Archive | Natasha Hudson RSS feed for this section

Watak Kecil, Kesannya Besar

17 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

GANDINGAN tiga pelakon berbakat ini memantapkan persembahan Teater Muzikal Ibu Zain.

Tiga pelakon puas hati jayakan Teater Muzikal Ibu Zain yang dipentaskan dari 13 hingga 22 Mac

MISS Shellebear adalah watak mubaligh Kristian yang pernah mencetus kontroversi kerana ramai yang mempersoalkan kepercayaan agama bekas kumpulan Elite, Avaa Vanja Ramli selepas menyaksikan pementasan teater Muzikal Ibu Zain tahun lalu.

Kini pementasan yang mengangkat tokoh wanita terulung itu sedang dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sudah tentu isu mengenai pembabitan gadis berusia 29 tahun ini bakal dibangkit kembali dan Avaa tetap bersedia menjawab persoalan yang cuba ditimbulkan bagi mereka yang tidak memahami peranannya sebagai pelakon.

“Saya sedaya-upaya cuba melakukan yang terbaik pada kerjaya saya. Saya hanya melakonkan watak yang diberikan oleh pengarah mengikut kebolehan dan bakat yang di lihat dari saya.

“Bagi saya lakonan hanyalah ilusi yang cuba diterjemahkan melalui skrip ke atas pentas. Saya sangat berharap orang ramai melihat sendiri watak yang dibawa oleh saya dan jawapannya pasti ditemuinya,” katanya.

Mengenai watak Miss Shellebear, Avaa berpuas hati dengan peranan yang diberikan pengarah Rosminah Tahir.

“Watak saya sama saja dan tiada ada langsung perubahan daripada sebelum ini. Tetapi apa yang pasti kemungkinan cara penyampaian saya menjadi lain sedikit kerana kali ini saya bergandingan bersama Natasha Hudson yang menggantikan Catriona Ross.

“Memang setiap pelakon harus mengenali siapa pasangannya. Bagi saya juga, Natasha adalah pelakon berbakat dan saya tidak ada masalah digandingkan dengannya,” katanya yang mula berlatih sejak 10 Februari lalu.

Bagi Datin Natasha Hudson pula, dia memang sudah lama memasang impian untuk beraksi di pentas teater dan akhirnya tercapai juga selepas dihubungi penerbit teater itu Siti Rohayah Atan.

“Minat saya dalam bidang seni bukan saja kepada lakonan filem dan televisyen. Sebelum ini saya tidak pernah berkesempatan untuk menguji bakat saya dalam bidang teater walaupun sebelum ini banyak tawaran.

“Saya memerlukan masa untuk berfikir disebabkan sayang untuk meninggalkan anak. Akhirnya selepas mendapat nasihat daripada keluarga dan kawan-kawan, saya menerima watak Miss Ruth yang sebelum ini pernah dibawakan oleh Catriona Ross,” katanya.

Natasha yang memiliki Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago mengakui tidak terlalu mengharapkan mendapat peranan kecil memandangkan ini adalah kali pertama dirinya terbabit dalam bidang teater.

“Dapat membawa tiga babak saja dalam teater ini sudah memadai disebabkan saya sangat baru dalam bidang teater,” katanya.

Penyanyi dan komposer wanita, Nur Fatimah Abdul Wahab yang masih mengekalkan watak sebagai Ibu Zain dewasa secara keseluruhan seronok apabila pengarah masih memilihnya untuk membawakan watak itu.

“Secara keseluruhan watak saya tidak berubah. Pengarah hanya mahu dialek Johor harus dipertingkatkan lagi. Walaupun ini kali kedua saya membawakan watak Ibu Zain, namun saya juga harus bekerja keras seperti pelakon lain.

“Bagi saya ini kerja berkumpulan dan kerja teater ini memerlukan komitmen yang tinggi untuk mencapai satu kejayaan. Saya berkorban melakukan ini untuk diri saya dan untuk produksi sendiri. Selain menghafal skrip, saya juga akan menyanyi lebih kurang tujuh lagu secara ‘live’ dan ini adalah cabaran saya,” katanya.

Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia dengan kerjasama Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Asra), Istana Budaya, CTRA Production, MaTiC, De’Media dan Event Entertainment turut menamakan nama besar dalam bidang lakonan seperti

Datuk Rahim Razali, Liza Othman, Datuk Jalaluddin Hassan, Nurul Elfira Loy, Nurul Syariza Nor Azim, Hamzah Tahir, Sherry Syed Abdullah, Farah Adila Apandi, Mazin Ameen Siraj dan Zuhairi Ibrahim.

Info Avaa

Nama Sebenar: Avaa Vanja Ramli

Panggilan: Avaa

Tarikh Lahir: 18 Jun 1980

Usia: 28 tahun

Tempat Lahir: Ampang, Selangor

Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara

Status: Bujang

Rancangan TV: Pop TV, Bintang Anugerah 2001 (RTM), Thumb TV dan Thumb Express

Info Natasha

Nama Sebenar: Natasha Liana Hudson

Usia: 26 tahun

Tarikh Lahir: 9 September 1982

Tempat Lahir: Ipoh, Perak

Pendidikan: Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago

Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku

Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal

Rancangan TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman

Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara

Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri

Info Nur

Nama sebenar: Nur Fatimah Abd Wahab

Tempat lahir: Ipoh, Perak

Tarikh lahir: 22 Julai 1982

Profesion: Penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, penerbit

Album: Selembut Sutera, Gadis

Teater: Muzikal Ibu Zain

Info

Teater Muzikal Ibu Zain diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia yang dinaungi Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, mendapat kerjasama CTRA Production, MaTiC, Aswara, Istana Budaya, De’Media dan Event Entertainment.

Dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.

Tiket bagi menyaksikan berharga RM20, RM30 dan RM50.

Keterangan lanjut layari http://www.ibuzain.blogspot atau telefon 03-6186 6592, 012-2977220 dan 017- 2004249.

Berita Harian

Jefri Ganti Zaefrul

24 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
WATAK Datuk Onn Jaafar yang pernah dilakonkan Zaefrul Nordin dalam pementasan Muzikal Ibu Zain musim pertama di Istana Budaya pada Ogos lalu, bakal dilakonkan pelakon baru, Jefri Haron yang juga pegawai di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Pemilihan Jefri untuk musim kedua pementasan ini dikatakan kerana dia pelakon baru yang menunjukkan komitmen dan imej cukup membanggakan seperti dicari produksi berkenaan, manakala imej Zaefrul sedikit tercalar kerana gambar mesranya bersama Azizah Mahzan kini tersebar di Internet.

Penerbit muzikal ini, Siti Rohayah Attan berkata, secara peribadi pihaknya mahukan watak dalam filem sejarah seperti Datuk Onn Jaafar dan Ibu Zain dilakonkan mereka yang dihormati dan mempunyai keperibadian tinggi dan diterima penonton.

“Buat masa ini, barisan pelakon teater muzikal Ibu Zain memenuhi ciri-ciri. Contohnya, pelakon Liza Othman cukup dihormati dan dapat menangani watak Ibu Zain yang cukup dominan.

