Archive | Utusan Malaysia RSS feed for this section

Komedi Pari-Pari Taruhan TUSB

19 May

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

Dari kiri Harun Salim Bachik, Remy Ishak, Nabila Huda, Que Haidar dan Liyana Jasmay pertaruhan baru Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

SI pari-pari mencari cinta? Dapatkah anda membayangkan bagaimana si pari-pari mencari cinta sejatinya.

Pelbagai kisah lucu dan romantik menghiasi sepanjang pencarian cintanya apabila dia ditakdirkan bertemu dengan seorang pemuda yang lurus bendul.

Itulah antara intipati yang ingin dikupas dalam filem terbaru terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB), berjudul Duhai Si Pari-Pari arahan sutradara baru, Azmi Mohd. Hatta.

Menariknya cerita bergenre komedi ini mempamerkan pelbagai unsur magis selain elemen komedi yang sedia ada.

Malah menurut pengarahnya, unsur-unsur magis itu juga antara kelainan yang ditonjolkan dalam filem tersebut berbanding filem komedi yang lain.

Namun persoalannya, adakah khalayak tempatan sudah bersedia untuk menerima semua itu atau sebaliknya?

Apakah jaminan Azmi audiens filem akan tertarik dengan resepinya terhadap filem sulung arahannya itu?

Dan tidakkah karya ini kelak diklasifikasikan sebagai filem berunsur tahyul?

Sebagai pengarah berjiwa besar, Azmi yakin, peminat filem tempatan dapat menerima kerja-kerja seninya ini.

“Saya terapkan unsur-unsur magis tersebut kerana cerita ini melibatkan dua dunia manusia dan pari-pari, lalu perkara-perkara tersebut diperlukan. Tapi itulah keistimewaan dan kelainan yang ada pada filem ini berbanding filem lain,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem tersebut di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Jelas pengarah muda ini lagi, bagi mendapatkan hasil yang memberansangkan filem tersebut juga diterapkan dengan teknik Imej Penjanaan Komputer (CGI).

“Saya gunakan teknik CGI dalam filem ini supaya magis-magis tersebut nampak seperti real. Saya juga tidak mahu penonton merasakan magis-magis itu kelihatan bodoh,” katanya yang optimis filem tersebut akan diterima ramai.

Walaupun baru pertama kali mengarah filem namun Azmi tidak gentar dengan segala kritikan yang bakal diterimanya.

Dia yang juga penulis skrip filem tersebut berkata: “Saya bersedia dengan segala kritikan yang bakal saya terima. Sekiranya ia membina, saya ambil dan jadikan paduan di masa depan. Saya perlu bersedia dengan semua itu.”

Duhai Si Pari-Pari membariskan para pelakon antaranya Que Haidar, Liyana Jasmay, Harun Salim Bachik, Nabila Huda dan Remy Ishak.

Bukannya mudah

– Que Haidar

Sementara itu, bagi Que Haidar yang membawakan watak Saadon seorang pemuda lurus bendul amat mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

“Ramai orang cakap filem komedi ini senang tapi bagi saya amat susah kerana bukannya senang kita nak buat orang ketawa.

“Kalau cerita-cerita yang sedih atau cinta lebih mudah dijayakan. Memang beza sangatlah watak ini dengan watak yang pernah saya bawa sebelum ini. Macam langit dan bumi,” katanya sambil tergelak mengenangkan karakternya dalam filem itu.

Jelas Que, meskipun agak sukar untuk menjayakan watak Saadon namun berkat kesabaran dan kerjasama semua pihak akhirnya kepayahan itu berjaya diatasi dengan baik.

“Pengarah banyak membantu dengan menjelaskan apa yang dia mahu dan itu sedikit sebanyak membantu saya di lokasi.

“Selain itu sikap pelakon-pelakon yang ada juga banyak menolong saya untuk memberikan yang terbaik pada filem ini,” terangnya yang cukup senang berlakon bersama Nabila Huda dan Liyana Jasmay kerana telah mengenali mereka sebelum ini.

Pengalaman menyeronokkan

– Liyana

Berada dalam teko beratus-ratus tahun dan akhirnya keluar melihat dunia dan mencari cinta sejati, itulah watak yang dibawakan oleh si comel Liyana Jasmay.

Mengakui teruja dan seronok menjayakan watak si pari-pari Liyana mengakui, watak yang ditanganinya bukan sesuatu yang mudah untuk direalisasikan.

