Archive | Cameron Diaz RSS feed for this section

ABPBH 2008: Rasa Bertuah

8 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Scha Alyahya

Tersenarai pada peringkat akhir ABPBH2008 satu pencapaian membanggakan buat Scha

SIAPA sangka di sebalik pembabitan seni yang pada permulaannya hanya sekadar mahu menguji pasaran, kini beralih menjadi bidang yang semakin menuntut fokus berpanjangan. Pernah bertugas di awan biru sebagai pramugari, Scha Alyahya agak pantas mengecapi populariti sebagai pelakon biarpun belum sampai tiga tahun berada dalam dunia seni.

Kejayaannya bukan semudah yang disangka. Malahan gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia usia 26 tahun pada 30 Mei nanti pernah berasakan pengalaman sewaktu mula melangkah ke dalam dunia seni cukup mengerikan.

Katanya, pernah dia menjalani penggambaran drama tapi untuk jangka masa yang panjang.

Pernah juga selama enam bulan dia bekerja di butik pakaian milik kawannya di Damansara kerana terdetik perasaan gusar apakah bidang seni yang diharungi satu pilihan yang tepat.

Tapi jelas dengan apa yang dimilikinya, ternyata pertaruhannya cukup berbaloi apabila namanya mula menjadi sebutan. Drama Bella dan Awan Dania antara naskhah yang terus meledakkan namanya.

Menambah kekuatan trek pembabitan Scha apabila tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Sehingga kini dia semakin ligat memenuhi tawaran berlakon dan membuat iklan komersial.

Apapun, Scha tetap Scha. Dia Masih lagi seperti dulu. Tutur katanya masih agak pekat dengan loghat utara.

“InsyaAllah apa yang Scha nampak berjalan dengan baik seadanya. Scha sekarang semakin serius dan kerja ini bukan perkara main-main. Sekali kita memasuki arena ini, ia petanda untuk kita terus bekerja kuat bagi memastikan hayat diri terus ada.

“Sewaktu nama Scha tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 2008, Scha terkejut juga sebab tak sangka orang luar dan peminat mula menyedari kehadiran kita.

“Scha bertuah apabila tersenarai dalam Top 5 dan berada di lingkungan lima yang popular itu sudah cukup bagus. Saingan pun sengit dan sihat,” katanya sewaktu ke premis Rafflesia untuk sesi perbincangannya dengan pereka fesyen, Anizam Yusof yang terbabit mereka busananya menjelang malam kemuncak ABPBH 2008, Ahad ini.

Dalam Artis Baru Wanita Popular, Scha diundi bersama Ayu Damit (Ayu OIAM), Lisa Surihani, Stacy dan Sariyanti.

Cameron Diaz Malaysia

MEMILIKI seraut wajah jelita, bertubuh ramping dan tinggi, liuk lintuk badannya di depan kamera cukup menyenangkan apatah lagi bidang peragaan adalah makanannya. Dalam dua persalinan berwarna terang rekaan Anizam, kelibatnya menjadi perhatian orang ramai yang membawa kenderaan di tengah jalan termasuk yang lalu lalang.

Sekali pandang, Scha seakan peragawati dan pelakon tersohor, Nasha Aziz yang begitu hangat dan selamba dengan aksesori Rafflesia. Malahan ada sesetengah pengarah yang mahu mencipta Scha sebagai Cameron Diaz Malaysia kerana mempunyai kejelitaan, bijak dan pada masa yang sama terkenal dengan sikap humor serta bersederhana.

Memujinya bukan berniat mahu mengumpan soalan seterusnya mengenai kisah peribadinya yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Bukan cerita baru apabila Scha dikaitkan dengan Fahrin yang turut tersenarai dalam ABPBH 2008 untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Dalam ada yang suka mereka menjalin cinta, lumrah ada juga yang cukup jelak mengenai cerita mereka.

“Hanya masa yang akan memberitahu segala-gala sama ada Scha ada hubungan dengan dia atau sebaliknya,” katanya ringkas.

Tidak mahu terus disoal soalan berbaur peribadi itu, dia kemudian ditanya mengenai tanggungjawabnya sebagai pengacara program Sehati Sejiwa di RTM 1 ini dalam terus membuktikan kemampuannya sebagai anak seni tidak pernah silap.

