Archive | Normala Samsudin RSS feed for this section

Mahu Susut 2kg Lagi

4 Dec

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

“SAYA bukan saja dilahirkan dengan keadaan fizikal yang agak gempal, tetapi dengan selera Melayu yang cukup kuat.

“Emak pula gemar memasak manakala masakannya terutama kari kepala ikan dan rendang yang memang sedap.

“Faham-faham sajalah masakan Melayu, kalau tidak cukup minyak, santan, gula, perisa dan perasa, memang tidak lengkap,” kata penyanyi, Noryn Aziz menceritakan pengalamannya ketika mula menjalani rawatan untuk mengurangkan berat badannya di sebuah cawangan pusat pelangsingan terkenal, Marie France Bodyline (Marie France), kira-kira tiga tahun lalu.

Dia yang kini dilantik sebagai jurucakap terbaru Marie France mengakui pernah melakukan pelbagai usaha untuk kurus termasuk mengambil pil diet serta memakai korset, tetapi semuanya memberi kesan seketika saja.

Kata Noryn, berat badannya pernah mencecah 65 kilogram (kg) dan usaha untuk mengubah bentuk badannya pernah gagal kerana dia tidak mengamalkan tabiat pemakanan sihat.

Semuanya berubah selepas diperkenalkan dengan produk rawatan Marie France kerana ia bukan saja melakukan rawatan kecantikan, tetapi turut memberi khidmat nasihat terutama membabitkan cara makan yang betul.

“Kini, berat saya adalah sekitar 49 kg dan ia memang ideal dengan ketinggian (160 sentimeter) namun untuk memastikan tubuh benar-benar tegap, saya perlu menghilangkan dua kilogram lagi.

“Selepas menjalani rawatan selama dua bulan, saya hilang berat badan sebanyak empat kilogram dan 34 inci di beberapa kawasan badan. Saya sungguh gembira dan berpuas hati dengan hasil berkenaan.

“Namun, selain rawatan, saya juga melakukan senaman seperti berenang serta berlari dan mengelak daripada mengambil makanan pada lewat malam. Itu semua untuk memastikan saya mendapat berat badan yang diinginkan,” katanya yang menjadi jurucakap Marie France selama setahun.

Dia turut melahirkan rasa bertuah kerana dipilih sebagai duta pusat pelangsingan terbabit yang sebelum ini memilih Datin Seri Normala Samsudin serta bekas ratu cantik Malaysia Universe 2004, Andrea Fonseka.

Menurutnya, pembabitannya sebagai jurucakap pusat itu diharapkan mampu membantu wanita seusianya berkongsi pengalaman mengenai cara menjaga kesihatan luaran dan dalaman.

Hadir sama pada majlis pengumuman pelantikan dirinya sebagai jurucakap terbaru Marie France di Sunway Pyramid, Petaling Jaya baru-baru ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Global Kecantikan Marie France, Benjamin Lo.

Majlis turut menyaksikan perasmian cawangan terbaru pusat pelangsingan itu di pusat beli-belah berkenaan.

Marie France, yang berasal dari Switzerland, sudah lebih 20 tahun berpengalaman dalam membantu individu untuk mengurangkan berat badan secara semula jadi.

Ia menawarkan penyelesaian untuk melangsing dan mengurangkan berat badan tanpa perlu memakan pil atau diet yang ketat serta tidak membabitkan senaman berat.

Perunding Marie France terdiri daripada pakar bertauliah manakala pusat itu menggunakan bahan semula jadi serta bebas daripada penggunaan pil atau suntikan yang boleh mendatangkan risiko.

Terbaru, Marie France memperkenalkan rawatan pelangsingan badan baru menggunakan kaedah BodyTech Perfectionist.

Ia turut menemui rumusan baru mengandungi tiga sebatian aktif yang dapat membantu menangani masalah berat badan termasuk tisu lemak berlebihan, selulit serta kulit kendur akibat kekenyalan kulit yang semakin berkurangan.

Harian Metro

Paparan Eksklusif Aidilfitri

30 Sep

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Nona terbitan TV3 mengimbau nostalgia Ziela Jalil terhadap arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob

BINGKISAN istimewa daripada Nona sempena sambutan Aidilfitri akan menyorot pelbagai episod suka, duka, gembira dan iltizam menjadi sajian yang tidak harus dilupakan penonton setia program terkenal siaran TV3 itu.

