Archive | Nicholas Saputra RSS feed for this section

Muzik Video Nidji Penuh Aksi

18 Dec

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
POPULAR dengan lagu Hapus Aku, siapa yang tidak mengenali kumpulan pop rock alternatif dari negara jiran Nidji. Bahkan, vokalis utamanya Giring juga pernah dilanda ‘gosip’ cinta dengan seorang artis wanita tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Namun, semua itu pasti sudah menjadi kenangan. Malah, bukan itu tajuk utama ceritanya mengenai kumpulan dianggotai enam anak muda ini. Kisah terbaru mereka, tentunya berkaitan tayangan perdana muzik video ‘Shadows’ di laman web Channel [V].

Tayangan ekslusif itu akan bermula hari ini di laman web http://www.channelv.com/nidji yang penuh dengan aksi dan kesan khas. Diarahkan sutradara iklan terkenal Indonesia, Sim F, ia mengisahkan pertarungan antara Nidji dan penjahat lakonan Nicholas Saputra.

Sebagai pelakon dan juga VJ Channel [V], Nicholas berjaya menggalas tanggungjawabnya dengan baik. Lakonan sebagai ‘penjahat’ pasti tidak menghampakan kerana dia sering membawa watak baik. Justeru, saksikan juga aksi Nicholas di sebalik tabir.

Selain itu, Channel [V] turut menyediakan hadiah istimewa untuk dimenangi peminat bertuah Nidji. Peminat berjaya akan memperoleh Gitar Elektrik Flying V Gibson yang ditandatangani ahli kumpulan Nidji. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Disember.

Menurut pemain dram Nidji, Adri, cabaran paling sukar dihadapi anggota kumpulannya dalam menghasilkan muzik video ‘Shadow’ itu adalah melakukan adegan perbalahan (gaduh) dengan berkesan. Katanya mereka pun bukan ‘pelakon’ filem aksi.

“Kami semua tiada asas lakonan. Sekiranya untuk lakonan biasa bukan boleh saja tetapi aksi memang sangat susah. Namun, mujur kami mempunyai pelakon aksi profesional yang sedia membantu. Jadi, akhirnya kami berjaya juga hasilkan muzik video ini.

“Sekarang, kami teruja dan tidak sabar melihat hasilnya. Malah, sewaktu penggambaran pun adegan perbalahan dengan Nicholas sangat hebat. Dia (Nicholas) memang aktor berbakat kerana melakonkan watak itu (penjahat) dengan bersungguh sekali.

“Malah, Nicholas secara tidak sengaja memukul Run-D yang juga pemain keyboard Nidji dengan kuat hingga bibirnya tercedera.

“Tetapi, mujur luka itu tidak parah. Apapun, melakonkan video muzik ini memang memberi pengalaman berharga buat Nidji,” katanya.

Bagaimanapun, menariknya ‘Shadows’ turut dipilih sebagai lagu promosi bagi siri televisyen Heroes musim ketiga yang disiarkan Star World. Bahkan, muzik video ini nyata mempengaruhi siri itu apabila Nicholas memainkan watak jahat seakan karektor Sylar.

Sehubungan itu, Nidji juga dipilih sebagai artis program Spotlight Channel [V] untuk bulan ini (Disember). Justeru, Nidji akan menggegarkan ruang udara Channel [V] dengan keunikan muzik tersendiri dan misi meluaskan pengaruh muzik mereka di seluruh rantau Asia. .

Bersandarkan Asia’s Music Platform (AMP), ia satu permulaan cukup baik buat Nidji. Tidak ketinggalan, Nidji secara langsung akan mengadakan persembahan di Kelab Zouk, Kuala Lumpur pada Ahad ini 21hb Disember 2008 (Ahad), jam 8 malam.

Peminat setia Nidji yang dikenali sebagai ‘Nidjiholics’ pasti terhibur dengan persembahan yang bakal dipentaskan serta pelbagai aktiviti berserta hadiah menarik disediakan. Bagi memenangi tiket ekslusif, layari laman web http://www.astro.com.my atau dengarkan isyarat pemanggil peraduan di Era FM.

Ditubuhkan pada 2002, Nidji berjaya menonjolkan diri mereka sebagai kumpulan muzik berbeza. Album alternatif rock pertama mereka, ‘Breakthru’ mencatat jualan melebihi 500,000 unit dan menjadi album Indonesia pertama dihasilkan dalam dua versi iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.

Harian Metro

Melly Komen Isu Kuota Lagu

5 Dec

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

IDEA yang diusul Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk melaksanakan kuota 90:10 untuk lagu tempatan serta karya luar turut mendapat perhatian penggiat seni terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

Ada sisi positif dan negatifnya, namun itu semua terpulang kepada penilaian masing-masing apatah lagi setiap manusia berhak untuk menyuarakan pendapat sendiri.

Penyanyi negara jiran yang popular dengan lagu Ku Bahagia ini memberitahu, dia cukup menghargai kuota yang memberi keutamaan kepada lagu tempatan dan selebihnya buat lagu luar.

“Saya hargai usaha ini biarpun pendekatan muzik yang diluah itu harus diterjemah secara terbuka dan universal,” ungkap Melly pendek.

Dalam kesibukan rakyat Malaysia mengalun suara tegas tentang kuota tersebut, terdapat pula khabar angin mengaitkan lagu gubahan tempatan tidak berkumandang bebas di corong udara negara jiran itu.

Dalam riak tenang dan bersahaja, Melly pantas menghuraikan jawapan terbaik berhubung permasalahan itu.

“Tak saya nafikan, memang lagu dari negara Malaysia dah kurang diputar di sana. Situasi ini saya melihat bergantung kepada jurang dan perbezaan bahasa.

“Ada beberapa sebutan bahasa Melayu yang tak jelas dan kurang difahami menjadi kekangan kenapa lagu di sini tidak dimainkan.

“Bukannya tiada langsung artis Malaysia yang lagunya masih berkumandang di sana, sebagai contohnya penyanyi, Winnie K.

“Andai ikut pandangan dan pemerhatian saya sendiri, muzik tiada batasannya dan soal bahasa hanya bersifat subjektif.

“Ia berbalik kepada soal lagu itu sedap didengar atau jelek. Sebagai seorang pemuzik, bukan menjadi hak saya memberi jaminan sama ada lagu itu boleh diputarkan ataupun tidak di negara lain.

