Archive | Jennifer Lopez RSS feed for this section

Dua Jennifer Bermasam Muka

27 Apr


Jennifer Lopez (kiri) dan Jennifer Aniston

LOS ANGELES: Dua aktres terkemuka Hollywood yang berkongsi nama depan sama, Jennifer Lopez dan Jennifer Aniston, dilaporkan bermasam muka gara-gara plot filem hampir serupa yang bakal dilakonkan kedua-duanya.

Malah Lopez yang dikenali dengan gelaran JLo bertindak lebih berani menuduh aktres kesayangan Amerika Syarikat itu mencuri plot filem yang menandakan kepulangan semula bintang berdarah Latin itu ke dunia perfileman.

Selepas memberi tumpuan kepada karier muzik dan menjadi ibu, JLo, berhasrat untuk kembali ke layar perak dengan filem Plan B, berkisar mengenai seorang wanita yang cuba hamil.

Bagaimanapun, pelakon itu dilaporkan amat marah dengan hakikat bintang sitkom Friends itu mencuri ideanya untuk membintangi filem hampir serupa bertajuk The Baster.

Pergaduhan dua Jennifer itu seakan tidak boleh dielakkan kerana JLo juga dikatakan bimbang filem dibintangi Aniston akan membayangi filemnya.

“JLo tidak mahu Aniston membayanginya. Memang wujud ketegangan dengan JLo menuduh Jennifer mencuri ideanya,” kata sumber.

Dalam perkembangan lain, JLo memberitahu penonton rancangan Good Morning America anak lelakinya, Max, memang lasak dan suka berlari sedangkan kembarnya, Emme, cenderung berhati-hati.

Kedua-dua bayi kembar berusia 14 bulan itu juga sudah mempunyai perkataan kegemaran di kalangan perbendaharaan kata terhad iaitu mama.

“Ada dada, ada mama. Mama apabila mereka mahukan sesuatu, dada pula untuk gembira sepanjang hari,” katanya. -Agensi

Berita Harian

Gwyneth Paltrow Ada Musuh Dalam Selimut

23 Apr


Gwyneth Paltrow

Aktres terkenal AS dedah pengalaman disakiti orang disangka sahabat baik

LOS ANGELES: Aktres yang pernah menggenggam trofi Oscar, Gwyneth Paltrow, mendedahkan peribadi buruk seorang selebriti lain yang pernah menjadi rakannya dan menyifatkan individu tidak dinamakan itu sebagai ‘penuh hasad dengki dan bahaya kerana berusaha keras menjatuhkan imejnya.’

Dakwaan mengejutkan pelakon itu disuarakan di laman web peribadinya mengenai seseorang yang dirujuk sebagai ‘frenemy’ – bermakna musuh menyamar sebagai rakan.

Dalam kenyataan itu, aktres yang membintangi ‘Iron Man’ berusia 36 tahun berkenaan turut meluahkan perasaan ‘amat lega dan gembira’ apabila mengetahui bekas rakannya itu sudah mendapat malu.

Walaupun tidak menyebut nama, ramai peminat percaya komen itu dituju kepada aktres jelita, Winona Ryder, yang pernah menjadi kawan rapat Paltrow.

Mereka dilaporkan bergaduh selepas Paltrow menang Oscar sebagai aktres terbaik menerusi filem ‘Shakespeare In Love’ pada 1998 – peranan yang dipercayai ditawarkan terlebih dulu kepada Ryder.

Karier Ryder sendiri terjejas teruk apabila dia disabitkan bersalah atas dakwaan mencuri di sebuah kedai di Los Angeles.

Dalam laman webnya, ‘goop.com’, Paltrow berkata: “Tidak lama dulu, saya mempunyai seorang musuh menyamar rakan yang sebaliknya cuba menjatuhkan saya. Individu itu membuat apa saja untuk menyakitkan saya.

“Saya amat kecewa, marah dan pelbagai perasaan lagi bercampur aduk apabila mendapati seseorang yang anda suka sebenarnya penuh dengan hasad dengki dan memberi ancaman peribadi.

“Saya dapat menahan diri daripada membalas perbuatannya. Tetapi, satu hari saya mendengar sesuatu memalukan berlaku kepadanya dan reaksi saya ialah amat lega dan gembira.”

Seorang lagi bintang yang dipercayai ‘frenemy’ ialah Jennifer Lopez, yang pernah bertunang dengan pelakon Ben Affleck selepas aktor itu berpisah dengan Paltrow.