Akuinya, ada pihak yang membuat andaian masuk dunia seni ini senang kerana bakal dilimpahi kerdipan glamour semata-mata. Itu memang tidak dinafikan dan Scha sendiri mengakui berasa seronok melihat kehidupan pelakon yang dipaparkan di media massa.

“Sekarang apabila diri sendiri yang mengalaminya, ternyata apa yang dianggap pada mulanya hanyalah khayalan. Malah, entiti permainan politik turut berlaku di dalam dunia seni dan ada sesetengah artis yang sanggup melobi semata-mata mahu mendapat perhatian.

“Depan mata sendiri, Scha pernah melihat ada artis yang cuba mendekati pihak berpengaruh dalam produksi kerana mahu mendapatkan tawaran berlakon. Tak boleh menidakkan istilah perhubungan awam memang perlu dalam dunia ini, cuma biarlah berpada-pada.

“Macam Scha, jujur diri ini jenis yang tak pandai membodek orang. Bagi Scha, biarlah Scha mahu orang nilai diri dengan impak lakonan yang dipamerkan dan Scha masih dalam peringkat memperbaiki kekurangan yang ada,” katanya tulus yang bakal muncul dengan filem Papadom dan Evolusi KL Drift 2, malah dia baru saja selesai menjalani penggambaran Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Utamakan fesyen selesa dipakai

MENGENAI Anizam, kata Scha, pereka fesyen itu pernah mengundangnya untuk Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) tahun lalu, namun ketika itu jodoh mereka untuk bekerjasama belum ada.

“Sebelum nama Scha tersenarai dalam top 5 lagi, dia sudah mula menghubungi Scha untuk menaja busana rekaannya. Apa yang Scha boleh katakan, semangat dan kesungguhannya membuktikan dia tidak memilih artis biarpun ketika itu tidak tahu langsung yang Scha akan ke senarai akhir.

“Difahamkan memang ada beberapa lagi pereka yang berminat nak dapatkan Scha, tapi sudah rezeki dia yang pertama menyapa Scha dulu. Bagi Scha apa yang penting ialah pakaian yang selesa dan bukan atas dasar kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Anizam mempunyai sebab kukuh memilih Scha sebagai selebriti yang mahu disarungkan rekaannya untuk ABPBH 2008. Lebih gemar rekaan dan potongan bersih yang tidak sarat, Anizam yakin bahawa Scha mampu menyerlahkan rekaannya nanti. Selain Scha, Sazzy Falak turut memberi pengesahan pada saat akhir untuk menggayakan rekaannya.

Menggunakan perincian ‘dart’, fabrik satin dan songket, warna biru elektrikal menjadi uji kaji kepada Scha. Kata Anizam, dia menggunakan pendekatan korset separuh (tidak penuh) yang dijahit sekali dengan baju dan kelainan itu antara tarikan yang ingin disampaikannya.

“Sentuhan Tenun satu idea tema yang menarik untuk diketengahkan dan sesetengah pihak menganggap fabrik tradisional tidak setanding fabrik moden.

“Dengan trend sekarang, apa saja boleh jadi mustahil, janji ia diiringi dengan semangat mencuba sesuatu yang baru untuk menghasilkan tradisional menjadi kontemporari.

“Usia pembabitan saya dan Scha sama naik dan dengan rupa maskulin serta ‘attitude’ yang ada padanya, saya yakin dia boleh menjadi manifestasi terbaru saya dalam melebarkan idealisme rekaan saya. Scha ada aura tersendiri yang mampu membuatkan ramai yang terpesona kepadanya,” kata Anizam.

NAMA PENUH: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir PANGGILAN: Scha Alyahya ASAL: Sungai Petani, Kedah TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983 ADIK BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik KELULUSAN: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL cawangan Shah Alam PENCAPAIAN: Dewi Remaja 2006 dan 50 Wanita Paling Jelita disenaraikan majalah Female KERJAYA: Pelakon, Pengacara Dan Model IKLAN: Hotlink, Olay, Pantene, Power Root, Streamyx, Oral B, Watson, Nokia dan Ikea. DRAMA: Bella, Luna Fantasiku, Sadiq and Co, Honeyz dan Awan Dania FILEM: Antoo Fighter, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2 dan Dimensi Cinta

