Archive | Hijjaz RSS feed for this section

Hijjaz Berniaga Pakaian, Kopi Kesihatan

24 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Lebih percaya konsep usaha sama berbanding sekadar jadi duta produk

PASARAN jualan album yang tidak menentu ketika ini menyebabkan ramai anak seni mula mengalihkan perhatian kepada dunia perniagaan. Bukan meninggalkan terus bidang hiburan yang menjadi darah daging mereka selama ini tetapi sebagai persediaan untuk menghadapi masa depan.

Kebelakangan ini semakin ramai golongan artis menceburi perniagaan. Ada yang membuka restoran, pusat kecantikan, butik serta perniagaan secara online. Tidak ketinggalan, kumpulan nasyid Hijjaz yang turut menceburi bidang perniagaan yang agak tersasar dengan kerjaya mereka iaitu mengeluarkan dua produk berasaskan jenama Hijjaz iaitu pakaian dan juga kopi kesihatan.

Dua produk ini akan dijalankan di bawah syarikat mereka iaitu Hijjaz Trading Corporation (HTC). Untuk pakaian, HTC akan bekerjasama dengan Dwarna Industries(M) Sdn Bhd manakala untuk kopi, kolaborasi itu akan dijalankan bersama syarikat Color Fly Sdn Bhd.

Majlis memorandum persefahaman diadakan antara HTC, Dwarna Industries (M) Sdn Bhd dan Colour Fly Sdn Bhd diadakan di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Mengulas pembabitan mereka dalam kedua-dua perniagaan itu, Pengarah Urusan HTC, Isman Nadim Isam berkata pada awalnya kedua-dua syarikat itu berminat untuk menjadikan mereka duta semata-mata. Bagaimanapun, tegas Isman, menjadi duta bukanlah polisi Hijjaz sejak dulu lagi.

“Kami tidak mahu menjual nama kami semata-mata. Jadi apabila dua syarikat ini menawarkan kami menjadi duta mereka, kami sarankan kepada mereka supaya kami turut serta dalam perniagaan mereka. Secara tidak langsung, kami berpeluang untuk mempelajari perniagaan baru,” kata Isman pada sidang media kemudian.

Sebelum ini, HTC sudah pun mempunyai rangkaian perniagaan seperti Hijjaz Records Sdn. Bhd serta tiga lagi anak syarikat yang bernaung di bawah HTC ialah HR Publishing, AD Country Resort (Teratak Hijjaz) dan Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn. Bhd.

Ditanya mengapa bidang rekaan fesyen menjadi pilihan, Isman berkata perniagaan itu memang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

“Ketika ini HTC dan Dwarna bersetuju untuk bekerjasama dalam hal ehwal rekaan pakaian serta menjadi ejen pengedar pakaian di pasaran di bawah jenama HijjazDwarna. Buat masa ini kami sudah pun menyediakan lima rekaan terbaru di mana kesemuanya bercirikan busana muslimah yang menutup aurat.

“Selepas ini, fesyen pakaian lelaki pula akan menyusul,” ujar Isman optimis.

Memandangkan mereka ingin menjadikan perniagaan pakaian ini secara serius, Isman berkata mereka juga akan melantik selebriti atau model untuk menjadi jurucakap kepada label mereka nanti.

“Kami sudah pun mempunyai beberapa nama sesuai yang akan menjadi jurucakap untuk pakaian ini nanti. Sampai masanya nanti, kami akan umumkan,” ujarnya separuh berahsia.

Mengulas perniagaan kopi campuran yang akan dijalankan bersama Colour Fly, Isman berkata dia menceburi perniagaan itu kerana prospeknya yang cerah.

“Sejak peristiwa kekejaman rakyat Palestin, di Semenanjung Gaza ramai orang kita sudah mula cerewet mengenai pemakanan dan produk halal mula mendapat permintaan ramai. Jadi, kesempatan ini kami gunakan untuk menawarkan produk yang hala, dari segi syariatnya seperti kopi Hijjaz ini,” jelas Isman sambil memberitahu mereka juga akan membuka sebuah kilang di Shah Alam untuk perniagaan kopi itu.

