Archive | Deja Moss RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tidak Lepas Peluang

17 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

CALON uji bakat Worldstars – Road to Hollywood kategori vokal bersiap sedia di belakang pentas sebelum nama mereka dipanggil.

Ramai teruja mewakili Malaysia ke WCOPA

SEJAK 2005, pasukan Malaysia tidak pernah pulang dengan tangan kosong apabila ada saja wakil negara ini yang memenangi pingat pada Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) yang berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat. Nama seperti Dina, Deja Moss dan Noryn Aziz ialah antara penyanyi popular tempatan yang menempa nama pada pertandingan antarabangsa berkenaan.

Ketika ini, siri uji bakat bagi mencari wakil Malaysia ke pertandingan berkenaan giat dijalankan. Pada 14 dan 15 Februari lalu, uji bakat dilangsungkan di Johor Bahru, diikuti lokasi Pulau Pinang (21 dan 22 Februari), Kuala Lumpur (28 Februari dan 1 Mac), Kuching dan Kuantan (7 dan 8 Mac) serta Kota Kinabalu (14 dan 15 Mac).

Ketika sesi uji bakat yang dikenali sebagai Worldstars – Road to Hollywood itu diadakan di Berjaya Times Square di ibu kota, turut kelihatan beradu nasib pada acara berkenaan ialah beberapa bekas peserta rancangan realiti termasuk Bob, Sahri, Nabil dan Cicik. Penyanyi Siti Sarah dan Anis Aneesa turut tidak ketinggalan menghadiri uji bakat terbabit demi mengintai peluang berbakti kepada negara menerusi seni nyanyian.

Bob menganggap jemputan menghadiri uji bakat bagi pertandingan sebesar WCOPA tidak harus dilepaskan begitu saja.

Tidak kiralah sama ada artis yang sudah dikenali ataupun bakat baru, katanya, pertandingan sebegitu bakal memberikan pulangan yang bukan sedikit dari segi pengalaman dan pendedahan.


BOB bersama Sahri dan Nabil tidak ketinggalan menyertai uji bakat.

“Menghadiri uji bakat bagi pertandingan seperti ini harus direbut oleh semua penggiat seni. Apatah lagi apabila ia menjanjikan pendedahan bakat ke peringkat antarabangsa. Kita sendiri tidak mahu bakat yang dimiliki dipersiakan begitu saja. Lantas, jika rezeki menyebelahi, paling tidak bakat itu dapat dipertontonkan ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan menyertai pertandingan begini juga kita berupaya mengukur kemampuan diri, serta melihat sejauh mana keupayaan kita dalam industri seni. Ia mencabar diri kita melakukan sesuatu yang mungkin pernah dilihat sebagai mustahil – iaitu bertanding pada peringkat antarabangsa!

“Sekiranya terpilih ke peringkat, tentulah ia menjadi habuan paling bermakna,” kata Bob yang ditemui sebelum menaiki pentas menyanyikan lagu My Baby You pada uji bakat berkenaan.

Bob mengaku, kejayaan penyanyi seperti Noryn dan Deja banyak memberikan dorongan untuknya turut mencuba nasib pada pertandingan itu. Keupayaan mereka merangkul kemenangan di WCOPA membuatkannya lebih bersemangat untuk mencatat kejayaan serupa.


BEKAS peserta Akademi Nasyid, Cicik, turut mencuba nasib.

“Kadangkala, wujud keadaan yang mana seseorang penyanyi kurang diterima di negara sendiri. Bagaimanapun dek bakat yang dimiliki, mereka diiktiraf juga pada peringkat antarabangsa,” katanya penuh bermakna.

Pada petang 1 Mac lalu, Bob memperdengarkan suaranya di hadapan lima juri iaitu Deja, Hans Isaac, Tengku Azura, Dayang Mariana dan Hussein Ali. Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu nyanyian, lakonan, peragaan, tarian dan permainan alat muzik intrumental.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan seninya, Bob memberitahu, sehingga kini dia sudah pun merakamkan enam lagu yang kebanyakannya dicipta komposer Sharon Paul dan Azmeer. Lagu terbabit pula dikeluarkan secara single demi single, sebelum himpunannya nanti diterbitkan pula dalam bentuk album.

Antara lagu yang sudah pun dirakam dan disiarkan radio tempatan ialah sebuah karya berjudul Armada. Kata Bob, lagu ciptaan Sharon itu dianggapnya berbaur ketuhanan.

“Sayangnya, putaran lagu itu di radio tidaklah serancak lagu Cinta Terhalang. Bagaimanapun, ia sebuah lagu yang cukup indah dan saya amat menyukai melodinya. Kali pertama saya mendengar iramanya, saya terus terpesona,” cerita Bob yang masih mencari material terbaik untuk album terbabit.

Info:

WCOPA boleh dianggap sebagai Olimpik bagi penggiat seni apabila pertandingan bertaraf antarabangsa itu mempertandingkan kategori nyanyian, main muzik instrumental, tarian, lakonan, peragaan dan bakat pelbagai.

SELEPAS 11 tahun berkembang, ia muncul satu-satunya pertandingan bakat dan peragaan antarabangsa yang diadakan di Hollywood, ibu kota hiburan dunia.

