Archive | Jalaluddin Hassan RSS feed for this section

Musim Kedua Mula Hari Ini

8 Apr

Rap
SAMBUTAN baik penonton terhadap drama bercorak kepolisian, Roda-Roda KL yang mengangkat usaha murni anggota polis trafik menggalas tugasan seharian tahun lalu menyuntik idea buat Skop Production Sdn Bhd untuk menyambung siarannya menerusi siri kedua.

Bermula hari ini, Roda-roda KL musim kedua disiarkan menerusi TV2, jam 10.30 malam dengan mengetengahkan 13 episod berbeza. Ia bermula dengan episod Ranjau Jalanan (3 episod) diikuti Gerhana (3 episod) memaparkan isu lesen memandu palsu dan samseng dalam kalangan Mat Rempit yang semakin berleluasa masa kini.

Pastinya Roda-roda KL yang dijayakan Serina Redzuawan, Jalaluddin Hassan, Memey, Farid Amirul dan Roy Azman mampu memberikan kesedaran dan pengajaran berguna kepada penonton.

Contohnya, episod Ranjau Jalanan mengajak penonton berkongsi kemeriahan Unit Trafik yang diserikan lagi dengan kehadiran anggota baru, Koperal Karim yang diserapkan daripada cawangan trafik Selangor. Sifat Koperal Karim yang agak pendiam menjadikan dia dianggap penuh dengan misteri oleh anggota lain.

Sementara itu, polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapat laporan mengenai kes pemalsuan lesen memandu kenderaan di kalangan orang awam. Pelbagai taktik dilakukan sindiket supaya proses ujian memandu tidak perlu dijalani orang awam yang ingin mendapatkan lesen dengan cepat dan mudah.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Borak Paknil: Hargai Peminat

4 Apr

Rap
ASSALAMUALAIKUM! Tepat tujuh hari dari sekarang, penggiat seni tanah air akan berkumpul di puncak Genting Highlands bagi majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008.

Majlis gilang gemilang ini akan menyaksikan pertemuan bintang kesayangan ramai dengan ribuan peminat yang menjadi nadi kepada anugerah ini. Merekalah yang memangkah artis pilihan dan menentukan siapa patut dinobatkan sebagai popular.

Sejak tiga bulan lalu, mereka bertungkus lumus mengisi dan menghantar borang undian untuk memastikan bintang idola mereka naik pentas untuk menjulang trofi.

Paknil banyak terhutang budi pada penyokong Paknil yang tanpa upah tetapi tetap setia memangkah nama Paknil. Tiada ucapan lain boleh Paknil luahkan selain ‘Terima Kasih’.

Untuk pengetahuan semua, kategori Pengacara TV Popular 2003 adalah pengiktirafan pertama Paknil. Ini bermakna selepas 13 tahun, baru Paknil merasa menggenggam trofi buat pertama kalinya.

Jika disingkap sejarah kemenangan Paknil, sebenarnya terukir cerita sendu di sebaliknya. Jadi kejayaan ini memang bukan kejayaan yang datang bergolek dan setiap kali dinobat sebagai pemenang, Paknil pasti terkenang cerita yang belum pernah diceritakan kepada umum sebelum ini.

Beberapa tahun sebelum merangkul anugerah itu, Paknil sering gagal ke peringkat akhir dan sering juga hanya menonton acara itu di rumah.

Namun itu tidak sedikit pun mengecewakan Paknil, malah Paknil berazam untuk bekerja lebih keras lagi supaya dapat berdiri sama tinggi dengan mereka yang Paknil tonton.

Ketika mula-mula nama tersenarai dalam senarai calon akhir, Paknil bersyukur kerana Paknil rasa peminat mulai menerima kerja Paknil.

Malah sehingga kini pun Paknil sentiasa rasa bertuah kerana turut tersenarai. Ini juga bermakna kerja Paknil masih relevan di hati peminat. Menang kalah bukan soal utama.

 

 

Ketika itu Paknil gembira dapat duduk sebaris dengan artis popular, memakai pakaian hebat dan bersama berdebar menunggu keputusan.

Mungkin ramai tidak tahu dan mungkin juga lupa Paknil pernah kecundang pada nama seperti Imuda, Datuk Jalaluddin Hassan dan Halim Othman.

Belum pernah Paknil ceritakan kepada umum Paknil pernah ditertawakan kerana sering gagal. Sampai hati mereka yang suka melihat orang lain gagal.

Pernah satu ketika seorang artis popular datang menghampiri Paknil sambil mengucapkan sesuatu yang memeranjatkan Paknil. Kata-katanya masih kuat bermain di kepala Paknil.

“Aku kesian tengok kau yang dari tahun ke tahun asyik jadi tukang tepuk saja kat majlis ni. Kau tak penat ke naik Genting tapi tak menang apa-apa?” katanya.

Terkedu Paknil masa itu. Paknil tak marah tapi terasa sangat sedih dengan diri Paknil yang dipandang rendah sampai begitu. Paknil malu sangat sehingga tak tahu mana nak letakkan muka ketika itu dan selepas itu.

Sehingga kini setiap kali bersua dengan artis itu, Paknil pasti terdengar-dengar kata-katanya. Dia mungkin lupa perbuatannya tetapi bak kata orang tua, jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Pernah juga Paknil menerima kejian daripada seseorang yang sudah lama Paknil padamkan namanya dari diri Paknil. Namun setiap kali majlis anugerah ini tiba, namanya pasti menghantui Paknil. Si polan ini pernah mentertawakan kerja Paknil yang dianggap gagal gara-gara tidak pernah memenangi anugerah.

Katanya: “Kau ni tak tahu malu ke? Dah 10 tahun buat kerja pengacara, sekali pun tak pernah menang award!” Tajam betul kata-katanya menghiris perasaan Paknil. Apa lagi yang boleh Paknil katakan masa itu kecuali telan saja kata nista itu.

Namun, Tuhan Maha Kaya. Dia ubati luka dan aib Paknil dengan kejayaan pertama dan yang seterusnya, tetapi kata-kata yang menghina Paknil masih kuat terngiang-ngiang di telinga.

Paknil tak tahu sama ada kawan artis lain turut pernah merasai apa yang Paknil lalui. Pesan Paknil cuma satu saja. Bangun dan buktikan mereka silap!

