Archive | Fauziah Latiff RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Che Mie Kaya Idea Bagus, Kreatif

9 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mohd Arzmy Mohamad

Allahyarham Mohd Arzmy terus kekal dalam ingatan keluarga dan rakan

TUHAN lebih menyayanginya untuk pergi dulu menyahut seruan Illahi pada tengah malam tanggal 5 Mac lalu. Ketika itu industri hiburan, khususnya dunia muzik dikejutkan dengan berita pemergian bekas orang kuat syarikat rakaman EMI (M) Sdn Bhd, Mohd Arzmy Mohamad yang mesra dengan sapaan Che Mie.

Beliau meninggal dunia kerana serangan jantung di sebuah hotel di Ampang ketika sedang bermesyuarat mengenai beberapa projek penerbitan album dan persembahan sebelum dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras.

Itu adalah kali kedua dialaminya selepas 14 Februari lalu dan dimasukkan ke HUKM. Bagaimanapun beliau meminta kebenaran untuk keluar awal kerana perlu melunaskan persiapan Majlis Pelancaran Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 19 Februari lalu.

Nama Che Mie mungkin asing dalam dunia hiburan kerana beliau banyak melakukan kerja di belakang tabir. Bagaimanapun, dikalangan rakan artis, wartawan hiburan dan kakitangan perhubungan rakaman, namanya bukan asing. Allahyarham mula bertugas sebagai Artis & Reportoire di EMI sekitar tahun 1970-an dan beberapa kali meninggalkan syarikat rakaman ini dan kembali semula bertugas di tempat sama.

Sepanjang bersama EMI, Allahyarham pernah terbabit dalam menguruskan promosi, pengedaran dan penerbitan album selain memperkenalkan penyanyi nama besar tanah air yang dikenali sehingga sekarang. Antaranya ialah Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Allahyarham Sudirman, Ella, Fauziah Latiff, Rabbani, KRU dan banyak lagi.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Kosas, Ampang selepas solat Zuhur, pada 5 Mac lalu. Allahyarham meninggalkan tiga anak dan baru saja menyambut ulang tahun ke-55 pada 25 Februari lalu.

Ikuti temubual Hip bersama insan yang cukup berasakan kehilangannya.

Datuk Sharifah Aini

“Kak Pah sudah mengenali sejak 30 tahun lalu, sebelum dia menyertai EMI lagi. Ketika itu, beliau banyak mengikuti persembahan Kak Pah. Beliau kawan dan pekerja EMI yang baik. Malahan, jika ingin mengadakan mesyuarat sekali pun, Kak Pah lebih suka ia diadakan di rumah saja. Lagi pun, Kak Pah suka memasak dan menjamu kawan-kawan di rumah.

“Biasanya Allahyarham selalu menghubungi Kak Pah dan dia akan menyuruh disediakan makanan untuknya. Allahyarham tidak cerewet. Apa saja yang Kak Pah masak, dia makan. Dia juga seorang yang berfikiran terbuka dan setiap masalah ada yang dikongsi bersama. Beliau seorang manusia yang dikurniakan pemikiran yang baik kerana setiap banyak idea yang bagus.

“Kak Pah tak sempat melihat jenazahnya kerana ketika sampai di hospital, Allahyarham sudah siap dikapan. Kak Pah macam tak percaya yang Che Mie kembali ke Rahmatullah. Berita kematiannya, Kak Pah tahu menerusi kiriman SMS daripada Ramli MS dan pesanan ringkas itu dipanjangkan Kak Pah dengan disebarkan kepada rakan yang lain.

“Kali terakhir Kak Pah jumpa Allahyarham sebulan lalu dan sepatutnya hujung bulan ini kami jadualkan bertemu lagi untuk membincangkan mengenai proses pembikinan album terbaru Kak Pah. Sepanjang mengenalinya, Allahyarham tak pernah bercakap mengenai apa juga penyakit yang ditanggungnya. Dengan badannya yang berisi, Kak Pah selalu bertanyakan sama ada Allahyarham okey atau tidak dan jawapan biasa yang selalu diberi ialah tiada apa-apa.”

Anak sulung Allahyarham, Al Azan

“Kami sekeluarga reda dengan kehilangan bapa. Apa yang saya dapat katakan, bapa (Allahyarham) sangat gembira dengan pencapaian kerja dan kebahagiaan keluarganya. Bapa juga yang paling banyak menyokong saya daripada belakang. Kali terakhir saya bertemu Allahyarham pada 4 Mac lalu.”

* Pengarah Urusan Adidas Malaysia yang juga bekas Pengarah Urusan EMI Malaysia, Darren Choy

“Allahyarham pekerja yang dedikasi. Beliau mampu berfikir di luar kotak pemikiran yang biasa. Paling mustahak, ramai pihak termasuk kakitangan di EMI dan rakan artis menghormatinya. Sudah lebih 13 tahun saya mengenalinya dan dia boleh diibaratkan sebagai mentor yang banyak mengajar dan berkongsi pengalaman. Walaupun Allahyarham bergelar pekerja di bawah saya, tapi saya masih menghormatinya lebih daripada itu. Allahyarham bersikap terbuka dan bersedia menerima idea baru daripada orang lain.”

Bekas Pengurus Promosi & Iklan EMI kini bertugas di stesen 8TV, Nawar Deres

“Beliau penuh dengan sifat kebapaan. Sepanjang mengenalinya, dia seorang yang tegas, gila-gila dan kreatif. Malahan, ideanya sesekali akan menjadi bernas dan menjadi ikutan. Kadang-kadang, idea yang diluahkannya langsung tak pernah terfikir dek akal kami.

“Banyak kenangan yang saya kongsi bersama Allahyarham. Selalunya, kalau di bilik mesyuarat, staf EMI lain pasti berperang mulut dengannya. Pada akhirnya, kami akan mendapat hasil dan kata sepakat. Selepas mengikuti kursus pada 2002, hubungan saya dengan Allahyarham lebih rapat. Ibaratnya hubungan kami dengannya seperti bapa dan anak.”

Pengarah Urusan Mahir Entertainment dan bekas Pengurus Kanan Bahagian Promosi EMI, Normahiran Yusof

“Sebagai rakan baik, saya pernah bekerjasama dengan Allahyarham selama lima tahun. Saya seronok bekerja di bawahnya kerana tak dinafikan ideanya ada kalanya tidak langsung terdetik dek akal fikiran kita. Apabila anak buah tidak memberikan prestasi kerja yang baik, sayalah yang ditegur dulu.