“Pada mulanya, saya mahu mengekalkan barisan pelakon Muzikal Ibu Zain musim pertama untuk pementasan musim kedua ini. Malah Zaefrul bersetuju untuk meneruskan musim kedua dan hadir pada sidang media pada 4 Februari lalu.

“Tapi kami belum menawarkan tawaran itu secara bertulis dan sebaliknya sekadar tawaran mulut saja. Kami juga berhak untuk tidak mengambilnya berlakon dalam muzikal ini dan dia juga berhak untuk menarik diri kerana dia belum menandatangani perjanjian,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Rohayah menegaskan ketiadaan Zaefrul tiada kena mengena dengan isu melanda dirinya ketika ini kerana dia sudah tiada bersama produksi sebelum cerita itu tersebar.

“Langkah produksi tidak mengekalkan Zaefrul dalam musim kedua ini memang tepat kerana pelakon popular siri Spa Q itu dikaitkan dengan isu moral dan gambar panas bersama pelakon Azizah Mahzan.

“Ada yang berpendapat, jika Zaefrul terus memegang watak sebagai pejuang kemerdekaan yang banyak berjasa kepada negara dan bangsa, sedikit sebanyak imej dan personaliti agung diselitkan dalam karya itu tercalar.

“Mungkin Datuk Onn watak yang dilakonkan tetapi ia berdasarkan sejarah dan wajar digambarkan dalam imej dan personaliti tepat. Sedikit sebanyak, penonton akan melihat Datuk Onn dalam diri Zaefrul dan begitu juga sebaliknya.

“Yang penting, naskhah sebagus Muzikal Ibu Zain digarap pengarahnya, Rosminah Mohd Tahir ini sekurang-kurangnya masih terpelihara daripada dikaitkan skandal atau gosip kerana majoriti penontonnya cintakan sejarah dan semangat patriotik termasuk pelajar sekolah,” katanya.

Akuinya, Zaefrul dan Azizah bukan asing bagi produksi teater terbitannya kerana mereka pernah terbabit dalam produksi Muzikal Lantai T.Pinkie di IB pada 2006. Dalam teater itu, Azizah memegang watak Nyai Sunarti manakala Zaefrul sebagai Tuan Delarosa. Kedua-dua watak ini pasangan kekasih.

Namun, apabila teater itu dipentaskan semula di Taman Budaya, Ipoh tahun sama, kedua-duanya tidak terbabit dan Khatijah Tan mengambil alih peranan sebagai Nyai Sunarti.

Sementara itu, Siti Rohayah berkata, selain Jefri, seorang lagi pelakon baru terbabit dalam pementasan ini ialah cucu Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Najua Nasir yang akan membawa watak Munah.

“Najua menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan menunjukkan bakat luar biasa. Dia mempunyai suara hebat untuk menyanyi serta mempunyai sifat humor yang diperlukan bagi watak Cikgu Munah iaitu rakan Ibu Zain ketika muda,” katanya.

Katanya, beberapa pelakon seperti Sahronizam Noor, Mazlan Tahir dan Catriona Ross tidak disenaraikan dalam barisan pelakon musim kedua ini kerana mereka mempunyai komitmen lain dan watak mereka digantikan pelakon lain yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Pelakon lain yang terbabit dalam pementasan kali ini ialah Liza Othman, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Natasha Hudson, Nurfatimah Abdul Wahab, Zuhairi Ibrahim, Hamzah Tahir, Sherry S Abdullah, Farah Adila Apandi, Nurul Elfira Loy, Rasdi Daud dan 40 pelakon pembantu.

Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia dinaungi Datuk Mukhriz Mahathir, mendapat kerjasama CTRA Production, MaTiC, Aswara, Istana Budaya, De’Media dan Event Entertainment.

Muzikal Ibu Zain musim kedua bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Mac ini di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Tiket bagi menyaksikan pementasan ini ialah RM20, RM30 dan RM50. Keterangan lanjut layari http://www.ibuzain.blogspot atau telefon 03-6186 6592, 012-2977220 dan 017-2004249.

Harian Metro

Segalanya Demi Ibu Zain

12 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Natasha Hudson

Sokongan suami, keluarga dan rakan membuatkan Natasha teruja beraksi dalam teater muzikal arahan Rosminah Tahir

HATINYA agak berat untuk meninggalkan anak tersayang yang membesar di depan mata sejak lapan bulan lalu demi meneruskan minatnya terhadap bidang seni.

Malahan kalau dibiar berenggang sesaat pun, pasti hati si ibu jelita ini resah gelisah. Tambahan pula, anak perempuan comel bernama Nessa Helena, 8 bulan ini adalah anak sulungnya dan hampir setiap detik, kalbu rindu pasti mencengkam jiwa. Namun peluang berharga untuk melebarkan sayap buat kali pertama ke pentas teater yang mungkin hanya singgah sekali dalam seumur hidup, membuatkan pelakon dan model jelita berdarah campuran Melayu dan Australia ini mengubah keputusannya.

Demikianlah gambaran perasaan Datin Natasha Hudson apabila nekad menerima tawaran berlakon teater muzikal Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir. Berani mengambil risiko biarpun agak sukar membuat keputusan pada mulanya, calon Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin ini sedar peluang yang menjelma di depan mata bukan selalu ada.

Apabila penerbit teater ini, Siti Rohayah Atan menghubunginya penghujung Januari lalu bagi menawarkan watak Pengetua di Sekolah Perempuan Methodist Melaka, Miss Ruth, dia bagaikan tidak percaya dan berasakan semua ini hanyalah mimpi kosong.

Isteri kepada usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari ini pada mulanya memang berbelah bahagi untuk mempertimbangkan watak yang ditawarkan kepadanya. Biarpun peranannya hanya diperlukan untuk tiga babak saja, saat keemasan ini tidak sesekali dipersiakan.


PERCUBAAN sulung Natasha di pentas teater muzikal Ibu Zain mampu menjadi daya penarik untuk peminat teater menontonnya.

Tidak salah andai dikatakan, wajah dan bakatnya mampu menjadi pelaris untuk menghangatkan pementasan teater ini.

“Saya memang sudah lama memendam hasrat untuk melangkah ke pentas teater bahkan minat ini sudah mula bercambah semasa saya di bangku sekolah lagi. Ia semakin membara dan menjadi-jadi apabila saya memilih jalan seni. Ketika saya menuntut pengajian Performing Arts School di Amerika Syarikat pun saya mula berjinak-jinak dengan dunia teater.

“Ahli keluarga dan teman rapat mempersoalkan kenapa saya harus menolak tawaran itu. Suami juga turut beri sokongan 100 peratus dan atas keizinan dia, saya mencabar diri untuk menjadi Miss Ruth. Dia (suaminya) menggalakkan saya untuk terus menunjukkan bakat yang ada dan bertemu peminat.