“Pari-pari ini sering terkeliru kerana dia tak tahu apa yang dia mahu sebenarnya. Kelakar memang kelakar tapi bukannya mudah saya nak bawa watak ini. Sangat-sangat mencabar dan saya perlu menonton banyak cerita-cerita kartun untuk menguasai watak itu,” terang Liyana lagi.

Komedi bersahaja

– Harun Salim Bachik

Seorang lagi pendokong filem itu, Harun Salim Bachik pula berpendapat, Duhai Si Pari-Pari merupakan sebuah filem komedi ringan.

“Sudah banyak filem komedi yang saya lakonkan tetapi cerita ini bukan sahaja ringan malahan siapa yang menonton akan terhibur.

“Cerita ini kelakar sebab ada magis-magis yang akan membuatkan penonton yang melihat akan ketawa sepanjang filem tersebut,’ ujar Harun yang membawakan watak ayah kepada si pari-pari iaitu si para.

Powered by Utusan Malaysia

Seleksi Terbaik Siti, Kris

19 May

KOMEN: Saya percaya para peminat Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti tentunya tidak teragak-agak untuk membeli album kompilasi ini yang menampilkan dua penyanyi kesayangan ramai tersebut. Malah, bagi yang tidak meminati Siti dan Kris pula tidak rugi mendapatkannya kerana album ini menampilkan seleksi lagu terbaik dua penyanyi bersuara gemersik merdu dari Malaysia dan Indonesia itu.

Antara lagu terbaik Siti yang dimuatkan dalam album ini ialah Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Percayalah dan Purnama Merindu. Sementara, lagu-lagu terbaik Kris yang diketengahkan pula seperti Menghitung Hari, Mencintaimu dan Cobalah Untuk Setia. Lagu-lagu Siti dan Kris itu bukan sahaja tidak jemu untuk didengar tetapi kekuatan melodinya juga akan menjadikan lagu-lagu tersebut malar segar. Sukar untuk membandingkan mutu vokal dan gaya nyanyian dua penyanyi ini kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri. Cuma penyerlahan suara Kris lebih ketara apabila album ini menampilkan lagu duetnya dengan Melly Goeslaw berjudul Cinta dan bersama Ajai (Hati Ini Telah Dilukai). Menerusi lagu duet antara lain dapat memperlihatkan keunggulan suara Kris berbanding teman duetnya. Sayangnya, dalam album ini tiada lagu yang menampilkan duet Siti dengan penyanyi lain. Justeru, Siti berdiri atas suaranya sendiri bagi memperlihatkan keindahan melodi serta keupayaannya vokalnya ketika membawakan lagu-lagu dalam album ini. Cuma kekuatan kebanyakan lagu Siti turut dibantu oleh suara penyanyi latar contohnya, menerusi lagu Purnama Merindu. Terdapat 16 buah lagu dalam album dalam bentuk paket digipak ini siap dengan liriknya sekali. Lagu-lagu dalam album ini mungkin telah melalui proses adunan semula memperdengarkan kualiti bunyi dan susunan muziknya yang mampu memuaskan halwa telinga para pendengar.

Judul Album: 2 Diva

Artis: Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti

Konsep Muzik: Pop

Terbitan: Warner Music Malaysia dan Suria Records

Powered by Utusan Malaysia

Peserta Kongres Dipelawa Lawat Tempat Menarik Di KL

19 May

KUALA LUMPUR 18 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempelawa peserta-peserta Kongres Teknologi Maklumat Dunia 2008 (WCIT 2008) melawat tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, dalam kesibukan bermesyuarat dan membentangkan kertas kerja serta menghadiri bengkel sempena WCIT 2008, para peserta yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur disaran mengambil kesempatan untuk berkunjung ke kawasan tumpuan pelancongan di ibu kota.

”Bagi peserta yang pernah berada di Kuala Lumpur, anda juga dipelawa menyertai rakan-rakan yang baru tiba dan berilah panduan kepada mereka tentang tempat-tempat yang menarik perhatian di sini,” katanya ketika mengalu-alukan peserta WCIT 2008 pada majlis makan malam gala di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili.

Para peserta dari 88 buah negara itu dihidangkan dengan makanan tempatan sambil dihiburkan oleh artis-artis terkemuka tempatan seperti Kumpulan Mohram, Anita Sarawak, Datuk Dr. Ahmad Nawab dan Joanne Yeoh.