Jurucakap Paltrow berkata: “Gwyneth tidak menyebut nama tetapi berkongsi pengajaran daripada pengalamannya.” – Agensi

Berita Harian

Katrina Kaif Miliki Punggung Idaman

15 Apr

MUMBAI: Pelakon jelita Bollywood, Katrina Kaif, mendapat satu lagi pengiktirafan apabila diundi memilik punggung paling seksi, meninggalkan nama besar Hollywood seperti Jennifer Lopez, Jessica Biel, Beyonce Knowles selain selebriti Bollywood sendiri termasuk Malaika Arora dan Yana Gupta.

Malah, pelakon yang tidak kisah menjayakan adegan sensasi, Mallika Sherawat, jelas tidak mampu menyaingi Katrina.

Bagaimanapun, pelakon kelahiran Britain itu terpaksa mengaku kalah kepada aktres Priyanka Chopra yang dipilih memiliki bibir paling memberahikan.

Katrina juga muncul selebriti kegemaran pengundi yang mahu dilihat menjadi duta minuman ringan. Bagaimanapun, dia berdepan saingan sengit daripada pelakon Deepika Padukone, Asin dan Genelia D’Souza, yang mewakili minuman berkarbonat berbeza. – Agensi

Berita Harian

Lidah Paling Mahal

5 Apr

Oleh Hazirah Che Sab
bminggu@bharian.com.my

Pelicia perlu merasa sehingga 5,000 jenis kopi bagi tujuan pengkelasan.

LANGKAH mengambil insurans sememangnya satu keperluan sebagai jaminan apabila berlakunya kecelakaan dalam sekelip mata. Tidak hairanlah jika ada yang sanggup mengambil lebih daripada satu polisi insurans bagi memaksimumkan pampasan.

Namun, tahukah anda mengenai tindakan segelintir insan yang sanggup melaburkan sejumlah wang besar semata-mata untuk mengambil insurans bukan bagi nyawa atau harta benda sebaliknya bagi bahagian tertentu tubuh?

Inilah yang dilakukan rangkaian restoran Costa Coffee di London yang sanggup memperuntukkan sehingga ΰ10 juta (RM50 juta) untuk melindungi lidah pekerja yang bertugas sebagai ‘pakar rasa kopi’.

Individu yang dimaksudkan ialah Gennaro Pellicia. Tindakan majikannya bukanlah mencari populariti atau mencipta sejarah, sebaliknya menjadi cara penting bagi memastikan lidah pemuda itu sentiasa dalam keadaan baik untuk membolehkan ia mampu membezakan ratusan jenis kopi yang dijual.

Pelliccia bertanggungjawab di atas rasa 108 juta cawan kopi Costa Coffee yang dijual di Britain setiap tahun.

Polisinya dengan firma insurans Lloyd’s of London menjadikan lidahnya dua kali lebih berharga dari senyuman bintang Ugly Betty, America Ferrera dan satu persepuluh satu peratus daripada keseluruhan tubuh pemain bola sepak terkenal, David Beckham.

Pelliccia, 34, yang perlu merasa beratus-ratus biji kopi kisar di rangkaian restoran itu di Lambeth, selatan London, juga perlu melakukan pengorbanan berikutan tuntutan kerja uniknya itu. Ini termasuk menjauhi makanan terlalu panas kerana berisiko melecurkan lidahnya.

Beliau juga dilarang menikmati kari dalam masa dua hari sebelum musim merasa kerana dibimbangi rempah ratus itu boleh menjejaskan sensitivitinya.

Dengan 5,000 jenis kopi perlu dirasa dan dikelaskan oleh Pelliccia setiap tahun, pegawai atasan Costa memutuskan lidah pemuda itu berbaloi untuk setiap sen yang dikeluarkan.

“Pengalaman selama 18 tahun membolehkan saya membezakan antara beribu perisa. Lidah juga membolehkan saya membezakan sebarang kecacatan, yang membenarkan saya melindungi dan menjamin campuran Mocha Italia unik Costa,” kata Pellicia.

Walaupun mempunyai sepasukan ‘tukang rasa’ yang bekerja untuknya, Pelliccia, secara peribadi merasa setiap kumpulan biji kopi mentah yang melalui pemanggang di restoran itu.

Costa juga yakin lidah milik Pelliccia yang bertanggungjawab di atas rekod kejayaan dalam ujian merasa jenama baru-baru ini. Pengarah Urusan Costa Coffee, John Derkach, berkata Pelliccia adalah ‘elemen penting’ dalam perniagaan syarikat itu.

