Iskandar Ismail diberi kepercayaan arah
15 lagu bagi Broadway klasik karya Mancini
Oleh
Haryani Othman
JIKA anda minat dengan muzikal Broadway dan set-set klasik seperti Moulin Rouge, ada satu persembahan perdana bulan depan yang menanti untuk dinikmati.
Pementasan Klasik Broadway, Victor Victoria, satu teater muzikal yang penuh gah akan diadakan di Dewan Teater Esplanade. Pementasan oleh Zebra Crossing Productions ini akan diadakan dari 9 hingga 29 November.
Muzikal ini mengisahkan seorang wanita, Victoria Grant, yang menyamar sebagai seorang penghibur lelaki yang mengambil perwatakan wanita di sebuah kelab di Paris pada 1933. Situasi menjadi hura-hara apabila seorang ketua samseng jatuh cinta dengan ‘wanita’ ini.
Watak Victoria Grant dilakonkan oleh Laura Fygi, seorang penyanyi terkenal dari Belanda yang bukan sahaja boleh bernyanyi dalam lima bahasa termasuk bahasa Cina malah telah menjelajahi dunia menghiburkan penonton dengan bakatnya.
Teater muzikal komedi ini pada asalnya ditulis untuk filem pada 1933 oleh Hans Hoemburg dari Jerman dan skrip ini melalui banyak perkembangan. Selepas perfileman 1933, cerita ini difilemkan semula pada 1982 dan memenangi banyak anugerah termasuk Pelakon Wanita Terbaik dalam watak utama (Julie Andrews), Pelakon Lelaki Terbaik dalam watak pembantu (Robert Preston), Gubahan Muzik Asal Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik.
Pada 1995, filem hebat ini diadaptasikan ke pementasan teater muzikal Broadway dan pementasan inilah yang akan dipentaskan di sini nanti.
Bersedia untuk menikmati kecantikan 250 macam kostum, 15 lagu, kepelbagaian tarian dan kehebatan lakonan. Anda akan berasa seperti diri anda dilayarkan ke Paris pada 1933. Perasaan nostalgia yang dibangkitkan sangat menyerlah.
Selain Laura Fygi, barisan pelakon Victor Victoria termasuk Shane Mardjuki yang pernah menjayakan pementasan What the Butler Saw (Zebra Crossing Productions) dan juga Sooo Lazat di Suria dan Gene Sha Rudyn yang pernah membawa pelbagai watak dalam pementasan seperti Pulau Antara dan Oi! Sleeping Beauty.
Shane membawa watak Henry Labisse, pemilik kelab yang jahat dan dengki, dan Gene pula akan memegang watak Sal, seorang ketua samseng berbangsa Italy dari Chicago, Amerika Syarikat. Sal adalah kawan samseng yang jatuh cinta pada Victoria dan watak Sal ini sungguh lucu.
Ada 15 lagu dalam pementasan lebih dua jam ini dan kesemuanya diarah oleh Iskandar Ismail, penerima Pingat Budaya (2008) yang menjelajahi dunia bersama arahan muziknya. Beliau pernah bekerja dengan Jacky Cheung untuk Snow.Wolf.Lake (1997) dan pernah turuk menjayakan pementasan hebat seperti Sing to The Dawn dan Chang & Eng.
Dalam pementasan ini, Iskandar mengembalikan wirasa dan naluri muzik nostalgia untuk mendapatkan daya tarikan rimbunan ala Hollywood lama.
Semua lagu dan irama dalam pementasan ini dicipta oleh Henry Mancini, penggubah lagu terhebat pada eranya yang pernah menghasilkan irama yang merdu dan popular seperti Moon River dan The Pink Panther.
Jadi untuk mengarah karya Mancini adalah satu pencapaian luar biasa. Apa yang menggelikan hati ialah semasa di bangku sekolah, Iskandar amat takut dengan muzik Mancini dan sekarang beliau harus mengarah karyanya.
Pementasan ini dicantikkan lagi dengan pelbagai rekaan kostum yang berwarna-warni, gah dan mempesonakan! Anda pasti kagum dengan kostum era Marie Antoinette dan ala kabaret ’30-an yang direka oleh Moe Kasim bersama dengan Laichan.
Kedua-dua jejaka ini pernah memenangi anugerah Straits Times Life! Theater Awards bagi rekaan pakaian mereka. Kali ini untuk Victor Victoria, mereka mereka dan menyediakan 250 pasang kostum untuk 30 pelakon atau penari.
Dengan barisan bakat yang berwibawa sebegini, Victor Victoria menjanjikan pementasan menakjubkan.
Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri http://www.victorvictoria.com.sg atau ke laman http://www.sistic.com.sg.
Cyberita
You must be logged in to post a comment.