Powered by Utusan Malaysia

Banyaknya Program Realiti

18 May

SEJAK kebelakangan ini, banyak betul program televisyen realiti yang diterbitkan stesen televisyen tempatan. Sampaikan penyanyi nasyid solo dan kumpulan pun mereka nak cari melalui program realiti.

Wanda tak nafikan bahawa program begini mendapat sambutan. Sebab apa? Sebab di dalamnya terkandung drama-drama. Siapa yang tak mahu lihat drama. Orang Melayu memang sukakan drama. Lebih-lebih lagi kalau ada yang syahdu. Memang orang kita suka.

Wanda bukan tak suka, tapi sekarang ini dah naik rimas dengan aksi-aksi penuh drama program realiti yang semakin hari semakin boleh dibaca kesudahannya.

Yang untung bukan kita, penonton. Tapi peserta dan juga pengendali syarikat telekomunikasi yang menjadi perantara kepada satu kemenangan. Kerana satu SMS mampu mengubah nasib pesertanya.

Tak kisahlah kalau keputusannya seratus peratus mengikut undian SMS atau berkongsi 50-50 dengan juri profesional. Yang pasti rugi adalah pengundi. Kerana mereka tak dapat apapun hasil daripadanya kecuali seronok kerana peserta yang dipilih terus bertahan walaupun rugi berpuluh ringgit, beratus ringgit hatta beribu ringgit sekalipun.

Tapi itulah realitinya program realiti. Orang seronok dan ketagih untuk mengundi dan terus mengundi kerana nak pastikan peserta keinginan mereka masuk akhir atau bergelar juara.

Dan apabila sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi antara penyumbang terbesar kepada satu keuntungan dalam satu penerbitan program realiti, tentulah makin banyak yang mahu menerbit kerana ada penajanya.

Wanda tak pastilah sampai bila ‘demam’ program realiti akan terus bertahan. Sebab yang pasti selesai sahaja program Akademi Fantasia musim ini dua minggu lagi, masyarakat kita akan mula beralih kepada Gang Starz pula yang sudahpun mula melanda sejak minggu lalu!

Apa yang pasti, kalau AF pemenangnya orang kita, Gang Starz belum tentu. Lihat sahaja juara musim pertamanya. Kerana apa? Kerana peserta kita kurang menyengat atau kita sendiri yang sudah kurang semangat patriotismenya?

Powered by Utusan Malaysia

Noraniza Jawab Tohmahan Cerai

18 May

Oleh WANDA IDRIS

SUDAH bercerai dan mereka dikatakan hanya mampu melayari kebahagiaan kehidupan suami isteri tidak sampai sebulan menjadi sebahagian intipati kepada sebuah khabar yang diterima ke meja Pancaindera baru-baru ini.

Dikhabarkan lagi bahawa penceraian itu berlaku apabila perkahwinan itu mendapat tentangan daripada pihak-pihak tertentu.

Tidak mahu sekadar mendengar cerita yang diuar-uarkan, Pancaindera cuba menghubungi empunya diri untuk bertanyakan kesahihan khabar yang diterima.

Tenang sahaja Noraniza Idris menjawab setiap persoalan yang dilontarkan malah dalam lembut dia memberitahu tidak sekalipun terasa hati dengan setiap gosip yang dilemparkan kepada kehidupan peribadinya.

Dan Noraniza yang amat akrab dipanggil Kak Ani bertegas, jika benar gosip yang didakwa mengenai perpisahan dengan suaminya itu maka dia meminta bukti untuk dikemukakan.

“Jangan pandai-pandai buat cerita. Kalau ada bukti, bolehlah saya tampil ke depan dan buat kenyataan. Jika tidak, saya hanya anggap perkara ini sekadar satu khabar angin yang tidak akan saya pedulikan atau memberi apa-apa kesan kepada saya,” katanya.

Menurut Noraniza, bukan dia tidak pernah mendengar kisah-kisah kurang enak yang dilemparkan kepadanya setelah menjadi isteri kepada seorang usahawan yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.

Namun dia tidak pernah cepat melatah, jauh sekali untuk melayan khabar-khabar yang tidak memberi sebarang erti dalam kehidupannya itu.