Berita Harian

Nik Nur Madihah Pilih Jordan Lanjutkan Pelajaran

17 Apr


MADIHAH (tengah) melihat buku Catatan Hati Nik Nur Madihah yang dilancarkan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Muhd. Kamal, 18, memilih Jordan untuk melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah melakukan solat Istikharah dengan memilih bidang Fizik Islam.

“Saya akan berlepas ke sana pada bulan Ogos atau September ini.

“Buat masa ini saya sedang membuat penyelidikan bersama pihak Bank Negara untuk memilih universiti terbaik dalam bidang Fizik Islam,” katanya.

Nik Nur Madihah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku kisah hidupnya bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah terbitan Hijjaz Records Publishing (HRP) di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah ibu dan bapanya, Mariyani Omar dan Nik Muhd. Kamal Husin.

Nik Nur Madihah yang fasih berbahasa Arab memberitahu, dia masih tidak percaya kisah hidupnya dibukukan dan berharap pembaca akan mengambil ilmu dalam buku itu sebagai pengajaran dalam hidup.

Buku berharga RM25.90 itu akan mula dijual hari ini dan ia diterbitkan oleh Pengurus HRP, Faizal Osman dengan dibantu oleh Ummu Hani Abu Hassan.

Kosmo

Sinopsis Buku: Berdialog Dengan Jin – Diari Seorang Perawat

14 Apr

Judul: Berdialog Dengan Jin – Diari Seorang Perawat

Penulis: Abd Majid Hassan

Penerbit: Hijjaz Records Publishing (2009)

Harga: RM31.90 (Sabah & Sarawak RM33.90)

 

 

Halaman: 310

Masyarakat umum begitu taksub dengan pelbagai kepercayaan tahyul dan cerita mistik dongeng sehingga adakalanya turut mempengaruhi perjalanan kehidupan seharian.

Hakikatnya, Allah menerusi firman-Nya di dalam al-Quran dan Rasulullah menerusi sabdanya sudah menerangkan secara terperinci mengenai kejadian makhluk halus.

Buku ini mencatatkan pengalaman peribadi penulis yang juga seorang perawat ketika berhadapan dengan makhluk halus yang mengganggu manusia.

Ia tidak bermaksud untuk menakutkan pembaca namun buku ini mengandungi pelbagai ilmu yang amat bermanfaat untuk membenteng diri daripada diganggu kelompok jin dan syaitan.

Teknik dalam buku ini hanya sebagai panduan, tetapi iktikad mestilah disandarkan semata-mata kepada Allah swt.

Harian Metro

Sinopsis Buku: Gerakan Freemasonry – Musuh Dalam Menghancurkan Islam

14 Apr

Judul: Gerakan Freemasonry – Musuh Dalam Menghancurkan Islam

Penulis: Nik Azran Muhamed/Mohd Mahadi Isa

Penerbit: Hijjaz Records Publishing (2009)

Harga: RM35.90 (Sabah & Sarawak RM37.90)

 

 

Halaman: 213

Gerakan bawah tanah seperti Freemasonry dibawa masuk untuk diterapkan ke dalam gerakan kebangsaan yang dibentuk.

Gerakan seumpama ini menyusup masuk dan menjadi tulang belakang kepada gerakan yang bersifat kebangsaan. Kehadiran gerakan seperti ini membawa masuk slogan yang zahirnya menampakkan mereka sebagai gerakan yang memperjuangkan nasib bangsa tetapi pada hakikatnya, mengandungi agenda rahsia untuk kepentingan musuh Islam.

Buku ini membincangkan secara terperinci mengenai Gerakan Freemasonry termasuk latar belakang gerakan dan bahayanya terhadap umat Islam.

Harian Metro

Nabil Mampu Gugat Mawi, Siti?

