Archive | Diana Rafar RSS feed for this section

Periksalah Akaun Saya – Mila

7 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BERMULA dengan tertubuhnya sebuah empayar perniagaan yang diberi nama Luvmila Corporation Sdn. Bhd. sejak Ogos lalu, ada suara-suara nakal yang mengaitkan pemiliknya ditaja oleh individu tertentu.

Pemilik yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah Mila atau nama sebenarnya Nursyarmila Jirin.

Barangkali ada yang berprasangka, mana mungkin wanita yang baru setahun jagung dalam bidang seni sudah punya sumber kewangan yang banyak hingga dia berupaya membangunkan sebuah perniagaan berskala besar.

Mila bagaimanapun sekadar mampu melemparkan senyuman manis, semanis empunya diri. Tiada langsung amarah di jiwa, malah tiada riak terkilan tatkala telinganya mendengar tanggapan negatif itu.

Jelas wanita berusia 22 tahun itu, gosip kononnya syarikat kepunyaannya mendapat tajaan daripada ‘seseorang’ tidak benar sama sekali.

“Penubuhan syarikat Luvmila ini menggunakan sepenuhnya wang simpanan saya sendiri. Jika tidak percaya, bolehlah periksa akaun simpanan saya,” ungkapnya tergelak manja ketika ditemui pada pelancaran Luvmila yang diadakan di Wisma PKPS, Shah Alam Selasa lalu.

Mila sebelum ini juga dikaitkan menerima tajaan seorang lelaki berbangsa Cina, yang merupakan rakan kongsinya untuk menubuhkan syarikat MC Voices & Stars (MCV), setahun lalu.

Setelah menjawat status sebagai ahli lembaga pengarah syarikat terbabit, kini Mila telah berundur daripada MCV.

Menyambung bicara, Mila mengakui pernah terdengar tentang dirinya yang ditaja untuk menubuhkan Luvmila, sebuah syarikat yang menjual dan memasarkan produk kecantikan.

“Saya tidak faham dengan pandangan masyarakat yang mudah mengaitkan saya ditaja oleh orang ini dan itu.

“Kalau betul saya ditaja, buat apa saya hendak bekerja kuat lagi tanpa henti dalam bidang seni.

“Lebih baik saya beli rumah sendiri, kereta mewah, berseronok dan membeli-belah,” jawab Mila lebih lanjut.

Menganggap kisah nakal yang ditujukan khas untuk dirinya sebagai gosip, Mila sebaliknya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia hanya pasrah, selain menerima segala-galanya dengan perasaan terbuka tanpa ada dendam di hati.

“Kalau dakwaan itu tidak benar, buat apa saya hendak risau tidak tentu pasal. Paling penting, keluarga tahu dan mengenali saya.

“Selebihnya saya tidak mengambil peduli dengan kata-kata orang yang suka bercakap buruk tentang saya,” terangnya.

Rezeki masih berpihak padanya

Dalam situasi artis di bawah Maestro Talent And Management sedang berdukacita terhadap nasib yang menimpa mereka baru-baru ini, Mila tidak terkecuali meluahkan perasaan sama.

Penutupan syarikat yang dikenali ramai di negara ini cukup mengejutkan Mila, yang merupakan salah seorang artis di bawah kendaliannya.

“Siapa yang tidak bersedih dengan penutupan Maestro. Saya hanya diberitahu bahawa syarikat ini gulung tikar disebabkan berdepan dengan masalah ekonomi.

“Pada mulanya saya memang risau dan gelabah. Saya masih baru, malah selama ini bergantung harap dengan Maestro.

“Semua karier seni saya sebelum ini diuruskan oleh Maestro terutama tentang jadual persembahan saya dan perkara lain melibatkan kerjaya seni saya.

“Selepas itu, saya ditenangkan oleh pengurus dan pembantu peribadi saya, Noza Mohd. agar tidak kelam-kabut dan risau apatah lagi saya sudah memiliki bisnes sendiri.

“Sekurang-kurangnya dapatlah ia membantu untuk meringankan bebanan saya jika sebarang masalah yang tidak diingini berlaku kelak.

“Biarpun begitu, saya masih sedih disebabkan Maestro memberikan banyak sumbangan dan jasa kepada saya,” ujar Mila, sedikit kecewa.

Juara Akademi Fantasia 5 (AF5) itu memberitahu lagi, dia baru sahaja menghadiri perjumpaan bersama Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) iaitu Zainir Aminullah minggu lalu.

“Beberapa artis Maestro termasuk saya sudah diserapkan ke AESB berkuat kuasa 1 April lalu. Semua nampak okey semasa perbincangan itu diadakan dan tidak ada sebarang masalah.

“Saya difahamkan bahawa semuanya masih dalam keadaan sama, cuma barangkali ada sedikit perbezaan dalam pihak pengurusan baru pada permulaannya.

“Kontrak yang ditandatangani sebelum ini bersama Maestro juga tidak berubah meskipun kini saya sudah bersama AESB.

“Itu yang saya tahu, selebihnya saya akan uar-uarkan kemudian kalau ada sebarang perubahan,” janji Mila.


GIGIH menimba ilmu bisnes. Mila pada majlis pelancaran Luvmila baru-baru ini.

Meskipun baru sahaja melangkahkan kaki dalam dunia seni, namun pengalaman yang ditempuhi Mila sepanjang tempoh singkat itu, banyak mematangkan dirinya.

Mila sempat menasihati rakan-rakan yang berada di bawah Maestro sebelum ini supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang menabur janji manis.

“Dalam situasi kelam-kabut, macam-macam perkara boleh terjadi. Saya ada bagi pendapat kepada kawan lain supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Macam-macam boleh berlaku ditambah dengan orang yang suka ambil kesempatan dalam waktu terdesak ini,” katanya memberikan nasihat kepada bekas artis di bawah Maestro.