“Cerita teater ini mengenai seorang tokoh terkenal tanah air bernama Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman. Saya kena buat penyelidikan yang betul supaya tidak tersasar penyampaiannya. Saya tidak berpeluang menonton persembahan teater ini pada tahun lalu, jadi saya hanya menontonnya kembali menerusi blog dan banyak bertanya termasuklah kepada Catriona Ross yang memegang watak ini pada tahun lalu. Malah, Catriona Ross termasuk Melissa Saila yang mencadangkan nama saya sebagai ganti,” katanya yang harus bertutur bahasa Malaysia dengan slanga dan pelat Inggeris gara-gara watak Miss Ruth.

Teater mengasah kemampuan berlakon

MENGAKUI sangat teruja untuk ke pentas teater, dia yakin dengan sokongan pelakon lain yang sangat menyokong antara kekuatan untuk dia terus memberikan lakonan yang terbaik.

“Saya sedar impak berlakon teater cukup besar kerana ia antara medium terbaik untuk mengasah bakat menjadi pelakon yang baik. Keupayaan melontarkan vokal dengan baik dengan tuntutan emosi yang perlu boleh dipraktikkan untuk lakonan drama dan filem.

“Saya juga perlu membina keyakinan diri untuk berdepan dengan penonton secara langsung. Tambahan pula watak ini juga memerlukannya melontar suara untuk menyanyi. Sebelum ini pun saya menyanyi untuk album runut bunyi filem Tipu Kanan Tipu Kari, setidak-tidaknya ia menjadi asas dan pengalaman berguna untuk saya.

“Setiap gerak geri kita diperhatikan dan kalau tersilap melontarkan dialog, tiada istilah ‘cut’ yang akan keluar seperti berlakon dalam drama dan filem. Di sinilah akan menguji pelakon teater untuk menutup kelemahan yang ada. Ia memberi cabaran baru kepada saya untuk terus mengasah kemampuan berlakon,” katanya yang berkahwin buat kali kedua dengan suaminya pada 29 Julai 2007.

Menyingkap mengenai pengalamannya bergelar ibu, kata Tasha yang pernah mengacarakan Fesyen TV, ia memang satu pengalaman yang agak memenatkan, namun agak berbaloi untuk dikenang.

Selama melahirkan anak, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga hingga terpaksa mengecewakan beberapa pihak produksi yang ingin menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Katanya, selepas bergelar ibu dan isteri orang, dia sentiasa peka dengan tanggungjawab yang harus ditunaikan. Lebih selesa mengambil tawaran berlakon tidak terlalu kerap pada tempoh masa yang rapat, Natasha bagaimanapun tidak terlalu suka merancang dan andai ada tawaran berlakon pada masa mendatang, dia akan cuba mempertimbangkan sewajar mungkin mengikut kesesuaian masa.

Sesi latihan raptai teater ini akan bermula 10 Februari dan selama sebulan juga Natasha akan memberi tumpuan kepada pementasan teater yang akan dipentaskan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari 13 hingga 22 Mac depan. Berminat untuk membeli tiket dengan harga RM20, RM30 dan RM50 boleh menghubungi talian: 03- 61866592

Teater muzikal Ibu Zain pernah dipersembahkan pada Ogos tahun lalu di Istana Budaya. Selain Natasha, Datuk Jalaluddin Hassan, Hamzah Tahir dan Zuhairi Ibrahim antara muka baru yang diperkenalkan pada pementasan kali kedua ini.

Beberapa pelakon asal seperti Catriona Ross, Hisham Ahmad Tajuddin dan Shahronizam tidak dapat bersama kerana terlebih dulu terikat dengan komitmen kerja lain.

Profil

Nama Penuh: Natasha Liana Hudson

Usia: 26 tahun

Tarikh Lahir: 9 September 1982

Tempat Lahir: Ipoh, Perak

Pendidikan: Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago

Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku

Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal Rancangan

TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman

Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara

Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri

Suami: Datuk Shahrin Zahari

Anak: Nessa Helena

Berita Harian

'Jangan Kaitkan Nama Saya'

11 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Nora baru melahirkan anak
sulung, Putra Rayqal
7 Januari lalu.

Nora Danish bengang turut dikatakan tertekan isu cinta Fasha Sandha dengan bekas suaminya

“JANGAN kaitkan nama saya,” demikian kata Nora Danish yang dihubungi Hip semalam sebagai membidas kenyataan pelakon Fasha Sandha dalam muka depan akhbar Harian Metro bertajuk ‘Fasha akui tertekan’.

Aktres yang banyak menimbulkan kontroversi itu kini digosipkan sedang intim dengan bekas suami aktres dan model comel itu, Rizal Ashram Ramli. Gosip kencang mengenai hubungan mereka yang dikatakan kononnya sudah terjalin sekian lama mula menjadi perbualan dan perhatian ramai yakni sebelum Nora dan Rizal memilih jalan untuk berpisah tahun lalu.

Terbaru yang dianggap mengesahkan hubungannya dengan Rizal, biarpun berkali-kali cuba dinafikan aktres yang sudah masuk kategori kurang popular itu ialah kisah percutian mereka di Thailand 29 Januari lalu hingga program sensasi Melodi berjaya merakamkan kelibat mereka sewaktu di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) biarpun berjalan berasingan. Bagaimanapun, dia menafikan mereka bercuti bersama sebaliknya dia hanya ditemani pengurusnya Nik Yasmin Nik Abdul Rahman bercuti di Pattaya.

Paling melucukan dalam kenyataannya, dia mengakui agak tertekan dengan gosip ini dan membabitkan Nora juga turut merasai tekanan yang sama dengan alasan Nora baru saja melahirkan anak.

Menurut Nora yang baru melahirkan anak sulung, Putra Rayqal 7 Januari lalu, isu dia kini sedang tertekan yang diperkatakan aktres itu tidak timbul sama sekali. Hakikatnya Nora kini sedang bahagia melalui fasa baru bergelar ibu tunggal dan kuntum senyuman tidak pernah lekang di bibirnya. Malah dengan sokongan keluarga, bekas keluarga mentua dan teman tersayang, Nora mengakui cukup bertuah.


Nora bersama ibu tersayang.

“Jelas di sini, saya dan dia (Rizal) sudah tiada apa-apa ikatan dan tidak perlulah mengaitkan nama saya lagi dengannya. Apa saja yang ingin dilakukannya adalah di luar bidang kuasa saya dan itu haknya. Apa juga yang berlaku di antaranya dengan aktres itu atau sesiapa sekalipun, bukan masalah saya lagi,” tegas Nora sambil memberitahu mungkin persoalan selama ini yang bermain di kotak fikiran ramai orang bakal terjawab tidak lama lagi.

Masih rapat dengan bekas suami

MENGAKUI masih rapat dan baik dengan bekas suaminya, pelakon yang cukup terkenal dengan sitkom Puteri ini memberitahu di saat dia ‘berperang’ melahirkan anak, selain ahli keluarga terdekat, Rizal turut hadir memberikan sokongan moral.