PROFIL: Anizam Yusof Nama penuh: Anizam Yusof

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 30 November 1983

Tempat lahir: Felda Linggiu, Kota Tinggi, Johor

Tahap pendidikan: Diploma Rekaan Footwear dan Ijazah Rekaan Fesyen

Blog: http://anizamyusoftherhucouture.blogspot.com

Pembabitan sejak: 2006

Pencapaian: Finalis Project Runway Malaysia musim pertama

Artis yang pernah menggunakan khidmatnya: Rosyam Nor, Nabil, Zahid, Felix, Meet Uncle Hussain, Ally Iskandar, Faizal Ismail, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Liyana Jasmay, Sazzy Falak, Juliana Evans, Elyana, Nita, Rozita Che Wan

Berita Harian

Drew Barrymore Terus Bersama Charlie'S Angels

31 Jan


BARRYMORE (kanan) bersama Diaz dan Liu (kiri) dalam Charlie’s Angels Full Throttle.

LONDON: Aktres terkenal Amerika Syarikat, Drew Barrymore memperkuatkan khabar angin bahawa filem ketiga Charlie’s Angels mungkin dibuat selepas mengakui dia sedia terbabit jika ia menjadi kenyataan.

“Saya memang suka jika ia (Charlie’s Angels 3) dijalankan. Filem sebegini mungkin agak rumit tetapi menyeronokkan,” lapor The Sun yang memetik Barrymore, 33, sebagai berkata.

Dia berganding dengan Cameron Diaz dan Lucy Liu dalam dua filem berkenaan sebelum ini yang meraih lebih AS$400 juta (RM1.3 bilion) kutipan di seluruh dunia.

Charlie’s Angels bermula sebagai siri televisyen pada 1970-an sebelum ia difilemkan pada 2000. Barrymore, Diaz dan Liu sekali lagi terbabit dalam filem itu pada 2003 berjudul Charlie’s Angels: Full Throttle yang turut dibintangi Demi Moore.

Selain itu, ada laporan mengatakan dalam filem ketiga, seorang aktres baru akan muncul.

Khabar angin menyatakan, Penelope Cruz mungkin menjadi aktres keempat selepas Barrymore secara terbuka mengakui kagum dengan pelakon Sepanyol itu.

Pada masa sama, laporan lain pula mengatakan Barrymore dan Diaz semakin tidak rapat malah tidak bertegur sapa ketika menghadiri parti anugerah ‘Golden Globes’ baru-baru in, kata sumber kepada majalah OK.

“Di majlis itu, Drew lalu dekat Cameron dan tidak langsung memandangnya. Memang ketara mereka bukan lagi rakan rapat,” kata sumber itu.

Satu lagi sumber rapat Diaz pula memaklumkan bahawa aktres berkenaan berubah sejak bapanya meninggal dunia.

“Dia sudah berubah menjadi seorang yang lebih serius. Drew boleh berjenaka begitu saja tetapi Cameron tidak lagi begitu,” katanya. – Agensi

Berita Harian

Aktres Terkenal Dicalon Pelakon Paling Teruk

24 Jan


Jessica Alba

LOS ANGELES: Anugerah Razzies mengumumkan nama calon yang dianggap ‘menconteng arang’ dunia perfileman Hollywood membabitkan barisan pelakon yang tidak kurang hebatnya.

Razzies ialah anugerah anti-Oscar bagi filem termasuk persembahan terburuk di Hollywood dengan filem Mike Myers yang membintangi The Love Guru mengumpul pencalonan terbanyak.

Penaja Razzies yang berbangga kerana mengeluarkan anugerah itu, akan mendedahkan ‘pemenangnya’ pada 21 Februari depan, sehari sebelum anugerah Oscar sebenar.

Menyertai senarai bekas lakonan lawak Myers dalam kategori filem paling teruk ialah Disaster Movie dan Meet the Spartans, filem yang disifatkan umpama ‘seekor kuda dibelasah dengan teruk’, aksi seram yang tidak menepati konsep iaitu The Happening, drama fantasi In the Name of the King: A Dungeon Siege Tale serta The Hottie & the Nottie.

Filem The Hottie & The Nottie sepatutnya sebuah komedi romantik tetapi tidak romantik mahu pun mempunyai unsur jenaka, dilakonkan Paris Hilton yang memegang watak utama dianggap ramai pemerhati sebagai filem paling teruk pada 2008.