Ada lagi kata-kata menghina yang Paknil semat sehingga kini. Ketika acara anugerah berlangsung pada 2002 dan Halim Othman menang ketika itu, Paknil menerima SMS daripada seseorang yang tidak dikenali.

Katanya: “Wakaka῅. Padan muka ko kalah! Ko memang tak best dan tak akan menang!”

Paknil tak tahu kenapa ada orang suka tengok kegagalan orang lain sedangkan Paknil tak pernah mencari musuh. Walaupun orang lain tidak tahu kehadiran SMS itu, Paknil tetap sedih dan malu. Paknil terbayangkan betapa rupa-rupanya ada orang melonjak kegembiraan bila Paknil kalah.

Walaupun sering tewas, Paknil tetap teruskan kerja. Rezeki yang datang tidak memandang kepada trofi di tangan, tetapi usaha kita untuk perbaiki kelemahan.

Walaupun kata-kata menghina masih menghantui Paknil, ia tidak sekalipun melunturkan semangat Paknil untuk terus menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Berita Harian ini. Malah Paknil lebih kuat untuk menghadapi kekalahan.

Pernah ada wartawan menemubual Paknil sebelum acara bermula dan menanyakan bagaimana jika Paknil kalah lagi tahun itu. Bagi Paknil, soalan itu mempunyai semangat negatif. Setiap sebutan kita doa dan sebaik-baiknya kita jangan doakan yang tidak elok untuk seseorang.

Seharusnya soalan berbau positif ditanyakan pada Paknil seperti: “Bagaimana jika si polan yang menang?” Bukankah itu satu doa yang elok, tetapi maksud soalan asal wartawan itu tetap sampai buat Paknil menjawabnya.

Sejak beberapa peristiwa itu, Paknil sering ingatkan diri supaya jangan lupa diri dan tahu asal kedudukan Paknil dalam industri satu ketika dulu.

Paknil sering berhati-hati bercakap dengan semua calon dan kawan artis yang berkumpul di malam anugerah itu supaya tidak mengguriskan hati sesiapa.

Paknil tidak mahu orang lain melalui apa yang Paknil pernah rasakan. Bukanlah Paknil rasa yang Paknil sudah berjaya, tetapi apa yang Paknil kecapi hari ini ada pengisian penuh duka di sebaliknya.

Malah, Paknil sentiasa bersedia untuk kecundang kerana lumrah hidup yang ada naik turunnya. Itu sebabnya Paknil sentiasa terkejut dengan kemenangan setiap kali diumumkan kerana Paknil berasa akan tiba masa Paknil kalah.

Jika kalah sekali pun, Paknil tidak akan kecewa sebab Paknil sudah melalui kekalahan lebih teruk sebelum ini. Lebih hebat, Paknil pernah diejek dan diketawakan.

Oleh itu, Paknil ingin pesan pada diri dan kawan artis yang bertanding, terutama artis pangkat adik dalam bidang hiburan ini, supaya jangan rasa rendah diri dengan kekalahan. Semua pemenang di situ pernah merasai kegagalan. Jadi ia bukan sesuatu yang asing di kalangan yang hadir.

Memang semua orang mahukan kejayaan, tetapi kejayaan itu akan lebih manis jika pahit yang ditelan terlebih dulu. Percayalah.

Jadikan ejekan sebagai penyuntik dan Paknil selalu pesan diri orang yang terakhir ketawa adalah orang yang besar ketawanya.

Lebih memeranjatkan rupa-rupanya bila sudah menang beberapa kali, ada juga kata nista dilemparkan pada Paknil. Ada yang mengatakan dia muak melihat wajah sama naik ke pentas untuk menerima anugerah.

Rupa-rupanya, ada juga terbakar punggung dengan kejayaan orang lain sehingga sanggup menghasut peminat untuk menjatuhkan pemenang sama. Lebih teruk bila dihasut juga penganjur untuk membuat peraturan supaya tiada pemenang berulang.

Seikhlasnya, Paknil juga pernah seperti Rosyam Nor terniat untuk menarik diri daripada bertanding dalam anugerah ini, tetapi demi menghormati pihak penganjur yang banyak membantu kerjaya Paknil, Paknil gagahkan juga bertanding.

Lagi pun Paknil harus menghormati dan menghargai peminat Paknil yang masih terus bertahan menyokong kerja Paknil. Paknil serahkan bulat-bulat pada mereka dan percaya akan tiba ketikanya Paknil tak relevan lagi.

Pada masa itu sudah pasti nama Paknil tidak tersenarai dan tidak perlu susah-susah untuk tarik diri.

Terima kasih pada pengalaman yang pernah buat Paknil menangis. Pengalaman itu terus menyuntik semangat Paknil.

Paknil tidak tahu sampai bila ingin terus menebus keaiban yang pernah berlaku pada diri Paknil kerana semakin Paknil ingin lupakan, semakin kuat pula suara hinaan itu terdengar di telinga Paknil.

Wassalam.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Kenchana Tidak Sorok Status

31 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

SIKAP saling percaya menjadi rahsia kebahagian pasangan pelakon, Kenchana Dewi, 36 dan suaminya, P Gunasegaran, 48, selepas 18 tahun berkahwin.

Biarpun sebelum ini ramai yang tidak menyangka Kenchana atau nama sebenarnya S Kanjana Devi sudah berkahwin selain mempunyai tiga anak yang meningkat dewasa. Mungkin disebabkan perwatakan Kenchana seperti gadis remaja yang mesra dan sentiasa ceria membuatkannya sentiasa disenangi.

Menyedari situasi itu, Kenchana membuat pengakuan tidak pernah menyorok statusnya sebagai isteri dan ibu kepada G Patkieswaran, 16, Tashvetha Devi, 7 dan Mishalin Devi, 6. Malah Kenchana kerap meluangkan masa dan bersiar-siar bersama keluarga ketika waktu lapang.

“Saya tidak pernah menyorok status sebagai isteri atau ibu. Saya sentiasa menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai keluarga ketika memenuhi undangan menjayakan temu bual dan sesi fotografi bersama pihak media terutama ketika perayaan Deepavali. Tidak timbul langsung soal menyembunyikan status saya.