“Cerita-cerita itu tidak betul. Tapi kalau orang nak terus bercakap, saya tak kisah. Yang penting, kalau mereka ada bukti, tunjukkan. Saya mahukan bukti yang sahih. Cakap-cakap mulut saya tak main.

“Dan saya pun teringin juga nak tengok siapa yang sampaikan cerita-cerita begini. Datang daripada siapa cerita itu. Nak tengok juga betulkah nama suami saya,” tambah Noraniza.

Pun begitu, penyanyi yang terkenal melagukan irama Malaysia ini tetap bertegas akan terus menyembunyikan identiti suami yang dinikahinya secara rahsia pada Februari lalu itu.

Dia tekad dengan keputusannya itu biarpun ada beranggapan tindakan tersebut hanya menyebabkan orang lebih mudah ‘membuat cerita’.

“Saya akan terus sorok sampai bila-bila. Sebab saya menghormati orang lain. Sedangkan orang tak kenal masih boleh mereka-reka cerita, inikan apabila mereka kenal.

“Bagi sesetengah orang, ia mungkin satu perkara penting. Tapi sesetengah pihak pula boleh menjadikannya satu isu yang boleh memecahbelahkan.

“Jadi lebih baik untuk terus menyembunyikannya dan orang boleh buat apa sahaja spekulasi mengenainya. Sebab yang tahu tentang diri dan peribadi saya adalah diri saya sendiri,” katanya.

Noraniza, 40 dan suaminya yang berusia awal 50-an itu berkahwin pada satu majlis tertutup di sebuah tempat yang dirahsiakan selepas lebih tiga bulan mengenali antara satu sama lain.

Dia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Fareez pada 31 Mac 1988 dan bercerai pada Mei 2006 dan mereka dikurniakan dua orang anak iaitu, Mohd. Alif Haikal, 19, dan Mohd. Alfeq Haikal, 15.

Menganggap gosip sebagai sesuatu yang remeh temeh, kata Noraniza, dia kini lebih senang menumpukan perhatian kepada beberapa projek yang diusahakan oleh syarikat miliknya, Noraniza Idris Production Sdn. Bhd. (NIP).

Selain sibuk dengan perancangan pelbagai acara yang berkaitan bengkel kesenian dan motivasi, dia juga mempromosikan Dataran Pahlawan Melaka yang diusahakan bersama Lestari Tours Sdn. Bhd.

“Banyak kertas kerja yang perlu saya lakukan untuk menjayakan acara yang diatur dan perkara ini lebih penting daripada memikirkan soal yang tiada buktinya itu,” ujar Noraniza.

l Buku biografi

Dalam sibuk menjayakan pelbagai acara dan program, penyanyi kelahiran Johor itu juga sedang menyiapkan buku biografi mengenai diri dan kehidupannya. Buku yang diberi judul Nukilan Misteri Noraniza Idris tidak sahaja memperkatakan tentang dirinya sejak kecil hingga bergelar penyanyi.

Tetapi juga mengenai kisah alam rumah tangga bersama bekas suami Fareez selain mengungkap kehidupannya selama hampir dua tahun hidup bersendirian selepas bercerai.

Juga kisah-kisah misteri yang menyeliputi dirinya selepas dia berkahwin dengan suaminya sekarang dan amalan perubatan kebatinan yang dipelajarinya.

“Buku ini adalah hasil tulisan saya sendiri dan ia menceritakan secara terperinci mengenai diri saya sejak saya kecil hingga sekarang.

“Bagaimana saya merasakan diri kekurangan kasih sayang ibu bapa apabila saya terpaksa tinggal bersama Atok kerana ibu bapa tidak mampu memelihara saya kerana anak yang ramai.

“Apabila berumur 11 tahun dan kembali menetap dengan keluarga, bila abah suruh menyanyi, saya selalu menyanyikan lagu Ratapan Anak Tiri kerana ketika itu merasakan saya seperti seorang anak tiri kerana dibuli adik-beradik yang lain.

“Setakat ini saya sudahpun selesai menulis kisah-kisah itu sehingga saya tamat tingkatan lima. Oleh kerana buku ini adalah rentetan setiap kisah yang berlaku kepada diri saya, saya juga akan bercerita tentang kisah-kisah selama mendiamkan diri setahun sembilan bulan selepas bercerai dan segala apa yang berlaku selama tempoh itu akan dicatatkan di dalam buku itu nanti.