Banyak baca buku bisnes

Umum mengetahui, selain bergelar seorang anak seni, gadis kelahiran Pulau Pinang itu kini menambahkan statusnya dengan menjadi seorang ahli perniagaan.

Rasanya satu Malaysia sudah mengetahui tentang produk Luvmila yang sekarang telah berada di pasaran di seluruh Malaysia.

Walaupun penat menghabiskan banyak masa untuk karier seninya, Mila tetap mencuri-curi masa untuk belajar tentang selok-belok dunia perniagaan yang sifatnya semakin global demi menambahkan pengetahuan.

“Saya banyak membaca buku yang berkaitan pemasaran dan strategi perniagaan disebabkan mahu menambah ilmu.

“Sebelum ini banyak pihak yang mempersoalkan kredibiliti serta kemampuan saya untuk mengurus perniagaan sendiri.

“Saya tidak gentar apabila dikritik, sebaliknya saya lebih berazam untuk belajar mana-mana yang termampu dalam perihal berkaitan perniagaan.

“Selain itu, saya menjadikan syarikat kosmetik gergasi lain sebagai mentor untuk saya terus mengemudikan Luvmila ini.

“Biasanya saya akan membaca pada waktu malam, sebelum tidur. Kadang-kala, saya juga akan baca dalam kereta jika hendak ke satu-satu destinasi kerana kereta saya dipandu Noza,” tambah Mila.

Pelancaran Luvmila dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pembangunan Usahawan Mara, Adilah Hasan.

Dalam majlis sama, Luvmila juga memperkenalkan tiga buah produk baru yang merangkumi penjagaan kulit iaitu Luvmila Whitening, Luvmila Gold dan Luvmila Herbal Soap.

“Luvmila menyasarkan 5,000 hingga 10,000 pengguna hingga hujung tahun 2009,” akhiri Mila penuh harap.

Antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan kepada Mila ialah Farah Asyikin, Farhan, Akma, Diana Rafar, Rohana Jalil, Jaafar Onn, Edlin dan Tasha.

Kosmo

Dengarnya…: Nana Dan Brian Nikah Jun Ini?

7 Apr


NANA ceria di sisi Brian.

SELEPAS Sariyanti dan Yatt ke jenjang pelamin, Cik Normah sedang menunggu kad undangan kahwin daripada Diana Rafar yang khabarnya bakal bernikah Zamarul Hisham.

Diana dan Zamarul, kalau tak silap Cik Normah memilih bulan Mei ini untuk diijab kabul. Pada bulan yang sama juga, Emelda Rosmila dan Adlin Aman Ramlie akan melangsungkan pernikahan. Maknanya susah juga Cik Normah nak jaga badan. Asyik makan nasi minyak saja.

Pada masa sama, nampaknya kenalah Cik Normah tempah banyak pakaian selepas majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini. Itu pun kalau Cik Normah ada di Malaysia, maklumlah sudah lama tak bercuti dan menghilangkan tekanan bekerja, Cik Normah merancang untuk bercuti sekitar pertengahan April atau Mei ini.

Dalam pada itu, penyampai radio Era yang juga calon finalis Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2008, Nana juga memilih rakan sekerja satu bumbung di Astro, Brian atau nama Islamnya Muhammad Raqeem Brian sebagai teman hidup. Brian, jejaka kelahiran Sarawak itu memeluk agama Islam sejak Januari lalu dan bertugas sebagai Pengurus Program radio Hitz FM.

Nana dan Brian khabarnya sepakat memilih bulan Jun ini sebagai hari bahagia mereka. Cik Normah diberitahu sepatutnya perkahwinan untuk dipercepatkan, namun atas beberapa masalah tertentu ia mungkin dibawa ke pertengahan Jun ini.

Bagaimanapun, pemilihan tarikh itu masih dalam peringkat perancangan. Cik Normah dan rakan setugas di meja Hip mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berbahagia kepada mereka semua.

Berita Harian

Dengarnya…: Emelda Jadi Duta Produk Kecantikan

6 Apr

REZEKI orang nak kahwin memang sentiasa ada. Itulah cerita yang sampai ke pengetahuan Cik Normah mengenai tunangan pengkritik program realiti dan hos Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Adlin Aman Ramlie. Baru saja mengikat tali pertunangan, Emelda Rosmila yang juga adik kepada Emelda Rosnaida sudah dilamar menjadi duta sebuah produk kecantikan.

Bertuah badan sungguh Emelda, alih-alih dapat jadi duta produk. Cik Normah tumpang gembira dan insya-Allah kalau ada kelapangan akan diluangkan masa menghadiri majlis pernikahannya dengan Adlin sekitar Mei ini. Cik Normah lihat Emelda dan Adlin pun makin berseri-seri sebab bakal bergelar raja sehari.

Pada Mei ini bernafas sikitlah Cik Normah sebab bulan ini memang Cik Normah tak menang tangan sebab sibuk dengan ABPBH 2008. Paling penting Cik Normah pun pasang badan sebab nak melaram sakan baju rekaan seorang pereka fesyen menjelang kemuncak ABPBH 2008 12 April nanti di Genting Highlands. Nantikan kemunculan Cik Normah dengan gaya berbeza seperti kebiasaan.

Nampaknya selepas pelakon Sariyanti dan Yatt melangsungkan perkahwinan, Emelda pula bakal mengikut jejak mereka. Tak dilupakan pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham pun memilih Mei juga untuk menamatkan zaman bujang. Cik Normah ucapkan tahniah kepada mereka yang nak menamatkan zaman bujang. Siapa pula lepas ini, Cik Normah tunggu saja.

Berita Harian

'Bukan Tak Mahu Ditaja'

3 Apr

KUALA LUMPUR: “Saya bukan tidak mahu ditaja, tetapi terlalu awal untuk mengumumkan tarikh perkahwinan saya dengan Diana. Bukan juga bermaksud hendak merahsiakan hari bahagia itu, tetapi saya bercadang beritahu semua orang termasuk wartawan apabila tarikhnya semakin hampir.