Selain itu, tidak kira betapa teruknya The Love Guru, dalam beberapa aspek, ia tidak dapat menandingi The Hottie and the Nottie.

Pelakon The Women, Annette Bening, Eva Mendes, Debra Messing, Jada Pinkett Smith dan Meg Ryan, semuanya berkongsi pencalonan aktres paling teruk.

Jessica Alba menyertai mereka dalam kategori itu berikutan peranannya dalam The Love Guru; Cameron Diaz dalam What Happens in Vegas serta Paris Hilton dan Kate Hudson bagi persembahan berganda dalam Fool’s Gold dan My Best Friend’s Girl.

Al Pacino dalam 88 Minutes, dianggap terlalu lama manakala Sir Ben Gandhi Kingsley, yang jelas mencemarkan dirinya sendiri dalam The Love Guru mendapat pencalonan aktres paling teruk seperti yang dijangka, bersama Mike Myers. Eddie Murphy yang menerima pencalonan tahun lalu sebagai aktor terburuk, pelakon pembantu terburuk dan aktres pembantu terburuk tahun lalu kerana pelbagai peranannya dalam ‘Norbit’, kembali semula tahun ini sebagai calon aktor paling buruk dan pasangan skrin terburuk bagi peranannya dalam filem ‘Meet Dave.’ – Agensi

Berita Harian

Kate Winslet Terkedu

13 Jan

Susunan Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

Kate Winslet menjulang piala yang dimenanginya. – Foto AP

Kemenangan aktres Britain itu meneruskan kegemilangan filem dari negaranya ‘Slumdog Millioaire’ yang menyapu bersih empat kategori utama utama anugerah Golden Globe

ANUGERAH Golden Globe kali ke 66 yang berlangsung di Los Angeles semalam menjadi malam yang cukup bermakna buat aktres kelahiran British, Kate Winslet apabila dinobatkan Aktres Terbaik untuk lakonan mantapnya sebagai isteri yang tertindas dalam filem dramatik Revolutionary Road arahan suaminya Sam Mendes.

Kate, 34, kelihatan cukup terharu dan menangis selepas Cameron Diaz dan Mark Wahlberg mengumumkan namanya sebagai Aktres Terbaik. Dia mengetepikan empat aktres hebat lain iaitu Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Kristin Scott Thomas (I’ve Loved You So Long).

Sebelum itu, Kate membuka tirai penerima anugerah pertama malam itu apabila diumumkan Aktres Pembantu Terbaik bagi filem The Reader. Kategori ini turut mencalonkan empat aktres yang tidak kurang hebatnya iaitu Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona), Marisa Tomei (The Wrestler) dan dua pelakon Doubt, Amy Adams dan Viola Davis.

Pelakon itu yang mula mencipta nama selepas lakonan berkesannya dalam filem cinta penuh tragik arahan James Cameron, Titanic bersama Leonardo DiCarpio, digandingkan sekali lagi dengan aktor itu dalam Revolutionary Road.

Kate pernah dicalonkan sebanyak lima kali dalam Golden Globe begitu juga untuk Anugerah Oscar tetapi nasib tidak pernah menyebelahinya.


MICKEY ROURKE (kiri)
berkongsi kegembiraan dengan Bruce Springsteen.

Ini menyebabkan aktres itu tidak meletakkan harapan besar untuk memenangi salah satu daripada dua anugerah yang dipertandingkan. Justeru, apabila namanya diumumkan malam itu, dia kelihatan cukup terharu.

“Maafkan saya. Saya mempunyai kecenderungan tidak memenangi sebarang anugerah sebelum ini,” katanya dengan nada terharu dan ucapan yang tersekat-sekat.

“Terima kasih sayang kerana mengarahkan filem ini dan terima kasih juga kerana ‘membunuh’ kami setiap hari dan kami sangat seronok dapat berlakon dalam filem mengerikan ini,” katanya merujuk kepada suaminya, Sam yang banyak memberikan tunjuk ajar dan peluang ketika bertindak sebagai pengarah filem Revolutionary Road.

Malah Kate turut memuji DiCaprio yang bergandingan dengannya dalam filem itu.


PENERIMA Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cecil B Demille, Steven Spielberg (kiri) bersama martin Scorsese.