Hakikatnya, Pelliccia bukan berseorangan dalam situasi yang bagi kebanyakan orang lain tidak masuk akal, tetapi sekadar menambah senarai panjang golongan selebriti dan bukan selebriti yang berlumba-lumba mengambil insurans bagi melindungi aset tubuh masing-masing.

Beliau masih kalah dibandingkan dengan jumlah insurans keseluruhan tubuh Beckham, yang dilaporkan ΰ40 juta (RM200 juta), dipercayai polisi insurans paling tinggi bagi set bahagian tubuh walaupun cuma kakinya yang banyak membantu bekas kapten England itu mengumpul kekayaan.

Lebih melucukan ialah tindakan penari bogel lelaki Britain, Frankie Jakeman, yang mengambil polisi bernilai ΰ1.2 juta (RM6 juta) untuk kemaluannya pada tahun 1987.

Di kalangan selebriti Barat, mempertaruhkan sejumlah wang besar untuk melindungi bahagian tertentu tubuh mereka bukan lagi asing apatah lagi bahagian itu menjadi sumber pendapatan mereka yang mencecah puluhan, ratusan atau ribuan juta dolar.

Penyanyi dan pelakon berketurunan Latin, Jennifer Lopez, baru-baru ini dilaporkan mengambil polisi sehingga AS$1 bilion (RM3.6 bilion) untuk payu dara, kaki, belakang, rambut dan berat badannya. Walaupun ia disangkal oleh bintang ‘Maid in Manhattan’ itu, ia sekali gus menjadi bukti betapa selebriti sanggup berhabisan melindungi aset mereka walaupun bagi kebanyakan orang, ia mungkin kerja gila.

Nyata JLo itu bukan berseorangan dalam mengambil insurans untuk melindungi asetnya walaupun mungkin tidak mencecah berbilion dolar kerana menyertainya ialah senarai panjang selebriti dan tokoh lain yang bertindak luar jangkaan demi melindungi kepentingan masing-masing.

Nama besar lain dalam dunia selebriti Barat yang tidak teragak-agak melabur sejumlah wang untuk pulangan lebih lumayan jika kecelakaan menimpa ialah pemain gitar kumpulan Rolling Stones, Keith Richards yang mengambil insurans bernilai ΰ1.5 juta (RM7.6 juta) untuk tangannya manakala penyanyi Dolly Parton melabur ΰ350,000 (RM1.7 juta) iaitu lebih ΰ8,000 (RM40,000) setiap inci payu daranya.

Tindakan mereka mungkin kelihatan tidak masuk akal kerana tiada guna menentang hukum alam yang jelas membuktikan muda pasti bertemu tua, tegang akan mengendur dan gagah beransur lemah. Namun apabila bertuhankan wang dan kemewahan, apa saja akan dilakukan demi memastikan kehilangan mereka dari pentas kemasyhuran tidak menjejaskan gaya hidup yang dijalani selama ini.

INFO: Insurans anggota tubuh

Bintang bola sepak David Beckham mengambil insurans bernilai RM200 juta bagi badannya, dipercayai polisi insurans paling tinggi pernah dibuat bagi tubuh

Pelakon dan penyanyi berketurunan Latin, Jennifer Lopez, mengambil polisi sehingga RM3.6 bilion untuk payu dara, kaki, bahagian belakang, rambut dan berat badannya.

Pemain gitar kumpulan Rolling Stones, Keith Richards mengambil insurans RM7.6 juta untuk tangannya.

Penyanyi Dolly Parton melabur RM1.7 juta, iaitu lebih RM40,000 bagi setiap inci payu daranya.

Berita Harian

Jiwa Penyayang

14 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff (Yang mengikuti sesi temu bual bersama pelakon Race to Witch Mountain di Hong Kong)
nurul@bharian.com.my

BABAK menarik dalam filem Race To Witch Mountain.

DILIHAT pada bentuk fizikalnya, pasti peminat tidak membayangkan betapa Dwayne Johnson sebenarnya seorang lelaki yang penuh dengan kasih sayang. Pada zahirnya, dia memang lelaki bertubuh tegap, sesuai pembabitannya selama sedekad dalam sukan bola sepak Amerika serta dunia gusti profesional kemudiannya.

