Archive | Siti Nursaida RSS feed for this section

Hanya Tinggal Kenangan

16 Feb

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


PENGHORMATAN terakhir daripada Siti Salmah, Siti dan Saerah.

KEGEMBIRAAN menjamah makanan kegemaran bapanya iaitu hidangan kari kepala ikan bersama-sama suami tersayang, minggu lalu kini hanya tinggal kenangan buat Siti Nurhaliza.

Malah, tiada lagi gurau senda yang selalunya membuatkan seisi keluarga ketawa kelucuan apabila Tarudin Ismail, 67, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa, baru minggu lalu dia dan Siti pulang ke kampung halaman di Kuala Lipis, Pahang, untuk bertemu dengan kedua-dua ibu bapa mentuanya.

Tidak disangka pertemuan itu merupakan saat terakhir mereka bersama arwah, apatah lagi kepulangan mereka berdua disambut cukup luar biasa oleh arwah.


DATUK KHALID

“Masa kami balik, arwah beli tiga ekor ikan dan masak tiga jenis lauk termasuk kari kepala ikan. Kegembiraannya pada saya lebih daripada kebiasaannya.

“Arwah tidak makan, sebaliknya gembira bila tengok kami makan. Sempat juga kami habiskan masa dengan arwah dan arwah ada juga menyebut tentang cucu daripada Siti dan kata boleh cari ikhtiar pelbagai cara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, seluruh keluarga tidak dapat menerima pemergiannya kerana begitu cepat kerana ketika dibedah kami semua yakin yang dia akan pulih.

Ini termasuklah isterinya, kerana terdapat dua tiga perkara yang belum sempat diberikan kepada arwah.

“Siti terkilan kerana arwah mengingin cucu daripadanya dan hajatnya itu tidak sampai.


SUASANA pilu menyelubungi Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang Puteri. Datuk Khalid dan Siti berkongsi emosi bersama ahli keluarga.

“Selain itu Siti dan abangnya Ayie ada merancang untuk membawa arwah pergi menunaikan Haji tahun ini, tetapi apa nak buat Tuhan lebih menyayanginya,” tuturnya.

Dalam pada itu, kesedihan jelas terpancar di wajah Siti, kerana saat ditemu bual Siti gagal mengawal emosi dan air matanya jatuh berlinangan apabila mengenangkan sejak kebelakangan ini arwah bapanya gemar pergi memancing bersama abangnya, Ayie.

“Kami adik-beradik sempat pujuk dia supaya jalani pembedahan kerana pada mulanya dia tidak mahu dibedah, kami katakan padanya lepas abah sihat abah boleh pergi memancing dan buat apa yang abah nak buat sebelum ini, tetapi dia pergi dulu.

“Memang waktu itu kami jangka dia akan pulih seperti biasa kerana pesakit di sebelahnya sihat selepas jalani pembedahan pintasan jantung walaupun doktor beritahu risikonya tinggi dan hanya ada peluang sebanyak lima peratus sahaja.

“Tetapi nak buat macam mana, saya reda dan selepas ini kami adik-beradik akan menjaga emak. Kami tidak akan paksa emak untuk ikut kami tinggal di sini tetapi kami tidak akan biarkan emak bersendirian, kami akan ikut saja kehendaknya,” tutur Siti.

Selain Siti, kakaknya Siti Nursaida dan adiknya Siti Saerah juga gagal mengawal emosi dan mengelak untuk ditemu bual.

Saida pula hanya sempat mengatakan, arwah bapanya memintanya jangan bersedih kerana dia masih hidup (sebelum pembedahan), manakala Saerah pula gagal mengeluarkan kata-kata, hanya deraian air mata mampu menggambarkan isi hatinya.


SAIDA (kiri) dan Siti gagal mengawal emosi dengan pemergian mengejut arwah bapa mereka.

Kakak ipar Siti, Rozie Abdul Razak sempat menceritakan detik-detik terakhir arwah bersama suaminya Ayie.

Beritahu Rozie, sejak dua bulan kebelakangan ini arwah lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti memancing bersama suaminya di Klang.

Malah, dua hari sebelum arwah rebah di kediamannya di Kuala Lipis, Pahang, arwah sempat lagi pergi memancing dan mengatakan hanya itu kenangan yang mampu diberikan kepada Ayie apabila dia sudah tiada kelak.