11 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SIAPAKAH yang bakal mengungguli trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi edisi ke-22 malam esok? Semua persoalan itu bakal terjawab pada malam kemuncak majlis gilang-gemilang ABPBH08 yang akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands di TV3, jam 9 malam.

Senarai penuh pencalonan akhir ABPBH08 juga menyaksikan bintang realiti TV dan band indie tempatan antara 28 muka baru yang mendominasi beberapa kategori tertentu daripada seramai 80 penyanyi, pelakon dan personaliti disenaraikan sekali gus bersaing dengan nama popular.

Kategori paling mencuri tumpuan sudah pasti gelaran Bintang Paling Popular yang bakal membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Ramai menjangkakan malam kemuncak acara berprestij ini bakal menyaksikan kejutan kerana ada nama baru yang akan menang beberapa kategori utama dari 16 kategori dipertandingkan.

Calon kegemaran yang disebut-sebut memberi saingan sengit kepada Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza untuk membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ialah bintang yang digilap daripada program realiti Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 26 atau nama komersialnya, Nabil Raja Lawak.

Nama dan populariti Nabil meningkat dengan mendadak dalam tempoh setahun berkecimpung sebagai anak seni. Setakat ini tujuh filem dilakonkan iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…hantu.

Selain berlakon filem, Nabil yang hangat bercinta dengan pelakon Irma Hasmie ini juga melebarkan sayapnya sebagai pengacara dan terbaru gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

Difahamkan, undian awal ABPBH08 membuktikan, Nabil menerima jumlah undian melebihi jumlah undi diterima Mawi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Jika jangkaan itu tepat, gelaran yang dipertahankan Mawi sejak tiga tahun lalu akan beralih kepada Nabil, sekali gus melakar sejarah baru dalam anugerah berpestij ini.

Kejayaan ini sekali gus menjadikan Nabil artis komedi kedua berjaya selepas Saiful Apek bergelar Bintang Paling Popular.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini juga berhadapan laluan mudah untuk mengetepikan artis kelahiran AF seperti Nubhan dan Riz. Begitu juga dua lagi calon, Aiman dan Fizo dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.

 

 

Kemungkinan besar, Nabil juga bakal mengetepikan nama besar seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak untuk Artis Komedi Popular.

Betapa hebat pun pengaruh besar Nabil dalam industri seni tanah air, dia lebih suka merendah diri dalam segala hal menyedari baru setahun jagung bergelar anak seni. Malah kata Nabil, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Saya tidak terfikir pun untuk menjadi finalis pada acara berprestij itu. Sebenarnya, saya cuma jangka untuk tampil menjadi penyampai anugerah, tetapi sebaliknya nama saya dicalonkan dalam dua kategori sekali gus.

“Tapi jika menang nanti, saya tetap bersyukur dan menganggap ia bonus sekali gus menyuntik semangat untuk bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Antara artis muda yang menyerlah dan memberi saingan sengit bagi kategori Artis Baru Wanita Popular

ialah bintang yang digilap dari AF, Stacy. Dia juga bersaing dengan empat lagi calon iaitu Ayu (OIAM), Lisa Surihani, Sari Yanti dan Scha.

Namun, dia berhadapan cabaran sengit kategori Penyanyi Wanita Popular kerana berhadapan dengan Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Elyana. Bagi Stacy, sekadar dicalonkan dalam senarai Top 5 dalam ABPBH 2008, sudah cukup bermakna buatnya.

“Saya tidak mengharap kemenangan untuk Penyanyi Wanita Popular kerana semua sedia maklum, Siti sukar digugat artis lain.

“Saya juga bersaing dengan ramai bakat baru yang tidak kurang hebatnya untuk Artis Baru Wanita Popular. Kalau menang, ia rezeki tapi kalau kalah, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk pencalonan tahun depan,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak boleh dipandang ringan untuk Artis Baru Wanita Popular ialah pelakon yang popular menerusi drama Kaisara, Sari Yanti.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana saingan kategori ini hebat belaka,” katanya.

