesyen tanah air.

Riuh studio fotografi di Balai Berita dengan kehadiran insan kreatif ini. Malah, suasananya persis kesibukan di pertunjukan fesyen. Namun, kali ini merekalah menjadi bintangnya!

Daripada topik harian hinggalah keresahan mengejar deadline – semua pereka berkongsi keseronokan menanti dua acara besar ini. Seharusnya, masing-masing mahu rekaan yang ditampilkan sempurna dan mencuri tumpuan tatkala digayakan di pentas catwalk.

Hatta Dolmat; Rizman Ruzaini; Calvin Thoo; Nazreen Idris; Hazwani Osman; Amir Luqman; Shegar; Nik Erwan Rosdi dan Zery Zamri – masing-masing berkongsi inspirasi rekaan dengan identiti fesyen Malaysia.

Inspirasi Hatta Dolmat

TERKENAL dengan rekaan penuh perincian, pereka fesyen berbakat besar, Hatta Dolmat tidak ketinggalan memeriahkan Fiesta Fesyen Berita Harian serta malam kemuncak ABPBH 2008. Kali ini, pereka fesyen kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini akan mereka pakaian Nurul Huda Abdul Wahab, Siti Sarah, Sheila OIAM dan Iz.

“Tema songket bukanlah halangan bagi saya kerana sebelum ini pernah menerapkan tema sama di sebuah majlis anugerah hiburan. Menjadi kebanggaan pereka fesyen kerana mampu menerapkan tema tradisi dalam menzahirkan rekaan pakaian,” kata Hatta yang sudah empat tahun terbabit dalam ABPBH selepas pertama kali mereka pakaian untuk Jacklyn Victor dan Fasha Sandha pada ABPBH 2005.

Kata Hatta, ABPBH adalah platform terbaik untuk pereka baru tanah air dalam mengembangkan bakat, seterusnya berorientasi dengan idea baru rekaan.

“Sepanjang terbabit dalam majlis anugerah ini, saya dapat melihat perkembangan positif penganjur yang tidak saja memberikan publisiti buat artis, pada masa yang sama turut memartabatkan industri fesyen tanah air.

“Ini dapat dilihat menerusi pembabitan artis dengan pereka fesyen termasuk Anugerah Best Dress yang diperkenalkan tahun lalu dan tahun ini pula dengan Fiesta Fesyen Berita Harian,” kata teruja.

Profil

Nama: Muhammad Hatta Dolmat

Umur: 27 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mata (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian:

Juara Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003.

Juara pertandingan akhir Trofi Pesona Pengantin 04/05.

Juara Anugerah Jarum Berlian 2005.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006: rekaan pakaian terbaik digayakan oleh Erra Fazira.

Anugerah Rekaan Pakaian Terbaik sempena Anugerah Bintang Popular 2007.

Juara kategori Ethnic Chic di Singapore Fashion Designer Competition 2007.

Naib juara Project Runway Malaysia 2007.

Gandingan duo Rizman Ruzaini

NAMA Rizman Ruzaini antara yang paling menonjol di kalangan pereka fesyen angkatan baru. Memilih konsep less is more menjadi antara trademark pereka fesyen muda ini. Lebih menarik, jika kebanyakan pereka fesyen bergerak solo, label Rizman Ruzaini menampilkan koloborasi dua pereka fesyen ini.

Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang bekerjasama menubuhkan label Rizman Ruzaini sejak lebih dua tahun lalu menggalas cabaran besar untuk ABPBH kali ini apabila mereka pakaian untuk penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Siti Nurhaliza, pereka fesyen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga akan berfantasi dengan rekaan untuk pelakon Fasha Sandha, Sari Yanti dan Siti Saerah.

“Secara peribadi, saya melihat adalah satu usaha baik ABPBH memilih tema songket yang mana mampu mengangkat martabat khazanah songket yang menjadi identiti negara.

“Menjadi tugas pereka fesyen mencipta sesuatu yang berbeza melalui tema begini. Apatah lagi songket adalah 100 peratus identiti Malaysia berbanding batik yang juga popular di Indonesia,” kata Rizman Nordin.

Wan Ruzaini turut memuji usaha membantu pereka fesyen tempatan mengetengahkan bakat pada majlis berprestij.

Profil

Rizman Ruzaini

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin, 24; dan Wan Ruzaini Wan Jamil, 24.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian:

Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall.

Peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003.

Penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura

Terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Aura Calvin Thoo

SEJAK beberapa tahun lalu, ABPBH cukup sinonim dengan pereka fesyen tempatan, Calvin Thoo. Masakan tidak, pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi pilihan ramai selebriti popular tanah air. Pengalaman selama 13 tahun dalam industri fesyen meletakkan Calvin Thoo antara pereka fesyen disegani ramai.

Tahun ini, Calvin dipertanggungjawab mereka gaun malam bertemakan songket dan tenun untuk pelakon cantik Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Marsha. Pentas ABPBH 2008 bakal menyaksikan kreativiti Calvin dalam memberi variasi pada songket dengan nafas baru.

Ditanya cabaran mengetengahkan songket dalam majlis anugerah berprestij seperti ABPBH, Calvin berpendapat, menjadi tanggungjawab pereka fesyen berfantasi dengan lakaran sebelum memberi impak besar melalui rekaan.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah mengetengahkan songket. Sebelum ini, ramai pelanggan dari kalangan kenamaan dan kerabat diraja memilih elemen songket dan tenun dalam persalinan. Saya juga menerapkan kain songket ketika majlis persandingan Lisdawati sebelum ini,” katanya.

Profil

Calvin Thoo

Umur: 37 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) RMIT Australia.

Pencapaian:

Menimba pengalaman dalam bidang fesyen selama lebih 10 tahun di luar negara.

Memulakan label Calvin Thoo pada 2003.

Peserta peringkat akhir Piala Seri Endon Batik 2004.

Membuka butik Calvin Thoo pada 2005 di gedung beli-belah Lot 10, Bintang Walk, Kuala Lumpur.

Hasil rekaan Calvin diperagakan pada acara antaranya Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia dan Festival Fesyen Islam KL.

Seksi cara Nazreen

TERKENAL dengan rekaan seksi, pereka fesyen yang makin dikenali, Nazreen Idris mengakui agak sukar menerapkan identiti rekaan bertemakan songket dan tenun. Baginya, menjadi tanggungjawab pereka fesyen meletakkan prinsip dalam setiap rekaan.

“Meskipun kita cenderung mengetengahkan elemen feminin dan seksi dalam rekaan, unsur sebegitu tidak boleh diterapkan apabila menggunakan kain songket.

“Menjadi tanggungjawab seorang pereka fesyen meletakkan martabat tinggi songket yang menjadi identiti Malaysia,” kata Nazreen yang akan menyiapkan persalinan Linda Onn, Siti Saida dan Intan Ladyana di malam kemuncak ABPBH 2008.

Ditanya pendapat dirinya mengenai kain songket, secara peribadi pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui penerimaan masyarakat makin meluas dalam mengangkat martabat songket sebagai budaya dan identiti Malaysia.