Malah, Rizal dan ayahnya (Tan Sri Ramli Ngah Talib) yang melaungkan azan ke telinga anak comelnya. Putera Rayqal dilahirkan tepat jam 11.50 malam di Pusat Perubatan Gleneagles, Ampang dengan berat, 3.05 kilogram. Putera sulungnya disambut sendiri oleh doktor yang bertugas pada malam itu iaitu Datuk Dr Aziz Yahya.

Nora melahirkan anaknya secara normal dan menggunakan proses vakum, sejak jam 11 pagi lagi pada tarikh itu (7 Januari) dia dan keluarga sudah bergegas ke pusat perubatan itu apabila darah mula tertumpah. Namun sekitar jam 4 petang, baru Nora mula berasa kesakitan dan semuanya berakhir sebelum menjelang 12 tengah malam. Kini dengan bantuan ibunya yang menetap bersama selepas Nora bercerai, dia lebih rasa selamat dan terjamin.

“Kalau saya seorang diri saja menjaganya, pengsan juga jadinya. Mujur ibu ada membantu dan mengurangkan beban saya. Hampir setiap malam tidur saya pasti terganggu kerana baby (Putera Rayqal) akan terjaga selang sejam. Penat memang penat, tapi saya gembira dengan kurniaan Tuhan yang tidak ternilai ini. Begitu juga penat menyusukan badan. Saya hanya menyusu badan hingga hari ke-15 dan kini dia hanya meminum susu formula yang disyorkan.

“Pengalaman melahirkan anak ini saya akui terlalu sukar apatah lagi sewaktu mengandung, Nora tidak terlalu aktif dan hanya duduk di rumah. Proses meneran juga sangat sukar untuk digambarkan biarpun hanya mengambil masa 20 minit. Tambahan pula, saya tidak menghadiri mana-mana kelas rasmi untuk belajar (meneran). Tapi yang paling saya tersentuh di saat saya berdepan getir ini, orang yang saya sayangi berada dekat dengan saya,” katanya yang sudah mula merindui dunia seni dan Insya-Allah akan kembali memberi tumpuan pada April nanti.

Kini sahabat baik kepada pelakon Tam dan Intan Ladyana ini sudah mula menyedari tanggungjawabnya kian bertambah dengan kehadiran cahaya mata ini. Keutamaannya kini pasti lebih kepada Rayqal dan kerjaya jatuh nombor dua. Seperti lazimnya yang dilakukan mereka bergelar ibu, Nora yang masih dalam proses berpantang melakukan proses berurut, bertungku dan memakan jamu.

Setiap pantang harus dipatuhinya termasuk dilarang minum ais batu dan makanan berminyak. Kehadiran rakan artis yang datang ke rumahnya seperti Datin Natasha Hudson memberi 1001 manfaat berguna kepada Nora.

Kata Nora, Natasha banyak membantunya. Nora juga merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul pada Mac atau April ini.

“Dia (Natasha) selalu memberi nasihat dan motivasi. Dia juga membeli saya bahan berguna termasuk buku bacaan kepada anak kecil dan kelengkapan bayi. Seiring dengan pengalamannya yang bergelar ibu, dia tak lokek berkongsi petua dan amalan yang dipraktikkan. Terima kasih juga kepada rakan artis dan teman saya yang sudi datang melawat.

“Saya juga bersyukur berat badan saya sudah mula menurun dengan mudah hingga berkurangan 10 kilogram. Berat badan saya kini sudah 49 kilogram dan saya mahu turunkan lagi menjadi 45 kilogram. Paling penting, berat badan Rayqal sekarang sudah mencecah 4.4 kilogram,” kata Nora.

Berita Harian

Kemunculan Semula Natasha

11 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

BIARPUN hanya muncul dengan dua filem, Datin Natasha Liana Hudson atau Tasha masih mampu berbangga dengan pencapaian karier seninya. Filem pertamanya, Chermin yang ditayangkan dua tahun lalu berjaya mengangkat dirinya sebagai Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.

Ketika itu, Tasha menewaskan dua saingan iaitu Ainul Aishah yang muncul menerusi Nana Tanjung dan Balkisyh Semundur Khan (Diva).

Meniti puncak populariti, Tasha bagaimanapun berhadapan konflik dengan pihak media apabila melarang wartawan hadir pada majlis perkahwinannya bersama usahawan, Datuk Shahrin Zahari yang berlangsung di Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Akibat peristiwa itu, Tasha diboikot media hinggalah publisiti mengenai dirinya muncul semula menerusi filem kedua, Tipu Kanan Tipu Kiri yang ditayangkan pada Oktober tahun lalu.

Menyesali perbuatan lalu, kini Tasha berusaha memperbaiki diri agar peristiwa lalu tidak berulang. Tasha yang ditemui pada sidang media pementasan teater muzikal, Ibu Zain musim kedua yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini kelihatan bersemangat untuk kembali ke pentas lakonan.

Namun, berbeza dengan lakonan menerusi dua filemnya sebelum ini, kali ini dia mencuba nasib menceburi bidang teater.

Teater Ibu Zain yang mengangkat kisah perjuangan dan pendidik bernama Zainun Munshi Sulaiman atau Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir menyaksikan Tasha berlakon sebagai Miss Ruth.

Pemilihan Tasha difikirkan sesuai oleh produksi teater berkenaan untuk menggantikan pelakon asal, Catriona Ross yang mempunyai komitmen lain.

Kata Tasha, 26, dia berminat untuk berlakon teater atas dorongan suami. Pembabitan menerusi teater ini dianggap kemunculan semula dirinya selepas diam diri seketika menguruskan rumah tangga bersama anak tersayang, Nessa Halena yang berusia lapan bulan.

“Pada mula ketika menerima tawaran berlakon teater ini, saya tidak pasti sama ada boleh buat atau tidak. Malah, terus terang saya katakan saya tidak tahu sejarah Ibu Zain secara mendalam. Lalu, apabila saya berbincang dengan suami, katanya apa salahnya saya mencuba.

“Selain kembali berlakon, saya melihat lakonan menerusi teater ini mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Sebelum ini, saya banyak meluangkan masa pada suami dan anak.

“Saya percaya teater ini memberi pengalaman baru. Sungguhpun latihan teater ini belum bermula sepenuhnya, jika ada tawaran menarik untuk teater pada masa akan datang, saya berhasrat berlakon lagi,” katanya.

Antara pengalaman berlakon menerusi filem, Tasha berpandangan teater lebih mencabar kerana memerlukan dia beraksi secara langsung depan penonton.

Atas cabaran itu, dia turut gementar untuk memberikan persembahan terbaik pada pementasan teater itu nanti yang akan berlangsung pada 13 hingga 22 Mac depan, jam 8.30 malam di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Kuala Lumpur.

Turut bergandingan bersama pelakon berpengalaman lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Liza Othman, Zuhairi Ibrahim dan penyanyi Nur Fatimah Abdul Wahab menerusi teater ini, dia juga mempunyai minat pada teater muzikal.

“Saya memang meminati teater muzikal kerana ia menggabungkan elemen lakonan, nyanyian dan tarian. Berlakon teater bukan hanya memberi pengetahuan dan pendedahan baru pada diri tetapi ia juga mampu memperbaiki dari aspek lakonan.