“Saya pernah menangis kerana tekanan kerja dan tegurannya. Tapi saya tahu apa yang Allahyarham lakukan semata-mata untuk kebaikan syarikat. Ramai penyanyi yang mendapat bimbingannya seperti KRU, Sharifah Aini dan Ella akhirnya menjadi penyanyi berjaya. Idea promosi luar biasa album KRU adalah hasil kreativitinya. Begitu juga dengan idea menggandingkan suara Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan KRU dalam lagu Getaran Jiwa”.

Ketua Pengarah Eksekutif KRU Studio, Norman Abdul Halim

“Saya mula mengenali Allahyarham pada tahun 1992 dan ketika itu, beliau bekerja di EMI. Malah kontrak kami bersama EMI dikeluarkan Allahyarham sendiri. Sepanjang kerjaya KRU sendiri sebagai penerbit dan artis rakaman, Allahyarham paling banyak memberi sokongan dan bimbingan. Allahyarham menyertai syarikat kami pada 2003 hingga 2005.

“Antara kenangan manis yang masih diingati ialah sewaktu berada di luar negara. Selalunya kalau ke luar negara, kami selalu menghabiskan masa yang panjang bersama. Mengenali Allahyarham, beliau seorang yang jujur dan tidak kedekut ilmu. Malahan, saya menganggapnya sebagai seorang sahabat yang baik dan pada masa yang sama sangat tegas kerana tahu hala tujunya.”

Berita Harian

Belasungkawa Mohd Arzmy Mohmad (1954 – 2009): Tak Sempat Anjur Bulan Solat

6 Mar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
MUNGKIN tidak ramai mengenali Mohd Arzmy Mohmad, 55, kerana beliau bukan artis tetapi di kalangan karyawan seni, lelaki bertubuh besar dan mesra senyuman itu sememangnya cukup dikenali.

Mana tidaknya, Mohd Arzmy bertugas sebagai orang penting dalam melahirkan penyanyi di syarikat rakaman terkenal, EMI (M) Sdn Bhd yang melahirkan nama-nama besar dunia hiburan. Antaranya Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Uji Rashid, KRU, Ella, Fauziah Latiff, Awie, Amok, Cromok, Butterfingers dan Rabbani.

Kreativitinya dianggap unik sehingga menjadi identiti seseorang artis itu seperti Amok dengan imej bertopeng malah kumpulan itu berjaya dijadikan ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) manakala Amy Search pula ikon bulan dakwah.

Beliau juga disifatkan seorang tegas tetapi mesra, mampu melihat potensi seseorang artis, kreatif, serius dengan tugas dan berani memperkenalkan idea baru. Di kalangan karyawan dan rakan media, beliau dikenali sebagai seorang yang mesra dan mudah didekati.

Bagaimanapun, bekas Ketua Operasi Bahagian Domestik EMI itu meninggal dunia jam 11 malam kelmarin, akibat serangan sakit jantung. Beliau pengsan ketika mengadakan mesyuarat di Hotel Flamingo, Ampang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berkejar ke tempat selepas dihubungi.

Sehingga akhir hayatnya, Allahyarham yang bergerak sebagai freelancer penganjuran majlis, masih memperjuangkan industri hiburan tempatan kerana mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan projek mengenai perkembangan beberapa artis. Pastinya pemergian arwah satu kehilangan besar kepada industri muzik yang ketika ini masih tenat.

Bagi Pengarah Urusan RPSB merangkap vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, jasa Allahyarham cukup besar kepada Rabbani sepanjang 11 tahun bergiat dalam dunia hiburan.

“Arwah yang berusaha membawa Rabbani ke EMI dan menaikkan nama kumpulan ini menerusi pelbagai idea yang dicurahkan sehingga kami dikenali dengan idea terbaru arwah, duet bersama Amy Search.

“Memang tidak terhitung jasanya kepada kami. Malah arwah boleh dianggap seorang bapa kepada kami kerana sentiasa menjaga kebajikan kami malah pencetus kepada kemunculan Rabbani,” katanya.

Katanya, perkara paling tidak dapat dilupakan ialah cadangan Allahyarham untuk menganjurkan Bulan Sembahyang sebagai satu usaha dakwah.

“Tiga hari lalu semasa pelancaran Bulan Dakwah di Kota Bharu, Kelantan, arwah merancang membuat koloborasi antara Amy Search dengan Rabbani untuk menganjurkan Bulan Sembahyang.

“Kami merancang mengemukakan kertas cadangan itu kepada kerajaan dalam masa terdekat tetapi Allah lebih menyayangi arwah,” katanya.

Anggota kumpulan Cromok, Tarmizi Mokhtar atau Miji berkata, Allahyarham disifatkan seorang yang berani kerana mahu mengambil kumpulan ‘heavy metal’ seperti mereka sebagai artis EMI.

“Arwah mendekati kami sebaik pulang dari Australia sekitar 1992 lalu dan pada pertengahan 1993, kami melancarkan album sulung di Malaysia iaitu Forever In Time.

“Beliau ketika itu memang terkenal sebagai seorang yang berpengalaman kerana pernah bekerja dengan beberapa artis terkenal. Namun keberanian serta keyakinannya terhadap kumpulan Cromok yang membawa muzik metal sehingga terkenal menyebabkan saya amat menghormatinya,” katanya.

Tambah Miji, komitmen Allahyarham dalam memperjuangkan industri muzik sukar dicari ganti.

Katanya, arwah memang tegas kerana mahukan yang terbaik dan tahu apa yang dikehendaki daripada artisnya.

Miji turut hadir di Rumah Mayat, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Melayu Ampang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, petang semalam.

Dilahirkan pada 25 Februari 1954 di Pulau Pinang, arwah meninggalkan isteri, Asma’ Mohammad, 43, dan dua anak, Alia Amalina, 19 dan Al-Aiman, 17.

Harian Metro

Ketahui Fungsi Pitera

15 Jan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

KALANGAN pengguna setia jenama kecantikan terkenal dari Jepun, SK-II, nama bahan aktif yang digunakan, Pitera, memang sudah tidak kedengaran asing lagi bagi mereka.

Namun, bagi yang belum pernah menggunakan produk jenama itu, nama bahan berkenaan sememangnya kedengaran agak pelik apatah lagi jika diberitahu ia sebenarnya dihasilkan daripada yis.

Menyedari hakikat itu, SK-II tampil dengan inisiatif membuka galeri Pitera di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, di ibu negara, awal minggu ini.