Usah menilai aktor yang dikenali sebagai The Rock pada era kerjaya gusti di WWE ini pada tegap tubuhnya saja. Melihat kerja kebajikan yang dilakukannya, terutama untuk golongan kanak-kanak, Johnson sebenarnya insan yang mudah tersentuh. Tersembunyi jiwa yang cukup halus di sebalik badan sasa pelakon ini.

Pada 2006, Johnson mengasaskan yayasan diberi nama The Dwayne Johnson Rock Foundation, yang amat dikenali dengan kerja kebajikan membantu kanak-kanak menghidap penyakit berbahaya.

Pada Jun tahun lalu pula Johnson dikurniakan Anugerah Horizon, pengiktirafan daripada Kepimpinan Bersama Kongres Amerika Syarikat dan Anugerah Kongres Jawatankuasa Pengarah. Ia diberikan kepada individu daripada sektor swasta yang membantu rakyat Amerika menerusi sumbangan peribadi, serta individu yang menunjukkan teladan baik untuk golongan muda menerusi kejayaan diperoleh mereka.

Pada pertemuan dengannya ketika pelakon ini singgah di Hong Kong bagi mempromosikan filem terbaru, Race to Witch Mountain, pada 18 dan 19 Februari lalu, sekali lagi Johnson memperkatakan mengenai kanak-kanak yang diakuinya cukup mudah menyentuh jiwa.

Katanya, dia berbangga apabila yayasan yang ditubuhkannya itu banyak membantu golongan kanak-kanak yang berdepan penyakit membawa maut, tidak kira di Amerika mahupun di luar benua itu.


Dwayne Johnson

“Yayasan ini bersedia bekerjasama dengan mana-mana yayasan demi membantu golongan kanak-kanak yang memerlukan. Banyak sekali faedah kita peroleh menerusi kerjasama sebegini,” katanya.

Menyentuh penderitaan kanak-kanak di Semenanjung Gaza sebagaimana disiarkan oleh media seluruh dunia, Johnson mengaku paparan sebegitu cukup sukar untuk ditelan olehnya.

“Sebagai bapa dan orang dewasa, kita sentiasa mengingati tanggungjawab untuk mempertahankan atau melindungi kanak-kanak, tanpa mengira bangsa, warna kulit atau budaya. Bagi saya, paparan yang sering kita lihat itu sememangnya amat menyentuh perasaan. Apatah lagi apabila ia membabitkan kanak-kanak,”ῠkata lelaki yang akan genap 37 tahun pada 2 Mei ini.

Katanya, dalam menghadapi kemelut seperti itu, kuasa komunikasi antara pihak yang bertelingkah cukup penting demi keamanan dan kesejahteraan insan.

Pada satu pertanyaan, Johnson berkata, sudah tentu dia ingin menjadi bapa yang cukup baik pada anak perempuannya, Simone Alexander Johnson, 8 tahun.

Mana-mana lelaki sekalipun, jelasnya, ingin menjadi bapa yang baik kepada anak-anak mereka.

Simone dilahirkan hasil perkahwinannya dengan Dany Garcia selama 10 tahun. Pasangan itu berpisah pada 2007. Berkebetulan, pelakon ini muncul dalam filem yang menggandingkannya dengan pelakon cilik sejak dua filem yang lalu.

Sebelum muncul dengan filem Get Smart pada tahun lalu, Johnson mencatat kejayaan bersama The Game Plan. Filem komedi keluarga itu mengisahkan seorang ahli sukan profesional tiba-tiba menjadi bapa kepada kanak-kanak perempuan yang tidak diketahui kewujudannya.

Dalam Race to Witch Mountain yang ditayangkan sejak 12 Mac lalu, Johnson berlakon bersama dua remaja, AnnaSophia Robb dan Alexander Ludwig. Dia beraksi sebagai pemandu teksi yang melindungi dua kanak-kanak makhluk asing yang memiliki kuasa luar biasa dalam pengembaraan mereka ke Witch Mountain. Turut berlakon dalam filem itu ialah Carla Gugino dan Ciaran Hinds.

Pada November ini, dia bakal muncul bersama sebuah lagi filem komedi keluarga membabitkan pelakon kanak-kanak berjudul Tooth Fairy. Katanya, dalam filem terbabit dia mengenakan pakaian seperti pari-pari yang digambarkannya secara berseloroh sebagai ‘ratu yang besar’.

Kesemua filem berkenaan, katanya, berlaku secara tidak sengaja. Dia tidak merancang untuk berlakon dalam filem yang berbentuk komedi keluarga semata-mata, atau karakter yang menggandingkannya dengan kanak-kanak.