“Mengikut prinsipnya, kuota yang ingin dijana itu memanglah kelihatannya baik, cuma mungkin ada impak yang positif dan negatif dalam satu-satu perkara yang dibuat.

“Pentadbiran sesebuah negara bertanggungjawab untuk melindungi karya negaranya, namun sejauh manakah kita mampu memberikan batasannya apatah lagi andai ia mampu diperolehi dengan mudah, menerusi kemudahan teknologi bak internet.

“Lagu sekarang sama ada yang terbaru atau lama memang mudah dimuat turun di laman web sebagai contohnya, You Tube,” bicara Melly dalam butir bicara serius.

Pencipta lagu runut bunyi

Dalam perkembangan terbaru, Melly turut memberikan sebuah lagu kepada penyanyi Krisdayanti untuk dimuat dalam album runut bunyi filem, Ketika Cinta Bertasbih.

Sambung ibu kepada dua cahayamata ini, dia membikin lagu berdasarkan kepada ilham pembacaan dan pengalaman.


BAHAGIA di samping suami, Anto Hoed.

Katanya lagi, lagu runut bunyi secara langsung dibikin dengan merujuk kepada penceritaan dan plot cerita sesebuah skrip filem.

“Saya tak meletakkan sebarang syarat atau kriteria kepada mana-mana artis yang ingin dapatkan khidmat saya mencipta lagu.

“Saya amat terbuka dalam bermacam perkara, tapi ia bergantung sama ada saya sibuk atau tidak,” ujarnya yang mengakui bercita-cita ingin berduet bersama penghibur antarabangsa, Celine Dion suatu hari yang indah nanti.

Kehangatan nama Melly mula terpancar setelah dia berhasil membikin album runut bunyi filem, Ada Apa Dengan Cinta lakonan Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra pada 2001.

Tidak terhenti di situ sahaja, status Melly terus dijunjung ke hierarki lebih tinggi apatah lagi hampir semua sentuhan yang lahir menerusi jiwa Melly terus menjadi sebutan ramai.

Sebagai seorang pemuzik yang sentiasa mencambah akar seni tidak terjangkau batasannya, Melly mengakui dia tidak pernah terfikir hasil ciptaannya sebelum ini bakal jadi popular hingga kedengaran di ruang udara negara lain.

“Situasi ini bukan dirancang sesuka hati, malah ia juga berada di luar bidang kuasa saya,” luah Melly perlahan sebagai aras kurang gemar dilabel karyawan terulung di negara itu.

Isteri Anto Hoed dan ibu kepada dua anak lelaki ini, Anakku Lelaki Hoed, 8 dan Pria Bernama Hoed, 5, itu sering menjadi pilihan untuk menghasilkan album berbentuk runut bunyi.

Setelah membikin album untuk filem Eiffel.. I’m In Love, Bukan Bintang Biasa, Tentang Dia dan Heart, Melly kini di dalam perangkaan memberikan tumpuan untuk runut bunyi filem Ketika Cinta Bertasbih.


PERSEMBAHAN Yusry dan Melly pada KLIFF 2008 baru-baru ini.

Mengimbas bagaimana dia boleh mencipta sebuah lagu untuk filem Malaysia, Cicakman 2: Planet Hitam kata Melly, dia dihubungi oleh Norman dan diberi dua pilihan. Sama ada untuk mencipta lagu genre rock atau balada romantik.

Setelah berfikir lebih lanjut, Melly tekad memilih lagu berentak balada agar ia dapat disesuaikan dengan jalan penceritaan filem ini.

Bagai peluang keemasan bergolek di depan mata, penyanyi dan komposer yang turut menganggotai kumpulan Potret ini menyatakan kesudian berduet dengan Yusry Abdul Halim menerusi lagu yang diberi judul, Dibius Cinta.

Lagu itu turut diselitkan dalam album runut bunyi Cicak-Man 2: Planet Hitam. Penghasilan lagu runut bunyi ini seperti biasa mengundang tarikan untuk mengajak peminat menonton filem yang bakal ditayang mulai 11 Disember ini.

Kesudian Melly untuk melibatkan diri bersama Yusry bertitik tolak kepada minatnya bersama seisi keluarga bagi menonton Cicak-Man pertama.

“Saya teruja dapat bekerjasama dengan sesiapa, malah begitu juga dengan Yusry. Tiada sebarang diskriminasi atau pilih kasih buat saya.

“Dia (Yusry) sangat menyenangkan dan kolaborasi kami jadi satu perkara menyihatkan,” ungkap Melly ringkas mengenai Yusry, sambil melayang sekalung pujian kepada Cicak-Man 2 yang sempat ditontoninya minggu lepas di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara.

Cara Melly rapat dengan Yusry

Kenyataan yang satu ini sukar untuk ditidakkan. Dan individu yang paling teruja dapat bekerjasama dengan penggiat seni sehebat Melly sudah tentulah, Yusry Abdul Halim.

Bahkan, lagu nyanyian mereka, Dibius Cinta makin mendapat tempat di corong-corong radio, lantas membuatkan lagu ini dengan mudahnya bermain di bibir peminat.

Yusry sempat memperlihatkan perasaan berbunga keriangan apabila dia berupaya menjalankan kolaborasi bersama Melly dan suami tercinta, Anto Hoed.

“Meskipun bertaraf sebagai bintang yang terkenal di Indonesia, mereka masih dikenali dengan sifat rendah diri.

“Lagu Dibius Cinta ini dirakamkan pada bulan Februari lepas, sementara klip video lagu itu dihasilkan sekitar Jun lepas di Indonesia.

“Seronok sangat dapat bekerja sekali dengan Melly. Sehari sebelum kami merakam suara di sana untuk lagu ini, dia ajak saya menonton filem Ayat Ayat Cinta.

“Kebetulan filem itu masih ditayang di Indonesia. Mungkin itulah cara Melly mewujudkan keserasian, lalu mengurangkan perbezaan atau jurang sesama kami.

“Apabila Melly menyatakan persetujuan untuk memberikan lagu sekali gus menyanyikannya bersama saya, memang terkejut sebab tak sangka perkara ini benar-benar berlaku,” ungkap Yusry sambil tersenyum manis.