“Untuk teater ini, sebenarnya saya berat hati untuk berlakon kerana memikirkan anak yang masih kecil dan menyusu badan. Pada saya, memang susah untuk bekerja jika mempunyai anak masih kecil tetapi apabila berlakon semula, saya perlu menyesuaikan diri untuk meninggalkannya seketika.

“Mengenai pengalaman sebagai ibu, ia adalah satu keindahan pada diri apatah lagi melihat anak membesar depan mata. Antara teater dan filem, saya lebih berminat untuk berlakon filem tetapi perlu lihat dulu masa penggambaran supaya ia tidak terlalu lama berpisah dengan anak.

“Walaupun apabila menjadi ibu, saya terpaksa berkorban dengan bangun awal pagi dan tidak cukup rehar tetapi semua ini berbaloi demi menjaga anak sendiri.

“Ia pengorbanan ibu yang sanggup membesarkan anak. Saya tidak mahu mengeluh dengan kehidupan dilalui kini kerana ia adalah tanggungjawab pada keluarga,” katanya.

>Profil

NAMA: Datin Natasha Liana Hudson

NAMA KOMERSIAL: Natasha Hudson

TARIKH LAHIR: 9 September 1982

TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak

STATUS: Berkahwin

ANAK: Nessa Helena

PENDIDIKAN: Sarjana Rekaan Grafik daripada The One Academy, Sunway dan

Performing Arts di Chicago Performing Arts School, Chicago

PROFESION: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku.

PROGRAM TV: Fesyen TV, Girls Club dan Kediaman Idaman.

DRAMA: Pei Pan dan Rahsia Cemara.

FILEM: Chermin dan Tipu Kanan Tipu Kiri.

TEATER: Ibu Zain musim kedua.

Harian Metro

Dengarnya…: Natasha Hudson Jadi Miss Ruth

3 Feb

Oleh Normah Becok

TEATER Muzikal Ibu Zain dipentaskan lagi. Itulah kiriman SMS yang Cik Normah terima daripada penerbitnya, Rohaya Atan. Kali ini dipentaskan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari 13 hingga 22 Mac depan.

Pada Ogos tahun lalu, teater muzikal Ibu Zain dipentaskan di Istana Budaya. Perubahan tempat tidak mengubah jalan ceritanya. Cuma senarai pelakonnya yang ada sedikit perubahan.

Daripada kiriman SMS itu, antara muka baru dalam teater itu nanti ialah Datin Natasha Hudson. Dia akan pegang watak Pengetua di Sekolah Perempuan Methodist Melaka, bernama Miss Ruth. Sebelum ini watak itu dipegang oleh Catriona Ross Baharin. Disebabkan sudah ada komitmen lain, Cat terpaksa lepaskan watak itu.

Sebelum diberikan kepada Natasha, desas-desus mengatakan watak Miss Ruth bakal diberikan kepada Juliana Banos. Tapi mungkin sudah rezeki Natasha agaknya. Ia kini dipegang oleh Natasha. Jadi bersedialah nanti…

Turut berlakon dalam teater muzikal Ibu Zain itu nanti ialah Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Liza Othman, Nurfatima, Mazin, Avaa Vanja dan ramai lagi.

Buat Natasha, Cik Normah doakan semoga akan memberikan persembahan yang terbaik biarpun pada mulanya Cik Normah dapat tahu, dia agak berbelah bahagi untuk menyahut cabaran memegang watak ini. Cik Normah juga harap Nastaha boleh bagi kerjasama dengan media apabila diminta untuk memberi publisiti terhadap teater lakonannya nanti.

Sudah namanya rezeki, ini adalah peluang sulung dan terbaik untuk dia beraksi di pentas teater dan mengutip pengalaman berharga melalui medium seni ini.

Tak dinafikan teater mampu mengajar seseorang pelakon itu untuk menjadi lebih berdisiplin. Cik Normah pun pernah terbabit dalam teater masa zaman universiti dulu. Natasha juga boleh terus mengukuhkan bakat seni yang ada dan membuktikan kredibilitinya sebagai pelakon.

Berita Harian

Peluang Miliki Koleksi Peribadi Artis

30 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

BERSAMA sebahagian koleksi yang
akan dijual kepada orang ramai.

Pereka terkenal, Amir Luqman tampil jual pakaian glamor yang pernah diciptanya untuk bintang popular di Amcorp Mall, esok

INGIN memiliki gaun yang pernah dipakai Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Noorkhiriah dan Sharifah Amani? Anda mungkin boleh memiliki pakaian yang pernah digayakan artis kesayangan ramai itu apabila berkunjung ke karnival Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 – Beramal Bersama Bintang di Amcorp Mall, Petaling Jaya, esok.

Pada hari berkenaan, mulai jam 10 pagi hingga 6 petang, peminat bukan hanya mampu mendekati artis pujaan mereka, bahkan sebahagian koleksi peribadi selebriti itu juga bakal menjadi milik orang ramai yang memeriahkan acara terbabit.

Karnival berkenaan dianjurkan dengan tujuan mengumpul derma bagi Tabung NSTP Untuk Gaza, yang dilancarkan NSTP awal Januari.

Bukan saja penyanyi, pelakon, penyampai radio mahupun pengacara TV yang bakal berganding tenaga menyahut seruan gelombang kasihan kemanusiaan ini, malah komuniti pereka fesyen turut melihat acara yang dikelolakan kumpulan NSTP itu sebagai ruang terbaik untuk sama-sama menghulur tangan membantu mangsa keganasan Israel di bumi Gaza.

Justeru, Amir Luqman tidak berfikir panjang apabila dia mendapat tahu wujudnya acara terbabit daripada teman seperjuangan, Calvin Thoo.


ERRA FAZIRA pernah
mengenakan gaun
songket rekaan Amir
Luqman ini.

“Inilah kali pertama saya berasakan diri saya cukup terpanggil untuk sama-sama membantu insan dalam kesengsaraan akibat kekejaman tentera Israel. Saya benar-benar terasa dengan apa yang dialami penduduk Gaza ketika ini,” ujar Amir yang tidak menyembunyikan perasaan geramnya apabila bercerita mengenai serangan askar Yahudi ke atas bumi Palestin.

Lalu, dia mengumpulkan koleksi pakaian rekaannya yang pernah digayakan selebriti tempatan serta pelbagai himpunan aksesori, kasut dan beg tangan untuk dijual pada hari berkenaan.

Tegasnya, daripada dibiarkan saja, baiklah dia menjual koleksi terbabit dengan harga yang lebih murah, dengan harapan hasilnya nanti dapat sama-sama dia dermakan untuk membantu mangsa perang.

“Saya tidak mahu menjualnya pada harga biasa kerana saya sedar, jualan pada hari ini sememangnya untuk disumbangkan kepada tabung amal. Pada hari terbabit, orang ramai boleh mendapatkan barangan berkenaan daripada harga serendah RM1 saja,” katanya sambil membelek sebahagian koleksi yang akan dijual.