“Ketika menuntut dulu, saya memilih melakukan kajian mengenai kain songket. Sebab itu, saya cukup berhati-hati menggunakan kain songket untuk sebahagian daripada hasil rekaan kerana ingin memastikan martabat songket terpelihara,” katanya.

Profil

Nazreen Idris

Pendidikan: Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Terbabit menyediakan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, pemenang tempat ketiga Animax Fashion Ability 2007.

Antara artis yang pernah mendapat sentuhan Nazreen: Datuk Khatijah Ibrahim, Anne Ngasri, Diana Danille, Linda Onn, Intan Ladyana, Siti Saida dan Faezah Elai.

Warna Zery Zamry

JIKA ramai pereka fesyen memilih perincian yang melengkapi rekaan pakaian, Zery Zamry pula sebaliknya. Pereka muda kelahiran Kelana Jaya, Selangor ini memilih warna sebagai tarikan rekaan. Seperti sebelumnya, pereka yang memiliki label butik Zery Zamry Couture ini akan menyiapkan adi busana penyanyi Elyana dan pelakon Norish Karman.

Mengetengahkan konsep minimalis, Zery berusaha memodenkan songket melalui rekaan.

“Sebagai pereka muda, menjadi tanggungjawab kami berusaha sebaik mungkin memastikan songket menjadi pilihan ramai. Apabila digayakan artis, ia setidak-tidaknya menjadi ikutan dan dilihat ramai orang. Apatah lagi, ABPBH cukup membantu pereka fesyen membina nama di Malaysia,” katanya.

Tiga tahun terbabit serius sebagai pereka untuk artis yang bertanding di ABPBH, Zery mengakui sambutan dan publisiti cukup membantu memeriahkan industri fesyen tanah air.

“Ya lah, artis dan pereka fesyen saling memerlukan dan secara tidak langsung ABPBH dilihat sebagai jambatan merancakkan lagi industri fesyen di Malaysia,” kata pereka berusia 25 tahun ini.

Profil

Zery Zamry

Pendidikan: Universiti Teknologi Mara (UiTM) pengkhususan Fesyen.

Pencapaian:

Anugerah Jarum Berlian 2006.

Finalis Project Runaway Malaysia.

Tranformasi Shegar

BERPENGALAMAN 12 tahun dalam bidang hiasan dalaman, Shegar Chandra Sekaran atau lebih dikenali sebagai Shegar kini menyahut cabaran dengan ‘terjun’ ke bidang rekaan pakaian. Tiga tahun dalam dunia fesyen, usaha itu tidak sia-sia apabila rekaannya mula diperkata umum.

Malah sempena ABPBH 2008, Shegar dipertanggungjawabkan mereka pakaian Cheryl Samad. Bukan kali pertama, koloborasi Shegar sudah cukup sinonim bersama pengacara terkenal itu.

Kata pereka berbakat berusia 36 tahun ini, beliau cukup teruja mengetengahkan tema songket lalu mengangkat martabat khazanah negara itu.

Baginya, songket jika disesuaikan dengan bentuk rekaan dan padanan fabrik lain mampu menterjemah hasil rekaan menarik dan bertaraf antarabangsa.

“Saya cenderung dengan rekaan potongan clean cut dan menggemari sesuatu yang simple. Justeru itu, saya akan memastikan rekaan Cheryl nanti dipengaruhi elemen begini,” kata Shegar.

Profil

Shegar Chandra Sekaran

Pendidikan: Ijazah dalam Hiasan Dalaman daripada Saito Akademi, Kuala Lumpur.

Pencapaian:

Beliau berkecimpung dalam dunia hiasan dalaman lebih 12 tahun tetapi mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen sejak tiga tahun lalu.

Mulai tahun ini tekadnya untuk menyertai lebih banyak acara fesyen seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Festival Fesyen Islam KL.

Terpilih sebagai pereka pakaian Anugerah Juara Lagu 2008 disifatkan antara pencapaian tertingginya dalam kerjaya sebagai pereka fesyen.

Sentuhan Nik Erwan

SESUATU yang istimewa cuba disampaikan pereka fesyen kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Mengakui bakal menerapkan hingga 40 peratus kain songket dalam busana ciptaannya, Nik Erwan Roseli teruja kerana terbabit dalam dua acara besar bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian dan ABPBH 2008 menjadi medan terbaru buat Nik Erwan berfantasi dengan gaya dan hasil ciptaan cemerlang. Untuk acara berprestij ABPBH 2008, Nik Erwan mereka pakaian untuk pelakon Dynas, Mila Tini Hot FM dan kumpulan Fabulous Cats.

“Menambah lagi pesona rekaan, saya memilih warna terang yang akan digabungkan dengan warna songket. Begitupun, rekaan tidak harus terlalu menonjol dan sarat, sebaiknya biarlah lebih sederhana supaya nampak lebih anggun dan menawan.

“Majlis begini adalah platform terbaik buat pereka fesyen tanah air membina nama dan dikenali ramai. Pengalaman terbabit dalam ABPBH beberapa tahun kebelakangan ini nyata memberi impak besar untuk saya melebarkan bakat,” katanya yang bercadang untuk memasarkan pakaian ready to wear pada masa akan datang.

Profil

Nik Erwan Roseli

Kelulusan: Diploma dalam Jurusan Grafik; Ijazah dalam Jurusan Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pencapaian:

Memenangi Anugerah Koleksi Terbaik pada Persembahan Akhir Peringkat Ijazah pada 2008.

Menyertai persembahan MIFA pada 2008.

Terbabit dalam Royal Of Art di One World Hotel 2008.

Menghasilkan pakaian untuk ramai selebriti termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Mendua Reality Television Gangstarz dan Sharifah Aleya.

Cabaran tersendiri Hazwani

BUKAN sekadar berfantasi rekaan gaun pengantin, Hazwani Osman juga boleh mereka pakaian lelaki, Justeru itu, ABPBH dan Fiesta Fesyen Berita Harian menguji bakat dalam menghasilkan rekaan untuk lelaki dan wanita.

Malah, Hazwani akan mencipta sesuatu yang berbeza buat Faizal Tahir dan Jamal Abdillah.

“Bukan senang untuk mencipta kelainan dalam pakaian lelaki. Tidak seperti wanita, rekaan lelaki harus disesuaikan dengan keadaan dan material yang digunakan termasuk jenis kain.

“Jika tidak kena dengan gaya, tema songket hanya akan menampakkan rekaan untuk lelaki seakan-akan pakaian rasmi pelayan di hotel,” akui Hazwani jujur.

Sambil memuji usaha mengetengahkan tema songket, Hazwani berkata menjadi tanggungjawab pereka fesyen tempatan dalam mengetengahkan nilai tradisi tempatan.

Profil

Hazwani Osman

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam dan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Finalis top 20 Mifa 2006.

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005.

Finalis Jusco Young Designer 2003.

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Sensasi rekaan Amir Luqman

AURA gaya pereka fesyen ini cukup terserlah. Itulah kelebihan pereka fesyen, Amir Luqman sehingga terpilih menjadi penata gaya rakaman televisyen bagi Miss Universe 2008, Dayana Mendoza. Di acara kemuncak ABPBH 2008, Amir akan merealisasikan sentuhan rekaan untuk calon Artis Baru Wanita Popular, Scha.