“Ini termasuklah kisah-kisah di Internet, dengan Sani serta kehidupan saya yang tidak boleh bekerja sampailah kepada kisah perkahwinan saya yang ini selain kejadian-kejadian aneh yang berlaku kepada diri saya.

“Sebab dalam masa perkahwinan kedua ini, saya menyertai satu persatuan yang berkaitan perubatan kebatinan iaitu mendalami ilmu untuk kuatkan kerohanian apabila saya diserang penyakit misteri.

“Semua sebab mengapa saya menyertai persatuan itu akan saya coretkan dalam buku itu nanti,” katanya yang kini turut berkemampuan memberikan perubatan kepada yang memerlukan.

Selain itu, Noraniza juga melakukan kerja-kerja amal seperti mengumpul dana untuk tabung amal anak yatim menerusi pembelian biskut untuk Hari Raya.

Bermula Jun ini, Noraniza akan mula menjual biskut-biskut untuk Hari Raya dan sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi talian 016-2918066.

“Kita tidak sahaja menyediakan biskut-biskut yang dijual pada harga kilang malah kita juga membuat hamper dan sebahagian daripada bayaran itu akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan untuk membantu anak-anak yatim,” kata Noraniza lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Nasib Saya Baik – Nassier Wahab

18 May

Oleh NIEZAM ABDULLAH Foto ROY AZIS ABD AZIZ

Nassier ditemani pembantu peribadinya Alif di hospital kerana cedera akibat kebakaran yang berlaku.

Penyanyi Nassier Wahab menghadapi satu ujian getir apabila rumahnya di USJ, Subang Jaya terlibat dengan kebakaran pada petang Rabu lalu.

Kejadian yang berlaku itu menyebabkan kedua belah tangan Nassier mengalami kecederaan sementara kedua-dua belah kakinya melecur. Tetapi Nassier bernasib baik kerana dalam kejadian itu beliau tidak mengalami kecederaan parah.

Itulah dinamakan takdir. Malah Nassier tak habis-habis mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana kebakaran yang berlaku itu tidak melibatkan kehilangan jiwa.

Ketika menziarahi beliau di sebuah hospital swasta di Subang Jaya pada malam 14 Mei lalu, kata Nassier kira-kira tiga minggu lalu rumahnya itu sudah mengalami litar pintas.

Ketika itu suis utama di dalam rumah teres dua tingkat tersebut tiba-tiba meletup mengakibatkan wayar dalam rumahnya terbakar.

Bagaimanapun nasib Nassier agak baik kerana kejadian yang berlaku itu tidak serius sebaliknya ia meninggalkan kesan hitam di dinding kerana asap akibat kebakaran berkenaan.

“Kerana peristiwa itu saya sudah melakukan kerja-kerja menggantikan sistem pendawaian elektrik yang baru selain mengecat semula rumah untuk mengelak kejadian yang lebih buruk,” katanya.

Malangnya pada petang Rabu lalu, suis utama itu mengalami kejadian serupa mengakibatkan bekalan elektrik di dalam rumahnya itu tiba-tiba terputus.

Kata Nassier ketika berusaha untuk menghidupkan semula suis itu, beliau menghidu bau busuk seperti asap dan terus mencari punca kebakaran.

Tanpa menyedari, bau busuk itu rupanya datang dari bilik persalinan yang terletak pada tingkat bawah bersebelahan dapur rumahnya.

Ketika turun ke bawah Nassier telah melihat api di dalam bilik berkenaan begitu marak dan dia terus meminta tolong jiran sebelah rumahnya.

“Dalam keadaan kelam kabut itu saya terus berusaha memadamkan api sambil mengangkat beberapa barang penting di dalam bilik.

“Tanpa saya sedari terdapat beberapa barangan plastik yang terbakar menyambar tangan saya.

“Ketika itu juga kedua belah kaki saya terpijak percikan api sehingga menyebabkan ia melecur” katanya.

Bagaimanapun nasibnya baik kerana ada jiran yang membantu memadamkan kebakaran itu dan menghantarkannya ke hospital sebelum memanggil bomba.

Semasa kejadian isterinya Fatimah Abd. Rauf,45, dan anaknya Intan Najihah,11, tiada di rumah. Kejadian itu membuatkan Nassier begitu fobia untuk tinggal di rumah berkenaan.