Ditanya tentang reaksi pemuda kacak ini apabila dia dapat bergandingan dengan wanita berbakat ini, hingga melakar sejarah penyanyi Malaysia pertama berduet dengan Melly, ringkas sahaja butir bicara Yusry.

“Tak sukar bekerjasama dengan Melly kerana dia amat senang menunjukkan komitmen, malah dia juga memberi pelbagai idea untuk pembikinan video klip yang menjalani penggambaran di sebuah studio di Jakarta,” akuinya.

Kosmo

Riz's Living His Dream

2 Oct

Despite the slow market, Riz hopes to record a full album.

Riz already has three singles under his belt, fresh from coming in first runner-up in this year’s Akademi Fantasia. But the lad is not resting on his laurels, as SHUIB TAIB finds out.

TAKING part in this year’s Akademi Fantasia (AF) was the best thing to have happened for Riz. He won prizes worth RM100,000 as first runner-up but it is nothing compared to seeing his parents back together again.

The reality TV star, who took part in TV3’s Gangstarz and 8TV’s One In A Million (first season) earlier on, was among the few AF students who performed consistently week after week.

But being completely cut off from the outside world, Riz (whose real name is Mohammed Idris Mohd Zaizizi) said that he was in limbo during his AF days.

“When I entered the academy, my parents had kind of separated. During the first week, my dad did not come to see me perform. Only my mum came. In the second week, I saw both in the audience but they did not sit together.
“By the third week, I spotted them in the audience and this time they were sitting together. Although my heart leapt, I wasn’t sure whether they had reconciled. Having no contact with the outside world didn’t help either so I assumed that they were back together,” said Riz.

True enough, his parents had reunited. For Riz, that was the best present ever.

Now, the singer, who is often likened to Indonesia’s actor-cum-host Nicholas Saputra, is living his dream.

His first single, Harus Ku Yang Pergi, composed and written by Ajai is enjoying regular airplay.

His second single, Bermula Semula (Ajai/Abie), and third, Ku Pinjam Satu Bintang (Ajai/Slen), are expected to follow suit.

Riz dueted with Alya, One In A Million contestant and former Fabulous Cat member, in Ku Pinjam Satu Bintang.

They recently flew to Jakarta, Indonesia to shoot a video clip for the song. It is believed that the video costs RM80,000.

“I feel that every sen was worth it. We hired famed Indonesian director Hady to direct the clip. He has directed music videos for Anuar Zain (Lelaki Ini and Ketulusan Hati) and Indonesia’s Agnes Monika (Matahariku),” said Riz.

Needless to say, he is pleased with the results.

Asked why he did not use local talents to shoot the clip, Riz, 21, said that Ajai and Hady go back a long way.

“Yes, we have local talents but Ajai and I wanted something different. Hady is well known for his work.”

While in Indonesia, Riz observed the professional work culture there.

“The production crew was alert and accommodating. Whenever someone called ‘cut’, we would be offered a drink or a chair. They treated us like stars.

“Hady always knew what to say to get what he wanted out of me and Alya,” said Riz.

The music video will be available for viewing by year end.

Apart from the three singles, and Hanya Sandiwara (Shaliza Abu Bajar/Dean), which was specially written for Riz for the AF final, he plans to record a full album.

“All I need is another four new songs before I can release a full album. I am still collecting material and I hope fans can wait. I don’t want to rush it and come out with a half-baked, half-hearted album,” said Riz, adding that it’s his dream to record songs by Aidit Alfian, Audi Mok, Hazami and Indonesia’s Melly Goeslaw.

Does he want to team up with any other female singer?

“Oh definitely! I really adore the vocal stylings of my former AF colleague Nadia, Jaclyn Victor and Datuk Siti Nurhaliza,” said Riz who flew to Gold Coast, Australia several months ago to shoot TV programmes for Astro in conjunction with Hari Raya.

(Fans can catch him on Konsert Superstar AF6, Rumah Terbuka AF6 and Corak Coret Raya, all over Astro Ria.)

Any tips for those planning to take part in next year’s Akademi Fantasia?

“First of all, you must have talent. Before you enter AF, karaoke as much as you can for practice. Don’t go for glamour; if you do then the show is not for you. It’s really for those who are passionate about the arts and knowledge.

“Try to get used to not having a handphone. Going without can drive you up the wall!”

New Straits Times

Animasi TMNT Versi Bahasa Melayu

24 Sep

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


BARISAN artis yang terlibat dalam alih suara filem animasi Teenage Mutant Ninja Turtles.

SEKITAR tahun 2006 lalu, Star Movies (saluran 413, Astro) menyiarkan sebuah filem animasi tentang kehidupan robot yang penuh warna-warni dalam Robots.

Dialih ke bahasa Melayu, Robots yang menggunakan suara latar pelakon serta personaliti tempatan popular dilihat berjaya menarik maklum balas memberangsangkan.

Justeru, atas dasar percaya bahawa penyesuaian mengikut masyarakat setempat adalah cara terbaik dalam memenuhi cita rasa penonton, Star Movies mengambil inisiatif sama untuk menayangkan filem Teenage Mutant Ninja Turtles (TMNT).

Bakal ditayangkan pada 28 September ini, versi bahasa Melayunya akan dihidupkan melalui suara latar personaliti ternama seperti Mawi, Aznil Nawawi, Kieran, Nabil (Raja Lawak Astro), Dafi, Sarimah Ibrahim, Salih Yaacob, Zahid dan Ekin.

Mawi menyumbangkan suaranya untuk watak Leonardo, yang menggunakan suara James Arnold Taylor dalam versi Hollywood.

“Ini merupakan penglibatan pertama saya dalam menyumbang suara untuk filem animasi.

“Nampak seperti mudah tetapi ia sebenarnya cukup mencabar terutama ketika hendak menyamakan suara dan pergerakan mulut.

“Proses rakaman suara mengambil masa enam jam dan dialog Leonardo merupakan antara yang paling banyak di samping watak lain,” kata Mawi ketika ditemui pada majlis pelancaran TMNT versi bahasa Melayu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Mawi, Aznil pula menyumbangkan suara dalam membawakan watak Raphael manakala Donatello (Keiran) dan Michelangelo (Nabil).

Sementara Dafi pula adalah Casey Jones, sahabat lama kumpulan empat penyu terbabit, Sarimah (April O’Neill), Salih Yaacob (Master Splinter), Zahid (Max Winters) dan Ekin (Karai).