Kata Amir, dia gemarkan sesuatu yang berbeza di samping konsep seni dalam setiap rekaan. Meskipun itu, dia juga memastikan nilai kemelayuan diterapkan dalam rekaan pakaian.

“Tema songket adalah langkah permulaan dan usaha yang baik untuk memartabatkan khazanah negara. Diharapkan dengan usaha sebegini sekurang-kurangnya mampu mengetengahkan songket di peringkat antarabangsa.

“Apatah lagi, selebriti dan fesyen cukup sinonim dan menjadi kerjasama terbaik dalam mencipta kelainan. ABPBH dilihat landasan yang baik dalam kerjasama pereka fesyen tempatan dengan selebriti tanah air,” kata Amir yang juga pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004.

Profil

Amir Luqman

Pencapaian:

Peserta akhir Piala Seri Endon 2005

Pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004

Peserta akhir Star KL Fashion Week Designer Award 2005

KL Fashion Week 2006 – Berjaya Times Square

Stylo Fashion Festival 2008 – Pavilion Kuala Lumpur

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA)

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra (BDA)

Isetan Young Designer Promo 2006

Penata gaya Miss Universe 2008 Dayana Mendoza untuk rakaman televisyen.

Berita Harian

FFKL: Fabrik Istimewa

31 Mar

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

Hazwani Osman

Pelihara darjat dan kesopanan songket cabaran buat Hazwani

MENGHASILKAN busana moden hasil gabungan fabrik moden dan tenun memberikan cabaran besar kepada pereka Hazwani Osman apabila perlu memastikan fabrik yang melambangkan kedaulatan kesultanan Melayu itu terus terpelihara darjat dan kesopanannya.

Menjejaki sejarah fabrik berkenaan, Hazwani berkata, ia jelas menunjukkan darjat fabrik itu menyebabkan beliau perlu menghasilkan pakaian yang menyerlahkan lagi kedudukan fabrik itu, bukan menjatuhkan atau melindungi ia hingga kalah dek fabrik moden lain seperti renda dan sutera.

“Saya bakal mencetuskan kejutan, kerana lari daripada ‘trademark’ sebelum ini yang kerap tampil bersama gaun malam. Saya boleh menyifatkan kali ini ia akan lebih mengejutkan, atau mungkin juga di luar jangkaan.

“Saya akan menonjolkan rekaan yang mampu menyerlahkan ciri kewanitaan seperti potongan feminine, lebih kepada beralun, dengan penggunaan sutera sifon dan sedikit perincian seperti renda. Banyak bermain dengan rona pastel seperti merah jambu, biru dan kelabu, tetapi saya akan selitkan juga wana terang seperti merah hati dan merah terang untuk memberi ‘stage effect’,” katanya yang banyak menggunakan songket pada bahagian atas pakaian.

Hazwani bersama sembilan pereka lain terbabit dalam Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian yang akan berlangsung selama dua hari bermula 6 April depan di pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama dan Hotel One World, Petaling Jaya.


HAZWANI (dua dari kanan) dan empat pereka FFKL lain dibantu Jasleen Kaur daripada Euromoda, memilih kain bersesuaian.

Selain Hazwani, sembilan pereka fesyen yang terbabit dalam FFKL ialah Nik Erwan Nik Roseli, Chandra Shegar, Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Othman, Calvin Thoo, Amir Luqman, Aidawati Saidin, Nazreen Idris, Nik Erwan Roseli dan Zery Zamry.

Antara penenun yang terbabit dalam FFKL ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI dan Nur Atikah Songket. Acara itu mendapat tajaan daripada Secret untuk solekan dan dandanan artis serta peragawati, Euro Moda menaja fabrik, manakala R&R Craft, Fruitale dan Leesa Formula, penaja cenderamata.

Sambil memuji usaha Berita Harian itu, Hazwani berkata FFKL, terlalu amat besar ertinya kepada pereka dan penenun dalam industri fesyen tanah air. Malah menjadi tanggungjawab pereka membawa songket ke peringkat lebih tinggi menerusi rekaan yang lebih ‘terhormat’ sesuai dengan martabat fabrik itu, supaya orang luar yang menyaksikannya akan faham mengenai apa yang dipaparkan.

“Rekaan yang terlalu kasual, mudah, seksi atau yang boleh dipakai seharian seperti seluar pendek atau sendat, bagaikan ‘menjatuhkan’ martabat fabrik diraja itu. Saya lebih setuju sekiranya pakaian yang menggunakan fabrik songket diketengahkan untuk acara tertentu saja seperti rasmi, berprestij dan dihormati.

“Besar harapan saya ia mampu menjadi landasan kepada pelbagai pihak untuk terus memartabatkan fabrik tempatan. Pada masa sama saya berharap ia menjadi titik tolak kepada bangsa kita sendiri untuk melihat fabrik tempatan dihargai, malah menjadi pilihan untuk digayakan atas permaidani merah dan tidak lagi terlalu mengagung-agungkan buah tangan Eropah,” katanya.

Sungguhpun menghasilkan busana menggunakan songket bukan asing baginya, malah pernah beberapa kali terbabit dalam rekaan fesyen yang memerlukan penggunaan songket beberapa tahun lalu, beliau seakan tidak sabar melihat reaksi orang ramai terhadap acara ini, pada masa sama menyaksikan pereka muda dengan buah tangan masing-masing.

“Kerjasama antara pereka, penenun dan pihak media ini dijangka mampu memberikan kejutan yang mendatangkan kebaikan kepada banyak pihak,” katanya.

INFO

Hazwani Osman

Umur: 27 tahun

Asal: Perak

Kelulusan:

Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam.

Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007

Finalis top 20 Mifa 2006

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005

Finalis Jusco Young Designer 2003

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Berita Harian

3 Gadis Penambat Hati

21 Mar

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Rap
KETRAMPILAN dan personaliti menarik peserta dari Klebang Besar, Melaka, Shakiera Razalie menambat hati juri untuk memilihnya sebagai juara Pertandingan Pencarian Mini Gadis Metro (PMGM) yang berlangsung di Karnival Jom Heboh TV3 di MITC, Air Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Sempena kemenangannya itu, Shakiera, 23, membawa pulang wang tunai RM150 berserta cenderahati berupa hamper produk kecantikan yang ditaja Dery’s Beauty Line serta barangan eksklusif Harian Metro.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.

Ketika ditemui, Shakiera yang bertugas sebagai koordinator di syarikat swasta berkata, dia tidak menyangka penyertaan julung kalinya dalam pertandingan itu membuahkan hasil.

“Sebelum ini, saya menyertai pelbagai pertandingan pencarian bakat baru sekadar untuk suka-suka, tetapi pertandingan PMGM ini memberi pengalaman cukup bermakna dalam hidup kerana muncul sebagai juara.

Shakiera berkata, pembabitannya dalam bidang peragaan bermula ketika dia menjadi model di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2005 dan 2006.

“Saya juga pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja sebelum ini. Bersandarkan pengalaman sedia ada dan minat mendalam, saya memberanikan diri untuk menyertai pertandingan anjuran Harian Metro ini.