KEJOHANAN Seni Persembahan Malaysia bermula pada 2005 apabila pasukan pertama negara dipilih menyertai kejohanan dunia di sana.

PERINGKAT suku akhir peringkat Malaysia akan diadakan pada 20 – 22 Mac, separuh akhir 3 – 5 April dan peringkat akhir pada 3 Mei.

Berita Harian

Percutian Ibadah

28 Feb

Banyak tempat yang dikunjungi oleh selebriti terkenal iaitu Deja Moss tetapi dia lebih senang untuk berkongsi pengalaman berada di Tanah Suci.


MENJALANKAN tanggungjawab Rukun Islam yang kelima secara berseorangan.

TITISAN air mata membasahi pipi tatkala dapat melihat secara realiti rumah Allah. Bagaikan tidak percaya dimurahkan rezeki untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.

Daripada sekelian banyak ibadah, haji adalah puncak amalan ritual yang sangat diimpikan oleh seluruh umat Islam di serata dunia.

Walaupun sudah enam tahun berlalu, tetapi pengalaman mengerjakan haji ke Tanah Suci tidak akan sesekali luput di fikiran dan sanubari.

Mana tidaknya, tanpa pengalaman mengerjakan umrah terlebih dahulu, semestinya membuatkan diri begitu merasai debaran saat untuk diterbangkan ke Mekah.

Langsung tidak merancang untuk mendapat peluang mengerjakan haji kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba. Inilah dikatakan, kalau sudah rezeki tidak perlu tunggu lama untuk berdaftar dengan Tabung Haji.

Saya akui perasaan waktu itu, memang ada sedikit takut. Maklumlah macam-macam perkara boleh berlaku sama ada sebelum tiba di sana atau setelah berada di Tanah Suci. Kesemua pengalaman itu dikutip pada tahun 2002 yang lalu.

Tanpa membuat persiapan awal, pertama sekali hati saya merasakan begitu berkobar-kobar untuk tiba di Mekah. Sepanjang lapan jam berada di dalam perut pesawat, saya tidak putus-putus berdoa agar pemergian ke sana akan diberkati Allah.

Saya tidak tidur sepanjang perjalanan. Rasa macam nak pergi berperang tetapi untuk menghilangkan debaran itu, saya berzikir dan membaca buku persiapan ibadat supaya senang sejurus tiba di Tanah Suci kelak. Menunaikan haji secara bersendirian dan ingin memulakan ibadah, langkah saya untuk memasuki Masjidil Haram serta berada di hadapan Kaabah seperti tidak sabar rasanya.

Saya dapati diri saya berasa sedikit tidak tenteram dan risau jika tidak berpeluang melihat Kaabah pada jarak yang lebih dekat. Ini kerana keadaan di dalam Masjidil Haram dipenuhi dengan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Sampai sahaja di Masjidil Haram, semangat saya bertambah membara untuk mencari Kaabah. Saya juga begitu bernasib baik kerana disapa oleh pasangan suami isteri yang sudah berpengalaman. lalu mereka mengajak saya untuk beribadat bersama.

Syukur, akhirnya saya berjaya mendekatkan diri dengan Kaabah dan terus saya mengucapkan alhamdulillah serta menunaikan sujud syukur.


DEJA MOSS menunaikan ibadat haji bersama jutaan umat Islam dunia pada tahun 2002.

Sememangnya, tiada istilah penat sepanjang beribadah di kota Mekah. Itulah kebesaran Allah yang diberikan kepada hamba ciptaan-Nya walaupun cuaca ketika itu tidak mengizinkan iaitu panas terik yang menyinari setiap ruang persekitaran.

Saya hanya berasa penat setelah selesai melakukan beberapa ibadah. Syukur kerana Tuhan memberikan tenaga yang cukup. Saya risau juga sebab ramai yang pengsan dan sebagainya.


DEJA sempat merakamkan beberapa foto kenangan bersama teman dan petugas haji Malaysia di Mekah.

Sewaktu wukuf di Arafah yang terletak kira-kira 22 kilometer dari Masjidil Haram, sekali lagi saya tidak dapat menahan linangan air mata mengenangkan dosa-dosa silam yang pernah dilakukan.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Ketika di Arafah, sebak di dada tidak mampu lagi untuk ditanggung terutama mengenangkan pengalaman lalu yang menyedihkan dan mungkin kesilapan sehingga menyakiti orang lain.

Perginya ke Tanah Suci dengan keinginan tinggi untuk memperoleh haji yang mabrur, saya terpaksa melupakan seketika aktiviti seni dan keluarga tercinta untuk menumpukan sepenuhnya pada ibadah.

Hati saya juga bertambah sayu apabila berkumandangnya takbir menandakan umat Islam mula menyambut Hari Raya Aidiladha. Saya tidak begitu dapat merasakan kemeriahan sambutan Aidiladha memandangkan sibuk dengan ibadah iaitu melontar Jamrah di Mina.

Saya dengar ramai juga jemaah Malaysia yang meninggal dunia di sana. Ini membuatkan hati saya tidak putus-putus berdoa agar selamat sepanjang mengerjakan ibadah sehingga selesai segala-galanya.