Kategori penyanyi Duo/Berkumpulan Popular menyaksikan penguasaan band indie tempatan seperti Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussain. Ketiga-tiga band ini mempunyai kekuatan dan pengikut tersendiri.

Kemunculan pelakon kacak kelahiran Singapura, Aaron Aziz untuk Pelakon TV Lelaki Popular juga tidak boleh diperlekehkan. Aaron berhadapan calon berpengalaman Rosyam Nor dan pelakon popular lain, Que Haidar, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad.

Ashraf yang popular dalam Puaka Ning Rapik dan drama bersiri Yusuff juga tidak boleh dipandang ringan dan mampu menggugat Rosyam yang menggungguli kategori ini sejak 2004. Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Rosyam mengungguli kategori itu selama tujuh kali sejak 1997.

Sementara itu Siti yang kini mempertaruhkan bingkisan album terbarunya Lantera Timur, dijangka terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular yang sudah sedekad dalam gengamannya.

Apapun kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Siti ternyata tidak menggugat populariti isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sekali gus mengetepikan dengan mudah semua calon lain.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan persaingan tiga nama besar dalam industri lakonan, Erra Fazira, Vanidah Imran dan Maya Karin berbanding dua calon baru, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.

Laluan artis kontroversi, Fasha Sandha untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular nampaknya tidak mudah kerana kemunculan artis yang lebih segar dan laris ketika ini seperti Diana Danielle.

Manakala kehadiran Saiful Apek sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dikatakan boleh menggugat peluang Rosyam Nor untuk mengungguli kategori berkenaan ini.

Untuk Artis Komedi Wanita Popular, kehadiran muka baru, Amyza Aznan, Norkhiriah, Ruminah Sidek dan Sheila Mambo sukar menggugat penguasaan Sheila Rusly yang mengunggulinya sejak 2003. Hanya Kenchana Dewi dicalonkan kali kedua.

Rasanya sukar bagi peminat mengundi pemenang baru kerana memikirkan hadiah lumayan menanti mereka sebaliknya lebih selamat memilih pemenang tahun lalu. Saban tahun ABPBH menyaksikan keputusan sama mungkin kerana sikap berhati-hati pembaca.

Aznil Nawawi juga mengungguli kategori Pengacara TV Lelaki Popular sebanyak lima kali. Tahun ini Aznil bersaing dengan senarai tradisi, AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Aznil juga dicalonkan untuk Penyampai Radio Lelaki Popular.

Fara Fauzana pula dijangka berhadapan laluan mudah untuk mengungguli Pengacara TV Wanita Popular dan bakal mengulangi kejayaan tahun lalu untuk Penyampai Radio Wanita Popular yang dirampasnya dari Linda Onn yang mengungguli kategori itu enam tahun berturut-turut sejak 2001.

Kategori Penyanyi/Artis Nasyid Popular pula menyaksikan nama besar dalam industri nasyid, Rabbani, Hijjaz dan Raihan berhadapan saingan muka baru, Akhil Hayy dan Aiman.

SENARAI FINALIS ABPBH08

1. Pengacara TV Lelaki Popular
* AC Mizal
* Ally Iskandar
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Faizal Tahir