“Saya tidak berasa gementar kerana pengacara pertandingan ini, pelakon dan penyanyi Ifa Raziah banyak membantu saya untuk tidak berasa janggal di pentas termasuk menghiburkan kami dengan lawak jenakanya sekali gus menyemarakkan lagi pertandingan,” katanya.

Tempat kedua dimenangi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil, Azzura Daud, 16, dari Duyong, Air Molek, Melaka.

Ternyata penampilan bersahaja Azzura, gadis ayu berambut panjang itu memikat hati juri untuk memilihnya sebagai pemenang.

 

 

Dengan kemenangannya itu, Azzura membawa pulang wang tunai RM100 dan hamper produk kecantikan dari Dery’s.

Azzura berkata, dia meminati bidang peragaan sejak dulu dan menyimpan impian untuk berjaya seperti idolanya, model dan pelakon terkenal Nasha Aziz.

“Perjalanan saya masih jauh lagi dalam bidang ini, tetapi pertandingan ini memberi pengalaman cukup berharga pada saya sekalipun sekadar mendapat tempat kedua,” katanya.

Manakala pemenang tempat ketiga pula dimenangi peserta berasal dari Kuching, Sarawak, Fauziah Mohd Fauzi,18, yang bekerja sebagai pembantu salon.

Dia membawa pulang wang tunai RM50 dan hamper kecantikan.

Fauziah berkata, pada mulanya dia menyertai pertandingan itu sekadar untuk menemani rakan baiknya.

“Saya juga berasa malu dan kekok pada peringkat awal, tetapi selepas melihat aksi Ifa Raziah, saya mula berasa seronok dan semakin selesa di pentas.

“Bayangkan, saya diminta membuat ‘catwalk’ di hadapan ramai penonton. Pada masa sama, peserta yang bertanding juga berbakat dan mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.

“Sekalipun sekadar tempat ketiga, ia cukup bermakna buat saya dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Perjenamaan HM, Zurani Abdullah berkata, semua peserta yang terpilih dalam pertandingan itu rata-rata mempunyai keyakinan diri, personaliti menarik dan bijak berkomunikasi dengan penonton.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Bikin Filem Guna Handycam

5 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BEGITU banyak dugaan dilalui Farizie Morinding sebelum berjaya menang kategori utama – Filem Pendek Terbaik pada majlis Anugerah Filem Pendek Kirana 08/09 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penat lelah Farizie itu dibayar dengan ‘harga mahal’ apabila karyanya, Odui Odu (Oh Grandma) menerima geran pengarahan filem RM100,000, wang tunai RM5,000 dan trofi.

Menceritakan pengalaman menerbitkan filem pendek itu, jelas Farizie ia dibuat tanpa peralatan lengkap tapi hanya menggunakan handycam yang dibelinya pada 2003 ketika menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan harga RM1,500.

Pada handycam itulah dia meletakkan seluruh harapan dan impiannya untuk memulakan langkah dalam industri perfileman.

“Komputer pun tiada di rumah dan saya terpaksa pinjam komputer kawan. Kali pertama dia kata boleh tolong suntingkan filem itu tetapi kemudian dia lari. Saya terpaksa minta tolong kawan lain tetapi komputernya tak hidup.

“Dengan segala macam rintangan dan halangan, saya hampir berputus asa.

“Suatu ketika saya duduk di satu tempat untuk mencari kekuatan dalam diri di samping melihat kelemahan yang ada. Apabila hati kembali tenang, saya terfikir kemiskinan bukan alasan untuk mengalah.

“Saya perlu kuat dan tabah. Akhirnya suntingan Odoi Odu dapat dilakukan menggunakan komputer riba yang hanya dilengkapi perisian asas pembikinan filem. Selepas selesai membuat salinan, saya berjalan 10 kilometer untuk ke perhentian bas sebelum ke pejabat pos menghantar penyertaan menggunakan pos laju.

“Kejayaan ini amat berharga kerana ia dapat dilakukan dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Kemenangan malam itu paling manis buat pemuda dari Ranau, Sabah kerana Odoi Odu juga membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.

Odoi Odu yang menggunakan bahasa Dusun mengisahkan cerita sedih seorang nenek yang dapat melihat roh suaminya.

Biarpun kerap ditohmah malah ada yang beranggapan dia gila, nenek itu sabar menempuh semua dugaan. Nenek itu hidup bertemankan kucing yang ditemuinya dalam kelaparan.

Tempat kedua dimenangi Christopher Low menerusi Mirror manakala tempat kedua, Shuhaimi Zulkefli (Aku) masing-masing menerima RM3,000 bersama trofi dan RM2,000 bersama trofi.

Christopher mengakui terkejut dengan kemenangan itu kerana Mirror adalah filem pendek pertama dihasilkan.

Katanya, banyak dugaan membuat Mirror yang menjalani penggambaran di Terengganu dan siap dalam masa sehari. Ia berkisar kepada seorang gadis yang cuba membunuh diri.

Shuhaimi pula tersepit dengan harapan orang lain terhadap dirinya apabila seorang ustazah memintanya memilih dunia atau akhirat.

“Saya bekas pelajar Sekolah Agama Arab Tinggi di Kedah. Puas saya kena ‘basuh’ dengan ustazah tetapi jiwa saya meronta untuk menceburi dunia perfileman.

“Saya juga melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir sebaliknya memilih ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Setahun saya menjana idea membuat filem ini kerana perlu melakukan pelbagai kajian. Aku dihasilkan dengan bajet paling kecil iaitu RM4 di Langkawi.

“Saya minta bantuan orang kampung dan semua peralatan untuk membuat filem pendek ini dipinjam dari ibu saudara. Kayu digunakan sebagai tripod.

“Tidak banyak yang saya tahu mengenai pembikinan filem. Saya belajar di Aswara pun baru enam bulan dan tidak banyak yang dipelajari.

“Saya buat juga kerana minat berkobar dan untuk menjadikannya satu kenyataan, saya banyak melakukan kajian,” katanya.

Pemilihan mereka ditentukan lima juri, Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Kanan, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, pengarah James Lee, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki, pengarah muda, Osman Ali dan Pengarang Kanan di sebuah universiti swasta, Wong Tuck Cheong.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah pada majlis anugerah itu berkata, geran diberi kepada pemenang pertama supaya idea asas dapat dikembangkan dan Astro akan sentiasa memberi sokongan kepada semua bakat baru itu.

Bagaimanapun jelas Zainir, perjalanan mereka masih jauh namun Astro menyediakan platform untuk mereka mengasah bakat yang ada. Untuk berjaya mereka perlu bekerja kuat.

“Bakat baru sekarang bertuah kerana mereka ada banyak ‘sistem sokongan’ tetapi sejauh mana mereka boleh pergi, bergantung kepada diri masing-masing. Mereka perlu mengambil kejayaan pengarah yang berjaya hari ini yang terlebih dulu mengharungi rintangan. Karya mereka yang menang akan disiarkan di Astro Kirana,” katanya.

Tambah Zainir, penganjuran acara itu membuktikan komitmen Astro dalam menyokong industri perfileman tempatan serta pembangunan penghasilan pengisian dengan menyediakan landasan untuk penggiat muda dan profesional menonjolkan kreativiti mereka.