Inilah pengorbanan saya bukan sahaja masa tetapi nyawa kerana keadaan di sana tidak seperti di tempat kita. Ia cukup berlainan.

Sekiranya dimurahkan rezeki dan sihat tubuh badan, Deja juga berazam untuk mengerjakan lagi ibadah umrah mahupun haji bersama suami tercinta Azfendy Azzuddin Ahmad, 29.

Kosmo

Hip TV Lebih Berani

26 Feb

>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN program TV berkonsepkan cerita hiburan dan artis sering kali menarik perhatian ramai. Program Melodi terbitan TV3 antara contoh program hiburan yang berjaya mencatat rating tinggi penonton sebanyak 2.3 juta dan masih bertahan sejak 15 tahun lalu.

Berbanding penerbitan program sebegini di luar negara, program hiburan tempatan masih dianggap kurang. Atas dasar itu, TV9 cuba menghasilkan lebih banyak program hiburan yang mempunyai tarikan dan kelainan selepas Galaksi dan Filem Di 9.

Program baru Hip TV dilihat lebih berani kerana menggunakan elemen sensasi. Sudah mula bersiaran empat episod, program ini memberi fokus pada topik berbeza mengenai artis yang dibincangkan bersama panel pilihan.

Produser program ini, Shamatul Nadiah Mohamad, berkata program yang bersiaran setengah jam ini membawa pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pengacara untuk mengendalikan temu bual bersama panel jemputan.

Katanya, kandungan program ini dibuat berdasarkan isu hiburan mahupun isu sensasi yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Program ini seperti E! Entertainment di Hollywood yang bukan hanya memaparkan berita hiburan dan aktiviti terbaru artis tetapi mempunyai isu menarik yang boleh dibincangkan. Menariknya, ada isu dibuat mengikut carta. Sebagai contoh, carta artis lelaki paling seksi atau artis paling kontroversi.

“Untuk program Hip TV, kami juga mempunyai carta untuk topik yang dibincangkan antara tiga panel yang dijemput untuk setiap episod. Walaupun perbincangan berdasarkan topik yang kami buat tetapi program ini turut menyingkap aktiviti artis seperti pembabitan mereka dalam bidang perniagaan dan fotografi yang pernah mereka dilakukan.

“Apa saja aktiviti menarik mengenai artis akan kami kongsi menerusi program ini. Sebelum ini, dalam episod pertama, kami ada memaparkan cerita fesyen artis pada Anugerah Juara Lagu ke-23 yang lalu.

“Matlamat program ini, kami mahu penonton mendapat cerita artis dengan lebih mendalam. Skop cerita meluas tetapi ia mesti berkaitan dengan artis. Untuk segmen perbincangan isu menerusi carta, kami hanya mengambil carta Top 5.

“Sebelum ini, kami ada menyenaraikan carta perkahwinan artis paling ‘meletup’, artis bercerai, artis mulut ‘laser’, artis dengan gosip terhangat dan artis menggunakan suntikan. Untuk mengenal pasti artis mana yang patut menduduki carta satu hingga lima, kami mendapatkan pandangan daripada panel dan orang ramai secara rambang,” katanya.

Meskipun tanpa pengacara, program ini masih menggunakan penyampai radio Hot FM, Kieran untuk menyumbang suara latar. Program ini akan diterbitkan sebanyak 52 episod dan rakaman dibuat di lokasi luar.

Kata Shamatul, latar belakang artis dinyatakan terlebih dulu sebelum panel menyatakan pandangan masing-masing.

“Untuk berlaku adil, artis yang disenaraikan dalam carta Top 5 juga diberi peluang memberikan pendapat sendiri. Cabaran pada pihak produksi, saya perlu mencari topik yang sesuai, panel yang boleh bercakap dan lokasi yang sesuai untuk rakaman.

“Program ini cuba memberi kebebasan kepada panel untuk menyatakan pandangan secara jujur. Berdasarkan respons awal yang kami terima, ada yang berkata, program ini lebih berani dalam membincangkan isu hiburan. Selain panel yang terbabit dengan bidang hiburan seperti wartawan dan artis, kami juga menjemput pelawak yang turut memberikan pandangan selain menceriakan suasana,” katanya.

Kelmarin, program ini menjalani rakaman di Restoran Lemon, The Mines, Sri Kembangan, Selangor dan turut menjemput penyanyi Deja Moss dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh sebagai panel dengan dua topik berbeza.

Deja diberi topik Penyanyi & Trademark manakala Adam, Selebriti Mulut Laser mengikut kedudukan iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud di tempat pertama diikuti Adlin Aman Ramlie, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Program ini disiarkan setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.

Harian Metro

Pilih Wakil Negara

12 Feb

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN kontinjen negara di pertandingan Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCPA), di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat tahun lalu mendorong kerajaan menghasilkan program khas sebagai persediaan selain mencungkil bakat baru dalam bidang seni.

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) dengan kerjasama Kementerian Penerangan dan All Stars Performing Arts (M) Sdn Bhd bakal menerbitkan program realiti televisyen, Worldstars-Road to Hollywood.

Selaras dengan perkembangan positif dunia hiburan tanah air, program realiti berkenaan dijadikan landasan untuk memilih peserta mewakili negara ke WCPA 2009 di Hollywood yang dijadual berlangsung pada Julai ini.