“Apabila sesuatu skrip itu menyentuh hati, saya bersedia menjayakannya. Kebetulan, semua filem itu termasuk dalam kategori tadi. Saya percaya, bukan saya seorang saja yang sukakan filem sedemikian, malah penonton juga menggemarinya. Sesiapa saja boleh merasai karakter yang berubah menjadi insan lebih baik dalam sesebuah filem. Begitu juga dengan saya.

“Saya menyukai watak insan yang menggunakan pengalaman lalu sebagai pendorong untuknya menjadi lelaki lebih baik. Saya pernah melalui detik itu, apabila langkah kita dilihat tersandung, tetapi kemudian kita memperbetulkan semula untuk berjalan lebih lurus,” tegasnya.

Mengenai genre filem yang dijayakannya pula, aktor itu memberitahu, sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan, dia ingin memastikan dirinya bukan saja dikenali sebagai pelakon lasak. Justeru, dia turut membintangi filem komedi dan judul kekeluargaan. Kerana itu dia bersedia untuk muncul dalam apa saja filem termasuk muzikal dan komedi romantik.

Ditanya siapakah pelakon wanita yang dirasakan sesuai untuk bergandingan dengannya dalam filem bercorak komedi romantik, Johnson berkata, dia teringin bekerja bersama aktres yang dilihat tidak bergantung kepada orang lain serta menonjolkan keyakinan diri yang tinggi.

“Pelakon seperti Halle Berry, Jennifer Lopez dan Jennifer Garner, misalannya antara aktres yang dirasakan menepati ciri-ciri itu,” kata lelaki berasal dari Hayward, California ini.

INFO: Dwayne Johnson SEJAK kebelakangan ini, tubuh Johnson dilihat lebih kecil berbanding pada awal pembabitannya dalam lakonan. Tegasnya, dia tidak lagi berasakan dirinya perlu mempunyai tubuh sebesar dulu, sebagaimana ketika dia masih aktif dengan sukan serta dunia gusti profesional.

DIA juga gemar mengadakan latihan di luar ataupun di dalam gimnasium. Dia sanggup bangun seawal jam 5 pagi untuk bersenam kerana baginya, latihan sebegitu membolehkan dia melalui hari-harinya dengan lebih baik.

JOHNSON mengaku tidak pernah mengalami kejadian luar dugaan apabila bercerita mengenai teksi. Dalam Race to Witch Mountain, dia berlakon sebagai pemandu teksi yang membawa dua kanak-kanak asing dengan kuasa luar biasa ke suatu kawasan pergunungan bagi menyelamatkan mereka.

JIKA dia diberikan kuasa luar biasa, Johnson teringin memiliki keupayaan untuk terbang serta penglihatan x-ray.

KETIKA ini, dia dan pengarah Andy Fickman (yang mengarahkannya dalam filem Race to Witch Mountain dan The Game Plan) sedang membangunkan skrip filem aksi berlatarkan negara India.

SEWAKTU penggambaran Race to Witch Mountain, Johnson menghadiahkan Alexander Ludwig gitar miliknya sempena ulang tahun hari jadi remaja itu. Katanya, pemberian itu menjadi pengalaman cukup indah apabila Ludwig mengalirkan air mata ketika menerima hadiah itu.

Berita Harian

Info TV: Filem Menarik Di 8TV Sepanjang Bulan Ini

3 Mar


JENNIFER LOPEZ dan Ben Affleck digandingkan dalam filem menarik berjudul Gigli.

SEPANJANG Mac ini, slot Popcorn N’ Wednesday menerusi 8TV akan menyiarkan empat filem terbaik Hollywood meliputi semua genre filem.

Ia bermula dengan Funky Monkey yang akan disiarkan setiap Rabu, jam 10 malam. Ceritanya mengisahkan seorang agen CIA, Jack McCall yang ingin melepaskan seekor cimpanzi bernama Clemens dari sebuah makmal.

Clemens adalah haiwan yang dilatih dengan seni mempertahankan diri. Banyak aksi menarik dan lucu berlaku lebih lagi apabila Jack dan Clemens mendapat perlindungan dari sebuah rumah selepas melarikan diri dari makmal itu. Filem ini dibintangi oleh Matthew Modine, Roma Downey dan Seth Adkins.