“Acara tahun kedua itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 120 penyertaan menyaksikan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Astro sudah menyediakan platform ini, diharap ia dapat membawa setiap pengkarya melangkah ke dalam industri dengan lebih yakin.

“Mereka sewajarnya menggunakan ruang yang ada itu untuk mencetuskan idea lebih besar kerana industri sentiasa membantu mereka yang

bersemangat,” katanya.

Majlis anugerah itu dihoskan AC Mizal dan Sazzy Falak dan turut dimeriahkan dengan persembahan Misha Omar, Aizat, Nikki, Stacy, Meet Uncle Hussein, Bunkface, Saiful Apek dan Adam.

Ia juga meriah dengan kehadiran artis terkenal sebagai penyampai anugerah seperti Rosyam Nor, Fazura, Hans Isaac, Nasha Aziz, Rozita Che Wan, Zizan Nin dan Ning Baizura. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Tayangan Unggul, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.

Harian Metro

Dengarnya…: Rashid Sibir Bikin Filem 'Adik-Adik'

19 Feb


Rashid akan menghasilkan filem terbaru, Bidadari.

SATU persatu cerita daripada drama episod dipindahkan ke layar perak. Sebelum ini Kabir Bhatia nak jadikan drama Kekasihku Seru menjadi filem selepas dapat sambutan baik daripada penonton ketika disiarkan di TV. Cik Normah juga ada dengar orang kuat di Metrowealth Movie Production (MMP), David Teoh sedang merancangkan untuk mengambil beberapa siri drama terbitannya sebagai filem.

Tahun lalu, pengarah Rashid Sibir berhasrat menjadikan telefilem Wali lakonan Rita Rudaini, Liza Othman dan Ahmad Tarmimi Siregar ke filem. Tapi yang terbaru, Cik Normah dapat tahu rancangannya tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, pengarah itu masih lagi menerbitkan dan mengarahkan cerita mengenai lelaki lembut atau ‘adik-adik’ bagi filem terbarunya.

Judul filem itu, Cik Normah dapat tahu ialah Bidadari. Khabarnya akan dimulakan penggambaran pada Jun ini dan masih mengekalkan pelakon utama telefilem Wali iaitu Ahmad Tarmimi Siregar di samping Zaibo dan Mimi Zarina. Nasha Aziz dan Saiful Apek yang pernah berlakon filem Cinta Luar Biasa di bawah arahan Rashid pun dijangka berlakon dalam filem ini.

Nasha mungkin akan jadi ‘paperdoll’ manakala Saiful Apek disolek cantik menjadi ‘wanita jadian.’ Fouziah Gous juga antara nama yang disebut pengarah yang sering mendapat jolokan pengarah air mata ini.

Dalam hal Fouziah ini, Cik Normah diberitahu selepas berlakon telefilem Debab yang sudah disiarkan di Astro Ria, Rashid bercadang hendak menggandingkannya dengan Farid Kamil dalam drama cinta berjudul Deru Ombak. Kalau jadi, drama itu akan memulakan penggambaran Mac depan. Kawan Cik Normah pernah memberitahu yang Rashid melihat potensi Fouziah untuk diketengahkan jika diberi tunjuk ajar yang betul. Haa…! Buat peminat telefilem Debab, cerita Debab versi raya akan diarahkan Rashid bersempena sambutan Aidilfitri nanti.

Berita Harian

Keliwon Kepercayaan Jawa

17 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Drama seram hasil pengalaman, pemahaman dan cerita orang tua yang dikutip oleh Rashid Sibir

DEMI mengikuti peredaran zaman dan melakukan satu percubaan baru, pengarah Rashid Sibir yang begitu sinonim dengan genre cinta dan air mata kali ini memberanikan diri menghasilkan drama seram 13 episod, Keliwon yang sudah disiarkan di TV3 setiap Khamis jam 9.30 malam.

Malahan, Rashid yang pernah diberi jolokan ‘pengarah air mata’ ini cuba memberi sedikit anjakan daripada kisah seram yang pernah dihasilkan pengarah lain dengan elemen serta suntikan berbeza.

Kerjasama dengan TV3 juga bukanlah sekerap yang disangka, bahkan drama atau telefilem arahannya lebih kerap disiarkan di stesen TV berbayar. Kali terakhir, dramanya disiarkan di TV3 berjudul Datin Diaries dua tahun lalu. Kertas cadangan ringkasan drama yang dihantar ke TV3 akhirnya membuahkan hasil apabila drama yang tajuknya diberi sendiri oleh Rashid menarik perhatian TV3.

Menariknya, setiap 13 episod yang disiarkan mempunyai cerita berbeza dan ia menjadi cabaran buat dirinya untuk menyiapkan satu episod berbeza yang tiada sambungan dalam tempoh masa 40 minit.

Keliwon juga bukan drama rantaian, kerana Rashid mempraktikkan serampang dua mata dengan harapan ada mana-mana episod dianggap sebagai episod pengenalan yang siapa tahu mampu menarik perhatian TV3 supaya boleh dikembangkan menjadi drama bersiri.

Berbekalkan peruntukan sekitar RM 400,000, drama berepisod Keliwon menjalani penggambaran lebih dua bulan di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Tampin dan Hulu Langat.

Penggambaran bermula sejak Disember tahun lalu hingga Februari dengan membariskan lebih 40 pelakon berbeza dalam setiap episod. Menurut Rashid, Keliwon dijelmakan daripada nostalgia dirinya yang pernah mengalami dan mendengar melalui saluran penceritaan dan yang berlaku di sekitar ruang lingkup kehidupan.

“Sebelum Keliwon, saya pernah mengarahkan drama genre yang sama berjudul Di Alam Lain lima tahun lalu dan disiarkan di Astro. Jika dulu filem cinta seperti Titanic dihasilkan dan ramailah penggiat seni mula tergerak menghasilkan kisah sebegitu.

“Begitu juga dengan cerita seram, setiap negara menghasilkan cerita sedemikian dan menjadi ikutan. Cerita hantu mungkin berbeza mengikut pendekatan setiap negara, menerusi aspek kandungan dan perjalanan cerita mengikut budaya masing-masing,” katanya.

Menurutnya, setiap pengarah termasuk dirinya mempunyai penafsiran dan penjelmaan tertentu apabila melihat subjek ‘hantu’ atau elemen seram itu dihasilkan.

Sehubungan itu, katanya, untuk Keliwon, ia tercetus apabila saya memerhatikan kalendar lama yang tertulis Jumaat Keliwon pada minggu ketiga setiap bulan. Mengikut kepercayaan orang Jawa terutamanya ia sering dikaitkan dengan benda yang ‘keras’ dan makhluk halus.

“Saya aplikasi pengalaman kehidupan lalu dan saya pasti setiap daripada kita pernah mengalami nostalgia waktu kecil apabila ditakutkan dengan pelbagai kisah hantu pelbagai versi.

“Cerita rakyat rekaan atau sebaliknya ini sedikit sebanyak akan menghantui kita. Bapa saya sendiri berkongsi pelbagai cerita, sewaktu saya tinggal di kampung, Batu Pahat. Mungkin frasa, ‘jangan keluar malam, nanti diganggu hantu’ antara contoh apa yang saya maksudkan,” katanya ketika ditemui dalam sesi ramah mesra pelakon drama Keliwon, baru-baru ini.