“Saya mencintai awak selama 13 tahun dan persembahan awak dalam filem ini memang mengagumkan,” katanya lagi.

Mickey Rourke ketepikan Brad Pitt

Sementara itu, filem British, Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle menyapu bersih empat kategori iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Ada pihak yang menjangkakan Slumdog Millionaire akan meraih Filem Terbaik tetapi sesetengah pula berpendapat tiga filem iaitu The Curios Case Of Benjamin Button yang menyandarkan nama pelakon hebat, Tom Cruise serta filem Doubt dan Frost/Nixon disebut-sebut bakal menang besar kerana dicalonkan dalam lima kategori.

Bagaimanapun ketiga-tiga filem itu tidak meraih sebarang anugerah. Sebaliknya Slumdog Millionaire yang menyandarkan pelakon tidak popular termasuk bintang Bollywood, Anil Kapoor menyerlah pada malam itu.

Filem itu mengisahkan mengenai seorang budak lelaki yatim piatu di Mumbai yang membesar dengan penuh kepayahan. Hidupnya berubah apabila dia memenangi ‘gameshow’ Who Wants To Be A Millionaire versi India.

“Kami tidak pernah menyangka akan berada di sini, di Amerika. Ini adalah hari yang cukup menakjubkan bagi kami kerana berada di sini,” kata Simon Beaufoy, penulis skrip Slumdog Millionaire yang diadaptasi dari novel Vikas Swarup, Q&A.

Slumdog Millionaire adalah filem pertama arahan Boyle yang menerima anugerah serta kemenangan besar. Boyle pernah mengarahkan filem Trainspotting, The Beach dan 28 Days Later.

Jika Kate diangkat sebagai Aktres Terbaik, Mickey Rourke, 52, pula mengalahkan Leonardo DiCaprio, Sean Penn, Brad Pitt dan Frak Langella apabila diangkat sebagai Aktor Terbaik

Kemenangan mendiang Heath Ledger untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik pula sememangnya sudah dijangkakan. Aktor kelahiran Australia itu memenangi trofi Golden Globe buat kali pertamanya berikutan lakonan mantapnya sebagai The Joker dalam filem Batman: The Dark Night. Anugerah berkenaan diterima oleh pengarahnya bagi pihak mendiang, Christopher Nolan.

“Kami menerima anugerah ini bagi pihak Heath yang tidak dapat bersama-sama kita pada hari ini dengan perasaan bercampur baur. Sedih tetapi pada waktu yang sama kami juga amat bangga.

“Kami berasa sangat bertuah kerana dapat bekerja dengannya. Malah kami juga sangat seronok dengan persembahannya dalam filem ini. Dia akan sentiasa dirindui tetapi kami tidak sesekali akan melupakannya,” kata Nolan.

Ledger yang meninggal dunia hampir setahun lalu akibat pengambilan dadah berlebihan adalah pelakon kedua yang memenangi anugerah selepas kematiannya. Sebelum ini Peter Finch pernah menerima Anugerah Pelakon Terbaik untuk filem Network pada 1976.

Bagi kategori televisyen pula, drama bersiri komedi, 30 Rock yang dibintangi Tina Fey dan Alec Baldwin dipilih sebagai Drama Komedi Bersiri Terbaik. Manakala Mad Men memenangi kategori Drama Bersiri Terbaik.

Pemenang pada Anugerah Golden Globe dijangka akan mengulangi kemenangan mereka pada acara Anugerah Oscar yang bakal berlangsung pada 22 Februari depan.

INFO: Filem

Filem Terbaik (Drama): Slumdog Millionaire

Aktres Terbaik (Drama): Kate Winslet – Revolutionary Road

Aktor Terbaik (Drama): Mickey Rourke – The Wrestler

Filem Terbaik (Muzikal/Komedi): Vicky Cristina Barcelona

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Sally Hawkins – Happy-Go-Lucky