Filem hebat lakonan Jennifer Lopez dan Ben Affleck berjudul Gigli pula akan disiarkan pada 11 Mac yang mengisahkan seorang pembunuh upahan yang ditugaskan untuk menculik adik kepada pegawai pendakwa raya California yang terencat akal.

Gigli melarikan beliau dari hospital mental dan menyembunyikannya di apartmen miliknya. Ricki yang juga seorang pembunuh upahan dihantar untuk memerhatikan pekerjaan Gigli supaya segalanya berjalan dengan lancar. Peristiwa lucu mula berlaku apabila kedua-duanya mula jatuh cinta.

Seterusnya pada 18 Mac pula, Secondhand Lions membawa anda mengikuti perjalanan seorang budak lelaki bernama Walter yang pemalu. Dia ditinggalkan oleh ibunya di rumah pakciknya yang agak pelik. Semua ini gara-gara ibunya ingin Walter menyiasat di mana kedua pakciknya menyembunyikan wang mereka. Ia dibintangi pelakon seperti Haley Joel Osment, Michael Caine dan Robert Duvall.

Filem terakhir untuk Mac ini ialah How to Eat Fried Worms yang akan disiarkan pada 25 Mac ini. Billy Forrester berpindah ke rumah baru bersama dengan ibu bapa dan adik lelakinya Woody. Selepas berpindah, Billy enggan ke sekolah kerana takut dibuli tetapi ibunya berjanji yang segalanya pasti berjalan dengan baik apabila beliau dapat menyesuaikan diri nanti.

Apabila tiba di sekolah, Joe Guire, Benjy, Bradley, Plug, Techno Mouth, Donny dan Twitch memberi nama baru kepada Billy iaitu Billy F. Plug dan Bradley mencuri bekal makanan Billy. Mereka kemudiannya masuk semula ke kelas dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sewaktu rehat, Plug datang ke arah Billy dan memberinya sebuah botol air yang berisi cacing tanah. Billy yang berasa tercabar memakan kesemua cacing itu.

Jangan lupa untuk menyaksikan empat filem menarik ini setiap Rabu jam 10 malam menerusi 8TV yang juga boleh disaksikan menerusi saluran Astro 708.

Berita Harian

J-Lo, Suami Saman Pengeluar Kereta Sorong

28 Feb

LONDON: Penyanyi Jennifer Lopez dan suaminya Marc Anthony menyaman syarikat Silver Cross lebih AS$30 juta (RM105 juta) selepas mendakwa firma pengeluar kereta sorong bayi itu tidak meminta izin menggunakan gambar pasangan itu dan anak kembar mereka.

Pasangan itu menyaman syarikat berkenaan kerana melanggar hak cipta di mahkamah persekutuan dan mendakwa ia menggunakan gambar mereka bersama anak dalam kereta sorong bayi Silver Cross Balmoral Pram Carriage keluaran syarikat itu.

Mengikut dokumen saman difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles Amerika, J-Lo dan Anthony mengemukakan lapan pertuduhan ke atas Silver Cross kerana menggunakan gambar pasangan itu dan anak mereka secara online tanpa kebenaran.

Antaranya, kesalahan maklumat, penyiaran maklumat palsu, pelanggaran hak cipta dan pelanggaran undang-undang sivil.

Syarikat itu didakwa mengetahui dan sengaja menyalahgunakan nama, imej dan gambar J-Lo bersama Anthony untuk memasarkan kereta sorong bayi di seluruh dunia.

“Silver Cross turut didakwa memanipulasikan reputasi pasangan itu sebagai selebriti di seluruh dunia.

“Imej ditunjukkan tidak langsung menggambarkan seolah-olah J-Lo dan Anthony mengaku dan menyokong syarikat pembekal beribu pejabat di Britain itu,” kata kenyataan dokumen itu.

Selain saman AS$5 juta (RM17.5 juta), pasangan itu turut menuntut syarikat berkenaan membayar kos peguam dan keuntungan daripada jualan produknya. – Agensi

Berita Harian

2 Wanita Hadapi Maut Kerana Suntikan Punggung

12 Feb

FLORIDA: Gara-gara mengidamkan punggung seperti dimiliki penyanyi dan pelakon berdarah latin, Jennifer Lopez, dua wanita kini berjuang untuk hidup selepas suntikan kosmetik mencantikkan punggung mereka, tidak bertindak seperti diharapkan.

Sebaliknya ia menyebabkan Andrea Lee, 30, mengalami kegagalan buah pinggang selepas ‘diracun’ dengan apa yang dipercayai silikon industri dan rakannya, Zakiya Teagle, 33, juga dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Florida selepas organ dalamannya berhenti berfungsi.