Suara-suara terkenal lain termasuklah Datuk Jalaludin Hassan, Edlin, Zizan, Ahmad Tarmimi Siregar, Shawal, Nubhan serta Awal Ashaari.

Tidak ketinggalan, wakil-wakil media turut diundang terlibat sama dalam projek istimewa Star Movies ini.

Antara wakil media yang terlibat ialah Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh, Penolong Pengarang Hiburan New Straits Times, Faridul Anwar serta wartawan Abie Abdullah (Metro Ahad), Haswari Ali (murai.com) dan penyampai berita Gala TV (Astro), Syazwan Zakariah.

Alih suara bahasa Melayu dan Indonesia

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Star TV (Asia Tenggara & Hong Kong), Nini Yusof berkata, selain bahasa Melayu, TMNT turut dialih ke bahasa Indonesia untuk penonton Star Movies di negara terbabit.

“Antara bintang-bintang ternama Indonesia yang terlibat adalah Nicholas Saputra, Fauzi Baadilla, Surya Saputra, Julie Estelle, Tio Pakusadewo dan Atiqah Hasiholan.

“Membawa filem-filem animasi barat kepada penyesuaian mengikut masyarakat setempat mampu membuatkan Star Movies menjadi saluran filem utama di negara ini.

“Kita lihat pada 2006, Robots berjaya mencatatkan rating nombor satu ketika ia ditayangkan dan kami tidak menolak kemungkinan, projek yang sama akan diusahakan lagi pada masa depan,” ujarnya.

Apa kata Nicholas Saputra?

Sama seperti Mawi, pelakon popular Indonesia, Nicholas Saputra turut tidak ketinggalan dalam menyumbang suara untuk watak Leonardo.

Mengakui meminati TMNT, ini juga pengalaman pertama bagi Nicholas dalam kerja-kerja alih suara.

”Saya hanya mengambil masa selama tiga jam untuk proses rakaman,” katanya yang akan muncul untuk dua filem terbarunya iaitu Drupadi dan 3 Doa 3 Cinta.

Ditanya mengenai perkembangan terkini kariernya, Nicholas berkata, filem Drupadi merupakan filem yang kembali menggandingkan antaranya dan Dian Sastrowardoyo selepas tujuh tahun tidak bersama.

”Kali terakhir kami berlakon sama adalah filem Ada Apa Dengan Cinta iaitu sekitar tahun 2001,” tambahnya.

Utusan Malaysia

Membangunkan Budaya Filem

24 Aug

Oleh Norman Yusoff

Budaya filem adalah penting bagi menjamin kelangsungan sesebuah industri filem. Budaya filem wujud di mana-mana saja filem-filem ditayangkan, ditulis dan diwacanakan. Budaya filem adalah satu proses yang diukur oleh segala wacana yang berkisar kepada filem-filem dan urusan berkenaan, kraf produk filem dan juga industri yang melahirkannya. Semua wacana ini akan membentuk segala nilai, amalan, aktiviti dan institusi. Dalam konteks negara kita, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sepatutnya menjadi antara badan yang bertanggungjawab membangunkan budaya filem di Malaysia.

Pada salah satu hari Sabtu dalam bulan Mei yang lepas, saya berada di pawagam Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menonton filem tempatan yang menjadi siri program “merakyatkan filem” yang dianjurkan oleh Finas. Bagaimanapun, filem yang menjadi pilihan untuk tayangan adalah Mr. Os (1987) arahan A.R.Badul. Persoalannya di sini, tidak cukupkah filem-filem dan drama tempatan yang ada sekarang menghina dan meremehkan intelligence para penonton? Malah, tayangan untuk bulan Jun juga adalah sebuah lagi filem arahan A.R.Badul, Keluarga 99 yang diterbitkan pada 1987. Sebenarnya, biarkan saja filem-filem ini diulang berkali-kali tayangan di saluran televisyen tempatan.

Siri program “merakyatkan filem” anjuran Finas ini adalah satu usaha yang baik sebenarnya jika tujuannya adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan filem. Tetapi usaha ini haruslah dilakukan bersungguh-sungguh sehingga dapat membangunkan budaya filem yang sebenar. Selain dapat memupuk masyarakat mencintai dan menghargai filem-filem tempatan, tujuan yang lebih utama adalah dapat meningkatkan tahap kecelikan filem di kalangan masyarakat.

Menerusi program seumpama ini, Finas sebenarnya dapat mempromosi berkenaan pendidikan terhadap seni filem dan imej bergerak secara umumnya, dan melihat impaknya kepada masyarakat. Selain itu, Finas perlu mempromosi akses kepada banyak filem-filem tempatan dan seluruh dunia, dan juga aspek apresiasi filem-filem ini.

Jika tujuan program ini untuk menayangkan filem-filem lama (terutamanya yang dihasilkan di sekitar 1980-an), Finas sepatutnya memilih filem-filem yang jarang ditayangkan di kaca televisyen dan filem-filem yang kurang mendapat sambutan tetapi mempunyai nilai-nilai tertentu yang boleh diapresiasikan. Contohnya, Abang (arahan Rahim Razali, 1981), Pemburu (arahan Rahim Razali, 1982), Langit Petang (arahan Shahrom Md. Dom, 1982), Kami (arahan Patrick Yeoh, 1982), Ranjau Sepanjang Jalan (arahan Jamil Sulong, 1983), Jasmin (arahan Jamil Sulong, 1984), Jasmin 2 (arahan Kamarul Ariffin, 1986), Tsu-Feh Sofiah (arahan Rahim Razali, 1986), Kembara Seniman Jalanan (arahan Nasir Jani, 1986), Rahsia (arahan Othman Hafsham, 1987), Yassin (arahan Kamarul Ariffin, 1989), dan beberapa lagi.

Saya tidak mengatakan ini adalah senarai filem-filem Melayu terbaik keluaran 1980-an tetapi saya percaya filem-filem ini perlu ditonton oleh generasi muda hari ini kerana mengandungi nilai-nilai dan pemikiran tertentu yang dibawa. Selain itu, filem-filem ini juga adalah filem-filem yang telah mendapat anugerah di festival filem Malaysia sebelum ini, dan kebanyakannya pula tidak kerap ditayangkan di kaca televisyen.