“Mungkin ada segelintir peminat yang tidak dapat menerima hakikat apabila melihat perwatakan menerusi drama saya. Sikap ceria dengan watak seorang wanita kecoh cukup sinonim dengan saya.

“Bagaimanapun, saya bangga kerana kebanyakan peminat sudah mengikut cara penampilan saya dalam drama yang kelihatan lebih muda daripada usia,” katanya.

Kenchana yang popular menerusi drama bersiri Puteri, Spa Q (TV3), Dari Mata Arisa dan Angelina (RTM) ditemui ketika menjadi tetamu untuk program bual bicara, Sehati Sejiwa yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 jam 3.05 petang dari Studio IBC, Angkasapuri baru-baru ini.

Program yang disiarkan setiap Rabu menampilkan pengacara, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau Scha membawa penonton mengupas kehidupan sisi rumah tangga selebriti popular tanah air. Sepanjang Mac, empat pasangan artis menjadi pilihan menjayakan program ini bermula komposer Edrie Hashim dan Pat, Sharifah Sahorah dan Raja Mukhriz, Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestary serta Kencana dan Gunasegaran.

Bercerita mengenai detik perkenalan bersama suami yang bertugas sebagai Pengarah Urusan PTM Lighting Design itu, Kenchana berkata, mereka mula berkenalan ketika remaja apabila apabila sama-sama menggunakan bas mini untuk pulang ke rumah selepas waktu kerja.

Ketika itu Kenchana berusia 18 tahun dan perkenalan singkat itu membawa mereka ke gerbang perkahwinan pada 1992.

 

 

Akui Kenchana, walaupun nampak ceria dia sebenarnya jenis wanita yang garang memandangkan ketika waktu remaja dulu abangnya berkhidmat dalam tentera secara tidak langsung mereka adik-beradik turut terpengaruh dengan disiplin dan ketegasannya.

“Ketika itu saya sudah mula terbabit dalam dunia seni sebagai penari lagu tradisi masyarakat India. Saya dan suami tidak mengambil masa yang lama untuk berkenalan. Selepas setahun mengenal hati budi, saya mencabar dia untuk bertemu keluarga dan masuk meminang.

“Saya sendiri tidak menyangka gurau itu diambil serius olehnya. Wakil keluarga pihak lelaki datang ke rumah saya dan menetapkan tarikh perkahwinan kami.

“Suami dan keluarga sememangnya memahami minat saya. Mereka tidak pernah menghalang pembabitan saya dalam dunia seni malah memberi galakan dan dorongan kepada saya untuk berjaya dalam bidang ini walaupun selepas bergelar isteri dan ibu kepada tiga anak,” katanya.

Sikap bertolak ansur suami yang sentiasa mengambil berat keperluan anak-anak membuatkan Kenchana tidak berdepan banyak masalah apabila terbabit dalam penggambaran di luar Lembah Klang.

Bakat seni Kenchana turut diwarisi dua anaknya, Patkieswaran dan Tashvetha yang mula berjinak-jinak dalam iklan komersial dan drama.

Malah Kenchana juga bakal digandingkan bersama anak sulungnya dalam drama bersiri terbarunya, JRA 1975 terbitan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd untuk siaran Astro. Drama arahan Dinesh Samby turut menampilkan lakonan Datuk Jalaluddin Hassan, Shahrudin Thamby, Buzen dan Badrul Muhayat memaparkan kisah benar yang berlaku di Malaysia pada 1975.

Selain itu, Kenchana membawa watak Shanti akan menjalani penggambaran drama 13 episod, Angelina terbitan Unit Drama RTM disusuli penggambaran sitkom Puteri untuk musim ke-11 pada Mei ini.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Jalaluddin Akur Hukum, Muhasabah Diri

30 Mar

HANYA LAKONAN...Jalaluddin ketika melakonkan watak pondan <br>dalam teater Patung Kertas tahun lalu.
HANYA LAKONAN…Jalaluddin ketika melakonkan watak pondan
dalam teater Patung Kertas tahun lalu.

KUALA LUMPUR: “Haram tetap haram tapi kalau perlu lakukan juga, kita perlu muhasabah diri, minta taubat dari Tuhan Maha Esa dengan segera,” kata aktor tersohor negara, Datuk Jalaluddin Hassan mengulas isu watak pondan yang haram dilakonkan lelaki.

Beliau yang pernah melakonkan watak ‘adik-adik’ bagi pementasan teater Patung Kertas tahun lalu, berpendapat warga industri seni tidak wajar mempersoalkan kenyataan dibuat Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut Jumaat lalu.

Ini kerana katanya, Noh bukan orang sebarangan sebaliknya ulama yang arif berhubung hukum agama, justeru beliau mempunyai alasan kukuh apabila mengatakan haram bagi setiap lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya meskipun ia sekadar lakonan.

“Ini bukan orang sebarang cakap tapi bekas mufti sendiri dan pada saya kita perlu akur dan hormat dengan hukum agama, jangan mempersoalkannya atau beri alasan yang bukan-bukan hingga boleh menampakkan diri kita seolah bodoh.

 

 

“Ada baiknya jika pembikin drama dan filem duduk semeja dengan alim ulama ini untuk membincangkan isu pondan kerana saya faham sebalik pemaparan cerita golongan lelaki lembut ada produser yang berniat baik mahu menyalurkan mesej kepada masyarakat.

“Saya sendiri sedar mengenai hukum melakonkan watak itu, cuma selepas berbincang lanjut saya cuba juga menjayakan watak Abang Long atau Kak Kay berikutan mesej yang boleh penonton peroleh di samping muhasabah diri dan bertaubat selepas itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Harian Metro

Depan Mata: Bangganya Jadi Songsang?

30 Mar

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
KETIKA kita sibuk berkempen untuk selamatkan bumi melalui 60 Earth Hour Sabtu lalu, hati kecil saya berkata, selamatkanlah industri hiburan tanah air daripada pengaruh songsang.

Saya melihat dunia hiburan kita sudah terlalu terbuka dengan kehadiran manusia dikenali lelaki lembut, pondan, adik-adik, pengkid, homoseksual, lesbian, gay dan sebagainya.