Polis di Tampa, Florida, kini memburu doktor palsu yang melakukan prosedur kosmetik itu ke atas kedua-dua wanita berkenaan.

Sharhonda Lindsay, 32, melarikan diri sebaik mangsa dikejarkan ke hospital dengan kecederaan serius disebabkan suntikan yang diberikan olehnya.

Menurut polis, Lindsay, yang tidak ada lesen perubatan atau pengalaman melakukan pembedahan kosmetik, melakukan ‘suntikan punggung’ itu di rumahnya bulan lalu.

Lee dan Teagle membayar lebih ΰ300 (RM1,562)) untuk mendapatkan siri suntikan silikon yang diharap dapat menaikkan bentuk dan saiz punggung mereka.

Rakan kedua-duanya berkata, mereka berharap untuk mendapatkan punggung seperti dimiliki Lopez.

Penyiasat berkata, Lindsay menggunakan botol plastik dan mangkuk Tupperware untuk mencampurkan cecair pepejal yang sudah larut. Seorang daripada mangsa menerima 40 suntikan dalam masa 90 minit dan seorang lagi 20 suntikan dalam lingkungan waktu sama.

Detektif berkata, kedua-dua mangsa memberitahu mereka disuntik dengan bahan silikon yang digelar ‘Hydrogel’, tetapi berasa silikon industri yang kuat digunakan untuk tujuan itu. – Agensi

Berita Harian

Lopez Bercerai Hari Valentine?

6 Jan


FOTO Jennifer Lopez dan Marc Anthony di San Juan, Puerto Rico yang dirakam Jumaat lepas.

JENNIFER LOPEZ dan suaminya, Marc Anthony baru sahaja muncul bersama pada satu majlis umum di San Juan, Puerto Rico, Jumaat lepas dan foto-foto kemesraan mereka pada acara tersebut telah tersebar ke serata dunia.

Namun, itu belum cukup menjadi bahan bukti untuk memusnahkan gosip yang bertiup kencang mengatakan rumah tangga mereka sedang bergolak.

Malah, pasangan itu dikatakan bakal berpisah sejurus menjelang Hari Valentine atau Hari Kekasih yang diraikan setiap tahun pada 14 Februari.

Khabar angin mengenai pergolakan rumah tangga Jennifer dan Anthony mulai tercetus sebaik Jennifer dirakam tidak menyarungkan cincin perkahwinann pada satu majlis tayangan perdana Disember lepas, sedangkan beberapa bulan sebelum itu iaitu pada Oktober, pasangan itu baharu sahaja memperbaharui semula ikrar perkahwinan mereka.

Biarpun jurucakap mereka menafikan mengenai gosip tersebut, namun akhbar New York Daily melaporkan bahawa perpisahan Jennifer dan Anthony bakal menjadi kenyataan.

“Marc dan Jennifer merancang untuk berpisah sebaik selesai persembahan konsert Marc di Madison Square Garden di New York pada 14 Februari depan,” ujar satu sumber kepada akhbar tersebut.

Tambahnya, “Jennifer bakal berduet bersama Marc dan kemudian mengumumkan perpisahan mereka di hadapan peminat. Mereka mahu melakukannya secara profesional.”

Lopez dan Anthony yang memiliki dua anak berusia 10 bulan, Max dan Emme, berkahwin pada Jun, 2004.

Kosmo

Kagum Lihat Patung 'Hidup'

11 Dec

Oleh Roslan Ibrahim
lann@nstp.com.my

MAHUKAH anda bergambar bersama selebriti terkemuka dunia seperti Nicole Kidman, Leonardo DiCaprio, Kate Moss, Kylie Minogue, Jenniger Lopez, Madonna, Angelina Jolie, Tom Cruise, George Clooney, Cameron Diaz dan Michael Jackson?

Atau bergambar bersama aktor James Bond, Daniel Crais yang meletup dalam filem terbarunya, Quantum of Solace?

Begitu juga bersama pemimpin dunia seperti Tony Blair, Nelson Mandela, Ronald Regan, Margaret Thatcher, Vladimir Putin atau jaguh sukan dunia seperti Muhammad Ali, Tiger Woods atau Pele.

Tidak ketinggalan wajah selebriti Bollywood seperti Salman Khan, Amitabh Bachan, Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai.