Mendekati nama terkenal dalam industri hiburan, Nona merakamkan pelbagai paparan eksklusif untuk dikongsi bersama penonton sempena Syawal nanti di samping mengimbau nostalgia yang mengusik perasaan pada hari mulia itu.

Bakal bersiaran pada 5 Syawal, jam 2 petang, Nona istimewa Aidilfitri antara lain mengungkap kehidupan terkini Ziela Jalil bersama dua cahaya matanya selepas suami tercinta, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menyahut panggilan Ilahi.

Penerbit Nona, Syarida Sharif mengakui, penerbitan sempena hari raya memberikan sedikit cabaran apatah lagi terpaksa bersaing dengan program istimewa Syawal yang lain.

Bagaimanapun, katanya, membezakan Nona dan program hiburan paparan yang dipersembahkan dalam bentuk majalah digarap bersama skrip melodramatik untuk memberikan kesan kepada penonton.

“Menemui penonton selepas lima hari raya, kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan rating yang baik. Harus diakui ketika itu, jumlah tonton agak mendatar kerana penonton masih sibuk dengan aktiviti menziarah dan riadah lain.

“Jadi dengan menerapkan kisah menarik selebriti, secara tidak langsung membantu memberi elemen tarikan kepada Nona,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak mahu penonton diheret dengan kesyahduan pada hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, Nona turut menjejak perjalanan hidup Norayu Damit atau Ayu selepas menjuarai program realiti, One In A Million musim kedua.

Selepas memenangi wang RM1 juta yang ditawarkan pertandingan itu, Ayu merasai kelainan menyambut 1 Syawal dengan limpahan rezeki yang dinikmati sebagai anak seni.

“Nona mengupas perubahan yang dialami Ayu malah turut membawa penonton untuk berkongsi bagaimana gadis itu memanfaatkan wang yang dimenanginya.

“Kejayaan yang dilakar Ayu mampu menjadi contoh betapa dengan usaha serta kesungguhan segala halangan mampu diruntuhkan dan hari ini, Ayu semakin dikenali kerana bakat besar yang dimilikinya,” kata Syarida.

Akui Syarida, selepas 25 tahun bersiaran Nona juga melalui evolusi dan pendekatan terbaru program utama TV3 itu kini lebih realistik di samping mengupas pelbagai isu berkaitan wanita.

Topik yang pernah dibincangkan diberi nafas baru dengan kupasan yang kontemporari dan bersesuaian cita rasa penonton semasa, malah krew Nona juga sentiasa kreatif memberikan idea untuk menambahkan warna berbeza kepada program popular itu.

“Tidak dinafikan suatu ketika dulu populariti Nona bergantung kepada pengacaranya terutama ketika dikendalikan Puan Sri Normala Samsudin.

“Bagaimanapun, perlahan-lahan kecenderungan penonton sudah berubah dan apa yang dapat saya katakan, mereka kini lebih menilai kepada pengisian topik serta isu yang digarap.

“Menampilkan Fizza sebagai perantara turut memberikan ruang kepada Nona untuk berkembang dan terus diminati. Ini terbukti dengan peningkatan rating Nona malah kami yakin Fiza mampu menjadi pelapis yang bakal menyerikan dunia pengacaraan,” katanya.

Mempunyai jumlah penonton sekitar 1.3 juta setiap kali bersiaran, Syarida berkata, dia kagum dengan keupayaan Fizza yang berbakat besar dan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik ketika penggambaran.

“Mudah bekerjasama dengan Fizza kerana dia cepat belajar dan pantas memahami apa yang dikehendaki,” katanya.

Juga dipaparkan pada episod istimewa itu kesibukan legenda rock negara, Amy Search yang menyambut Aidilfitri di restoran yang diusahakannya di samping menyempurnakan persiapan pernikahan anak gadisnya, Nabila Huda.

Istimewa Nona apabila membawa penonton mengimbas nostalgia silam bersama bintang veteran ketika menyambut Aidilfitri di Jalan Ampas, Singapura.

Segmen yang dijayakan seniwati 50-an seperti Zaiton, Mariani, Neng Yatimah dan Hashimah Yon disatukan di Pulau Pinang untuk berkongsi imbauan sambutan raya ketika era kegemilangan dunia perfileman Melayu.

Rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini turut menyaksikan persembahan daripada Aizat, Suki, Erry Putra, Shahila dan Dafi diserikan dengan kehadiran Mila, Adam, Fizz Fairuz, Adi Putra serta artis veteran antaranya Datin Aspalela Abdullah dan Datin Orkid Abdullah.

Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini dikendalikan Ruhil Syafinaz, Azzura, Azizah Ariffin, Ifa Raziah, Nadia Shahrul dan Fizza turut menyerahkan duit raya daripada Tabung Bersamamu serta hamper kepada Rumah Amal Limpahan Kasih, Kampung Aman, Puchong, Selangor.

Turut diraikan keluarga pelakon drama, Allahyarham Yazid Sobrani serta pelakon lagak aksi Jangan Pandang Belakang, Allahyarham Nazari Omar.

Berita Harian

Normala Tarik Balik Permohonan Merayu

26 Aug

PUTRAJAYA 25 Ogos – Bekas personaliti TV3, Datin Seri Normala Samsudin menarik balik permohonan untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan di sini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan ganti rugi RM200,000 yang diberikan kepadanya oleh Mahkamah Tinggi bagi kes saman fitnah.

Normala yang diwakili peguam Sulaiman Abdullah bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang alasan untuk menarik balik permohonan itu.

Sulaiman yang hadir di mahkamah hari ini memberitahu, tindakan tersebut dibuat dengan persetujuan pihak responden, Keluarga Communication.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk S. Augustine Paul membenarkan permohonan selebriti itu.

Pada 14 Disember 2005, Normala mengemukakan permohonan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 November 2005 kerana menolak rayuannya yang tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Normala memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan kerana mendakwa beliau patut diberikan lebih daripada RM200,000 kerana artikel itu menyebabkan jumlah jualan majalah tersebut meningkat.

Mahkamah itu sebaliknya membenarkan rayuan balas Keluarga Communication untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah memberikan ganti rugi RM200,000 kepada Normala.

Pada 13 April, 1999, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk R. K. Nathan memberikan Normala ganti rugi RM200,000 selepas memutuskan bahawa keterangan pada gambar dan perkataan dalam artikel bertajuk ‘Mala tebus talak RM3 juta’ dalam majalah Mingguan Wanita, diterbitkan oleh Keluarga Communication adalah fitnah.

Normala, 44, yang juga isteri bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid, menyaman syarikat penerbitan itu dengan mendakwa ia secara palsu dan niat jahat menyiarkan gambarnya di muka depan isu Januari-2 Februari 1996 dengan perkataan ‘Mala tebus talak RM3 juta’.

Utusan Malaysia

Kanak-Kanak Mudah Dibentuk Dengan Yoga

16 Nov

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

AMALAN yoga menjadi semakin popular di Malaysia sejak ia mula menjadi amalan beberapa selebriti tanah air seperti Camelia, Normala Samsudin, Umie Aida dan Hetty Sarlene. Yoga sebenarnya berasal dari perkataan sanskrit yang bermaksud penyatuan bersama untuk menyatukan badan dan minda.

Mengikut fakta sejarah, yoga berasal dari India dan telah diperkenalkan sejak 3,000 tahun lalu dan yoga sebenarnya bukan suatu bentuk senaman sebaliknya ia adalah beberapa siri postur atau pergerakan.

Pergerakan yang lembut ini akan bertahan selama antara 10 hingga 60 saat.

Ia juga seharusnya tidak menyakitkan. Jadi untuk memulakan yoga, seseorang perlulah menjalani latihan yang dinamakan ‘kekuatan fleksibiliti’ agar otot mampu dilentur mengikut aksi yoga yang dikehendaki.

Kalau dulu yoga lebih ditumpukan kepada golongan dewasa, tapi kini yoga boleh dipelajari golongan kanak-kanak dan remaja.

Selain menguatkan sistem otot kanak-kanak, ia juga membantu menguatkan belakang dan juga otot-otot abdomen. Tambah menarik, yoga juga merangsang kanak-kanak supaya lebih peka terhadap kemampuan diri mereka dan seterusnya dapat mempertingkatkan keupayaan otak dalam memperingati pelajaran.

“Kanak-kanak lebih mudah dilatih kerana otot mereka masih lembut. Latihan kaedah pernafasan dan berehat yang betul juga menjadi penentu penguasaan teknik yoga yang betul,’’ kata jurulatih yoga kanak-kanak, Noor Sheena Maideen.

Menurut Noor Sheena, koreografi yoga untuk kanak-kanak seperti aksi kucing, aksi harimau, bentuk pokok dan berbagai lagi dapat menarik minat kanak-kanak untuk menjalani latihan.

“Lebih penting, yoga dapat mengurangkan dan membetulkan perjalanan oksigen yang bersih mengalir ke otot-otot seterusnya mencerdaskan minda kanak-kanak,’’ ujarnya.