Asalkan tidak timbul masalah

DITELITI kembali kebanyakan pelakon yang terbabit di dalam drama ini adalah antara pelakon yang sering menjadi pilihan Rashid menghiasi drama dan telefilem yang dihasilkan. Pendek kata, asyik muka yang sama digunakan oleh Rashid.

Rashid berkata, dia harus akur dengan prosedur mana-mana stesen terbabit yang mempunyai kriteria pilihan pelakon tertentu.

Tambahnya lagi, dia mempunyai alasan sendiri memilih muka yang sama untuk produksi miliknya hingga wujud istilah kronisme. Terbit juga masalah kepadanya apabila sukar untuk mencari pelakon yang sesuai pada masa yang ditetapkan.

“Kalau kita imbas kembali sejarah perfileman zaman hitam putih dulu, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri selalu mengambil pelakon yang sama untuk membintangi filemnya.

“Perkara ini tidak perlu dibangkitkan kerana saya sendiri jika selesa dan serasi dengan seseorang pelakon, saya tidak teragak-agak untuk menawarkan watak kepadanya lagi. Saya yakin muka yang sama inilah antara pelakon terbaik yang boleh diharapkan,” katanya.

Rashid berkata, faktor lain dia cenderung mengambil orang sama adalah kerana wujudnya persefahaman dan keserasian yang menjadikan timbul rasa keyakinan mereka tidak akan memberikan masalah kepadanya apabila sesebuah drama dijalankan.

“Untuk mengelak berlakunya macam-macam masalah itu dan ini, saya ambil pelakon ‘kegemaran’ sendiri. Soal pelakon hanya subjektif, janji produk itu menarik dan diminati.

“Buat apa menawarkan watak kepada pelakon yang tamak ambil dua tiga kerja dalam satu masa hingga akhirnya mengundang risiko,” katanya yang bakal mengarahkan sebuah telefilem untuk Astro berjudul Diari Mak Ayam berkisarkan kehidupan isteri yang dilacurkan suaminya sendiri. Mariani akan memegang watak utama.

Info Keliwon

Mula disiarkan sejak 5 Februari lalu setiap Khamis jam 9.30 malam.

Berdasarkan cerita seram rakyat, sebanyak 13 episod yang membawa penonton mengenali entiti seram dengan tajuk menarik seperti Sungai Puaka, Darah Lantera, Saka Harimau, Saka Pulut Kuning, Santau, Pontianak, Hantu Kopek, Tiang Seri, Anak Belaan, Rasuk, Puaka Kain Kapan, Mak Andam Cantik dan Puja.

Menghiasi slot Seram di TV3 selepas drama Susuk, Anak Pontianak, Saka, Kekasihku Seru dan Puaka Niyang Rapik.

Episod Puaka Kain Kapan antara yang paling menyeramkan Rashid sendiri sebagai pengarah.

Gara-gara penggambaran drama ini, Rashid mengakui masanya bersama keluarga agak terbatas kerana ada kalanya penggambaran berlanjutan dari pagi hingga ke pagi keesokan harinya.

Lagu tema drama ini berjudul Jangan Kau Pergi dinyanyikan Farawahida

Info Rashid Sibir

Berasal dari Sungai Nibung, Semerah, Batu Pahat, Johor

Selepas mengarahkan filem Sutera Putih, Laila Isabella dan Cinta Luar Biasa, Rashid dalam perancangan untuk mengarahkan filem Bidadari yang menjadikan subjek golongan adik-adik menampilkan watak utama Ahmad Tarmimi Siregar, Zaibo dan Mami Zarina. Penggambaran akan bermula Jun ini dijangka menampilkan Nasha Aziz, Saiful Apek dan Fouziah Gous. Malah filem ini dikelaskan sebagai komedi yang memaparkan permasalahan sosial melanda masyarakat.

Tahun lalu, pernah merancang membawa telefilem Wali ke layar perak. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak jadi kesampaian apabila cerita daam filem Bidadari lebih kurang sama di dalam tele filem Wali.

Perkahwinannya dengan Nurulhuda Azizi pada 31 Mac 2007 kini bertambah seri dengan kehadiran anak sulung mereka, Ainul Mardiah, 8 bulan.

Bakal menerbitkan drama cinta lagi selepas ini berjudul Deru Ombak menggandingkan Fouziah Gous dan Farid Kamil sebagai teraju utama.

Filem pertama arahannya iaitu Sutera Putih mengangkatnya sebagai Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia pada 1997.

Cukup sinonim dengan telefilem Pondok Buruk, Takbir Suci, Quran Buruk, Salina dan drama Dalam Hati Ada Cinta.

Berita Harian

Rai Tahun Baru Cara Rafflesia

5 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

DATUK Jimmy Choo melukis di mata singa sebagai simbolik perasmian majlis sambil diperhatikan Winnie.

Majlis makan malam sebagai tanda persahabatan dihadiri selebriti dan artis popular

SUASANA ceria melatari Grand Sultan Ballroom, Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur apabila himpunan nama terkenal berbilang bangsa bersatu pada majlis Makan Malam Gala Rafflesia dan Mandalay sempena sambutan Tahun Baru Cina, Ahad lalu.

Rakaman suasana gemilang itu seakan menterjemahkan kemakmuran dan keharmonian masyarakat Malaysia, memperlihatkan Tahun Baru Cina yang terus dirai sebagai platform mengukuhkan perpaduan serta mengeratkan persefahaman antara kaum.

Sudah menjadi tradisi bagi Rafflesia The Pearl Centre untuk meraikan mereka yang menyumbang kepada kejayaan empayar perniagaannya setiap kali tiba Tahun Baru Cina.

Andai tahun terdahulu, sambutan perayaan itu dilakukan penuh sederhana namun kedatangan Tahun Lembu yang melambangkan kemakmuran diraikan sedikit berbeza.

Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin berkata, mereka cuba mencipta kelainan dengan meraikan sambutan Tahun Baru Cina menerusi satu majlis penuh glamor dan berwarna-warni.


NASHA Aziz dan Chef Wan tampil penuh gaya.

Menjadikannya lebih bermakna, majlis itu turut dilimpahi kemilau cahaya dengan kehadiran nama popular dan anggun yang memahat kejayaan dalam industri hiburan.

“Ia bersesuaian kerana acara ini dibuat pada hari ketujuh sambutan Tahun Baru Cina yang menurut kepercayaan masyarakat Tionghua akan membawa tuah dan kebaikan.

“Mengambil keberkatan itu, kami menganjurkan majlis makan malam ini sebagai tanda penghargaan dan persahabatan di samping memperkenalkan rangkaian barangan terbaru daripada koleksi Mandalay,” katanya.

Dihadiri lebih 250 tetamu, acara eksklusif yang menyatukan elemen tradisi dan kontemporari itu bermula jam 6.30 petang dengan pengenalan rangkaian Chinese New Year Jadeite Bangles Collection.


NING Bai zura mengalunkan L.O.V.E. khusus untuk tetamu.