2. Pengacara TV Wanita Popular
* Abby Fana
* Cheryl Samad
* Fara Fauzana
* Juliana Evans
* Nurul Alis

3. Pengacara Radio Lelaki Popular
* AG
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Khairil Rashid
* Kieran

4. Penyampai Radio Wanita Popular
* Abby Fana
* Fara Fauzana
* Leya
* Linda Onn
* Nana

5. Artis Komedi Lelaki Popular
* AC Mizal
* Afdlin Shauki
* Nabil
* Zizan
* Saiful Apek

6. Artis Komedi Wanita Popular
* Amyza Aznan
* Kenchana Dewi
* Noorkhiriah
* Ruminah Sidek
* Sheila Mambo

7. Artis Baru Lelaki Popular
* Aiman
* Fizo
* Nabil
* Nubhan
* Riz Artis

8. Baru Wanita Popular
* Ayu OIAM
* Lisa Surihani
* Sari Yanti
* Scha
* Stacy

9. Penyanyi/Artis Nasyid Popular
* Akhil Hayy
* Aiman
* Hijjaz
* Raihan
* Rabbani

10. Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular
* Estranged
* Fabulous Cats
* Hujan
* Meet Uncle Hussain
* M Nasir & Malique

11. Penyanyi Lelaki Popular
* Adam
* Aizat
* Amy Search
* Mawi
* Nubhan

12. Penyanyi Wanita Popular
* Elyana
* Jaclyn Victor
* Mila
* Siti Nurhaliza
* Stacy

13. Pelakon Filem Lelaki Popular
* Farid Kamil
* Que Haidar
* Rosyam Nor
* Rusdi Ramli
* Saiful Apek

14. Pelakon Filem Wanita Popular
* Erra Fazira
* Liyana Jasmay
* Maya Karin
* Sharifah Amani
* Vanidah Imran

15. Pelakon TV Lelaki Popular
* Aaron Aziz
* Aqasha
* Ashraf Muslim
* Fahrin Ahmad
* Rosyam Nor

16. Pelakon TV Wanita Popular
* Abby Abadi
* Diana Danielle
* Dynas
* Fasha Sandha
* Rita Rudaini

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

HLTT Tawar Umrah Murah

10 Apr

ATAS dasar tanggungjawab kepada masyarakat, Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn Bhd (HLTT) menawarkan pakej umrah dengan kadar harga paling murah, tahun lalu.

Harga pakej At-Ta’awun yang diperkenalkan itu serendah RM2,990.

Walaupun tiada keuntungan, HLTT terpanggil memperkenalkan pakej itu bagi memberi peluang umat Islam menunaikan umrah.

Pengarah Urusan HLTT, Isman Nadim Isam, berkata ramai tidak percaya pakej yang ditawarkan kerana biasanya kos mengerjakan umrah, lebih RM5,000.

 

 

“Walaupun harga pakej At-Ta’awun murah, kemudahan ditawarkan sama. Justeru, pakej ini istimewa dan terhad.

“Pakej ini sebagai amal jariah kami kepada umat Islam kerana kami percaya Allah akan memberi keuntungan dalam bentuk lain,” katanya.

Berikutan sambutan menggalakkan, HLTT melancarkan pakej At-Ta’awun siri 11, berharga RM3,990 tahun ini.

“Kami terpaksa menaikan sedikit harga berbanding tahun lalu bagi meringankan beban kos syarikat, namun ia masih murah,” katanya.

Jika berminat, hubungi Ahmad 012-3062291.

Sementara itu, HLTT melancarkan pakej umrah dan ziarah ke Cairo bersama penyampai Sinar FM, Khairil Rashid pada 1 Jun ini.

Mereka yang ingin mengerjakan umrah pada Ramadan juga boleh membuat tempahan sekarang.

Sementara itu, Hijjaz Record Publishing akan menerbitkan buku motivasi khusus untuk pelajar berdasarkan pengalaman pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini, Nur Nik Madihah Nik Mohd Kamal yang mendapat 20A.

Buku bertajuk, Catatan Hati Nik Madihah – Rahsia 20A itu ditulis Nik Madihah bersama Ummi Hani.

“Buku itu akan menemui orang ramai sempena Pesta Buku Malaysia di PWTC pada 15 April ini,” katanya.

Harian Metro

CAK: Pakej Umrah Hijjaz

22 Mar

Rap
DALAM mengharungi zaman kegawatan ini, hendaknya iman kita jangan goyah dek kerana desakan hidup. Apapun dugaan mendatang, hadapinya dengan tenang dan ingatlah selalu kepada Allah SWT. CAK bukan hendak berkhutbah, tetapi sekadar ingat mengingati.

