Archive | Asfarina Muhamad RSS feed for this section

Permohonan Lisan Haleeda Dapatkan Hak Penjagaan Anak Ditolak

18 Dec

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan lisan yang dikemukakan oleh penyanyi dan pelakon, Haleeda bagi mendapatkan hak penjagaan anaknya sehingga berusia 11 tahun.

Permohonan lisan itu dibuat oleh Haleeda, 31, melalui peguamnya Mahyuddin Md. Zahari ketika kes hak penjagaan anaknya antara beliau dan bekas suaminya, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan disebut di hadapan Hakim Syarie Mohd. Nasir Abdul Majid.

Mohd. Nasir dalam keputusannya menolak permohonan tersebut setelah mendengar alasan Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin dan juga bantahan yang dibuat oleh Azman melalui peguam syarie Hazirah Othman.

Mahkamah menetapkan pada 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes itu.

Hazirah terdahulunya memohon maaf bagi pihak Azman yang tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinannya dengan Asfarina Muhamad, 29.

Dalam permohonan lisan tersebut, Mahyudin berkata, semasa permohonan hak penjagaan itu difailkan oleh Azman, anaknya Amira Amani Azman masih belum cukup umur sembilan tahun.

Dia hanya berusia lapan tahun lebih sahaja.

Kata peguam itu, mengikut Seksyen 84(1) Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam 1984, mahkamah mempunyai hak untuk melanjutkan tempoh jagaan kepada Haleeda sehingga anaknya itu berusia 11 tahun.

Hazirah pula bangun sambil menyatakan bahawa mahkamah tidak wajar membuat sebarang perintah kerana permohonan yang dilakukan Haleeda oleh peguamnya, Mahyudin adalah hanya secara lisan sahaja.

Tambah peguam itu, perintah hak penjagaan sementara yang diberikan kepada Azman juga adalah satu perintah yang berkuat kuasa sehingga satu perintah lain dikeluarkan oleh mahkamah ini.

Pada 23 September lalu, Haleeda memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah mahkamah itu yang Azman mendapat hak penjagaan sementara terhadap anak mereka berusia sembilan tahun.

Powered by Utusan Malaysia

Azman Fail Permohonan Hak Penjagaan Anak

16 Sep

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak perempuannya yang berusia 9 tahun.

Azman, 32, yang hadir di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi bersama tunangnya, bekas ahli kumpulan Feminin, Asfarina Muhamad ataupun yang lebih dikenali dengan panggilan As memfailkan permohonan tersebut semalam.

Dia yang hadir hari ini untuk mendengar permohonan itu kelihatan bersahaja dan sesekali tersenyum serta menyapa wartawan yang sedang menunggu di luar mahkamah.

Kira-kira pukul 10 pagi, Azman dan peguam syarie Hazirah Othman yang mewakilinya dilihat masuk ke dalam kamar Hakim Syarie Mohd. Nasir Abdul Majid kira-kira 45 minit.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pada 20 September ini untuk mendengar permohonan tersebut.

Difahamkan, anak perempuannya itu kini berada di bawah jagaan bekas isterinya, penyanyi dan pelakon Haleeda.

Azman dan Haleeda telah mendirikan rumah tangga pada 28 Januari 1985 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Amira Amani Azman, 9.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini membenarkan permohonan Azman untuk bercerai talak satu dengan Haleeda.

Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail memutuskan demikian setelah berpuas hati dengan lafaz cerai yang diucapkan oleh Azman terhadap Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badarudin dan meneliti dokumen-dokumen yang disertakan oleh pemain bola Selangor itu.

Mohamad Fauzi juga merekodkan persetujuan yang dicapai antara pasangan tersebut iaitu Azman bersetuju membayar nafkah edah kepada Haleeda sebanyak RM1,800 dan nafkah anak mereka, Amira sebanyak RM200 sebulan.

Azman melafazkan cerai talak satu kepada Haleeda, 31, di dalam mahkamah.

Powered by Utusan Malaysia