Koleksi terbaru yang dipamerkan sehingga 9 Februari ini diperagakan oleh nama masyhur dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa menerusi kemunculan bintang ternama seperti Anita Sarawak, Nasha Aziz, Eja, Syafinaz Selamat, Soo Wincci, Ning Baziura dan Rachel Tan di permaidani merah.

“Memiliki jed adalah satu kemestian bagi masyarakat Cina kerana ia membawakan tuah dan kemakmuran. Justeru, kami menerapkan kepercayaan itu menerusi rekaan kontemporari untuk disesuaikan dengan penampilan glamor mereka yang menggayakannya,” kata Winnie.

Biarpun diburu kesibukan, namun Winnie bertuah kerana majlis itu mendapat kerjasama empat pereka tempatan yang menghasilkan rekaan khas untuk digayakan selebriti pada majlis berkenaan.

Nama seperti Carven Ong, Bill Keith, Alvin Tay dan Michael Shu sememangnya sudah sinonim dengan industri fesyen tempatan dan akui Winnie, dia begitu berbangga dengan komitmen yang mereka berikan.

“Untuk acara penting seperti ini, peranan pereka fesyen sangat penting kerana sedikit sebanyak mereka membantu personaliti untuk tampil hebat dan mengagumkan. Paling penting saya mahu tetamu yang datang bergembira dan hadir bergaya kerana mereka ialah bintang yang menyinari langit industri hiburan.

“Saya mahu berkongsi kegembiraan ini bersama mereka, membuatkan tahun ini kami meraikan Tahun Baru Cina dengan lebih glamor namun menceriakan semua,” katanya.

Lebih istimewa, majlis makan malam itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi terkenal kelahiran Macau, Maria Cordero.

Pemilik vokal lantang serak basah yang mengahwini lelaki berdarah campuran Cina-Portugis itu memukau tetamu dalam rekaan Carven Ong diperindahkan dengan rantai tangan jed bernilai RM488,000.

“Kami sudah lama saling mengenali iaitu sejak dia menjayakan konsert 4 Asian Divas bersama Anita Sarawak, Elisa Chan dan Frances Yip di Arena Of Stars, Genting Highlands, tiga tahun lalu.

“Bermula dari itu, persahabatan kami terus mekar. Bagai ada satu tarikan yang membuat kami dekat dan sejak itu, kami terus akrab seperti sudah berkawan lama,” katanya.

Majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan daripada Anita yang menggayakan rekaan Bill Keith dan aksesori jed bernilai RM688,000.

Turut membuat persembahan ialah Ning Baizura, Syafinaz dan pemenang Sehati Berdansa musim kedua, Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang menarikan tarian ballroom menerusi lagu Gema Rembulan.

Pereka untuk selebriti

Carven Ong:

Soo Wincci

Cindy Chen (Pemenang kedua Miss Malaysia/Dunia 2008)

Suki

Xandria Ooi

Jolene Chin (Miss Astro Chinese International 2004)

Maria Cordero

Puan Sri Chelsia Cheng

Rachel Tan (Miss Chinese International 2003)

Bill Keith:

Anita Sarawak

Andrea Fonseka

Ning Baizura

Eja

Maria Cordero

Pushpa Narayan

Levy Li Su Lin (Miss Malaysia/Universe 2008)

Alvin Tay:

Huang Mei Si (Miss Chinese Cosmos 2007)

Winnie K

Syafinaz Selamat

Michael Shu:

Lisdawati

Berita Harian

Terkejut Terima Set Barang Kemas

4 Feb

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

KESERONOKAN berganda buat Ning Baizura Hamzah, 34 dan suami, Omar Sharif Christophr Layton Dalton, 35 apabila menerima kejutan daripada pengarah Jewellery Circles Sdn Bhd, Winnie Sin.

Pasangan ini menerima set barang kemas mencecah RM100,000 sempena menyambut ulang tahun perkahwinan pertama dan ianya disampaikan sehari sebelum majlis makan malam Tahun Baru Cina, Rafflesia dan Mandalay. Majlis berlangsung di Grand Sultan’s Ballroom, Le Meridien Hotel, Ahad (1 Februari) lalu.

Ia berlangsung dengan meriah dihadiri penghibur bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak, Siti Shahrizah (Eja), Nasha Aziz, Lis Dawati dan suami, Fauzi Nawawi; Pushpa Narayan, juara One In A Million; Suki Low, Syafinaz Selamat dan Vanidah Imran bersama suami, Rashidi Ishak.

Ning berkata, dia terkejut dengan hadiah diberikan Winnie dan menganggap ia pemberian sangat berharga daripada seorang rakan.

“Sebelum hadir di majlis ini, saya sempat bertemu dengan Winnie bagi melihat barang kemas yang mahu ditaja dan digayakan di majlis dianjurkan. Sedang leka membelek, tiba-tiba dia membawa keluar satu kotak aksesori dan katanya ini untuk kami berdua.

“Saya terkejut seperti tidak percaya. Sempat juga saya berkata pada Winnie tidak perlulah hadiah mewah itu diberikan kepada kami tetapi dia berkeras dengan alasan sewaktu majlis perkahwinan kami dia tidak dapat hadir.

“Sebagai membalas rasa bersalah, dia mahu kami menerima pemberian itu. Saya terharu menerima set barang perhiasan mutiara asli berupa subang, rantai dan cincin sementara Omar menerima kafling,” katanya.

Dalam pada itu, Ning sempat bercerita mengenai sambutan ulang tahun perkahwinan pertamanya. Kata penyanyi yang bakal membintangi filem Magica memegang watak Puteri Gunung Ledang, dia menghabiskan masa bersama suami di Melaka pada 31 Januari lalu.

“Apa yang kami lakukan itu amat menyeronokkan. Kami pergi tidak lama iaitu satu hari satu malam. Di sana kami banyak menghabiskan masa dengan melawat tempat-tempat bersejarah.

“Rasa seronok sebab saya sudah lupa banyak perkara mengenai sejarah kesultanan Melayu di Melaka dan penjajahan Portugis. Jadi apabila ke sana, saya dapat mengingatkan kembali apa yang pernah dipelajari sebelum ini.

“Pada suami pula dia akan lebih mengenali sejarah negara isterinya. Omar seronok kerana banyak tempat bersejarah dan menarik boleh dilawati di Malaysia sebenarnya. Pada kami ia boleh dikatakan bulan madu kedua,” katanya.

Mengenai hadiah diterima daripada suami, jelas Ning budaya sambutan menyambut ulang tahun perkahwinan masyarakat di barat dan timur berbeza.

“Kalau hendak diikutkan, sebenarnya orang kita mana hendak sambut ulang tahun perkahwinan dan hari jadi kerana ia bukan budaya kita. Pada malam ulang tahun perkahwinan kami, Omar membuatkan saya menangis.

“Hadiahnya tidak memerlukan wang yang banyak tetapi perlu berusaha keras dan itu yang membuatkan saya sangat terharu. Mengikut budaya di barat, pada ulang tahun pertama mereka perlu memberikan hadiah berupa kertas dan tidak kira apa bentuknya.