Penghargaan:

BODY ENERGY AEROBIC STUDIO

016-6550885/03-41433484.

Powered by Utusan Malaysia

Bapa Normala Meninggal Dunia

24 Aug

KOTA TINGGI 23 Ogos – Bapa kepada bekas selebriti televisyen, Datin Seri Normala Samsudin yang juga isteri kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pagi ini.

Samsudin Mohd. Zin, 63, meninggal dunia pada pukul 8.40 pagi ini di Unit Rawatan Khas (HDU), HSA, selepas dirawat selama enam hari kerana masalah buah pinggang, kencing manis dan angin ahmar.

Jenazahnya dibawa keluar dari bilik mayat HSA kira-kira pukul 10.30 pagi dan dibawa ke rumahnya di Felda Bukit Aping Timur di sini sebelum dikebumi di tanah perkuburan Felda itu, kira-kira pukul 2 petang ini.

Allahyarham adalah anak tunggal dalam keluarganya dan meninggalkan seorang balu, Asma Seth, 54, serta lapan anak dan 17 cucu.

Empat daripada anak-anaknya termasuk Normala, bekas pengancara rancangan Nona di TV3, adalah dari bekas isteri pertama Allahyarham.

Menurut Azmi, bapa mertuanya telah dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi selama lapan hari selepas menghidap penyakit kencing manis lemah jantung, buah pinggang tidak berfungsi serta gout.

Beliau berkata, selepas itu, Allahyarham dipindahkan ke HSA Johor Bahru berikutan keadaan paru-paru bapa mentuanya itu dijangkiti kuman.

“Saya bersama isteri bercadang untuk pulang melawat Allahyarham hari ini kerana mendapat tahu keadaannya semakin kritikal tetapi tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia pagi ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Azmi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang bertungkus lumus memberi rawatan kepada arwah bapa mertuanya sepanjang berada di hospital.

Dalam pada itu Normala berkata, ayahnya berhasrat menunaikan haji tahun ini tetapi tidak kesampaian apabila beliau diserang angin ahmar.

Menurutnya, beliau bersama suami beberapa kali melawat bapanya semasa dia dirawat di hospital.

Kali terakhir beliau bertemu dengan bapanya ialah pada 18 Ogos lalu dalam keadaan sihat dan arwah teruja untuk bertemu kesemua anak-anaknya.

“Ketika itu, bapa baru dibawa keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dipindahkan ke HDU.

“Pada masa itu bapa tidak boleh bercakap hanya menganggukkan kepala apabila kami berbual dengannya,” kata beliau.

Utusan Malaysia

Pengacara Nona Tidak Rela Diintai Kerabat Raja

11 Mar

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM


NURUL SYUHADA NURUL AIN MOHD. ZIN.

MELIHAT penampilan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, ramai yang tidak sangka dia adalah pengacara rancangan Nona yang disiarkan pada setiap Ahad pukul 2 petang di TV3.

Ini kerana pengacara ayu itu tidak gemar bersolek dan lebih selesa menjadi dirinya yang sebenar jika tidak mengacara rancangan Nona.

Kata Nurul, sebagai pelajar tahun akhir Ijazah Sains Marin di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), Terengganu, dia perlu mengekalkan imejnya sebagai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya perlu jaga tingkah laku. Sebagai pengacara Nona, saya bukan sahaja membawa nama program tersebut malah nama ibu bapa yang sentiasa memberi kepercayaan besar kepada saya,” kata Nurul yang bakatnya sebagai pengacara mula dicungkil daripada program realiti Malaysian Top Host 2005 anjuran TV3.

Bakal mencecah usia 23 tahun pada 29 November ini, Nurul tidak pernah menganggap rancangan kelolaannya itu sebagai platform untuk mengejar glamor atau diintai golongan korporat dan kerabat raja.

Sebaliknya, kata Nurul, Nona merupakan ruang untuknya mengasah bakat dan menimba ilmu.

“Kalau boleh saya ingin kikis tanggapan negatif yang tersemat dalam pemikiran penonton yang menganggap menjadi pengacara TV memudahkan individu untuk dekati oleh orang-orang tertentu.

“Pada saya, itu bukan motif saya untuk jadi pengacara. Tapi sebagai pengacara saya perlu meyakinkan penonton tentang apa sahaja segmen yang disalurkan. Malah saya berhasrat untuk menarik penonton seusia saya

menjadikan Nona sebagai pilihan utama,” katanya yang telah mengendalikan rancangan Nona sejak Januari lalu.