Menteri KPKKW, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata program berkenaan bertujuan mencungkil bakat baru serta memilih peserta terbaik untuk dibawa mewakili Malaysia ke WCPA yang akan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai depan.

“Penghasilan program ini akan memberi ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat ke pentas Hollywood di mana kita akan memilih peserta terbaik untuk mewakili negara pada satu pertandingan yang sangat berprestij.

“Kewujudan program ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap bakat seni anak tempatan. Selain memberi galakan kepada masyarakat untuk membabitkan diri dalam bidang seni di peringkat dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang akhbar program berkenaan di Studio Digital Mix Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha KPKKW, Datuk Dr Muzahet Masruri; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Datuk Mohammed Mohd Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Warisan), Datuk Nor Azmal Mohd Nazir serta barisan artis terkenal tanah air.

Pada masa sama, majlis berkenaan turut memperkenalkan barisan tenaga kerja yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan antaranya pengacara, Jehan Miskin yang digandingkan bersama Venessa Chong.

Pengadilan persembahan peserta bakal dinilai penyanyi terkenal, Noryn Aziz dan Deja Moss bagi kategori nyanyian, Zainal Abidin Bujang (penari) dan Azura Tengku Awang (model). Sementara Yazid Zakaria untuk bahagian muzik dan instrumen, Hans Isaac serta Vanidah Imran (lakonan).

Program berkenaan dijangka mampu membuka ruang lebih jauh dalam pasaran seni dan budaya tempatan, sekali gus memberi ruang kepada peserta untuk melebarkan sayap ke taraf dunia secara pantas. Program 13 siri itu bermula 17 Mac hingga 12 Mei depan dan akan disiarkan di TV2 pada setiap Selasa, jam 8 malam.

Seramai 22 peserta akhir akan dipilih mewakili Malaysia dalam lima kategori persembahan seni di WCPA 2009. Peserta yang terpilih akan diberi latihan bermula 11 hingga 23 Mei dan akan mengadakan empat persembahan sebelum berlepas ke Hollywood.

Malaysia akan menyertai WCPA dalam lima kategori iaitu vokal, instrumen, tarian, model dan lakonan. Kategori umur bagi peserta yang akan menyertai kelima-lima kategori ini dihadkan dari 16 hingga 29 tahun.

Terdahulu pada penyertaan tahun lalu, kontinjen negara mencatat pencapaian memberangsangkan. Paling bermakna apabila penyanyi bersuara merdu, Noryn Aziz dan bakat baru, Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) meraih empat pingat emas menerusi kategori masing-masing.

Sesi uji bakat bermula di City Square Johor Bahru pada 14 dan 15 Februari, diikuti Queensbay Mall, Pulau Pinang (21 dan 22 Februari), Times Square Kuala Lumpur (28 Februari dan 1 Mac), disusuli Eastcoast Mall Kuantan serta The Spring Kuching Sarawak (7 dan 8 Mac) serta One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah (14 dan 15 Mac). Maklumat lanjut mengenai penyertaan layari laman web http://www.allstarsmalaysia.com.

Harian Metro

'Sudut Apa Saya Dikatakan Feminin?'

29 Jan

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENJADI selebriti bermakna banyak perkara harus dikorbankan.

Setiap gerak-geri, perlakuan mahupun penampilan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki pastinya meraih perhatian masyarakat.

Penyanyi bersuara lantang, Deja Moss pernah dicemuh kerana penampilannya sebaik pulang dari menunaikan fardu haji kira-kira empat tahun lalu dikatakan tidak bersesuaian dengan imej seorang wanita Islam yang sudah bergelar hajah.

Kini, tempiasnya pula dirasai penyanyi berbakat besar, Fazli Zainal apabila penampilan terbarunya tampak feminin bagi seorang lelaki mendapat kritikan banyak pihak.

Perkara ini mungkin tidak dibangkitkan jika Fazli dikenali sebagai artis berimej nakal atau liar.

Namun, kerana keperibadiannya yang sopan selain pernah menjejakkan kaki ke Makkah sebanyak dua kali untuk menunaikan umrah, perubahan yang dilakukan pada penampilannya itu dianggap tidak wajar.

Pun begitu, Fazli berkata, dia tidak bermaksud menyinggung mana-mana pihak kerana perubahan yang dilakukan sekadar menuntut keinginan berfesyen.

“Saya tidak nampak dari sudut apa penampilan saya dikatakan feminin. Kalau membabit pasal isu kening, saya tidak rasa itu sebagai feminin.

“Saya punya seorang teman yang baru pulang dari Jepun dan dia memaklumkan ramai lelaki di Korea mencabut kening mereka dan cukur bulu kaki bukan kerana mahu kelihatan feminin, tetapi obses kepada penampilan.

“Apabila hal ini diperbesarkan, ada pihak pertikaikan soal halal dan haram. Saya juga tidak nafikan hukum Tuhan.

“Tetapi kalau hendak bercakap soal halal dan haram, janganlah melihat pada perkara yang kecil saja kerana banyak lagi masalah yang lebih besar harus diberi tumpuan.

“Sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas melakukan kesilapan dan terkadang itu terpanggil melakukan percubaan. Mungkin pada saya itu perkara biasa, tetapi sensitif bagi orang luar.

“Nyatalah, dalam apa jua yang dilakukan saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

Pun begitu, saya mengakui kesilapan dan mengambil segala teguran secara positif selain berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Menyorot perkembangan seninya, pemuda berasal dari Johor yang melonjak menerusi lagu Harapan, kini bagaikan tidak sabar untuk menanti kemunculan single terbarunya, Kalbu.

Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan itu akan dimuatkan dalam album keduanya dan Fazli mengharapkan ia mempunyai momentum yang sama atau lebih baik dari sejarah yang dilakar Harapan untuk terus mempertingkatkan kerjayanya..

“Sebagai permulaan, saya akan mengedarkan single ini kepada semua pihak stesen radio tempatan sebelum 1 Februari.

“Kalbu sebuah lagu cinta yang boleh dikaitkan dengan mereka yang bercinta atau putus cinta dan saya melihat lagu itu sesuai dengan sambutan Hari Kekasih.

“Kalau ikutkan perancangan, album kedua saya sepatutnya berada di pasaran awal tahun ini namun kerana krisis ekonomi yang berlaku sekarang ini sedikit sebanyak menjejaskan syarikat U;Quotient Records Sdn Bhd yang bertanggungjawab menerbitkan album saya.

“Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, hiburan bukanlah tumpuan atau urus niaga utama syarikat itu.

“Oleh itu, pembikinan album kedua terpaksa di tunda seketika. Bagaimanapun, kami tetap berusaha supaya ia dapat dipasarkan tahun ini,” katanya.

Lagu lain yang turut dimuatkan album album keduanya ialah Ratapan Syawal ciptaan Hazami, Suara Hati (Sharon Paul) dan Lambaian (Sharon Paul) yang turut dipilih sebagai lagu tema Tabung Darfur.

Selain komposer tempatan, dua lagu ciptaan komposer Indonesia ciptaan Tengku Shafik dengan satu daripadanya berjudul Lelaki Sempurna.

Harian Metro

Lelong Barang Peribadi

26 Jan

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PENGANJUR Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) dengan kerjasama artis terkenal bergabung tenaga menganjurkan karnival jualan murah dan lelongan barangan peribadi dalam usaha menambah kutipan tabung NSTP Untuk Gaza.

Acara yang membabitkan ramai artis termasuk penyanyi, pelakon, pengacara dan penyampai radio itu akan berlangsung pada 31 Januari ini di Bazz-r, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Pada majlis sidang akhbar mengenai karnival dianjurkan di Balai Berita, baru-baru ini, Pengarang Hiburan Berita Harian memerangkap Penaung ABPBH08, Hanizam Abdullah berkata, apa yang dilakukan ini jelas menunjukkan keprihatinan warga seni terhadap mereka yang memerlukan.

“Walaupun kerjasama ini dibuat dalam masa begitu singkat tetapi sambutan diterima daripada artis tempatan cukup memberangsangkan. Sekarang ini 24 artis tempatan sudah mengesahkan penyertaan mereka.

“Antara artis terbabit termasuk penghibur bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak yang akan menjual dan melelong barangan milik peribadi dari pagi hingga majlis berakhir.

“Selain itu, Mawi akan melelong aiskrim dan juga minuman tenaga. Faizal Tahir, Jaclyn Victior, Nabil, Stacy, Farah, Adi Putra, Nikki, Deja Moss, Scha Al-Yahya dan ramai lagi turut terbabit..

“Ingin saya jelaskan di sini penyertaan tidak terhad kepada mereka yang dicalonkan untuk senarai awal ABPBH08, sebaliknya artis lain turut dialu-alukan terbabit sama. Mereka yang berminat boleh menghubungi kami,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perancangan karnival dilakukan, jelas Hanizam, selain melelong barangan milik peribadi, ada artis akan menjual barangan seperti baju, makanan dan juga kek yang ditaja hotel terkemuka.

“Setakat ini sembilan hotel ternama seperti Palace Of Golden Horses, Concorde Kuala Lumpur, Prince, Hotel Istana, Crown Plaza, Seri Pacific, Nikko, Lagend dan Hilton Petaling jaya akan menyumbangkan kek.

“Kami akan meminta artis tempatan terbabit untuk melelong kek ini kepada pengunjung karnival. Selain itu pengacara Shamsul Ghau Ghau akan bertindak sebagai pengacara dan tukang lelong.

“Ada antara pereka fesyen tempatan seperti Calvin Thoo, Jason Yek dan Micheal Shu akan menjual baju yang direka. Apa yang dijual mereka hanya sebagai contoh dan jika ada yang berminat mereka akan menghasilkan baju itu semula seperti dipamerkan mengikut saiz badan pembeli,” katanya.

Anita Sarawak yang menghubungi penganjur ABPBH08 untuk menjayakan karnival diadakan berkata, bukan dia saja akan menjual barangan peribadi tetapi suami juga memerangkap pengurusnya, Mahathir Abdullah akan turut sama melelong barangannya.

“Selain menyerahkan sejumlah derma, aktiviti ini dirasakan antara sumbangan terbaik yang saya fikir dapat membantu mangsa memerlukan di Gaza.

