Saudara Pengarang,
SATU fenomena yang semakin menular ialah bertambahnya anak-anak gadis Melayu memilih suami bukan Melayu.
Dengan adanya Internet, pergi belajar di luar negara serta kemasukan warga asing ke negara ini, sama ada sebagai pekerja sah atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penuntut kolej dan universiti, maka semakin ramailah wanita Melayu berkenalan dan akhirnya berkahwin dengan orang asing.
Ada pelbagai sebab gadis Melayu memilih suami bukan Melayu. Ada yang tidak sukakan bangsa sendiri kerana satu pengalaman pahit; atau jejaka Melayu tidak tampan dan lawa, tidak punya wang atau tidak secanggih seperti jejaka asing.
Atau ini dilakukan kerana mengikuti kecenderungan masa kini. Bagi mereka, Islam atau budaya Melayu adalah soal picisan sahaja. Pakai baju Melayu semasa naik pelamin sudah cukup.
Mungkin ada yang berbuat demikian kerana ia merupakan satu trend apatah lagi kalau gadis-gadis ini sendiri merupakan anak pasangan campuran. Pakar-pakar sosiologi Melayu patut membuat satu kajian mengenai hal ini demi demografi dan sosio-politik Melayu pada masa akan datang.
Soalnya berapa peratuskah pasangan kahwin campur melibatkan gadis-gadis Melayu ini boleh menghayati Melayu dan Islam seperti yang dituntut oleh agama suci kita.
Di ruangan Agama Utusan Malaysia (21 Jun 2005), kita amat bangga membaca kisah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib dan isterinya Sohair Abdel Moneim, wanita Mesir keturunan Turki.
Abdul Kadir berjaya membentuk isterinya hidup seperti orang Melayu iaitu bertutur bahasa Melayu, memakai baju kurung dan memasak makanan Melayu. Mereka dikurniakan enam orang anak yang diberikan nama-nama Islam yang baik-baik.
Di akhbar kita sering terbaca cerita wanita Melayu yang kahwin bangsa asing memberikan nama yang langsung tidak berciri keIslaman. Malah ada orang Melayu sendiri yang memberikan nama yang bukan-bukan untuk anak-anak mereka.
Kebetulan pula di ruangan Hiburan Utusan Malaysia hari yang sama ada cerita mengenai ahli-ahli kumpulan Elite: Azza, Watie, Sasha dan Hana. Hana dan Sasha memilih jejaka Inggeris, tetapi perkahwinan Sasha tidak kekal.
Hana dan suaminya Adam Abdullah dikurniakan dua anak, Aaron Danial, 4, dan Alayna Daniella, 3 tahun.
Sebelum ini pelakon Jeslina Hashim memilih jejaka New Zealand sebagai suami.
Demi penghayatan Islam sampai akhir zaman di negara kita, saya berpendapat pihak berkuasa patut memantau semua perkahwinan campur, tidak kira lelaki Melayu atau gadis Melayu.
Pasangan-pasangan sedemikian perlu menjalani kursus yang lebih intensif sebab kita mahu setiap orang yang masuk Islam bukan sahaja mencintai Islam dan umat Islam, malah menjadi pejuang Islam dan akan akan mempertahankan Islam apabila Islam dicabar atau dihina.
Walaupun negara kita mengamalkan dasar keterbukaan namun negara ini adalah negara Islam. Ini bukan soal hak asasi manusia. Ini soal fardu kifayah. Kita mesti ambil tahu apa yang dilakukan oleh sebangsa seagama kita.
Kita tidak mahu trend ini akhir nya memperlekehkan Islam atau melahirkan zuriat Islam yang amat sekular seperti di Indonesia di mana di dalam sesuatu keluarga terdapat agama Islam, Kristian, Kebatinan dan sebagainya.
Di Amerika Syarikat pihak imigresen sentiasa memantau rakyat asing yang mengahwini wanita Amerika kerana ramai di antaranya kahwin semata-mata untuk mendapatkan hak penduduk tetap seperti dalam filem Green Card.
Kita perlu melaksanakan dasar yang serupa, demi kemuliaan agama Islam dan juga kedudukan sosio-ekonomi dan demografi orang Melayu. – BAKI MINUDDIN, Ampang, Selangor.
Powered by Utusan Malaysia