Galeri yang dibuka selama seminggu berakhir 11 Januari lalu itu adalah yang pertama diwujudkan di luar Jepun dan ia juga sebagai salah satu strategi pemasaran jenama berkenaan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Negara, Procter & Gamble (P&G) Malaysia, Yuri Hermida, berkata wanita di negara ini berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kandungan unik Pitera menerusi pembukaan galeri berkenaan.

Kata Hermida, galeri yang dibuka secara terbuka itu mampu memberi maklumat mengenai fungsi Pitera dalam menjaga kesihatan serta kecantikan kulit yang selama ini tidak diketahui wanita.

“Sejak mula diperkenalkan kira-kira 30 tahun lalu, ramuan unik dalam produk SK-11 tidak pernah berubah.

“Pitera SK-II bukanlah pati yis sebaliknya ia larutan metabolik yang dihasilkan daripada proses penapaian sejenis yis unik,” katanya pada majlis perasmian galeri berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Duta SK-11 Malaysia, Fauziah Latiff yang turut berkongsi pengalaman sepanjang menggunakan produk jenama berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Metrojaya Berhad, Robert Heng dan Pengarah Eksekutif Mid Valley City, Daniel Yong.

Sementara itu, jenama berkenaan turut menemukan pelakon terkenal kelahiran Alor Star, Kedah, Lee Sinje dan selebriti Hong Kong, QiQi dalam satu iklan televisyen yang bertemakan ‘Perubahan Kulit Tanpa Perubahan Komitmen”.

Iklan yang bakal ke udara bulan ini itu memaparkan pengalaman peribadi Sinje yang baru mencuba produk SK-II selama dua tahun berbanding QiQi yang sudah menggunakannya selama 12 tahun.

Harian Metro

Lisda Kaki Motor

13 Jan

Oleh YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my

Segala onak dan duri kehidupan yang dialami sepanjang 30 tahun lalu sentiasa berbekas dalam diri Lisdawati Nazaruddin.


KESUKARAN dalam kehidupan bakal menjerumuskan manusia kepada dua perkara, sama ada kejahatan atau kebaikan. Bagi individu yang tewas, jalan singkat dipilih dengan merealisasikan perkara-perkara negatif.

Namun bagi yang tabah, mereka akan berusaha keras untuk mengubah nasib ke arah yang lebih baik. Realitinya, ia tidak semudah sebaris ayat tersebut.

Biarpun kejayaan sudah dalam genggaman, ada juga individu yang lupa dengan segala ranjau sepanjang jalan yang dilaluinya sebelum menggapai kejayaan.

Berhati-hati dan berjimat. Dua perkara ini sentiasa menjadi pembakar semangat buat pelakon Lisdawati Nazaruddin atau nama ringkasnya Lisda dalam menempuh hari-hari yang mendatang.


LISDA terlebih dahulu mencipta nama sebagai model iklan.

Ternyata kesusahan hidup masa silam yang dilaluinya masih berbekas.

“Saya tidak pernah dan tidak akan melupakan segala kesukaran hidup yang saya alami sebelum menjadi siapa saya hari ini,” ujarnya.

“Namun, saya tidak pula kata saya sudah benar-benar berjaya sekarang. Cuma saya bersyukur dengan apa yang ada setakat ini, memiliki rumah tempat berteduh, suami yang boleh berkongsi segalanya, dan anak yang menceriakan lagi kehidupan kami suami isteri,” ucapnya tulus.

Mengunjungi Lisda di kediamannya tempoh hari, ternyata pelakon jelita ini seorang yang cukup sederhana.

“Saya cukup berhati-hati dalam menjalani kehidupan ini supaya tidak mudah ditipu. Itu yang saya belajar setakat ini daripada kesukaran hidup yang saya alami pada masa lalu.

“Sebab itu saya sentiasa berjimat cermat kerana saya sedar sedikit kesenangan yang saya peroleh hari ini asalnya daripada kesukaran yang saya lalui dulu,” bicara Lisda, 30, sambil menunjukkan foto-foto dirinya ketika remaja.

Sebenarnya bukan senang mendapatkan individu terkenal untuk kembali menjejaki zaman remaja mereka. Lisda sendiri, sebagai contohnya, terpaksa menyelongkar di setiap ceruk rumahnya untuk mencari kembali foto-foto yang melakar kronologi sejarah dirinya.


LISDA sememangnya seorang kaki motor ketika zaman remajanya. Bergambar kenangan ketika berusia 20 tahun dengan motosikal Aprillia.

Menyaksikan Lisda hari ini sebagai pelakon drama dan filem serta terbaru bakatnya sebagai penari yang cukup terserlah selepas berjaya menjuarai program Sehati Berdansa musim kedua bersama suami tercinta, aktor Fauzi Nawawi, 36, pasti ada yang menyangka bakat seninya itu tercetus sejak kecil lagi. Salah sangkaan itu.

“Kalau nak kata bakat seni saya terserlah sejak kecil lagi, tidak juga. Saya memang seorang yang takut naik ke pentas. Pernah ketika di tingkatan dua, saya dan seorang rakan mendapat giliran untuk membaca puisi ketika perhimpunan sekolah.

“Rakan saya itu lancar sahaja bacaan puisinya, tetapi bila tiba giliran saya kena sambung puisi yang dibacakannya, tubuh saya jadi menggeletar sampai tak terkeluar suara. Masa itulah air mata saya mulai mengalir dan dengan perasaan penuh malu saya terus melarikan diri turun dari pentas,” ungkap Lisda.

Ahli sukan

Menetap bersama keluarganya di Sentul, Kuala Lumpur, Lisda menimba ilmu di Sekolah Rendah Bandar Baru Sentul sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Bandar Baru Sentul. Di sekolah dia memiliki bakat sebagai ahli sukan.

“Saya pernah menjadi wakil sekolah dan kemudian Kuala Lumpur untuk Sukan Malaysia (Sukma) menerusi sukan lompat jauh dan lompat kijang. Kalau nak tahu jurulatih saya ialah Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (kini Datin Paduka dan dikenali sebagai penakluk Artik dan Antartika).

“Beliau bukanlah guru di sekolah saya tetapi diambil khas untuk melatih sukan yang diceburi saya. Pada masa itu saya di tingkatan dua.

“Namun, selepas hampir dua tahun di bawah latihannya, beliau kemudian menyambung pelajaran ke Kanada. Jadi, saya tidak lagi mempunyai mentor menyebabkan semangat dan minat saya dalam sukan pun lebur. Pendek kata dalam istilah sukan, saya ‘gantung spike’,” kenang Lisda.


KIRI: BERSAMA adik tersayang ketika Lisda berumur 10 tahun. KANAN: LISDA (kiri) bersama adik-beradik selalu berkunjung ke Zoo Negara.