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Collin Farrel – In Bruges

Aktres Pembantu Terbaik: Kate Winslet- The Reader

Aktor Pembantu Terbaik: Heath Ledger – The Dark Knight

Filem Animasi Terbaik: Walle E

Filem Asing Terbaik: Waltz With Bashir – Israel

Pengarah Terbaik: Danny Boyle – Slumdog Millionaire

Lakon Layar Terbaik: Simon Beaufoy – Slumdog Millionaire

Skor Muzik Terbaik: A R Rahman – Slumdog Millionaire

Lagu Terbaik: The Wrestler

INFO: Penerbitan Televisyen

Drama Bersiri Terbaik (Drama): Mad Men

* Aktres Terbaik (Drama): Anna Paquin – Ture Blood

Aktor Terbaik (Drama): Gabriel Byrne – In Treatment

Siri Televisyen Terbaik (Muzikal/ Komedi): 30 Rock

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Laura Linney – John Adams

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Pual Giammatti – John Adams

Mini Siri/Cereka Televisyen Terbaik: John Adams

Aktres Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Anna Paquin – True Blood

Aktor Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Gabriel Byrne – In Treatment

Aktres Pembantu Terbaik (Mini Siri/ Cereka Televisyen): Larua Dern – Recount

Aktor Pembantu Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Tom Wilkinson – John Adams

Anugerah Khas Cecil B DeMille: Steven Spielberg

Berita Harian

Diaz Rancang Perkahwinan

12 Jan


TIDAK dapat dipisahkan lagi. Cameron dan Paul bakal bergelar suami isteri.

CAMERON DIAZ dan kekasihnya, model Paul Sculfor bakal bergelar suami isteri pada tahun ini. Pasangan yang mula menjalinkan hubungan cinta sejak Mei tahun lalu itu dikatakan sangat serius dengan hubungan mereka dan sudah tidak dapat dipisahkan lagi.

Sumber berkata, “Cameron dan Paul sangat bahagia dengan hubungan mereka dan tidak mahu hubungan itu berakhir.

“Biarpun kedua-dua mereka pernah mengakui takut dengan ikatan perkahwinan, namun aura kekuatan cinta mereka memungkinkan segalanya.”

Kosmo

Kelly Brook Paling Diidam

1 Jan

LONDON: Kajian terbaru di Britain mendapati bahawa kebanyakan wanita di negara itu mengidamkan bentuk badan seperti Kelly Brook, iaitu model yang dipilih sebagai wanita paling seksi di dunia pada 2005.

Sementara itu kaki panjang seperti Cameron Diaz dan rambut seperti bintang siri Friends, Jennifer Aniston menjadi idaman kebanyakan wanita di negara itu.

Bentuk wajah seperti ak-tres Tomb Raider, Angelina Jolie pula turut menjadi pilihan wanita di negara berkenaan selain memiliki bentuk punggung yang menarik seperti bintang pop Australia, Kylie Minogue.

Kajian itu juga mendapati bahawa kebanyakan wanita menyifatkan lelaki sempurna adalah memiliki wajah seperti Brad Pitt dan Johnny Depp.

Sementara bentuk badan seperti Daniel Craig dan kaki dan bahagian belakang seperti pemain bola sepak David Beckham melengkapkan penampilan seseorang lelaki.

Kajian yang membabitkan 5,000 wanita di seluruh negara mendedahkan bahawa sifat fizikal paling buruk adalah memiliki ‘muffin top’ iaitu lebihan pinggang yang menonjol.

Hampir satu pertiga atau 31 peratus wanita berpendapat bahawa lebihan bentuk badan yang terkeluar ketika memakai jeans adalah bentuk tubuh yang paling tidak menarik.

Kajian juga mendapati bahawa saiz 12 adalah saiz pakaian paling menarik bagi seseorang wanita. – Agensi

Berita Harian

Tutup Kekurangan Wajah

29 Dec


JURUSOLEK profesional pasti menggunakan berus apabila menyolek wajah seseorang
bagi memberikan kesan sapuan lebih sempurna.

BAGAIMANAKAH bentuk muka wajah anda? Adakah bujur, bulat atau bersegi? Menatap wajah anda dalam cermin, adakah anda berasa puas memiliki bentuk wajah sedemikian? Mungkin ada yang menjawab ‘Ya’ dan tidak mustahil jika ada yang memberi jawapan sebaliknya.

Itulah lumrah manusia, sering saja tidak berpuas hati apa yang dimilikinya. Lantaran, itulah ada yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai hasrat di hati. Tetapi sebelum anda melakukan sesuatu pada bentuk wajah, tahukah anda bahawa selain menyempurnakan solekan, penggunaan berus juga dapat membantu untuk membentuk wajah.