Tidak disangka, kata-kata yang disangka gurauan dan tidak diambil serius olehnya dan suami benar-benar menjadi kenyataan dalam masa yang singkat.


HANYA deraian air mata yang mewakili isi hati Saerah.

“Kami tidak pernahlah ambil serius bila arwah katakan begitu, tetapi memang jelas arwah suka memancing bersama Ayie, kerana sebelum ini arwah memang tidak betah untuk datang ke Kuala Lumpur jika tiada urusan penting.

“Arwah sebelum ini sihat dan kami semua tidak tahu dia ada pelbagai penyakit, selepas pembedahan baru dapat tahu dia ada penyakit darah tinggi, paru-paru dan buah pinggang.

“Arwah memang agak takut dengan hospital, sudah beberapa kali kami memintanya jalani pemeriksaan kesihatan tetapi tidak diendahkan sehinggalah dia mengadu tidak sedap badan pagi Jumaat lalu,” katanya.

Arwah meninggal kerana pembedahan pintasan jantungnya mengalami komplikasi dan menyebabkan arwah mengalami masalah buah pinggang, paru-paru selain mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Takziah daripada Kosmo!.

Kosmo

Saida Terima Kejutan Siti Di Hari Lahir

16 Dec

Teks & foto oleh Razif Rosdi

Hanya senyuman yang terukir pada wajah bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), Siti Nursaida Tarudin atau Saida ketika menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-32 pada 13 Disember 2008.

Manakan tidak, adiknya yang juga penyanyi handalan Dato’ Siti Nurhaliza telah mengadakan sambutan hari jadi secara mengejut di Red Box Plus, Pavilion, Kuala Lumpur bersama adik beradik yang lain pada malam Jumaat lalu (12 Disember 2008), tanpa pengetahuan Saida sendiri.

Majlis yang dirancang secara senyap oleh Siti bersama suami Saida iaitu Mohd Ghazali Zikri Yahya, 39, dihadiri oleh  ramai adik-beradik mereka yang lain seperti Ayie dan Saerah serta team Siti Nurhaliza Production (SNP) selain rakan media yang rapat dengan Saida.

Jelas, Saida yang menerima hadiah kejutan ini kelihatan sebak dan hampir menitiskan air mata. Kenapa?

Kata Saida, setiap tahun keluarganya memang menyambut hari jadinya namun, tahun ini ia lebih istimewa apabila ia turut disertai rakan artis serta pihak media yang tidak henti-henti menyokong kariernya.

“Saida tak sangka Siti dah rancang majlis ini. Rasa macam mimpi. Kalau ikutkan Saida memang nak nangis tapi tahan saja ni sebab kalau Saida nangis memang teruk.

“Kalau nak tahu, Siti sebenarnya baru saja sampai dari Kuala Lipis. Tak sangka pula dia dan suami saya dah merancang semua ni. Terima kasihlah,” ujar Saida yang telah muncul dengan single pertamanya, Sedalamnya Cinta.

Dapat jam tangan DKNY

Bercakap tentang hadiah, ibu 4 anak ini akui semua hadiah istimewa baginya tapi dia terharu apabila kumpulan futsal yang dianggotai bersama suaminya telah menghadiahkan seutas jam tangan berjenama DKNY.

“Sebenarnya hadiah paling bermakna tentulah kasih sayang yang tidak putus-putus dari suami dan keluarga Saida. Sebenarnya, banyak lagi hadiah yang Saida belum sempat buka. Tahun lalu, Siti ada menghadiah beg tangan Gucci dan suami pula berikan telefon bimbit Nokia.

“Tapi…tahun ini, Saida masih belum terima hadiah apa-apa dari Siti tapi cukuplah dengan majlis suprise seperti ini,” katanya.

Ditanya adakah dia merancang menambah cahaya mata, Saida terus tergelak. Malah, dengan berseloroh dia mengatakan sedang menunggu anak saudara iaitu anak Siti sendiri.

“Siti ada cakap dengan kami (adik beradik yang dah kahwin). Kalau boleh biarlah dia berikan mak dan abah cucu yang ke-11 memandangkan tarikh lahirnya pada 11 Januari,” gelak Saida akhiri perbualan.

Siti, Saida & Saerah sentiasa bersatu

Mewarnai pendapat kakaknya itu, Siti yang bakal rancak dengan lagu berentak pop tradisi tidak lama lagi mempunyai pendapat sendiri mengenai kakak kesayangan itu.