Filem Ranjau Sepanjang Jalan umpamanya yang diadaptasi dari novel karya Shahnon Ahmad pernah ditayangkan di salah satu saluran televisyen di Australia, Special Broadcasting Service (SBS) dan sudah tentu generasi muda hari ini tidak pernah menonton filem ini. Filem ini juga telah memberi inspirasi kepada salah seorang pengarah terkenal Kemboja, Rithy Panh dan produser filem Perancis menghasilkan sebuah filem Kemboja, Rice People (1994) yang juga berdasarkan dari novel yang sama karya Shahnon Ahmad. Malah, Finas juga boleh menayangkan kedua-dua buah filem ini sebagai perbandingan. Selain Ranjau Sepanjang Jalan, saluran televisyen Australia tersebut pernah menayangkan filem Matinya Seorang Patriot (arahan Rahim Razali, 1984) dan Kaki Bakar (arahan U-Wei Haji Saari, 1995).

Pada Julai lalu, program ini juga diselitkan sebagai salah satu acara sempena sambutan Festival Kuala Lumpur 2008. Filem-filem tempatan yang terpilih ditayangkan di pawagam Coliseum dan juga Galeri Perfileman Finas, Jalan Pahang. Antara filem tempatan yang terpilih adalah Duyung (arahan A. Razak Mohaideen), 1957: Hati Malaya (arahan Shuhaimi Baba), Dunia Baru The Movie (arahan Hitler Zami), Kala Malam Bulan Mengambang (arahan Mamat Khalid), Cuci (arahan Hans Isaac), Congkak (arahan Ahmad Idham) dan Akhirat (arahan Syed Mohamad).

Saya merasakan selain filem-filem yang disenaraikan ini, ada filem-filem lain yang memaparkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia perlu ditayangkan (terutamanya bagi tatapan pelancong luar negara). Antaranya adalah Mukhsin (arahan Yasmin Ahmad) yang baru ditayangkan di Manhattan baru-baru ini; Flower in the Pocket (arahan Liew Seng Tatt) yang meraih anugerah di Pusan, Rotterdam dan Fribourg, Switzerland; dan Chalanggai (arahan Deepak Kumaran Menon) yang mendapat anugerah filem digital terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 tahun lalu.

Setakat ini, Finas memang telah membuat beberapa siri program tayangan filem tetapi ibarat melepaskan batuk di tangga. Pemilihan filem juga merupakan faktor yang penting dalam menjayakan program seumpama ini. Malah kebanyakan program tayangan filem di Kuala Lumpur dijayakan oleh pihak lain. Antaranya adalah Kelab Seni Filem Malaysia (di Kolej Universiti HELP), Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPac), Sentul dan beberapa lagi. Finas perlu lebih agresif dalam hal ini. Lihat saja British Film Institute (BFI) yang dengan sendirinya menguruskan beberapa buah pawagam art house di seluruh Britain dengan tayangan filem-filem terpilih dari Britain dan seluruh dunia. Selain itu, BFI juga mempunyai arkib filem yang terbesar di dunia dan juga mengendalikan aspek penerbitan seperti DVD dan juga buku-buku (yang kebanyakannya akademik sifatnya) serta majalah filem yang terkenal, Sight and Sound. BFI juga bertanggung jawab menganjurkan Festival Filem London yang diadakan saban tahun.

Usaha Finas di dalam aspek penerbitan buku wajar dipuji. Sudah beberapa buah buku berkenaan dengan sinema Malaysia, filem dan juga industri filem telah diterbitkan; antaranya adalah Jejak Terbilang, Sutradara Kontemporari Malaysia, Malaysian Films: The Beginning, Prinsip Filem Dokumentari: Penilaian, Penceritaan & Kritikan, dan beberapa lagi. Finas sepatutnya memperkembangkan lagi aspek penerbitan ini dan perlu bekerjasama dengan banyak pihak. Penerbitan majalah berskala Sinema Malaysia memerlukan kemajuan dari segi pengisiannya. Majalah ini tidak sepatutnya hanya menjadi buletin biasa yang memuatkan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan Finas dan juga tulisan berkenaan filem tempatan yang hanya memuatkan sinopsis cerita dan pandangan superfisial para penulis. Majalah ini perlu memuatkan artikel-artikel yang lebih serius tentang filem dan juga ulasan-ulasan filem yang lebih mendalam dan kritis pendekatannya.

Program Apresiasi Filem yang dijalankan oleh Finas adalah satu usaha yang baik sebenarnya. Bagaimanapun, setakat ini program Apresiasi Filem ini kurang menyerlah kerana perbincangan dan wacana kurang pengisian. Malah, para panel juga seringkali hanya menceritakan hal-hal dalam produksi dan masalah yang mereka hadapi sewaktu penggambaran filem. Ada juga sesi apresiasi ini melibatkan hal-hal yang bersifat peribadi. Ini semua bukanlah apresiasi filem.

Apresiasi filem haruslah melibatkan aspek wacana yang lebih serius dengan melihat bagaimana elemen-elemen dalam filem (bentuk naratif, mise-en-scene, sinematografi, suntingan, bunyi) yang diwacanakan itu berfungsi dan berperanan, dan memberi kesan tertentu. Boleh juga melihat bagaimana elemen-elemen ini berinteraksi antara satu sama lain untuk mengangkat filem tersebut sebagai satu sistem yang menyeluruh. Apresiasi filem juga boleh dikendalikan dengan melihat sesebuah filem dari perspektif lain yang merentasi disiplin (bukan sahaja filem sebagai filem, atau filem sebagai seni); contohnya, filem sebagai produk budaya popular, filem sebagai sumber ilmu (pengetahuan) dalam mengangkat sesuatu idea falsafah, persoalan politik representasi yang melibatkan gender, seksualiti, kaum dan kelas sosial, dan berbagai lagi.

Salah satu lagi aktiviti tahunan yang diharap dapat menyemarakkan budaya filem ialah Festival Filem Malaysia (FFM) yang sudah diadakan sebanyak 21 kali. Setakat ini, FFM kurang mendekati khalayak dan Finas serta penganjur lain lebih menekankan hal-hal yang bersifat glamor dan bergemerlapan sahaja. FFM ini sebenarnya perlukan perubahan yang radikal jika ingin meningkatkan kualiti penganjurannya. Bersesuaian dengan temanya yang saban tahun menekankan “kecemerlangan.”