Kini pengarah dan penerbit kita tertarik pula dengan cara hidup golongan ini apabila menjadikan golongan songsang ini sebagai subjek menarik dalam karya mereka. Malah mereka bukan saja dilihat makin berani malah seperti berlumba-lumba mengangkat watak seperti ini.

Mereka berani paparkan kehidupan homoseksual dan lesbian untuk tatapan umum seolah-olah karyawan kita dan stesen TV mahu mendokong kebebasan hak asasi manusia seperti dilaungkan masyarakat Barat.

Kalau di Barat, amalan budaya songsang ini sudah menjadi kebiasaan hingga filem yang mengangkat tema ini mendapat perhatian. Antaranya karya Ang Lee menerusi Brokeback Mountain yang menang Oscar untuk Pengarah Terbaik, Transamerica (Felicity Huffman calon Top 5 Aktres Terbaik) dan terbaru, Milk membawa kejayaan kepada Sean Penn untuk Aktor Terbaik.

Itu masyarakat Barat, kita tidak boleh buat apa, tapi ini karyawan kita yang rata-rata beragama Islam dan tahu hukum hakam agama. Pelakon lelaki kita seolah-olah berbangga apabila ditawarkan jadi pondan hingga sanggup berpakaian wanita lengkap bermekap tebal dan bergincu untuk kelihatan anggun jelita.

Mungkin juga kebanggaan ini disebabkan lakonan begini menjadi perhatian juri melalui kejayaan Rusdi Ramli dalam filem Waris Jari Hantu kemudian Ahmad Tamimi Siregar melalui drama Waris.

Agak sukar untuk saya memilih subjek ini untuk dipaparkan dalam ruangan ini, tetapi saya tertarik dengan kenyataan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut dalam Harian Metro, Jumaat lalu.

Beliau turut bimbang perkara ini makin berleluasa jika dibiarkan. Tegasnya, dalam Islam hukum mengenai perkara itu jelas menyebut setiap lelaki tidak boleh menyerupai perempuan dan sebaliknya kerana hukumnya haram serta dilaknat Allah.

“Setiap perbuatan dan perlakuan yang menyerupai mana-mana sifat bertentangan dengan kejadian asal ciptaan Tuhan tidak boleh dipertonton serta ditunjukkan kepada umum.

 

 

“Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apabila ia haram, ia tetap tidak boleh dilakukan walaupun dengan alasan untuk kebaikan.

“Orang ramai terutama yang beragama Islam harus tahu serta mempunyai pegangan agama mengenai perkara ini kerana jika ia dilakukan untuk mengaut keuntungan, pendapatan yang diperoleh itu adalah haram.

“Pengarah, penerbit, pelakon serta penapis filem perlu mempunyai pengetahuan agama berkaitan perkara membabitkan hukum Islam kerana jika ia tidak dibendung akan menyebabkan permasalahan sosial semakin berleluasa,” katanya.

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) dan stesen TV selayaknya memantau perkembangan ini supaya tidak membenarkan budaya songsang ini berleluasa. Dulu aksi lembut Imuda melalui watak Sam dalam sitkom 2+1 mencetuskan rasa kurang senang masyarakat hingga program itu diharamkan.

Apabila melihat akhir-akhir ini makin ramai pelakon lelaki kita yang bertubuh sasa sanggup melakukan transformasi menjadi wanita, ia agak menghairankan juga. Tidak cukupkah watak mencabar yang lebih baik untuk dilakonkan?

Tidak tahulah bagaimana perasaan Norman Hakim bergaya seksi dan bersolek untuk menjayakan drama Donut, begitu juga Ady Putra, Zul Huzaimy, Iqram Dinzly dan ramai lagi untuk uji bakat filem Anu Dalam Botol. Apakah mereka bangga melihat gaya mereka begitu?

Pelakon kacak, Ashraf Muslim yang kini popular melalui watak lelaki baik dalam Yusuff, juga pernah jadi wanita untuk teater Patung Kertas arahan Lokman Ghani. Lebih terkilan apabila Datuk Jalaluddin Hassan sekali lagi sedia memakai gaun dan bersolek tebal untuk watak pondan dalam teater Patung Kertas 2.

Kalau dulu beliau tidak keberatan berbuat demikian walaupun terpaksa mengetepikan maruah diri dan keluarga, tetapi untuk kembali sekali lagi melalui sambungannya, bagi saya agak keterlaluan.

Beliau sepatutnya menjadi contoh kepada pelakon lelaki lain bukan saja kerana pelakon senior yang disegani malah kerana latarnya daripada keluarga orang kuat agama.

Pelakon Sheila Rusly yang kini bergelar produser pula akhir-akhir ini cenderung memaparkan kehidupan songsang ini melalui dua drama terbarunya, Mabuk Estrogen dan Donut yang juga arahan suaminya, Azman Yahya (Jinggo).

Satu hakikat yang tidak mampu saya nafikan ialah golongan ini dikurniakan Allah satu kelebihan besar iaitu kreativiti yang cukup tinggi. Kalau jurusolek, sentuhan mereka mengagumkan, kalau pereka fesyen memang hebat dan kalau mengarah filem, mendapat pujian melangit.

Lihat saja karya Yasmin Ahmad melalui Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime dipuji dan menang anugerah. Namun, ada pihak yang melihat ada agenda halus yang cuba disalurkan dalam karyanya. Sepet misalnya dikatakan merendahkan orang Melayu beragama Islam, Gubra pula paparkan ustaz pegang anjing dan Talentime, India Muslim sanggup membunuh kerana berselisih faham dengan jiran.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Watak Kecil, Kesannya Besar

17 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

GANDINGAN tiga pelakon berbakat ini memantapkan persembahan Teater Muzikal Ibu Zain.

Tiga pelakon puas hati jayakan Teater Muzikal Ibu Zain yang dipentaskan dari 13 hingga 22 Mac

MISS Shellebear adalah watak mubaligh Kristian yang pernah mencetus kontroversi kerana ramai yang mempersoalkan kepercayaan agama bekas kumpulan Elite, Avaa Vanja Ramli selepas menyaksikan pementasan teater Muzikal Ibu Zain tahun lalu.