Bercerita mengenai ketenangan ini, menurut rakan CAK yang baru balik mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah, dia terasa hendak ke sana lagi. Sungguh tenang dan aman sekali apabila di sana.

Sekarang hendak pergi umrah dan haji tidak sesukar zaman tok nenek kita yang terpaksa naik kapal laut untuk ke sana. Berbulan lamanya belayar, di mana ada jemaah wanita hamil yang bersalin atas kapal.

Apabila bercakap mengenai umrah, kumpulan nasyid Hijjaz sejak mempunyai syarikat pelancongan sendiri, Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn Bhd (HLTT), melebarkan sayap perniagaan mereka dengan menyediakan pakej umrah.

Bertambah maju jaya mereka nampaknya. Lepas satu, satu, bidang perniagaan diterokai. Khabarnya mereka kini dalam usaha membeli calet di Langkawi pula.

Terbaru untuk tahun ini mereka menyediakan Pakej Umrah Kembara Rohani bersama ustaz Zawawi Yusof, pada 20 April hingga 1 Mei depan. Sesiapa berminat menyertai pakej umrah itu, sila hubungi Ahmad di 012-3062291.

CAK difahamkan, ustaz Zawawi yang juga tokoh agama terkenal tanah air menyediakan modul khas untuk bakal jemaah. CAK dengar, paling menarik selain diadakan khusus umrah di sini, kursus sama dibuat di dataran Masjid Nabawi.

Tentu bakal jemaah yang akan berangkat ke Makkah menunaikan umrah akan lebih khusyuk dan tawaduk. Insya-Allah, CAK kini menunggu ‘jemputan Allah’ untuk ke sana.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Umrah Bersama Zawawi

17 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

MENUNAIKAN umrah di Tanah Suci Makkah bersama tokoh agama adalah peluang yang tidak harus dilepaskan. Kelebihan utama ialah dapat bertanya apa saja kemusykilan yang selama ini bersarang secara terus kepada tokoh terbabit.

Apatah lagi jika dapat meluahkan segala isi hati dan berkongsi pengalaman ketika di hadapan Kaabah yang mulia itu.

Justeru pada 20 April hingga 1 Mei ini, Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn Bhd (HLTT) mengadakan pakej Umrah Kembara Rohani bersama penceramah, pakar motivasi dan ulama terkenal tanah air, Zawawi Yusof.

Pengarah Urusan HLTT, Isman Nadim Isam yang juga anggota Hijjaz berkata, pakej bersama Zawawi antara yang terbaik ditawarkan HLTT.

“Sudah 10 tahun berkenalan kerana selalu bertemu di pentas persembahan, majlis agama, majlis motivasi dan sebagainya, tetapi inilah kali pertama kami menjalinkan kerjasama erat dengannya.

“Mengikut perancangan awal, Ustaz Zawawi pergi untuk dua pakej iaitu pada April ini dan pakej Ramadan nanti. Tetapi saya beritahu beliau, jika sambutan menggalakkan, mungkin HLTT akan adakan pakej tambahan,

“Sambutan mereka yang ingin pergi dengan pakej ini sangat menggalakkan. Maklumlah, bukan senang dapat peluang seperti ini,” katanya.

Kata Isman, apa yang menariknya, Zawawi ada modul umrahnya sendiri dan menyifatkan pakej umrah bersamanya lebih istimewa dan eksklusif.

“Apa yang kita tahu, di Madinah ada makam Rasulullah s.a.w dan di Makkah pula ada kaabah. Ustaz Zawawi akan menjelaskan lebih mendalam mengenai kepentingan dan keistimewaan Makkah serta Madinah. Dalam pakej ini, saya akan turut serta mewakili Hijjaz.