Itu bukanlah pengorbanan yang dilakukannya untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya, Lisda harus melakukan pengorbanan sejurus persekolahannya tamat menjelang 1996.

“Ketika itu saya hanya fikir mahu bekerja dan cari duit memandangkan keluarga saya bukannya daripada golongan kaya. Saya fikir kalau saya sambung belajar pun, nanti tak cukup wang, lagipun abang saya, Adi, ketika itu bakal masuk UiTM, jadi saya dulukan abang,” beritahunya.

Sambung Lisda, “Syukur saya kemudian mendapat kerja sebagai kerani di sebuah syarikat insurans di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Saya ingat ketika zaman gawat sekitar 1997, saya masih bekerja di situ, mujur pekerja di syarikat itu termasuk saya tidak dibuang kerja tetapi kami tidak boleh buat tuntutan lebih masa.”

Tunggang motosikal TZM

Namun, kenangan yang cukup berbekas ketika itu adalah pengalaman pergi kerja dengan motosikal Yamaha TZM yang dibeli hasil daripada gaji pertamanya.

“Kalau dah naik motosikal, agak kurang sesuai pakai baju kurung. Jadi, saya pakai stail penunggang motosikal lengkap dengan jaket dan seluar kulit, kira rugged ketika itu. Tapi sebelum masuk pejabat saya tukar pakai baju kurung,” beritahunya sambil tergelak kecil.

“Kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah setiap pagi sebelum sampai pejabat, saya akan melalui sebuah hotel yang terletak berhampiran pejabat saya. Saya memakai topi keledar yang ada penutup muka, dan pakaian pula rugged. Biarpun orang tahu yang bawa motosikal itu perempuan, saya tetap mahu berlagak macho.

“Di hotel itu, ada seorang lelaki penjaga pintu yang sama setiap pagi bertugas di situ. Jadi, setiap pagi ketika saya lalu dengan motosikal, saya akan mengangkat tangan kepadanya dan dia pun membalas dengan mengangkat tangannya kepada saya. Boleh dikatakan itulah rutin harian.

“Suatu hari saya yang berpakaian baju kurung keluar dari pejabat dan ada hal serta perlu melalui pintu hotel tersebut. Dengan spontan saya mengangkat tangan kepada lelaki penjaga pintu hotel tersebut yang kemudian terperanjat melihat kelakuan saya. Kemudian barulah saya sedar saya ketika itu bukan menungang motosikal, kira pecahlah rahsia saya,” kata Lisda sambil meledakkan ketawa.


KIRI: FESYEN rambut stail Fauziah Latiff ketika di tingkatan dua. KANAN: LISDA mewarisi kecantikan ibunya, Risda.

Apa yang penting, menurut Lisda dia masih menyimpan motosikal TZM miliknya sejak dia berumur 18 tahun. Usia motosikal itu sudah 11 tahun.

Mungkin tuah dirinya disebabkan minat terhadap motosikal suatu hari Lisda ditawarkan menjadi penghias muka depan sebuah majalah berjudul Motorsikal pada 1999.

“Sebelum ini hanya artis yang dijadikan penghias muka depan majalah itu, kira saya pecah tradisi kerana saya hanya orang biasa ketika itu,” tuturnya.

Terpaksa korbankan tahi lalat

Bermula episod baru, Lisda mulai menyedari kelebihan yang ada pada dirinya – seraut wajah. “Saya mencuba nasib dengan pergi ke uji bakat iklan. Pada 1998, saya dapat tawaran menjadi model iklan satu jenama syampu rambut, bayarannya ketika itu memang buat mata saya terbeliaklah, RM15,000!” beritahunya.


KEHIDUPAN Lisda bertambah lengkap dengan kehadiran permata hati,Nur Aini Farhana.

Ketika itulah Lisda terpaksa membuat satu lagi pengorbanan. Sambungnya, “Tawaran itu bagaimanapun bersyarat. Saya dikehendaki membuang tahi lalat yang ada pada pipi saya.

“Pihak yang menguji bakat iklan tersebut kesemuanya kaum Cina, dan dalam industri pengiklanan, tahi lalat adalah sesuatu yang tidak dikehendaki pada model iklan ketika itu. Saya pula sangat sayangkan tahi lalat saya itu, jadi saya tolak tawaran tersebut.

“Namun, apabila saya dapat satu lagi tawaran iklan syampu jenama lain, ketika itu umur saya 20 tahun, dan kali ini tawarannya lebih lumayan saya tidak dapat tolak lagi tawaran tersebut. Jadi, saya terpaksalah dengan berat hati membuang tahi lalat kesayangan itu,” akuinya.

Bermula detik itu, karier Lisda sebagai model iklan semakin cerah apabila dia seterusnya meraih kontrak iklan pelbagai bahan penjagaan kecantikan wanita.

Semuanya tuah seraut wajahnya yang dikatakan sesuai dengan pasaran Asia, sebab itulah wajahnya sebagai model iklan pernah terpapar sehingga ke Thailand.

Menjelang tahun 2000 yang menjadi pemula era milenium, Lisda turut menjananya dengan menjadi model untuk iklan seluar jean Levi’s. Bersama beberapa model lain, dia perlu tampil dengan gaya remaja urban era milenium untuk iklan tersebut.

Masalah produksi drama

Justeru, bilakah detik pemula Lisda bergelar pelakon? Langkahnya ke bidang lakonan sebenarnya sudah bermula pada tahun 1999.

“Ketika itu saya mendapat tawaran berlakon drama berjudul Hikayat 1001 Malam, yang mana saya perlu melakonkan pelbagai watak menerusi pelbagai episod berlainan. Drama ini diarahkan oleh empat pengarah.

“Sebelum menjayakan drama tersebut saya dan barisan pelakon termasuk pelakon utama lelaki, Eizlan Yusuf dikehendaki menjalani latihan lakonan,” jelas Lisda.

Namun, mungkin rezeki sebagai pelakon belum menjadi miliknya, menurut Lisda, dia terpaksa menarik diri daripada produksi tersebut selepas menjalani latihan lakonan selama tiga bulan.

“Bukanlah saya sengaja mencetuskan masalah, tetapi disebabkan ada suara-suara dalam produksi itu yang tidak menyenangi penglibatan saya, sebelum menjadi lebih parah saya lebih rela mengalah dan menarik diri.

“Produksi itu sepatutnya menjadi naskhah pertama lakonan saya tetapi saya terpaksa melakukan pengorbanan. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya,” ujar Lisda.