“Hendak tahu apa yang Omar lakukan, dia menghasilkan buku kolaj yang menampilkan 100 keping gambar kami sebanyak 20 muka surat yang dikumpul dari zaman kami mula berkenalan, bertunang, berkahwin dan hinggalah sekarang.

“Saya pula rasa bersalah kerana tidak sempat menyediakan apa-apa hadiah kerana dalam waktu sama sedang sibuk dengan kerja-kerja rakaman single terbaru dan undangan mengadakan persembahan. Namun saya tebus kembali dengan percutian ke Melaka,” katanya.

Sementara itu majlis makan malam Rafflesia dan Mandalay sempena perayaan Tahun Baru Cina, Winnie turut menjemput penghibur popular dari Hong Kong, Maria Cordero untuk menghiburkan tetamu.

Katanya, majlis diadakan pada malam itu bagi menghimpunkan dan meraikan rakan rapatnya yang banyak menyokong perniagaan dilakukan termasuk teman artis.

“Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, sambutan tahun baru ini ibarat menyambut hari jadi setiap hari. Kerana itu saya turut memanggil semua rakan pada malam itu.

“Di samping meraikan teman-teman saya turut memperkenalkan koleksi terbaru barangan perhiasan Mandalay Jadette dan Rubbies. Lagipun masyarakat Cina percaya bahawa batu jade membawa tuah dan untuk itu penting bagi mereka mempunyai paling tidak seutas gelang diperbuat daripada batu jade,” katanya.

Kehadiran Maria dan Anita mahupun Ning yang tampil menghiburkan tetamu pada malam itu tidak dibayar sebaliknya mereka datang untuk bersama-sama menyambut Tahun Baru Cina.

“Mereka ini sudah saya anggap teman rapat, malah Maria yang saya mula kenali sewaktu menjayakan konsert Diva Asia empat tahun lalu masih terus berhubungan, kerana itu saya mahu dia hadir di malam majlis istimewa yang saya adakan ini,” katanya.

Malam itu selain artis popular ini menggayakan koleksi berang kemas menarik dari Rafflesia dan Mandalay, pakaian mereka turut direka khas oleh Carven Ong, Bill Keith, Alvin Tay dan Michael Shu.

Harian Metro

Mimi Capai Sasaran

4 Feb

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

SELEPAS hampir dua tahun membabitkan diri dalam lakonan, impian untuk melebarkan bakat di layar perak menjadi nyata buat pelakon, Mimi Rahzia Tamin atau Mimi, 26.

Gadis jelita kelahiran Brunei ini sudah terbabit dalam lebih 10 drama dan telemovie yang disiarkan di televisyen tempatan. Antara drama yang melonjakkan nama bekas pengacara program berbentuk majalah travelog, Teman (8TV) ialah drama bersiri Iris.

Selain penampilan sulungnya memegang watak utama sebagai Intan dalam MiniNovella, Kerana Ayah yang diadaptasi daripada pertandingan cerpen Fair & Lovely MiniNovella Penuhi Hasrat Hatiku anjuran bersama akhbar nombor satu negara, Harian Metro.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kariernya, Mimi ternyata bersyukur kerana sasaran dan impian untuk melakonkan watak dalam filem menjadi kenyataan. Pembabitan dalam dua filem berlainan genre iaitu Bunian: Mahkota Seri Helang dan kisah seram, Momok The Movie (MTM) menjadi landasan terbaik untuknya mengukuh nama dalam dunia lakonan.

Pemegang ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan, Universiti Teknologi Sydney-Kolej Taylors ini berkata, tawaran membintangi filem berkenaan ibarat pucuk dicipta ulam mendatang apatah lagi bagi pelakon baru sepertinya.

“Hendak dikatakan terlalu awal mendapat peluang melakonkan watak dalam filem tidak juga. Ada sesetengah pelakon yang mendapat tawaran filem dulu sebelum drama.

“Saya sendiri meletakkan sasaran penghujung tahun lalu untuk sekurang-kurangnya dapat berlakon dalam satu filem dengan watak yang lebih besar.

“Mungkin rezeki saya pada tahun ini. Saya sendiri tidak menyangka dapat mencapai sasaran itu. Biarpun, masih baru dalam bidang lakonan. Saya berazam menampilkan yang terbaik. Apatah lagi diberi peluang bergandingan dengan beberapa pelakon terkenal tanah air,” katanya.

Mimi memegang watak Puteri Mawar Putih untuk filem Bunian: Mahkota Seri Helang arahan Zaharil Izham Zainon atau Jantan. Filem pertama terbitan produksi Fantasy Films Sdn Bhd itu dianggarkan menelan perbelanjaan lebih RM3.5 juta turut dibintangi pelakon terkenal, Nasha Aziz dan Rusdi Ramli. Penggambaran filem berkenaan dijadualkan bermula 15 Februari ini.

Mimi yang pernah menimba ilmu dengan menyertai Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) kini dalam rangka persediaan untuk menjayakan watak berkenaan.

“Sebagai persediaan, saya melakukan banyak senaman dan aktiviti kecergasan. Ini kerana watak Puteri Mawar Putih banyak membabitkan aktiviti lasak membabitkan penggambaran di hutan dan aksi.

“Watak ini turut membabitkan tarian tapi tidak banyak berbanding Puteri Manja Sakti (Nasha Aziz).

“Saya sendiri tidak pernah berkesempatan berlakon bersama Nasha dan Rusdi. Tidak dinafikan perasaan teruja dan gemuruh itu ada. Sememangnya kesempatan ini adalah peluang bagi saya untuk menuntut ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan pernah memenangi anugerah dalam lakonan seperti Rusdi dan Nasha,” katanya.

Mimi turut membawa watak hantu sampuk dalam MTM arahan M Jamil yang memula penggambaran di Temerloh, Pahang, semalam. Filem genre seram itu menyaksikan gandingannya bersama Liz dan Mama Rina Akademi Fantasia (AF6).

Filem berkenaan diterajui Nabil dan Faizal AF4 serta pelakon veteran, Datuk Aziz Satar. Menariknya filem terbitan Galaksi Seni Sdn Bhd (GSSB) adalah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Menariknya, filem ini dijangka menampilkan pelbagai jenis hantu. Lokasi penggambaran yang kebanyakan berlangsung pada waktu malam mengambil kisah daripada cerita yang pernah berlaku. Ini juga kali pertama saya berkerja di bawah bimbingan M Jamil.

“Penyertaan menerusi filem ini diterima selepas melepasi sesi uji bakat yang berlangsung di Finas, Disember lalu,” katanya.

>Profil

NAMA PENUH: Mimi Rahzia Tamin

NAMA KOMERSIAL: Mimi

TEMPAT LAHIR: Brunei

TARIKH LAHIR: 13 Januari 1983

ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan, Universiti Teknologi Sydney-Kolej Taylors

KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model

IKLAN: Perodua

PENGACARAAN: Teman (8TV)

TEATER: Lorong Blues

DRAMA: Kerana Ayah, Impian Ilyana, Iris, Dinasti Bilut, Nek Nak, Ritma Kampus, Intan Asmara, Tangisan Bulan Madu, Elit, Cinta Gila, Pasrah, Jula Juli Bintang 3

Harian Metro