Ketika sesi fotografi ini dilakukan, Amir sempat menunjukkan gaun hijau yang pernah digayakan Amani pada Anugerah Skrin 2007. Di sebelahnya, gaun hijau dan hitam yang digayakan aktres Noorkhiriah, tatkala menaiki pentas menerima trofi pada acara yang sama.

“Gaun berbunga-bunga ini pula dipakai Amani untuk sesi fotografi sehari sebelum dia membotakkan kepala untuk menjayakan filem Muallaf,” cerita Amir mengenai sebahagian koleksi yang dibawanya pada hari berkenaan.

Selain Siti, Erra, Noorkhiriah dan Amani, rekaan Amir juga tidak asing di badan Datin Seri Tiara Jacquelina, Rossa, Krisdayanti, Datin Natasha Hudson, Aleeza Kassim, Ida Nerina, Amylea Azizan, Nita, Kat Mentor dan Kavita Kaur.

“Kavita ialah selebriti pertama memakai rekaan saya pada 2005. Ketika itu, saya masih lagi bertatih dalam bidang rekaan, sebaik saja menceburi bidang ini setahun sebelumnya. Sejak itu, dia antara artis yang menjadi pelanggan tetap saya sehingga sekarang,” katanya yang bagaimanapun ingin menyimpan gaun dipakai selebriti tinggi lampai itu sebagai kenangan.

Diusik dengan pertanyaan apakah koleksinya nanti hanya akan disambar peminat berbadan langsing, Amir cepat-cepat menyangkal.

“Jangan bimbang, sebahagian koleksi saya turut boleh digayakan mereka yang berbadan agak berisi. Lebih kurang 50 koleksi pakaian mungkin saya bawa untuk acara jualan jumble itu. Jadi, pasti ada pelbagai saiz untuk sesiapa saja. Begitupun, siapa yang cepat, dialah yang dapat,” kata pereka berasal dari Kelantan ini.

Ujarnya, dia amat memahami, sebahagian peminat bukan hanya ingin bersua muka dengan selebriti diminati mereka, malah jika boleh, barang yang mempunyai kaitan terus dengan golongan terkenal itu juga ingin dimiliki. Menyedari hakikat itu, dia sedaya mungkin akan meletakkan harga yang dikira cukup berpatutan bagi membolehkan peminat memiliki barangan berkenaan.

Begitupun, gaun yang baru saja digayakan Siti untuk muncul di muka depan sebuah majalah gaya hidup, mungkin dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding koleksi lain.

“Jika peminat benar-benar ingin mendapatkan gaun dipakai penyanyi tersohor itu sambil menghulurkan derma, saya pasti mereka dengan senang hati akan mendapatkannya juga apabila diletakkan di rak jualan,”ῠkatanya.

Berita Harian

Sepotong Kek Tanda Kasih

21 Nov

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Emran dan Erra.

Temui Erra dan Emran di Great Eastern Mall sempena Chocolate Cake Charity Sale esok

ANDAI mahu dibalas segala pengorbanan serta sokongan yang diberikan peminat sepanjang lebih sedekad mengatur langkah sebagai anak seni, barangkali tidak terjangkau malah di luar keupayaan Erra Fazira untuk memenuhi semua itu.

Tetapi sebagai insan seni berpengaruh, populariti mekar yang diciptanya sejak mula membintangi Sembilu dapat dimanfaatkan bagi mengutip dana membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Justeru, Erra, 34, melihat pembabitan dia dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 33, dalam aktiviti Chocolate Cake Charity Sale With 30 Celebrities sebagai satu bentuk sumbangan kecil untuk membalas semula pengorbanan peminat yang membawanya ke mercu kejayaan.

Bersama 28 selebriti lain, Erra dan suaminya akan menjual kek coklat yang diilhamkan Chef SK Lim dari Hotel Equatorial Kuala Lumpur bermula jam 3 petang di Ruang Legar, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

“Ia kali pertama Erra dan suami terbabit dalam aktiviti jualan amal seperti ini. Cukup menyeronokkan kerana selain memberi peluang kepada Erra untuk mendekatkan diri dengan peminat, hasil kutipan jualan amal ini akan diserahkan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

“Erra melihat usaha ini sebagai satu pendekatan yang baik, apatah lagi sepotong kek dijual pada harga yang cukup berpatutan iaitu RM15.

“Selain dapat beramah mesra, ini juga peluang orang ramai untuk secara tidak langsung beramal kepada golongan yang memerlukan. Biarpun peranan Erra kecil namun dengan adanya usaha amal ini, alhamdulillah, banyak pihak akan mendapat manfaatnya,” kata Erra yang ditemani suaminya ketika ditemui petang Sabtu lalu.

Tambahnya lagi, kebanyakan aktiviti membabitkan artis sebelum ini sering kali dikaitkan dengan acara mewah serta penuh prestij dan hanya sebilangan kecil dapat menyertainya.

Bagaimanapun, usaha yang dicetuskan Great Eastern Mall ini adalah sesuatu yang berbeza apatah lagi kek coklat menjadi pilihan ramai untuk dinikmati sebagai juadah pencuci mulut.

“Erra berharap semua pihak akan menyokong usaha ini, lagi pun ia membabitkan kos yang tidak besar. Mengapa tidak kita yang berkemampuan menghulurkan sedikit sumbangan kecil untuk dimanfaatkan kerana kanak-kanak ialah aset masa depan negara,” katanya.

Sementara itu, Emran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Suria FM berpendapat, pendekatan yang diambil Great Eastern Mall itu wajar diberi sokongan kerana ia dianjurkan bagi mengutip dana untuk tabung Children Care Fund.

“Aktiviti ini bukan hanya untuk kelompok peminat tertentu, sebaliknya turut membawa semua orang untuk sama-sama menjayakannya. Itu yang membuatkan kami bersemangat untuk bersama dalam jualan amal ini,” katanya.

Selain Erra dan suami, selebriti lain yang terbabit dalam aktiviti ini ialah Fauziah Latiff dan Ning Baizura mewakili Hotel Mandarin Oriental; Eja dan Fahrin (Crowne Plaza); Tony Eusoff, Cheryl Samad dan Jehan Miskin (Renaissance Hotel) serta Amber Chia dan Marion Caunter (Le’Meridien Hotel).

Turut menjayakan Rashidi Ishak dan Vanidah Imran mewakili Hotel Istana; Mawi dan Ikin (Palace Of The Golden Horses); Diana Danielle, Liyana Jasmay dan Juliana Evans (Berjaya Times Square Hotel) serta Nora Danish dan Fazura (Legend Hotel).

Selebriti lain yang terbabit ialah Daphne Iking, Naz, Jonathan Putra dan Elaine Daly mewakili Hotel Park Royal; Natasha Hudson, Nubhan dan Nikki (Hotel Sunway) serta Alan Yun dan Steve Yap (Prince Hotel).

“Ini membuktikan aktiviti amal tidak hanya boleh dibuat dalam bentuk besar, sebaliknya dengan jumlah kecil juga mereka boleh membantu golongan yang memerlukan,” kata Erra.