Kalau sudah nasibnya tertulis untuk bergelar anak wayang, Lisda tetap meraih peluang. Sebelum itu, pada 2001, dia berpeluang menimba pengalaman dari segi penampilan di layar kaca. Lisda menjadi hos program Ekplorasi M, sebuah program baru terbitan Astro.

Ternyata rezeki lakonannya juga dengan Astro apabila syarikat pembikinan filem yang bernaung di bawah stesen TV swasta gergasi itu iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd. ingin menerbitkan filem berjudul KL Menjerit pada 2002.

“Ketika itu saya memfokus kepada kerjaya model iklan dan pengacara, namun saya menghadiri uji bakat KL Menjerit. Saya masih ingat lagi saya memakai pakaian yang saya jahit sendiri pada uji bakat yang turut dihadiri beberapa artis, antara saya ingat ialah dua anggota kumpulan Elite iaitu Abby Abadi dan Azza.

“Malah, ketika itu ada akhbar yang melaporkan Nasha Aziz yang akan menjadi heroin KL Menjerit, tetapi pengarah filem itu, Bade (Badaruddin Azmi) dan Astro mahu menampilkan muka baru, jadi syukur, rezeki berpihak kepada saya dan KL Menjerit menjadi naskhah pertama saya dalam dunia lakonan,” ujar Lisda.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Lisda melontarkan luahan, “Sebelum saya menjadi saya pada hari ini, ibulah mentor dan idola utama saya, pembakar semangat dan memberi kekuatan dalam diri saya sejak mula lagi.”

Kosmo

Izzat Anjur Bengkel Penampilan, Kecantikan

2 Jan


BARISAN tenaga yang menguatkan Izatt Artistic Team iaitu Tona Nordin, Izatt Sharif dan Nasha Naslimey Aziz.

DUNIA terus dibanjiri kelahiran bakat baru, namun hanya beberapa nama saja yang mampu menyinar, selebihnya hadir sekadar menyapa kemudian tenggelam kerana gagal memberikan kesan kepada penggemar.

Selain bakat, penampilan juga memainkan peranan penting untuk memancing hati peminat. Lihat saja artis yang menempa nama serta mampu bertahan lama seperti Ziana Zain, Erra Fazira, Fauziah Latiff dan Camelia.

Antara punca yang dikenal pasti menyumbang kepada kelemahan itu adalah ketiadaan pengurusan yang cekap, selain penampilan diri dan imej yang kurang dititikberatkan.

Menyedari kekurangan itu, perunding imej artis terkenal, Izatt Sharif menerusi syarikatnya Izatt Artistic Team mengundang mereka dan syarikat pengurusan berminat untuk menyertai Bengkel Tatarias dan Etika Permulaan Perniagaan pada 3 Januari ini (esok) di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Selain Izatt yang berpengalaman luas menata gaya dan imej artis, program itu akan turut dijayakan dua lagi nama yang sememangnya tidak asing lagi dalam bidang hiburan.

“Nasha Naslimey Aziz yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam tatarias akan berkongsi pelbagai panduan mengenai solekan bersama peserta bengkel, manakala Mohd Azmi Kassim atau Amie pula menyentuh mengenai isu perniagaan dalam bidang kecantikan,” kata Izzat.

Bengkel sehari yang diiktiraf Unit Latihan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu turut diserikan dengan panduan kecantikan daripada artis terkenal seperti Umie Aida, Zahida Rafik, Sharifah Shahora dan Melissa Saila.

Pada bengkel itu kata Izatt, Nasha akan menekankan kepada tiga aspek asas solekan iaitu mengubah wajah menerusi teknik solekan, solekan pengantin serta dandanan ke tempat kerja harian.

Selain itu, katanya, mereka juga akan berkongsi pengalaman membina kemahiran dan keyakinan diri untuk memulakan perniagaan dari rumah.

“Secara tidak langsung, peserta akan dapat manfaat menerusi bengkel ini selain dapat membantu mereka menambah pendapatan dengan kemahiran yang dimiliki,” katanya.

Izatt berkata, kebanyakan artis berpendapat mereka perlu kelihatan cantik dan bergaya hanya apabila muncul di pentas tanpa menyedari ia sebenarnya adalah satu produk yang perlu dipromosikan dengan berkesan.

“Bengkel itu juga mengingatkan artis akan kepentingan menjaga imej dan memilih gaya serta solekan yang tepat apabila menghadiri sesuatu majlis supaya mereka menjadi tumpuan lensa kamera.

“Acap kali selesai sesuatu acara berprestij, sesetengah artis menjadi sasaran kecaman media kerana gagal memilih gaya serta pakaian bersesuaian untuk ke majlis yang dihadiri. Situasi itu cukup menyedihkan sedangkan ia boleh dielakkan jika mereka bijak memilih pakaian serta solekan yang bersesuaian,” katanya.

Tambah Izatt lagi, artis juga perlu menyemat dalam fikiran diri mereka sendiri adalah satu perniagaan, justeru perlu tahu selok belok cara berurusan dengan institusi kewangan.

Perkara ini, katanya, akan dijelaskan secara terperinci pada bengkel itu sekali gus menjawab segala kekeliruan malah membantu melahirkan generasi seni yang berwawasan dan bercita-cita tinggi untuk maju dalam industri hiburan.

YURAN penyertaan sebanyak RM350 dikenakan untuk bengkel yang menerima tajaan solekan daripada MAC dan Tri-Aktiline. Mereka yang berminat, hubungi 03 92838591 atau 0192161088.

Berita Harian

Wajah Lebih Anjal

22 Dec

Lapan daripada 10 pengguna setia Facial Treatment Essence SK-II mengakui ia adalah pelaburan penjagaan kulit terbaik pernah mereka lakukan.

NAMA rangkaian penjagaan kulit mewah SK-II bukanlah satu jenama asing di persada kosmetik antarabangsa, termasuk Malaysia. Lebih 20 juta botol produk popular SK-II, Facial Treatment Essence telah dijual di serata dunia setakat ini. Malah, dianggarkan sebotol esen rawatan muka itu dijual pada setiap 28 saat.


PENGGUNAAN produk SK-II terbukti menghasilkan kulit yang lebih anjal dan berseri.

Jutaan wanita di seluruh dunia telah merasai keajaiban produk ikonik yang formula ramuannya kekal tidak berubah sejak pelancaran botol pertama pada tahun 1980.

Dengan sejarah yang hampir mencecah 30 tahun dan terdapat jutaan pengguna di seluruh dunia, masanya kini tiba untuk kita mengkaji manfaat penggunaan Facial Treatment Essence SK-II bagi jangka masa panjang oleh setiap pengguna.