Malah dia berhasrat untuk berpindah kerumah barunya di Shah Alam bagi memastikan kejadian berkenaan tidak berulang.

Kata Nassier, selain bersyukur kerana terselamat, dia juga bernasib baik kerana tidak pengsan akibat terlalu banyak menghidu asap semasa kebakaran.

Lebih membimbangkan Nassier sendiri menghidap penyakit asma yang secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap pernafasan sekiranya terlalu banyak menghidu asap.

“Saya dapat bayangkan apa akan terjadi jika pada ketika itu saya pengsan di dalam rumah. Tentu saja kebakaran itu mengakibatkan berlaku perkara yang tak diingini terhadap saya,” katanya.

Apa-apa pun kata Nassier dia menganggap kejadian yang berlaku itu mempunyai hikmahnya tersendiri.

Dalam masa yang sama Nassier turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang melawatnya seperti Jaafar Onn, Salwa Abdul Rahman dan Rohana Jalil.

Powered by Utusan Malaysia

Maya Enggan Ulas Majlis Kahwin

18 May

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Minggu lalu boleh dikatakan kebanyakan media melaporkan berita pelakon popular Maya Karin merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka dari Eropah.

Kebanyakannya menulis perkahwinan itu dijadual pada hujung tahun ini.

Malah Maya sendiri membuat pengakuan hatinya sudah dimiliki oleh seseorang dan sudah bersedia ke arah itu.

Mungkin ramai yang terkejut apabila membaca laporan berkenaan kerana sebelum ini Maya berjaya menyembunyikan kisah cintanya.

Selama ini juga Maya sering berkata dia masih belum menemui lelaki sejati yang mahu diangkat menjadi suaminya.

Bagaimanapun tatkala hari perkahwinannya hampir tiba gosip Maya mengenai hubungan itu mula tersebar. Ternyata desas-desus dan berita yang dikhabar itu benar.

Malah Maya sendiri yang berhasrat untuk melakukan kejutan mengenai perkahwinannya itu terpaksa menerima hakikat umum sudah mengetahuinya.

Dan Maya sendiri terpaksa mengiyakan desas desus perkahwinan itu kerana menganggap ia adalah satu keputusan yang baik. Yalah, mendirikan rumahtangga merupakan sesuatu perkara yang dituntut oleh agama.

Malah dalam Islam sendiri pun menyuruh kita menghebohkan berita baik itu untuk mengelak berlakunya fitnah.

Biarpun Maya agak kurang selesa apabila berita mengenai perancangan perkahwinannya itu dilaporkan terlalu awal namun dia terpaksa menerima hakikat begitulah tuntutan menjadi artis popular.

“Benar saya akan mendirikan rumah tangga sebagaimana yang dilaporkan itu,” kata Maya ringkas apabila dihubungi Rabu lalu.

Malah ujar Maya, dek kerana ramai yang sudah mengetahuinya, maka terpaksalah dia melakukan perancangan tertentu terhadap perkahwinan tersebut.

Ahad lalu Pancaindera dan beberapa akhbar melaporkan Maya dikatakan bakal mendirikan rumah tangga. Majlis perkahwinan mereka dijadual pada Jun atau Julai ini yang akan diadakan di Itali.

Lelaki tersebut yang berjaya memikat hati Maya itu dilaporkan bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa, Kuala Lumpur.

Mengenai identiti lelaki berkenaan, Maya enggan memberi sebarang ulasan sebaliknya berkata dia tidak mahu komen apa-apa mengenainya kerana apa yang dilaporkan itu sudah lengkap.

“Nampaknya wartawan dapat berita mengenai saya dengan lengkap dan rasanya tak perlulah saya memberi apa-apa ulasan lagi,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Maya, ketika ini dia agak sibuk dengan tugasnya sebagai pelakon dan tidak mempunyai tarikh sesuai untuk merancang perkara itu. Dia juga masih belum membuat perancangan rapi bilakah majlis tersebut akan diadakan.

“Bulan Jun ini saya sibuk. Begitu juga apabila menjelangnya Julai atau Ogos. Saya tiada komen terhadap perkahwinan saya itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Maya, dia tetap akan mengotakan untuk membuat pengumuman rasmi apabila tiba tarikh perkahwinan tersebut.

Ditanya adakah dia kurang selesa apabila media terlebih awal melaporkan mengenai perkahwinan itu, dia juga tidak mahu mengulas.