Kini pementasan yang mengangkat tokoh wanita terulung itu sedang dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sudah tentu isu mengenai pembabitan gadis berusia 29 tahun ini bakal dibangkit kembali dan Avaa tetap bersedia menjawab persoalan yang cuba ditimbulkan bagi mereka yang tidak memahami peranannya sebagai pelakon.

“Saya sedaya-upaya cuba melakukan yang terbaik pada kerjaya saya. Saya hanya melakonkan watak yang diberikan oleh pengarah mengikut kebolehan dan bakat yang di lihat dari saya.

“Bagi saya lakonan hanyalah ilusi yang cuba diterjemahkan melalui skrip ke atas pentas. Saya sangat berharap orang ramai melihat sendiri watak yang dibawa oleh saya dan jawapannya pasti ditemuinya,” katanya.

Mengenai watak Miss Shellebear, Avaa berpuas hati dengan peranan yang diberikan pengarah Rosminah Tahir.

“Watak saya sama saja dan tiada ada langsung perubahan daripada sebelum ini. Tetapi apa yang pasti kemungkinan cara penyampaian saya menjadi lain sedikit kerana kali ini saya bergandingan bersama Natasha Hudson yang menggantikan Catriona Ross.

“Memang setiap pelakon harus mengenali siapa pasangannya. Bagi saya juga, Natasha adalah pelakon berbakat dan saya tidak ada masalah digandingkan dengannya,” katanya yang mula berlatih sejak 10 Februari lalu.

Bagi Datin Natasha Hudson pula, dia memang sudah lama memasang impian untuk beraksi di pentas teater dan akhirnya tercapai juga selepas dihubungi penerbit teater itu Siti Rohayah Atan.

“Minat saya dalam bidang seni bukan saja kepada lakonan filem dan televisyen. Sebelum ini saya tidak pernah berkesempatan untuk menguji bakat saya dalam bidang teater walaupun sebelum ini banyak tawaran.

“Saya memerlukan masa untuk berfikir disebabkan sayang untuk meninggalkan anak. Akhirnya selepas mendapat nasihat daripada keluarga dan kawan-kawan, saya menerima watak Miss Ruth yang sebelum ini pernah dibawakan oleh Catriona Ross,” katanya.

Natasha yang memiliki Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago mengakui tidak terlalu mengharapkan mendapat peranan kecil memandangkan ini adalah kali pertama dirinya terbabit dalam bidang teater.

“Dapat membawa tiga babak saja dalam teater ini sudah memadai disebabkan saya sangat baru dalam bidang teater,” katanya.

Penyanyi dan komposer wanita, Nur Fatimah Abdul Wahab yang masih mengekalkan watak sebagai Ibu Zain dewasa secara keseluruhan seronok apabila pengarah masih memilihnya untuk membawakan watak itu.

“Secara keseluruhan watak saya tidak berubah. Pengarah hanya mahu dialek Johor harus dipertingkatkan lagi. Walaupun ini kali kedua saya membawakan watak Ibu Zain, namun saya juga harus bekerja keras seperti pelakon lain.

“Bagi saya ini kerja berkumpulan dan kerja teater ini memerlukan komitmen yang tinggi untuk mencapai satu kejayaan. Saya berkorban melakukan ini untuk diri saya dan untuk produksi sendiri. Selain menghafal skrip, saya juga akan menyanyi lebih kurang tujuh lagu secara ‘live’ dan ini adalah cabaran saya,” katanya.

Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia dengan kerjasama Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Asra), Istana Budaya, CTRA Production, MaTiC, De’Media dan Event Entertainment turut menamakan nama besar dalam bidang lakonan seperti

Datuk Rahim Razali, Liza Othman, Datuk Jalaluddin Hassan, Nurul Elfira Loy, Nurul Syariza Nor Azim, Hamzah Tahir, Sherry Syed Abdullah, Farah Adila Apandi, Mazin Ameen Siraj dan Zuhairi Ibrahim.

Info Avaa

Nama Sebenar: Avaa Vanja Ramli

Panggilan: Avaa

Tarikh Lahir: 18 Jun 1980

Usia: 28 tahun

Tempat Lahir: Ampang, Selangor

Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara

Status: Bujang

Rancangan TV: Pop TV, Bintang Anugerah 2001 (RTM), Thumb TV dan Thumb Express

Info Natasha

Nama Sebenar: Natasha Liana Hudson

Usia: 26 tahun

Tarikh Lahir: 9 September 1982

Tempat Lahir: Ipoh, Perak

Pendidikan: Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago

Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku

Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal

Rancangan TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman

Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara

Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri

Info Nur

Nama sebenar: Nur Fatimah Abd Wahab

Tempat lahir: Ipoh, Perak

Tarikh lahir: 22 Julai 1982

Profesion: Penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, penerbit

Album: Selembut Sutera, Gadis

Teater: Muzikal Ibu Zain

Info

Teater Muzikal Ibu Zain diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia yang dinaungi Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, mendapat kerjasama CTRA Production, MaTiC, Aswara, Istana Budaya, De’Media dan Event Entertainment.

Dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.

Tiket bagi menyaksikan berharga RM20, RM30 dan RM50.

Keterangan lanjut layari http://www.ibuzain.blogspot atau telefon 03-6186 6592, 012-2977220 dan 017- 2004249.

Berita Harian

Yusuff Dibenci Saudara

28 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
KISAH Nabi Yusuf yang mempunyai rupa paras menarik dan budi pekerti mulia digambarkan dalam al-Quran. Begitu juga kisah hidupnya yang berhadapan dengan iri hati saudara tirinya hingga dibuang ke dalam perigi untuk melenyapkan dirinya dari dunia.

Kini kisah ini diangkat televisyen melalui drama bersiri Yusuff yang bakal disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 mulai 4 Mac ini.

Drama arahan Mohd Hitler ini diambil daripada kisah Nabi Yusof tetapi disesuaikan dengan keadaan semasa dengan mengambil elemen perasaan hasad dengki dan tamak haloba manusia hingga sanggup melakukan apa saja.

Pelakon muda, Ashraf Muslim diberi tanggungjawab memegang watak Yusuff dan dibantu pelakon lain, Zarynn Min, Syed Ali, Intan Sarafina, Datuk Jalaluddin Hassan, Jamaluddin Kadir, Betty Banafe, Adam Anuar, Puteri Fateen dan Zed Zaidi.