Menyentuh perkembangan seninya, Erra yang sedang mengandung lima bulan masih bertungkus lumus di set penggambaran untuk menyempurnakan drama bersiri, Mentua vs Menantu sehingga Disember.

Dalam situasi itu, Erra berkata, dia masih bersemangat untuk meneruskan aktiviti lakonan malah sukar membayangkan bagaimana jika terpaksa berehat di rumah selepas melahirkan anak nanti.

“Mungkin kerana sudah terbiasa dengan aktiviti seni yang pelbagai membuatkan Erra tidak betah diam di rumah. Sementara masih mempunyai tenaga dan berkemampuan untuk ke lokasi, Erra teruskan aktiviti selagi tidak berdepan kesulitan.

“Lagipun, watak yang Erra bawakan ini tidak terlalu menuntut tenaga lasak bahkan ia bersesuaian dengan perkembangan diri Erra yang sedang hamil,” katanya.

Berita Harian

Percaturan Amir Luqman Berjaya

3 Aug

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Foto REDWAN ADMAN

KREATIVITI beliau dalam meletakkan jenama menggunakan namanya sendiri bukan sahaja menyebabkan beliau dikenali di kalangan peminat fesyen tanah air, bahkan meletakkan beliau sebaris dengan pereka tersohor negara dalam usia yang boleh dikategorikan muda.

Itulah aura yang ada pada pemilik nama Amir Luqman Othman, yang baru sahaja mencecah usia 24 tahun. Menggunakan label Amir Luqman nyata satu percaturan positif yang menyerlahkan personaliti anak muda kelahiran negeri Kelantan ini.

Manakan tidak, kehebatan beliau teruji apabila dipilih menjadi pereka fesyen termuda yang diletakkan sebaris dengan pereka terkenal tanah air dalam sebuah buku ilmiah yang diberi nama ‘Batik Inspiration’.

Bukan untuk membangga diri, namun hakikatnya buku tersebut dibaca dan menjadi rujukan untuk sesiapa sahaja dan dijual di seluruh dunia, sekali gus meletakkan nama Amir Luqman di persada fesyen antarabangsa.

“Ketika itu usia saya baru menjangkau 22 tahun, ia merupakan pencapaian terhebat saya kerana idea saya diterima oleh golongan yang lebih senior dan pakar di bidang fesyen dalam perbincangan meja bulat tentang batik,” ujar beliau ketika membuka bicara di studio yang terletak di Robson Heights baru-baru ini.

Memiliki diploma dalam bidang rekaan fesyen dari International Fashion Training Centre (IFTC), kreativiti Amir tidak terhad pada penghasilan pakaian semata-mata, malah beliau meluaskan skop kerjayanya dengan menjadi koordinator pakaian untuk kebanyakan produksi terkenal di Malaysia.

l Peluang memandu Nissan Sylphy

Kesibukan tugasan harian dan komitmen dengan produksi membuatkan sebahagian besar masa Amir diperuntukkan di luar rumah. Bererti kenderaan beliau umpama ‘pejabat’ yang menyimpan banyak barangan seperti sampel kain, dokumen dan macam-macam lagi.

“Saya tidak nafikan sebagai pereka fesyen bebas, saya memerlukan kenderaan untuk bergerak. Justeru saya mencari satu kereta yang bersesuaian dalam menonjolkan imej saya sebagai seorang pereka fesyen,” kata Amir yang berpeluang memandu uji Nissan Sylphy.

Seiring dengan kenaikan harga bahan api di seluruh dunia, beliau berpendapat amat sesuai untuk individu yang banyak menghabiskan masa di jalan raya untuk ke sana-sini sepertinya.

Ini kerana Nissan Sylphy didatangkan dengan enjin serba aluminium MR20DE yang direka bagi memenuhi pemanduan harian yang optimum.

Tork akhiran-rendah mencukupi yang mendatar sekitar kelajuan pertengahan hingga tinggi bermakna 90 peratus tork boleh dicapai daripada 2,000 rpm sekali gus memaksimumkan keupayaan enjin.

Generasi ketiga Nissan Xtronic CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan) memberi kelancaran dalam penukaran gear dan mengekalkan tork optimum pada sesuatu tekanan kuasa yang diperlukan.

Pada masa sama ia juga menitikberatkan isu alam sekitar dengan penjimatan minyak 16 kilometer seliter yang mesra alam

Amir tidak menafikan, kenderaan itu mampu mempengaruhi tanggapan pertama seseorang yang berurusan dengannya.

Setelah mencuba memandu Nissan Sylphy, beliau mendapati nilai praktikal pemanduan kereta tersebut banyak memberi inspirasi kepada beliau dalam menghasilkan rekaan.

Amir menambah, sesuai dengan maksud namanya yang diambil daripada perkataan Inggeris ‘sylph’ melambangkan semangat angin (udara) yang bersama dengan bumi, air dan api.

Selain reka bentuk luaran yang pernah menerima anugerah, Amir turut kagum dengan kemasan dalaman Nissan Sylphy yang disifatkannya sebagai sofistikated.

“Sebagai pereka fesyen, saya banyak memberi fokus terhadap reka bentuk. Paling menarik perhatian saya ialah kerusi berbentuk seumpama kerang yang bergaya, disarung pula dengan fabrik ‘Masumi’ yang berkualiti tinggi dan kalis calar. Kemasan kayu yang terletak di bahagian dashboard dan pintu juga nampak begitu mewah dan menarik,” jelas Amir yang memandu Nissan Sylphy berenjin 2.0 berwarna putih.

l Penglibatan dalam industri filem

Bagi setiap pereka fesyen pastinya mempunyai tema atau mengetengahkan identiti tertentu, Amir juga tidak terkecuali, beliau menjadikan batik sebagai inspirasi utama dalam setiap hasil seninya.

“Bagi saya batik amat praktikal, tidak lapuk ditelan zaman dan amat feminin,” jelas Amir yang banyak menonjolkan unsur pragmatik dalam penghasilan busana wanita.

Rekaannya pernah disarungkan oleh nama-nama glamor tanah air seperti Datin Sri Tiara Jacquelina, Kavita Sidhu, Ida Nerina, Datin Natasha Hudson, Erra Fazira dan Nora Danish.

Manakala di peringkat Asia pula, nama Amir mula dikenali apabila beliau menyiapkan busana untuk dipakai ketika majlis festival untuk aktres terkenal Thailand, Inthira Charoenpura juga Krisdayanti dan Rossa dari Indonesia.

Bagi peserta peringkat akhir Anugerah Pereka Minggu Fesyen KL anjuran The Star pada tahun 2005 ini, tiada apa yang lebih penting dari melihat rekaan fesyen berasaskan batik menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa.

Utusan Malaysia

Ribut Perkahwinan

27 Apr

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK sofiatul.chik@kosmo.com.my

MENDIRIKAN sebuah rumah tangga memerlukan keberanian dan ketulusan hati. Sayangnya, apabila cinta atau tulus hati itu sudah pudar atau hilang serinya, perceraian sering menjadi pilihan.