Justeru, satu kajian yang melibatkan pengguna setiap produk tersebut telah dilaksanakan di negara kelahirannya, Jepun.

Kajian yang telah dilaksanakan pada awal tahun ini di Tokyo membuktikan bahawa kulit pengguna SK-II lebih bersih dan anjal dalam jangka panjang berbanding mereka yang bukan pengguna SK-II.


DIANGGARKAN sebotol esen rawatan muka SK-II dijual pada setiap 28 saat di seluruh dunia.

Ia melibatkan 95 pengguna yang telah menggunakan produk itu selama lima tahun ke atas dan 210 wanita lain yang bukan pengguna SK-II.

Dalam kajian itu, kulit setiap wanita tersebut telah diukur tekstur, warna dan keanjalannya di samping membuat perbandingan terhadap persepsi penggunaannya dalam kalangan mereka.

Pengurus Jenama SK-II, Kaewta Tachamahachai berkata: “Kami sangat gembira apabila kajian ini telah mengesahkan apa yang kami yakini selama ini di mana keghairahan pengguna setia dan komitmen mereka akan menghasilkan kulit yang lebih bersih dan bermaya.”

Tambah beliau, daripada kajian tersebut, lapan daripada 10 pengguna setia Facial Treatment Essence SK-II mengakui bahawa ia adalah pelaburan penjagaan kulit terbaik pernah mereka lakukan.

Kajian yang julung kali diadakan oleh SK-II itu telah dianjurkan dengan bimbingan ahli dermatologi dari Universiti Massachusetts, Amerika Syarikat, Dr. Alexis Claire Perkins.


PENYANYI popular Fauziah Latiff turut menjadi pengguna setia produk SK-II.

Dr. Perkins yang mempunyai pengalaman luas dalam penyelidikan klinikal telah memberikan pengawasan objektif bagi memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Ia telah membangkitkan minat saya kerana bukan selalu anda akan menemui satu produk penjagaan kulit yang tidak mengubah formulanya selama 30 tahun.

“Minat saya khusus terhadap bagaimana panel-panel terlibat menunjukkan manfaat tempoh lama dalam pelbagai sudut seperti kawalan sebum, keanjalan dan kepejalan kulit serta aras kelembapan,” kata beliau.

Seperti yang kita tahu, tambah wanita itu, kulit mengambil masa yang amat lama untuk beralih dan kebanyakan produk tidak mempunyai keberkesanan dalam masa beberapa bulan.


PRODUK SK-II telah digunakan oleh jutaan wanita di seluruh dunia.

“Oleh itu, adalah unik apabila melihat individu kekal dengan amalan yang sama buat satu jangka masa lama. Ini boleh memberikan kita gambaran sebenar keberkesanan sesuatu produk.”

Sementara itu, aktres antarabangsa kelahiran Malaysia, Sinje akan berada di Kuala Lumpur untuk menjayakan majlis pelancaran SK-II Pittera Gallery pada 9 Januari ini. Majlis itu akan berlangsung di South Court Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada pukul 6 petang.

Menurut Tachamahachai lagi, SK-II Pittera Gallery adalah simbol komitmen sepenuh hati daripada jutaan wanita yang mementingkan penjagaan kulit mereka.

Dalam majlis itu kelak, Sinje yang pernah menerima anugerah antarabangsa seperti Pelakon Terbaik Golden Horse Award dan anugerah Bakat Baru Piper Heidsieck di Festival Filem Berlin 2001 akan berkongsi pengalamannya menggunakan produk kecantikan SK-II dalam tempoh yang singkat.

“Pelawat yang datang ke SK-II Pittera Gallery akan turut berpeluang berjumpa dengan kaunselor kecantikan kami untuk mendapatkan khidmat rundingan bagaimana memulakan komitmen terhadap penjagaan kulit,” tambah Tachamahachai.

Kosmo

Sistem Jana Pendapatan Artis

17 Dec

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BARISAN artis yang menjayakan program menjana kecemerlangan ekonomi artis menerusi Konsortium Stars2u Sdn Bhd.

Penubuhan Konsortium Starts2u diharap membantu perbaiki ekonomi anak seni

JARANG sekali isu ekonomi yang acap kali dibangkitkan penggiat seni kebelakangan ini diberi perhatian, terutama daripada persatuan hiburan, sebaliknya topik itu terbiar tanpa sebarang pembelaan.

Hakikatnya ketika industri hiburan berkembang mekar, nama mereka yang sedang meniti populariti ini turut memberi sumbangan besar dalam memacu ekonomi negara.

Bagaimanapun, apabila situasi industri hiburan mengalami penguncupan dan kemerosotan, kelompok yang selama ini disanjung atas sumbangan besar mereka seolah-olah terbiar tanpa pembelaan.

Malah luahan hati mereka yang diabaikan tanpa ada sebarang usaha positif untuk memperbaiki taraf ekonomi penggiat dunia hiburan, hanya tinggal luahan, tanpa sebarang tindakan diambil.

Bahkan sesetengah persatuan hanya mampu bersuara tanda prihatin terhadap isu yang dibangkitkan, malangnya tidak mampu berbuat apa-apa atas pelbagai faktor yang menghalang.

Menyedari hakikat pendapatan golongan penggiat seni semakin tidak seimbang, ditambah faktor ekonomi semasa yang berdepan masalah kegawatan mencetuskan idea kepada Datuk Aziz Bakar untuk menubuhkan Konsortium Stars2u Sdn Bhd.

Sebagai pengasas juga pencetus idea penubuhan konsortium itu, Aziz yang lebih 20 tahun bergelumang dalam industri hiburan berkata, sudah lama beliau menyimpan niat untuk membantu memperbaiki ekonomi penggiat seni.

Katanya, sepanjang dua dekad dalam industri hiburan, bahkan menyaksikan sendiri naik turun perjalanan hidup insan seni tetapi jarang sekali isu penting itu disentuh oleh mereka yang berkaitan.

“Dalam situasi pasaran industri hiburan terutama muzik yang semakin mencabar membuatkan saya tergerak untuk menubuhkan konsortium ini.

“Mengapa tidak saya mewujudkan satu jaringan perniagaan membabitkan kelompok artis, sekali gus menjana kecemerlangan ekonomi mereka menerusi kerjasama dengan syarikat pemasaran multi level Uptrend Network Sdn Bhd,” katanya.

Aziz berkata, idea penubuhan konsortium itu digerakkan hasil perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Uptrend 2u, Datuk Susie Yoh serta Presidennya, Gary Gan.