Misalnya, jika anda memiliki bentuk wajah bersegi seperti bintang Hollywood, Cameron Diaz dan tidak menggemarinya usah risau kerana ada cara mengurangi kesan persegi berkenaan. Caranya, aplikasi bayangan pada bahagian rahang yang menonjol. Dengan menggunakan berus separuh penuh kemudian sapukan pemerah pipi dengan arah melebar ke sisi supaya membentuk segi tiga.

Jika anda mempunyai bentuk wajah lonjong atau panjang seperti Celine Dion pula dan ingin tampak bentuk wajah lebih pendek, gunakan jenis berus yang sama serta sapukan pemerah pipi secara mendatar segaris batas hidung. Pada sama, berikan juga bayangan pada dagu dan dahi bahagian batas rambut agar dapat membentuk wajah lebih pendek.

Begitulah juga jika anda mempunyai bentuk wajah bulat seperti Catherine Zeta-Jones tetapi ingin memperlihatkan bentuk wajah sedikit bujur agar lebih menawan. Justeru, gunakanlah keajaiban berus dan dengan teknik bayangan pada bahagian pipi menuju rahang bawah, pasti bentuk wajah anda ada perbezaannya. Caranya mudah, sapukan pemerah pipi dengan arah ke atas sehingga memberi kesan wajah lebih bujur.

INFO: Jenis berus solekan dan fungsinya


BERUS juga boleh digunakan bagi membentuk wajah.

Berus bedak

Berus ini seharusnya berbentuk lebar dan kembang. Ia juga berus yang paling besar dalam kumpulan berus solekan. Fungsi utamanya ialah untuk menabur dan meratakan bedak debu atau bedak padat dengan sempurna dan menyeluruh pada seluruh kulit muka.

Berus pewarna pipi

*Bagi memudahkan sapuan pemerah pipi, pilih berus lembut dan separuh penuh. Penggunaan berus ini ialah membantu untuk menyapu pemerah pipi dengan rata pada pipi tanpa garis atau jalur.

Berus pembayang mata

Berus ini biasanya kecil dan hujungnya berbentuk kuncup dan digunakan untuk menyapu pewarna atau pembayang mata kepada kelopak mata.

Berus pengalit mata

Berus rata dengan bentuk bersudut ini perlu untuk meratakan warna dekat garis bulu mata atau utnuk menyerlahkan kontur kelopak mata.

Berus bibir

Pilih berus yang rata dan tirus sedikit bagi memudahkan anda menyapu gincu pada lekuk bibir dan meratakan warna dengan sempurna. Berus ini penting khususnya untuk menyapu gincu warna gelap dan mencampurkan satu atau lebih warna bagi mencipta gaya tersendiri.

Berita Harian

Cameron Diaz Takut Pentas

19 Dec


CAMERON DIAZ

AKTRES jelita, Cameron Diaz enggan muncul dalam teater Shrek the Musical kerana bimbang untuk membuat persembahan di atas pentas.

Dia yang menyumbang suara untuk watak Princess Fiona dalam filem Shrek merupakan peminat filem ini tetapi tidak mahu terlibat dalam versi teaternya.

Bercakap pada malam pembukaan muzikal Shrek yang dipentaskan di Broadway, New York, Cameron memberitahu, “Apa yang mereka lakukan di atas sana adalah mustahil bagi saya.

“Ia amat menarik. Mereka melakukan tugas yang baik. Mereka bekerja keras dan semua itu mendatangkan hasil.”

Tambahnya, “Ia amat kelakar dan saya tidak berhenti ketawa. Seronok dapat melihat semua pelakon berada di atas pentas. Ini kerana semasa menjayakan filem animasi, kami tidak berjumpa dengan pelakon lain. Kami tidak bekerjasama.”

Kosmo

Cameron Takut Teater

16 Dec

Susunan Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENJADI trend teater muzikal diadaptasi daripada filem. Sebelum ini banyak filem Hollywood berjaya di pentas Broadway antaranya Aladdin, Cinderella, Beauty And The Beast dan High School Musical. Manakala kita juga berbangga dengan kemunculan teater seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, P Ramlee The Musical dan Impak Maksima The Musical.