Antara perkara yang penting adalah berkenaan pengadilan filem yang dijalankan oleh juri-juri yang terpilih. Sebelum ini Finas telah menganjurkan sebuah seminar hanya membincangkan tentang kaedah penjurian tetapi bagaimana pula filem-filem yang dipertandingkan dinilai? Apakah kriteria yang paling penting dalam memilih sebuah filem terbaik dengan cara yang lebih objektif? – adakah tahap realismenya?; tahap pengucapannya (expressiveness) dari segi stail visual?; inovasi dalam konteks genre?; ataupun lain-lain kualiti yang memberangsangkan? Bila menilai sesebuah filem, perlu diingat yang tidak ada satu pendekatan stail atau tradisi filem yang “lebih baik” dari yang satu lagi. Sudah tentu banyak faktor yang perlu diambil kira.

Sudah tentu kita tidak mahu apa yang berlaku di Indonesia terjadi di sini. Contohnya pada tahun 2006, seramai 25 orang penggiat filem mereka (termasuklah pelakon popular Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo) telah memulangkan semula piala Citra yang dimenangi mereka pada festival filem Indonesia yang sebelumnya. Mereka melakukan protes kerana tidak puas hati kerana festival pada tahun tersebut memberi kemenangan kepada filem yang rata-ratanya dikatakan rendah kualitinya, Ekskul (arahan Nayato Fio Nuala).

Kita seharusnya belajar daripada peristiwa ini. Pihak kerajaan juga seringkali meuar-uarkan tentang pembangunan “modal insan.” Justeru, inilah masanya rakyat kita didedah dan dipupuk dengan budaya seni yang lebih menyeluruh (termasuklah seni filem dan imej bergerak). Kita percaya yang kehidupan yang maju dan menyeluruh tidak bersandarkan kepada kesejahteraan ekonomi dan material semata-mata; ia juga dijamin dan perkayakan menerusi kesenian. Selain institusi pendidikan, Finas juga dapat bersama-sama membantu dalam melahirkan lebih ramai generasi yang celik filem di kalangan penggiat, peminat filem dan khalayak umum kerana ini juga akan membantu membangunkan industri filem dalam tempoh jangka panjang.

Di sinilah Finas sepatutnya memainkan peranannya secara lebih serius dan perlu memastikan yang perubahan akan berlaku dengan jayanya. Oleh kerana seni filem bukan hiburan semata-mata tetapi juga “santapan minda,” aktiviti-aktiviti seperti tayangan dan apresiasi filem, penerbitan dan penulisan, dan juga penganjuran filem festival adalah sangat signifikan dalam membentuk budaya filem yang lebih intelektual di Malaysia.

Utusan Malaysia

Peminat Nico Kotakan Impian Bertentang Mata

2 Jun

SUDAH lima kali Angelina Kosasih menonton filem Ada Apa Dengan Cinta.

Justeru, remaja Indonesia berusia 17 tahun yang menetap di Singapura sejak dua tahun lalu itu begitu gembira apabila berpeluang bertentang mata dengan bintang filem itu, Nicholas Saputra.

‘Nico memang besar dan popular di Indonesia. Saya ke Kem Obor untuk tahu selok-belok menjadi wartawan. Sebabnya, saya bercita-cita untuk menjadi wartawan penyiaran dan pembaca berita.

‘Tidak sangka, dapat bertemu dengan selebriti – kedua-duanya dari Indonesia pula – Nico dan The Lima.

‘Ya… kalau boleh ketemu Irwansyah, Dian Sastro, Acha Septriasa, bagus juga!’ katanya.

Angelina memang petah berbual dan menjadi tunggak kumpulannya. Malahan, dalam sesi kenal suai pada awal kem, dia juga begitu yakin menyanyikan lagu Hero, dendangan Mariah Carey dalam terjemahan bahasa Melayu yang indah.

‘Hero itu antara lagu kegemaran saya. Ia memberi saya kekuatan diri dan semangat. Sebab itu, saya mudah menghayatinya,’ katanya yang memenangi hadiah tiket-tiket filem bagi pasukan Editor.

Tentunya, yang paling gembira pada kem minggu lalu ialah pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS), Siti Nadiah Abdul Rahim, 15 tahun. Hari lahirnya yang jatuh pada hari terakhir kem pada 28 Mei lalu diraikan oleh peserta Kem Obor yang lain.

‘Saya memang jenis gadis guy-crazy. Sungguh ghairah jika nampak selebriti lelaki.

‘Walaupun saya pertama kali kenal dengan kumpulan The Lima, saya rasa mereka cukup hebat. Saya bukan seorang peminat artis Indonesia tetapi nenek saya memang kaki sinetron.

‘Saya juga amat gembira kerana dapat menyambut hari lahir saya di Kem Obor. Dialunkan lagi lagu Happy Birthday oleh The Lima… aduh… sungguh manis pengalamannya,’ tambah Siti Nadiah.

Powered by Cyberita

Camelia Bersama Selebriti Dunia

13 Apr

Oleh WANDA IDRIS

CAMELIA bersama pemain bola sepak Jepun, Hide Nakata.

CAMELIA, namanya tidak sahaja harum di persada nyanyian tetapi turut menjadi perhatian dalam dunia kecantikan khususnya arena fesyen tempatan dan luar negara. Malah anak Sarawak ini antara nama popular tempatan yang sering muncul menghadiri pelbagai acara fesyen bertaraf dunia yang dihadiri selebriti terkenal antarabangsa.

Dia mempunyai persona tersendiri membuatkan insan bernama Dayang Nur Camelia Abang Kahlid ini sering kali menjadi pilihan jenama mewah untuk dipelawa menghadiri acara-acara fesyen tidak kira di dalam mahupun di luar negara.

Terbaru, pada 14 Mac lalu, dia menjadi satu-satunya artis Malaysia yang diterbangkan ke Hong Kong untuk menyaksikan pembukaan butik Louis Vuitton (LV) di Canton Road Maison yang berkeluasan 1,749 kaki persegi dan merupakan butik kedua terbesar dunia selepas butik di Champs Elysee.

Mungkin ramai beranggapan kemunculan seperti itu hanya sekadar untuk bersuka-suka, menyaksikan pembukaan butik dan pertunjukan fesyen dan kemudian berparti.