Saling mengenali sejak empat tahun lalu, beliau yakin dengan kewujudan jaringan perniagaan pintar ini apabila melihat rekod serta prestasi yang ditunjukkan syarikat itu.

“Perniagaan itu sudah berjaya melahirkan 48 jutawan Melayu dan dua daripada mereka ialah anak seni iaitu ND Lala dan komposer, Rosli Selasih.

“Melihat kejayaan mereka membuatkan saya tergerak mempelajari asas perniagaan ini. Ia tidak perlukan modal besar namun menjana pulangan lumayan jika berusaha keras membinanya.

“Melihat kepada populariti yang dimiliki anak seni, mereka tiada masalah membina rangkaian perniagaan sendiri dan yakin usaha ini akan membenihkan kejayaan,” katanya.

Aziz berkata, jaringan perniagaan pintar ini juga membuka ruang kepada masyarakat untuk menyokong apa yang dijalankan menerusi e-networking.

Menerusi jaringan itu, artis serta masyarakat juga boleh berhubung untuk terus mencambahkan aktiviti Keusahawanan Siber menerusi jualan serta pembelian secara talian (online) dan luar talian (offline).

Konsep jaringan pintar itu secara tidak langsung akan menjana serta mempertingkatkan ekonomi kedua-dua belah pihak.

“Kerjasama ini dapat mewujudkan sistem perniagaan yang harmoni, justeru membuka lembaran baru antara artis dan peminat. Ini adalah salah satu langkah penyatuan integrasi perniagaan yang bakal mengubah kedudukan ekonomi kita,” katanya.

Buat permulaan, seramai 16 artis terpilih untuk menjayakan projek itu iaitu M Nasir, Ramli Sarip, Fauziah Ahmad Daud, Awie, Nash, Afdlin Shauki, Fauziah Latiff dan Bob Lokman. Turut terbabit ialah Sabri Yunus, Wan Nor Azlin, Jehan Miskin, Farahdhiya, Ali Bakar, Rosli Selasih, Salman Shariff dan Soosan Hoh.

Majlis yang sama turut menyaksikan upacara memeterai perjanjian antara wakil Konsortium Statrs2u Sdn Bhd, Bob Lokman dan Susie yang juga Pengarah Uptrend Network disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Turut disempurnakan pada majlis itu adalah pelancaran produk makanan tambahan Herbavescent yang menggabungkan kepakaran dua benua iaitu Asia dan Eropah menggunakan estrak buah-buahan dan herba bersama teknologi effervescent dari Eropah.

Berita Harian

Fazura, Nora Danish Jual Kek Coklat

21 Nov

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
BUKAN mudah untuk menyatukan dua bintang muda yang cukup popular ini. Jika, Nur Fazura Sharifuddin (Fazura), 25, terlalu sibuk di lokasi penggambaran, Nora Mohd Danish Hanif (Nora), 26, sejak berbadan dua lebih selesa menjalani kehidupan jauh dari limpahan cahaya populariti.

Namun, mereka bersatu dalam acara amal iaitu Kejohanan Kek Coklat yang diadakan Sabtu (22 November) ini dari jam 3petang hingga 5 petang bertempat di ruang legar, Great Eastern Mall, Jalan Ampang.

Nora berkata, biarpun ketika ini senang berehat di rumah bersama keluarga namun itu tidak bermakna dia menolak untuk menghadiri majlis amal yang mampu memberi faedah kepada semua.

“Saya memang sukakan kek coklat dan berbesar hati apabila terpilih menjadi seorang selebriti yang menjayakan acara ini.

“Dengan keadaan sekarang, kalau ikutkan memang sudah tidak larat ke sana ke mari namun, mengenangkan persahabatan yang terjalin antara kami dan sememangnya sejak dulu suka bekerja dengan Bill Bora, saya terima pelawaan ini.

“Apatah lagi, ia satu usaha murni kerana wang dari hasil jualan kek akan disalurkan ke Tabung Perlindungan Kanak-Kanak dibawah naungan Great Eastern. Jadi dapatlah, semua yang terbabit berbuat kebaikan sempena sambutan Hari Raya Haji tidak lama lagi.

“Di majlis itu nanti, walaupun saya dan Fazura tidak membuat kek kami berdua akan menjual sebanyak yang mungkin malah, saya akan mengajak kawan-kawan datang memberi sokongan terhadap acara ini,” katanya.

Sementara itu, Fazura pula memaklumkan sesibuk manapun jadual penggambarannya jika sesuatu majlis membabitkan kerja amal dia akan sedaya-upaya memberikan komitmen.

“Bukan selalu kita dapat berbakti kepada masyarakat dan program seperti inilah seharusnya dimanfaatkan selebriti tempatan untuk membuktikan keprihatinan mereka terhadap insan yang kurang bernasib baik di luar sana.

“Kesibukan juga mengehadkan ruang pergaulan artis dan acara sebegini pada pandangan saya turut mengeratkan hubungan sesama artis dan peminat.

“Harapan saya kalau kek yang kami jual tidak muncul pemenang kek terbaik sekalipun, yang penting biarlah jualannya yang paling laris agar hasil kutipannya nanti dapat membantu dana Tabung Perlindungan Kanak Kanak.

“InsyaAllah saya dan Nora akan lakukan strategi terbaik untuk Hotel Legend,” katanya baru selesai menjalani penggambaran filem, Pisau Cukur.

Sebanyak 14 hotel bertaraf lima bintang terbabit dalam acara Kejohanan Kek Coklat yang mula diperkenalkan pada 2006.

Jika Nora dan Fazura mewakili Hotel Legend Kuala Lumpur, pasangan suami-isteri romantis, Erra dan Engku Emran pula memperkenalkan kek coklat Hotel Equatorial, Mawi/Ikin (Palace Of Golden Horses), Fauziah Latiff/Ning Baizura (Hotel Mandarin Oriental), Eja/Fahrin (Crowne Plaza), Rashidi Ishak/Vanidah Imran (Hotel Istana), Deborah Henry (Nikko), Alan Yun/ Henry Golding (Prince), personaliti ntv7 (Parkroyal), Diana Danielle/Liyana Jasmay/Juliana Evans/Hafiz (Berjaya), Noryn Aziz/Bill Keith/Pushpa Narayan (Grand Mellinium), Tony Eusof/Jehan/Cheryl Samad (Renaissance), Marion Caunter (Le Meridien) termasuk Natasha Hudson/Nubhan/Nikki (Sunway).

Publisis Industri Fesyen dan Hiburan, Bill Bora, berkata, uniknya mengenai acara kali ini menampilkan selebriti sebagai jurujual untuk mengumpul dana Tabung Perlindungan Kanak-Kanak.