Berbeza dengan senario berlakon teater di Hollywood, bukan semua pelakon yang pernah menimba pengalaman dalam filem berani beraksi di pentas teater. Aktres jelita, Cameron Diaz mengakui tanggungjawab yang digalas sebagai pelakon teater begitu besar dan memerlukan persediaan diri secukupnya. Cameron, 36, yang pernah popular menerusi filem Shrek (2001) melakonkan watak Puteri Fiona, hanya muncul sebagai peminat ketika menyaksikan pementasan teater Shrek The Musical yang dipentaskan di New York baru-baru ini.

Katanya, dia adalah peminat setia filem animasi itu bagaimanapun tidak berhasrat untuk berlakon teater. Shrek yang turut dijayakan aktor Mike Myers bergandingan bersama Cameron untuk watak utama, mencipta kejayaan tersendiri hingga mempunyai dua sekuel dan terbaru, Cameron juga terbabit dalam penggambaran sekuel keempat, Shrek Goes Fourth yang akan ditayangkan pada 2010.

Biarpun filem ini berjaya di layar perak, Cameron sebaliknya memberi ruang pelakon lain iaitu Sutton Foster untuk mengambil alih tempatnya menerusi teater. Aktor Brian D’Arcy James pula melakonkan watak Shrek, karakter makhluk gergasi berwarna hijau yang hodoh dan tinggal dalam paya hingga bertemu jodoh dengan puteri jelita iaitu Fiona.

“Sudah tentu bukan saya yang harus melakonkan watak Puteri Fiona dalam teater. Selepas menonton teater ini, saya lihat mustahil untuk saya lakukan sebaik pelakon itu. Apa yang dipersembahkan cukup indah dan bukan mudah untuk berlakon di pentas teater.

“Pada saya, kesemua pelakon yang terbabit dalam teater ini bekerja keras untuk mencipta kejayaan sebagaimana yang pernah diraih dalam versi filem sebelum ini. Malah lakonan mereka juga melucukan hingga membuatkan semua penonton terhibur.

“Saya seronok melihat semua watak dalam filem Shrek bersama di atas pentas kerana menerusi filem, kami tidak berpeluang untuk bersua kerana kami tidak bekerja menyumbang suara dalam satu masa,” katanya.

Mengenai filem sekuel Shrek keempat, Cameron masih digandingkan dengan pelakon asal Myers, Eddie Murphy membawa watak keldai dan Antonio Banderas sebagai kucing bernama Puss In Boots. Untuk sekuel kali ini, kepercayaan diberikan pada pengarah Mike Mitchell.

Selain sekuel terbaru Shrek, Cameron bakal muncul dengan dua filem baru pada tahun depan, The Box dan My Sister’s Keeper. Sebelum ini, Cameron mula popular menerusi filem The Mask pada 1994 bergandingan bersama Jim Carrey. Lakonannya makin mendapat perhatian selepas itu menerusi The Last Supper, Feeling Minnesota, Head Above Water, My Best Friend’s Wedding (1997), Charlie’s Angels (2000) dan The Sweetest Thing (2002).

Harian Metro

No Singing Princess Fiona For Diaz

15 Dec

NEW YORK : Providing the voice for the animated Princess Fiona in the “Shrek” film franchise is the limit actress Cameron Diaz is willing to do.

When asked if she would consider portraying Fiona on stage, she rejected the suggestion although she raved that she is a big fan of “Shrek the Musical” during its Broadway opening on Sunday night.

“No. Absolutely not. What they do up there… is, to me, impossible. It’s wonderful, though. They’ve done such a great job. They worked really hard, and it really pays off.”

Playing Fiona in “Shrek the Musical” is Tony-winning actress Sutton Foster while actor Brian d’Arcy James portrays the titular smelly green ogre who lives in a swamp and falls in love with Fiona.

“It’s hilarious,” said Diaz, looking classic in a Bill Blass dress, black Dior coat and bright red lips. “There’s so many laughs… It’s great to see all the actors playing it together, because when we do it for the animated (films), we never see each other. We don’t work together.”

Diaz will be back for her voice role in the fourth instalment of the “Shrek” film, slated for release in 2010. Mike Myers and Eddie Murphy will return as Shrek and Donkey, respectively.

Other stars seen at Sunday’s performance included America Ferrera, Joan Rivers, Rosie Perez, Kathie Lee Gifford, Honda Kotb, Phylicia Rashad, Ben Stiller and his wife, actress Christine Taylor.

– CNA/jk

Channel News Asia