Nurul meminati cara penyampaian Normala Samsudin yang dianggapnya pandai menarik perhatian penonton dan Wan Zaleha Radzi sebagai pengacara yang sentiasa bersedia menerima sebarang kritikan.

Meskipun Nurul sentiasa merendah diri bila berbicara, namun difahamkan sejak dia mengendalikan Nona, jumlah penonton rancangan itu telah mencecah 1.9 juta.

Pensyarah beri galakan Sejak mengendalikan rancangan Nona, Nurul terpaksa berulang alik antara Terengganu dan Kuala Lumpur pada hujung minggu.

“Saya beruntung kerana pensyarah dan rakan-rakan memahami kerja sambilan ini. Pensyarah sentiasa memberi galakan dan kawan-kawan pula tidak lokek meminjamkan nota jika saya ketinggalan.

“Selalunya bila habis kelas pada hari Jumaat, saya mula bersedia untuk ke Kuala Lumpur. Biasanya sekali turun ke Kuala Lumpur, rakaman dibuat untuk dua episod,” cerita Nurul.

Pengacara yang mula mendapat perhatian ramai itu berkata selepas selesai pengajian April ini dan menerima ijazah pada September nanti, dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Gadis yang memiliki lesen menyelam pada 2004 ini meminati aktiviti lasak seperti menyelam, berkayak dan go-kart.

Utusan Malaysia

Seri Paduka Lakukan Lawatan Rasmi Ke Jakarta, Bandung

19 Jan


TUANKU Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid disambut oleh Susilo Bambang Yudhoyono dan isteri Ani Yudhoyono di Istana Merdeka, Jakarta, semalam.

JAKARTA 18 Jan. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid tiba di sini hari ini untuk lawatan enam hari ke Indonesia.

Lawatan Seri Paduka Baginda berdua di Jakarta dan Bandung dari 18 hingga 23 Januari adalah atas jemputan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada 14 dan 15 Februari tahun lepas.

Ketibaan Seri Paduka berdua di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di sini, disambut oleh Bachtiar Chamsyah dan isteri, selaku Menteri Pengiring, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamad Zain dan isteri; Duta Besar Indonesia ke Kuala Lumpur, Rusdiharjo dan para pegawai kanan.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya disambut oleh Presiden Susilo dan isteri Ibu Ani Yudhoyono, di Istana Merdeka di sini dan diberikan sambutan negara, diikuti pertemuan dengan Susilo.

Pada tengah hari, Yang di-Pertuan Agong akan melawat Parlimen Indonesia di Senayan di sini.

Seri Paduka kemudiannya akan menghadiri taklimat oleh Badan Perancangan dan Pembangunan Nasional manakala Raja Permaisuri Agong akan melawat Rumah Anak Yatim Panti Asuhan Daarul Aitam di sini.

Pasangan Diraja itu juga akan menghadiri bankuet negara yang dihoskan oleh Presiden Susilo di Istana Negara di sini malam ini.

Anggota rombongan Seri Paduka terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid dan isteri Datin Seri Normala Samsudin serta para pegawai kanan Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri. – Bernama

Utusan Malaysia

Man Kidal Tidak Puas Main Satu Lagu

27 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR


AKSI Man Kidal sewaktu mengadakan konsert bersama Svetlana Bezrodnaya di PWTC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KONSERT An Evening With Svetlana Bezrodnaya & The Vivaldi Orchestra yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Rabu lalu meninggalkan kenangan manis buat gitaris Man Kidal.

Pada konsert itu, Man Kidal diundang mengadakan konsert bersama peggesek biola terkemuka, Svetlana Bezrodnaya, dan kumpulan The Vivaldi Orchestra dari Rusia.

Man Kidal muncul sebagai artis jemputan dan diundang pada akhir konsert itu dengan menyampaikan sebuah lagu instrumental berjudul Sentuhan Kidal.

Petikan pemain gitar kumpulan Lefthanded itu diiringi gesekan biola Svetlana dan The Vivaldi Orchestra yang dianggotai oleh 25 pemuzik wanita.

Sentuhan Kidal bukan sahaja satu-satunya lagu yang disampaikan oleh Man Kidal, tetapi lagu itu merupakan persembahan penutup tirai konsert itu.