Ia mengisahkan nasib seorang lelaki bernama Yusuff, yang sentiasa dirundung malang akibat dengki ibu dan saudara tiri sejak kecil hingga dibesarkan bapa angkat yang juga ketua samseng. Namun Yusuff membesar sebagai lelaki baik dan punya penampilan menarik.

Hitler atau lebih dikenali sebagai Yeob berkata, skop drama itu memperlihatkan bagaimana seseorang sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan nafsu tamak dan iri hati termasuk merancang membunuh saudara sendiri.

“Watak Yusuff yang dilakonkan Ashraf Muslim digambarkan sering menjadi mangsa tetapi tidak sanggup melakukan perkara kejahatan walaupun mendapat ugutan dan godaan.

“Skrip drama ini memang diilhamkan daripada kisah Nabi Yusuf dan pengajaran yang cuba dipaparkan melalui drama ini diangkat melalui kisah Nabi Yusuf a.s yang penyabar serta tidak mudah tergoda dengan hasutan nafsu.

“Bagaimanapun, drama ini lebih menekankan kepada tamak haloba manusia, bukanlah dakwah Nabi Yusuf sebagaimana kisah sebenarnya. Namun drama ini juga cuba berdakwah kepada penonton dengan caranya tersendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon Yusuff, baru-baru ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn Bhd ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka selama sebulan bermula awal Disember lalu.

“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran dilakukan, saya tidak menghadapi sebarang masalah atau cabaran kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pelakon dan kru.

“Pelakon drama ini juga semuanya berpengalaman, jadi interaksi dan proses penggambaran mudah dilakukan. Saya juga banyak berbincang dengan mereka untuk memperbaiki lagi jalan cerita drama ini,” katanya.

Yeob yang kini dalam proses menyiapkan telefilem Bila Hujan Turun untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), mengakui bangga kerana diberi peluang mengarah drama ini.

“Sepatutnya drama ini diarahkan pengarah lain hingga saya diberi tanggungjawab ini lima hari sebelum penggambaran dan semua barisan pelakon sudah dipilih.

“Saya cuba melakukan tanggungjawab itu sebaik mungkin demi menampilkan sesuatu yang baru kepada penonton. Penampilan pakaian pelakon juga perlu bersesuaian dengan jalan cerita yang diambil daripada kisah Nabi Yusuf tetapi dalam drama lain, saya juga cuba menjaga penampilan pelakon supaya tidak mengundang rasa kurang senang penonton.

“Cuma untuk drama ini, saya masukkan babak agak seksi ketika Zaliha yang juga ibu tiri Yusuff, lakonan Betty Banafe memakai baju tidur untuk menggoda Yusuff,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, berkata TV3 memperkenalkan drama hebat dalam slot Lagenda, Seram, Lestary, Aksi dan Samarinda.

“Namun setiap slot memaparkan genre berbeza dan sesuai untuk tontonan khalayak umum dengan Samarinda memaparkan drama berkisarkan dunia korporat seperti konspirasi, komplot dan rencah kehidupan moden.

“Di sinilah gabungan pelakon diminati ramai dengan jalan cerita menarik menjadi kekuatan drama Yusuff, buah tangan terbaru daripada pengarah tidak asing lagi, Mohd Hitler Zami,” katanya.

Drama ini bermula apabila bapa Yusuff, Yaacob bekerja dengan orang kaya Kemat dan dijanjikan bernikah dengan anak angkat lelaki itu, Suhana selepas tujuh tahun berkhidmat.

Bagaimanapun, Kemat tidak menunaikan janji, sebaliknya menikahkan Yaacob dengan anak kandungnya, Rabiah menyebabkan Suhana meninggalkan kampung akibat terlalu kecewa dengan perbuatan bapa angkatnya itu.

Selepas Kemat meninggal dunia, kekayaannya diwarisi Yaacob dan tidak lama kemudian dia mengahwini Suhana yang dicari sekian lama sehingga menyebabkan Rabiah mengamuk dan berjanji membalas dendam.

Suhana kemudian melahirkan bayi lelaki diberi nama Yusuff tetapi disebabkan benci, Rabiah dengan bantuan anaknya mencampakkan Yusuff ke dalam gaung.

Yusuff diselamatkan ketua samseng bernama Aziz yang melihat kejadian itu tetapi hilang ingatan akibat satu kejadian. Bagaimanapun, konflik timbul apabila isteri muda Aziz, Zahila jatuh cinta kepada Yusuff yang membesar sebagai seorang lelaki kacak.

Harian Metro

Jefri Ganti Zaefrul

24 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
WATAK Datuk Onn Jaafar yang pernah dilakonkan Zaefrul Nordin dalam pementasan Muzikal Ibu Zain musim pertama di Istana Budaya pada Ogos lalu, bakal dilakonkan pelakon baru, Jefri Haron yang juga pegawai di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Pemilihan Jefri untuk musim kedua pementasan ini dikatakan kerana dia pelakon baru yang menunjukkan komitmen dan imej cukup membanggakan seperti dicari produksi berkenaan, manakala imej Zaefrul sedikit tercalar kerana gambar mesranya bersama Azizah Mahzan kini tersebar di Internet.

Penerbit muzikal ini, Siti Rohayah Attan berkata, secara peribadi pihaknya mahukan watak dalam filem sejarah seperti Datuk Onn Jaafar dan Ibu Zain dilakonkan mereka yang dihormati dan mempunyai keperibadian tinggi dan diterima penonton.

“Buat masa ini, barisan pelakon teater muzikal Ibu Zain memenuhi ciri-ciri. Contohnya, pelakon Liza Othman cukup dihormati dan dapat menangani watak Ibu Zain yang cukup dominan.

“Pada mulanya, saya mahu mengekalkan barisan pelakon Muzikal Ibu Zain musim pertama untuk pementasan musim kedua ini. Malah Zaefrul bersetuju untuk meneruskan musim kedua dan hadir pada sidang media pada 4 Februari lalu.