“Jika tahun lalu, pembabitan selebriti lebih sebagai juri, untuk anjuran kali ini mereka sendiri mewakili hotel yang terpilih untuk menjual kek. Harga bagi sepotong kek, bermula dari RM15 hingga RM25 sekeping dan 100 peratus jualannya akan disalurkan kepada dana berkenaan.

“Kita lebih menumpukan kutipan dana untuk kanak-kanak khususnya dari golongan miskin yang memerlukan bantuan kewangan. Apabila menganjurkan kutipan dana ia tidak semestinya membabitkan majlis yang besar dengan mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi.

“Konsep sebeginilah di mana selebriti memainkan peranan kepada masyarakat dengan mengajak peminat menyertai acara amal disamping itu dapat beramah mesra.

“Untuk pengetahuan ramai, acara terdahulu tiada penjualan kek dilakukan. Namun, berdasarkan sambutan hangat yang diberikan, kami terfikir mengapa tidak kek-kek itu dijual sekurang-kurangnya daripada hasil penjualan berkenaan boleh dijadikan sumbangkan amal,” katanya.

Dua tahun sudah, Ritz Carlton memenangi kategori Kek Terbaik sekali gus muncul juara keseluruhan. Sementara itu, Hotel Regent yang kini dikenali sebagai Grand Millenium mengungguli kategori Kek Coklat Paling Kreatif.

Harian Metro

Gembira Watak Nurin Amira Diiktiraf

21 Nov

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

BERSAMA Chef Kumaran yang akan menyediakan kek coklat untuk acara itu.

Vanidah Imran bersyukur apabila diangkat sebagai Aktres Pilihan Juri Anugerah Oskar

FILEM Akhirat yang dibintanginya mungkin tidak secemerlang filem The Red Kebaya yang berjaya menobatkannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke -20 yang berlangsung di Pulau Pinang tahun lalu.

Malah, sewaktu Festival Filem Malaysia ke 21 yang lalu, Vanida Imran gagal mempertahankan anugerah yang dimenanginya itu apabila tewas di tangan Maya Karin yang menunjukkan lakonan mantap menerusi filem Anak Halal.

Mungkin kekalahan itu sedikit mengecewakan Vanida atau lebih akrab di sapa Vee yang juga menunjukkan lakonan yang mengesankan sebagai Nurin Amira, seorang pesakit AIDS. Mana tidaknya, bukan mudah untuk membawakan watak itu.

Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan Vee antaranya dia perlu mengurangkan berat badannya supaya wajahnya nampak lebih cengkung sekali gus menampakkan ciri-ciri sebenar seorang pesakit AIDS. Itulah kesungguhan serta komitmen Vee demi filem Akhirat.

Bagaimanapun, doa Vee bagaikan terjawab apabila masih ada pihak yang memandang kesungguhannya itu apabila watak Nurin Amira diangkat sebagai Aktres Pilihan Juri sewaktu Anugerah Oskar yang berlangsung di Hotel Nikko malam Sabtu lalu.


VEE bersama anugerah Oskar yang dimenanginya tempoh hari.

“Saya memang tak sangka langsung yang saya akan menang pada malam itu. Apapun, saya bersyukur kerana akhirnya ada pihak yang memandang usaha saya membawakan watak pesakit AIDS. Dan dengan kemenangan ini sekurang-kurangnya memberikan kegembiraan kepada mereka yang selama ini banyak membantu saya untuk menghidupkan lagi watak Nurin Amira itu,” ujar Vee yang ditemui Hip baru-baru ini.

Turut menemaninya di sisi adalah suaminya, pelakon Rashidi Ishak.

Mengakui menerima khabar gembira itu dari sahabatnya, Bill Bora, Vee berkata kegagalannya untuk menghadiri acara itu bukanlah disengajakan.

“Kebetulan saya terbabit dengan acara promosi susu Dumex di Sabah pada masa itu. Lagipun ia sudah dipersetujui awal. Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit termasuk di belakang tabir pembikinan filem ini,” kata pelakon jelita ini sambil menggenggam erat trofi di tangannya.

Walaupun kemenangan itu diiktiraf namun ada juga cakap-cakap belakang yang mengatakan kemenangan Vee itu boleh dipertikaikan kerana pengarah filem Akhirat, Syed Mohamed Hassan Benyahya , juga adalah presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia yang menjadi penganjur utama kepada Anugerah Oskar.

Walaupun pada permulaannya, Vee enggan mengulas lanjut perkara itu kerana bimbang akan disalah tafsirkan pelbagai pihak, namun katanya pertikaian itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau kita lihat anugerah ini sendiri dipilih oleh juri dan kebanyakan juri itu adalah yang bertauliah serta diiktiraf kerana mereka terdiri dari pelbagai latar dan bidang. Jadi, saya rasa tidak timbul isu seperti itu di sini,” balasnya tenang.

Sementara itu, pasangan suami isteri ini akan mewakili Hotel Istana untuk acara amal Celebrity Chocolate Cake Sales For Children yang akan berlangsung di Concourse Area, Great Eastern Mall, Jalan Ampang Sabtu ini. Pada acara itu, Vee dan Shidi akan menjual kek coklat hasil masakan Chef Kumaran Arumugam yang berharga RM15 ringgit sepotong.

“Di situ nanti mana-mana peminat yang ingin bergambar dengan kami bolehlah membeli kek itu. Jadi kata orang sambil bergambar, mereka juga boleh beramal kerana hasil kutipan jualan kek itu nanti akan digunakan untuk membantu kanak-kanak yang malang,” ujar Vee yang mengakui cukup handal membuat kek coklat.

Ditanya apakah strategi yang akan dilakukan untuk membuatkan kek coklatnya itu habis dijual, Vee berkata perkara itu masih belum difikirkan lagi.

“Biasanya bila sudah tiba harinya barulah idea itu akan datang secara spontan. Jadi saya harap, mana-mana peminat yang ingin bertemu kami, datanglah pada hari itu. Bukan saja kami, malah ada ramai selebriti lain yang turut berada di situ bagi memeriahkan acara berkenaan,”ujar Vee.

Selain Vee dan suami, turut menjayakan acara itu ialah Fauziah Latiff dan Ning Baizura mewakili Hotel Mandarin Oriental; Eja dan Fahrin (Crowne Plaza); Tony Eusoff, Cheryl Samad dan Jehan Miskin (Renaissance Hotel) serta Amber Chia dan Marion Caunter (Le’Meridien Hotel).

Berita Harian