Pun begitu bagi Camelia yang mesra dipanggil Mimie ini, kemunculannya pada acara-acara sedemikian bukan sekadar bersuka ria dan berkongsi rasa dan minat terhadap seni khususnya fesyen dan hiburan.

Lebih penting, ia menjadi landasan bagi dirinya untuk memperkenalkan diri sekali gus memperluaskan rangkaian perhubungan dengan mereka yang berkongsi cita rasa yang sama terhadap dunia seni fesyen dan muzik.

“Ia bukan tentang fesyen semata-mata tetapi tentang peluasan rangkaian yang tak ternilai harganya. Sebab apabila kita menghadiri acara, kita akan bertemu ramai orang.

“Seperti kemunculan saya di Hong Kong tempoh hari. Saya bukan sahaja bertemu dengan orang kuat Louis Vuitton Asia tetapi seluruh dunia yang berkumpul di sana. Antaranya Ketua Pegawai Eksekutif dunia Louis Vuitton iaitu Yves Carcelle.

“Malah saya juga sempat bertemu dan berkenalan dengan anak kepada pemilik LVMH Bernard Arnault iaitu Antoine Arnault yang turut hadir memeriahkan majlis.

“Selain itu saya juga berjumpa dengan ramai editor majalah, jurugambar dan pereka fesyen dunia dan sebenarnya perkara-perkara seperti inilah yang menjadikan perjalanan menghadiri acara fesyen satu pengalaman berharga.

“Manalah tahu, melalui pertemuan dan perkenalan seperti itu, saya akan mendapat peluang lain sama ada ditawarkan untuk membuat persembahan nyanyian atau mungkin juga ada jurugambar yang berminat untuk memotret saya,” jelas Camelia.

Katanya lagi, menghadirkan diri di acara-acara bertaraf dunia juga dapat mempertingkatkan semangat dan keyakinan dirinya lebih-lebih lagi kerana berkumpul dengan mereka yang memiliki kecintaan yang sama.

“Mereka mencintai seni, mereka mencintai muzik. Mereka mencipta seni dan mereka mencipta muzik. Itu antara perkara yang menyeronokkan untuk dikongsi bersama,” kata Camelia.

Pada pelancaran pembukaan butik jenama mewah terkenal Perancis itu, Camelia turut berkesempatan bertemu dengan ramai selebriti jemputan dunia antaranya pemain bola sepak dan ikon fesyen Jepun, Hide Nakata, pelakon Indonesia, Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo serta pemenang Anugerah Grammy, Kanye West yang turut mengadakan persembahan selama sejam pada majlis pascapelancaran itu yang berlangsung pada sebelah malamnya.

Turut hadir termasuklah model Hong Kong Qiqi dan suaminya, aktor Simon Yam, Anthony Wong dan Charlie Young serta personaliti TV terkenal Filipina yang juga cucu kepada bekas presiden Ferdinand Marcos iaitu Borgy Manotoc.

Wajah-wajah Malaysia yang hadir pula selain Camelia ialah Pengarah Urusan YTL Corporation Berhad, Tan Sri Francis Yeoh, aktres Datuk Michelle Yeoh dan beberapa pelanggan setia Louis Vuitton tempatan.

“Dan pada perasmian pembukaan butik LV itu, aktor Chow Yun Fatt turut diberi kesempatan mengadakan pameran koleksi foto-foto yang dirakamkannya,” kata Camelia lagi.

Mengenakan persalinan Louis Vuitton dari hujung rambut ke hujung kaki pada acara pembukaan butik, Camelia kemudian menukar persalinan kepada kebaya renda emas yang dikenakan bersama skirt pendek dan tali pinggang besar kala meraikan majlis pascaacara. Kebaya renda indah itu direka oleh teman ibunya bernama Tuti dan pernah digayakan sewaktu majlis perkahwinan adiknya tidak berapa lama dahulu.

Menariknya, kebaya yang digayakan Camelia itu mendapat perhatian ramai sehinggakan Editor majalah Vogue Taiwan bertanyakan kepadanya sama ada baju itu rekaan Marc Jacobs yang juga merupakan pengarah kreatif LV.

“Kebaya itu menarik perhatian ramai. Kanye West sendiri tertarik dengan rekaannya. Buat saya, ia memang sesuatu yang membanggakan. Saya sengaja memilih untuk memakai bersama skirt dan tali pinggang untuk menampakkan kelainan dan kelihatan moden,” jelas Camelia yang mengakui teruja menyaksikan keindahan malam di barat Kowloon ketika menghadiri parti tersebut.

“Ia sebuah acara gilang-gemilang. Persembahannya, kerlipan lampunya memang mengagumkan. Bayangkan, pascaacara pembukaan itu dilangsungkan dalam sebuah khemah yang sebegitu besar yang dibahagikan kepada dua bahagian.

“Layanan mereka juga sungguh mesra dan terasa diri begitu dihargai. Saya benar-benar berbangga dipilih sebagai wakil Malaysia. Bukan tidak pernah menghadiri acara seperti ini malah saya pernah ke Paris atas jemputan. Tapi jemputan ini adalah daripada wakil LV Malaysia sendiri,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Tidak Cantikkah Wajah Melayu Tulen?

30 Dec

Oleh: WANDA IDRIS

JIKALAU menonton drama-drama Indonesia atau lebih dikenali dengan nama sinetron hari ini, tidak dinafikan begitu ramai wajah-wajah indah pria dan gadisnya. Semakin jarang pula dapat melihat wajah-wajah aslinya kecuali kepada mereka yang memegang watak-watak sampingan umpamanya orang gaji atau sebagai tukang kebun.

Hero dan heroin dalam kebanyakan sinetron yang disiarkan adalah terdiri daripada wajah-wajah kacukan yang pastinya kacak, cantik lagi bergaya. Nama-nama seperti Tamara Bleszynski, Cinta Laura Kiehl, Nicholas Saputra dan Laudya Cynthia Bella umpamanya bukan sahaja menghiasi kebanyakan layar. Malah mereka juga gah sebagai model dan jurucakap produk kecantikan bertaraf antarabangsa.

Ke mana perginya wajah-wajah tulen Indonesia seperti Widyawati atau Rima Melati yang gah pada tahun-tahun 70-an? Tidak dinafikan ramai menganggap wajah pan-Asian satu kelebihan untuk menempatkan diri dalam bidang seni. Sementelah wajah-wajah mereka tidak sahaja cantik tetapi juga unik.