“Saya belum lagi tahu barang apa yang mahu dilelong tetapi yang pasti ada banyak baju yang pernah diguna untuk persembahan di sini mahupun di Las Vegas termasuk kasut dan beg akan dijual.

“Selepas ini saya akan menyelongkar almari untuk melihat dan menyenaraikan barangan terbabit,” katanya.

Beberapa artis remaja seperti Diddy, Nurfatimah, Aizat, Nubhan, Farah dan Farawahida turut sama membanting tenaga untuk melelong barangan milik peribadi.

Diddy dan Nurfatima yang muncul dengan lagu single duet, Sudah bercadang untuk menjual cakera padat milik mereka di samping membantu penganjur ABPBH08 menjual kek yang disumbangkan pihak hotel.

Sementara Farah dan Farawahida bercadang bergabung tenaga menjual makanan dan minuman yang dihasilkan mereka sendiri untuk pengunjung.

Istimewa apabila kumpulan yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23), Meet Uncle Hussain buat pertama kali akan mendengarkan lagu yang dicipta khas untuk masyarakat Palestin, Putihnya Lukisan dan akan dipersembahkan secara eksklusif di karnival itu nanti.

Pada majlis sidang akhbar itu Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun menerima sumbangan daripada Majlis Muzik Malaysia (Mahkota), Penerbit Eksekutif Persona Pictures Sdn Bhd, Aida Fitri Buyong dan Presiden Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd (PRISM), Datuk Aziz Bakar.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail.

Harian Metro

Deja Kena Rehat Setahun

5 Jan

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
SELEPAS empat bulan mendirikan rumah tangga, tiada apa yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri melainkan soal anak. Namun, tidak semua bertuah apabila dugaan Tuhan sukar dijangka dan begitulah juga dialami penyanyi, Deja Moss.

Di kala dia mengimpikan bersanding ‘bertiga’ dengan anak dikandung, anugerah berharga itu ternyata tidak mampu menjadi miliknya dan suami, Azfendy Azzuddin. Tanggal 23 Disember lalu, Deja terpaksa menjalani pembedahan membuang kandungan.

Betapa sedihnya hati wanita berusia 35 tahun itu apabila doktor mengesahkan dirinya mengandung di luar rahim. Menurut Deja atau nama sebenarnya, Sharifah Hadijah Wan Moss, dia gembira mengetahui diri mengandung pada 21 Disember lalu.

“Namun, ia tidak berpanjangan apabila tiga hari selepas itu saya perlu menjalani pembedahan membuang kandungan. Ketika itu, usia kandungan baru mencecah enam minggu dan ia perlu dibuang supaya tidak jejaskan kesihatan diri.

“Tidak dinafikan, apabila dapat tahu mengandung saya sangat gembira. Lebih-lebih lagi, tidak sangka kehadiran kandungan itu. Apapun, saya sedar semuanya ketentuan Tuhan dan perlu reda menghadapinya. Begitu juga dengan suami saya.

“Bagaimanapun, jauh di sudut hati saya tahu suami sangat sedih. Cuma, keputusan ini perlu diambil demi keselamatan. Malam ini (Khamis lalu) pun, saya gagahkan diri untuk majlis persandingan yang sudah diatur keluarga mentua,” katanya.

Kata penyanyi kelahiran Sarawak yang popular dengan lagu Asmara Ini, dalam sejarah keluarganya memang tiada adik-beradik atau saudara mengandung di luar rahim. Justeru, apabila perkara itu menimpa diri, Deja tidak tahu apa puncanya.

Ditanya mengapa enggan menangguhkan majlis persandingan di sebelah lelaki di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2009, Deja berkata keluarga mentuanya sudah bersusah-payah membuat persiapan majlis sejak sebulan lalu.

“Lagipun, kira-kira 90 peratus persiapan sudah siap, lebih baik diteruskan saja dan saya boleh berehat panjang selepas majlis selesai. Apapun, memang ketika naik tangga ke pelamin saya terasa sakit sikit sebab itu berjalan perlahan.

“Maklumlah, baru tujuh hari keluar dari Hospital Gleneagles, Jalan Ampang. Tempoh berpantang pun seperti wanita bersalin. Jadi, saya kena banyak rehat dan tidak boleh melakukan kerja berat termasuk menyanyi. Oleh itu, saya akan berehat panjang,” katanya.

Menurut anak pasangan Wan Moss Wan Hamid dan Kasmah Reduan itu lagi, doktor juga menasihatkannya supaya berehat selama enam bulan hingga setahun sebelum kembali aktif menyanyi serta merancang keluarga. Jadi, Deja akan rehat dulu.

Sementara itu, Azfendy, 29, berkata pada mulanya dia risau juga melihat keadaan Deja. Namun, tidak mampu menangguhkan majlis kerana persiapan sudah dibuat. Apapun, katanya dia serta isteri mengambil langkah berbincang dengan doktor.

“Doktor tidak menghalang tetapi Deja disaran banyak berehat. Justeru, bagi majlis persandingan ini saya pastikan dia (Deja) tidak terbabit langsung dengan kerja persiapan. Tetapi, mengenali isterinya itu, baginya Deja memang seorang yang tidak boleh duduk diam.