Inilah peluang seumur hidup atau hanya sekadar angan-angan kerana hakikatnya terlalu sukar untuk berbuat demikian.

Namun, fantasi itu mungkin menjadi realiti jika anda berkunjung ke Madame Tussauds di Marylebone Street, London.

Walaupun hanya patung, ada pasti terpegun melihat dengan mata sendiri wajah dan tubuh selebriti terkenal dunia itu.

Ketika berkunjung ke United Kingdom untuk membuat liputan Pusat Pengajian Melayu Universiti Limkokwing, London, saya berpeluang mengunjungi muzium itu.

Saya pernah mendengar mengenai muzium itu dan peluang mengunjunginya seperti bulan jatuh ke riba.

“Alamak, macam betul-betul hidup…,” bisik hati saya macam tidak percaya melihat selebriti seperti Angelina Jolie, Brad Pitt, Nicole Kidman dan Jennifer Lopez di hadapan mata.

Rakan saya, Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said juga seperti tergamam melihat patung ‘hidup’ di Madame Tussauds itu.

Saya langsung tidak menghiraukan keadaan suhu yang mencecah empat darjah selsius kerana terlalu teruja melihat dan bergambar dengan selebriti terkemuka dunia itu walaupun kami hampir tiga jam di muzium itu.

Melihat aksi Muhammad Ali, saya teringat era kegemilangan legenda tinju dunia itu yang memang becok dan sering menimbulkan kontroversi.

Begitu juga aksi The Rock, ikon gusti dunia dengan gaya bersahaja.

Saya diberitahu bahawa saiz The Rock dan lain-lain selebiriti adalah ukuran sebenar yang diambil ketika membuat patung mereka.

Melihat aksi seksi Madonna atau Angelina Jolie bersama suaminya Brad Pitts dan Julia Roberts mengimbau kembali lakonan mereka dalam filem.

Puas di muzium Madame Tussauds, kami dibawa ke kelab bola sepak Chelsea, antara kelab terkemuka dunia yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun bukan pasukan pilihan saya dalam EPL, peluang mengunjungi kelab itu memberi saya pengalaman baru merasai suasana kehangatan bola sepak Inggeris.

Yang lucunya, ketika pemandu pelancong kelab berkenaan meminta kami mengangkat tangan jika penyokong Chelsea, saya, Zainor dan rakan dari Universiti Limkokwing, J terpaksa berbuat demikian atau anda akan disorak.

Kami melawat dan diberi penerangan mengenai tempat yang digunakan pemain Chelsea seperti Ballack, Lampard da Deco di bilik persalinan sebelum beraksi di padang.

Setiap pemain mempunyai laci tempat menyimpan barangan peribadi termasuk rantai leher dan cincin selain tempat untuk mengurut.

Memang beruntung pemain berkenaan kerana selain mendapat imbuhan lumayan, mereka dilayan seperti raja dengan pelbagai keistimewaan.

Peluang berjalan di dalam terowong ke padang utama seperti aksi sebenar perlawanan apabila pemain berjalan keluar dan menerima tepukan gemuruh peminat.

Bola sepak di England adalah suatu pelaburan dan industri menguntungkan, justeru tidak hairan pemain menerima imbuhan lumayan selain kecanggihan stadium dan kelab bola sepak di negara itu.

Seminggu di London, saya turut mengunjungi beberapa tempat tumpuan pelancong, antaranya London On Eye, menaiki cruise di Sungai Thames, pusat perniagaan terkemuka Harrods, Tower Bridge dan Tower of London.

Dalam suasana sejuk yang mencengkam tulang, London seolah-olah muram menyambut Krismas berikutan kemelutan ekonomi dan kejatuhan mata wang paun sterling.

>Info

BAGAIMANA KE SANA

Hanya dua minit berjalan kaki dari stesen kereta api bawah tanah (tube) Baker Street. Stesen ini menggunakan laluan Bakerloo, Circle, Jubilee, Metropolitan dan Hammersmith & City. Ini membolehkan anda datang dengan mudah dari mana-mana destina di tengah London.

Jika menggunakan kereta api, jarak dari stesen Marylebone hanya 10 minit berjalan kaki ke Madame Tussauds.

Jika mahu menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat, pastikan bas-bas berkenaan iaitu 13, 18, 27, 30, 74, 82, 113, 139 dan 274.

Jika menggunakan kenderaan sendiri, anda boleh mengambil laluan Marylebone. Laluan itu menyambung ke Jalan Euston dan Kings Cross.

Harian Metro