“Tak sangka pula Harian Metro dapat menghidunya lebih awal,” kata Zamarul Hisham, 38, memberitahu kenapa dia belum bersedia menguar-uarkan majlis perkahwinannya.

Zamarul, duda anak dua, akan melangsungkan perkahwinan dengan pelakon yang juga pengusaha spa, Diana Rafar, 27, pada 16 Mei ini selepas lapan tahun menganyam cinta.

“Saya tiada masalah jika ada yang ingin menaja (perkahwinan) kerana saya tidak boleh menolak rezeki. Malah, saya sangat berbesar hati untuk menerimanya. Cuma saya ingatkan ingin memberitahu berita gembira itu sebulan sebelum tarikh itu tiba, tetapi Harian Metro mengetahuinya lebih awal.

 

 

“Selepas berita ini keluar kelmarin ramai kawan-kawan terkejut kerana kami tidak pernah beritahu sesiapa (melainkan keluarga kedua-dua pihak) yang kami akan berkahwin. Sebenarnya tiada masalah mengeluarkan perbelanjaan sendiri kerana ini hari paling penting dalam hidup saya dan sudah biasa berdikari. Sebelum ini pun jika pergi ke mana-mana majlis tiada yang menaja baju dan sebagainya,” katanya.

Menjelaskan kenapa selepas lapan tahun bercinta baru mengambil keputusan mendirikan rumah tangga, Zamarul berkata mungkin seru baru sampai.

“Bukan tidak mahu segera berumah tangga, tetapi Allah yang mengatur segalanya dan Dia lebih tahu apa yang baik untuk hamba-Nya. Persiapan sudah ada. Saya juga sudah membeli rumah di Shah Alam.

“Kelengkapan rumah juga siap sepenuhnya. Bagi saya perkahwinan perkara serius dan kalau boleh biar berkekalan. Lagipun kami selalu bersama jadi Diana tidak bimbang kerana saya sentiasa berada di sisinya.

Zamarul juga memilih tarikh 16 Mei untuk melangsungkan majlis perkahwinannya kerana ia mempunyai makna tersirat.

“Barangkali tidak ramai yang tahu tarikh itu ada keistimewaan tersendiri. Angka satu (1) bermakna ihsan, enam (6) jumlah Rukun Iman dan 5 (bulan Mei) mewakili jumlah Rukun Islam lima perkara.

“Manakala 2009 bermakna surah ke-20 iaitu surah Taha, ayat kesembilan. Pelbagai perkara terkandung dalam surah itu membuatkan terbuka pintu hati saya untuk berkahwin,” katanya.

Harian Metro

Rahsia Hari Bahagia

1 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas lapan tahun memadu kasih, pelakon dan penyanyi, Diana Rafar, 27, dan Zamarul Hisham, 38, yang juga dramatis terkenal dijangka melangsungkan perkahwinan pada awal Mei depan.

Majlis perkahwinan mereka dikatakan mendahului majlis perkahwinan Emelda Rosmela dan Adlin Aman Ramlie serta Darling Ngasri dan pasangannya yang diadakan pada bulan sama.

Khabar perkahwinan pasangan popular itu disampaikan peminat selepas beberapa kali terserempak Diana membelek kain untuk dibuat baju pengantin di Maya Fabrik, Shah Alam.

Menurut sumber, Diana sudah merancang mendapatkan khidmat pereka fesyen terkenal di Shah Alam, Shahril Nordin untuk menempah baju pengantinnya.

 

 

Dia sudah menyerahkan borang pengesahan untuk berkahwin di pejabat agama Shah Alam dan menjalani ujian HIV.

Diana yang agak lama menunggu lamaran Zamarul juga berhasrat mengadakan perkahwinan dalam taman dan sedang mencari lokasi sesuai di Shah Alam.

Keluarga Zamarul pula akan mengadakan majlis sambut menantu di Bangi, Selangor.

Sumber itu berkata, Diana dan Zamarul mendapatkan khidmat Kuzie Catering untuk menyediakan hidangan istimewa pada hari berbahagia mereka.

Malah, wartawan Harian Metro sendiri pernah terserempak Diana berbincang dengan pengusaha katering itu, Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku di Wisma PKPS, Persiaran Perbandaran, Shah Alam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya tujuannya ke situ, Diana tidak mengaku akan melangsungkan perkahwinan pada masa terdekat, sebaliknya untuk berbincang mengenai penyediaan makanan pada hari pembukaan Kid Spa yang akan dibuka tidak lama lagi.

Kata Sumber itu, walaupun Diana dan Zamarul dijangka mengikat janji sebagai suami isteri, Mei depan, mereka masih merahsiakannya.

Ini kerana Zamarul dikatakan tidak mahu menghebohkan perkahwinan itu disebabkan enggan menerima penaja mana-mana pihak.

Menurutnya, pelakon itu berpandangan lebih afdal segala perbelanjaan dan keperluan perkahwinan ditanggung sendiri.

Harian Metro cuba menghubungi Diana dan Zamarul untuk mendapatkan pengesahan, tetapi gagal kerana kedua-duanya tidak menjawab panggilan.

Harian Metro

BORAK LOKASI: Berlakon Bersama Haiwan

1 Jan

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
MUNGKIN ada segelintir pengarah dan produksi tempatan menempuh cabaran sukar untuk mengetengahkan lakonan membabitkan babak kanak-kanak atau haiwan.

Begitu juga bagi kru dan pengarah drama bersiri, Radio Gaga yang berdepan cabaran besar apabila memilih beberapa jenis haiwan dalam setiap babak utamanya.