“Alhamdulillah, saya tetap bersyukur kerana Deja kuat semangat. Sekalipun masih sakit, dia tahan juga. Itulah kekuatannya yang cukup saya kagum. Justeru, saya akan pastikan dia benar-benar sudah sembuh sebelum aktif semula,” katanya.

Menceritakan saat mengetahui isteri tercinta mengandung, Pengurus Besar DC Industries ini berkata, siapa yang tidak terlalu gembira. Tetapi, apabila bermasalah kena buat pilihan dan walaupun sedih, keselamatan Deja perlu diutamakan.

“Kami juga tidak pernah merancang bila akan mempunyai anak. Namun, sudah tiada rezeki. Bagi majlis persandingan ini, kami sudah merancang anjurkan secara ringkas tetapi meriah. Alhamdulillah, nampaknya semua lancar,” katanya.

Pada majlis persandingan merpati dua sejoli itu, pasangan pengantin tampil bergaya dengan busana putih krim yang menyerlahkan kejelitaan Deja dan wajah kacak Azfendy. Tepat jam 8.50 malam, Deja yang anggun dengan kebaya rekaan Cosry, dipimpin Azfendy masuk ke dalam dewan.

Memilih rekaan pelamin indah ala ‘persandingan dalam taman’ dan majlis berlangsung sangat pantas. Selepas sesi tepung tawar dilakukan tetamu kenamaan (VIP) dan keluarga, pengantin terus dibawa menjamu selera dan diakhri majlis memotong kek. Deja dan Azfendy memotong kek perkahwinan setinggi empat tingkat.

Antara tetamu VIP ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar manakala rakan artis, Anuar Zain, Bob (AF2) dan Rem, Ziela Jalil, Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersama isteri, Jameah Abdul Aziz; Nazrudin Habibur Rahman dan Sheahnee Iman Lee yang melangungkan persandingan di tempat sama pada 8 Julai lalu.

Mereka disambut dengan ramah oleh ibu bapa Azfendy, Leftenan Jeneral (B), Datuk Azzuddin Ahmad dan Datin Dayang Hasiah Abang Abdul Samad.

Majlis diserikan dengan persembahan Misha Omar, Farhan (AF4) dan Sharifah Zarina. Misha memilih lagu popular Jim Brickman, Destiny manakala Sharifah Zarina dengan lagu Ruth Sahanaya, Kaulah Segalanya.

Deja dan Azfendy melangsungkan pernikahan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu yang juga sehari sebelum puasa. Mereka sudah saling mengenali sejak 13 tahun lalu, namun episod percintaan mereka bermula lebih setahun dalam satu pertemuan di kediaman keluarga Azfendy.

Majlis resepsi keluarga pengantin perempuan diadakan di Kuching pada 16 November tahun lalu manakala keluarga pengantin lelaki di Kuala Lumpur sepatutnya diadakan 30 November tetapi ditukar kepada 1 Januari lalu.

Harian Metro

Tahan Sakit Ketika Bersanding

5 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Deja Moss tetap ceria bersama suami walaupun banyak dugaan dihadapi

MASIH terasa perit kesan pembedahan yang terpaksa dilalui Deja Moss seminggu sebelum majlis persandingannya diadakan.

Namun dikuatkan juga semangat untuk menempuh detik bersejarah itu biarpun hanya berlangsung empat bulan selepas mereka bersatu sebagai suami isteri.

Mengenangkan segala persiapan yang dibuat oleh keluarga mentuanya, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mengetepikan segala kesakitan yang terpaksa dilaluinya.

Malah pemilik nama penuh, Sharifah Hadijah Wan Moss, 35, itu sentiasa tersenyum berkongsi kebahagiaan yang dikecapinya bersama tetamu yang hadir.

Pada malam 1 Januari lalu, Dewan Perdana Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, menjadi saksi kebahagiaan yang dinikmati Deja selama empat bulan bergelar isteri kepada Azfendy Azzuddin atau Andy.

Dalam enak melayari bahtera rumah tangga yang meraikan cinta antara dua jiwa ini, pasangan yang diijabkabulkan pada 30 Ogos lalu di Masjid Wilayah, Jalan Duta, juga tidak terlepas daripada diduga.

Beberapa minggu selepas disatukan, ketabahan Deja diuji apabila adik kesayangannya menghembuskan nafas terakhir dalam satu tragedi menyayat hati.

Kekuatan Deja sekali lagi diduga ketika dia dan suaminya membuat persiapan persandingan di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching apabila pakaian yang dijanjikan tidak siap pada waktunya.

Dalam kekalutan, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Di Matamu Aku Di Jiwamu Dia terpaksa mencari baju ganti pada saat akhir.

Mujur atas budi bicara pereka terkenal dari Cosry, Putra masalah itu dapat diatasi dan majlis persandingan di kampung kelahiran Deja di Kuching berjalan lancar.

Sekali lagi Deja berdepan cabaran besar sembilan hari sebelum majlis persandingan sebelah suami berlangsung. Dia terpaksa menjalani pembedahan apabila kandungannya yang berusia enam minggu terpaksa dibuang kerana mengandung luar rahim.