Tidak terkecuali di negara ini. Bukan tidak ada wajah pan-Asian yang hadir ke persada seni tanah air suatu ketika dahulu malah mereka punya pengaruh besar dalam industri.

Lihat sahaja kejayaan nama-nama seperti Sofia Jane, Julia Rais, Deanna Yusuf mahupun Ramona Rahman. Mereka hadir dengan pakej – bakat dan kecantikan.

Hari ini beberapa nama menarik perhatian masyarakat khususnya penggemar drama dan filem tempatan. Angkatan muda generasi pan- Asian yang terjun ke dunia lakonan tempatan termasuklah Maya Karin, Nora Danish, Natasha Hudson, Diana Danielle, Ahsraff Sinclair dan Catriona Ross.

Nyata mereka berjaya mencipta nama apabila drama-drama lakonan mereka mendapat sambutan dan pujian penonton. Lihat sahaja drama bersiri Puteri lakonan Nora Danish yang diminati tidak sahaja golongan muda tetapi juga dewasa.

Malah Catriona Ross pernah menjulang namanya menerusi drama Sephia yang popular suatu ketika dahulu di TV3. Begitu juga dengan penampilan Diana Danielle dalam drama-drama Sembilu, Janji Diana dan Airmata Maria yang kini semakin mendapat perhatian penonton.

Namun tidak dinafikan ada juga yang hadir dengan lakonan ‘kayu’, tidak berkesan dengan sebutan bahasa Melayu yang janggal bunyinya.

Bagi Diana Danielle, tidak kira apa juga wajahnya, untuk terjun ke dalam industri perlulah seiring dengan bakat.

“Dan hari ini semakin ramai penerbit dan pengarah yang memberi peluang kepada anak-anak pan- Asian menunjukkan bakat mereka,” katanya. Namun bagi anak kacukan Melayu-Amerika ini, memiliki wajah pan Asian sepertinya menyekat peluang melakonkan pelbagai watak.

“Bukan tidak boleh berlakon tapi adakalanya tidak sesuai untuk menjadi gadis kampung berbeza dengan mereka berwajah Melayu yang boleh membawakan apa jua watak sedangkan pan-Asian agak stereotaip ,” katanya yang mengakui kehadiran artis berwajah pan Asian dapat menyerikan lagi industri.

Sememangnya melihat kemunculan golongan berdarah kacukan ini yang semakin hari semakin ramai ini tidak mustahil satu hari nanti industri kita juga mengalami senario yang sama dengan Indonesia.

Namun persoalannya apakah wajah Melayu tulen sudah tidak cantik lagi di mata para penggemar dan pembuat drama? Atau apakah nilai komersil wajah pan-Asian ini lebih tinggi berbanding wajah Melayu jati?

Sudah tidak boleh jualkah wajah tulen Melayu, India dan Cina di negara kita? Kita punya wajah Melayu yang berbakat besar dalam dunia lakonan. Umie Aida, Vanidah Imran, Haliza Misbun dan Erra Fazira adalah sebahagian daripadanya.

Mereka pernah mengungguli layar televisyen dan layar perak namun tanpa tidak mustahil suatu hari nanti wajah-wajah seperti mereka tidak lagi menjadi taruhan malah mungkin semakin kurang menghiasi layar sebagai pemegang watak utama.

Nasib wajah tulen baik Melayu, India dan Cina mungkin akan terpinggir atau hanya diberi watak sampingan. Sekarang ini pun, di Malaysia semakin banyak menonjolkan wajah-wajah kacukan dan Inggeris tulen sebagai pelaris untuk dunia pengiklanan.

Bukan tidak ada wajah tulen Melayu yang dipilih malah Fasha Sandha antara artis bertuah menjadi pilihan banyak jenama untuk menjadi duta bertaraf antarabangsa.

Tetapi persoalannya berapa kerat wajah Melayu yang diserlahkan dalam dunia pengiklanan itu sendiri hari ini dan pada masa hadapan?

Dalam dunia lakonan pula, cukupkah kita sekadar mengukur wajah yang cantik tanpa menghiraukan bakat yang ada? Kerana rasanya semakin ramai khalayak yang sudah bijak menilai bakat.

“Kita umpama kebanjiran artis,” demikian kata pelakon Haliza Misbun ketika ditanya mengenai senario ini. Kebanyakan kemunculan mereka kata Haliza, sekadar memeriahkan bukan benar-benar kerana menyintai seni.

“Seni ini satu perjuangan. Jatuh bangun orang seni adalah kerana seninya. Tapi ada kalangan mereka yang hadir dalam industri sekadar dua tiga tahun. Kemudian menghilang. Ada yang kahwin selepas bertemu jodoh dengan golongan berada. Itu jiwa seni yang tak sejati,” ujar Haliza.

Bagaimanapun tegasnya, dia tidak pernah mempersoalkan kredibiliti artis-artis pan-Asian dahulu seperti Sofia Jane, Ramona Rahman dan Julia Rais kerana bagi aktres ini, mereka memang berbakat besar dalam lakonan.

“Malah sehingga kini saya mengagumi Julia Rais,” akuinya. Namun ketaksuban industri itu sendiri terhadap wajah-wajah kacukan sebenarnya menyumbang kepada kebanjiran artis berwajah pan-Asian.

“Tapi kalau orang menghargai muka Melayu maka orang berwajah Melayu juga boleh berjaya. Lihatlah wajah-wajah asli seperti Erra dan Camelia,” katanya. Tanpa memperlecehkan bakat dan pakej yang ada pada seorang pan-Asian namun harapan Haliza, pihak di belakang tabir seperti pengarah dan penerbit haruslah adil memberi peluang sama rata tidak kira kepada orang melayu, Cina, India mahupun pan-Asian.

Malah seeloknya janganlah sampai ada larangan atau peraturan yang menyekat ‘periuk nasi’ mereka berwajah pan-Asian seperti yang pernah berlaku ketika suatu ketika dulu.

Namun jika benar satu hari nanti senario kebanjiran wajah pan-Asian berlaku sehingga mengabaikan pemilih wajah Melayu tulen dan menidakkan bakat dan kecantikan asli yang dimiliki, pasti sahaja kita perlu menilai semula kewajarannya.

Powered by Utusan Malaysia