Sebaliknya apabila membaca laporan berkenaan, kata Maya dia menerimanya seperti mana peminat membaca kisah dan cerita artis.

“Yang penting saya harus cepat mencari katering,” tambahnya.

Berdasarkan kepada beberapa jawapan yang diberikan Maya mengenai perkembangan majlis perkahwinannya itu dia seolah-olah kurang selesa apabila kisah berkenaan digembar-gemburkan.

Malah dari segi reaksi Maya dia sendiri terperanjat bagaimanakah kisah manis hubungannya itu berjaya dihidu wartawan sedangkan dia berusaha menyembunyikannya selama ini.

Apa-apa pun keputusan untuk mendirikan rumah tangga adalah satu perkara yang baik dan Maya sendiri tidak perlulah berkecil hati dengan laporan mengenai perkahwinannya itu.

Yang penting berita itu bukanlah rekaan dan apa yang pasti peminat juga turut mendoakan supaya Maya dan bakal suaminya nanti akan mendapat sinar kebahagiaan.

Kepada Maya, selamat menempuh gerbang perkahwinan dan selamat melangsungkan persandingan di taman yang indah di Itali nanti.

Powered by Utusan Malaysia

Artis, Produk Kecantikan

18 May

KALAU bercerita tentang produk kecantikan, artis sering kali dikaitkan. Mengapa? Kerana kecantikan dan artis tidak boleh dipisahkan. Mereka berjalan seiringan. Sama seperti fesyen.

Maka tidak hairanlah kalau banyak produk kecantikan, dalam dan luar negara, jenama tempatan dan antarabangsa akan tetap menggunakan artis untuk menarik perhatian khalayak sekali gus menjadi ‘pelaris’ jualan.

Maka tidak hairan jugalah kalau artis cantik, jelita dengan wajah putih mulus menjadi pilihan produk kecantikan untuk menjadikan mereka duta barangan syarikat masing-masing.

Malah seringkali juga artis-artis menjadi senarai jemputan kepada syarikat jenama besar untuk melancarkan produk-produk baru dalam dunia kecantikan dan kosmetik.

Ketika ini, di Malaysia, nama-nama seperti Maya Karin dan Fasha Sandha menjadi antara nama dalam senarai utama pencari wajah untuk dijadikan duta produk kecantikan.

Mereka jadi rebutan. Kerana apa? Kerana mereka cantik, popular dan nama sedang meniti di bibir penggemar mereka. Lalu, ia menjadi aset berharga buat syarikat produk kecantikan dalam ‘menjual’ produk mereka.

Dan mereka juga tidak dibayar dengan harga murah. Ada mencecah ratusan ribu ringgit untuk kontrak masing-masing yang pada Wanda memang satu jumlah yang lumayan.

Pun begitu, ada artis yang mengambil keputusan untuk menghasilkan produk kecantikan menggunakan formula sendiri selepas bergelar duta kepada produk lain.

Antaranya Erra Fazira yang menjadi duta Avon selama lima tahun berturut-turut sebelum menghasilkan produk kecantikannya sendiri, Ferra KosmoLook atau Ferra KL.

Menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Jerman, buat permulaan Ferra KL mengeluarkan dua set penjagaan wajah iaitu Ferra Basic yang terdiri daripada sabun dan bedak kompak dan Ferra White (pencuci, toner, krim siang dan krim malam) dengan menggunakan bahan organik pada harga yang berpatutan.

Malah Ferra KL juga merupakan produk pertama seumpamanya yang menggunakan bahan daripada serbuk koko yang terkenal sebagai bahan anti-oksidan serta pelindung sinaran UV secara semulajadi.

Penyanyi rock, Ella juga muncul dengan produk kecantikan dan kesihatannya sendiri yang diberi nama Ella: Beauty That Rocks The World. Ella mengeluarkan tiga produk kecantikan dan kesihatan iaitu semburan bio oksidan, produk pelangsingan El Treem dan El Beauty Soap iaitu sabun yang berasaskan madu dan ekstrak gamat.

Ella juga menegaskan kesemua produk keluaran syarikatnya itu adalah selamat dan tiada kesan sampingan kerana ia menggunakan bahan organik dan tidak mempunyai bahan kimia.

Dan sememangnya bagi mereka yang pernah mencuba produk Ella, pasti akan terpegun dengan hasil semburan bio oksidannya yang memang berkesan.