Dunia selebriti juga menempuh laluan yang sama. Cuma bezanya perkahwinan mereka digahkan dan begitu juga apabila ia mengalami keruntuhan. Fenomena atau tidak tahan dugaan hidup?

Natasha Hudson, 24, dan Mohd. Faiz Mohd. Raih, 26.

Tempoh: Empat bulan

BULAN Ramadan mungkin melakar satu sejarah dalam kisah silam Natasha apabila dia rasmi bukan lagi isteri kepada Mohd. Faiz yang dikahwini empat bulan sebelum itu. Mereka mendirikan rumah tangga pada September 2006.

Natasha enggan mengulas punca sebenar kasih suka sama suka mereka terlerai dan sekali gus menafikan kata-kata liar yang menyatakan dia ditangkap khalwat oleh ibu mentuanya sendiri.

Dalam masa yang sama dia tidak mahu menyalahkan sesiapa sebagai penyebab. Yang jelas kini Natasha bahagia dengan peluang kedua yang hadir dalam hidupnya dan selamat bergelar isteri kepada Datuk Shahrin Zahari.

Beego, 28, dan Intan Shahira, 27.

Tempoh: Tiga bulan

SEAKAN baru semalam melihat mereka memakai persalinan ala Bali di pentas pelamin. Namun tiga bulan berlalu, Malaysia dikejutkan dengan berita perceraian Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah dengan si isteri, Intan Shahira Mohamad Sharu yang pernah sembilan tahun dicintai.

Bingung dengan banyak khabar angin yang mengada-adakan sebab musabab mereka bercerai, Beego lantas menerangkan bahawa ini adalah dugaan paling hebat dilaluinya.

Manakan tidak, masuk angka tiga bulan halal bersama, Intan telah memfailkan tuntutan fasakh dan Beego hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 17 April lalu untuk memfailkan tuntutan nusyuz.

Beego yang termangu dengan musibah yang melanda ternyata masih menyayangi si isteri namun akur dengan alasan Intan Shahira yang dikatakan mahu mencari ketenangan diri.

Haflin Saiful, 26 dan Don Nazar, 27.

Tempoh: Satu tahun

HAFLIN yang suatu masa dahulu terkenal sebagai pengacara Salam Bollywood pernah mengikat tali perkahwinan bersama Don Nazar yang kini dikatakan kekasih kepada seorang pengacara TV.

Usia muda ketika menjalin cinta hanya mampu menjanjikan rumah tangga yang tidak sampai setahun utuhnya. Tidak seorang pun antara mereka yang menerangkan kisah sebenar di sebalik perceraian ini.

Ijab kabul pada 29 Julai di Surau An-Nur, Country Heights, Kajang akhirnya terlerai dengan masing-masing membawa haluan sendiri.

Haflin kini selesa menguruskan perusahaan milik keluarganya dan Don sekali sekala muncul di acara hiburan menemani kekasih hati.

Anis Suraya, 28, dan Wan Kasmizi Wan Kamaluddin, 28.

Tempoh: 1 tahun 7 bulan

PERKENALAN dari sekolah menengah bukanlah jaminan untuk mereka kenal antara satu sama lain dengan sebegitu dalam.

Tengku Anis Suraya Tengku Sulaiman yang menjalin cinta bersama teman persekolahan setelah bertemu kembali pada tahun 2005 hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada tanggal 22 April untuk memfailkan permohonan cerai taklik.

Perkahwinan yang dibina pada 11 September 2006 terpaksa ditinggalkan kerana Anis dikatakan tidak tahan dengan perangai suaminya.

Niat asalnya mahu menuntut fasakh namun akibat tiada bukti yang menunjukkan Wan Kasmizi terlibat dengan dadah, dia memohon cerai taklik pula.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cintaku Tersimpul Rapi ini bertindak menyimpan kemas masalah rumah tangganya.

Menimbang rasa

Farah Asyikin, 29, dan Dr. Farid, 30.

MEREKA memilih jalan untuk bersendiri bagi menyelesaikan masalah rumah tangga yang dihadapi. Ternyata kejauhan membuatkan mereka lebih waras berfikir.

Farah menyatakan bahawa suami yang dinikahinya pada April 2007 berasa gembira dengan perpisahan sementara ini dan menganggap ini jalan terbaik untuk mereka berdua.

Dalam masa yang sama, mereka masih lagi keluar bersama-sama namun tidak tinggal sebumbung. Farah menolak kemungkinan ada orang ketiga dalam rumah tangga mereka, sebaliknya mengakui sesuatu telah mengganggu kedamaian yang mereka bina.

Rossa, 30, dan Yoyo, 33.

PUDAR seketika rasa cinta Rossa saat visual suaminya bersama wanita lain disebarkan ke seluruh Indonesia melalui kaca TV. Dan menerusi cara yang sama dia mendapat tahu bahawa suaminya sudah berselingkuh dan menduakan cintanya.

Keharmonian rumah tangga mereka yang dibina tanggal 18 Mac 2003 dan dikurnia Rizky Langit Ramadhan ini menjadi goncang walau belum berada di hujung tanduk.

Untuk sementara waktu ini tak banyak yang dilakukan oleh pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani selain berfikir dan bersikap tenang.

Januari lalu Yoyo pulang ke kampung Rossa dan memohon maaf akan apa yang terjadi. Yoyo berharap rumah tangganya bersama Rossa kembali normal.

Kahwin kilat antarabangsa

1. Selma Blair

SEORANG lagi gadis manis yang berkahwin dengan selebriti. Selma, pelakon yang terkenal dengan filem Cruel Intentions dan Scream memilih anak pemuzik legenda, Frank Zappa iaitu Ahmet Zappa.

Namun perkahwinan yang dilalui dari tahun 2001 hingga 2002 tidak seperti saat-saat bercinta. Sempat mengulit mimpi sebagai suami isteri selama dua tahun, mereka merasakan ada perbezaan yang ketara hingga mereka mahu berpisah dan tak mampu berdamai.

2. Drew Barrymore

WANITA yang terkenal dengan filem E.T ini mempunyai profil yang tercalar tentang kisah cinta setianya. Manakan tidak, suami pertama hanya bertahan beberapa bulan.

Begitu juga suami keduanya, pelakon komedi Tom Green yang hanya layak bergelar suami tanggal 7 Julai 2001 hinggalah 15 Oktober 2002. Khabarnya Tom meluat dengan perangai Drew yang liar itu.

3. Nick Lachey

MENGAHWINI seorang selebriti cantik merupakan kepuasan buat jejaka yang terkenal melalui grup 98 Degrees. Namun tidak seperti yang digembar-gemburkan, kebahagiaan ciptaan mereka tidak mampu bertahan.

Mereka bercinta selama empat tahun dan usia perkahwinan mereka singkat daripada itu. Nick dan Jessida Simpson berkahwin tanggal Oktober 2002 dan berpisah pada November 2005.

Powered by Kosmo