Siti berkata, Saida mempunyai peminat tersendiri. SNP ada perancangan mahu satukan Saida dan Saerah dalam satu album. Malah tidak mustahil bagi mereka bertiga untuk bersatu dalam satu irama.

“Siti harap Kak Ida usaha dengan lebih keras lagi. Dia kena selalu baiki cara nyanyiannya. Dulu pun Siti gilap nyanyian dengan rajin berlatih. Siti selalu berlatih dengan lagu Celine Dion dan Whitney Houston.

“Bagi Siti, tak kisahlah Kak Ida nak nyanyi genre apa. Yang penting, dia selesa. Mungkin dia rasa Pop Dance itu sesuai baginya. Namun, ada susah dan senangnya. Mungkin, lagu slow lebih mencabar bagi Kak Ida,” jelas Siti yang turut ditemani suaminya Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa (Datuk K).

Mengulas mengenai album terbaru, Siti enggan komen panjang tentang penyertaannya dalam kategori Etnik kreatif yang semakin kemarau.

“Buat masa sekarang ni, Siti tak berani lagi nak cakap apa-apa. Apa yang Siti mahu, album kali ini berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Harap lagu itu nanti akan diterima peminat. Muzik Muzik kita fikir kemudian,” ujar Siti.

Malam itu, penyampai radio popular turut hadir seperti Reza AF. Dia dan Saerah antara yang paling banyak berkaraoke. Siti turut menyanyikan beberapa buah lagu selain berduet secara trio bersama Saida dan Saerah.

Apapun, penulis pun terharu kerana dapat berduet bersama Siti melalui lagu Jangan Pisahkan. Hai, seram sejuk dibuatnya!

 

Murai

"Siti Rindu Soalan Nakal Media"

25 Jun

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my


Tiga beradik berjiwa seni. Dari kiri Siti Saerah, Siti Nurhaliza dan Siti Nursaida. Ketiga-tiga Siti ini juga menyimpan hasrat untuk merakamkan album keluarga satu hari nanti.

LAMA benar Datuk Siti Nurhaliza tidak muncul di dada media. Selepas kekecohan isu perpindahannya dari sebuah kondominium ke banglo mewah di Bukit Antarabangsa, artis popular itu bagaikan membawa diri.

Ada soalan-soalan nakal yang bertanya apakah Siti merajuk dengan media?

Dan pada satu pertemuan dengan artis tersohor itu sebelum mengadakan persembahan di Laman Seni, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti tergelak menjawab soalan yang ditanyakan padanya.

“Tak adalah merajuk. Sebaliknya, Siti rindu soalan-soalan nakal daripada rakan-rakan media,” jawab Siti mengenai tanda tanya wartawan dan peminat-peminatnya mengenai kehilangannya selama ini.

Soalan-soalan nakal? Apa yang dimaksudkan oleh Siti?

“Kalau dulu sebelum Siti kahwin, kawan-kawan wartawan pantang jumpa mesti tanya bila nak kahwin.

“Kalau bukan soalan kahwin, soalan peribadi yang kadang-kadang Siti sendiri susah nak jelaskan. Selepas mendirikan rumah tangga, ada kalanya Siti akan teringat momen-momen manis yang Siti lalui ketika hidup bujang.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, sehingga kini hubungan Siti dengan rakan-rakan wartawan masih baik dan Siti mengharapkan ia akan kekal sampai bila-bila,” tambah Siti yang juga terkenal sebagai artis yang gemar menyakat wartawan.

Isteri kepada usahawan Datuk Khalid Mohammad Jiwa itu yang semakin langsing menjelaskan, buat masa ini beliau lebih senang mendiamkan diri lantaran tiada berita menarik untuk dikongsi dengan masyarakat.

Apa lagi, dengan kedudukannya sebagai isteri yang sering dihambat oleh masa menyebabkan Siti mahu memberi tumpuan yang sepenuhnya menguruskan suami.

Tambahan pula, selepas menetap di banglo mewah yang tersedia 13 bilik tidur menyebabkan Siti perlu menyesuaikan diri.

“Semuanya berjalan lancar. Kehidupan Siti lebih tenang. Selain suami, ibu dan ayah mertua Siti juga menetap bersama kami di rumah itu. Jadi, Siti mahu meluangkan masa kualiti dengan keluarga,” jelas penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Jerat Percintaan pada tahun 1996.