Terkini, penyanyi Sheila Majid bakal melahirkan produk jenamanya, Jerneh yang dikeluarkan selewat-lewatnya Ogos ini yang bukan semata-mata untuk kecantikan tetapi bertujuan ingin melakukan sesuatu dalam mendidik wanita Malaysia tentang definisi sebenar kecantikan dan kosmetik.

Jerneh kata Sheila, merupakan rangkaian produk kecantikan yang lahir dari ideanya sendiri dengan kerjasama dua orang sahabatnya.

Wanda sendiri memang suka dengan produk kecantikan dan tak sabar menantikan kemunculan Jerneh selepas Sheila berjaya dengan perniagaan spa.

Dan tentunya apabila kita berniaga, pasti akan ada pulangan yang diterima dan Wanda yakin, melalui nama masing-masing dapat memberi impak kepada penjualan.

Selain dapat menghasilkan produk yang mampu memberi manfaat kepada pengguna, hasil penjualan itu juga dapat memberikan hasil kepada satu masa depan yang cerah. Tidak sahaja kepada artis itu sendiri tetapi juga stokis masing-masing.

Powered by Utusan Malaysia

Tambang Murah Untungkan Pengguna

16 May

Minden, P. Pinang.

ketika sedang hangat kempen dua buah syarikat penerbangan Malaysia, teringat pula saya akan sebuah filem Melayu yang bertajuk Siapa Besar lakonan seniman Ahmad Nisfu, Udo Umar, Mat Sentul, Wahid Satay, Anita Sarawak dan beberapa orang lagi yang saya tidak ingat namanya.

Filem yang berkisar mengenai dua buah kedai jahit yang bersaing mempromosi syarikat masing-masing. Persaingan antara Kulup Kecil dengan Kulup Besar. Masing-masing merendahkan harga, memberikan potongan harga, sampai akhirnya ‘percuma’ (ini hanya untuk menimbulkan kelucuan). Penghujungnya yang mendapat faedah ialah pelanggan.

Dalam hal yang sama, saya sebagai pelanggan sudah pasti akan membuat tempahan penerbangan dalam masa satu atau dua tiga hari lagi untuk percutian keluarga dengan penuh bergaya iaitu menaiki kapal terbang.

Tidak keterlaluan saya katakan bagi golongan menengah ke bawah, percutian menaiki kapal terbang merupakan percutian yang penuh bergaya dibandingkan dengan memandu sendiri ke destinasi pilihan. Apa lagi jika destinasinya antarabangsa – destinasi yang tidak terjangkau jika memandu.

Sebagai ketua keluarga, yang selalu berperanan sebagai ketua rombongan merangkap pemandu, menaiki kapal terbang akan terhindarlah kita daripada memandu dalam keadaan mengantuk, kerenah pemandu lain, jangka masa lama untuk sampai ke destinasi.

Walaupun sekitar ASEAN (Thailand, Indonesia, Singapura), merasalah juga anak-anak, ibu serta ibu mertua menaiki kapal terbang. Apatah lagi MAS pula yang memberikan kesempatan ini.

Pengalaman berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak sama pengalaman berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) bagi yang membawa anak kecil yang sedang aktif berlari sana dan sini.

Suatu hal yang tidak dapat kita terlepas pandang ialah kedatangan pesakit dari republik Indonesia yang berubat di hospital-hospital swasta tempatan.

Di Pulau Pinang, setiap hari ada saja warga Indonesia datang untuk tujuan tersebut. Apa lagi dengan adanya tambang atau promosi penerbangan yang menguntungkan pihak pengguna.

Saya terbaca suatu jurnal perubatan dari Indonesia yang ada menyebut; “Saya kalau flu (selesema) sekalipun pasti akan berobat di Malaysia.” Pastilah pemandu teksi, pengusaha hotel dan penginapan akan merasa faedahnya.

Sewaktu harga bahan keperluan utama kehidupan seperti beras, petrol, gula, tepung dan sebagainya naik, ada jugalah kesempatan untuk rakyat Malaysia menghilangkan ‘stres’ untuk terbang pergi bercuti ke destinasi pilihan keluarga masing-masing. “Viva MAS!” “Viva AirAsia!” “Now everybody lets fly.”

Selamat terbang.

noordin mohd noor

Powered by Utusan Malaysia