“Tapi kami belum menawarkan tawaran itu secara bertulis dan sebaliknya sekadar tawaran mulut saja. Kami juga berhak untuk tidak mengambilnya berlakon dalam muzikal ini dan dia juga berhak untuk menarik diri kerana dia belum menandatangani perjanjian,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Rohayah menegaskan ketiadaan Zaefrul tiada kena mengena dengan isu melanda dirinya ketika ini kerana dia sudah tiada bersama produksi sebelum cerita itu tersebar.

“Langkah produksi tidak mengekalkan Zaefrul dalam musim kedua ini memang tepat kerana pelakon popular siri Spa Q itu dikaitkan dengan isu moral dan gambar panas bersama pelakon Azizah Mahzan.

“Ada yang berpendapat, jika Zaefrul terus memegang watak sebagai pejuang kemerdekaan yang banyak berjasa kepada negara dan bangsa, sedikit sebanyak imej dan personaliti agung diselitkan dalam karya itu tercalar.

“Mungkin Datuk Onn watak yang dilakonkan tetapi ia berdasarkan sejarah dan wajar digambarkan dalam imej dan personaliti tepat. Sedikit sebanyak, penonton akan melihat Datuk Onn dalam diri Zaefrul dan begitu juga sebaliknya.

“Yang penting, naskhah sebagus Muzikal Ibu Zain digarap pengarahnya, Rosminah Mohd Tahir ini sekurang-kurangnya masih terpelihara daripada dikaitkan skandal atau gosip kerana majoriti penontonnya cintakan sejarah dan semangat patriotik termasuk pelajar sekolah,” katanya.

Akuinya, Zaefrul dan Azizah bukan asing bagi produksi teater terbitannya kerana mereka pernah terbabit dalam produksi Muzikal Lantai T.Pinkie di IB pada 2006. Dalam teater itu, Azizah memegang watak Nyai Sunarti manakala Zaefrul sebagai Tuan Delarosa. Kedua-dua watak ini pasangan kekasih.

Namun, apabila teater itu dipentaskan semula di Taman Budaya, Ipoh tahun sama, kedua-duanya tidak terbabit dan Khatijah Tan mengambil alih peranan sebagai Nyai Sunarti.

Sementara itu, Siti Rohayah berkata, selain Jefri, seorang lagi pelakon baru terbabit dalam pementasan ini ialah cucu Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Najua Nasir yang akan membawa watak Munah.

“Najua menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan menunjukkan bakat luar biasa. Dia mempunyai suara hebat untuk menyanyi serta mempunyai sifat humor yang diperlukan bagi watak Cikgu Munah iaitu rakan Ibu Zain ketika muda,” katanya.

Katanya, beberapa pelakon seperti Sahronizam Noor, Mazlan Tahir dan Catriona Ross tidak disenaraikan dalam barisan pelakon musim kedua ini kerana mereka mempunyai komitmen lain dan watak mereka digantikan pelakon lain yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Pelakon lain yang terbabit dalam pementasan kali ini ialah Liza Othman, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Natasha Hudson, Nurfatimah Abdul Wahab, Zuhairi Ibrahim, Hamzah Tahir, Sherry S Abdullah, Farah Adila Apandi, Nurul Elfira Loy, Rasdi Daud dan 40 pelakon pembantu.

Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia dinaungi Datuk Mukhriz Mahathir, mendapat kerjasama CTRA Production, MaTiC, Aswara, Istana Budaya, De’Media dan Event Entertainment.

Muzikal Ibu Zain musim kedua bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Mac ini di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Tiket bagi menyaksikan pementasan ini ialah RM20, RM30 dan RM50. Keterangan lanjut layari http://www.ibuzain.blogspot atau telefon 03-6186 6592, 012-2977220 dan 017-2004249.

Harian Metro

Tarikan Celebrity Karaoke

24 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
ANDA tidak perlu menjadi penyanyi yang bagus untuk menyertai program hiburan ini. Cukup sekadar mengetahui lirik lagu dinyanyikan, anda sudah layak menyertai pertandingan Celebrity Karaoke yang juga program terbaru 13 episod terbitan ntv7 y ang julung kali diperkenalkan di negara ini.

Penerbit Celebrity Karaoke, Azwan Sahamir berkata, program berformat game show karaoke itu diilhamkan daripada rancangan popular antarabangsa, Karaoke Showdown.

“Pihak kami yakin Celebrity Karaoke mempunyai tarikan tersendiri dan bakal mendapat sambutan penonton sama seperti program asalnya, Karaoke Showdown yang cukup popular di 30 negara seperti Jerman, Russia, Denmark, Bulgaria, Finland dan Norway.

“Malaysia negara Asia ketiga memperkenalkan program ini selepas Vietnam dan Indonesia.

“Program ini mempunyai persamaan lebih 80 peratus daripada program asal. Selain judulnya ditukar, format rancangan ini turut mengalami sedikit perubahan untuk disesuaikan dengan budaya tempatan.

“Kami percaya program ini akan memberikan impak kepada penonton tempatan kerana formatnya menarik. Apatah lagi, pemenang berpeluang merebut hadiah wang tunai dan pakej percutian ditawarkan setiap episod,” katanya.

Bagaimanapun, kata Azwan, sebagai sebuah program baru, dia juga berhadapan cabaran untuk merealisasikan program berkenaan.

“Antaranya, pihak kami sukar untuk mendapatkan komitmen daripada artis popular tempatan kerana mereka terikat dengan pelbagai agenda seni.

“Namun, kami tetap berpuas hati kerana mendapat beberapa nama besar untuk menjayakan program ini.

Antaranya, Ning Baizura, Zahid, Nita (Malaysian Idol), Jefrydin, Betty Banafe, Cheryl Samad, Datuk Jalaluddin Hassan, Atilia, Farah AF2, Farah Asyikin, Dina, Latif Ibrahim, Shamsul Ghau Ghau dan ramai lagi,” katanya.

Azwan berkata, pihaknya menjelajah pusat karaoke di beberapa negeri antaranya Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan Kuantan untuk membuat uji bakat mencari peserta untuk menyanyikan lagu yang perlu diteka dalam program ini pada September lalu.

“Mereka yang datang uji bakat program ini diberitahu lebih awal, nyanyian mereka akan disiarkan di televisyen. Bagi kami, ini satu cara memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam nyanyian untuk menonjolkan bakat,” katanya.