Drama yang meneruskan kesinambungan daripada sambutan positif telefilem Radio Gaga yang disiarkan menerusi saluran RTM1 penghujung 2007 lalu, turut mengetengahkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Diana Rafar, Ezany Nazarif, Maria Farida dan Mahmud Ali Bashah.

Teraju utamanya, Diana sebagai Norlela berdepan kebolehan luar biasa apabila dapat membaca isi hati atau perasaan manusia dan binatang selepas memakai alat pembantu peribadi digital (PDA) khas. Selain kenalan dan keluarga, Norlela turut berpeluang berbicara dengan haiwan seperti kucing, ikan dan arnab. Cuma, bezanya Radio Gaga menggunakan alat pemain MP3 manakala PDA bagi drama bersiri.

Ketika kunjungan wartawan Rap dan jurugambar di lokasi penggambaran di rumah contoh Duta Suria, Taman Putra Sulaiman, Ampang, baru-baru ini, kru produksi berkenaan sedang menyiapkan beberapa babak penggambaran drama bersiri 13 episod itu.

Cabaran sukar dilalui kru produksi serta pengarahnya, Murali Abdullah apabila terpaksa merakamkan setiap gerak- geri kucing bernama Oskar. Kucing yang memiliki bulu putih tebal terpaksa dikawal dan dipegang rapi kru berkenaan.

Walaupun jinak tetapi kucing berkenaan tetap mempunyai ‘mood’ tersendiri ketika rakaman berlangsung. Malah kucing yang dipinjamkan untuk penggambaran berkenaan seperti sudah lali dan memahami tugasnya selepas beberapa hari penggambaran bersama pelakon dan kru produksi itu.

Kebanyakan mereka juga menganggap kehadiran haiwan dalam drama cukup menceriakan suasana di lokasi penggambaran.

Diana sendiri memaklumkan betapa sejarah keluarganya cukup fobia dengan kucing. Begitupun, selepas terbabit menjayakan telefilem dan seterusnya drama bersiri itu, fobia berkenaan semakin terhakis. Malah sejak membintangi drama itu, perasaan menyayangi haiwan semakin menebal dalam dirinya.

Begitu juga bagi Murali yang sebelum ini berdepan alahan kepada binatang terutama yang berbulu. Alahan itu membuatkannya bersin dan selesema. Begitupun, situasi itu juga berjaya diatasi.

Menurut Murali, dia masih mengekalkan konsep dan idea penulis skrip iaitu Nizam Zakaria serta Sofia J Rhyland. Malah lebih menarik apabila drama berkenaan memaparkan cerita berlainan dalam setiap episodnya.

“Tema yang dibawakan drama ini berkisar kepada kehidupan remaja masa kini serta ikatan persahabatan yang utuh berlatarbelakangkan dunia sains dan teknologi. Drama komedi ringan dan sesuai ditonton seisi keluarga padat dengan mesej pendidikan dan pengajaran.

“Ini pengalaman pertama saya merakamkan babak bersama kucing. Saya pula cukup alah dengan binatang berbulu seperti kucing. Namun, kerana kerja saya tetap berusaha mengatasinya. Ada yang berpendapat penggambaran membabitkan kanak-kanak lebih sukar daripada haiwan. Namun, bagi saya penggambaran membabitkan haiwan lebih sukar dan cukup mencabar,” katanya.

Murali menyifatkan drama berkenaan ternyata berbeza daripada penghasilan drama berat yang sebelum ini seperti Obsesi, Iktikad selain Suara Solehah terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd yang mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi anugerah drama serta pengarah terbaik pada Anugerah Skrin 2008, November lalu.

“Kekuatan drama ini mungkin kepada konsep atau jalan ceritanya yang santai malah sesuai ditonton kanak-kanak dan dewasa. Penceritaannya pula berkisar kepada kebolehan Norlela yang mampu membaca isi hati atau perasaan manusia dan binatang menerusi PDA.

“Berbanding drama serius, penghasilan drama berbentuk komedi ini agak sukar kerana membabitkan penelitian yang menyeluruh bergantung kepada situasi yang cuba ditampilkan dalam setiap babak lakonan,” katanya.

Drama yang dijangka membabitkan penggambaran selama 26 hari berlangsung di sekitar Lembah Klang seperti Pusat Sains Negara, makmal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan sekitar Ampang.

PROFIL

DRAMA: RADIO GAGA

TERBITAN: Zeel Production Sdn Bhd

PENERBIT EKSEKUTIF: Muhamad Norazhar Baharuddin

PENGARAH: Murali Abdullah

PENOLONG PENGARAH: Nazir Jamaluddin

PENGURUS PRODUKSI: Khairul Anuar Mat Noor

JURU KAMERA: Mohd Jufri Ayob

JURU BUNYI: Mohd Sany A Samah

PENATA CAHAYA: Mat Fazli Kamaruddin

PROP MASTER & HANDY: Iskandar Kamarudin

PEMBANTU PROP: Izma Shah Ismail

KESINAMBUNGAN: Lenny Merlina Md Yusof

PEMBANTU TEKNIKAL 1: Mohd Roslan Mohd Ghazali

PEMBANTU TEKNIKAL 2: Rozailan Zakaria

SOLEKAN & WARDROBE: Zulkifli Zali @ J-Lo

RUNNER: Shahrizal Abu Bakar

KATERING: Nora & Bahrin Catering Services

PELAKON: Diana Rafar (Norlela), Safa Mazlan (Safri), Mahmud Ali Bashah (Wahab), Ezany Nazarif (Fahim), Zachery (Dr Izwan), Maria Farida (Ramona), Linda Helmi (Dr Fatimah), Julie Dahlan (Madam Zazam), Murali Abdullah (Dr Andrews), Liya Iryani Banks (Elina), Halim (Mahmud), Asri Azizan (Yeop) dan Afzan Rahman (Mamat).