Atas nasihat doktor, Deja terpaksa memilih keputusan berat itu kerana jika berdegil, ia hanya akan membahayakan nyawanya.

“Kami tiada pilihan lain. Walaupun terlalu berat untuk dilakukan saya terpaksa berkorban kerana jika tidak nyawa saya dalam bahaya.

“Saya dan suami cukup gembira apabila dimaklumkan saya mengandung pada 21 Disember lalu. Agak terkejut juga kerana tiada tanda alahan atau masalah lain sepanjang tempoh itu, cuma sebelum ini selera makan saya bertambah.

“Bagaimanapun dua hari selepas mendapat berita gembira itu, saya mengalami pendarahan serius. Selepas mendapat nasihat teman, saya dan suami merujuk doktor pakar di Hospital Gleneagles, Ampang.

“Doktor mengesahkan saya mengandung luar rahim dan meminta supaya segera menjalani pembedahan untuk membuang saluran tiub fallopia sebelah kiri kerana kandungan saya melekat di saluran itu,” kata Deja dalam nada suara bergetar.

Cuba menyembunyikan kesedihan, malah sesekali riak kesakitan jelas tergaris di wajahnya, Deja yang anggun menggayakan rekaan Cosry malam itu tetap menggagahkan diri untuk meneruskan majlis yang dirancang.

Apatah lagi kata Deja, kad undangan sudah diedarkan malahan persiapan juga dibuat keluarga Andy sejak sebulan lalu membuatkan dia tidak sampai hati untuk menangguhkan majlis itu.

“Keluarga suami ada meminta supaya kami tangguhkan dulu majlis ini kerana saya baru seminggu menjalani pembedahan. Tetapi mengenangkan segala persiapan yang sudah dibuat, saya tidak sampai hati.

“Saya cuba kuatkan semangat dan terpaksa menahan sakit ketika naik tangga menuju ke pelamin. Selesai dibedah, saya begitu menjaga kesihatan dan makan ubat dengan teratur supaya dapat menjayakan majlis ini,” katanya.

Menempuh proses pembedahan selama dua jam 45 minit, Deja berkata, dia terpaksa berehat selama enam minggu sebelum kembali aktif mengadakan persembahan.

Tertangguh kerana masalah lokasi

DITANYA mengenai tarikh persandingan yang hanya dibuat selepas empat bulan sah sebagai suami isteri, Deja berkata, kesukaran mencari lokasi bersesuaian membuatkan mereka terpaksa menangguhkan sehingga 1 Januari lalu.

“Beberapa kali perancangan persandingan kami tertunda kerana mahu mendapatkan lokasi dan tarikh yang bersesuaian.

“Kebetulan dalam sibuk mencari, ada pihak yang membatalkan tempahan dan kami terus bersetuju untuk mengadakan persandingan di sebelah lelaki di sini,” katanya.

Disaksikan lebih 800 tetamu, majlis persandingan Deja dan Andy turut diserikan dengan persembahan artis seperti Misha Omar, Sharifah Zarina dan Farhan AF4 serta dihadiri Anuar Zain, Bob AF2 dan Saiful (Malaysian Idol).

Sementara itu, Andy berkata, pada mulanya dia agak risau memikirkan keadaan kesihatan Deja. Akur akan kesedihan dan kesakitan yang terpaksa dilaluinya, Andy cuma mampu menasihatkan Deja supaya banyak berehat dan menjaga keadaan dirinya.

“Banyak urusan saya ambil alih tetapi Deja tidak mahu duduk diam. Dia tetap mengambil tahu perjalanan majlis, membuatkan saya kagum dengan semangat yang dimilikinya.

“Ada kala dia kelihatan seperti menahan sakit tetapi dia cuba melindunginya kerana tidak mahu menghampakan mereka yang sudi memenuhi jemputan meraikan persandingan kami,” katanya.

Berita Harian

Hospital Rumah Kedua

4 Jan


SELAMAT bernikah dengan cinta hatinya, Azfendy Azzuddin, 29, pada 30 Ogos 2008, penyanyi Deja Moss, 36, hampir dikurniakan seorang cahaya mata yang bakal menyerikan rumah tangga mereka. Namun takdir itu milik Tuhan dan apabila Dia mengambil semula janin yang baru berusia enam minggu daripada menghuni perut Deja, pasangan ini pasrah. Dalam sedih mereka menerima bahawa ‘penghuni’ itu bukan milik mereka dan ia harus dikembalikan kepada Yang Maha Esa.

“Ya, kami amat sedih, namun demi keselamatan, saya harus membuang tiub falipio kiri dan kemudian menggugurkan janin pertama saya.

“Namun saya percaya semua ini ada hikmah,” luah penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Asmara Ini pada malam majlis resepsi pihak Azfendy di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1 Januari lalu.

Harus berpantang seperti wanita baru lepas bersalin, pemilik nama sebenar Sharifah Hadijah Wan Moss ini berharap dia akan terus kuat menempuh musibah yang melanda dirinya.

Malah si suami yang lebih mesra dipanggil Andy turut kagum dengan ketabahan Deja dan mendoakan isterinya segera sembuh dan kembali aktif menyanyi.


PASANGAN ini pasrah dengan ujian Tuhan.

Kosmo