Azwan berkata, pihaknya menyiapkan rakaman musim pertama dan kedua program itu yang jumlahnya 26 episod.

“Sebanyak 300 lagu diperlukan dalam rancangan ini kerana setiap episod 17 lagu perlu diteka peserta terdiri daripada selebriti dan pasangan mereka yang terdiri daripada peminat artis itu.

“Setiap episod, empat peserta terdiri daripada dua selebriti akan bergandingan dengan dua peminat yang kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Di setiap pusingan, pasukan akan mengambil giliran untuk memilih sebuah lagu daripada lima kategori. Mereka dikehendaki meneka lagu berkumandang di alat pendengaran tanpa muzik dan hanya dinyanyikan orang biasa,” katanya.

Azwan berkata, pasukan yang mempunyai jawapan harus memberikan judul dan dikehendaki mendendangkan kembali lagu yang dimaksudkan dengan diiringi live band.

“Di peringkat akhir, setiap pasukan diberi peluang menyanyikan sebuah lagu dengan gaya tersendiri tetapi 10 perkataan dalam lirik lagu itu akan diubah dan cabaran mereka adalah menyanyikannya dengan betul. Setiap lirik yang dinyanyikan dengan tepat diberikan markah.

“Lebih menarik, program ini juga mengetengahkan tema berbeza seperti Hari Kekasih, Terbaik 1960-an – Pop Yeh Yeh, Terbaik 1970-an, Terbaik 1980-an, Klasik, Rock n Roll dan istimewa sempena Hari Ibu,” katanya.

Azwan ditemui di majlis pelancaran Celebrity Karaoke di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul.

Antara selebriti hadir petang itu sekaligus terbabit dalam program itu ialah Datuk A Rahman Hassan, Kartina Ayob, Riezman Khuzaimi, Noryn Aziz, Faizal Ismail dan Mama Rina.

Sementara itu, Noryn berkata, program hiburan itu cukup menghiburkan dan mampu menjadi tarikan penonton.

“Penyanyi memang mempunyai kelebihan berbanding orang biasa dalam program game show ini. Tapi orang biasa juga berpeluang menang asalkan mereka tahu lirik lagu yang dinyanyikan.

“Apapun, program ini sangat menarik kerana sama ada anda penyanyi, pelakon atau orang biasa persaingan memang sengit untuk menjadi pemenang dalam game show ini,” katanya.

Bagi Riezman pula, pelakon juga mempunyai peluang cerah untuk menang dalam program hiburan ini.

“Saya dan isteri Kartina berjaya mengalahkan pasangan Nita (Malaysian Idol) dan Zahid (Akademi Fantasia) dalam rakaman episod sebelum ini. Sedangkan kami rakam program ini sebelum ini. Program ini bukan hendak menunjukkan betapa bagus anda menyanyi, sebaliknya betapa tepat anda menyanyi,” katanya.

Celebrity Karaoke dihoskan Nazruddin Habibur Rahman (Naz) disiarkan setiap jumaat, jam 8.30 malam bermula 20 Februari lalu.

Harian Metro

Jins Shamsuddin Seniman Negara

19 Feb

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my

MOHD SHAFIE menyampaikan Anugerah Pendukung Seni Sektor Media kepada Mustapa (kanan) sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muzahet Masruri, malam tadi.

Berita Harian dianugerah Pendukung Seni

KUALA LUMPUR: Penggiat seni tanah air, Tan Sri Jins Shamsuddin diumumkan sebagai penerima Anugerah Seniman Negara Kelapan pada majlis penuh gemilang malam tadi yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Jins yang bergiat aktif dalam industri seni tanah air selama hampir setengah abad menerima anugerah berkenaan daripada Tuanku Mizan pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara.

Tokoh seni itu turut menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000, trofi, sepasang persalinan lengkap baju Melayu songket, kemudahan perubatan kelas satu di hospital kerajaan, selain menjadi pengkarya, pencipta tamu kehormat serta wakil Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan pada seminar atau forum peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada masa sama, akhbar Berita Harian menerima Anugerah Pendukung Seni bagi kategori sektor media dan ia diwakili Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mustapa Omar.

Mustapa menerima wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan trofi.

Persatuan Seni Khat Kebangsaan pula menerima anugerah berkenaan bagi sektor pertubuhan bukan kerajaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (sektor awam), Permodalan Nasional Berhad (sektor swasta) dan penggiat seni, Datin Paduka Raja Fuziah Tun Uda (kategori individu).

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan timbalannya, Teng Boon Soon.

Anugerah Seniman Negara yang diperkenalkan sejak 1993 adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan kerajaan kepada penggiat, karyawan dan seniman tempatan yang mempamerkan ketokohan dan sumbangan cemerlang dalam membantu perkembangan seni tanah air.

Penganugerahan untuk Anugerah Seniman Negara dibahagikan kepada enam bidang seni budaya iaitu muzik, tari, teater, visual dan filem turut mengiktiraf 36 penerima lain dalam setiap sektor diceburi.

Ia merangkumi 16 penerima untuk Anugerah Karyawan Seni iaitu empat penerima untuk Kategori Pencipta, Penggubah, Pengarah dan Pemuzik, manakala dua anugerah lagi diberikan kepada Karyawan Seni Tari iaitu koreografer dan penari.

Antara mereka yang turut menerima anugerah pada majlis berkenaan ialah Datin Paduka Suhaimi Baba, Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan, Aziz M Othman, Norsiah Mohd Yatim (penari) serta Rosyam Noor (pelakon).

Sementara itu, Mohd Shafie, dalam ucapannya berkata kementerian akan menghantar lebih banyak kumpulan kesenian tanah air untuk menyertai acara seni dan budaya pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, dengan cara itu, ia dapat mempromosikan kesenian tempatan ke seluruh dunia sebagai satu jenama yang sinonim dengan imej Malaysia yang kaya dengan aktiviti seni, budaya dan warisan.

“Kita akan dikenali di kalangan pelancong bukan saja sebagai destinasi membeli-belah atau perniagaan dan komersial semata-mata, tetapi sebagai destinasi bagi memenuhi cita rasa serta minat terhadap seni,” katanya.

Berita Harian