Sewaktu membawakan lagu itu, Man Kidak kelihatan begitu bersemangat dan penuh perasaan. Dia memejamkan matanya ketika memetik gitar, menggambarkan betapa mendalamnya emosi datuk kepada seorang cucu ini sepanjang persembahannya.

Suasana Dewan Merdeka, PWTC pada malam itu juga bergemuruh dengan tepukan para penonton yang gembira bercampur bangga dengan kolaborasi Mat Kidal dan The Vivaldi Orchestra.

Bagaimanapun, gitaris berusia 42 tahun itu menyatakan bahawa dia tidak puas dengan persembahannya yang tidak sampai lima minit itu.

“Bagi saya, satu lagu tidak cukup. Saya tidak puas dengan persembahan pada malam itu. Tetapi saya akur saya hanya artis undangan.

“Apa pun saya rasa bangga kerana dijemput mengadakan persembahan bersama mereka. Selama dua hari menjalani latihan bersama, saya banyak menimba pengalaman daripada mereka,” kata Man Kidal ketika ditemui selepas konsert tersebut.

Persembahan selama hampir dua jam itu menyaksikan Svetlana Bezrodnaya bukan setakat bertindak selaku konduktor The Vivaldi Orchestra tetapi pada masa yang sama dia juga menggesek biolanya.

Pada persembahan bahagian pertama, Svetlana Bezrodnaya dan The Vivaldi Orchestra menyampaikan 16 lagu dan bahagian kedua pula 18 lagu.

Ramai yang terpegun dengan konsert itu kerana alunan muzik klasik yang dipersembahkan oleh para pemuzik dari Moscow itu begitu kemas dan meninggalkan kesan penghayatan yang mendalam.

Walaupun berkonsepkan muzik orkestra tetapi persembahan pada malam itu tidak setakat bertumpu kepada lagu-lagu klasik semata-mata tetapi muzik cha cha dan moden klasik turut diperdengarkan.

Sayangnya Svetlana Bezrodnaya mahupun The Vivaldi Orchestra kurang bijak dalam mengambil hati para penonton yang 90 peratus terdiri daripada peminat tempatan.

Menurut komposer dan konduktor muzik tempatan yang turut menyaksikan persembahan itu, Ramli M.S., para pemuzik Rusia itu sepatutnya membawakan satu lagu tempatan yang digubah semula mengikut acuan muzik orkestra mereka.

“Saya tertanya-tanya mengapa mereka tidak menyampaikan walau sebuah pun lagu tempatan pada konsert itu.

“Sebagai pemuzik profesional mereka boleh menggubah sebuah lagu tempatan yang popular sesuai dengan persembahan mereka.

Kenangan

“Cara itu bukan sahaja akan meninggalkan kenangan kepada mereka tetapi juga para penonton,” komen Ramli selepas konsert itu.

Konsert yang amat dinanti-nantikan oleh penggemar muzik klasik itu dimulakan dengan persembahan artis undangan, kumpulan Jr. 5, dengan sebuah lagu berjudul Show Me The Meaning yang dipopularkan oleh Backstreet Boys.

Sebahagian hasil jualan tiket berharga dari RM128 hingga RM10,000 itu akan disumbangkan kepada Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra.

Tetamu kehormat yang menyaksikan konsert itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid dan isterinya, Datin Seri Normala Samsudin.

Konsert anjuran Just 311 Entertainment Sdn. Bhd. itu bukan sahaja berjaya menarik hampir 500 peminat muzik klasik tetapi ramai juga rocker tempatan yang datang memberi sokongan.

Antara rocker yang tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert itu ialah anggota-anggota kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Awang dan Joey, Black, Joe (Wings), Yazit (Search) dan Loque (Butterfingers).

Vokalis BPR, Joey berkata: “Saya datang bukan semata-mata memberi sokongan moral kepada Man Kidal tetapi kerana tarikan muzik klasik itu sendiri.

“Saya rasa rugi kalau peluang ini dilepaskan begitu sahaja. Bukan senang mahu melihat sebuah konsert orkestra yang bertaraf dunia seperti ini.

“Bagi saya, muzik orkestra dan klasikal adalah bapa segala muzik. Walaupun bermain muzik rock tetapi tidak salah saya mempelajari ataupun meminati muzik orkestra,” ujar Joey.

Pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad pula berkata: “Sebagai ahli muzik saya kena menonton konsert seperti ini. Banyak kelainan yang mereka tampilkan. Biasanya saya dengar lagu-lagu rock tetapi malam ini saya tukar tuning telinga saya kepada muzik klasikal.”

Utusan Malaysia