Harian Metro

Dengarnya…: Stesen TV Pujuk Dua Diana

19 Dec

SEBELUM ini teman Cik Normah, Donna Marcella yang mula mendapat perhatian sejak menjadi penyumbang cerita di dalam kolum ini ada memberitahu mengenai ura-ura sebuah stesen TV untuk menambahkan rempah kisah menjelang hari bahagia Mawi dan Ekin, esok.

Kisahnya begini, sebuah stesen popular berhasrat mendapatkan Diana Rafar untuk memberi ucapan khas kepada Mawi. Apa motif stesen TV ini, Cik Normah pun tak tahulah. Nak sindir Mawi, atau memang nak ambil kesempatan. Entahlah…

Tapi, iyerlah, semua orang tahu mengenai gosip panas yang pernah timbul dulu membabitkan Diana Rafar selepas Mawi berpisah dengan bekas tunangannya, Ina Naim yang kini sudah bahagia bergelar isteri dan ibu.

Teman Cik Normah itu beritahu hasrat stesen TV memang pada mulanya dipertimbangkan oleh Diana Rafar. Macam manapun, cerita terbaru Cik Normah dengar ialah Diana Rafar menolak permintaan itu. Alasannya ialah dia mahu tidak mencacatkan kemeriahan majlis perkahwinan Mawi itu nanti. Betul juga alasan Diana. Perkara seperti ini kalau diteruskan boleh menimbulkan macam-macam tafsiran dan andaian daripada banyak pihak pula.

Yang penting, bagi Cik Normah tak perlulah mengenang kisah lalu. Perkara lepas, biarlah berlalu. Biarlah Mawi bahagia dengan pilihan hatinya, Ekin. Lagipun, Diana Rafar pun sedang bahagia, memadu kasih dengan Zamarul Hisham. Tersasul pula Cik Normah di hujung tahun ini, tapi yang penting Cik Normah tetap ‘maintain vass’ dengan kebaya ketat pemberian suami.

Cakap mengenai Diana Rafar, teringat Cik Normah kepada Diana Danielle. Cik Normah dapat tahu ada sebuah stesen TV mahu menyunting gadis ini menjadi residen artis mereka. Jadi atau tidak, Cik Normah belum dapat pastikan lagi, sebab semuanya baru dalam peringkat permulaan.

Berita Harian

Tidak Mahu Terburu-Buru Kahwin – Setelah 6 Tahun Bercinta

16 Dec

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my


KEDUA-DUANYA laris sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan.

CINTA bukan rahsia kedua-duanya sering menjadi usikan media, tetapi selepas enam tahun bercinta, pasangan ini kekal dengan keputusan untuk hidup bersendirian. Barangkali hidup sendiri lebih baik kepada Zamarul Hisyam mahupun buah hatinya, Diana Rafar.

Bukan tidak mempercayai institusi perkahwinan, sebaliknya baik Zamarul mahupun Diana tidak mahu terburu-buru mengejar impian mendirikan bahtera mahligai. Sekurang-kurangnya mereka mahu masa yang lebih panjang untuk saling mengenali hati budi masing-masing.

“Antara percintaan dan perkahwinan dua perkara yang berbeza. Bukan senang hendak berkahwin sebab itu kami perlu memikirkan banyak perkara sebelum membuat keputusan untuk berkahwin,” kata si manis, Diana apabila ditanya mengenai kisah perkahwinannya dengan si bujang itu.

Menurut Diana melambatkan perkahwinan juga bukan kerana mereka takut dengan institusi berkenaan. Bukan juga kerana gentar dengan situasi semakin banyak pasangan artis bercerai berai akhir-akhir ini.

“Saya dan Zamarul masih seperti dulu lagi, tidak bermasam muka atau sebaliknya. Soal mendirikan rumah tangga siapa yang tidak mahu, tetapi sebelum kami ambil keputusan itu lebih baik difikirkan sedalam-dalam.

“Sebab bukan apa, tidak mahu timbul perkara yang tidak diingini kerana banyak komitmen perlu diberikan sebaik saja kita berkeluarga nanti,” cerita aktres ini selepas diumumkan sebagai duta bagi produk kesihatan herba Al-Jabbar baru-baru ini.

Celah Diana lagi, masing-masing tidak sempat untuk memikirkan perancangan perkahwinan kerana sibuk dengan kerjaya yang diceburi.

Mana tidaknya, Zamarul sibuk berada di lokasi pengambaran manakala Diana pula bukan hanya berlakon tetapi perlu memikirkan perniagaan spa yang diceburinya itu.

“Kami memang sibuk. Jumpa pun tidak kerap tapi nasib baik ada telefon boleh kami bertanya khabar,” ungkap adik kepada Linda Rafar ini.

Perkara ini turut diakui oleh Zamarul sendiri. Dia juga berpendapat hubungan itu tidak kemana sekiranya sudah tertulis jodohnya bersama Diana.

Janji Zamarul, mereka tidak akan menyorok sekiranya sudah memilih tarikh dan bersedia untuk diijab kabul. Paling utama ialah masing-masing perlu mencuri kesempatan yang ada untuk memilih waktu yang bersesuaian untuk berbincang hal ini.


DIANA tidak risau soal usia yang semakin meningkat.

Tapi apakan daya, disebabkan komitmen kerja begitu tinggi maka sehingga kini pasangan ini tidak berani untuk membuat atau mengumumkan sebarang keputusan.

“Kami tak mahu buat sesuatu dalam keadaan kelam kabut. Biarlah dahulukan kerjaya masing-masing biar benar-benar stabil kemudian melangkah ke fasa baru dalam kehidupan dalam suasana yang lebih baik,” ungkap Zamarul pula.

Diana yang lebih banyak berceloteh soal peribadi berbanding Zamarul memberitahu, keluarga tidak pernah memaksa atau masuk campur berhubung perjalanan cinta mereka berdua.