“Di negara sendiri mungkin kebanyakan bakal jemaah hanya melihat beliau di televisyen dan tidak berpeluang bertemu. Bagaimanapun, Allah itu Maha Kaya, bukan saja dapat mengerjakan umrah bersama beliau malah boleh berdiskusi dan bertanya apa saja kemusykilan dengannya.

 

 

“Alangkah indahnya dapat berbincang bersamanya di hadapan Kaabah yang mulia. Barangkali dengan keberkatan berada di bumi Allah, segala kekusutan segera lenyap,” katanya.

Di samping kursus umrah di tanah air sebelum berangkat ke sana, kursus sama akan diadakan di Madinah. Ia akan dibuat sehari di pekarangan Masjid Nabawi supaya kehadiran rombongan di sana lebih bermakna.

“Bayangkan betapa seronoknya kita mengikuti kursus umrah di sana nanti sebagai persediaan sebelum jemaah berangkat ke Makkah. Semoga kita semua mendapat umrah yang mabrur.

“Ramai yang mahu menyertai pakej ini tetapi tidak berkesempatan. Oleh itu jika permintaan menggalakkan, kami akan sediakan pakej yang lain. Kepada mereka yang ingin menyertai pakej umrah ini, hubungi Ahmad di 012-3062291,” katanya.

Harian Metro

Persiapan Lancar

8 Mar

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Persiapan giat dilakukan menjelang sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 hijrah, di Dataran Merdeka, sejak pagi semalam.

Penyediaan pentas persembahan, termasuk tempat berteduh bagi VIP serta tapak perhimpunan orang ramai untuk sambutan itu esok, turut berjalan lancar.

Sambutan berkenaan bakal mencipta sejarah dengan jumlah hadirin dijangka melebihi 100,000 orang, termasuk pembabitan kontinjen dari seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Md Nor Abdul Hamid, berkata peserta dan kontinjen akan berarak dari lapan lokasi di seluruh ibu kota menuju ke tempat perhimpunan di Dataran Merdeka.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mengetuai kumpulan utama dari Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka.

“Sambutan kali ini akan disertai 165 kontinjen dan kami menjangka ia menarik kira-kira 150,000 hadirin, termasuk pelancong,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, selain perarakan, sambutan akan dimeriahkan dengan pertunjukan udara oleh helikopter dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tahun ini, enam penerima dipilih untuk Anugerah Maulidur Rasul dan buat julung kali Anugerah Perdana akan diperkenalkan. Penerima anugerah terbabit bakal menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan, sementara lima penerima lain akan menerima RM22,000 setiap seorang berserta hadiah iringan, dalam sambutan berkenaan esok.

Dengan bertemakan ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’, sambutan itu akan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta menteri Kabinet turut dijadual hadir pada majlis itu.

Sambutan akan turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan al-Gebra, Hijjaz dan Nakasutra serta kehadiran Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak.

Harian Metro

Sambutan Maulidur Rasul Tampil Kelainan

7 Mar

KUALA LUMPUR: Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan Isnin ini akan diadakan secara besar-besaran dengan mengetengahkan beberapa kelainan, termasuk penganugerahan Anugerah Perdana Maulidur Rasul yang diperkenalkan buat pertama kalinya.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim), Md Nor Abdul Hamid, berkata tahun ini peserta sambutan akan berarak dari lapan lokasi di seluruh ibu kota menuju ke tempat perhimpunan di Dataran Merdeka.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mengetuai kumpulan utama dari Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka.

“Sambutan kali ini akan disertai oleh 165 kontinjen dari seluruh negara dankami menjangka ia akan menarik seramai 150,000 penonton termasuk pelancong,” katanya pada sidang media di sini.

Sambutan Maulidur Rasul itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, serta isteri masing-masing dan Menteri Kabinet juga dijadual hadir.

Selain perarakan, sambutan juga akan dimeriahkan dengan pertunjukan udara oleh helikopter dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain persembahan kumpulan nasyid Hijjaz, Nakasutra, Waheedadan Akhil Hayy. – Bernama

Berita Harian