Sesekali bila ada masa terluang, Siti selesa memanjakan diri dengan spa, salon dan membeli-belah.

Semua itu katanya, bagaikan terapi untuk dirinya mengisi masa lapang.

“Dahulu ketika sibuk dengan jadual seni, Siti tidak pernah memiliki peluang berbuat semua itu. Kini, masanya untuk Siti memberi tumpuan pada diri Siti pula dan ternyata ia sangat menyeronokkan,” katanya sambil memberitahu gaya hidupnya tidaklah begitu ekstrem elit seperti mana wanita mewah lain sebagai yang didakwa sesetengah pihak.

Ketika tiada anak kecil untuk dibelai dan dimanja, Siti berkata, itulah caranya mengisi masa lapang lebih-lebih lagi ketika suami sibuk memberi tumpuan pada perniagaannya.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, sudah tentu Siti juga akan menimang cahaya mata, cuma Tuhan belum kurniakan anak buat Siti. Kalau ada Siti tentu akan beritahu anda semua (wartawan),” jawab Siti seakan mengerti soalan yang mahu ditanya.

Pada masa yang sama, anak jati Pahang itu juga berkongsi kasih sayang yang dijalin dengan suami tercinta masih utuh dan Siti begitu mensyukuri dengan kurniaan Ilahi.

Bakal masuk studio rakaman

Selepas leka berbual mengenai kehidupan personal, Siti mengalih perhatian pada kerjaya seninya yang bakal memasuki fasa baru menjelang hujung tahun ini.

Seiring dengan kematangan yang dicapai dalam industri hiburan selama lebih sedekad, Siti sudah bersedia untuk melalui satu lagi transisi dalam proses pembikinan album terbarunya.

Menjelang hujung tahun ini, Siti akan muncul dengan album solo yang menyaksikan kerjasama beliau dengan komposer-komposer senior tanah air.

Kalau dahulu, komposer Adnan Abu Hassan merupakan orang paling penting mencorakkan kerjaya seninya, kali ini, Siti akan kembali bergabung dengannya.

Kekaguman Siti terhadap sifu M. Nasir juga memperlihatkan kerjasama kedua-dua mereka.

Komposer lain yang juga menyumbang lagu untuk album terbaru Siti ialah Fauzi Marzuki, Zubir Ali dan lain-lain lagi.

Kesemua komposer itu bersepakat menghasilkan lagu terbaik hadiah buat Siti pada bengkel lagu Berirama Malaysia Cipta Ekspres anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 14 hingga 17 Januari lalu.

Menjangkakan album terbarunya itu bakal dipasarkan hujung tahun ini, Siti menyatakan kegembiraannya dapat merakamkan lagu-lagu ciptaan komposer-komposer hebat itu.

“Siti dah tak sabar nak masuk studio sebenarnya,” ringkas Siti menggambarkan keghairahannya untuk kembali ke studio rakaman.

Sokongan buat kakak, adik

Biarpun sibuk memberi tumpuan pada urusan rumah tangga dan kerjaya seni, Siti juga pada masa yang sama tidak terlepas memberi sokongan moral buat kakaknya, Siti Nursaida yang merupakan bintang Akademi Fantasia 6 serta adiknya, Siti Saerah.

Menurut, sebagai artis berpengalaman, beliau terpanggil untuk memberi sokongan buat kedua-dua saudaranya itu.

Dan bagi Siti Nursaida, sokongan moral adik kesayangannya membuatkan dia semakin yakin untuk melangkah ke persada seni.

“Bertuah dan bersyukur kerana saya bergelar kakak kepadanya. Walaupun ada yang berpendapat saya menumpang popularitinya, itu semua saya anggap sebagai resam dalam industri hiburan.

“Saya melihat dari dekat bagaimana Siti berusaha untuk sampai ke kedudukannya hari ini dan saya akan jadikan kejayaan Siti sebagai motivasi buat saya,” ujar Siti Nursaida.

Hal yang sama disuarakan oleh Siti Saerah yang sukar menyembunyikan rasa bangga pada kakaknya yang juga artis nombor satu negara.

“Doa dan sokongan kak Siti (Siti Nurhaliza) terhadap saya merupakan hadiah yang paling berharga buat saya,” ujar Siti Saerah yang bakal berduet dengan Siti Nursaida dalam sebuah lagu yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Utusan Malaysia