Ini membuatkan mereka tiada tekanan untuk mempercepatkan perkahwinan memandangkan keluarga tidak pernah mendesak.

“Saya sangat bersyukur kerana keluarga saya dan Zamarul tidak pernah cuba paksa ataupun sebaliknya. Malah mereka seringkali memberi sokongan, yang penting perasaan anak mereka senang dan gembira bersama,” jelas Diana sambil tersenyum manis.

Ungkap ringkas Zamarul yang turut menjadi duta bagi produk herba ini menganggap dirinya sentiasa memikirkan perkara positif dalam menjalinkan hubungannya bersama Diana.

Komitmen kerjaya

Dalam pada itu, sempat juga mengorek rahsia aktor ini adakah dia mula meletakkan harga tinggi setelah mencapai beberapa kejayaan menerusi lakonannya dan baru-baru ini dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi Anugerah Skrin 2008.

Sambil tersenyum manis, Zamarul lantas memberitahu, dia langsung tidak memikirkan soal bayaran sebaliknya setelah mendapat beberapa pengiktirafan, pelakon ini lebih senang untuk memilih watak yang lebih matang dan sesuai dengan dirinya.

“Kemenangan yang saya terima hanyalah anugerah semata-mata. Tidak timbul soal untuk meminta bayaran lebih,” katanya yang baru selesai pengambaran drama Cikgu Vespa Merah dan Rebab Tak Bertali.

Sementara itu, Diana yang kini banyak memberi tumpuan untuk memperkukuhkan perniagaan spa miliknya yang baru dibuka lima bulan lalu, sanggup merehatkan diri dari dunia lakonan selama sembilan bulan.

Katanya, bukan mudah untuk membangunkan spa yang diberikan nama D Lugano, berlokasi di Seksyen 13 Shah Alam.

“Saya terpaksa korbankan masa berlakon semata-mata untuk membangunkan perniagaan ini. Memang ini cita-cita saya dari dulu lagi jadi saya harus lakukan yang terbaik untuk memastikan ia berjaya,” jelas Diana yang memang gemar dengan penjualan barangan kecantikan.

Kosmo

Bertuah Dengan Si Dia

24 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Diana Rafar sentiasa mengharap hubungannya bersama Zamarul Hisyam berakhir dengan kebahagiaan berkekalan

KISAH cinta antara Diana Rafar dengan Zamarul Hisyam bukanlah perkara rahsia lagi. Cerita itu juga bukanlah baru, tetapi sudah berputik sejak enam tahun lalu.

Pada tahun 2006, hubungan Diana, 26 dan Zamarul bergoncang seketika apabila dia dikaitkan dengan Bintang Paling Popular, Mawi.

Gosip antara Diana dan Mawi pada waktu itu memang memberi kesan dan hampir menggugat hubungannya dengan Zamarul.

Zamarul ketika menerima trofi Pelakon Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2008 sempat mengucapkan terima kasih kepada ‘si dia’ yang kemudian menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak.

Ketika majlis meraikan tetamu selepas selesainya Anugerah Skrin 2008, Zamarul ditanya Hip, siapakah ‘si dia’ yang dimaksudkannya. Sambil tersenyum, dia berpaling ke arah Diana sebagai tanda ‘jawapan’ siapakah si dia itu. Hakikatnya, di majlis itu, Zamarul datang tidak keseorangan. ‘Si dia’ inilah yang menemaninya selain Linda Rafar dan suaminya, Syed Aiman.

Dalam pertemuan dengan Hip, Diana mengakui, dia dan Zamarul memang pernah merancang untuk berkahwin pada penghujung tahun 2006, namun gosip liar yang menghambat dirinya pada tahun yang sama sudah membantutkan niat mereka.

Justeru, pada saat ini baik Diana mahupun Zamarul, mereka hanya berserah dan berharap impian untuk hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri menjadi kenyataan.

Menurut Diana, sejak mengenai Zamarul pada tahun 2002, dia sudah lali diajukan pertanyaan mengenai perkahwinannya dengan pelakon itu.

Bahkan, ada juga yang mengandaikan hubungan mereka sudah terputus di tengah jalan sedangkan hakikatnya cinta mereka masih lancar.


Diana dan Zamarul.

Buktinya, Zamarul sendiri sendiri muncul sewaktu sesi fotografi ini dijalankan.

“Semuanya saya serahkan kepada soal jodoh dan takdir. Insya-Allah, kalau sampai jodoh kami berdua, kami pasti kahwin. Bukan apa takut pula kalau merancang, bimbang tak menjadi pula. Kami sudah melalui fasa bercinta dalam tempoh yang agak lama dan ada kalanya kesibukan masing-masing membuatkan kami tidak berjumpa.

“Tengoklah sendiri tadi, kalau kami berjumpa depan mata sekalipun, tidak sempat berborak.

“Tapi selalunya masa terluang kami termasuk ahli keluarga saya yang lain banyak dihabiskan di sini (Shah Alam). Tapi saya bertuah kerana dia (Zamarul) seorang yang sangat mengambil berat,” kata Diana yang terbabit mengikat kontrak hingga tahun depan sebagai model iklan produk syampu bersama Fouziah Gous.

Kata Diana, kalau Zamarul ada masa terluang, dia memang akan singgah ke premis pusat kecantikan D’Lugano miliknya di Seksyen 13, Shah Alam

Menariknya, bukan Diana saja menjalankan perniagaannya di situ, anak saudaranya membuka butik The Closet, manakala kakaknya, Linda berniaga di Jom Lepak Cafe menjadikan hampir sederet rumah kedai ini seperti ‘ditakluki’ keluarga Rafar.

Dan, bagi Diana sendiri, rezeki datang tanpa diduga apabila dia kini mengikat kontrak untuk menjadi duta produk kesihatan Al Jabbar bersama Zamarul.

Menunggu tawaran berlakon filem

Mula berlakon sejak di usia lima tahun, Diana juga pernah mencatat profil seninya sebagai penyanyi dengan menubuhkan kumpulan GIM (Girls In Music) pada 1999 dan kemudiannya melahirkan album duet bersama Linda.

Ketika itu Linda dan Diana meledak dengan lagu Hak Milik Kekal. Aktif berlakon drama tetapi Susuk adalah filem pertama yang dibintanginya sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan.

Kemunculan Diana Rafar sebagai antara pelakon utama dalam filem Susuk yang ditayangkan pada 7 Ogos lalu, mendapat pujian ramai.

Malahan selepas filem itu, dia disebut-sebut sebagai antara pelakon yang mempunyai potensi besar untuk melebarkan bakatnya di layar perak. Bahkan, Diana juga mengaku beraksi untuk filem memberi kepuasan tidak terkira berbanding dengan aksinya dalam drama.

“Sejak berlakon filem, baru saya faham erti sebenar dunia lakonan. Melalui filem itu, saya mendapat pendedahan yang sangat besar mengenai pelbagai aspek seni. Bayangkan untuk berlakon filem, sesi latihannya mengambil masa yang berbulan-bulan. Untuk watak saya saja, saya turut diajar cara pergerakan berjalan.

“Saya ada menerima tawaran berlakon filem sebelum Aidilfitri lalu, tapi disebabkan sibuk membuat persiapan raya dan pihak yang terbabit itu diam, akhirnya tawaran itu hilang begitu saja. Saya harap andai ada rezeki untuk berlakon filem lagi pada masa mendatang, biarlah filem itu lebih baik daripada Susuk dan bukan hanya ala kadar saja,” kata Diana yang baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Kasihnya Yang Kian Pudar bersama produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.

Tidak lagi mengharap 100 peratus kepada bidang lakonan, Diana kini sudah bergelar usahawan berjaya menguruskan spa D’Lugano yang sudah beroperasi sejak 10 bulan lalu. Impiannya kini untuk membuka cawangan D’Lugano dan ingin terus komited meneruskan perniagaan yang diminatinya ini.

Paling istimewa, segala susunan dan hiasan dalaman di premisnya ini diilhamkan sendiri oleh Zamarul.

Menurut Diana, sebelum Zamarul berlakon, dia pernah menjadi pereka hiasan dalaman dan bakat yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencantikkan spa Diana. Seperkara yang membanggakan Diana kerana dia mempunyai rangkaian produk sendiri seperti minyak lulur, minyak aroma terapi dan jamu Mak Dara yang mendapat sambutan di kalangan selebriti.

“Alhamdulillah maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Tambahan pula, di sebelah spa saya terdapat sebuah kedai yang menjual peralatan sukan golf dan secara tidak langsung, pelanggan yang ke situ akan singgah ke spa saya, termasuklah mereka daripada kalangan VIP. Pembabitan saya ini antara satu jaminan pada masa depan yang tidak boleh bergantung sangat kepada industri seni yang tidak menentu, turun naiknya.

“Lihat saja contoh terdekat, ada di antara pelakon veteran di negara kita yang tidak dihargai di saat usia mereka semakin lanjut. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur masih ada tuah dan tidak pernah dipinggirkan di dalam industri. Namun, sebagai persediaan tumpuan saya kini juga beralih kepada perniagaan ini dan berharap supaya rezeki itu akan terus berpanjangan,” katanya.

Sepintas Diana Rafar

Spa: Ramai rakan artis yang datang ke spanya seperti Dynas, Raja Azura, Fazura, Mila, Ziana Zain, Fouziah Gous dan ramai lagi. Menurut Diana, dia sangat menghargai sokongan mereka.

Zamarul: Seorang lelaki yang terlalu mengambil berat mengenai dirinya hingga kadang-kadang boleh merimaskan dirinya. Menurut Diana, Zamarul selalu menasihati dirinya berkaitan soal kehidupan, suka dan duka. Dia pandai mengambil hati dan selalu memberikan hadiah kepada Diana. Tambah Diana lagi, ada kalanya orang mula salah sangka dan syok sendiri dengan sikap peramah Zamarul.

Minyak aromaterapi: Dijual dengan harga RM16.90 dan mempunyai dua bauan. Yang pertama, bauan untuk menenangkan suasana dan bauan kedua bagi mengatasi masalah kekeluargaan dan hubungan intim.

Gosip: Ia secara tidak langsung akan mempopularkan seorang artis itu dan ada kalanya mampu menjatuhkan nama artis itu. Terpulang kepada bagaimana pendekatan gosip itu diterima.

Dunia lakonan: Ibarat jiwa dan cintanya tapi kini lakonan sangat mematangkan dirinya.

Nyanyian: Bidang yang menarik dan senang dapat duit dalam waktu yang singkat membuat persembahan dan tidak panjang durasi masanya seperti berlakon.

Profil

NAMA PENUH: Adiana Abd Rafar

NAMA KOMERSIAL: Diana Rafar

TARIKH LAHIR: 9 Mei 1982

ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur

BINTANG: Taurus

HOBI: Mendengar muzik, memerap dalam bilik dan melakukan perawatan spa

DRAMA: Mencari Ibu (waktu itu usianya baru mencecah 5 tahun), Diari, Mimpi, Sempadan Kasih, Ezora

FILEM: Susuk

INFO

Pusat kecantikan D’Lugano

Idea menamakan perniagaan spanya sebagai D’Lugano terbit ketika mendapat cadangan daripada seorang pakar motivasi. Ia diambil bersempena dengan nama sebuah tasik di Switzerland yang sangat cantik dan tenang. Sebagai simbolik kepada hal itu, Diana menjelmakan ia kepada perniagaan yang diusahakannya kini.

Solekan: E’Sham (012-2869864)

Tajaan Busana: The Closet, No 76, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, 40100 Shah Alam (016-2269404) atau (03-55199989)

Berita Harian

Rawatan 'Herba' Di D'Lugano Spa

27 Sep

Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my

SUASANA spa seperti di kampung menenangkan jiwa.

Pelbagai kaedah menggunakan bahan semula jadi kembalikan kesejahteraan diri

ALANGKAH nikmatnya memanjakan diri di spa selepas menempuh hari yang memenatkan terutama selepas melalui minggu yang sibuk. Justeru, apa kata, berhujung minggu dengan memanjakan diri di pusat kecantikan atau spa yang menyediakan pelbagai rawatan istimewa.

Keindahan dekorasi dalaman ala kampung yang lazim menghiasi spa selain menghayati alunan muzik tradisional mencipta seribu ketenangan. Seperti di spa kecantikan D’Lugano milik artis, Diana Rafar, konsep tradisional kampung adalah elemen terbaik bagi mempromosi dan menghargai ramuan herba semula jadi.

Diana berkata, di D’Lugano hampir semua produk sama ada krim sapu, minyak urut, lulur, pupur atau apa saja yang digunakan dalam rawatan dihasilkan sendiri menggunakan herba dan rempah asli semula jadi.

“Saya lebih gemar membuat sendiri produk itu kerana hanya menggunakan herba, bunga, rempah asli yang dibancuh mengikut sukatan. Tanpa memerlukan bahan kimia seperti produk kecantikan lain, bahan semula jadi itu lebih sesuai kerana ia seakan sebati dalam masyarakat Asia.

“Malah, saya kini dalam proses membuat minyak lavender aroma terapi dengan menggunakan campuran serai wangi. Saya gemar menggunakan herba seperti itu kerana ia bukan saja menyedap dan mewangikan sajian makanan, tetapi turut memberi kebaikan pada mental dan rohani. Perancangan saya juga akan membuat minyak urutan aroma terapi sendiri menggunakan herba sama untuk kebaikan kulit,” katanya ketika ditemui di salunnya, baru-baru ini.


KONSEP dan susun letak ala tradisional mengingatkan kita di kampung halaman.

Antara rawatan istimewa yang ada di D’Lugano ialah perkhidmatan spa rambut atau mandian krim dan bekam. Rawatan spa rambut adalah yang paling istimewa D’Lugano kerana menggunakan ramuan limau purut, serai dan halia yang dibancuh sendiri untuk dijadikan krim rambut. Ramuan berkenaan bertujuan untuk mengharum, membaiki dan menyihatkan rambut supaya lebih bersinar.

Diana berkata, rawatan kecantikan yang ditawarkan di D’Lugano membabitkan rawatan kuku, rambut, badan dan wajah.

Paling menarik ialah pakej rawatan pengantin iaitu Putera&Puteri Sehari. Dengan pakej itu, kedua mempelai berpeluang membuat rawatan wajah, mandi wap, lulur badan, mandi susu, bunga atau rempah, rawatan kuku kaki dan tangan, rawatan rambut serta satu jam urutan badan.

“Selain itu, kita juga ada pakej rawatan lain iaitu Seri Bidadari, Gebu Berseri dan Manja Diri yang berharga antara RM160 hingga RM250. Banyak lagi rawatan lain yang boleh dinikmati iaitu rawatan kuku tangan dan kaki. Jika di salun kuku, bahan yang digunakan lebih kepada kimia, tetapi rawatan kuku di D’Lugano lebih ke arah tradisional, malah turut menyental bahagian kaki dengan lulur halia yang dihasilkan sendiri.


Rawatan kuku kaki atau tangan akan diberi lulur herba percuma pada bahagian berkenaan.

“Saya percaya ramai wanita dan lelaki kini gemar ke spa, malah ia bagaikan satu kemestian dalam kehidupan. Harga yang ditawarkan di D’Lugano berpatutan kerana mahu semua lapisan orang tidak kira bekerja atau belajar, kaya atau tidak mencuba rawatan spa kampung di D’Lugano,” katanya.

Sehubungan itu, Diana merancang untuk memperkenalkan kad keahlian VIP D’Lugano dengan harga pendaftaran RM400 dan mendapat tiga rawatan percuma. Selepas ahli mendapatkan tiga rawatan percuma itu, mereka boleh mendapatkan 25 peratus diskaun bagi setiap rawatan seterusnya dan bagi 10 kali rawatan akan menikmati rawatan percuma sekali.

Diana berkata, salun kecantikan D’Lugano dibuka sejak tujuh bulan lalu di Seksyen 13, Shah Alam. Beliau membuka spa berkenaan kerana sering mendambakan khidmat urutan selepas penat bekerja, sekali gus memberi inspirasi kepada Diana untuk membuka D’Lugano.

Berdasarkan pengalamannya itu, setiap kekurangan dan kelebihan yang dialami ketika melakukan rawatan di spa dibawa ke D’Lugano supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

INFO: Pusat kecantikan D’Lugano

Alamat: No 58, jalan renang 13/26, Seksyen 13, Shah Alam.

Telefon: 03 55111336

Kad keahlian VIP D’Lugano : RM400 (daftar) percuma tiga rawatan dan 25 peratus diskaun rawatan seterusnya. 10 kali rawatan + satu kali percuma

Rawatan:

Mandi bunga dan mandi susu (RM70)

Seri Bidadari – mandi wap, lulur, mandi susu/rempah (RM165)

Gebu Berseri – lulur susu, mandi susu, pupur badan, mandi bunga (RM220)

Manja Diri – mandi wap, lulur, mandi susu, urutan badan (RM230)

Puteri/Putera Sehari – rawatan wajah, mandi wap, lulur, mandi susu/bunga/rempah/, rawatan kuku tangan dan kaki, mandian krim dan sejak rawatan badan (RM500).

Bekam (RM15 satu cawan)

Berita Harian